Pengikut

Selasa, 30 April 2013

Karya Berganda di Hujung Minggu Dalam Berita Harian dan Mingguan Malaysia

Alhamdulillah, sesungguhnya setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas dan tanpa jemu pasti mendapat imbalan yang setimpal daripada Allah SWT. Itulah yang boleh saya gambarkan, apabila dua buah karya saya iaitu cerpen dan ulasan buku yang tersiar di Berita Harian (BH) dan Mingguan Malaysia semalam. 

LAFAZ NIAT SEORANG USTAZAH adalah dahwah atau sedikit ilmu yang hendak saya kongsikan dengan pembaca terutama untuk kaum Muslimah. Itu tidak bermakna kaum lelaki (suami) boleh lepas tangan kerana peranan ini juga haruslah sama-sama dipikul. Saya tampilkan watak Ustazah Hamimah sebagai penggerak cerita. Sebelum kejayaan dicapai pasti ada halangannya. Bertambah manisnya lagi setelah perjuangan itu menuju kejayaan. Kepada pembaca yang telah membaca cerpen ini bolehlah memberi ulasan. Saya terima seadanya. 


Untuk ulasan yang berjudul MENGHAYATI SENGSARA DAN KEMANUSIAAN pula adalah manisfestasi daripada sudut pandang pembacaan saya. Apa-apa yang saya tulis ini bukanlah memberi makna keseluruhan dan tidak bermakna juga wajah keseluruhan isi kumpulan puisi tersebut. Setiap pembaca boleh mentafsir dari kaca mata sendiri. Walau bagaimanapun, sememangnya kumpulan puisi ini perlu dihayati dengan hati nurani. 

Selamat membaca!


Isnin, 29 April 2013

Kembara Buku di PBAKL 2013

Setelah menghubungi rakan-rakan untuk mengajak ke PBAKL, mereka memberitahu bahawa masing-masing ada hal. Jadi, rasa terkilan juga kerana selalunya saya pergi bersama mereka. Namun begitu, semalam demi buku yang diidamkan menjadi milik saya, saya memberanikan diri untuk ke PBAKL seorang diri menaiki tren komuter. 

Sebenarnya, kembara ini sangat memberi pengalaman kepada saya. Mana tidaknya, setelah penat berjalan dari Putra ke PBAKL sewaktu baliknya, saya tersalah naik tren ke Batu Cave. Mujurlah cepat sedar. Kemudian, saya turun di Sentosa dan naik semula tren ke Putra. 

Setelah sampai di Batang Kali, hujan turun dengan lebat. Saya tidak menjangka jalan masuk ke rumah saya digenangi air yang sangat dalam. Hingga jalan terpaksa ditutup buat sementara waktu. Alhamdulillah, dengan lafaz bismillah, kereta yang menghantar saya pulang itu meredah juga jalan masuk ke rumah saya itu. Rasa takut pun ada. Cukuplah dengan pengalaman merasai banjir sewaktu belajar di Perlis dulu. 

Kembali ke topik asal, inilah buku-buku yang sempat saya beli. Kebanyakannya buku daripada terbitan ITBM. Dan ada juga dari DBP dan Cerdik Publication. Ada antaranya pula buku yang tidak dirancang disambarnya. Hanya tiga buah buku sahaja yang dirancang tetapi tidak dibeli. Entahlah, setelah ditimbang semula, rasa rugi pula.

Saya mengambil kesempatan ini juga untuk melanggan semula Tunas Cipta dan Dewan Sastera dengan Dawama. Siapa dapat teka berapa jumlah kesemua buku ini setelah dapat diskaun, yang saya kira paling banyak sekali dalam sejarah saya ke pesta buku?

Entah, bila hendak habis baca pun tidak tahulah!

Antara buku-buku ITBM yang dibeli

Kumpulan cerpen yang terbaharu ITBM, masih panas

Kumpulan puisi daripada penulis yang hebat

Himpunan karya yang hebat daripada penulis Malaysia, muda dan mapan

Kumpulan cerpen kanak-kanak dan 
Sepi Makin Memanjang (kumpulan cerpen terbaharu, Allahyarham Azizi Abdullah)

3 buku RM 10. Kumpulan cerpen Cerdik Publication

Majalh terbitan DBP edisi 2012. Edisi bulan Mei belum ada. 
Yang ada Dewan Budaya dan Dewan Kosmik sahaja.

