Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan

Sabtu, 4 Mac 2017

Mengapa Perlu Baca Cakar Ayam Seorang Doktor 2.0?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Kalau setakat nak baca info dan maklumat berkaitan kesihatan atau tip-tip dan panduan kesihatan, banyak sumber yang boleh diperoleh. 

Tetapi mengapa perlu membaca Cakar Ayam Seorang Doktor 2.0 ini? 

Doktor itu manusia. Pesakit juga manusia. Apabila doktor dengan pesakit berinteraksi - sewaktu sesi mendapatkan rawatan pasti ada kisah atau cerita yang tidak dapat diperoleh daripada mana-mana sumber. 

Adakala pengalaman seorang doktor yang merawat dan pengalaman pesakit yang menerima rawatan boleh dijadikan panduan dan pedoman kepada masyarakat lain pula.

Siapa yang mahu ceritakan kisah yang menyedihkan, melucukan atau menyayat hati kepada orang lain? 

Adakala kisah itu menjadi rahsia yang tidak terceritakan. Adakala ada yang mahu ceritakan tetapi tidak ada medium yang sesuai. Oleh sebab itu, saya memuji usaha Dr Fahd Razy menerbitkan siri ini.

Pernahkah anda mendengar kata-kata; mencegah lebih baik daripada merawat? Justeru, saya melihat CASD 2.0 ini bertindak sebagai rawatan pencegahan tersebut. 

Tahniah kepada semua doktor yang menulis dalam buku ini. Buku ini terbitan KATA-PILAR. Boleh beli sebuah buku ini dengan harga RM28.

Mohd Helmi Ahmad
Berhati-hati dengan Tulisan Doktor dalam CASD 2.0 ini, Takut Nanti Tercakar Hati pula.

Khamis, 22 September 2016

Rahsia Penulisan Berpengaruh - Khairul Hakimin Muhammad

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Saya yakin kebanyakan daripada kita mempunyai ilmu, tetapi tidak banyak daripada kita yang "pandai" menggunakan ilmu itu dengan betul. Ibaratnya apa gunanya hidup seribu tahun tetapi tidak sembahyang. 

Oleh sebab itu, buku "Rahsia Penulisan Berpengaruh" tulisan Tuan Khairul Hakimin Muhammad memberikan panduan yang kecil tetapi bermanfaat, ringkas tetapi padat, sedikit tetapi besar kesannya dan paling penting santai tetapi mengujakan.

Saya tidak katakan buku ini bagus dan sempurna (barangkali aspek tatabahasa - ejaan boleh diperbaiki lagi) tetapi setidak-tidaknya apabila saya membaca buku ini akan terlintas di fikiran saya: oh, begini..oh, begitu! 

Andai selepas anda membaca buku ini pengikut anda tidak bertambah atau melebihi bapa viral ini yang sudah melebihi 80 000 pengikut ini, janganlah salahkan saya pula.

Hal ini kerana kejayaan bukan semata-mata diukur dengan kuantiti dalam tempoh waktu yang singkat sebaliknya jika di pihak kita ada perubahan kualitinya secara tekal atau berterusan itu sudah cukup memberi isyarat bahawa kita sudah berjaya keluar daripada kepompong yang selesa.

Isi Kandungan

Bab 1 Impak Gambar Profil dan Gambar Kaver
Bab 2 Impak Penggunaan Nama yang Betul
Bab 3 Ejaan dan Tatabahasa
Bab 4 Menulis Status Kehidupan
Bab 5 Menulis Ulasan
Bab 6 Teknik Mendapatkan Pengikut dan Sasaran
Bab 7 Interaksi, Bukan Berbual
Bab 8 Jangka Hayat Post
Bab 9 Posting Berimpak Tinggi
Bab 10 Punchline
Bab 11 Permulaan Pengikut Mengikut Facebook Kita
Bab 13 Fanpage
Bab 14 Larangan Keras
Bab 15 Jadi Pemilik, Bukan Kedai


Buku ini boleh dibeli dengan Cik Siti Rahmah Mohd Noor.

Ahad, 28 Ogos 2016

100 Buah Buku yang Wajib Dibaca oleh Anak Muda

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
 



Senarai 100 Buah Buku Yang Wajib Dibaca Oleh Anak Muda Di Malaysia:

