Pengikut

Sabtu, 30 Mac 2013

Cuti Semakin ke Penghujung

Nampaknya, cuti saya semakin ke penghujung. Hari ahad akan berangkat ke Kuala Lumpur, seterusnya ke Batang Kali untuk menyambung tanggungjawab mendidik anak bangsa. Hari Isnin Insyaallah, akan membawa pasukan Teater Sekolah untuk Pertandingan Teater peringkat Daerah Hulu Selangor di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.

Sekarang ini, berkejar masa untuk menyiapkan penulisan yang tertangguh. Alhamdulillah, rezeki dalam bidang penulisan tidak putus-putus. Harapan saya, Allah SWT memberkatinya dan mengurniakan idea dan kesihatan yang baik untuk saya melunaskannya.

Nantikan!

Khamis, 28 Mac 2013

Majalah DBP di Pekan Simpang Empat, Kangkong Kedah


Nampaknya, masalah untuk mencari majalah terbitan DBP seolah-olah menemui jalan selesai. Saya berbangga apabila majalah "ekslusif" ini tiba-tiba menjelajah ke seluruh tempat. Kepada penduduk di Alor Setar, selain boleh mencari majalah ini di Toko Buku di Jalan Langgar, anda juga boleh mencari di kedai yang menjual majalah bersebelahan MyDin berhampiran CityPoint. 

Kepada yang berada di sekitar Pekan Simpang Empat, Kangkong boleh mendapatkan majalah ini di kedai yang menjual majalah depan Balai Polis Simpang Empat. Mulanya saya juga terperanjat apabila majalah DBP dijual di kedai ini. Turut berada di situ ialah majalah WADAH SISWA. Jadi, senanglah selepas ini untuk saya mendapatkan majalah DBP ini. 

Harapan saya juga untuk edisi bulan April dan seterusnya akan berada di sini. Jangan hanya hangat-hangat tahi ayam. Apabila majalah ini sudah berada "bersepah" di serata tempat, jangan pula sampai ada yang berlonggok saja. Ayuh, kita dapatkan majalah yang berilmu dan bermutu ini untuk manfaat bersama.

Rabu, 27 Mac 2013

Koleksi Buku: Di Atas Padang Sejarah - A Samad Said


Saya terbaca iklan, di blog Hujan Pagi berkenaan buku Di Atas Padang Sejarah ini. Seterusnya saya mengirimkan catatan berkenaan cara untuk mendapatkan buku ini. Kemudian, setelah diberitahu cara pembayarannya, saya terus memesannya lalu memasukkan duit ke dalam akaun bank tersebut. 

Buku edisi kulit keras ini berharga RM 45.00 termasuk kos pos. Kertasnya sangat berkualiti. Di samping, mendapat tandatangan Pak Samad. 

Menariknya buku ini bukan sahaja menghimpunkan puisi A Samad Said, malah di belakangnya disertakan proses beliau menukang puisi. Wah, terujanya saya. Begitu sekali Pak Samad menukang puisi. Ketelitiannya membuatkan saya menepuk dada bertanya adakah sampai ke tahap itu saya menukang puisi. Tidak hairanlah, betapa bernilainya sebuah puisi yang ditukangi oleh Sasterawan Negara yang bernama A. Samad Said.

Isnin, 25 Mac 2013

Koleksi Buku: Hadiah daripada Penulis Negeri di Bawah Bayu


Nampaknya, minggu ini saya tidak habis lagi membicarakan tentang koleksi buku. Ini ada lagi koleksi buku terbaharu saya. Buku ini saya terima (hadiah) daripada seorang rakan yang pada mulanya saya tidak kenali. Perkenalan kami hanya berlangsung dalam beberapa hari sahaja menerusi e-mel. Kemudian, beliau meminta saya memberikan alamat untuknya mengirimkan saya sebuah bukunya.

Saya rasa sangat terharu sebenarnya. Sebelum ini belum pernah orang menghadiahkan saya sebuah buku. Terima kasih kepada Muhammad Abdulloh Suradi. Moga perkenalan ini akan terus menjalin ukhwah antara kita.

Secawan Kebijaksanaan merupakan himpunan puisi dan cerpen pemikiran dan nilai Islam bersajikan al-Quran dan as-Sunnah. Buku ini dihadiahkan khas oleh penulis Negeri di Bawah Bayu.

