Pengikut

Selasa, 30 Oktober 2012

Koleksi Buku Baharu: Pewaris dan Anggerik Dari Bukit Tujuh



Sewaktu saya pulang ke kampung, ibu saya ada memberitahu bahawa saya perlu beli rak buku baru satu lagi. Katanya, sudah tidak muat. Sebelum ini, dia ada juga memberitahu saya supaya buang buku lama. Bolehlah rak itu digunakan untuk menyusun buku-buku yang lain (saya sesekali tidak akan membuang buku saya walaupun sekadar buku nota sewaktu di sekolah dahulu). 

Di rumah saya hanya ada dua buah rak buku yang mempunyai 4 tingkat dan dibahagikan kepada 12 kotak-kotak kecil. Kepada sesiapa yang pernah menggunakan rak seperti ini pasti mengetahuinya. Ya, rak itu sememangnya sudah sarat sehingga saya terpaksa menyusunnya menjadi dua baris bertindan. Sebenarnya, saya kurang gemar menyusun buku begitu. Tetapi terpaksa juga. Sebolehnya, saya hendak mencari rak buku yang bersesuaian. Kalau buat sendiri lebih mudah untuk mengikut kehendak hati, bukan.

Bercerita mengenai dua buah buku baharu di atas, saya membelinya sewaktu hendak pulang ke kampung sempena hari raya korban baru-baru ini. Saya juga mencari novel Sayang Ustazah Sayang yang diterbitkan semula oleh ITBM. Namun tidak kehilatan. Kedua-dua buah buku ini belum sempat saya baca dan saya tinggalkan dulu di kampung. Berbaki seminggu lebih sahaja lagi, sekolah akan bercuti. Ketika itu bolehlah saya langsaikan hutang membaca yang tertunggak. 

Anggerik Dari Bukit Tujuh juga, telah diulas oleh Marsli N.O di ruangan buku Mingguan Malaysia baru-baru ini. Untuk novel Pewaris, karya Rahimidin Zahari ini merupakan cetakan semula oleh pihak ITBM. Sebelum ini pun saya tidak pernah membacanya. Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk memilikinya. Bukankah baik, sekiranya buku-buku lama yang bermutu dicetak semula oleh ITBM. Terutamanya, koleksi buku Sasterawan Negara. Cari di pasaran sudah tidak jumpa. Jadi tidak salahkan. Bolehlah generasi kini membacanya.

Keinginannya masih ada untuk membeli sejumlah kumpulan puisi yang diterbitkan oleh ITBM. Insyaallah, jika dimurahkan rezeki, dapatlah saya membelinya nanti. 

Ahad, 28 Oktober 2012

Cerpen: Muhammad Al Islam di BH Ahad


Syukur alhamdulillah, Allah SWT mendengar doa saya. Setiap kali sembahyang saya tidak lupa mendoakan supaya, Allah SWT membuka hati editor yang menerima karya saya untuk mempertimbangkannya lalu menyiarkannya di media kelolaan mereka. 

Kali terakhir cerpen saya disiarkan di Berita Minggu ketika itu ialah pada 6 Mei 2012 menerusi cerpen Pulut Durian Santan Kelapa. Kini Muhammad Al Islam berjaya memecah kebuntuan itu. Muhammad Al Islam merupakan cerpen yang saya nukilkan sekitar bulan September 2012. Kemudian terhenti begitu saja. 

Alhamdulillah Allah SWT menggerakkan hati saya untuk terus menyambung kisah ini. Selama untuk menunggu cerpen ini tersiar saya tidak pernah putus-putus mencuba dengan cerpen lain, namun hampa. Akhirnya, tertebus jua dendam itu. Terima kasih editor BH Ahad kerana memilih cerpen ini.

Berdebar rasanya hati tatkala menyelak BH Ahad hari ini. Sebelum itu membuka lembaran Mingguan Malaysia kerana saya juga ada menghantar cerpen di sana. Harapan saya cerpen itu juga diberkati Allah SWT untuk menemui pembaca semua.

*Kepada pembaca semua, sudilah berkongsi rasa dan pendapat untuk saya memperbaiki mutu penulisan saya.

Sabtu, 27 Oktober 2012

Yang Tertunggak dan Duit Raya


Menulis satu kepuasan. Alhamdulillah, setelah berperih membanting tenaga dan memerah fikiran, akhirnya usaha itu berbalas apabila menerima kiriman sampul surat berisi cek. 

Saya masih mengingati detik Prof Madya Dr. Lim Swee Tin, memasuki dewan kuliah kemudian menunjukkan sampul yang berisi cek-pembayaran honorarium. Katanya, apabila anda menulis, terasa seronoknya apabila menunggu sampul berisi cek tiba. 

Tulisan ini hanya untuk perkongsian. Manalah tahu dapat menyuntik semangat kepada penulis baharu untuk terus berjuang dalam bidang penulisan. 

Siapa kata, menulis tidak dapat menjana pendapatan sampingan? Walaupun ada yang menyatakan bahawa tujuan dia menulis bukan kerana wang ringgit. Namun tidak salah, sambil menyelam minum air. 

Cek-cek ini akan diuruskan masuk ke akaun saya. Terima kasih kepada DBP, Utusan Karya, Berita Publishing dan MMP Comunications atas pembayaran honorarium kepada karya saya yang pernah disiarkan di majalah kelolaan mereka. Cek di atas juga termasuk hadiah kemenangan saya dalam HSKU 2011 baru-baru ini. 

Jumaat, 26 Oktober 2012

Memaknakan Erti Korban

"Setiap kali Hari Raya Korban ataupun lebih mesra disapa Aidiladha, sejauh manakah kita memaknakan erti korban dalam menghayati setinggi penggorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Sanggupkah kita mengorbankan hanya seringgit untuk dimasukkan ke dalam tabung masjid? Sanggupkah kita mengorbankan masa tidur petang untuk menziarahi-mengunjungi rumah jiran tetangga? Sanggupkah kita menghapus doa musuh yang sekian lama didendam dalam kalbu? Sanggupkah kita menitiskan air mata kerana tidak dapat bersalam memohon ampun mencium tangan kedua orang tua kita? Sanggupkah kita menghulur sepiring cuma juadah pada jiran yang selama ini mengidam untuk menikmatinya? Dan seperti banyak lagi untuk kita memaknakan erti korban yang jauh lebih rendah berbanding setinggi penggorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail." 