Oleh Muhammad Yusof

1. Kunang Persisir Morten oleh Raiha Bahaudin
2. Naratif Ogonshoto oleh SN Dato Anwar Ridhwan
3. Detektif Indigo oleh Dr Faisal Tehrani
4. Dublin oleh Wan Nor Azriq
5. Pedagogi Bahasa Tertindas oleh ZF Zamir
6. Pei Pan oleh Ramlee Awang Murshid
7. Pecah oleh Khairulnizam Bakeri
8. Rebel oleh Saat Omar
9. Namaku Epal Kuning oleh Roslan Jomel
10. Salju Sakinah oleh Zaid Akhtar
11. Menyirat Nirmala oleh Syed Mohd Zakir
12. Pascasejarah oleh Dr Fahd Razy
13. Ko Kb Ku Kl oleh Fadli Al-Akiti
14. Semua buku Diari Mat Despatch oleh Bahruddin Bekri
15. Semua komik Misi oleh Nazry Salam Feeqry dan Afiq Salam Feeqry
16. Kacip oleh Firdaus Abdillah Hamzah
17. Momen-Momen oleh Matluthfi
18. Bukan Legasi Lalang oleh Sri Rahayu Mohd Yusop
19. Ayam Patah Kepak oleh Hafizah Iszahanid
20. Amerika oleh Ridhwan Saidi
21. Kasut Biru Rubina oleh Sufian Abas
22. Dari KLCC Ke Tanjung Malim oleh Fdaus Ahmad
23. Serigala Dan Sekuntum Tulip oleh SM Zakir
24. Dunia Papionini oleh Sarah Samsudin
25. Juara oleh SN S. Othman Kelantan
26. Peripeteia Tragedi Yunani oleh Nazim Masnawi
27. Fitrah Kimiawi oleh Rahmat Haroun
28. Pendek Mabuk Gila oleh Ahmad Kamal Abu Bakar
29. 6:20 oleh Siti Jasmina Ibrahim
30. Alien Menchari Chinta oleh Dr Rem Dambul
31. Rojak oleh Amir Muhammad
32. Selamat Datang Ke Malaywood oleh Roslan Jomel
33. Dondang Pembukaan oleh Muhammad Lutfi Ishak
34. Cerpen-Cerpen Underground oleh Saharil Hasrin Sanin
35. Saring Sebelum Mereng oleh Mohd Fakhruradzi
36. Di Balik Malaysia oleh Dr Farish A.Noor
37. Catatan Latiff Mohidin oleh Catatan Latiff Mohidin
38. Bercakap Dengan Jin oleh Tamar Jalis
39. Tulang-Tulang Berselerakan oleh SN Dato Usman Awang
40. Filsuf Untuk Noob oleh Dayang Sifar
41. Utopia Trauma oleh Rahmat Haron
42. Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad
43. Saya Pun Melayu oleh Zaid Ibrahim
44. Opera Angkasa oleh Nazri M. Anuar
45. Kotak oleh Ruhani Mat Darin
46. Mengemudi Bahtera Perubahan Minda oleh Dr.Maza
47. Dialog Dengan Sasterawan oleh Kassim Ahmad
48. Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri oleh Za'ba
49. Merapat Renggang oleh Penerbitan Obscura
50. Tuhan Bukan Manusia oleh Zharif Zainuddin
51. Di sebalik Dinara oleh Dayang Noor
52. Jibam oleh Ujang
53. Baldatun Thoiyyibatun oleh Pelita Di Dalam Kaca
54. Awek Chuck Taylor oleh Nomy Nozwir
55. Emak Rindu Mathanga Erissery oleh Khairul Hakimin Muhammad
56. Tetamu Istimewa oleh Mohd Helmi Ahmad
57. Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan oleh Fahmi Mustaffa
58. Buku Pseudosciencewatch
59. Pengembaraan Tanah Jepun oleh Azaruddin Paiman
60. Kekasih oleh SN Dato Usman Awang
61. Serangga Di Dalam Kepala oleh Roslan Jomel
62. Penyeberang Sempadan oleh SN Dato Anwar Ridhwan
63. Jesteru Impian Di Jaring oleh Zaid Akhtar
64. Jian oleh Fadli Al-Akiti
65. Rahsia Malam Merdeka oleh Saat Omar
66. Ahli Politik oleh SM Zakir
67. Berkelana Di Belentara Kata oleh Lim Swee Tin
68. Di Dalam Mulutnya Ada Kota oleh Roslan Jomel
69. Jajahan Bonda oleh Md Nizar Parman
70. Di.Ar.Ti oleh Rahmat Haroun
71. Putera Gunung Tahan oleh Ishak Haji Muhammad
72. Merentas Ranjau oleh Pak Abdul Latip
73. Budak Tin oleh Nazrie Haslienie
74. Mencari Locus Standi oleh Nisah Haji Haron
75. Advencer Si Peniup Ney oleh Faisal Tehrani
76. Sajak-Sajak Saleh oleh Saleh Ben Joned
77. Keldai Dan Kitab oleh Azman Hussin
78. 86 oleh Wan Nor Azriq
79. Manikam Kalbu oleh Faisal Tehrani
80. Perempuan Nan Bercinta oleh Faisal Tehrani
81. Suara Dari Dinding Dewan oleh SN A Samad Said
82. Stingarden oleh Sinaganaga Lan Benhussain
83. Leksikon Ledang oleh Nor Azida Ishak, Fadli Al-Akiti
84. Luka Nering oleh Malim Ghozali PK
85. Empangan oleh Zakaria Ali
86. The Lost World oleh Helmi Effendy
87. Tunggul-Tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad
88. Rimba Jiwa oleh Sri Rahayu
89. Perempuan Politikus Melayu oleh Faisal Tehrani
90. Hikayat Tanah Jauh oleh Zainal Rashid Ahmad
91. Bedar Sukma Bisu oleh Faisal Tehrani
92. Tora Datang Lagi oleh Amirul Bozu
93. Tercipta Dari Tanah oleh SN Dato Anwar Ridhwan
94. Soneta Roda Basikal oleh Wan Nor Azriq
95. Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia oleh Lucius Maximus
96. Salina oleh SN A Samad Said
97. Patah Balek oleh Fathi Aris
98. Imam oleh SN Abdullah Hussien
99. Kasino oleh Saifullizan Tahir
100. Seorang Tua Di Kaki Gunung oleh Azizi Hj Abdullah

