Pengikut

Sabtu, 31 Disember 2011

Menuju Penghujung Waktu


Benarkah masa pantas berlalu hingga kita sebagai manusia lelah mengejarnya? Tepuk dada tanyalah diri sendiri.

Penghujung waktu semakin tiba. Ada yang sudah berkira-kira untuk melangkah ke tahun baharu iaitu 2012 dengan semangat berkobar-kobar. Dengan keazaman untuk mencapai impian yang lebih besar pada tahun hadapan. Adakah azam pada tahun ini terlaksana? Dalam keghairahan mengejar azam baru, jangan lupa bermuhasabah.

Menyorot kembali perjalanan tahun 2011, dalam penulisan saya berpuas hati kerana karya-karya saya banyak yang tersiar dari dibakul sampahkan. Ada juga karya yang berjaya menerobos masuk ke media yang sebelum ini tidak pernah. Seperti puisi saya yang berjudul Waktu Bersayap Putih di Mingguan Malaysia. Inilah satu-satunya puisi saya yang berjaya memecahkan tombok kebal Mingguan Malaysia. Terima kasih editornya. Begitu juga dengan puisi yang berjaya menempatkan dalam Harian Metro. Tiga buah puisi ini memberi makna kepada saya. Bermula dengan Bersila di Beranda Takdir, Bunga Sejambak di Konvokesyen dan Kemilau Pelita Lampau. Selain itu majalah Perempuan juga tidak ketinggalan memberi ruang kepada puisi dan cerpen saya untuk tatapan pembaca. Dengan puisi berjudul Memugar Ladang Jiwa dan cerpen Mengejar Sarjana Muda. Masing-masing ada kisahnya. 

Dalam kesukaan masih ada dalam kesedihan ataupun kekecewaan. Saya masih mencuba untuk menempatkan karya saya di beberapa media yang belum pernah berjaya hingga kini. Selaku penulis tentulah mengidamkan melihat karya tersiar di majalah yang punyai reputasi hebat seperti Dewan Sastera. Saya sedar siapa diri ini. Namun itu tidak menjadi alasan atau penghalang untuk saya mencuba. Harapan saya pada tahun 2012 saya dapat melihat karya saya berjaya memikat hati editornya. 

Walaupun puisi saya banyak mendapat tempat di Tunas Cipta namun keterkilanan masih juga terasa apabila cerpen saya belum berjaya menempatkan diri. Saya berharap perjuangan saya itu tidak terhenti dengan begitu saja hanya dek kerana cerpen saya tidak tersiar di majalah ini.

Pada penghujung tahun ini iaitu bulan November menyaksikan saya kembali menghidupkan blog saya yang sudah lama nazak sebenarnya. Terima kasih kepada rakan saya Hafis yang sudi memberi tunjuk ajar. Tidak ketinggalan juga kepada rakan-rakan yang sudi menjengah ke blog Tetamu Istimewa ini. Nama blog saya sebenarnya diambil sempena judul cerpen saya yang pernah tersiar di Berita Minggu pada tahun lepas dengan judul Tetamu Istimewa. Dengan berblog inilah saya mendapat rakan maya baru. Dari penulis kecil-kecilan hinggalah sebesar-besar namanya.

Majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobil 2010  yang diadakan baru-baru ini telah melayakkan saya menerima hadiah penghargaan HSKU kategori cerpen remaja. Walaupun dua buah cerpen saya tersenarai ke peringkat akhir iaitu Rancanganku RancanganMu dan Bunga Telur Kenduri Kahwin. Bunga Telur Kenduri Kahwin inilah telah memberi kenangan manis kepada saya. 

Pada bulan ini jugalah (november) saya melapor diri di SJKC Choong Chee, Hulu Yam Lama, Batang Kali Selangor sebagai tenaga pengajar. Cabarannya belum teruji kerana pada ketika itu sudah di penghujung sesi persekolahan. Saya berharap saya dapat menanganinya dengan sokongan guru-guru lain, ibu bapa, rakan dan doa yang tidak henti-henti.

Dunia sastera pada tahun ini telah dilanda ombak yang begitu dahsyat. Bermula dengan kontroversi Interlok karya SN Abdullah Husain kemudiannya penarikan balik karya tersebut dan digantikan dengan Konserto Terakhir saya lihat adalah suatu cabaran yang harus ditempuhi dengan sabar dan bijaksana. Penarikan balik kontrak yang pernah ditawarkan kepada Abu Hasan Morad untuk novel KOMSAS yang berjudul Cinta Madinah sememangnya sangat mendukacitakan. Ternyata dunia sastera tidak pernah sunyi sebenarnya. Bahasa dan sastera adalah jiwa kepada dunia ini.

Penorbatan Kemala sebagai Sasterawan Negara yang ke-11 telah menyelesaikan teka teki siapa yang bakal menyandang anugerah itu selepas SN Anwar Ridhwan. Begitu juga dengan S.M. Zakir yang telah dinobatkan penerima S.E.A Write Award pada tahun 2011. Ternyata Malaysia tidak pernah ketandusan penulis-penulis yang berbakat dan berjiwa besar memperjuangkan bahasa dan sastera negara. 

Pemergian beberapa tokoh sastera dan bahasa memang sangat dirasai. Pemergian penulis kegemaran saya Allahyarham Azizi Hj Abdullah sangat dirasai. Saya bermula dengan membaca novel Harga Sebuah Maruah. Kemudian saya jantuh cinta dengan gaya bahasanya yang bersahaja seolah-olah hidup. Selepas itu saya menjadi peminatnya dan berjaya mengumpulkan sebilangan karyanya. Antaranya, Zikir Rindu, Tukcai, Memoir Seorang Guru, Kuras-kuras Kreatif, Sangeetha, Beruk, Anak Belantara, Pencinta Alam, Kawin-kawin, Badai Cinta, Suriati, Pertiwi, Seorang Tua di Kaki Gunung, Pendoa yang Ikhlas dan yang terakhir juga terbaru adalah Mandala Dunia Kedua

Pada tahun ini juga saya telah membelanjakan sejumlah wang untuk membeli buku. Sama ada buku terbita lama ataupun baru. Ada antaranya masih belum sempat saya baca. Walau bagaimanapun saya akan cuba menghabisinya pada tahun hadapan. Insyaallah.

Selamat Menyambut Tahun Baru. 

Khamis, 29 Disember 2011

Semakan Keputusan KISSM

 
Petang tadi saya menerima mesej daripada seorang rakan yang berbunyi;- Salam. Jangan lupa semak, print dan serahkan salinan keputusan KISSM Jun 2011 kepada kerani sekolah bagi memudahkan urusan pelantikan tetap anda pada masa hadapan. Harap Maklum. Terima kasih saya ucapkan kepada beliau. KISSM-Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia


Alhamdulillah setelah menyemak keputusan tersebut saya telah LULUS. Kepada yang belum semak bolahlah berbuat demikian. Sila klik di alamat ini. http://www.moe.gov.my/kissm/induksi.php

Rabu, 28 Disember 2011

Koleksi Buku Terbaru


Entahlah hingga ke hujung tahun saya masih bernafsu untuk membeli buku. Walaupun buku ini cetakan lama namun bagi saya ianya masih baru  kerana saya belum pernah membacanya. Ada antaranya koleksi Sasterawan Negara A. Samad Said dan SN S.Othman Kelantan. Sebelum ini saya pernah ceritakan bahawa saya pernah memborong buku di Toko Buku Cahaya Baru, Jalan Langgar dan kali ini sekali lagi saya ke sana. Rupa-rupanya di bahagian belakang kedai tersebut ada 'selonggok' lagi buku lama yang sebelum ini saya tidak perasan. Dalam keadaan tergesa-gesa sempat juga saya mendapatkan beberapa buah buku yang tidak kurang hebatnya juga. Antaranya:-

1. Wajah Seorang Wanita - SN S Othman Kelantan.
2. Sahabat (Antologi Pemenang Hadiah Sastera Perdana tahun 1982/1983).
3. Murtad - Harun Haji Salleh.
4. Di Mana Bulan Selalu Retak (Drama) - SN A Samad Said.
5. Tiga Catatan Perjalanan (Kumpulan puisi) - Baha Zain.
6. Erti Kedewasaan (Kumpulan puisi) - selenggaraan Rahman Shaari.
7. Kuntum Harapan (Kumpulan puisi) - Zahari Hasib.