*Selamat Hari Raya Aidiladha. Maaf dipinta andai yang pernah mengetuk teratak Tetamu Istimewa pernah terguris dengan tulisan saya. 

Khamis, 25 Oktober 2012

Cerpen: Tentang Waris di Tunas Cipta


Alhamdulillah, saya rasa tidak terlalu lambat untuk saya berkongsi cerpen TENTANG WARIS dengan pembaca semua. Untuk rekod, cerpen ini merupakan cerpen kedua saya yang tersiar di Tunas Cipta

Inilah bahagian petikan cerpen Tentang Waris.

Seisi keluarga berceratuk duduk mengelilingi arwah Dato’ R kecuali Safina yang menyembamkan mukanya ke atas dada arwah sambil menangis teresak-esak.
“Ayah meninggal sebab apa, ibu?” tanya Qaiyum memulakan bicara.
“Isy… jangan cakap kuat-kuat depan arwah, tak elok.” Datin S cuba melarang.
“Ayah kau kena serangan jantung,” jawab Datin S.
“Kenapa tak kebumikan lagi?” Halimi menyoal seperti budak tadika.
Datin S memandang Halimi. Adakah itu soalan yang sepatutnya keluar dari  mulut Halimi? Kerisauan mula tumbuh dan kadang-kadang mengganggu fikirannya apabila memikirkan kembali tindakan dan perbuatan ketiga-tiga anaknya.
“Tunggu kamu semua,” jawab Datin S dengan nada tinggi.
“Kenapa tunggu kami?” Qaiyum membalikkan pertanyaan.
Datin S hanya mampu berdiam. Kemudian bersuara, “Tunggu supaya anak-anak ayah dapat menguruskan jenazah ayah dan memberikan penghornatan terakhir kepada ayah.”
“Tapi….”

............Ikuti kisah sepenuhnya di Tunas Cipta.

Cerpen ini telah melalui banyak proses penyuntingan sebelum menemui pembaca. Hasil terakhirnya, inilah yang anda semua tatap dan baca di Tunas Cipta, Oktober 2012. Tak sabar rasanya untuk mengikuti ulasan daripada Tuan S.M Zakir pada bulan November nanti. Saya terima dengan hati yang terbuka untuk memperbaiki mutu penulisan saya. 

Terdapat pelbagai lagi rencana menarik dalam Tunas Cipta Oktober 2012. Ayuh dapatkan majalah ini di pasaran. Setelah melanggan, saya sudah tidak mempunyai masalah untuk melengkapkan koleksi Tunas Cipta saya. Begitu juga dengan Dewan Sastera. Hajatnya, selepas ini hendak melanggan Pelita Bahasa dan Dewan Siswa pula.

Isnin, 22 Oktober 2012

Dunia Menulis VS Dunia Membaca

" Apabila saya menulis saya lebih dekat dengan dunia membaca, lebih dekat lagi dengan haruman buku. Saya menjadi seorang yang ketagih membaca. Saya tidak pernah akan menyalahkan anda sekiranya anda menggelar saya penagih buku, pencandu buku kerana itu yang saya mahu. Saya juga tidak akan teragak-agak untuk membakar duit untuk membeli buku, tidak akan teragak-agak untuk menyuntik jiwa saya dengan koleksi buku baharu.

*Bukankah ia lebih baik daripada menjadi penagih rokok dan pencandu dadah.

Ahad, 21 Oktober 2012

Saat yang Paling Melucukan Bagi Mereka


"Suatu hari saya pernah berkata begini: hobi saya adalah  membaca surat khabar. Lalu mereka yang mendengar berdekah-dekah ketawa. Dalam banyak-banyak hobi, kau cakap hobi kau membaca surat khabar."

*Saya fikir, bagi mereka inilah saat yang paling melucukan dalam sejarah hidup mereka. Tetapi tidak kepada saya.

Khamis, 18 Oktober 2012

Hujan Masih Turun




Hujan Masih Turun

Hujan masih turun
lebat menimpa bumbung
pokok habis  tumbang
air di parit sudah bumbu
sekejap lagi sampai ke lantai rumah.

Hujan makin lebat
ayam itik tiada tempat berteduh
jiran tetangga sudah panjat ke bumbung
selipar di kaki hanyut tah ke mana.

Hujan berubah banjir
kemaslah harta peribadimu
keselesaan menjadi kegelisahan
esok sementara bantuan sampai
kita beradu dalam kebasahan.

11.10pm
14/9/2011
Kangar, Perlis
Mohd Helmi Ahmad

Selasa, 16 Oktober 2012

Menulis Itu Seperti Menukang Rumah



Pengenalan
Ramai yang menganggap menulis itu satu kerjaya yang paling mudah di dunia ini. Hanya perlu duduk merenung atau berkhayal di suatu tempat dengan memegang sebatang pen dan kertas lalu mencoretkan beberapa rangkap puisi mahupun baris ayat. Kemudiannya menghantarnya kepada editor penerbitan untuk disiarkan dan bernasib baik tersiar, dalam masa yang sama akan dibayar honorarium. Berbanding susahnya kerja sebagai seorang nelayan yang turun ke laut seawal pagi berhadapan dengan gelombang ombak.

Sebelum pelayaran dibuat pelbagai kerja yang terpaksa dilakukan. Perkara yang paling utama adalah memastikan keadaan bot, pukat dan kelengkapan berlayar yang lain sentiasa cukup dan berada dalam kondisi yang baik. Sedar atau tidak, tanggapan lapuk itu harus diubah serta merta. Tiada kerja yang senang dan tiada kerja yang susah di dunia ini melainkan pekerjaan itu ditukangi sambalewa dan tidak serius. Semuanya terletak kepada jati diri seorang pekerja itu sendiri.