Koleksi Buku: Karya Marsli N.O


Saya tidak pernah membeli buku secara langganan sama ada daripada syarikat penerbitan ataupun dengan penulisnya sendiri. Tetapi, saya tergerak hati untuk membeli buku Marsli N.O ini. Setelah beberapa buah karyanya sebelum ini sangat mengujakan saya.

Oleh itu, saya mengambil inisiatif dengan menghantar emel kepada beliau untuk menanyakan akan stok buku tersebut. Alhamdulillah, stoknya masih ada. Kemudian, saya senaraikan buku-buku tersebut. Antaranya, Hanya Kata, Negeri, Ini Anak, Kepada Angin Juga (kumpulan puisi), Menanti Buraq dan Politikus, Badut & Sebuah Cermin (kumpulan cerpen).

Beliau melarang saya memasukkan duit terlebih dahulu. Katanya, selagi buku belum selamat sampai, jangan berbuat apa-apa. Beliau akan sertakan nombor akuan dalam bungkusan buku tersebut.

Setelah menerima buku barulah saya masukkan duit kepada beliau. Terima kasih Marsli N.O. Moga buku-buku ini mencambahkan idea dan mencerna minda saya untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu.

Nampaknya, bulan Mac saja saya telah membelanja lebih RM 200 untuk membeli buku baru.

P/S: Tahniah kepada rakan penulis yang karya mereka tersiar di Berita Minggu dan Mingguan Malaysia hari ini. Antaranya, Wadiassofi, Efandi Yusoff, Husna Nazri.

Ahad, 24 Mac 2013

Koleksi Buku: Karya Penulis Wanita ITBM


Semalam, sewaktu hendak pulang ke kampung macam biasalah apabila ke Pudu Sentral saya akan singgah di Kedai Buku 1Malaysia. Saya ke sana tidak lain tidak bukan untuk membeli buku penulis wanita (terbitan ITBM) yang baru sahaja dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Sebelum ini saya telah membeli Catatan Cinta Anakanda Bonda, Tangis Buliga, Ketika Kalbu Bersuara dan Cahaya di Jendela. Semalam saya telah membeli Yang Terselindung, Hering, Hujan Hujung Januari dan Bunga di Atas Meja. Dan sebuah buku Alien Menchari Cinta. Selepas ini bolehlah pihak ITBM merancang untuk melancarkan buku penulis lelaki pula. Rasanya melebihi 10 orang.

Tak sabar rasanya hendak baca. Nampaknya, semakin bertambahlah koleksi bacaan saya yang belum baca. 


Sebelum ke Pudu Sentral saya sempat ke Jalan TAR untuk mendapatkan Dewan Budaya, Dewan Siswa dan Dewan Tamadun Islam. Jika tidak kerana saya telah melanggan Tunas Cipta, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa, telah lama saya membeli ketiga-tiga majalah ini. Nampaknya, hak "ekslusif", pelanggan majalah DBP untuk menatapnya terlebih dahulu masih belum menjadi kenyataan. Sampai hari ini majalah langganan bulan Mac 2013 masih belum sampai. 

P/S: Alhamdulillah, saya selamat sampai di rumah kira-kira pukul 1.15 pagi. 

Sabtu, 23 Mac 2013

Selamat Bercuti

Saya mengucapkan selamat bercuti kepada guru-guru dan murid-murid. Moga cuti kalian bermanfaat dan lakukan aktiviti yang berfaedah. 

Tak sabar rasanya nak balik kampung.




Rabu, 20 Mac 2013

Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS)


Alhamdulillah, ujian pertama (Mac) telah pun selesai pada minggu lepas. Minggu ini guru di sekolah saya perlu mengisi markah murid dalam SAPS. Tarikh akhirnya adalah pada 21 Mac 2012. Selepas ini, jangan lupa ya, cikgu-cikgu isi ETR (sasaran) berdasarkan TOV murid pula. 

Kepada yang belum berbuat demikian boleh klik di sini SAPS

Melalui sistem SAPS ibu bapa juga boleh menyemak keputusan anak mereka. Jadi, anak-anak janganlah hendak menipu ibu bapa. 

Giliran guru tahap 1 KSSR untuk mengisi SPPBS akan tiba. Tunggu! 

Semoga berjaya.

