Pengikut

Khamis, 20 Mac 2014

SPM 2013: Analisis Keputusan Keseluruhan Negeri Mendapat A

Hari ini menyaksikan pelbagai suasana yang dapat disingkap daripada riak 479,395 calon yang mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013. 

Sudah pastilah calon yang mendapat semua A dalam peperiksaan ini akan melonjak gembira berbanding calon yang kurang bernasib baik sudah pastilah kesedihan yang terpaksa diterima. 

Bagaimanapun, atas usaha yang telah dilakukan, calon tersebut tidak perlulah menyalahkan diri sendiri. Semuanya sudah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allh SWT.

Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof ketika mengumumkan keputusan SPM 2013


13,970 calon SPM capai semua A

Seramai 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 mendapat keputusan semua A. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata daripada jumlah itu, seramai 11,892 (2.90 peratus) calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 2,078 (6.27 peratus) calon bukan KPM. 

"Jumlah itu juga termasuk 405 (0.09 peratus) iaitu 366 calon sekolah KPM dan 39 (0.12 peratus) calon bukan KPM berjaya memperoleh semua gred A+ (cemerlang tertinggi). 

Dr Khair berkata, pencapaian keseluruhan calon SPM 2013 bertambah baik dengan nilai Gred Purata Nasional (GPN) 4.93 berbanding 5.08 tahun 2012.


Analisis Keputusan Keseluruhan Negeri Mendapat A

2,606 calon raih Gred A cemerlang di Selangor

SHAH ALAM: Seramai 2,606 calon sekolah Kementerian Pelajaran (KPM) dan bukan KPM negeri Selangor, berjaya memperoleh gred A (cemerlang) bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu. 

Sebanyak 13 sekolah di negeri ini muncul sebagai sekolah terbaik dengan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak muncul sekolah terbaik Selangor bagi keputusan SPM 2012 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.18.

Pengarah Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim berkata, daripada jumlah itu, Gred Purata Negeri (GPN) mencatat peningkatan sebanyak 0.13 peratus iaitu 4.77 berbanding tahun 2012, 4.90. 

Katanya, seramai 78 calon mencatat gred A+ (cemerlang tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, manakala 2,528 calon memperoleh gred A kombinasi (A+, A dan A-). 

"Seramai 60,208 calon layak mendapat sijil pada tahun lalu berbanding 62,777 bagi tahun 2012. 

"Walaupun peratusan layak mendapat sijil menurun berbanding tahun lalu, namun GPN berjaya menunjukkan peningkatan sekaligus membuktikan peratusan pelajar cemerlang di Selangor meningkat," katanya.


1,582 calon capai semua A di Johor

JOHOR BAHRU: Seramai 1,582 calon Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) 2013 di negeri ini berjaya memperoleh semua gred A bagi semua matapelajaran yang diduduki berbanding 1,391 calon pada tahun sebelumnya. 

Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Md Hasidin Zaini, berkata seramai 64 calon berjaya memperoleh gred A+ (cemerlang tertinggi) bagi semua matapelajaran yang diduduki. 

Beliau berkata, seramai 1,518 calon berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua matapelajaran yang diduduki berbanding 1,333 calon pada 2012, iaitu peningkatan seramai 185 calon. 

"Secara keseluruhannya pencapaian calon pada 2013 adalah amat membanggakan berdasarkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) berbanding tahun lepas," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2013 di Jabatan Pendidikan Johor di sini, sebentar tadi.


1,276 calon dapat semua A di Perak

IPOH: Seramai 1,276 calon SPM 2013 di Perak berjaya memperoleh semua A bagi semua mata pelajaran diduduki iaitu peningkatan sebanyak 0.32 peratus atau pertambahan seramai 93 orang berbanding 1,183 calon memperoleh semua A pada 2012. 

Selain itu, seramai 42 calon berjaya memperoleh gred semua A+ iaitu cemerlang tertinggi bagi semua mata pelajaran berbanding 41 calon pada tahun sebelumnya. 

Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, pencapaian keseluruhan SPM 2013 juga meningkat dengan Gred Purata Negeri (GPN) meningkat kepada 5.01 mata berbanding 5.21 mata pada 2012 dengan peningkatan 0.20 mata. 

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan analisis keputusan SPM negeri Perak di sini sebentar tadi.


1,024 calon cemerlang di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Pulau Pinang mencatat penurunan jumlah calon cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013. 

Penurunan itu adalah sebanyak 4.69 peratus berbanding 4.9 peratus pada tahun lalu. Seramai 1,024 calon SPM di Pulau Pinang cemerlang pada tahun ini. 

Bagaimanapun, Pulau Pinang mencatat gred purata lulus SPM yang lebih baik, iaitu sebanyak 4.73 berbanding 4.87 pada tahun lalu. 

Keputusan SPM bagi negeri ini diumumkan oleh Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Perempuan China di sini, hari ini. 

Ahmad Tarmizi berkata, sebanyak 22 sekolah menengah di negeri ini mencatat keputusan 100 peratus lulus dan layak mendapat sijil. 

Pada keputusan SPM tahun ini, seramai lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan St George mendapat keputusan semua subjek lulus dengan A+, diikuti SMK Tinggi Bukit Mertajam dan SMJK Chung Ling Butterworth, masing-masing dengan empat calon.


693 calon dapat semua A di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Seramai 693 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat negeri berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid, berkata pada tahun ini seramai 17,684 mendaftar sebagai calon membabitkan 111 sekolah berbanding tahun lalu seramai 17,583 iaitu pertambahan sebanyak 101 calon. 

Katanya, Gred Purata Negeri (GPN) bagi negeri ini meningkat kepada 4.70 berbanding tahun lalu 4.86 menunjukkan peningkatan tahap kecemerlangan dalam SPM semakin baik.


662 calon dapat semua A di Kedah

ALOR SETAR: Seramai 662 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di Kedah memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran diduduki termasuk 12 daripadanya diklasifikasikan sebagai cemerlang tertinggi.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Mansor Lat, berkata semua 12 calon itu memperoleh keputusan gred A+ (cemerlang tertinggi) bagi semua mata pelajaran diambil tahun lalu. 

Katanya, pencapaian keseluruhan calon SPM 2013 bertambah baik dengan nilai Gred Purata Nasional (GPN) 5.04 berbanding 5.23 pada 2012. 

Pada 2013, seramai 37,914 calon mendaftar menduduki SPM di negeri Kedah.


376 calon dapat semua A di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 376 daripada 34,036 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah tahun lalu lulus cemerlang dengan mendapat A dalam semua mata pelajaran berbanding 199 orang pada 2012. 

Bilangan calon yang lulus semua mata pelajaran juga bertambah kepada 18,681 orang atau 54.89 peratus berbanding 17,247 atau 51.43 peratus pada 2012. 


80 calon dapat semua A di Perlis

KANGAR: Seramai 80 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di Perlis memperoleh keputusan semua A dalam subjek diduduki termasuk seorang daripadanya mendapat keputusan 11A+ atau cemerlang tertinggi. 

Pengarah Pendidikan Negeri, Dun Kasa, berkata daripada 4,230 calon yang menduduki peperiksaan itu, 82.01 peratusn berjaya memperoleh sijil. 

Katanya, pencapaian keseluruhan calon SPM 2013 bertambah baik dengan nilai Gred Purata Negeri (GPN) 5.26 berbanding 5.46 pada 2012. 

Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra mencatatkan bilangan calon cemerlang paling ramai, iaitu 30 orang dan juga 100 peratus calon memperoleh sijil.


41 calon capai semua A+ di Sarawak

PETRA JAYA: Seramai 41 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sarawak berjaya meraih pencapaian semua A+ dalam semua mata pelajaran. 

Perkara itu diumumkan sebentar tadi oleh Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Abdillah Adam, di Auditorium Pejabat Pendidikan Negeri, di sini. 

Katanya, empat sekolah yang mencatatkan keputusan SPM terbaik adalah Sekolah Menengah (SM) Sains Miri; SM Sains Kuching; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong dan MRSM Mukah. 


Sumber: Berita Harian

8 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78