Kesemuanya mendapat diskaun yang istimewa. Rebutlah peluang selagi stok masih ada.
*Entah bila akan habis baca pun tidak pasti.

Selasa, 27 Disember 2011

Interlok VS Konserto Terakhir

Setelah berpenat lelah, bertikam lidah memperjuangkan hak Interlok akhirnya begini jadinya. Alangkah sedih bukan kepalang. Sebenarnya apa yang dimahukan oleh pihak itu? Dan apa yang cuba dilakukan dipihak ini?
Alih-alih yang dikejar tidak dapat yang dikendong keciciran pula.




VS
 


Dipihak ini cuba menarik rambut dalam tepung agar rambut tidak putus tepung pula tidak bertabur. Tetapi seolah-olah perbuatan itu hanya untuk menjaga air muka sahaja. Setelah berjuta-juta wang dibelanjakan untuk membuang perkataan pariah itu kemudian dicetak kesudahannya ditukar pula ke novel lain. Main tarik tali lah pula. Menang bersorak kampung tergadai.

Mohon penjelasaaaaaaaaaaaaaaaaannnnn!!!!!!!

Isnin, 26 Disember 2011

Hobi Selain Membaca


Selain membaca, menulis saya gemar bercucuk tanam. Boleh dikatakan halaman rumah saya dipenuhi dengan pokok bunga. Bagi saya setiap kali mata saya melihat pokok-pokok bunga itu subur berbunga hati saya rasa gembira dan senang sekali. Ada juga saya menanam pokok cabai. Dan beberapa sayuran lain.

Pokok bunga kertas adalah pokok bunga yang paling saya suka. Kerana warnanya yang menarik, tahan lasak dan berbunga sentiasa andai kena cara penjagaannya. Kalau saya tiada di rumah adik sayalah yang menjadi mangsa untuk menyiramnya.

Cara pembiakan pokok bunga kertas  adalah melalui keratan batang dan 'tut'.

Alam dan manusia memang tidak boleh dipisahkan. Persekitaran yang nyaman, bersih memungkinkan kita menyedut udara, oksigen yang baik. Jadi tanamlah banyak-banyak pokok di kawasan persekitaran rumah anda.

Ahad, 25 Disember 2011

Karya Terakhir Untuk Tahun Ini

Rasa-rasanya inilah karya terakhir yang tersiar di media cetak baik akhbar mahupun majalah. Minggu ini adalah minggu terakhir untuk tahun 2011. Tahun baru 2012 bakal menjelma tidak lama lagi. Dengan harapan akan bertambah karya yang tersiar dan bertambah baik juga mutu penulisannya. Dua buah puisi saya yang tersiar di Harian Metro pada 13 Disember 2011 dan majalah Perempuan edisi Disember 2011.

KEMILAU PELITA LAMPAU saya hasilkan pada bulan Oktober 2011 manakala MEMUGAR LADANG JIWA telah lama dihasilkan iaitu pada bulan April 2010. Alhamdulillah puisi-puisi ini masih diterima. Terima kasih kepada editor yang tidak jemu-jemu memberi ruang dan peluang kepada karya saya dan melayan karya-karya saya yang dihantar baik saban minggu ataupun bulan. 

Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan yang tidak putus-putus memberi sokongan. Setiap kali karya saya tersiar ada saja yang menghantar mesej yang berbunyi:- Salam. Helmi, tahniah puisi sdr di metro hari ini. (Hasni Jamali). Beb.. Hmetro kemilau pelita lampau (Normaizura). Salam tahniah puisi berjudul Kemilau Pelita Lampau dalam metro, semalam. Tahniah! (Nurul Farehah Jaamad). Tidak ketinggalan juga yang memberi komen di entri blog. Terima kasih semua.

*Hari selasa nanti harap-harap ada rezeki di Harian Metro-saya ada hantar puisi (harapan bukan main tinggi lagi kan).

Sabtu, 24 Disember 2011

Saya yang Menurut Perintah

Saya rasa semua penjawat awam tahu akan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2012. Maksud saya tahu akan skim ini akan dilaksanakan. Tetapi masih perlukan masa dan penerangan yang lanjut untuk memahami perjanjian tersebut. Walaupun CUEPACS sudah berjumpa dengan perdana menteri (PM) dan PM juga bersetuju untuk tangguhkan pelaksanaan skim ini yang dikatakan berat sebelah sebelum rundingan lanjut dijalankan. CUEPACS dan PM akan berunding sebelum diluluskan. Walau bagaimanapun saya telah diarahkan oleh kerani sekolah yang juga mendapat arahan daripada PPD untuk menandatangani perjanjian opsyen tersebut. Adakalanya terlalu kejam kerana masa yang diberikan terlalu singkat.

Saya dari Kedah terpaksa bergegas ke Hulu Yam Lama, tempat saya bertugas untuk menandatangani  perjanjian tersebut. Mujur abang saya bercuti. Terima kasih kepada abang saya kerana bersusah payah memandu kereta dari Kedah ke Selangor. Kami pergi berenam bersama kakak, kakak ipar, anak saudara dan ayah saya. Kami bertolak pada petang khamis 22.12.2011 dan sampai pada pukul 11.00 malam lebih. Kemudian pagi jumaat saya ke sekolah. Petang jumaat terus berangkat pulang. 

Dalam perjalanan pulang kami singgah di gerai tepi jalan untuk membeli buah tangan pulang ke Kedah. Katanya duriannya bagus-bagus. Baru luruh dari pokok. Jadi kami beli selonggok dengan harga RM 30 dan serangkai buah rambutan. Pemergian kami diiringi dengan hujan. Begitu juga sewaktu pulang. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan selamat pergi dan selamat pulang.

Begitulah apabila 'saya yang menurut perintah' perlu akur dengan pihak atasan.

