Pengikut

Sabtu, 17 Disember 2011

Nikmat Sepotong Kasih


Cerpen ini merupakan cerpen kedua saya yang tersiar di Mingguan Warta Perdana bagi edisi 11 Disember 2011. Terima kasih diucapkan kepada editor MWP yang sudi menyiarkan cerpen tersebut. Terima kasih juga kepada Effa yang memberitahu saya bahawa Nikmat Sepotong Kasih tersiar di MWP (Effa juga telah mengirimkan foto cerpen ini kepada saya). Berikut adalah petikan daripada cerpen tersebut.

Aku menggalas beg yang terisi buku-buku latihan dan buku-buku teks di belakangku. Badanku membongkok sedikit. Kakiku menghala ke pintu pagar sekolah. Kereta Waja putih tidak kelihatan. Aku mencari bangku duduk. Pelajar lain sudah pulang. Jam di tangan sudah pun menunjukkan pukul 3.00 petang. Barangkali mereka sudah berehat bersama keluarga sambil makan tengah hari.
Aku terpaksa menunggu dan terus menunggu. Rutin menunggu sudah terbiasa bagiku. Tiap-tiap hari aku terpaksa menunggu kereta Waja putih. Selagi kereta Waja itu tidak menjemputku aku tidak dibenarkan mengikut sesiapa untuk pulang ke rumah. Kadang-kadang penantian itu satu penyiksaan.
Kenderaan bertali arus melintasi hadapanku yang menghadap jalan raya. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Masih tidak menampakkan kereta ayahku. Aku duduk diam-diam. Bagi menghiburkan hatiku aku menyanyikan sebuah lagu. Lirik lagu itu begitu terkesan di hatiku. Pernahkah kau bermimpi/ seketika berada di tempatku/ membayangkan.… Dalam dengar tak dengar deria dengarku menangkap sebuah enjin motosikal yang mendekatiku. Aku berhenti bernyanyi. Aku melihat di kawasan sekolah. Pak Salleh tidak kelihatan. Sekiranya berlaku apa-apa kepadaku dengan siapa aku mahu minta tolong. Cikgu-cikgu sudah pulang. Aku perhati lelaki itu. Lelaki itu membuka topi keledarnya. Dia memandang tepat ke arahku. Hatiku bingkas curiga. Ketakutan melamar diriku.
 “Natrah binti Sulaiman kan? Ayah adik tidak dapat menjemput adik. Dia suruh abang jemput. Jomlah naik!” Lelaki itu seperti memujuk. Aku keliru. Bagaimana dia tahu namaku. Juga nama ayahku. Aku merasakan dia mahu menipuku. Dia sudah melihat tag nama yang melekat di bajuku ini mungkin.
“Adik jangan risau. Abang bukan orang jahat. Jom!”
Aku panjat motosikal EX5nya. Dia menyuakan aku topi keledar. Keselamatanku dititikberatnya. Aku merasa selamat menaiki motosikalnya. Aku meluncur laju di atas jalan raya bersama lelaki yang tidak kukenali. Cuma atas dasar permintaan ayahku suruhnya menjemput aku gagahi juga. Dalam masa yang sama aku merasakan ayahku seorang yang pentingkan diri sendiri. Dia lebih pentingkan kerjanya daripada anak sendiri. Itukah tuntutan semasa aku dewasa nanti? Berkejaran mengumpul harta. Ah, aku masih kecil! Tidak perlu merumitkan kepala untuk memikirkannya.
“Abang nak bawa saya ke mana?” Aku bertanya selepas merasakan lelaki itu menuju arah yang salah. Ternyata lelaki itu bukanlah lelaki yang baik. Sangkaan aku betul. Lelaki itu mahu menculikku. Ketika itu aku mahu melompat daripada motosikalnya. Biar dia tahu aku bukanlah kanak-kanak yang boleh dipermainkan. Boleh diculik sesuka hati. Kalau dia melawan. Aku akan melawannya kembali. Sekiranya perlu aku akan membuka bunga-bunga silat gayung yang aku pelajari di sekolah.
*Ikuti kisah ini dan ketahui adakah Natrah diculik atau sebaliknya dalam Mingguan Warta Perdana. 

12 ulasan:

  1. hish!! geram.. sambung cepat!!!

    BalasPadam
  2. Saudara,

    semalam buka blog ini, kemudian nampak entri ini. Lekas-lekas ke kedai beli akhbar Perdana ini, dan menyelak halaman terdapatnya NIKMAT SEPOTONG KASIH.

    Alhamdulillah, selesai membaca.

    Tahniah, ya! ketika membaca dalam hati selalu berteka-teki, 'Natrah diculik atau tidak. Mula-mula nampak macam tak, kemudian macam ya... dan akhirnya begitu kisahnya.'

    Persoalan akhir ditinggalkan, adakah mesej yang saudara mahu sampaikan begitu? Maksud saya, membiarkan watak berfikir, untuk tidak mahu sayang kepada famili sendiri? atau bagaimana?

    Tahniah, ya. Mari menulis lagi... :)

    BalasPadam
  3. Terima kasih kepada hasni hanna. Nampaknya saudari bertuah kerana dapat membeli akhbar tersebut dan membacanya. Kerana akhbar ini terbit seminggu awal. Kalau tidak salah pada saat saya menulis komen ini sudah memasuki edisi 25 Disember 2011. Akhirnya berjaya juga saya memasukkan unsur suspen dalam karya saya.

    Persoalan itu biarlah pembaca yang mentafsirnya sendiri. Terpulanglah kepada pembaca sama ada mahu menyebelahi Natrah ataupun sebaliknya. Sesungguhnya Nikmat Sepotong Kasih yang dihulurkan Zamri dan keluarganya juga bukan sahaja menyedarkan Natrah akan keberuntungannya selama ini malah dia tahu begitu rasanya kasih sayang. Namun saya juga telah menjelaskan bahawa adakah bila Natrah besar nanti dia terpaksa mengejar itu dan ini untuk terus hidup. Terserah kepadanya. Pertimbangan yang waras akan membawa kepada kebaikan kepada kedua-duanya.

    BalasPadam
  4. :) sungguh kritis.

    Saya sudah letakkan dalam entri terbaru saya (siri bacaan hanna), bolehlah baca dan tinggal komen nanti ya.

    BalasPadam
  5. nak la!! mana sempat aku p cari.. haish marah nie haha.. post2...!! =)

    BalasPadam
  6. Terima kasih sekali lagi untuk hasni hanna. Saya sudah mengunjungi blog saudari dan meninggalkan komen. Saudari telah memberi ulasan yang sewajarnya. Saya sangat kagum. Saya sangat mengalu-alukan kepada sesiapa yang sudi membedah cerpen saya atau karya-karya lain demi meningkatkan mutu penulisan saya. Kalau boleh biarlah komen itu membina.

    BalasPadam
  7. Tak kusangka ada juga yang sudi membuat permintaan untuk membaca cerpen saya. Nanti saya postkan keseluruhan cerpen itu. Bersabar ya zura.

    BalasPadam
  8. Wah, betul-betul tak sabar nak baca kumpulan cerpen cikgu yang bakal terbit. Lagi seronok kalau dibaca atas kertas. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih. Rasanya saya tak masukkan cerpen ni dalam kumpulan cerpen tersebut. Janganlah menaruh harapan tinggi sangat. Ini merupakan buku pertama saya yang memuatkan karya awal pembabitan saya.

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78