Pengikut

Khamis, 18 Julai 2013

Mabuk Cinta Keladi

Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari yang kelapan kita berpuasa. 

Sebenarnya saya jarang menerbitkan cerpen saya di blog ini. Namun begitu, ada permintaan rakan blogger yang meminta saya berkongsikan cerpen saya yang pernah disiarkan di media cetak. Jadi, saya bermurah hati di bulan Ramadan ini untuk memenuhi permintaan itu. Cerpen ini sekadar rekaan semata-mata. Oleh itu, contohilah yang baik dan hindarilah yang kurang baik. Selamat membaca. 


MABUK CINTA KELADI
P

ERTEMUAN saya dengannya memang secara kebetulan sahaja. Tidakpun dirancang sama sekali. Semasa saya berjalan-jalan ke bazar Ramadan dia ada di situ. Kelihatannya dia agak sibuk sedikit. Saya tidak mahu mengganggunya.
Saya tidak mengenalinya. Namanya pun saya tidak tahu. Bahkan lagilah di mana tempat tinggalnya. Tetapi hati saya terasa benar untuk menegurnya.  Apabila memikirkan kembali yang saya sudah beristeri lantas perasaan itu patah. Saya sangat sayang akan isteri saya. Dia adalah cinta pertama saya. Tidak tegar untuk saya melukakan hatinya. Sekiranya dia dapat tahu yang saya bermiang di luar tentu sekali hatinya akan remuk.
Hajat saya hanyalah untuk mengajaknya minum-minum sahaja. Tidak lebih daripada itu. Mahukah dia berbual dengan saya? Saya tidak tahu sama ada dia sudah berpunya ataupun tidak. Sudah berkahwinkah dia? Saya juga tidak tahu. Rasanya mahu juga tahu. Tidaklah dikemudian hari ada yang cemburu. Ada yang marah. Apabila sudah berkenalan nanti tahulah saya.
Petang itu cuaca agak redup. Matahari tidak segarang petang-petang sebelum ini. Hanya sekadar bersinar lemah. Pengunjung ketika itu semakin bertimpa-timpa. Keadaan semakin sesak. Sehinggakan untuk menapak kaki pun susah. 
Hati saya berdebar-debar seketika langkahan saya semakin dekat dengannya. Jiwa saya diburu resah. Gelojak jiwa berbalam-balam menyerbu. Pada ketika itu mahu saja saya berpatah kembali. Tidak mahu lagi saya berhadapan dengannya. Namun hasrat saya untuk berkenalan dengannya semakin kuat.
Suaranya serak basah. Barangkali terlalu memekik. Dia terpaksa melaung sekuat hati. Sesekali saya mencuri pandang wajahnya. Perasaan saya juga mengatakan dia juga mencuri lihat wajah saya. Kami masing-masing sudah memandang antara satu sama lain.
“Mari… mari… sayur keladi. Sedap dan lazat!”
kredit foto dari tongpenghulu.blogspot.com
Oh, baru saya tahu selama ini dia menjual sayur keladi! Kenapa dia menjual sayur keladi mengapa tidak menjual sayur yang lebih untung? Mengapa dia harus menjual? Mengapa dia harus bekerja? Tidakkah dia reti berduduk diam? Sekiranya dia berkahwin tentu dia tidak perlu melakukan kerja-kerja itu. Membiarkan suaminya yang bekerja. Sementara dia hanya perlu duduk di rumah sahaja. Menanti suami pulang. 
Argh… mengapa saya harus mempersoalkannya? Saya dan dia tidak ada bersangkutan langsung. Apa hak saya untuk menghalangnya? Siapa tahu yang dia mahu membantu suaminya meringankan beban. Tidaklah suaminya berseorangan sahaja bekerja. Ternyata dia seorang yang ringan tulang. Bertuah lelaki yang dapat memperisterikan dia. Dia seorang isteri yang solehah.
“Abang beli sayur keladi bang. Tentu isteri abang suka nanti.”
Ya…Allah. Saya menjadi gugup. Kaki saya terketar-ketar. Saya telan liur berkali-kali. Saya berhenti di tepi sedikit. Tidaklah jauh daripada meja dia menjual sayur keladinya. Dia terlebih dahulu menegur saya. Dia telah mempelawa saya untuk membeli sayur keladinya. Ternyata dia bukanlah seperti yang saya fikirkan. Dia bukan seorang perempuan yang pemalu. Lemah lembut. Dia mempunyai keberaniaan. Dia begitu ramah.