*
Nota:
1. Kalau ko anak muda tapi tak pernah baca buku-buku ni alangkah ruginya hidup korang.
2. Ini adalah buku-buku pilihan aku berdasarkan kepada buku-buku yang pernah aku baca.
3. Kalau korang tengok buku-buku ni adalah antara buku-buku power yang pernah diterbitkan di Malaysia. Revolusi bermula dengan membaca, bukan dengan viralkan video 3 orang budak u rempuh masuk Uitm. Jadi, pi la cari buku-buku ni sekarang jugak!
4. Aku akan buat ulasan/catatan ringkas pada setiap buku, mulai minggu depan.
5. Sharelah status ini untuk membumikan semula budaya membaca di kalangan anak muda. Aku percaya korang akan kelihatan intelek dengan membaca buku-buku ini.
6. Aku sedang dalam proses melengkapkan 200 judul buku yang wajib dibaca oleh anak muda. Jadi, kalau ko ada buku yang bagus untuk dikongsi, ko bagitaulah di ruangan komen ya.

Sabtu, 27 Ogos 2016

Seisi Keluarga Membaca Buku Mohd Helmi Ahmad

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Seisi Keluarga Membaca Buku Mohd Helmi Ahmad 

Oleh Siti Malini Mat



Kebetulan, sehari dua hari selepas Datuk Lee Chong Wei mengalahkan Lin Dan dalam perlawanan separuh akhir badminton di Rio musim Olimpil 2016, kami anak-beranak membaca cerpen ‘Piala Penentuan’ dalam antologi cerpen ‘Tetamu Istimewa’ oleh Cikgu Mohd Helmi Ahmad (gambar pertama). Nah, kisah atlet negara ini sudah disemadikan dalam sebuah cerita (dan barangkali banyak lagi cerita yang lain). Itu salah satu fungsi karya sebenarnya, sebagai rekod sejarah; bukan semua kandungan sesebuah karya fiksyen semata-mata rekaan.

Saya membeli pakej 3 buku terus daripada penulis Mohd Helmi Ahmad (terima kasih kepada Nazrie Haslieanie sebab cerita pasal ni). Harga yang beliau letakkan sangat-sangat rendah. Kurang daripada separuh harga asal buku-buku tersebut. Bila saya tanyakan pada beliau, jawabnya “Harga modal, asalkan tak rugi.” Saya faham memang penulis biasanya cuma mahu lebih ramai orang membaca karyanya, hal untung rugi letak di belakang, tapi jangan lupa ya, masa dan usaha yang digunakan untuk menulis termasuk sebagai ‘modal’ juga. Oh maaf, berleter pula saya.

Berbalik kepada buku-buku ini (gambar kedua). Tetamu Istimewa mengumpulkan 15 cerpen remaja, dan telah memenangi Hadiah Sastera Perdana tahun 2014. Bagi tuan puan yang mencari buku bacaan untuk anak-anak, saya syorkan buku ini. Cuma … khabarnya cetakan pertama buku ini sudah habis terjual (sold out) dan pihak penerbit belum memberi makluman tentang cetakan kedua. Tapi buku seterusnya, Bila Ayah Berkaca Mata Hitam, masih ada. Buku ini mengandungi 18 cerpen dewasa, tapi juga sesuai dibaca oleh kanak-kanak (Munief dah habis baca, Afiefah sedang baca). Manakala buku Madu di Tangan pula merupakan koleksi puisi.

Cerpen dan puisi penulis yang dikumpulkan dalam ketiga-tiga antologi ini hampir kesemuanya yang telah terbit sebagai karya eceran yang akhbar dan majalah. Memang hebat cikgu ni, sangat prolifik menulis - berpuluh-puluh cerpen dan berpuluh-puluh puisi yang terbit (bukan sekadar ditulis ya) hanya dalam masa beberapa tahun. Kebanyakan tema yang diangkat adalah kasih sayang dan kekeluargaan, perpaduan dan hidup bermasyarakat, cita-cita dan impian, dan tentunya ada – bertemakan hubungan antara guru dengan murid.