Rabu, 21 Disember 2011

Sambungan Nikmat Sepotong Kasih


NIKMAT SEPOTONG KASIH
Aku menggalas beg yang terisi buku-buku latihan dan buku-buku teks di belakangku. Badanku membongkok sedikit. Kakiku menghala ke pintu pagar sekolah. Kereta Waja putih tidak kelihatan. Aku mencari bangku duduk. Pelajar lain sudah pulang. Jam di tangan sudah pun menunjukkan pukul 3.00 petang. Barangkali mereka sudah berehat bersama keluarga sambil makan tengah hari.
Aku terpaksa menunggu dan terus menunggu. Rutin menunggu sudah terbiasa bagiku. Tiap-tiap hari aku terpaksa menunggu kereta Waja putih. Selagi kereta Waja itu tidak menjemputku aku tidak dibenarkan mengikut sesiapa untuk pulang ke rumah. Kadang-kadang penantian itu satu penyiksaan.
Kenderaan bertali arus melintasi hadapanku yang menghadap jalan raya. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Masih tidak menampakkan kereta ayahku. Aku duduk diam-diam. Bagi menghiburkan hatiku aku menyanyikan sebuah lagu. Lirik lagu itu begitu terkesan di hatiku. Pernahkah kau bermimpi/ seketika berada di tempatku/ membayangkan.… Dalam dengar tak dengar deria dengarku menangkap sebuah enjin motosikal yang mendekatiku. Aku berhenti bernyanyi. Aku melihat di kawasan sekolah. Pak Salleh tidak kelihatan. Sekiranya berlaku apa-apa kepadaku dengan siapa aku mahu minta tolong. Cikgu-cikgu sudah pulang. Aku perhati lelaki itu. Lelaki itu membuka topi keledarnya. Dia memandang tepat ke arahku. Hatiku bingkas curiga. Ketakutan melamar diriku.
 “Natrah binti Sulaiman kan? Ayah adik tidak dapat menjemput adik. Dia suruh abang jemput. Jomlah naik!” Lelaki itu seperti memujuk. Aku keliru. Bagaimana dia tahu namaku. Juga nama ayahku. Aku merasakan dia mahu menipuku. Dia sudah melihat tag nama yang melekat di bajuku ini mungkin.
“Adik jangan risau. Abang bukan orang jahat. Jom!”
Aku panjat motosikal EX5nya. Dia menyuakan aku topi keledar. Keselamatanku dititikberatnya. Aku merasa selamat menaiki motosikalnya. Aku meluncur laju di atas jalan raya bersama lelaki yang tidak kukenali. Cuma atas dasar permintaan ayahku suruhnya menjemput aku gagahi juga. Dalam masa yang sama aku merasakan ayahku seorang yang pentingkan diri sendiri. Dia lebih pentingkan kerjanya daripada anak sendiri. Itukah tuntutan semasa aku dewasa nanti? Berkejaran mengumpul harta. Ah, aku masih kecil! Tidak perlu merumitkan kepala untuk memikirkannya.
“Abang nak bawa saya ke mana?” Aku bertanya selepas merasakan lelaki itu menuju arah yang salah. Ternyata lelaki itu bukanlah lelaki yang baik. Sangkaan aku betul. Lelaki itu mahu menculikku. Ketika itu aku mahu melompat daripada motosikalnya. Biar dia tahu aku bukanlah kanak-kanak yang boleh dipermainkan. Boleh diculik sesuka hati. Kalau dia melawan. Aku akan melawannya kembali. Sekiranya perlu aku akan membuka bunga-bunga silat gayung yang aku pelajari di sekolah.
“Abang dah salah jalan.” Aku menegaskan sekali lagi. Aku merasakan lelaki itu sengaja buat tidak dengar dengan omelanku. Aku mahu menjerit. Meminta tolong. Tetapi suaraku garau. Suara sekecil itu mudah ditelan deruan enjin motosikal yang membingit.
“Oh, abang nak balik ke rumah sekejap! Nak hantar barang. Isteri abang tengah tunggu di rumah.” Bersahaja lelaki itu menjawab.
Mendengar penjelasan lelaki itu aku mengikutnya sahaja. Aku menyakinkan diri bahawa alasan yang diberi adalah betul. Dengan cara itu sedikit sebanyak dapat memadamkan ketakutan yang menghantui fikiranku. Tawakalku hanya kepada Allah.
Kami menyusuri sebuah kampung di pinggir hutan. Bunyi enjin kenderaan ditelan sunyi. Disahut dengan burung-burung yang menghuni hutan itu. Tubuhku digigit dingin. Aku memandang keliling. Pohon-pohon hijau berdiri di sepanjang jalan masuk ke rumah yang dikatakan lelaki itu. Masakan ada rumah di pinggir hutan begitu. Aku tidak pasti. Tetapi itulah yang diberitahu. Sudah lama ibu dan ayahku tidak membawaku pulang ke kampung nenek. Suasana begini hanya di kampung sahaja dapat dirasai.
Namun, tidak lama kemudian kelihatan sebuah pondok usang berada di hadapan. Aku merasakan itulah rumah yang dimaksudkan. “Kita dah sampai,” lelaki itu memberitahuku.
Aku turun daripada motosikalnya lalu aku berdiri di sisi motosikalnya. Lelaki itu turun lalu mencapai bungkusan yang berada di dalam raga hadapannya.
“Adik tak nak masuk? Kalau tak nak masuk adik tunggu sekejap.”
Lelaki itu membelah masuk ke dalam rumahnya. Aku dengar. Aku dengar ada suara budak perempuan. Tetapi kurang jelas antara suka atau jeritan meminta tolong. Kenapa? Apa yang telah berlaku di dalam rumah itu? Milik siapa suara itu? Perasaanku sepantas kilat berubah. Hatiku diketuk guntur wasangka. Barangkali juga, rumah itu adalah tempat persembunyiannya. Aku akan ditempatkan di situ. Ya Allah tolonglah hambamu ini! Keputusan dibuat. Aku beranikan diri menghampiri rumah itu. Dari ruang pintu yang terbuka aku dapat melihat seorang budak perempuan sebesar aku terlonjak-lonjak di tengah rumah. Seorang perempuan dewasa berada berhampiran. Budak perempuan itu mencium pipi lelaki itu. Budak perempuan itu memegang sebatang gula-gula lolipop. Hanya kerana mendapat lolipop yang beberapa sen itukah dia melonjak gembira. Barangkali itulah sebabnya.
“Natrah. Masuklah!” Lelaki itu mempelawaku.
“Mari masuk Natrah!” Seorang perempuan dewasa yang tidak kukenali mempelawaku masuk. Budak perempuan itu mengerlingku. Aku masih kaku di hadapan pintu. Apa maksud semua ini? Lantas lelaki itu menghala ke arahku. “Mari masuk. Rumah abang taklah sebesar rumah Natrah. Cuma pondok kecil saja.”
Tiba-tiba hatiku dirundum sayu. Pondok yang usang itu dikatakan rumah. Ternyata lelaki itu bukanlah daripada golongan berada. Rumah yang didiami lelaki itu bila-bila masa sahaja akan roboh. Memandangkan tiangnya yang reput dimamah anai-anai. Dindingnya terkopak-kapik. Sekali angin ribut melanda, nescaya rumah itu akan roboh. Alangkah malangnya hidup lelaki itu. Bagaimana mereka mengharungi kehidupan yang serba daif itu.
“Ha… ni abang kenalkan, isteri abang, namanya Zainab.” Lelaki itu memegang bahu isterinya. “Ni pula anak abang Siti. Siti Nurhaliza. Bukan penyanyi popular tu.” Lelaki itu mengusap-usap kepala budak perempuan itu. Aku tersipu sendirian. Masakan di dalam dunia ini punya nama persis Dato’ Siti Nurhaliza. Penyanyi pujaannya. Lainlah kalau mukanya iras-iras seseorang. Kerana kata ayahnya di dunia ini ada pelanduk dua serupa. 
“Natrah dah makan?”
Aku hanya menggelengkan kepala.
“Tunggu kejap. Kita makan sama-sama. Abang Zamri pun belum makan lagi.” Lembut tutur kata isterinya. Lelaki itu dan isterinya meninggalkan aku bersama anaknya. Mereka ke dapur.
Aku tidak betah bercakap. Aku seorang yang pendiam. Pendiam semenjak tidak ada orang yang mahu berbual denganku di rumah. Aku mengambil keputusan untuk menunggu. Kalau Siti bertanya aku akan menjawab. Tetapi Siti juga pendiam. Siti memegang sebatang pencil. Menulis sesuatu di atas kertas. Aku mengerling dari jauh. Aku tidak mahu Siti mengesyaki aku sedang mengintainya. Satu persatu perkataan yang ditulis aku amati. Pernahkah kau bermimpi/ seketika berada di tempatku/ membayangkan pahit manis berlalu. Aku hairan. Dahiku berkerut. Bagaimana Siti mampu menulis lirik lagu itu? Adakah kerana dia bernama Siti Nurhaliza dan dia tahu menulis bait-bait lirik Biarlah Rahsia? Adakah dia punya impian sepertiku? Adakah perasaannya sama sepertiku? Bertubi-tubi pula persoalan yang bersarang di fikiranku.
 “Jom Natrah mari kita makan!” kecil suara yang keluar dari mulut Siti.
Aku dilayan seperti tetamu. Biarpun umurku sebaya dengan anaknya Siti, 12 tahun. Aku sudah lama tidak merasai suasana begitu. Makan bersama-sama. Aku punyai ibu. Aku punyai bapa. Masing-masing sibuk dengan kerja masing-masing. Kadang-kadang jarang sekali aku dapat bertemu dengan mereka. Apabila aku pulang ke sekolah mereka belum lagi pulang. Apabila mereka pulang aku pula sudah tidur.
“Maaflah Natrah. Ini saja lauk yang ada.” Mengapa setiap kali Zainab meminta maaf aku merasakan suara hati itu begitu tulus sekali. Aku memandang lauk-lauk di hadapanku. Cuma yang ada ikan goreng, sayur goreng dan kicap. Sebelum kami menikmati hidangan yang serba sederhana itu Zamri membaca doa makan.
“Abang dah telefon ayah Natrah. Katakan yang Natrah balik lewat sikit.” Aku tidak menyuruhnya. Tetapi lelaki itu merasakan dia bertanggungjawab. Walaupun sekejap di rumah lelaki itu aku dapat merasai erti kasih sayang yang terlalu mendalam.
Sejurus selepas makan abang Zamri menghantarku pulang. Sesampai sahaja di rumah kira-kira pukul 7.00 petang kereta Waja belum lagi berada di halaman rumah. Jikalau ku tahu itulah keadaannya mahu sahaja aku duduk di rumah abang Zamri sampai ke malam.

