Pengikut

Khamis, 15 Jun 2017

Jawab Begini, Jika Ditanya Bila Nak Kahwin?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Saya ada terbaca juga tentang jawapan-jawapan yang boleh diberikan andai orang bujang ditanyai dengan soalan ini pada hari raya Aidilfitri nanti.

"Bila nak kahwin?"

....................

Saya juga pernah ditanyai dengan soalan itu. Yang bertanya itu pula seorang ustaz, orang kampung saya.
"Mi, hang nak macam mana? Mai Abang E, carikan. Bekas anak murid Abang E pun ramai," katanya yang juga bekas pensyarah IPG.

Saya hanya tersenyum.

"La, orang tanya, senyum pula."

"Belum ada jodoh lagi," jawab saya.

"Jodoh kena cari juga. Tapi kalau belum sampai serunya, kita nak buat lagu mana kan.

Jodoh orang tak sama; ada yang cepat. Ada yang lambat. Ada yang kahwin awal, tapi belum ada anak. Itu rahsia-Nya yang kita tak tahu.

Hang tak payah risaulah. Kalau Allah dah tetapkan seseorang tu kahwin lambat, itu bermakna Dia nak kita (anak) berbakti kepada mak pak kita dulu.

Tak semua orang berpeluang berbakti kepada mak pak sehingga ke akhir hayat. Besar pahalanya."

................

Budi bahasa budaya kita. Selalunya orang yang bertanya, orang yang "sayang" dan ambil berat terhadap kita.
Santunilah mereka ini dengan bahasa yang baik, walau adakala pertanyaan itu berbaur sindiran ataupun lelucon.

Apabila kita menjawab dengan baik, insya-Allah mereka pun akan malu alah untuk bertanya lagi.
Jadi kita jawablah dengan lembut dan sopan.

"Tuan, puan, abang, kakak doakan saya cepat bertemu jodoh dan berkahwin."

Mohd Helmi Ahmad
Catatan Seorang Hamba Allah

Isnin, 5 Jun 2017

Tip Menulis Karya Bertema dalam Majalah dan Akhbar

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Kerja-kerja menulis juga perlukan perancangan yang rapi. 

Apa itu perancangan?

Baik, apabila menyentuh tentang perancangan, penulis perlu membina jadual kerja untuk menghasilkan karya.
Jadual kerja itu merangkumi tema karya, tempoh masa karya dihasilkan dan bila karya itu perlu dihantar kepada editor.

1. Tema Karya
Untuk menghasilkan karya bertema atau sempena perayaan, penulis terlebih dahulu perlu menyenaraikan tema yang ada untuk memudahkan penulis menulis. Misalnya:

i. Tahun Baharu
ii. Tahun Baharu Cina
iii. Hari Ibu
iv. Hari Guru
v. Hari Bapa
vi. Hari Kemerdekaan
vii. Bulan Ramadan
viii. Hari Raya Aidilfitri / Aidiladha
x. Hari Deepavali / Krismas

Senarai di atas sekadar beberapa sahaja.

Apabila penulis berjaya menyenaraikan tema tersebut, akan memudahkan penulis untuk menulis dan menyasarkan karya yang hendak dihasilkan dalam tempoh waktu tertentu.

2. Tempoh Masa
Bila karya bertema tersebut perlu dihasilkan? Sudah pastilah tiga bulan awal daripada bulan sambutan perayaan tersebut.

Namun, penulis juga haruslah bijak menganalisis akhbar dan majalah manakah yang menyiarkan karya bertema tersebut.

Adakala, tema yang disenaraikan itu hadir serentak atau bertindih. Misalnya, Hari Ibu dan Hari Guru pada bulan Mei.

Jika penulis tidak melakukan "kerja rumah" dengan menganalisis sesebuah penerbitan, sudah pastilah penulis akan menanggung kerugian apabila karya yang dihantar disisihkan.

3. Penghantaran Karya
Bila karya bertema ini perlu dihantar? Secara puratanya, dapatlah dianggarkan begini.

Bagi penerbitan sebuah majalah bulanan, sudah pastilah penulis perlu menghantar sekurang-kurangnya tiga bulan awal.

Manakala bagi penerbitan akhbar bolehlah dihantar dua bulan awal.

Berikut merupakan perincian karya saya yang bertema Ramadan yang pernah disiarkan dalam majalah dan akhbar.

Tahun 2012
1. Seri Muka Ramadan - Jelita, Julai 2012
2. Dangai Ramadan - Wanita, Julai 2012
3. Memerdekakan Ramadan - Harmoni, 15-30 Julai 2012
4. Mabuk Cinta Keladi - Perempuan, Julai 2012

Tahun 2013
5. Kuseru Nama-Mu ke Langit Ramadan Jelita, Julai 2013
6. Sayur Keladi di Atas Bukit - BH Ahad, 3 November 2013

Jika penulis bijak merancang, tidak mustahil pada satu-satu tahun, penulis dapat melihat lebih daripada sebuah karya yang disiarkan dalam akhbar dan majalah.

Mohd Helmi Ahmad
Penulis Cerpen Eceran Majalah dan Akhbar

Ahad, 4 Jun 2017

Senarai Novel Kanak-kanak Pilihan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Sebelum ini saya telah kongsikan senarai 12 buah novel remaja pilihan. Hari ini saya senaraikan pula 10 buah novel kanak-kanak pilihan yang boleh dibaca dalam usaha rakan-rakan menyertai SAYEMBARA NOVEL REMAJA DAN KANAK-KANAK BH 2017.