Cerpen-cerpen beliau hidup, bukan abstrak, ada konflik dan peleraian, dan pastinya penuh dengan mesej dan pengajaran. Bagi yang ingin belajar menulis cerpen, saya syorkan juga membaca cerpen beliau bagi melihat contoh cerpen yang baik. Yang menariknya, banyak juga perkataan-perkataan baru yang saya tidak tahu dan perlu dirujuk pada kamus dalam karya penulis. Maklumlah, guru Bahasa Melayu. Ini juga salah satu objektif penulisan karya, meluaskan perbendaharaan kata pembaca.

Ketiga-tiga buku ini diterbitkan oleh ITBM. Jika berminat mendapatkannya, boleh hubungi penulisnya Mohd Helmi Ahmad. Tuan puan juga boleh membeli secara online di laman jualan penerbit di www.itbm.com.my. Kebetulan sekarang mereka sedang mengadakan jualan sempena Hari Merdeka (sehingga 31 Ogos 2016).

Selasa, 2 Jun 2015

Tetamu Istimewa: Memaknakan Elemen Sosiobudaya Melayu

Assalamualaikum.

Tahun lepas Wan Hanif Wan Hamid telah mengulas Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa untuk Peraduan Ulas Buku ITBM dengan tajuk ulasan Tetamu Istimewa: Tentang Jiwa Remaja.

Pada tahun ini, sekali lagi Tetamu Istimewa diulas oleh seorang penulis iaitu Haniff Yusoff. Haniff mempertaruhkan ulasannya yang bertajuk Kumpulan Cerpen Remaja Tetamu Istimewa: Istimewanya kerana Memaknakan Sosiobudaya Melayu.

Aspek sosiobudaya Melayu telah diselongkar oleh beliau dalam sejumlah cerpen dalam buku ini.
Terima kasih saya ucapkan. Jemput baca ulasan tersebut. Jika berminat untuk memiliki buku tersebut boleh maklumkan kepada saya.

Kumpulan Cerpen Remaja Tetamu Istimewa: 
Istimewanya kerana Memaknakan Elemen Sosiobudaya Melayu



 Tajuk buku: Kumpulan Cerpen Remaja, Tetamu Istimewa
Penulis: Mohd Helmi Ahmad
Harga: RM 20 (SM)/ RM 25 (SS)
ISBN:978-967-430-401-0
Tahun terbit: 2014
Pengulas: Mohd Haniff Mohammad Yusoff
FB: Haniff Yusoff



Berdiri sebagai karya sastera remaja sewajarnya memberi sesuatu yang bermanfaat kepada golongan remaja itu sendiri dalam membentuk peribadi serta pekerti bagi melahirkan generasi yang berkualiti. Othman Puteh (1989) menerusi bukunya Sastera Remaja ditinjau daripada Beberapa Perspektif berpendapat sastera remaja itu pada dasarnya harus memberikan pendidikan selain hiburan kepada pembaca terutamanya golongan remaja.

Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa karangan Mohd Helmi Ahmad secara keseluruhannya menampilkan cerpen yang kaya dengan nilai-nilai murni untuk diteladani dan rata-ratanya berpaksikan sosiobudaya Melayu. Setiap satunya menonjolkan suasana, perlakuan dan adat resam yang sememangnya begitu akrab dalam kalangan masyarakat Melayu. Penyertaan elemen sosiobudaya dalam bahan bacaan untuk golongan remaja adalah suatu usaha yang wajar dalam memperkasakan jati diri kelompok ini.

Menurut A.C. Milner (dalam Ahmad Jelani Halimi, 2008) pengembara dan pelaut asing yang datang ke Tanah Melayu suatu masa dahulu mendapati setiap orang iaitu bangsa Melayu mempunyai kesedaran akan perpaduan, perkongsian bahasa, kesusasteraan dan cara hidup yang sama. Sosiobudaya Melayu yang didukung oleh pelbagai elemen merupakan lambang keutuhan jati diri dan identiti masyarakat Melayu itu sendiri. Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005) berpendapat budaya dan ketamadunan sesuatu masyarakat saling berkaitan kerana setiap tamadun dibina oleh budaya sesuatu masyarakat. Pantun di bawah merupakan contoh dalam mengungkap betapa signifikannya budi dan bahasa dalam masyarakat Melayu.

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2005)

Jika melihat ruang lingkup pantun di atas dengan skala yang lebih besar, pantun di atas sebenarnya menggambarkan betapa Melayu itu sememangnya dihadirkan dengan nilai-nilai kehalusan dan kesantunan. Pantun sendiri merupakan salah satu daripada elemen sosiobudaya Melayu yang cukup tinggi nilainya biarpun didepani prahara zaman yang tidak terduga.

Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa menampilkan 15 buah cerpen yang pernah mendapat tempat di dalam majalah dan juga akhbar tempatan. Cerpen pertama yang berjudul ‘Rancanganku Rancangan-Mu’ mengisahkan Amirul yang menghabiskan masa cuti semesternya di kampung bersama datuk dan neneknya. Perancangan asal yang sepatutnya bercuti di Cameron Highland tidak tercapai dek tugasan si ayah yang perlu menghadiri seminar di Pangkor. Cerpen ini dihadirkan dengan suasana kehidupan perkampungan Melayu yang begitu damai dikelilingi petak-petak bendang. Turut dikisahkan dalam cerpen ini ialah ikan-ikan darat dan ulam-ulaman menjadi menu dalam hidangan. Penulis juga memperkenalkan permainan tradisi masyarakat Melayu iaitu wau dalam cerpen ini. 

Pengalaman bermain wau tidak dapat kulupakan. Atuk banyak mengajarku mengenali warisan dan budaya orang Melayu. Dari menangkap ikan, makanan kampung, hinggalah permainan tradisional. Kata atuk, kalau kita yang tidak menjaganya, siapa lagi? Jangan biarkan ianya ditelan zaman.  (hlm. 8)

Melayu itu sememangnya dihadirkan dengan kesantunan budi pekerti yang tiada tolok bandingnya. Cerpen ‘Kedondong untuk Cikgu’ dan ‘Haruan di Pinggir Sawah’ menemukan pembaca dengan watak seorang guru yang perlu berhadapan dengan karenah anak muridnya yang adakalanya begitu mencabar kesabarannya sebagai seorang guru. Melalui cerpen ‘Kedondong untuk Cikgu’, Zahir yang selalu tidak menyempurnakan kerja sekolahnya, malah digambarkan sebagai murid yang selekeh akhirnya merealisasikan impian gurunya yang mengidam buah kedondong. Cerpen ‘Haruan di Pinggir Sawah’ pula mengisahkan Kamal yang sering dimarahi cikgunya kerana bercita-cita untuk menjadi penangkap ikan haruan dan di penghujung cerita pembaca akan ditemukan dengan kekesalan Cikgu Haris yang sering memarahi anak muridnya itu setelah mengetahui kehidupan sebenar anak muridnya itu yang serba kekurangan. Cerpen-cerpen ini memunculkan keluhuran budi seorang anak murid terhadap gurunya di mana mereka tidak menyimpan dendam sebaliknya menzahirkan rasa kasih dan hormat pada guru mereka. ‘Piala Penentuan’ juga dihiasi dengan molek pekerti dalam masyarakat Melayu yang wajar dicontohi oleh golongan remaja apabila watak utamanya Amar memohon restu daripada ayah dan ibunya apabila dia mempunyai perlawanan badminton dan dalam masa yang sama minatnya itu ditentang oleh ibunya sendiri. 

Sebelum Amar melangkah ke gelanggang, semalam dia ada beritahu ayah dan ibunya yang dia akan menyertai pertandingan badminton itu. Dia memohon restu dari kedua orang tuanya itu. Walaupun luka kekecewaan yang dicalarkan emaknya masih berparut, semua itu diketepikan. “Mak seandainya Amar tidak berjaya membawa pulang piala kemenangan, Amar akan gantung racket. Amar akan ikut segala cakap mak. Amar janji mak. Ayah doakan Amar.” (hlm. 87)

Amalan petua yang dipanjangkan generasi turun-temurun adalah sesuatu yang begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu. Biarpun dunia begitu taasub pada revolusi dan teknologi, amalan petua masih dipraktikkan sehingga ke hari ini dan melalui kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa, Mohd Helmi Ahmad menjelmakannya dalam cerpen ‘Tetamu Istimewa’ dan ‘Pulut Durian Santan Kelapa’. Cerpen yang menjuduli kumpulan cerpen ini iaitu ‘Tetamu Istimewa’ memberi pendedahan kepada pembaca mengenai amalan tradisi dalam menangani demam campak. Cerpen ‘Tetamu Istimewa’ membawa pembaca mendekati watak emak yang begitu rapi menjaga watak adik yang sedang mengalami demam campak dengan dimandikan dengan air penawar, malah watak emak juga tidak mengoreng dan menumis sebaliknya menyediakan ikan rebus sahaja untuk dijamu pada watak adik. Cerpen ‘Pulut Durian Santan Kelapa’ pula akan membawa kita kepada petua dalam menghilangkan rasa panas badan terutamanya selepas menikmati raja buah, durian. 