Isnin, 19 Disember 2011

Kebesaran Tuhan


Walaupun gerhana bulan penuh ini telah seminggu lebih berlalu saya rasa tidak terlambat untuk saya kongsikan gambar yang saya ambil sendiri ini. Kebesaran Tuhan ini bukan sahaja untuk dilihat pada hari kejadian sahaja malah perlu dihayati sampai bila-bila. Tiada alat untuk membelah atau membahagi-bahagikan bulan itu. Hanya kuasa-Nya mampu melakukannya. Lihatlah fasa-fasa yang telah berlaku.



Kebesaran inilah membawa kepada keinsafan. Tuhan itu Maha Menjadikan Maha Menghapuskan (Menyembuhkan). Kata-Nya Kun Fa Ya Kun.

Sabtu, 17 Disember 2011

Nikmat Sepotong Kasih


Cerpen ini merupakan cerpen kedua saya yang tersiar di Mingguan Warta Perdana bagi edisi 11 Disember 2011. Terima kasih diucapkan kepada editor MWP yang sudi menyiarkan cerpen tersebut. Terima kasih juga kepada Effa yang memberitahu saya bahawa Nikmat Sepotong Kasih tersiar di MWP (Effa juga telah mengirimkan foto cerpen ini kepada saya). Berikut adalah petikan daripada cerpen tersebut.

Aku menggalas beg yang terisi buku-buku latihan dan buku-buku teks di belakangku. Badanku membongkok sedikit. Kakiku menghala ke pintu pagar sekolah. Kereta Waja putih tidak kelihatan. Aku mencari bangku duduk. Pelajar lain sudah pulang. Jam di tangan sudah pun menunjukkan pukul 3.00 petang. Barangkali mereka sudah berehat bersama keluarga sambil makan tengah hari.
Aku terpaksa menunggu dan terus menunggu. Rutin menunggu sudah terbiasa bagiku. Tiap-tiap hari aku terpaksa menunggu kereta Waja putih. Selagi kereta Waja itu tidak menjemputku aku tidak dibenarkan mengikut sesiapa untuk pulang ke rumah. Kadang-kadang penantian itu satu penyiksaan.
Kenderaan bertali arus melintasi hadapanku yang menghadap jalan raya. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Masih tidak menampakkan kereta ayahku. Aku duduk diam-diam. Bagi menghiburkan hatiku aku menyanyikan sebuah lagu. Lirik lagu itu begitu terkesan di hatiku. Pernahkah kau bermimpi/ seketika berada di tempatku/ membayangkan.… Dalam dengar tak dengar deria dengarku menangkap sebuah enjin motosikal yang mendekatiku. Aku berhenti bernyanyi. Aku melihat di kawasan sekolah. Pak Salleh tidak kelihatan. Sekiranya berlaku apa-apa kepadaku dengan siapa aku mahu minta tolong. Cikgu-cikgu sudah pulang. Aku perhati lelaki itu. Lelaki itu membuka topi keledarnya. Dia memandang tepat ke arahku. Hatiku bingkas curiga. Ketakutan melamar diriku.
 “Natrah binti Sulaiman kan? Ayah adik tidak dapat menjemput adik. Dia suruh abang jemput. Jomlah naik!” Lelaki itu seperti memujuk. Aku keliru. Bagaimana dia tahu namaku. Juga nama ayahku. Aku merasakan dia mahu menipuku. Dia sudah melihat tag nama yang melekat di bajuku ini mungkin.
“Adik jangan risau. Abang bukan orang jahat. Jom!”
Aku panjat motosikal EX5nya. Dia menyuakan aku topi keledar. Keselamatanku dititikberatnya. Aku merasa selamat menaiki motosikalnya. Aku meluncur laju di atas jalan raya bersama lelaki yang tidak kukenali. Cuma atas dasar permintaan ayahku suruhnya menjemput aku gagahi juga. Dalam masa yang sama aku merasakan ayahku seorang yang pentingkan diri sendiri. Dia lebih pentingkan kerjanya daripada anak sendiri. Itukah tuntutan semasa aku dewasa nanti? Berkejaran mengumpul harta. Ah, aku masih kecil! Tidak perlu merumitkan kepala untuk memikirkannya.
“Abang nak bawa saya ke mana?” Aku bertanya selepas merasakan lelaki itu menuju arah yang salah. Ternyata lelaki itu bukanlah lelaki yang baik. Sangkaan aku betul. Lelaki itu mahu menculikku. Ketika itu aku mahu melompat daripada motosikalnya. Biar dia tahu aku bukanlah kanak-kanak yang boleh dipermainkan. Boleh diculik sesuka hati. Kalau dia melawan. Aku akan melawannya kembali. Sekiranya perlu aku akan membuka bunga-bunga silat gayung yang aku pelajari di sekolah.
*Ikuti kisah ini dan ketahui adakah Natrah diculik atau sebaliknya dalam Mingguan Warta Perdana. 

Khamis, 15 Disember 2011

Adinda Sang Kekasih

Alhamdulillah masih ada puisi saya yang disiarkan di majalah Jelita edisi Disember 2011. Kali terakhir karya saya tersiar di Jelita adalah cerpen Haruan di Pinggir Sawah pada bulan Mei 2011.

Semasa saya hendak pulang ke Alor Setar, Kedah pada bulan November lalu saya mengambil bas di Pudu Sentral (dulu Pudu Raya). Sementara waktu pelepasan pada jam 9.00 pagi saya bersiar-siar dahulu di kawasan dalam Pudu Sentral itu yang ternyata betul-betul berubah benar. Bukan sahaja dilengkapi pendingin hawa juga suasana yang cukup kondusif. Saya singgah di kedai yang menjual majalah. Saya belek-belek sama ada karya saya tersiar ataupun tidak. Majalah yang belum saya jumpa sebelum ini adalah Jelita. Setelah melihat Jelita Disember 2011 sudah terbit dan ada dijual di situ saya mengambilnya. Lantas halaman puisi dan cerpen menjadi keutamaan untuk saya lihat. 

Alangkah gembiranya apabila puisi saya berjudul Adinda Sang Kekasih tersiar. Namun ada nada kecewa sedikit kerana nama saya Mohd sudah hilang entah ke mana. Yang tinggal Helmi Ahmad. Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana tidak menjejaskan apa-apa kandungan puisi saya. Terima kasih kepada editor Jelita. Terima kasih juga yang sudi membacanya.