Lebih memeranjatkan saya lagi daripada mana dia tahu saya sudah beristeri. Setahu saya kami tidak pernah berbual. Kami tidak pernah duduk semeja untuk bercerita hal peribadi masing-masing. Dan saya tidak pernah memberitahunya akan status saya. Diapun tidak pernah menanyakan hal itu. Setelah dia mendapat tahu yang saya sudah berkahwin mahukah dia berkenalan dengan saya? Sambil memikirkan statusnya pun adalah isteri orang. Tentu sekali impian itu akan berkubur.
“Nak berapa bungkus bang?”
Saya sama sekali kaget. Dia mengasak saya. Saya tidak berani memandang tepat ke arah wajahnya. Dari jelingan alur mata saya, saya dapat mengesan serba sedikit bagaimana dia menata hias wajahnya. Gincu di bibirnya agak tebal. Merah jambu warnanya. Keningnya hitam dan lebat. Dia memakai maskara. Pipinya diletakkan bedak alas kemerahan sedikit. Nampaknya dia memang suka berhias. Agaknya mahu menjaga penampilan diri. Saat dia bertanyakan saya, akan jumlah bungkusan yang saya mahu, saya masih lagi terkebil-kebil. Seolah-olah dia memberi layanan istimewa kepada saya. Pada ketika itu masih terdapat dua tiga orang pelanggan yang mahukan sayur keladinya. Mereka terlebih dahulu datang sebelum saya. Sebaliknya perhatiannya masih kepada saya. Adakah ini permulaan baik bagi kami berkenalan?
“Saya tak memaksa.”
Dia sekali lagi bersuara. Seolah-olah dia dapat membaca apa yang saya fikirkan. Bukan saya tidak mahu membeli. Tetapi saya dan isteri saya tidak pandai memakannya. Belum pernah sekalipun isteri saya memasak sayur keladi. Tentu dia juga seperti saya tidak pandai untuk memakannya.
Saya hanya membuka senyuman. Dia membalasnya. Di situ lesung pipitnya terukir. Agak dalam. Saya menggaru-garu kepala. Senyumannya manis. Senyumannya sungguh memikat. Dia melayan pelanggannya dengan baik.
“Maaf bang sudah habis. Lain kali sahaja abang membelinya.”
Begitu cepat jualannya habis. Agaknya sayur keladi yang dijual memiliki ramuan tersendiri. Begitu bisa habis dalam beberapa minit saya berdiri di hadapannya. Dia menyuruh saya datang esok-esok sahaja. Tetapi saya tidak mempunyai masa itu. Saya berkerjaya. Lagipula kali itu kedatangan saya hanya untuk mencukupkan waktu sebelum menunggu masa berbuka. Isteri saya sudah memasak yang enak-enak di rumah. Saya tidak pernah membawa balik sejenis lauk pun untuk dia. Dan dia tidak pernah menyuruh saya membelinya. Dia tidak suka membazir. Dia lebih rela memasaknya sendiri.
Peluang saya untuk berbicara lebih lama dengannya mati di situ sahaja. Dia kelihatan sibuk mengemas barang-barangnya. Mahukah saya menolongnya mengemas? Di rumah saya tidak pernah menolong isteri saya mengemas. Tentu sekali sebentar sahaja lagi suaminya akan datang menjemputnya. Suaminya akan menolongnya mengemas. Suaminya akan mengangkat segala periuk besar dan meja naik ke dalam van atau kereta. Sejurus selepas itu mereka akan berjalan pulang bersama-sama. Dan saya hanya mampu melihat daripada jauh sahaja. Apabila difikirkan akan suasana dan keadaan yang tidak mengizinkan itu saya mengatur langkah meninggalkannya.
Sebelum saya melelapkan mata pada malam itu, wajah perempuan itu sering muncul dalam benak fikiran saya. Dia seolah-olah mahu mendekati saya. Seperti ada perkara yang hendak diberitahu. Tiap kali dia mahu membuka mulutnya, ada seorang lelaki menghampirinya lalu perempuan itu terus lenyap.