Sebenarnya, saya masih menyimpan hasrat untuk ke sini sekali lagi. Rasa hendak membeli beberapa buah buku lagi. Tetapi, tidak tahu bila. Jika ada rezeki dapatlah! Jika tidak, saya cari di kedai buku sahaja nanti.

Kepada yang belum pergi, ayuh ke sana. Pasti anda akan berpuas hati, kecuali yang tidak gemar membaca dan membeli buku. Saya sarankan anda membawa beg galas untuk memudahkan anda membawa buku. Tidaklah sakit tangan hendak mengangkutnya. 



Jumaat, 26 April 2013

Tawaran Diskaun Eksklusif 50% Pembelian Buku ITBM di PBAKL 2013

Hari ini merupakan hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 dibuka. Entah bagaimana ya, suasana dan keadaan di sana. Pasti meriah! 

Pada dua hari lepas, saya membuka emel dan agak terkejut dengan tajuk emel yang diterima. Diskaun Eksklusif 50% Pembelian Buku ITBM di PBAKL 2013. Wah, setahu saya hanya penulis di bawah ITBM sahaja akan menikmati tawaran ini. Kalau tak salah saya juga, diskaun 40% pun hanya dibuka sekitar 1 jam setiap hari iaitu pada pukul 10.30 pagi hingga 11.30 pagi. 

Sebelum menerima tawaran ini saya juga telah merancang untuk merebut diskaun 40% ini dengan menghadirinya sekitar jam yang telah ditetapkan. Tetapi, perancangan Allah SWT ternyata lebih baik. Diberinya tawaran ini kepada saya yang telah merancang untuk membeli buku terbitan ITBM dengan jumlah judul yang bagi saya agak banyak. Alhamdulillah (tidak sia-sia juga saya mengulas buku terbitan ITBM selama ini menerusi buku Gunting-Marsli N.O, Bidadari Burung-S.M Zakir, dan Merangkai Kisah Merenda Kata-Marsli N.O). Ternyata ITBM mampu menyemarakkan dunia penerbitan buku sastera di Malaysia ini.

Cara untuk membuat pembelian nanti, saya hanya perlu mencetak emel itu yang sudah tertera nama saya. Cukup dengan menunjukkan keratan emel itu bersama kad pengenalan saya sebagai bukti penerimaan tawaran tersebut kepada petugas di kaunter. Terima kasih kepada pihak ITBM, walau pun saya ini belum lagi layak digolongkan dalam penulis buku yang sebenarnya kerana manuskrip saya belum pun diberitakan lulus. Masih menanti dengan penuh kesabaran. 

Rabu, 24 April 2013

PBAKL 2013 Medan Pertemuan antara Penulis dengan Pembaca


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 hampir tiba. Sudah bersediakan anda untuk menyerbunya nanti? Selain membeli buku dengan harga "runtuh" atau "promosi", apakah yang anda harapkan apabila mengunjunginya? Saya fikir, selain membeli buku, dapatlah bertemu atau bertentang mata dengan penulisnya. Jadi, pelbagai acara yang telah diaturkan. Saya lihat ITBM telah mengatur program bersama penulisnya, contohnya Wawancara Sofa Putih, sesi autograf. Oleh itu, rebutlah peluang untuk bertemu dengan penulis kesayangan anda. 

Saya juga bercadang untuk memperbaharui langganan majalah Tunas Cipta saya yang akan berakhir bulan Mei ini. Kemudian, mahu juga saya bertanya sekiranya langganan Dewan Sastera saya yang akan berakhir Jun nanti sudah boleh diperbaharui juga. Jika boleh, insyaallah akan saya mengambil peluang ini untuk memperbaharuinya. 

Para penerbit juga telah melancarkan perang promosi untuk menarik perhatian pembaca untuk membeli buku keluaran mereka. Di samping itu, sudah tentulah banyak buku baharu yang akan dilancarkan nanti. 

Alamak, bertambah gilanya saya apabila melihat buku-buku terbitan terbaharu ni. Rasanya kalau bawa RM 300.00 memang tak cukup. 

Selamat membaca! 

Khamis, 18 April 2013

Cerpen: Menghapus Cemburu di Mingguan Warta Perdana


Alhamdulillah, MENGHAPUS CEMBURU akhirnya tersiar juga di Mingguan Warta Perdana, edisi 28 April 2013. Cerpen ini merupakan antara cerpen terawal yang saya tulis setelah melibatkan diri dalam dunia penulisan. 