Petua ayah, ambil kulit durian yang dimakan dan masukkan sedikit air dalam pangsa kulit durian itu. Kemudian minum. Harapnya panas menjaram di dalam badan hilang, tidak pun kurang. (hlm. 117)

Adat resam yang menunjangi masyarakat Melayu turut disisipkan dalam cerpen-cerpen tulisan penulis dari negeri Jelapang Padi ini. Cerpen ‘Bunga Telur Kenduri Kahwin’ yang telah teruji kualitinya apabila diangkat sebagai pemenang Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010 agak menarik untuk dibicarakan. Cerpen yang turut mengemukakan elemen sosiobudaya Melayu ini mencetuskan pertembungan dua pendapat dari dua zaman yang berbeza antara anak dan juga ayah. Pertembungan perbezaan pendapat ini melibatkan antara perlaksanaan majlis kenduri kahwin secara adat warisan dan juga perlaksanaan majlis kenduri kahwin secara moden yang melibatkan perkhidmatan katering. Si ayah begitu terasa tercabar dengan tindakan anaknya kerana si ayah begitu setia sebagai pengamal budaya Melayu di kampungnya. Pembaca juga diperkenalkan dengan beberapa perkataan yang sememangnya begitu sinonim dalam majlis kenduri kahwin masyarakat Melayu secara tradisi seperti ‘tukang gerau’ dan ‘bentara’. Melalui cerpen ini juga, kemeriahan suasana majlis perkahwinan masyarakat Melayu secara tradisi dikisahkan oleh watak atuk kepada cucunya. Tuntasnya, cerpen ini memperlihatkan keupayaan penulis dalam membijakkan pembaca dengan memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai majlis perkahwinan masyarakat Melayu yang telah diamalkan sejak dari dahulu.

Mohd Helmi Ahmad turut menjelmakan adat resam masyarakat Melayu melalui cerpen ‘Rombongan Masuk Jawi’ yang mengisahkan amalan bersunat mengikut tuntutan ajaran Islam kepada kanak-kanak lelaki. 

“Bersunat wajib bagi lelaki Muslim. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa, bersunat wajib dilakukan ketika si anak hampir cukup umur atau akil baligh.” (hlm. 94)

Cerpen ini sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawa Islam menjadi akar umbi dalam perlaksanaan adat resam masyarakat Melayu. Ajaran Islam bergerak seiring dengan amalan masyarakat Melayu agar tuntutan agama tidak diabaikan dan segala adat istiadat atau amalan tidak melanggar hukum-hukum agama.

Sosiobudaya Melayu dilihat sebagai elemen yang penting untuk diterapkan dalam bahan bacaan agar golongan remaja dapat membentuk sahsiah mereka . Othman Puteh (1995) menegaskan karya yang bernilai sastera haruslah digarap dengan penuh kehalusan, perenungan, pentaksiran, memiliki sisi keistimewaan di samping memerlukan daya kepekaan untuk memahami makna kehidupan. Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa yang diselitkan dengan elemen sosiobudaya Melayu dalam helaian-helaiannya perlu dijadikan bahan bacaan dalam usaha melahirkan remaja yang unggul pekerti, yang kenal usulnya dan yang teguh jati diri, sekali gus memartabatkan sastera remaja itu sendiri. 


Rujukan
Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan tamadun bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kurik Kundi Merah Saga. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Helmi Ahmad. (2014). Tetamu Istimewa. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Mohd Koharuddin Mohd Balwi. (2005). Peradaban Melayu. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Othman Puteh. (1989). Sastera remaja ditinjau daripada beberapa perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh. (1995). Pengisian dunia sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Isnin, 1 Jun 2015

Kumpulan Puisi Sangkar Alam oleh Solihin Osman

Assalamualaikum.

PERTANDINGAN ULAS BUKU INSTITUT TERJEMAHAN BUKU MALAYSIA (ITBM) 2015

ULASAN BUKU: KUMPULAN PUISI SANGKAR ALAM OLEH SOLIHIN OSMAN





Kumpulan puisi Sangkar Alam oleh Solihin Osman merupakan naskah yang telah memenangi hadiah sagu hati 10 terbaik daripada 611 penyertaan sempena Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2. 

Wajah Sangkar Alam mengandungi ketinggian falsafah mengenai rekabentuk kulit buku ini. Tiga subjek utama sebagai imej yang mendominasi keseluruhan rekabentuk menunjukkan imej sangkar burung diletakkan di tengah landasan penglihatan pembaca sebagai subjek yang mengimbangi makna sesebuah karya. Aspek keseimbangan adalah salah satu elemen seni yang penting, menjurus kepada hasrat penulis terhadap kelahiran naskah ini. Seekor burung punai bewarna hitam dengan saiz yang kecil terletak di bahagian bawah manakala seekor burung merak yang memalingkan mukanya dikomposisikan di bahagian kanan atas rekaletak. Apakah komposisi ini diletakkan dengan susunan yang disengajakan? Tentu sekali tidak. Solihin Osman bukanlah calang-calang latar belakang. Dengan pengalaman jerih-perih dalam industri kreatif negara yang meliputi kepakaran senireka grafik / komunikasi visual, fotografi, teater, puisi, kewartawanan dan pendidikan selama 30 tahun, barangkali tidak ramai yang membaca beliau dengan mata yang celik.