Rabu, 14 Disember 2011

Yang di-Pertuan Agong ke 14

Sultan Abdul Halim Bersama Sultanah Hamimah Hamidun

Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah atas pertabalan Sultan Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 14. Seperti yang sedia maklum Sultan Abdul Halim yang menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 14. Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke 14.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan raja-raja Melayu untuk tempoh lima tahun. Sistem ini merupakan satu-satunya sistem seumpama itu yang diamalkan di dunia.

Sultan Abdul Halim pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima bagi tempoh 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975. Daulat Tuanku.

Selasa, 13 Disember 2011

Cerpen Pertama Tersiar di Media

Apabila seseorang 'penulis' ditanya sudah berapa lama menulis sudah pasti tarikh itu dikira daripada tarikh pertama karya sama ada puisi, cerpen atau apa-apa sahaja genre yang ditekuni tersiar di media. Tetapi bagi saya walaupun cerpen pertama tersiar di media-HARMONI pada tahun 2008 saya tetap mengatakan saya mula terlibat dalam dunia penulisan terutama cerpen pada tahun 2010. Hal ini kerana sejak cerpen pertama saya tersiar pada tahun 2008, selepas itu karya saya bergenre cerpen tidak pernah tersiar lagi di media. Bukan apa kerana saya tidak lagi menulis dan menghantarnya ke media. 

Pada tahun 2008 adalah tahun pengajian saya di UPM. Kebarangkalian cerpen itu tersiar secara tidak sengaja. Walaupun pada masa itu saya mengambil kursus penulisan kreatif sebagai minor. Inilah kenangan bersama Nyanyuk Si Mentua yang saya hasilkan atas desakan semangat melihat karya rakan saya Normaizura Md Zin menerusi cerpen Beranda. Semasa mengikuti kursus penglahiran bakat Dr. Lim Swee Tin telah membuat salinan cerpen ini dan diedarkan kepada pelajarnya untuk sama-sama menganalisis cerpen ini. Menerusi cerpen inilah Normaizura telah memenangi hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobel 2008. Secara tidak langsung cerpen ini telah membuka ruang kepada saya untuk cuba menulis cerpen. Ketika itu saya hanya menggunakan pos untuk menghantar cerpen. 

Sebenarnya cerpen ini pernah dibaca oleh beberapa rakan saya sebelum saya hantar ke HARMONI. Selepas membuat beberapa pengeditan akhirnya saya menghantarnya. Selepas itu saya tidak pernah menyemaknya sama ada tersiar ataupun tidak. Setelah sebulan atau dua bulan selepas itu saya menerima cek daripada Utusan Karya yang berharga RM 100. Betapa terkejutnya saya. Selepas membaca butiran yang tercatat cerpen Nyanyuk Si Mentua saya telah tersiar. Namun saya agak terkilan kerana saya terlepas untuk membelinya untuk simpanan. 

Kemudian saya menceritakan perkara ini kepada Normaizura. Betapa Allah itu maha Besar apabila Normaizura ini mengatakan bahawa dia pernah terbaca kisah seperti yang saya ceritakan kepadanya. Setelah Normaizura pulang ke kampung dia membawa HARMONI kepada saya. Perasaan saya ketika itu sangat gembira kerana dapat juga saya menatap karya pertama saya di media. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Normaizura Md Zin. 

Cerpen kedua saya tersiar adalah pada tahun 2010. Betapa jarak senggang itu entah ke mana saya menghilang. Jadi saya katakan saya menulis cerpen pada tahun 2010. Semenjak 2010 alhamdulillah karya-karya saya diberi peluang untuk menemui pembaca di pelbagai majalah dan surat khabar.
 



*Kepada sesiapa yang pernah membaca cerpen ini saya ucapkan terima kasih. Dan yang hendak memberi komen silakan. Harap komen yang membina.

Ahad, 11 Disember 2011

Sebongkah Batu di Kuala Berang diharamkan JAKIM

Inilah novel terbaru Faisal Tehrani (Dr.) terbitan PTS tahun 2011 yang berharga RM 16.50. Saya terpaksa memesan buku ini di POPULAR Alor Setar, Kedah. Kalau tak salah mengambil masa satu bulan sebelum sampai ke tangan saya pada bulan Ogos 2011 lalu. 

Novel ini mengandungi nilai-nilai moral Islami yang menjadikan pelajar-pelajar Akademi Seni Islam sebagai penggerak wacana yang hendak disampaikan pengarang. Kisah kedatangan Islam disampaikan dengan teliti menerusi kajian yang dijalankan. Kadangkala pengarang bijak menyelitkan lelucon yang tidak kurang lucunya dan kadangkala sinis dalam kelembutan satiranya. Ia bukan sahaja kisah kedatangan Islam tetapi mencakupi dunia perfileman negara. 

Pada muka surat 28 dan 29 dipetik beberapa rangkap ceritanya:

    "Kita lihat satu persatu senarai ini ya." Prof Ramlah mencapai pensel bermata tajam dari bekasnya dan menyelak helaian-helaian kertas projek filem dokumentari-drama di atas meja.

    "Sharifah Ezzati untuk bawa watak anak perempuan mubaligh?"

    Sofea menahan ketawa, menyinggung Sharifah yang ikut menahan tawa daripada meledak.

    Prof Ramlah mengangkat muka memandang Syarifah. "Awak sekiranya berlakon, lebih baik daripada Sharifah Ezzati. Saya dengar berbagai-bagai cerita tidak elok berkenaan artis ini. Bukankah dia yang mengeluarkan kenyataan kontroversi, 'saya rasa seperti bodoh makan cencaluk dan rasa lebih standard apabila makan spageti' ketika menang anugerah pelakon terbaik untuk filem Budu dahulu? Dia dahulu mempertahankan cara berpakaian seksi dengan mengatakan, perempuan Melayu sudah lama tahu berkemban. Bukan dia?"

"Ketawa pula. Jangan main-main ya. Projek ini penting. Dia juga yang buat kenyataan dalam media hiburan yang sekiranya mahu filem Melayu mendapat tempat di Cannes ataupun Venice, maka artis tanah air perlu berani telanjang di layar perak, bukan?" Prof. Ramlah membentak.

Prof. Ramlah mengomel, "Awak perlu ingat yang kerja bikin filem ini adalah kerja ibadah. Malah apa sahaja tindak-tanduk kita, tidak terlepas sedikit pun daripada ibadah kerana Allah berfirman menerusi surah adz Dzariyat, ayat 56: Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepadaKu." (ms 29)

Saya rasa bahagian ini bukanlah yang menyebabkan novel ini diharamkan tetapi dikatakan ada bahagian yang 'menyeleweng.' Sebelum membuat sebarang tanggapan dan spekulasi baik anda membacanya dulu. Itupun kalau masih ada di pasaran. Saya kira ini bukan satu promosi tetapi satu .......... Anda boleh menyambungnya sendiri. Anda boleh membaca dan menyemak senarai buku yang diharamkan JAKIM. http://themalaysianreader.com/

Jumaat, 9 Disember 2011

Berdiri di Atas Kaki Sendiri

Tatkala menatap puisi ini, hati menjadi riang, senyum melebar terasa tidak sabar-sabar untuk menulis puisi lagi dan menghantarnya ke media. Itulah saat-saat saya merasai kegembiraan meraikan puisi pertama saya tersiar di media cetak. 

Puisi ini saya hantar ke akhbar Bacaria pada bulan Oktober 2008 dan tersiar pada bulan Januari 2009. Puisi ini saya hasilkan semasa menuntut di UPM.

Setelah saya menghantarnya menggunakan pos saya tidak menyemak media tersebut. Hingga rakan saya Normaizura menelefon saya mengatakan "Ada tak puisi hang berjudul Berdiri di atas Kaki Sendiri?" lebih kurang begitulah. "Puisi hang terbit dalam Bacaria", katanya. Saya seperti tidak percaya. "Takpa nanti aku bawa balik keratan puisi tu, aku bagi dekat hang." Normaizura banyak memberi galakan kepada saya di awal pembabitan saya  menulis. Terima kasih saya ucapkan. 