Bidang penulisan menuntut kepada perubahan. Cabaran yang terpaksa dihadapi bukan calang-calang. Adanya menulis itu seperti menukang karya. Apabila menyebut perkataan menukang nescaya persoalan pertama yang timbul adalah dalam bidang penulisan perlukah alat pertukangan dan wujudnya alat tukangan dalam bidang penulisan tidak seperti menukang sebuah rumah? Hakikatnya, mentaliti masyarakat belum cukup terbuka dan mencakupi semua bidang. Sebenarnya, inilah perubahan yang dituntut. Jikalau seorang tukang rumah memerlukan tukul, gergaji, pahat, dan sebagainya begitu juga dengan seorang penulis harus memiliki alat-alat tukangannya. Dalam bidang penulisan alat tukangan yang harus disediakan ialah:

i. komputer/laptop/mesin taip
ii. bahan rujukan
iii. kamus
iv. alat-alat lain

Komputer
Penulis yang lahir pada zaman siber ini sedikit sebanyak tidak menghadapi masalah untuk menggunakan komputer. Berbanding dengan penulis generasi lama yang sudah sinonim dengan mesin taip. Hal ini kerana, komputer bukan lagi suatu alat yang dianggap memenuhi kehendak tetapi sekarang ini lebih menjurus kepada keperluan dalam bidang penulisan tidak terkecuali bidang-bidang lain.

Revolusi dunia penulisan telah meletakkan bidang penulisan pada tahap yang lebih tinggi yang mana kemasukan teknologi komputer sebagai alat pemprosesan karya telah diakui lebih efisyen. Dengan kemudahan yang serba canggih telah memudahkan setiap karya dihasilkan dengan lebih kemas, teratur, serta tersusun. Malahan, karya-karya yang dihasilkan dapat dikemaskini dengan lebih mudah tanpa perlu menyalin semula. Barangkali penambahbaikan ini memudahkan pihak editor untuk menyiarkan karya mereka dalam masa yang sama kerja-kerja penyuntingan dan pensisteman data akan lebih mudah. 

Diharap selepas ini tidak ada lagi rungutan-rungutan daripada pihak penulis apabila karya yang dihantar tidak disiarkan walaupun didakwa mempunyai kekuatan dan kematangan isi yang diketengahkan. Kegagalan yang dikenal pasti hanya kerana tulisan yang digunakan kabur dan tidak dapat dibaca.

Bahan Rujukan
Bahan rujukan di sini merujuk kepada bahan-bahan bantu yang mampu mengukuhkan lagi idea pokok. Bahan rujukan ini boleh terdiri daripada dua sumber. Sumber pertama terarah kepada sumber bercetak seperti buku, jurnal, surat khabar, majalah dan sebagainya. Sementara sumber kedua lebih kepada rujukan yang berlegar di persekitaran seperti temu bual, pengalaman, internet dan sebagainya. Karya kreatif sebenarnya bukanlah karya yang memaparkan khayalan dan imaginasi penulis semata-mata tetapi mempunyai mesej tersirat mahupun tersurat. Penambahbaikkan dengan ilmu-ilmu bantu ini nescaya mampu memikat khalayak untuk terus membaca dan menjadikannya sebagai hidangan santapan setiap masa.

Karya Faisal Tehrani seperti ‘Manikam Kalbu’, ‘Ketupat Cinta’, ‘Bedar Sukma Bisu’ yang diketahui menghidangkan santapan yang lazat dengan maklumat-maklumat tentang pakaian, makanan dan perkapalan yang dijalinkan dengan sulaman kreativiti dan fakta yang menarik. Nescaya dalam merealisasikan matlamat ini memerlukan sumber rujukan yang cukup dan mantap agar setiap pemaparan fakta itu tepat dan betul. Setelah maklumat itu diperolehi terpulanglah kepada penulis untuk menyaring dan menghidangkan kepada pembaca dengan kreativiti tersendiri agar karya yang terhasil bukanlah karya saduran kepada fakta semata-mata tetapi juadah inovasi yang kreatif dan kritis.

Seseorang penulis harus sedar bahawa setiap maklumat yang dibawa itu adalah untuk berkongsi dengan pembaca dan bukannya membodohkan pembaca dengan maklumat yang difikirkan tidak kukuh dan menyalahi fakta. Kerananya melalui karya sastera begini pembaca dapat belajar sesuatu yang baru secara tidak langsung membolehkan mereka berfikir, memerhati dan menilai sesuatu isu yang diketengahkan itu.

Kamus
Menyebut akan hal kamus tentu sekali ramai yang mengaitkannya dengan aktiviti merujuk maksud atau makna sesuatu perkataan. Hanya sekadar itukah peranan kamus? Kamus bukan sahaja dicipta untuk membuat rujukan maksud tetapi juga sebagai panduan untuk memeriksa ejaan yang betul dan sebagainya. Peranan kamus lebih dominan dalam penulisan rencana, artikel, cerpen dan novel. Barangkali ramai penulis menyifatkan kesalahan ejaan adalah kesalahan biasa dan tugas editor selepas itu adalah menyunting kembali.

Sekiranya kesalahan itu tidak diambil kisah dan seringkali dilakukan secara tidak langsung mencerminkan bahawa kredibiliti penulis dalam aspek penguasaan bahasa amat lemah. Dan situasi ini akan menjejaskan peluang seseorang penulis itu mendapat tempat di sesuatu media penerbitan. Sebagai contoh, apa yang dimaksudkan di sini adalah dengan sistem penggunaan perkataan yang menggunakan dua k, g, dan sebagainya seperti, menggelepar, menggeletar dan menunjukkan. Yang mana perkataan-perkataan ini menggunakan dua k dan g bukannya satu. Walaupun nampak mudah tetapi jika tidak diambil berat seringkali terlihat dalam hasil penulisan. 