Ahad, 17 Mac 2013

Cerpen: Bonus Bulan Madu di Harmoni


BONUS BULAN MADU merupakan cerpen saya yang disiarkan di Harmoni, 15-30 Mac 2013. Cerpen ini sudah lama saya tulis. Dan berkali-kali juga saya edit dan murnikan. Hinggalah yang dapat dibaca di Harmoni. Entahlah ini versi yang ke berapa. Namun ada hikmahnya juga. Rasanya versi ini lebih baik daripada yang awal saya tulis dulu. Saya fikir cerpen ini terpilih kerana bersesuaian dengan keluaran edisi khas perkahwinan Harmoni. Terima kasih editornya. 

Cerpen ini saya tulis, setelah saya membaca artikel tentang Skim Bonus Bulan Madu di Harian Metro sekitar tahun 2010 ataupun 2011 kalau tak salah. Saya menjadikan artikel tersebut sebagai rujukan. Kredit kepada wartawannya yang telah mencetuskan ilham untuk saya menulis cerpen ini.

Untuk rekod, ini merupakan cerpen kedua saya di Harmoni untuk tahun ini.

Jumaat, 15 Mac 2013

Sasterawan Negara Ke-12




Tahniah diucapkan kepada Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali dengan nama Baha Zain, hari ini diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-12. Saya mengharapkan beliau terus menulis dan menghidupkan dunia penulisan sastera Melayu ini. 

Khamis, 14 Mac 2013

Putih yang Memikat


Sedar tak sedar hari ini sudah 14 Mac 2013. Hampir separuh bulan kita berada dalam bulan Mac. Harapan saya, hari ini lebih baik daripada semalam. Bulan ini lebih baik daripada bulan sebelumnya.

Saya hendak bercerita tentang majalah yang baru saya beli ini. Cuba tengok kulit kedua-dua majalah ini. Walaupun menggunakan latar belakang berwarna putih, masih nampak serinya. Barangkali pandangan itu abstrak sifatnya. Namun, saya masih menyatakan bahawa kulit kedua-dua majalah ini cantik.

Sebelum ini saya ada memaklumkan bahawa di Batang Kali ada dijual beberapa majalah DBP. Hari ini saya ke kedai itu lagi. Yang tinggal hanya majalah Dewan Ekonomi. Yang lainnya sudah habis. Tetapi, berganti pula dengan majalah Dewan Bahasa. Alangkah seronoknya saya. Jadi, selepas ini tidak perlulah saya bersusah-susah untuk mencarinya di Kuala Lumpur lagi. Harapan saya majalah ini akan terus dijual di kedai ini untuk bulan seterusnya. 

Kenapa saya beli Harmoni ini? Selain kulitnya menarik perhatian saya masih ada isi di dalamnya yang membuatkan saya tidak berfikir panjang untuk memilikinya sebagai koleksi peribadi. Nantikan!

Rabu, 13 Mac 2013

Karya Saya di Pelita Bahasa Mac 2013


Alhamdulillah, karya saya disiarkan di Pelita Bahasa Mac 2013. Untuk edisi ini, karya tersebut berupa Berita Bahasa: Semarak Karnival Bahasa Malaysia dan Dunia Bahasa: Eufemia dan Disfemia Membentuk Kesantunan Bahasa. Buat pertama kalinya juga, berita bahasa yang saya hantar disiarkan. Satu lagi cabang penulisan yang diceburi. 

Terima kasih editornya.

Selamat membaca. 

*Baru selesai kendalikan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) untuk Bengkel i-THINK di sekolah. Macam tak percaya je, saya penceramah merangkap fasilitatornya bersama dua orang guru lagi.

Isnin, 11 Mac 2013

Majalah DBP Berada di Batang Kali

Kepada pembaca yang berada di Batang Kali atau kawasan yang sekitarnya yang ingin mendapatkan majalah terbitan DBP (bulan Mac 2013) bolehlah dapatkannya di sebuah kedai runcit di Batang Kali. 

Saya juga agak terkejut apabila kedai yang selalu saya kunjungi ini tiba-tiba menjual majalah ini. Namun, majalah yang ada hanyalah:
1) Dewan Masyarakat
2) Dewan Kosmik
3) Dewan Ekonomi
4) Dewan Pelajar

Nampaknya ada perkembangan baik.

Sabtu, 9 Mac 2013

Koleksi Buku: Sastera Kanak-kanak di Tangan A. Samad Said

Pada hujung minggu yang lalu saya berkesempatan ke Jalan Tunku Abdul Rahman bersama seorang kawan. Apabila berada di sana, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memasuki kedai buku. Kebiasaannya di kedai buku bahagian novel menjadi sasaran pengunjung. Begitu juga dengan saya. Walau bagaimanapun, saya sekadar memerhati lambakan novel popular yang berada di setiap kedai buku yang saya masuki. Namun tidak menarik perhatian saya untuk membelinya. 