Selepas itu Normaizura ini  bawa  keratan puisi itu ke dalam kelas. Betapa malunya saya apabila beberapa rakan saya tahu yang puisi saya tersiar di media. Orang kata malu-malu kucing.

Puisi ini masih mentah dan banyak kelemahannya. Walau bagaimanapun saya tetap berbangga. Puisi inilah yang mengerakkan saya untuk terus menulis. Walaupun saya lebih minat terhadap genre cerpen tetapi hingga kini kuantiti puisi saya melebihi kuantiti cerpen yang tersiar di media.

Khamis, 8 Disember 2011

Antara Tanggungjawab dan Wang

Pernahkah anda membaca Kumpulan cerpen Antara Dua Deru, karya Sasterawan Negara Arena Wati? Rugi saya katakan sekiranya anda tidak membacanya. Kumpulan cerpen ini bukan sahaja kumpulan cerpen yang mengisikan cerita sahaja namun di dalamnya dibumbui dengan falsafah. Anda perlu teliti mengikuti setiap dialog atau perkataan yang tercatat dalam cerpen tersebut. Saya tertarik dengan cerpen yang berjudul KALI INI ISTERIKU MOGOK

Pertama kali saya membaca judul cerpen ini seperti membayangkan bahawa seorang isteri yang mogok (merajuk) barangkali tak dapat sesuatu yang diingini. Namun tanggapan itu lebih luas malah meleset sama sekali. MOGOK itu membawa erti yang cukup matang, menuntut perjuangan dan bukannya MOGOK yang hanya hanyut dalam perasaan yang cemburu kerana suami bermain kayu tiga.

Jika anda menjadi seorang penulis anda harus membaca cerpen ini. Di dalam cerpen ini tercatat antara suka duka, liku-liku yang ditempuhi oleh seorang yang bergelar penulis.


Beberapa dialog yang mengandungi falsafah antaranya saya perturunkan di bawah:

1. Aku mengarang bukan mahu digelar tuan pengarang. Tetapi aku mengarang dengan tujuan menunaikan kewajipan. Kalau mati habislah kewajipan.

2. Hai, Ramlah! Pengarang tidak perlukan muka cantik. Yang perlu ialah membuktikan kepada masyarakat sesuatu perkara dengan sejelas-jelasnya.

3. Sama saja, di mana-mana pun wang. Di mana-mana pengarang cari wang selain daripada awak 'ni! Jangan bodoh sangat beri karangan percuma saja. Yang untung ialah penerbitnya. Pengarangnya cuma nama.

4. Inikah pengorbanan pejuang bahasa? Atau, pengorbanankah itu kalau isteri mogok kerana karangan?

5. Cuma kuharapkan, jangan hendaknya tulang-tulangku dijadikan batu bata untuk gedung kesenangan yang menggunakan kesempatan dalam perkembangan bahasa Melayu, dan semoga tidaklah air mataku ini dijadikan air minum untuk kemawahan mereka.

*Benarkah penulis yang menulis tidak langsung hiraukan tentang bayaran atau wang. 
Masihkah ada penulis seperti yang dimaksudkan dalam cerpen ini yang menulis bukan kerana wang. 
Terpulanglah kepada penulis-penulis di luar bagaimaan mahu mentafsirnya ADAKAH ANDA MENULIS KERANA WANG ATAU TANGGUNGJAWAB.

Selasa, 6 Disember 2011

Mengejar Sarjana Muda

Untuk sekadar rekod saya akan kongsikan cerpen saya yang disiarkan di majalah Perempuan edisi Oktober 2011. Cerpen ini merupakan cerpen pertama saya yang tersiar di majalah Perempuan. Dengan judulnya Mengejar Sarjana Muda.

Sebenarnya ada kisah di sebalik penghasilan cerpen ini. Cerpen ini bukanlah kali pertama saya hasilkan untuk di hantar ke majalah Perempuan. Tetapi saya telah mencuba menghantarnya ke beberapa buah majalah yang lain. Saya kira tidak usahlah saya menyebutnya. Namun hasilnya tetap hampa. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyimpannya buat sementara waktu. Selepas itu saya baca kembali dan membuat pengeditan mana yang patut dan akhirnya saya kirimkan ke majalah Perempuan. Kalau tak salah saya cerpen ini dikirimkan pada bulan Ogos dan bulan Oktober disiarkan. Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada sidang Editor majalah Perempuan yang memberi peluang untuk cerpen ini dikongsikan dengan pembaca di luar.



Kepada penulis-penulis baru usahlah cepat melenting apabila karya yang dihantar tidak tersiar. Semua itu adalah lumrah dalam dunia penulisan. Anggaplah ia sebagai cabaran untuk terus berusaha lebih gigih. Kerana setiap kali karya kita tidak tersiar berkali-kali pula kita berusaha menghasilkan karya yang lebih bermutu. 

Saya akui proses penulisan kadang kala amat kejam tetapi saya tidak nafikan kadangkala sangat mengejut dan tidak disangka-sangka. Semoga berjaya saya ucapkan kepada diri sendiri dan angkatan penulis baharu.

Ahad, 4 Disember 2011

Puisi Malam Hari Lahir


Puisi Malam Hari Lahir

Segeluk doa kutadah nan malam
berteman sejadah sunyi malam hening
sujudku merendah pada-Mu
yang Setingg-tingginya.

Kuhantarkan sejambak mawar
rangkulan seribu ratib membaca kebesaranMu
atas pemberian hadiah hari lahirku
yang Maha Besarnya
(aliran nadi denyutan nafas
sekeping roh sekepal jasad)
masih kau pinjamkan padaku.

Ya Allah
munajat usia perjuangan hidupku ini
demi keredaaan-Mu.
Dengan nama pemurah-Mu kupinjamkan
luruhkanlah segala dosa-dosaku
bagaikan dedaun di musim gugur.
Berkatilah segala amalanku
bagaikan timbunan pepasir di tepian pantai.
Murahkanlah rezekiku
bagaikan curahan air
yang dicencang tak putus-putus.
Sejahteralah hidupku
lindungilah aku dari segala anasir
yang mengoda imanku
membawaku ke lembah kemungkaran-Mu.

Ya Rabbi
jadikanlah aku hamba yang taat pada perintah-Mu
menjauhkan segala larangan-Mu
jadikanlah aku hamba yang kenal ihsan
jadikanlah aku hamba yang kenal tawakal
jadikanlah aku hamba yang kenal tawaduk
jadilah aku hamba yang kenal kesyukuran.

Aku tidak mahu masuk
menerusi pintu neraka Jahanam-Mu
yang panas membara.
Tunjukkanlah aku ke jalan pintu
syurga Firdaus-Mu.
Amin ya Rabbal alamin.

11.40pm
3/12/2011
Kampung Padang Jambu.

Jumaat, 2 Disember 2011

Tamat Sudah Kemasyhuran Jajahan Teratai


Tamat Sudah Kemasyhuran Jajahan Teratai

Sebuah kolam masyhur dengan teratai
membiak melata berbunga subur
tanpa akar yang berpijak di bumi
terjuntai-juntai di dasar kolam.

Bunganya terus mekar menawan
daunnya lebar menapak
pucuknya menjulang-julang
menawan kawasan
tanpa memberipun sedikit
untuk keman air
kangkong
kiambang
dari bertapak.

Pabila itik-itik terlepas dari kurungan sangkar tuannya
teratailah bunganya yang merah sekali
menjadi terpaan itik-itik menyudu
mematuk setiap kelopaknya
daunnya
hingga akar-akarnya sekali
menjadi mangsa.

Terbiarlah tumbuhan lain
beriak ke tepi kolam
melihat
bahawa itulah balasan
pabila hidup bertumpang
tapi tak bersatu
hidup melata
tapi tak kukuh
hidup teratai hanya sia-sia
menjadi boneka kecantikan
untuk tontotan sekalian makhluk.