Malam itu saya hanya terlelap dengan cerita dongeng itu. Mimpi hanyalah mainan tidur. Pagi itu isteri saya mengejutkan saya untuk bersahur. Seperti biasa saya dan isteri saya sahaja yang bersahur. Sekiranya emak saya atau ibu isteri saya yang datang tentu sekali dapat meramaikan keadaan. Tidaklah kami berdua sahaja. Kami berbual rancak. Maklumlah pada siang hari tidak berkesempatan. Di akhir perbualan isteri saya telah mengusulkan satu cadangan yang tidak pernah saya menyangkanya.
“Abang, Mira terasa benar ingin makan sayur keladi.”
Saya tidak beriaksi pada masa itu. Wajah saya sugul. Apa benar yang saya dengarinya. Isteri saya mahu makan sayur keladi. Mungkin saya tersalah dengar. Isteri saya mengulanginya lagi. Tentulah betul. Dia mahu makan sayur keladi. Tetapi kenapa ketika itu? Ketika saya baru sahaja berjumpa dengan perempuan itu semalam. Ketika saya dan perempuan itu baru mula-mula mengenali isi hati masing-masing? Mungkin ini hanya satu perangkap bagi memerangkap segala tindakan saya sebelum ini. Seolah-olah dia tahu apa yang berlaku petang semalam. Dia mahu menguji. Dia mahu memastikan siapa perempuan itu. Kesetiaan saya digugatnya.
kredit foto dari www.flickr.com
Pada pagi itu saya mahu bertanyakan dia sekali lagi apa betul dia mahu makan sayur keladi dan bukannya sayur lain, tetapi pertanyaan itu kaku. Tidak keluar dari mulut saya. Untuk apa saya mahu menanyakan dia. Tidak baik berburuk sangka. Isteri saya dalam hamilan. Tentu sekali dia mengidam. Perempuan yang hamil selalu meminta yang bukan-bukan. Justeru, saya mengangguknya. Saya menaiki mobil dan terus ke tempat kerja.
Seperti biasa pada waktu rehat di pejabat saya, tidak ramai yang keluar. Hanya staf yang berbangsa Cina sahaja yang keluar. Yang lainnya sekadar berborak kosong sahaja. Jam ditangan saya baru menunjukkan pukul 2 petang. Masih berbaki 3 jam untuk kami bekerja. Waktu belum lagi melewati pukul 4 petang. Tumpuan saya ketika itu terarah kepada perempuan penjual sayur keladi itu. Bibirnya yang mungil kemerahjambuan itu telah hadir dalam igauan saya. Terasa syahdu apabila dapat berjalan berpimpinan tangan dengannya. Kulit tangannya tentu sekali halus dan licin. Begitu mesra untuk diusap perlahan-lahan. Tentu sekali terasa bangga. Berjalan dengan seorang perempuan yang cantik dan ayu. Apabila melalui sebuah tasik kami akan berhenti. Kami menikmati keindahan air tasik yang dingin itu. Tatkala itu, perempuan itu akan melentokkan kepalanya ke dada saya. Lalu saya akan membelai rambutnya. Lamunan saya tersentak ketika itu. Kawan-kawan sepejabat sudah masuk. Mereka bising-bising di luar.
“Man kau nak ikut serta dengan kita orang tak petang ni? Kami cadang nak berbuka puasa bersama-sama.”
Masa itu saya tidak persis membuat jawapan secepat mungkin. Saya memerlukan masa. Dalam fikiran saya ketika itu sayur keladi. Perempuan yang menjual sayur keladi. Saya mahu membeli sayur keladi kepada isteri saya. Saya tidak mahu melukakan hatinya. Dalam pada itu bolehlah sambil menyelam minum air.
“Kau ni Man, susah sangat nak ajak kau keluar semenjak kau kahwin ni.”
“Maaflah, aku ada hal sikit.”
“Tak habis-habis hal kau.”
“Baiklah… lain kali tak ada alasan lagi.”
Saya beristighfar panjang. Fikiran saya telah diracuni nafsu kotor. Saya cepat-cepat mengemas meja. Saya mengambil anak kunci yang berada di dalam laci almari lalu keluar mendapatkan mobil saya. Saya menghidupkan mobil lalu memecut laju ke bazar Ramadan yang mana perempuan menjual sayur keladi itu berada. Saya tidak menoleh ke kiri ke kanan lagi saya terus menuju ke tempat perempuan itu berada. Dia berada di hujung sana itu. Sememangnya dia masih di situ. Dia masih menjual sayur keladi.