Kepelbagaian penggunaan istilah pula sebenarnya mampu meningkatkan kreativiti seseorang penulis. Misalnya Keris Mas dalam novelnya Rimba Harapan. Lihat bagaimana penulis mengemukakan kemajmukan istilah bagi menggambarkan cara penangkapan ikan. Istilah-istilah yang digunakan seperti menjala, memancing dan menangguk menceritakan keunikan dalam mengungkapkan perbuatan menangkap ikan. Walaupun caranya bertujuan untuk mendapatkan ikan tetapi alat yang digunakan ternyata berbeza kerana menjala (menangkap ikan dengan menggunakan jala), memancing menangkap ikan (dengan menggunakan pancing) ; mengail dan menagguk (menangkap (ikan) dengan tangguk). Tidak terkecuali juga karya-karya yang menggunakan istilah asing perlulah mendapat rujukan yang tepat sebelum digunakan.

 Seorang penulis yang peka dan sensitif dalam berkarya tidak sepatutnya memandang enteng dalam hal ini dan seharusnya mereka sedaya upaya memperbaikinya. Sebarang kesilapan akan penggunaan peribahasa dan perkataan sinonim dan antonim umpamanya boleh menyebabkan kecacatan terhadap karya yang baik. Justeru, seorang penulis yang berjaya haruslah memiliki pelbagai kamus untuk dijadikan panduan. Di pasaran kini terdapat banyak kamus yang boleh dimiliki antaranya Kamus Dewan, Kamus Dwibahasa, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Kamus Perancis-Melayu Dewan, Kamus Peribahasa Melayu-Mandarin, Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, Kamus Am Bahasa Malaysia, Kamus Istilah, Kamus Sinonim, Kamus Antonim dan sebagainya. Alat-alat tukangan yang lain seperti pen, kertas dan sebagainya yang difikirkan perlu boleh disediakan penulis dalam membantu proses berkarya.

Kesimpulan
Oleh itu, untuk menjadi seorang penulis yang baik persediaan awal dalam menukang karya perlu dilakukan. Aspek ini sekiranya tidak diambil kira bukan menjadi masalah tetapi sekiranya dititikberatkan mampu memberi impak yang besar kepada hasil karya seseorang penulis. Bukan sahaja penyediaan idea yang kreatif malahan aspek-aspek teknikal juga perlu diambil kira. Kerana itulah, sebuah rumah yang telah siap nanti tidak akan terdengar lagi pahat berbunyi.


*Artikel ini sudah lama ditulis - sekitar tahun 2010. Ketika itu ghairah untuk berkongsi. Pernah juga dihantar ke media penerbitan tetapi alahai saya tahu banyak kekurangannya. Walau bagaimanapun saya perturunkan di sini sekadar untuk perkongsian. Di sini saya jelaskan bahawa artikel ini sekadar pendapat saya, masih boleh ditambahbaikkan lagi. Tidak ada niat pun untuk menunjuk-nunjuk atau menjadi guru kepada sesiapa kerana saya juga masih dalam proses belajar. Jika tersalah, terkurang mohon beri tunjuk ajar. Saya sedia menerimanya.

Ahad, 14 Oktober 2012

HSKU 2011: Karya yang Berjaya ke Peringkat Akhir


Atas permintaan seorang rakan, saya rajin-rajinkan diri untuk menaip semula sejumlah karya yang berjaya ke peringkat akhir HSKU 2011. Mereka ini juga harus berasa bangga atas kejayaan ini.

Untuk kategori cerpen remaja Panel Penilai telah menyenaraipendekkan 18 judul. Cerpen tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Angah, Nenek & Merdeka, Nimoiz T.Y - Mingguan Malaysia, 28 Ogos 2011.
2. Baju Emak di Tengah Bendang, Che Soo Ismail - Mingguan Malaysia, 3 Julai 2011.
3. Bakau Tetap Teguh, Dayangku Mastura - Mingguan Malaysia, 17 April 2011.
4. Banjir di Mata Emak, Che Soo Ismail - Mingguan Malaysia, 23 Januari 2011.
5. Cerita Akhir Tahun, Zainal Rashid Ahmad - Harmoni, 1 Disember 2011.
6. E-mel ke Salzburg, Wan Marzuki Wan Ramli - Mingguan Malaysia, 27 Mac 2011.
7. Gerhana Kampus, Ali Bukhari Amir - Mingguan Malaysia, 30 Januari 2011.
8. Harum Kasih Daun Irik, Dayangku Mastura - Wanita, April 2011.
9. Kalbu Adam di Tahun Baharu, Husna Nazri - Mingguan Malaysia, 11 Disember 2011.
10. Kuih Bakul Limau Mandarin, Mohd Helmi Ahmad - Harmoni, 1 Februari 2011.
11. Membaca Takdir, Shapiai Muhammad Ramli - Mingguan Malaysia, 20 Februari 2011.
12. Menuai Emas, Salina Ibrahim - Mingguan Malaysia, 20 November 2011.
13. Penembak Misteri di Front Kemelak-Sepancar, Muhammad Harya Ramdhoni - Mingguan Malaysia, 4
      Disember 2011.
14. Sebelum Hujan Luruh, A. Muziru Idham - Mingguan Malaysia, 19 Jun 2011.
15. Talia dan Raksasa Qadqad, Zaniffa Azzura Abdullah - Mingguan Malaysia, 20 Mac 2011.
16. Teraju Tiga, Muzaf Ahmad - Mingguan Malaysia, 10 April 2011.
17. Tenda Harapan (bah.1,2), Muzaf Ahmad - Utusan Melayu Mingguan, 30 Mei, 6 Jun 2011.
18. Tukang Sejarah, Husna Nazri - Mingguan Malaysia, 9 Oktober 2011.