Kampung Padang Jambu.
*Puisi ini disiarkan di Tunas Cipta November 2011

Hingga ke hari ini sudah masuk bulan Disember saya belum dapat menatap puisi ini di Tunas Cipta. Saya ada mencarinya di kedai buku. Tapi bila ditanya kata penjual itu belum sampai dan dia pun tidak pasti bila akan sampai.   

Rabu, 30 November 2011

Mendekati Seni Penulisan Kreatif -Lim Swee Tin

Seandainya anda bercita-cita mahu menjadi penulis. Seandainya anda tergerak hati untuk menjadi seorang penulis seperti idola anda. Anda tidak tahu bagaimana caranya. Anda perlu memiliki buku ini. Mendekati Seni Penulisan Kreatif tulisan Lim Sween Tin (sekadar cadangan). Seorang penulis bukan Melayu yang cukup hebat dan prolifik di dunia penulisan kreatif.

Buku ini berharga RM 20.00, terbitan Citra Kurnia, cetakan pertama pada tahun 2008. Saya membelinya di KUPUTRA koperasi UPM.

Berikut merupakan petikan yang ditulis oleh penerbit akan buku ini. "Buku ini ialah sebuah buku tentang  bimbingan penulisan kreatif dalam genre puisi dan cerpen. Akan tetapi pendekatan yang digunakan dalam penulisan amat berbeza daripada yang dilakukan orang sebelum ini. Membacanya akan membuatkan anda berasa begitu santai sekali. Jikalau anda menggunakannnya secara proaktif percayalah buku ini akan sangat membantu."

Setelah membacanya saya mengakui buku ini mempunyai ramuan yang cukup kepada bakal penulis. Dengan gaya bahasa yang menarik, ringkas dan mudah difahami. Pengarang menggunakan watak An untuk  bahagian puisi dan Lia untuk bahagian cerpen. An dan Lia akan membawa anda mengembara dalam dunia masing-masing. Segala persoalan yang dihadapi oleh bakal penulis akan dilontarkan oleh mereka berdua ini. Media perantara adalah emel. Bentuk penceritaan begini dilihat lebih efektif kerana setiap persoalan dihuraikan serta diberikan contoh yang relevan. Pengarang cuba melatih An untuk menulis puisi dari peringkat awal bermula dengan teknik 'Bermain dengan Kata-kata, Dari Kata kepada Baris' dan seterusnya. Begitu juga dengan bahagian cerpen pengarang cuba membimbing Lia tentang apa itu cerpen, bagaimana mendapatkan idea, sudut pandangan, teknik, watak dan sebagainya.

Apa yang menambahkan keistimewaan kepada buku ini dan mengapa harus anda mendapatkannya adalah kerana di bahagian lampiran belakang ada contoh surat lampiran dan alamat penerbit.  Sebenarnya sampai sekarang saya menyimpan dan menggunakan panduan yang diberikan oleh Prof Madya Dr Lim Swee Tin yang juga merupakan pensyarah saya semasa di UPM dahulu.

Di sini saya perturunkan contoh surat lampiran itu.

Alamat sendiri...........................,
................................................,
..................................................

Alamat penerbit..........................,
...................................................,
...............................................,                                        Tarikh surat

Tuan,

Sajak/Cerpen:1....................................
                        2.....................................

Dengan hormatnya disertakan sajak /cerpen berjudul di atas untuk perhatian dan pertimbangan seterusnya jika bersesuaian dapatlah kiranya dimuatkan dalam ruangan puisi majalah kelolaan tuan. Karya ini asli ciptaan saya, dan belum pernah dikirimkan ke mana-mana media penerbitan.

Atas perhatian dan pertimbangan tuan itu saya dahului dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga.

Sekian.
Salam takzim,


                  tandatangan
(NAMA DENGAN HURUF BESAR)
K/P:XXXXXX 0X XXXX
No Akaun GIRO: XXXXXXXXXXXXXXXX

Sebelum itu izinkan saya memetik beberapa ungkapan yang baik untuk dihayati bersama.
"Penulisan, apalagi penulisan kreatif adalah kerja yang serius, membebel atau melepas geram tidak menentu bukanlah kerja yang terpuji." 

Saya kira cukuplah sekadar ini dahulu. 

(Nota: Alhamdulillah, urusan pemeriksaan kesihatan saya telah selesai dan selamat, tunggu masa untuk diposkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia.)

Selasa, 29 November 2011

Kawal Diri

Hari ini dah masuk hari yang ketujuh saya ke Klinik Kesihatan Simpang Empat untuk pemeriksaan tekanan darah. Semalam catatan yang direkodkan 140/80 mmhg. Sebelumnya juga begitu 140/80mmhg. Hari ini ingatkan boleh  menurun, rupa-rupanya lagi naik 144/88 mmhg. 

Tak tahulah di mana silapnya. Saya dapat rasakan saya tidak dapat kawal diri semasa pemeriksaan dilakukan. Bukan disebabkan penyakit darah tinggi. Walaupun ibu saya mengidap penyakit darah tinggi. 

Pembantu perubatan itu menasihati saya untuk berjumpa doktor kali terakhir esok untuk mengambil keputusan ujian air kencing supaya memberitahu bahawa saya selalu gemuruh dan tidak dapat kawal diri. Nanti bolehlah mereka mengambil kira faktor itu sama. Kalau tidak saya risau keputusan pemeriksaan saya akan tersangkut. 

"Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Tenangkan hatiku, fikiranku supaya segala-galanya berjalan dengan lancar."

Isnin, 28 November 2011

Godaan Nafsu

Walaupun buku-buku yang baru dibeli dalam bulan ini juga belum habis lagi membacanya saya sudah membelinya lagi. Entahlah, seolah-olah saya tidak tahan dengan godaan nafsu. Nafsu untuk mendapatkan buku-buku kreatif ini sangat membara.

Senarai buku yang berjaya digeledah:-
1. Seorang Tua di Kaki Gunung -Azizi Haji Abdullah
2. Pertiwi -Azizi Haji Abdullah
3. Beberapa Pembetulan - S. Othman Kelantan
4. Menganyam Pelangi - Rejab F.I
5. Meniti Kala - Arena Wati
6. Sandera - Arena Wati
7. Mevrouw Toga - Arena Wati
8. Penjara Waktu - Abdullah Tahir
9. Bintang Mengerdip - Susunan Dharmawijaya
10. Opera - T. Alias Taib
11. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur - Keris Mas 
12. Dewan Sastera

Boleh dikatakan buku-buku ini cetakan lama. Kesemuanya mendapat diskaun yang sangat luar biasa. Sebenarnya buku-buku ini 'dilonggok' di tepi berdekatan pintu masuk. Sememangnya bukan untuk promosi tetapi disebabkan rak-rak buku telah dipenuhi buku baru. Jadi buku-buku lama ini terpaksa diketepikan. 


Kepada yang tinggal di Kedah, Alor Setar, Tandop, Simpang Kuala dan kawasan yang sama waktu dengannya bolehlah mengunjungi Toko Buku Cahaya Baru yang berada di Jalan Langgar. Di sini mempunyai banyak koleksi karya yang baik dan bermutu. Sememangnya anda akan berpuas hati.

Buku yang sempat digeledah
Koleksi Arena Wati
Kumpulan Cerpen S. Othamn Kelantan dan Rejab F.I
Kumpulan Puisi dan Novel Keris Mas
Dewan Sastera Edisi Januari 2008 dan Julai 2006

Azizi Haji Abdullah (Allahyarham) 

Ahad, 27 November 2011

Selamat Menyambut Awal Muharram

Selamat menyambut Awal Muharram / Maal Hijrah 1433
kepada seluruh Umat Islam di dunia ini.
Berhijrahlah kepada kebaikan.