Seekor punai dan seekor merak merupakan dua figura burung yang kontra perwatakan. Merak diumpamakan burung dari kayangan yang gemar berbanga dengan kecantikan manakala punai hanyalah burung hitam yang kecil tanpa perhiasan yang cantik diciptakan untuknya. Meneliti sumbangan kedua-dua burung, Nyata sekali, burung punai lebih prolifik dalam mengeluarkan telur yang menyumbang sebagai makanan berbanding telur burung merak yang keluar dalam jumlah yang sedikit, tidak pula sebagai makanan. Perbandingan yang menjadi falsafah utama sebagai wajah naskah Sangkar Alam ini melayakkan ia berada di tempatnya yang tersendiri. Benar kata para bijaksana, menjadi manusia yang jujur, rendah diri dan amanah tidak akan dipandang orang. Mereka yang sombong, khianat, berbangga diri, penipu dan iri hati kelihatan lebih mulia di dunia. Seperti mana burung punai dengan burung merak. Berbalik semula kepada sangkar, ia merefleksikan bahawa alam yang luan nian juga ada kurungannya, meliputi menjadi manusia yang mulia dengan menyangkarkan diri ke dalam peribadi yang sihat, walaupun jasad tidaklah dikurungkan di dalam sangkar.

45 buah puisi dimuatkan kesemuanya merakam aksi kehidupan manusia yang penuh dengan adiwarna dan makna. Puisi yang sifatnya multifungsi dengan segala isi kisah yang sarat dimampatkan dengan pemilihan kata yang paling ekslusif dari himpunan kata-kata yang ada menjadikan kata-kata yang lahir dari sebuah puisi adalah baris kata-kata pendek yang menggugah seribu satu pengertian. Untuk memahami sifat manusia, kita memerlukan bertan-tan buah buku untuk dibaca. Namun sifat manusia bukanlah konkrit seperti arca yang boleh disentuh untuk pengertian bahan dan wajah murninya. Sifat manusia yang abstrak menyukarkan kita memahami tindak tanduk yang pelbagai dalam kehidupan.

Dengan menjadikan budaya bangsa sebagai latar pengkaryaan, naskah Sangkar Alam dimulakan dengan sebuah puisi yang berjudul Alif Lam Dan Mim. Judul puisi ini merujuk kepada ayat pertama dalam kitab Al-Quran yang masih dikaji maknanya. Namun, Al-Quran sebagai panduan utama yang dihadiahkan oleh Allah SWT menyuruh manusia untuk membaca.

Membaca adalah perjuangan mencari ilmu. Dengan ilmu, manusia akan menjadi lebih baik dari haiwan dan bertingkahlaku sebagai manusia yang sebenarnya. Solihin mengulangi pertanyaannya kepada Pencipta dalam empat buah rangkap dengan ayat, ‘Rahsia apakah yang ada?’. Ia disusuli dengan pertanyaan tentang kejadian selepas kematian kelak. Dengan jasad yang pernah dibangga-banggakan, kehidupan yang penuh berkuasa, apakah kebanggaan dan kekuasaan tadi mampu membangunkan semula jasad yang telah lupus menjadi tanah? Alam yang penuh misteri ini sedia maklum dikaji sejak beribu-ribu tahun lamanya. Manusia berlumba-lumba mengeluarkan hasil dapatan dari ekstarakan mengenai permasalahan alam dengan menjadikan ia cabang-cabang ilmu pengetahuan. Saban masa, dapatan ini diganti dengan penemuan baru bagi mengangkat pemikiran seseorang menjadi topik perdebatan yang merancakkan dunia kesarjanaan.

Rangkap kedua,

Rahsia apakah yang ada
pada dasar laut yang gelita
meski masih ada hidupan
berenang dengan bahagia.

Solihin mengutarakan hal di dalam lautan yang misteri. Kegelitaan dasar laut dalam yang tetap melahirkan kehidupan barangkali lebih membahagiakan dari kehidupan manusia yang diterangi cahaya, namun tidak mengubah kebuasan nafsu di hati.

Rangkap ketiga,

Rahsia apakah yang ada
dalam padatnya belantara
jauh menyembunyikan segala rahsia
meski tamadun terus dicipta
tersisih dari pura-pura.