“Mujur abang cepat. Ada sebungkus sahaja lagi.”
Belum apa-apa lagi perempuan itu membungkuskan saya sebungkus sayur keladi. Saya hairan masakan dia boleh membaca fikiran saya. Saya belum lagi memberitahunya dan dia belum lagi menanyakannya. Saya tidak berfikir panjang lagi. Saya mengambilnya lalu menghulurkannya RM10. Pada masa itu saya tidak punyai duit kecil untuk diberi kepada perempuan itu. Dia mahu memulangkan bakinya tetapi saya tidak mahu mengambilnya. Saya menyuruhnya simpan sahaja. Saya kasihan dengan perempuan itu. Kalau boleh saya mahu menolongnya. Tentu sekali dia dan keluarganya memerlukan duit lebih untuk menyara keluarga.
Saya membawa pulang sayur keladi itu. Isteri saya bersungguh-sungguh menjamahnya. Dia memuji tuan punya yang membuat sayur keladi itu. Katanya sedap dan lazat. Wah! ajukan isteri saya persis perempuan yang menjual sayur keladi itu. Sedap dan lazat. Saya cuba memakannya. Apa memang betul seperti apa yang dikatakan mereka berdua. Ternyata betul sedap dan lazat. Lain kali bolehlah saya membelinya lagi.
Keesokannya saya kembali lagi ke bazar tersebut. Saya mahu membelinya sayur keladi. Saya mencari kelibat perempuan itu. Tetapi puas mata saya merayapi segenap bazar Ramadan itu tetapi tidak dijumpainya. Ke mana dia pergi? Sudah bertukar tempatkah dia? Saya masih lagi tidak berputus asa. Saya bertanyakan penjual-penjual lain. Mereka memberitahu bahawa dia tidak datang. Khabarnya dia ada hal mustahak. Tetapi tidak diberitahunya kenapa.
Masa semakin suntuk. Keesokannya sudah sampai ke penghujung Ramadan. Esoknya akan raya. Saya tidak dapat menemuinya lagi. Perkenalan saya denganya belum sampai takah kemesraan. Hanya kenal begitu sahaja. Namanya belum saya ketahui. Sebelum saya berangkat pulang seorang perempuan yang menjual murtabak menghampiri saya.
“Encik Lokman?”
“Ya… saya.”
Saya sekali lagi dipanjat kehairanan. Ada juga sedikit rasa terkejut. Dari mana perempuan menjual murtabak itu mengenali nama Lokman itu. Entah-entah satu bazaar Ramadan ini mengenali nama Lokman itu. Saya terperasan sendiri. Mulalah muka merah menahan malu.
Perempuan yang menjual murtabak itu memberikan saya sesuatu. Saya menggenggaminya lalu memasukkan ke dalam kocek baju. Lalu saya beredar.
Kepulangan saya disambut oleh isteri. Dia menunggu saya di hadapan pintu. Sebelum ini jarang sekali dia menungu saya. Tetapi hari itu dia melakukannya. Malah dia melayan saya dengan baik.
“Abang ada beli sayur keladi?”
Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawapnya. Sebenarnya jawapannya ada. Tetapi alasan itu tidak kukuh untuk saya memberitahunya. Saya perlu memikirkan alasan lain. Lalu saya memberitahu isteri saya bahawa tidak elok menjamah sayur keladi hari-hari. Tidak baik untuk kandungan. Betul atau tidak hanya Tuhan saja yang tahu. Apa mahu saya memberitahunya yang sayur keladi tidak dijual oleh perempuan itu. Tentu sekali dia tidak mempercayainya. Tidak adakah orang lain yang menjualnya hari itu? Adakah penjual sayur keladi mogok atau cuti serentak? Saya fikir masak-masak. Alasan yang saya beri itu sudah betul.
Kami tidak pulang berhari raya di kampung. Hanya sekadar di bandar sahaja. Kami sudah menghubungi ibu bapa masing-masing. Saya mengambil tempat di kerusi malas. Saya melihat isteri saya. Dia masih di dapur sedang mengemas. Saya membuka lipatan kertas yang diberikan perempuan di bazar itu tadi.