Jumaat, 25 November 2011

Lelaki Dari Dhaka

Mingguan Warta Perdana
Edisi 27 November 2011

Ini merupakan percubaan kedua saya menghantar cerpen ke Mingguan Warta Perdana. Alhamdulillah, diterima. Terima kasih saya ucapkan kepada editor. Dan tidak dilupakan juga kepada Effa (Nurul Farehah Jaamad) yang memberi sokongan.


Sebenarnya cerpen ini sudah lama dihasilkan. Setelah mengeditnya berkali-kali untuk menyesuaikan dengan kehendak editor yang mahukan karya yang dihantar tidak melebihi 30 hingga 40 perenggan atau lima kertas A4. 


Sememangnya agak sukar kerana cerpen ini melebihi kehendak itu. Walau bagaimanapun saya cuba membuang selumbar yang kadang-kadang menganggu. Mengetam duri-duri yang hadirnya tidak membantu. Unsur-unsur lewah dan berlebihan saya tarah. Dan akhirnya hasilnya inilah. 


Anda boleh membacanya di akhbar Mingguan Warta Perdana edisi 27 November 2011. Anda jangan pula terkejut kerana tarikhnya belum tiba tetapi cerpenya sudah tersiar. Sebenarnya Mingguan Warta Perdana terbit awal seminggu. Selamat membaca.

Khamis, 24 November 2011

Malu Bertanya Sesat Jalan

Masih relevan lagikah pepatah ini, Malu Bertanya Sesat Jalan????? Yang nak dijadikan cerita dua hari lepas saya ke sebuah Klinik.... untuk melakukan Pemeriksaan Kesihatan. Selepas selesai mengisi borang dan melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk timbang berat, ukur tinggi dan periksa tekanan darah saya dikehendaki naik ke tingkat 1 untuk ke makmal bagi pemeriksaan air kencing. Selepas itu saya pun naiklah.

Sebelum ini saya tidak pernah pun ke klinik ini (dahulunya Hospital Besar tapi dah berpindah setelah hospital baru siap dibina). Apabila saya naik, terdapat beberapa kaunter di situ. Saya pun kurang pasti kaunter yang mana satu. Saya pun bertanyalah. Sebelum itu bagi salam dulu. Seorang jururawat di situ yang boleh dikatakan sudah 40 tahun usianya pun menjawab. "Encik jalan terus, belok ke kiri." Lebih kurang macam itulah. Selepas saya pusing saja belakang. Terdengarlah suara-suara sumbang. "Eshy.... tak baca ke papan tanda." Ketika itu saya merasakan saya ini seperti buta huruf. Sampaikan jururawat itu boleh berkata begitu. 

Saya pun mengucapkan terima kasih. Entah di dengarnya ataupun tidak. Wajahnya tetap sama (masam). Tak tahulah kalau begitu asal muasalnya. Saya berjalan mengikut arah yang ditunjukkan jururawat sebentar tadi. Ya, papan tandanya ada di dinding. Tapi tulisannya agak kecil. Dari jauh memang kurang jelas. 

Saya tertanya juga kalau orang yang lebih tua daripada saya bagaimana dia mahu melihat tulisan itu. 

Akhirnya sampai juga ke makmal. Setelah selesai dan saya akan menanti keputusan ujian air kencing yang akan keluar pada 30 haribulan November nanti. Dan selepas itu akan diteruskan dengan X-ray.

Rabu, 23 November 2011

Bunga Sejambak di Konvokesyen

Puisi ini merupakan puisi kedua saya yang disiarkan 
di Harian Metro
Saya rasa semua orang yang pernah bergelar pelajar menantikan saat-saat ini, iaitu konvokesyen. Masa inilah segala suka duka bercambah. Segala penat lelah berbalas. Segala budi meranum. Bunga sejambak hanyalah tanda penghargaan. Tidak lebih daripada apa-apapun. Pada graduan janganlah berduka cita seandainya bunga yang diidam-idamkan tidak dapat didakap. Pada ibu bapa pula usahlah merasa berkecil hati seandainya bunga sejambak itu tidak dapat diraih. Kerana kehadiranmu pada hari yang penuh sejarah itu adalah hadiah yang lebih bermakna.

Selasa, 22 November 2011

Selamat Bercuti-Balik Kampung

Sesi persekolahan baru saja berlabuh. Pejam celik, pejam celik sudah hampir sampai ke akhir tahun. Cuti kali ini saya pulang ke kampung. Setelah Hari Raya Aidiladha lalu saya tidak berkesempatan pulang. Namun dalam masa bercuti ini saya terpaksa menguruskan beberapa perkara. Hal ini berkaitan dengan tawaran pelantikan saya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah. Walau bagaimanapun saya telah menyelesaikan beberapa proses yang perlu saya lakukan seperti Akuan Sumpah, Surat Akuan Janji dan Tapisan Keselamatan. Cuma yang belum selesai adalah pemeriksaan kesihatan dan X-ray. Setelah itu saya perlu menghantar segala dokumen yang telah siap diuruskan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dalam masa 60 hari dari tarikh arahan lapor diri iaitu 20 Oktober 2011 lalu. Maknanya sebelum 20 Disember segalanya sudah selesai. Harap-harap dipermudahkan-Nya.

Dikesempatan ini saya mengucapkan selamat bercuti kepada murid-murid dan guru-guru di SJK (C) Choong Chee dan kepada sesiapa saja yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam dunia perguruan.

Khamis, 17 November 2011

Bila Kejayaan yang Digapai

Hari ini keputusan UPSR diumumkan. Tahniah kepada murid yang telah berjaya setelah berusaha bersungguh-sungguh. Setiap pengorbanan itu ada balasannya. Yang kurang berjaya jangan mudah putus asa. Masih ada masa untuk membuktikan bahawa anda boleh berjaya seperti orang lain.

Namun, dalam kita meraikan kejayaan itu jangan lupa mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang banyak bertungkus-lumus mencurahkan segala ilmu. Di samping ibu bapa yang banyak memberi sokongan, kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang telibat secara langsung ataupun tidak. Bagi yang beragama Islam sujudlah kesyukuran  kepada Allah SWT.

Hari ini juga  pengarang terkenal S.M. Zakir yang berwibawa telah diangkat menerima Anugerah  Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2011. Tahniah diucapkan.

Penerima Anugerah Penulisan Sea (Malaysia)

* SN Datuk (Dr) A Samad Said (1979)
* Datuk (Dr) Baharuddin Zainal (1980)
* SN Datuk Abdullah Hussein (1981)
* SN Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang (1982)
* Adibah Amin (1983)
* A Latiff Mohidin (1984)
* SN Allahyarham Arena Wati (1985)
* Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (1986)
* SN Datuk Noordin Hassan (1987)
* Azizi Abdullah (1988)
* Dr Siti Zainon Ismail (1989)
* SN Allahyarham Dr Syed Othman Syed Omar (1990)
* Allahyarham Yahya Husin (Jihaty Abadi) (1991)
* Ismail Abbas (1992)
* Allahyarham Kamaruzzaman Abdul Kadir (1993)
* Prof Dr A Wahab Ali (1994)
* Suhaimi Muhammad (1995)
* Zaharah Nawawi (1996)
* Prof Dr Muhammad Salleh (1997)
* Allahyarham Dr Othman Puteh (1998)
* Khadijah Hashim (1999)
* Dr Lim Swee Tin (2000)
* Zakaria Ariffin (2001)
* SN Datuk Dr Anwar Ridhwan (2002)
* Prof Dr Zakaria Ali (2003)
* Dr Zurinah Hassan (2004)
* Abdul Ghafar Ibrahim (2005)
* Jong Chian Lai (2006)
* Prof Madya Rahman Shaari (2007)
* Prof Dr Hatta Azad Khan (2008)
* Azmah Nordin (2009)
* Zaen Kasturi (2010)

(Sumber Berita Harian-17/11/2011)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78