Untuk kategori cerpen dewasa pula, senarainya seperti berikut:

1. Alkisah Buraq Si Kecil (2), Zainal Rashid Ahmad - Mingguan Malaysia, 3 April 2011.
2. Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah, Mawar Shafei - Mingguan Malaysia, 27 Februari 2011.
3. Halimunan, Mohd Fadzil Yusof - Mingguan Malaysia, 29 Mei 2011.
4. Hantu Osama, Salina Ibrahim - Mingguan Malaysia, 29 Mei 2011.
5. Ijtihad, Nf Abdul Manaf - Mingguan Malaysia, 15 Mei 2011.
6. Istimewa, Hafizah Iszahanid - Mingguan Malaysia, 11 September 2011.
7. Kematian di Tingkat 54, Aidil Khalid - Mingguan Malaysia, 13 Februari 2011.
8. Kuasa Muncung Meriam, Mohd Ali Salim - Mingguan Malaysia, 4 September 2011.
9. Marsum Panjang Kala Purnama Mengambang, Zulfazlan Jamrah - Mingguan Malaysia, 25 Disember
    2011.
10. Mem Bercoker Emas, Rahimah Muda - Mingguan Malaysia, 25 September 2011.
11. Mencatur Kasad Sekujur Jasad, Siti Hajar Mohd Zaki - Mingguan Malaysia, 18 Disember 2011.
12. Penghujung Nyawa, Aya Sophia - Mingguan Malaysia, 17 Julai 2011.
13. Perempuan Berkurung Biru di Dalam Galeri, Aidil Khalid - Mingguan Malaysia, 14 Ogos 2011.
14. Persepsi, Aishah Yazid - Mingguan Malaysia, 27 November 2011.
15. Sandarkan pada 999.9, Zanazanzaly - Mingguan Malaysia, 6 Mac 2011.
16. Sepunya Cinta Ramadan, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi - Mingguan Malaysia 7 Ogos 2011.
17. Syaitan pun Direjam, Che Soo Ismail - Wanita, Julai 2011.
18. Talak Timah Tiga, Malim Ghozali Pk - Mingguan Malaysia, 22 Mei 2011.
19. Waqwaq, S.M Zakir - Mingguan Malaysia, 24 Julai 2011.
20. Zamindar, Zaen Kasturi - Mingguan Malaysia, 6 November 2011.

Untuk kategori sajak pula, 23 buah sajak telah berjaya ke peringkat kedua. Senarainya adalah seperti berikut:

1. Aku Mengingatimu Seperti Hari-hari Terluput Juga, Mohd Adid Ab. Rahman - Mingguan Malaysia, 10  
    Julai 2011.
2. Aku Tidak Berani Berjanji, Rosli K. Matahari - Mingguan Malaysia, 6 Mac 2011.
3. Almari, S.M. Zakir - Mingguan Malaysia, 3 April 2011.
4. Dunia Sampah-sampah, Husna Nazri - Mingguan Malaysia, 5 Jun 2011.
5. Ingatan kepada Kawan XXXIV, Zaen Kasturi - Mingguan Malaysia, 25 September 2011.
6. Jakarta dalam Sambraut, Nawawee Mohammad - Mingguan Malaysia, 11 September 2011.
7. Jendela Sejarah, Mohd Zizee Setapa - Mingguan Malaysia 9 Februari 2011.
8. Kembali ke Gema Dikir, Rositah Ibrahim - Mingguan Malaysia, 13 November 2011.
9. Kita Tidak Pernah Belajar, Shapiai Muhammad Ramly - Mingguan Malaysia, 29 Mei 2011.
10. Kitab Sejarah yang Terkoyak, Husna Nazri - Mingguan Malaysia, 11 September 2011.
11. Kota Ramadan, Zulkifli Mohd top - Mingguan Malaysia, 31 Julai 2011.
12. Kudup Perang, Tuah Sujana - Mingguan Malaysia, 11 Disember 2011.
13. Lidahku Masih Terluka, Naapie Mat - Mingguan Malaysia, 18 Disember 2011.
14. Malam Pengantin, Pena Mutiara - Mingguan Malaysia, 30 Januari 2011.
15. Nota Kecil Saat Menyeberangi Usia II, Fahd Razy - Mingguan Malaysia, 13 Februari 2011.
16. Politikus (2), Marsli N.O - Mingguan Malaysia, 9 Januari 2011.
17. Purnama Enam Belas, Ros dan Aku, Roshan - Mingguan Malaysia, 9 Januari 2011.
18. Sang Gembala Kuda, Mohd Hashim Osman - Mingguan Malaysia, 19 Jun 2011.
19. Surat Keberuntungan, Shapiai Muhammad Ramly - Mingguan Malaysia, 20 November 2011.
20. Terminus A Quo, Raihani Mohd Saaid - Mingguan Malaysia, 27 Mac 2011.
21. Tidak Seorang Pun Wartawan Datang Bertanya - Mingguan Malaysia, 20 Mac 2011.
22. Yang Dinanti, Wan Asyeah Wan Nawang - Mingguan Malaysia, 16 Januari 2011.
23. Zionis: Ular Menyusur Tebing Alaf, M. Arif - Mingguan Malaysia, 23 Januari 2011.

Daripada 23 buah karya yang disenaraipendekkan, hanya 13 buah sajak dibincangkan pada peringkat akhir penilaian.

Daripada sejumlah karya yang layak ke peringkat akhir, nampaknya didominasi oleh karya yang telah tersiar di Mingguan Malaysia. Hanya terdapat segelintir kecil yang tersiar di Wanita, Harmoni dan Utusan Melayu Mingguan. Makanya, Mingguan Malaysia akan menjadi wadah terbaik dalam mengangkat karya yang bermutu untuk diberi anugerah.

Dapat dilihat juga dominasi penulis mapan dalam setiap kategori yang dipertandingkan. Namun penulis muda masih cuba memberi persaingan sihat.

Khamis, 11 Oktober 2012

Cerpen: Rafak Sembah Bidan Angsana di Jelita


Alhamdulillah, cerpen terkini saya yang tersiar di media cetak adalah berjudul RAFAK SEMBAH BIDAN ANGSANA. Cerpen ini tersiar di majalah JELITA keluaran OKTOBER 2012. Sudilah dapatlan majalah keluaran ini untuk membaca cerita lanjut berkenaan nasib seorang bidan yang bernama Angsana. 

Cerpen ini barangkali percubaan pertama saya menggunakan bahasa istana pada sesetengah tempat dan istilah secara sederhana. Namun saya tegaskan bahawa cerpen ini saya tulis sekitar tahun 2010 tetapi dimurnikan pada sekitar bulan Mei 2012 sebelum dihantar ke editor Jelita. Terima kasih kepada editor Jelita yang sudi memberi peluang kepada Bidan Angsana untuk menyuarakan hasrat hatinya itu. 


