Pengikut

Selasa, 30 Oktober 2012

Koleksi Buku Baharu: Pewaris dan Anggerik Dari Bukit Tujuh



Sewaktu saya pulang ke kampung, ibu saya ada memberitahu bahawa saya perlu beli rak buku baru satu lagi. Katanya, sudah tidak muat. Sebelum ini, dia ada juga memberitahu saya supaya buang buku lama. Bolehlah rak itu digunakan untuk menyusun buku-buku yang lain (saya sesekali tidak akan membuang buku saya walaupun sekadar buku nota sewaktu di sekolah dahulu). 

Di rumah saya hanya ada dua buah rak buku yang mempunyai 4 tingkat dan dibahagikan kepada 12 kotak-kotak kecil. Kepada sesiapa yang pernah menggunakan rak seperti ini pasti mengetahuinya. Ya, rak itu sememangnya sudah sarat sehingga saya terpaksa menyusunnya menjadi dua baris bertindan. Sebenarnya, saya kurang gemar menyusun buku begitu. Tetapi terpaksa juga. Sebolehnya, saya hendak mencari rak buku yang bersesuaian. Kalau buat sendiri lebih mudah untuk mengikut kehendak hati, bukan.

Bercerita mengenai dua buah buku baharu di atas, saya membelinya sewaktu hendak pulang ke kampung sempena hari raya korban baru-baru ini. Saya juga mencari novel Sayang Ustazah Sayang yang diterbitkan semula oleh ITBM. Namun tidak kehilatan. Kedua-dua buah buku ini belum sempat saya baca dan saya tinggalkan dulu di kampung. Berbaki seminggu lebih sahaja lagi, sekolah akan bercuti. Ketika itu bolehlah saya langsaikan hutang membaca yang tertunggak. 

Anggerik Dari Bukit Tujuh juga, telah diulas oleh Marsli N.O di ruangan buku Mingguan Malaysia baru-baru ini. Untuk novel Pewaris, karya Rahimidin Zahari ini merupakan cetakan semula oleh pihak ITBM. Sebelum ini pun saya tidak pernah membacanya. Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk memilikinya. Bukankah baik, sekiranya buku-buku lama yang bermutu dicetak semula oleh ITBM. Terutamanya, koleksi buku Sasterawan Negara. Cari di pasaran sudah tidak jumpa. Jadi tidak salahkan. Bolehlah generasi kini membacanya.

Keinginannya masih ada untuk membeli sejumlah kumpulan puisi yang diterbitkan oleh ITBM. Insyaallah, jika dimurahkan rezeki, dapatlah saya membelinya nanti. 

3 ulasan:

  1. *saya sesekali tidak akan membuang buku...

    Huh. Sama sekali saya setuju. *thumbs up

    Kalau tidak dijumpai di kedai biasa, lebih senang membeli online di website ITNM. Mudah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya juga begitu.

      Saya jarang membeli secara online, tak tahu juga caranya sebenarnya.

      Padam
    2. Baik juga kalau saudara mencuba.

      Saya pun pada awalnya tidak tahu, tetapi saya tak mahu mengaku kalah dengan teknologi. Hehe.

      Yang penting saudara perlu ada akaun bank online seperti Maybank2u atau Cimb Click.

      Kedua, perlu mendaftar di website ITNM sebagai ahli pembeli. Setup alamat, masukkan pilihan buku.

      Kemudian check out dan lakukan transaksi wang.

      Sebenarnya pengetahuan beli online ini membolehkan kita lebih senang membeli buku yang jarang ada di kedai buku. Seperti penerbitan DBP yang lama. Saya dapat beli secara online. =)

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78