Saya katakan lebih sukar untuk menyenaraikan novel kanak-kanak berbanding novel remaja. Barangkali saya tidak banyak membaca novel kanak-kanak.

Jika rakan-rakan pernah membaca novel kanak-kanak dan berasakan terbaik, bolehlah komen di bawah ini. Lebih baiknya jika novel itu masih berada di pasaran.

SENARAI NOVEL KANAK-KANAK PILIHAN

1. Beruk, ameen kreatif, 2010 - Azizi Haji Abdullah (Pemenang Novel Kanak-kanak HSPM 2010/2011)

2. Pencinta Aalam, DBP, 2010 - Azizi Haji Abdullah

3. Di Simpang Jalan, PTS, 2012 - A. Samad Said ( Novel kanak-kanak yang diangkat sebagai karya klasik moden abad ke-20)

4. Jalan Retak, PTS 2012 - A. Samad Said

5. Antara Kabus ke Kabus, PTS, 2012 - A. Samad Said

6. Suteki Da Ne Aleena, ITBM, 2013 - Mass Ruhaiza Ali (Pemenang Novel Kanak-kanak HSPM 2013)

7. Budak Tin, ITBM, 2013 - Nazrie Haslieanie (Tersenarai ke Peringkat Akhir HSPM 2013)

8. ... rahsia Dhia!, DBP, 2014 - Zainun Mustapha (Pemenang Hadiah Pertama Sayembara Menulis Novel Kanak-kanak dan Remaja 2013 dan Pemenang Novel Kanak-kanak HSPM 2014)

9. Tanah Negeri Jambatan Pelangi, ITBM, 2016 - Nur Mustika

10. Budak California, DBP, 2017 - Mass Ruhaiza Ali

Senarai ini sekadar cadangan bacaan sahaja. Sudah pastilah ada lebih banyak novel dan pilihan daripada penerbit dan penulis lainnya.

Selamat membaca.

Mohd Helmi Ahmad
Senarai Novel Kanak-kanak Pilihan

Sabtu, 3 Jun 2017

Cara Menulis dan Menghantar Karya kepada Tunas Cipta

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



 Sejarah Ringkas

Tunas Cipta diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menampung karya calon penulis, penulis baharu dan penulis muda negara. 

Tunas Cipta mula dipasarkan pada Mac 2001 dengan nama Gen. Dengan mempertaruhkan moto majalah, “Sastera Generasi Baharu”, nama Tunas Cipta mula diguna pakai pada keluaran Jun 2001. 

Tunas Cipta menyediakan peluang yang terbuka kepada penulis muda berusia 40 tahun ke bawah untuk mengirimkan karya untuk dinilai. 

Ruangan Tunas Cipta

Untuk makluman, Tunas Cipta menyediakan ruangan seperti berikut:

1. Luahan Minda
2. Puisi Tradisional
3. Galeri Sastera
4. Fokus
5. Sejambak Ilham (Puisi/Sajak)
6. Nukilan Pena (Cerpen)
7. Ilham Kembara
8. Ulasan Buku
9. Bicara Tunas
10. Teater (Ulasan/Kritikan)

Kolum Penulis Tetap / Bersiri
1. Penghayatan Sastera STPM
2. Hak Cipta
3. Komik
4. Ulasan Cerpen
5. Pena Sutera
6. Ulasan Sajak
7. Novel Bersiri

Format Menulis Cerpen 

Bagi mengirimkan cerpen, penulis boleh menggunakan format ini: Word A4, Arial 12, langkau dua baris, 8 - 10 halaman.

Butiran / Maklumat Hantar Karya

Kirimkan karya anda bersama maklumat berikut:

Nama penuh
Nama pena (jika ada)
No kad pengenalan
No. telefon
Alamat surat-menyurat
Alamat e-mel
Nama bank dan no akaun.

Dapatkan majalah Tunas Cipta terkini untuk mengetahui alamat e-mel editornya. 

Selamat menulis dan selamat mencuba.

Mohd Helmi Ahmad
Penulis Muda Pelapis Generasi Masa Depan

Jumaat, 2 Jun 2017

Buku Ganti Duit Raya

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


Pada Hari Raya Aidilfitri nanti, mari kita raikan dengan pemberian BUKU sebagai ganti DUIT RAYA kepada anak-anak, sanak saudara dan kanak-kanak yang beraya di rumah kita....
.
Ada 808 judul buku ditawarkan dengan harga RM3, RM5 dan RM10.
.
Boleh semak dulu senarai bukunya:
RM3: 189 judul klik https://goo.gl/mzfnVR
RM5: 404 judul klik https://goo.gl/v3uI8p
RM10: 215 judul klik https://goo.gl/IYXBuX
.
Cara pembelian:
E-mel sales@itbm.com.my
WhatsApp www.wasap.my/60192219015
Datang ke Wisma ITBM | Waze/Google Maps: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
.
Apa jenis buku yang ada?
Buku Cerita
Kisah Dongeng
Siri Sang Kancil
Bahan Bacaan Tambahan
Buku Bidang Matematik (sekolah rendah & menengah)
Buku Bidang Sains (sekolah rendah & menengah)
Rujukan Sekolah Rendah
Rujukan Sekolah Menengah
Novel
Cerpen
Puisi
dan banyak lagi....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78