“Telah bertahun lamanya patik menjadi bidan tetapi setelah melangkah abad ke-21 ini khidmat patik tidak diperlukan lagi. Adapun kepakaran patik ditenggelamkan oleh teknologi yang canggih sekarang ini. Ampun tuanku.”

“Apa tuan hamba ini nenek kebayan. Masakan zaman moden ini masih ada orang seperti tuan hamba. Telah sekarang ini wujudnya hospital seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Mana mungkin orang akan memilih akar-akar kayu itu untuk dibuat ubat.” Panglima Mergastua memberikan pandangannya sendiri. 




Masih berbaki dua bulan - November dan Disember sebelum tahun 2012 berlabuh. Masihkah ada rezeki untuk karya saya tersiar. Saya mendoakan karya-karya yang masih berbaki di meja editor masih berpeluang untuk menemui pembaca pada akhir-akhir tahun ini. (Sukar untuk saya mencari rentak untuk menulis sekarang ini setelah berhenti beberapa lama). Sibuk juga dengan urusan di sekolah. 

*Tahniah kepada Nur Suhada Sayuti dengan tersiar cerpennya (Hatiku Menangis di Madrasah) di Harmoni edisi 15-30 Oktober 2012.

Selasa, 9 Oktober 2012

Himpunan Karya Pemenang HSKU 2011


Keputusan para pemenang HSKU 2011 telah pun diumumkan. Selepas ini, pastilah karya-karya yang diiktiraf ini akan menjadi tumpuan dan rebutan untuk dimiliki. Jadi usah menunggu lagi, dapatkan segera novel dan antologi tersebut.

Pembaca bukan sahaja boleh membaca karya-karya yang telah memenangi HSKU, bahkan boleh membaca laporan panelnya sekali berkenaan karya-karya tersebut.

1. Deru Angin - Pemenang Tempat Pertama Kategori Novel Remaja (RM25.00)
2. Waris Pejuang - Pemenang Tempat Kedua Kategori Novel Remaja (RM19.50)
3. Rimba Jiwa - Pemenang Tempat Ketiga Kategori Novel Remaja (RM18.00)

Antologi:
1. Istimewa - Antologi  Cerpen / Sajak / Kajian & Rencana Sastera (RM25.00)
2. Cerita Akhir Tahun - Antologi Cerpen Remaja (RM17.00)


Hadiah kemenangan ini dalam skala besarnya telah menyuntik semangat kepada saya untuk terus menulis. Namun, tidak sesekali perasaan riak itu membungkus diri hingga melemaskan saya untuk terus bernafas. 

Pesanan guru saya (Dr Kamariah Kamarudin) "pabila telah berada di puncak, jangan lupa rumput di bumi, pabila telah menggapai bintang di langit, jangan lupa merenung ke tanah." akan saya jadikan pedoman. Terima kasih Dr. atas entri yang bermakna ini. Bolehlah baca, jika ingin. 

Setelah membaca rencana Nisah Haron yang memenangi kategori rencana (Penulis (Muda) Tunggu Pengiktirafan beberapa perenggan yang ditulisnya telah membuatkan saya berfikir panjang. 

"Menerima sebarang bentuk penganugerahan bukanlah noktah kepada perjuangan dalam penulisan kreatif. Sebagai suatu bentuk pengiktirafan, anugerah adalah satu penanda aras yang memberi tanggungjawab lebih besar kepada pegarang, ertinya pengarang tersebut harus menunjukkan peningkatan dalam pengkaryaan atau setidak-tidaknya mengekalkan kualiti yang ada. Hal keprolifikan sudah tidak perlu dinyatakan lagi." 

"Menulis cerpen secara eceran juga sukar mendapat perhatian pengkritik berbanding dengan menulis novel sastera, melainkan penulisan cerpen itu dibuat secara tekal dan nama pengarangnya muncul hampir di mana-mana media sastera serta setiap kali menawarkan tema dan persoalan yang avant-garde."


Isnin, 8 Oktober 2012

Kemenangan Adalah Suatu Anugerah (HSKU 2011)


Tanpa berselindung lagi saya sangat bersyukur atas kemenangan ini. Kemenangan ini saya sifatkan anugerah yang dikurniakan-Nya kepada saya (penulis kecil) yang baru hendak merangkak untuk memanjat menara peradaban kesusasteraan negara kita.

Debaran di dada saya, hanya Dia yang tahu. Sesekali saya salurkan juga kepada rakan (pengiring) sepanjang perjalanan hinggalah masih meruntun saya tatkala berlabuh di meja bulat yang penuh dengan hidangan istimewa.

Ini merupakan kemenangan saya yang kedua sepanjang sejarah penglibatan saya dalam dunia penulisan. Pada tahun lepas saya juga telah memenangi Hadiah Penghargaan Kategori Cerpen Remaja dengan cerpen berjudul BUNGA TELUR KENDURI KAHWIN. Alhamdulillah, sekali lagi tuah yang sama memihak kepada cerpen KUIH BAKUL LIMAU MANDARIN. Walau bagaimanapun saya tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis penyampaian tersebut. Kali ini saya tebus. Dengan keizinan-Nya sampai juga saya pada malam yang penuh gilang-gemilang bersaksikan persembahan Adibah Nor dan kepetahan pengacaranya Ahmad Fitri Yahya.

Saat saya memasuki BALLROOM Hotel Seri Pacific, betapa kerdilnya saya. Saya terpandang-pandang akan wajah penulis-penulis yang terkenal antaranya Nisah Haron, Dr. Mawar Safie, Husna Nazri, Zaen Kasturi, Tuah Sujana. Ramah mereka bergaul mesra yang sudah pasti telah menjadi kawan akrab. Mereka ini dalam diam menjadi idola dan pembakar semangat kepada saya. Saya sangat kagum dengan hasil penulisan mereka.