Ketika saya menulis pada awal pembabitan saya dahulu, saya hanya menghantar ke media tertentu sahaja. Hal ini kerana, saya belum terdedah dengan pelbagai media dan ketika itu saya hanya menghantar melalui pos. Jadi, agak terhad. 

Walau bagaimanapun, saya tidak mudah berputus asa, cerpen ini walaupun terperam lama dalam bank simpanan, saya mencuba lagi ke media lain. Akhirnya, saya berpuas hati, walaupun yang menyiarkannya hanyalah akhbar tabloid. 

Apabila kita selalu menghantar karya ke pelbagai media, kita akan tahu, karya bagaimanakah yang mudah untuk diterima oleh editor media tersebut. Dan tidak hairanlah sekiranya anda melihat dan membaca nama penulis itu sering sahaja menjadi pilihan editor untuk menyiarkan karyanya. 

Selamat membaca!

Rabu, 17 April 2013

Kursus i THINK untuk Guru Pemulihan Hulu Selangor

Alhamdulillah, kursus i THINK untuk guru pemulihan Hulu Selangor telah berjaya dilaksanakan hari ini di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Bukit Beruntung Selangor. 

Buat pertama kalinya, setelah saya mengikuti kursus ini kemudian memberi latihan dalaman kepada guru-guru di sekolah saya, hari ini saya dijemput untuk memberi kursus tersebut kepada guru pemulihan pula. Saya tidak menjangka sama sekali kerana saya bukanlah Jurulatih i THINK dan saya hanyalah pemandu i THINK sekolah sahaja. 

Pada asalnya ada dua orang penceramah, namun setelah penceramah seorang lagi menarik diri atas sebab-sebab tertentu jadinya, saya mengambil alih tempat tersebut bersama Puan Zaiton Mohktar dari SJKT Ladang Batang Kali untuk menyampaikan kursus tersebut walaupun kami ini bukanlah guru pemulihan. 

Saya berharap guru-guru ini memahami apa-apa yang telah di sampaikan dan dapat mengaplikasikannya setelah pulang ke sekolah nanti.   

Guru-guru yang bertungkus lumus menyediakan peta pemikiran yang diberikan
Puan Zaiton yang sedang memberi penerangan

Kumpulan yang ditugaskan untuk membuat peta buih


Untuk pengetahuan semua, i THINK adalah satu alat yang digunakan untuk menjana pemikiran murid ke arah berfikir pada aras tinggi. 8 peta pemikiran telah dibangunkan oleh Kesrel Education di United Kingdom dan diperkenalkan di Malaysia.

1) Peta Bulatan (Mendefinisikan sesuatu konsep)
2) Peta Buih (Menerangkan kata/frasa adjektif)
3) Peta Buih Berganda (Membuat banding beza)
4) Peta Pokok (Membuat pengelasan)
5) Peta Dakap (Hubungan seluruh bahagian)
6) Peta Alir (Turutan)
7) Peta Pelbagai Alir (Sebab dan kesan/akibat)
8) Peta Titi (Membuat analogi)

Isnin, 15 April 2013

Cerita Menjelang Pesta Buku PWTC 2013

Sudahkah anda membaca cerpen di BH Ahad dan Mingguan Malaysia hari ini? Itulah rutin saya setiap pagi Ahad. Selepas tema yang termuat dalam kedua-dua akhbar ini berkaitan Pencerobohan di Lahat Datu, kini temanya beralih pula pada Pilihanraya. 

Beberapa hari lepas, ayah saya ada menelefon saya dan memberitahu bahawa bayaran cerpen saya yang disiarkan di Dewan Budaya, Mac 2013 telah masuk. Dan bayarannya di luar jangkaan saya. Selama ini paling minimum saya menerima untuk bayaran sebuah cerpen ialah RM 80.00, dan paling banyak saya dapat RM 200.00 iaitu bayaran dari Tunas Cipta dan Pelita Bahasa. Tetapi, bayaran untuk Dewan Budaya lebih daripada itu. Alhamdulillah. Bolehlah nanti duit itu saya gunakan untuk 'berborong' di Pesta Buku Antarabangsa, PWTC yang tidak lama lagi bakal berlangsung. Senarai buku telah pun dibuat. Kebanyakkannya buku dari penerbitan ITBM. 