Datanglah ke rumah saya pada hari raya pertama. Ada majlis sikit.” Aina

Sekarang barulah saya tahu siapa nama perempuan itu. Manis nama Aina itu. Semanis tuannya. Jemputan Aina ke rumahnya tentu sekali membuatkan saya teruja. Adakah dia mahu kenalkan saya dengan kedua orang tuanya? Aina sangat berharap agar saya dapat datang ke rumahnya esok. Tentu sekali saya akan ke rumahnya esok. Tetapi dengan siapa saya mahu ke rumahnya?

Jangan lupa bawa isteri dan anak-anak sekali.”

Pelawaan Aina itu sangat mengkucarkacirkan lapangan tenang saya. Ternyata Aina telah banyak mengetahui hal peribadi saya. Jadi saya tidak punya pilihan lain untuk bersikap jujur dengannya yang saya ini sudah berkahwin. Bukankah lelaki boleh membuka empat cawagan?
Saya tidak punyai kebarangkalian lain selain membawa isteri dan anak dalam kandungan isteri saya sekali.
kredit foto dari nloven1502.blogspot
Di halaman rumah perempuan itu kelihatan banyak sekali mobil-mobil yang dipakir. Majlis hari raya sampai disambut begitu rupa sekali. Meriah. Tentunya saudara-saudaranya dijemput semuanya. Saya membawa isteri saya masuk. Saya memberi salam kepada mereka. Saya bertanyakan adakah betul itu rumah Aina. Mereka mengiyakan lalu menyeru kami masuk. Hati saya sungguh gementar ketika itu. Perasaan malu menyelubungi diri saya. Anggapan saya tentu keluarganya menunggu kehadiran saya.
Kelihatanya Aina sungguh berseri. Pakaian sepersalinannya putih dan bersih. Dia tidak melihat saya. Tetapi saya sudah dapat melihatnya. Sebentar kemudian seorang lelaki yang memakai sepersalinan sama seperti Aina masuk ke halaman rumah. Dia diiringi oleh seorang pengapit. Dia berjalan menuju ke arah saya yang masih berdiri tidak jauh daripada muka pintu. Dia menyalami saya. Tanpa kawalan, mulut saya terluncur mengucapkan Selamat Pengantin Baru. Saya masih kebingungan. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Saya kembali menimbang ucapan selamat saya tadi. Sepatutnya saya memberi ucapan Selamat Hari Raya dan bukannya ucapan pengantin baru. Fikiran saya ligat berfikir.
Isteri saya cekatan menyalami Aina tanpa memasang wasangka buruk.

Patutlah Aina beriya-iya menyuruh saya datang ke rumahnya. Ternyata majlis yang dimaksudkan Aina dalam surat itu adalah majlis pernikahan mereka. Pelangi yang saya harapkan mampu digapai rupanya hanya satu khayalan sahaja. Saya menyedari perbuatan saya selama ini tidak manis dipandang dan dikenang. Biarpun begitu saya mengharapkan pertemuan kami hanya kami berdua sahaja yang tahu. Saya mendoakan Aina dan suaminya berbahagia selamanya.


Mohd Helmi Ahmad
Perempuan, Bil 263-Julai 2012


49 ulasan:

  1. best plk baca cerpen kat sni..:)

    BalasPadam
  2. hihi..hebat cerpennie...cik akka tak gerak2 bila baca,.hihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh, cerpen tahun lepas ni. Terima kasih. Cerpen biasa-biasa saja. Kisah kehidupan yang pernah berlaku dalam masyarakat kita di malaysia.

      Padam
  3. menarik ceritanya...terima kasih sharing

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi membaca. Sama-sama. Apa salahnya, barangkali ramai yang belum pernah baca cerpen saya. Jadi, saya kongsikanlah.

      Padam
  4. bahasa melayu tinggi abg pakai ni. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak adalah syuk, selalunya kalau saya tulis cerpen beginilah. Saya cuba gunakan bahasa yang betul.

      Padam
  5. Seronok baca cerpen ni...ada unsur suspen kat situ...dan perasaan ingin tahu selanjutnya...nice..tahniah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih. Saya menulis sekadar yang termampu. Seboleh-bolehnya saya ingin mengajak pembaca menghayatinya hingga ke akhir cerita. Kalau BUNDA berkata begitu, maknanya saya telah berjaya.

      Padam
  6. Sy sudi menawarkn diri utk terbitkn cerpen ni...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nak terbitkan di mana? Sebenarnya cerpen ini pernah disiarkan buat pertama kali di majalah Perempuan tahun lepas.

      Padam
  7. walaupun sibuk..hamba gagahi jua menghabiskan bacaan dek ingin mengetahu pengakhirannya..huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih. Kesungguhan anda sangat saya hargai. Harapan saya berpuas hatilah ya.

      Padam
  8. serious best cerita nie :) penulisan yang baik :) jalan cerita yang ba

    BalasPadam
  9. jalan cerita yang baik , kalau ada lagi share la lagi cikgu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi baca. Insya-Allah, jika ada permintaan akan saya kongsikan lagi nanti.

      Padam
  10. Terima kasih krna sudi membuat entri cerpen ini. Suka gaya bahasa & teknik penceritaan cerpen.