Dalam kegugupan itu, sempat juga saya melamar beberapa orang penulis untuk bergambar dengan saya. Termasuklah beberapa orang peserta yang mengikuti bengkel penulisan dan penerbitan bersama ITBM.

sekadar bergambar kenangan
Pemenang utama setiap kategori bergambar sebagai kenangan
Dari kiri, Prof Madya Dr. Lim Swee Tin (panel penilai),
Tengah Husna Nazri (pemenang utama dan penghargaan kategori cerpen remaja)

Tuah Sujana (pemenang hadiah utama puisi-Kudup Perang)
Salina Ibrahim merangkul dua hadiah untuk kategori cerpen dewasa dan remaja
Tengah-Siti Hajar Mohd Zaki (Mencatur Kasad Sekujur Jasad) 
dan kanan adik kepada Norziati Mohd Rosman

Peserta yang mengikuti bengkel bersama ITBM turut diundang
MK Riza penulis cerpen Masjid Tua Berwarna Hijau
Fathul Khair (Tinta Aksara Rawian Kata-penulis cerpen Marga Ranah Rusuhan)
Suhada Sayuti - penulis cerpen Senandungkan Gurindam itu
*Alangkah gementar dan berdebarnya lagi sekiranya keputusan diumumkan pada dan ketika itu juga dan bukannya di meja pendaftaran. (Baru setanding Anugerah Juara Lagu)

Sabtu, 6 Oktober 2012

Keputusan HSKU 2011


Alhamdulillah, majlis penyampaian hadiah kepada pemenang HSKU 2011 semalam berlangsung dengan jayanya. Tahniah kepada para pemenang.

Di sini saya turunkan senarai para pemenang mengikut kategori yang dipertandingkan.

Kategori Kajian & Rencana Sastera
Kajian Sastera
 Mawar Safei - Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu (Pemikir, Januari-Mac 2011)

Rencana Sastera
 Nisah Haron - Penulis (Muda) Tunggu Pengiktirafan (Pemikir, Januari-Mac 2011)

Kategori Cerpen
Hadiah Utama
 Hafizah Iszahanid - Istimewa (Mingguan Malaysia, 11 September 2011)
 Rahimah Muda - Mem Bercoker Emas (Mingguan Malaysia, 25 September 2011)
 Siti Hajar Mohd Zaki - Mencatur Kasad Sekujur Jasad 9Mingguan Malaysia, 18 September 2011)

Hadiah Penghargaan
 Halimunan, Mohd fadzil Yusof (Mingguan Malaysia, 30 Oktober 2011)
 Hantu Osama, Salina Ibrahim ( Mingguan Malaysia, 29 Mei 2011)
 Penghujung Nyawa, Siti Noraishah Yazid (Aya Sophia) (Mingguan Malaysia, 17 Julai 2011)
Sandarkan Pada 999.9, Norzana Razaly (Zanazanzaly) (Mingguan Malaysia, 6 Mac 2011)
Waqwaq, Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M Zakir) (Mingguan Malaysia, 24 Julai 2011)
Zamindar, Zainal Palit (Zaen Kasturi) (Mingguan Malaysia, 6 November 2011)

Kategori Puisi
Hadiah Utama
 Nik Azri Nik Mohamed Arriff (Tuah Sujana) - Kudup Perang (Mingguan Malaysia, 11 Disember 2011)
 Mohd Hashim Osman - Sang Gembala Kuda (Mingguan Malaysia, 19 Jun 2011)
 Norziati Mohd Rosman - Tidak Seorang Pun Wartawan Datang Bertanya (Mingguan Malaysia, 20 Mac   
 2011)

Hadiah Penghargaan
 Aku Tidak Berani Berjanji, Mohd Rosli Nik Mat (Rosli K. Matari) (Mingguan Malaysia, 6 Mac 2011)
 Ingatan Keoada Kawan XXXIV, Zainal Palit (Zaen Kasturi) (Mingguan Malaysia, 25 September 2011)
 Jakarta dalam Sambraut, Mat Rawi Hamat (Nawawee Mohammad) (Mingguan Malaysia, 11 September 
 2011
 Kembali ke Gema Dikir, Rositah Ibrahim (Mingguan Malaysia, 13 November 2011)
 Nota Kecil Saat Menyeberangi Usia II, Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Fahd Razy) (Mingguan  
 Malaysia, 13 Februari 2011
 Terminus A Quo, Raihani Mohd Saaid (Mingguan Malaysia, 27 Mac 2011

Kategori Cerpen Remaja
Hadiah Utama
 Dk Mastura Pg Ismail (Dayangku Mastura) - Bakau Tetap Teguh (Mingguan Malaysia, 17 April 2011)
 Zaniffa Azzura Allah @ Abdullah - Talia dan Raksasa Qadqad (Mingguan Malaysia, 20 Mac 2011)
 Nazri Hussein (Husna Nazri) - Tukang Sejarah (Mingguan Malaysia, 9 Oktober 2011)

Hadiah Penghargaan
 Banjir di Mata Emak, Che Soo Ismail (Mingguan Malaysia, 23 Januari 2011)
 Cerita Akhir Tahun, Zainal Rashid Ahmad (Harmoni, 1 Disember 2011)
 Harum Kasih Daun Irik, Dk Mastura Pg Ismail (Dayangku Mastura) (Wanita, April 2011)
 Kalbu Adam di Tahun Baru, Nazri Hussein (Husna Nazri) (Mingguan Malaysia, 11 Disember 2011)
 Kuih Bakul Limau Mandarin, Mohd Helmi Ahmad (Harmoni,1 Februari 2011)
 Menuai Emas, Salina Ibrahim (Mingguan Malaysia, 20 November 2011)

Kategori Novel Remaja
Tempat Pertama
 Hafizah Iszahanid - Deru Angin 

Tempat Kedua
 Ruhaini Matdarin - Waris Pejuang

Tempat Ketiga
 Sri Rahayu Mohd Yusop - Rimba Jiwa

Panel Penilai
Pengerusi
1. Prof. Madya Dr. Hashim Ismail

Timbalan Pengerusi
2. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad

3. Dr. Pabiyah Toklubok @ Hajimaming
4. Dr. Mohd Hanafi Ibrahim
5. Dr. Norhayati Ab. Rahman
6. Cik Wan Norlidza Wan Mohd Zain
7. Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin
8. Encik Che Abdullah Che Ya

Sekretariat
9. Encik Rozlan Mohamed Noor (Pengerusi Teknikal)
10. Cik Wan Faizahtul Hilir Yasak

Di sini saya mengambil kesempatan untuk memperbetulkan kesilapan yang berlaku yang mana cerpen KUIH BAKUL LIMAU MANDARIN yang memenangi HSKU ini merupakan cerpen yang disiarkan di HARMONI dan bukannya di MINGGUAN MALAYSIA seperti yang tersalah cetak dalam antologi tersebut.