Kumpulan Cerpen
1) 3 Kuntum Hujan - Darma Mohammad
2) Sejingga Musim Luruh - Ghazali Lateh
3) Pemberani - Norhisham Mustaffa
4) Ayam Patah Kepak - Hafizah Iszahanid
5) Hanya Batu Nisan - Mad Sakiran Sulaiman







Kumpulan Puisi
1) Perjalanan Teluki - Tuah Sujana
2) Negeri Wangi - Ramlie A.R
3) Tercipta dari Tanya - Anwar Ridhwan


Novel
1) Pagi di Hujung Senja - Kathrina Susanna Tati

Buku Umum/Penulisan
1) Tip Mengarang Cerita Kanak-kanak 
2) Jom Menulis - Marsli N.O (Utusan Publications)



P/S Sumber foto daripada Facebook ITBM

Senarai ini akan bertambah sehingga menjelang PBAKL nanti. 

Sabtu, 13 April 2013

Cerpen: Bendul di Rumah Nenek di Mingguan Wanita


Alhamdulillah, lama juga menanti cerpen ini sebelum disiarkan dalam Mingguan Wanita, edisi 12-18 April 2013. Terima kasih kepada editornya. 

BENDUL DI RUMAH NENEK ini telah lama saya tulis. Dan beberapa kali juga bertukar tajuk. Sebenarnya, susah juga untuk menjudulkan sesebuah karya. Kadangkala tajuk yang diberi langsung tidak berkaitan. Adakalanya pula, tajuk yang diberi mudah diterka oleh pembaca. Akhirnya, tidak lagi menimbulkan suspen untuk pembaca. Segala-galanya perlukan ketelitian dan kekreatifan penulis dalam menukang karyanya. 

Selamat membaca!

P/S: Hendak menulis cerpen tetapi tidak ada masa. Kalau adapun sempat mengedit cerpen lama sahaja. Hampir 10 buah cerpen yang saya hantar sepanjang tahun ini. Kebanyakannya cerpen lama yang saya murnikan semula. Kalau percubaan tahun-tahun lepas tidak menjadi, harap-harap tahun ini dapatlah hasilnya.

Rabu, 10 April 2013

Kejohanan Bola Jaring Zon Selatan

Hari ini Sekolah Kebangsaan batang Kali menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Bola Jaring bawah 12 tahun Zon Selatan. Tahniah kepada penganjur yang telah berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang. 

Ketika ini SK Batang Kali sedang menentang SK Rasa

Bersemangat setiap pasukan untu

Rabu, 3 April 2013

Berita Bahasa: i-THINK Membudayakan Kemahiran Berfikir


Saya akan mengambil peluang dan kesempatan yang ada untuk menulis. Walaupun sekadar ruangan berita bahasa. Itu sudah cukup bagi saya untuk terus mengasah pena saya daripada terus tumpul tidak menulis. Kesibukan dalam dunia pendidikan membataskan untuk saya meluangkan masa untuk menulis. Jadi, tidak salah saya menggunakan sedikit ruang dan peluang untuk berkongsi tentang apa-apa sahaja. 

Oleh itu, kepada penulis baharu khususnya, janganlah menunggu peluang hanya untuk menulis untuk ruangan yang hebat dan besar sahaja. Penulis yang bijak, ialah penulis yang mampu mencipta peluang untuknya mencambahkan idea dan ilham. 

Dalam Pelita Bahasa, April 2013, berita bahasa saya yang berjudul i-THINK MEMBUDAYAKAN KEMAHIRAN BERFIKIR, telah disiarkan. Selamat membaca. 

Selasa, 2 April 2013

Koleksi Buku: Buku Terbitan ITBM 2013


Sebelum pulang ke Batang Kali, saya singgah dulu di Kedai Buku 1Malaysia. Minggu lepas sebelum saya pulang ke Kedah, saya mencari beberapa buah buku terbitan ITBM. Namun, hampa. Semalam, saya sekali lagi ke sana. 

Di kedai Buku 1Malaysia, saya mencari enam buah buku terbitan ITBM ini. Tetapi tidak pula jumpa. Sebelum melangkah kaki ke stesen Plaza Rakyat, saya singgah dulu di jualan buku di ruang legar berdekatan pintu utama UTC Pudu Sentral. Cari punya cari, akhirnya berjumpalah dengan keenam-enam buku tersebut. Ketika itu gembiranya saya. 

Moga, buku-buku ini mampu memberi manfaat kepada saya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78