    Terima kasih sekali lagi :) lepas ni kalau ada cerpen awk diterbitkan di majalah, harus beli ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi baca. Sama-sama, sekadar perkongsian.

      Oh, jangan mengharap sangat. Kadangkala saya tulis cerpen ni tak sama gaya bahasa bagi setiap cerpen. Ikut tema yang dibawa.

      Padam
  11. WAH!! syokla baca cikgu helmi..pertemuan yg tak di sengajakan..dan..perasaan yang lahir secara tiba2..hehehe..=D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi baca ya.

      Saya pun dah lupa dari mana saya dapat idea nak tulis cerpen ni. Perasaan tu sangat misteri. Harap-harap tak ada yang bocorkan rahsianya.

      Padam
  12. hakhak.. suspen je baca cerpen ni..ingatkan apalaahh.. termimpi2 tuh macm ada bawak maksud tertentu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi baca sampai habis.

      Oh, tak ada apa-apa maksud pun. Selalunya sebelum tidur kalau kita fikirkan sesuatu pasti terbawa-bawa dalam mimpi. Kalau tak percaya, cubalah malam ni.

      Padam
  13. ingat kisah benar tadi ... hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Seperti yang saya katakan di awal, ia cuma kisah rekaan. Tapi, kalau berlaku di dunia sebenar, mungkin secara kebetulan.

      Padam
  14. terima kasih kongsi cerpen sdra untuk santapan mata para pengunjung disini..:)- memang menarik dan telah dibaca dengan sekali nafas je..hhehh..
    tahniah, kalau ada lagi cerpen yang nak dikongsi, bolehlah CM baca lagi..:)-

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih juga kepada CK yang sudi baca. Saya fikir cerpen ini panjang dan pasti ada yang lompat-lompat ketika membaca. Ternyata tidak ya.

      Insya-Allah.

      Padam
  15. Wah jalan cerita yg menarik.. xdak sambungan ker?? hehehe ;p

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi membaca. Oh, tidak ada sambungannya. Itu sajalah penamatnya.

      Padam
  16. Balasan
    1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih sudi membaca. Masing-masing ada pandangannya, jika KA kata menarik! alhamdulillah, saya amat hargai.

      Padam
  17. oo rmai org suka cerpen ni.. terbaik cikgu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah, tidak sangka pula mendapat sambutan.

      Padam
  18. Teringin saya mengetahui bagaimanakah tuan berilham mendapat idea penulisan? Saya selalu terinspirasi membaca bagaimana penulis mendapat idea dan bila masa mereka mula menulis.

    Jangan jawab di sini. Boleh kongsi bersama di entri baru?

    BalasPadam
    Balasan
    1. On, terima kasih Wong. Insya-Allah, saya akan cuba usahakan.

      Padam
  19. Best la cerpen ni cikgu ^^ bahasanya mudah difahami. Boleh saya tanya, apa beza perkataan gejolak & gelojak??

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi baca. Oh, saya ingatkan saya silap tulis. Sama saja maksudnya, cuma perkataannya berbeza. Boleh rujuk kamus Dewan edisi keempat muka surat 450.

      Padam
  20. Best cerita ni :)ilham dari kisah sebenar ke atau idea cikgu sendiri?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh, soalan cepu cemas ni. Terima kasih sudi membaca cerpen saya. Nak kata cerita saya, saya belum berkahwin, huhuhu...sebenarnya imaginasi saya. Mungkin juga berbantukan pemerhatian, pembacaan dan sebagainya.

      Padam
  21. Balasan
    1. Terima kasih sudi baca. Alhamdulillah, sekadar penglahiran idea untuk berkongsi dengan pembaca.

      Padam
  22. sangat menarik cerpen ni.. ada moral yang hendak disampaikan.. :D

    BalasPadam
  23. Terima kasih Aiza, sudi baca. Ya, selain pemikiran yang hendak disampaikan, nilai murnilah yang harus digabungjalinkan dalam sesebuah karya.

    BalasPadam
  24. cerpen yg cukup menarik dibaca......

    BalasPadam
  25. ada gaya dlm penulisan cerpen cikgu....amat menarik......

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi baca. Oh, cerpen tentang kehidupan biasa saja.

      Padam
  26. Terima kasih atas perkongsian!

    BalasPadam
  27. Salam ziarah. Cerpen yang menarik! Kisah lelaki yang bergelut dengan perasaan sendiri.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78