Untuk entri seterusnya akan saya ceritakan sekitar majlis tersebut berlangsung. 

Khamis, 4 Oktober 2012

Debaran Menanti Pengumuman HSKU 2011

Pastinya semua sasterawan, penulis mahupun pengikut sastera tanah air akan menanti pengumuman HSKU 2011 yang akan diadakan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada malam esok, 5 Oktober 2012. Majlis tersebut barangkali menghimpunkan sejumlah penulis yang bakal memenangi beberapa kategori anugerah yang dipertandingkan.

Saya jangkakan kategori novel remaja menjadi tumpuan. Kita masih berteka-teki sama ada Sri Rahayu Mohd Yusop bakal menggondol sekali lagi anugerah ini. Atau ada penulis baharu@lain yang mampu merampas tahkta itu. (wah, dah macam anugerah Bintang Paling Popular)

Tetamu istimewa yang bakal hadir pada malam tersebut ialah KETUA SETIAUSAHA NEGARA

Sebenarnya, saya juga berdebar-debar untuk menanti keputusan diumumkan. Tidak seperti selalunya, senarai akhir 19 buah karya yang layak dinilai pada peringkat akhir akan dikeluarkan dan disiarkan sebelum majlis berlangsung. Tetapi tidak kini. Semuanya masih menjadi rahsia. 

Terdapat 3 buah cerpen dan 1 buah puisi saya yang tersiar di media utusan pada tahun lepas. Antaranya, KUIH BAKUL LIMAU MANDARIN, KOLAM dan LOCENG KRISMAS. Ketiga-tiga cerpen ini telah tersiar di majalah HARMONI. Terima kasih kepada editor yang sudi memberi peluang kepada karya ini dimuatkan dalam majalah kelolaan mereka. 

Sekali imbas, pasti semua dapat menerka tatkala membaca judulnya. Ketiga-tiga cerpen ini mengambil sempena Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas sebagai wadah untuk saya berkarya. Kepada yang pernah membaca ketiga-tiga cerpen ini pasti tahu jalan ceritanya.

*Kepada yang telah menerima jemputan selamat bergembira dan tahniah.

Selasa, 2 Oktober 2012

Meraikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012

Bulan Oktober merupakan Bulan Bahasa Kebangsaan. Jadi di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan. Dengan tema- 1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara. Bersama-samalah kita memeriahkan aktiviti yang telah dirancang.

Tahukah anda sekalian, maksud di sebalik logo Bulan Bahasa Kebangsaan? Jika tidak, sama-samalah kita membaca keterangan yang saya pindahkan daripada Facebook DBP.

kredit foto-FB DBP
Logo Bulan Bahasa Kebangsaan dan keterangannya...

Keseluruhan konsep logo menggambarkan peranan rakyat pelbagai bangsa di dalam negara bagi membentuk perpaduan di dalam konsep satu Malaysia "BBK" menjadikan tunggak kecemerlangan negara berasaskan pembangunan yang berteraskan bahasa sebagai wadah.

HURUF "B"
Huruf "B" yang direka secara grafik dan dinamik sekilas pandang berbentuk "B" bererti "Bulan" dan "bahasa Kebangsaan" di hujung pena menjadi tunjang pada huruf "B". Ia sinonim dengan DBP sebagai sumber ilmu dan juga dataran untuk menyampaikan dan memacukan visi dan misi DBP yang merupakan matlamat bahasa dan sastera yang akan direalisasikan oleh "B".

BENTUK DUNIA BERPUSING DAN BENDERA MALAYSIA
"Bendera Malaysia" secara grafik terdiri daripada pelbagai warna membentuk dunia berpusing tanpa had menggambarkan arah tuju untuk mencapai matlamat masa depan "B" yang cemerlang.

Dunia berpusing menjadi latar belakang logo melambangkan tema perpaduan serta menitikberatkan cinta bahasa dan negara. Ia juga menunjukkan semua kaum yang sentiasa dipupuk dan dipastikan perpaduan, keharmonian kaum terpelihara untuk menjamin masa depan yang lebih gemilang. Ia memberi penyatuan kepada tiga bangsa utama di Malaysia, hidup penuh muafakat, bekerjasama demi memajukan negara.

Lingkaran tiga jalur merah putih pada bendera Malaysia merupakan kegiatan-kegiatan "BBK" yang meliputi pelbagai bidang ilmu dan bahasa.

DAUN RESAM DBP
Daun resam DBP yang terdapat pada logo korporat menterjemahkan bahasa menjadi bumbung logo. Ia juga sumber dalam memperkembangkan bahasa dalam era globalisasi terpusat di atas logo ini sebagai nadi utama "BBK".

PENA DARI HURUF "B"
Pena yang terletak di penghujung huruf "B" menggambarkan matlamat yang dituju dalam "BBK". Di samping itu, ia juga mencerminkan kegiatan bahasa dan sastera.

WARNA
MERAH DAN PUTIH
Merah dan putih menggambarkan semangat rakyat Malaysia untuk mencapai kegemilangan dan juga menjadi simbol wawasan satu Malaysia yang suci dan ikhlas.

KUNING
Kuning mengekalkan sistem raja berpelembagaan dan menjunjung luhur kedaulatan Negara serta menjadi simbol kegiatan "BBK" ke arah kegemilangan.

BIRU
Biru bermaksud kestabilan, bersatu hati dan hidup sejahtera untuk mencapai matlamat "BBK" bersama pelbagai kaum dalam negara.

HIJAU
Hijau melambangkan keterampilan dan kegiatan berwibawa dalam mengembangkan bahasa yang sentiasa subur ke persada dunia.

Pereka:
Naim bin Hj. Ahmat

*Sumber dipetik dari FB DBP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78