JALAN RETAK dan ANTARA KABUS KE KABUS merupakan buku yang sudah lama saya cari. Tidak sangka pula jumpa di sini. Di tangan A. Samad Said kedua-dua buku ini tampil berbeza untuk dibaca bukan sahaja kepada kanak-kanak, sebaliknya remaja mahupun orang dewasa. 

Buku yang dicetak semula oleh PTS ini sememangnya mengujakan dengan reka bentuk kulit yang lebih segar. Kandungan di dalamnya juga turut dimasukkan gambar untuk memudahkan dan sedikit sebanyak memberi gambaran kepada kanak-kanak yang membacanya. 

Buku ini sesuai dicadangkan kepada anak-anak kita untuk membacanya

Rabu, 6 Mac 2013

Puisi: Membuka Jendela Hari di Harian Metro


Setelah kali terakhir puisi saya tersiar pada bulan Ogos 2012 di Harian Metro, 5 Mac 2013 menjadi saksi MEMBUKA JENDELA HARI kembali memikat hati editornya untuk menyiarkannya. Alhamdulillah, usaha saya selama ini berhasil.



Karya Siapakah yang Tersiar di Tunas Cipta Mac 2013?


Tahniah kepada karyawan muda yang karyanya mendapat tempat di Tunas Cipta Mac 2013. Rajinlah berusaha dan jangan berhenti setakat ini sahaja. Perlu lebih berani meneroka ruang sastera yang luas ini. Saya juga bermula dari sini. Tunas Cipta banyak memberi peluang kepada saya untuk lebih yakin dan berani menghasilkan karya yang terbaik.

Kepada penulis tersebut, bolehlah tinggalkan komen anda di sini, supaya dapatlah saya tahu dan berkongsi pandangan. Semoga terus berkarya!

Selasa, 5 Mac 2013

Ulasan Buku: Gelora Jiwa Seorang Penulis di Mingguan Malaysia


GELORA JIWA SEORANG PENULIS merupakan ulasan buku saya yang tersiar di Mingguan Malaysia, 3 Mac 2013 semalam. Terima kasih kepada editor yang menyiarkannya. 

Buku yang diulas ialah Pengalaman Kreatif: Merangkai Kisah, Merenda Kata, karya Marsli N.O, terbitan ITBM. Sebelum ini begitu sukar untuk saya mendapatkan buku ini. Hingga saya mengambil keputusan untuk membelinya daripada penulisnya sendiri. Dan Marsli N.O telah pun bersetuju untuk membantu saya mendapatkan buku ini. Walau bagaimanapun, saya tidak jadi membeli daripada penulisnya sendiri kerana saya menyedari yang Pesta Buku 1Malaysia akan berlangsung. Jadi,  untuk lebih memudahkan dan cepat saya membelinya di pesta buku tersebut. 

Terima kasih juga kepada penulisnya yang sudi mengirimkan emel kepada saya (ucapan terima kasih). Saya berbesar hati dan berbangga dapat mengulas buku penulis yang saya kagumi. 

Apa yang boleh saya katakan, rugi jika tidak membaca buku ini. Jadi, dapatkannya di pasaran sekarang ini juga.

Isnin, 4 Mac 2013

Cerpen: Dalam Lingkungan Hantu di Dewan Budaya


Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana memperkenankan doa saya. Cerpen yang berjudul DALAM LINGKUNGAN HANTU telah disiarkan dalam Dewan Budaya, Mac 2013. Hampir tiga bulan lebih saya menunggu untuk melihat cerpen ini disiarkan. Terima kasih kepada editornya yang memberi peluang kepada penulis muda seperti saya ini.

Saya bermula dengan Tunas Cipta, Dewan Siswa. Kemudian artikel saya disiarkan di Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Pelita Bahasa (artikel, puisi, cerpen, komentar bahasa), Dewan Sastera (puisi, surat kepada editor) kini, akhirnya Dewan Budaya. Saya masih menaruh harapan untuk melihat cerpen saya disiarkan di Dewan Sastera.

Usaha itu tidak pernah menemui jalan buntu dan putus asa. Saya akan tetap berusaha untuk menghasilkan karya yang lebih baik.

Dah lama tak menulis cerpen mahupun puisi. Sekarang suka pula menulis artikel. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78