Kerap mengatakan belantara itu adalah dunia tanpa tamadun. Yang berkuasa akan menghinjak yang lemah. Rantaian makanan menjadi lumrah bagi menghalalkan kekejaman. Haiwan-haiwan pemangsa liar mencakar tubuh mangsa yang berdaya. Haiwan-haiwan mangsa bersembunyi di sebalik hijaunya dedaun yang menjadi perisai dengan penyamaran untuk mengelak dari dibaham dengan tragis. Jika belantara itu adalah dunia tamadun, Solihin bertanya mengenai adakah tamadun-tamadun yang diciptakan oleh manusia saban saat menjadi lebih baik daripada tamadun belantara?

Rangkap empat,

Rahsia apakah yang ada
pada langit tanpa warna
luas dan menakjubkan
kita yang kecil mementingkan kebesaran
kuat tapi kalah dengan kematian.

Solihin menyaksikan betapa luasnya alam bagi manusia yang amat kecil sering mendabik dada dengan kekuasaan yang maha kecil yang dirasakan maha besar. Sekali lagi Solihin masih lagi bertanyakan makna bagi kekuatan dan kebesaran kuasa oleh manusia ketika kematian memuktamadkan segalanya.

Rangkap lima,

Rahsia apakah yang ada
sedangkan segala jawapannya
ada pada Tuhan yang satu
Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Akhir sekali, jawapan sahih tentang segala pertanyaan tentang alam hanyalah ada pada-Nya, Allah SWT yang menciptakan dengan keagungan kuasa. Adakah manusia yang memahami makna puisi ini masih lagi curang dengan hakikat kehidupan. Tepuk dada tanya selera.

Kesimpulannya, Solihin menerusi puisi Alim Lam dan Mim mempelawa pembaca bertanyakan semula soalan yang sama tentang rahsia alam yang sering bermain dalam inkuiri. Hakikatnya, kehidupan ini sangat singkat untuk berbangga dengan apa yang kita ada. Menjadi bongkak, dengki dan khianat asalkan memperolehi kuasa dan kedudukan di dunia hanyalah sifat orang-orang yang gagal. Apalah salahnya memilih menjadi manusia hebat yang berperibadi mulia, asalkan kematian yang pasti dapat membawa roh kepada pembalasan yang baik yakni Firdausi.

Puisi Penyair Cinta yang merupakan puisi kedua dalam naskah Sangkar Alam mengungkapkan definisi cinta yang erat dengan perasaan sayang dengan tiga rangkap yang ringkas. Cinta merupakan satu perkataan dengan jutaan definisi. Kepada siapa ia ditujukan adalah hal yang abstrak. Seekor semut barangkali boleh menjadi hal cinta menjurus kepada ilmu tentangnya. Apatah lagi cinta sesama manusia yang sangat dinamik lahiriahnya.

Rangkap satu,

Kita lahir kerana cinta
cinta dari langit yang tulus
cinta dari rasa hati dan rasa fikir
anugerah untuk kehidupan
kehidupan dan masa depan.

Solihin seringkali mencatatkan kecintaannya dalam puisi. Seringkali pembaca akan menemui cinta Solihin lebih bersifat universal. Mencintai manusia menjadi dukungan perasaan yang lahir dari-Nya. Ia turun ke hati seiring dengan naluri semulajadi juga fikiran tentang perancangan masadepan. Tiada manusia yang tidak disuntik perasaan cinta ke dalam kenormalan narwastunya. Dengan cinta, Solihin mengetahui bahawa masa depan ditentukan oleh benih cinta hari semalam.

Rangkap kedua,

Ada yang mempertikaikan cinta
cinta hanya nafsu
cinta itu palsu
cinta adalah mimpi
cinta bukan hakiki.

Solihin menghadami ramai yang mempertikaikan kemanisan cinta. Ramai menuduh cinta adalah nafsu yang diisi dengan pendustaan. Mereka menafsirkan cinta bagai mimpi yang tidak tahu akan terjadi. Malah mereka menganggap cinta bukanlah satu hal yang benar. Ada golongan yang menolak cinta.

Rangkap ketiga,

Cinta memekarkan kita
menjadi insan yang rindu
kepada cinta dan kesejahteraan.

Solihin menyimpulkan bahawa kelahiran kita sebagai manusia juga atas dasar cinta. Dengan cinta kita menjadi perindu. Merindukan cinta adalah satu bentuk emosi yang syahdu, apatah lagi mencintakan kesejahteraan yang menjadi paksi kepada kebahagiaan.

Puisi Penyair Cinta merupakan sebuah puisi yang ringkas dengan diksi. Namun pengertiannya menjurus kepada cinta yang sejati iaitu cinta kepada Allah SWT akan mewujudkan kesejahteraan dan kebahagiaan dalam hidup. Apabila manusia meletakkan cinta yang asli di kedudukan yang tinggi, golongan yang menuduh cinta itu palsu tidak akan wujud kerana kebobrokan fikrah menafsir definisi cinta yang sebenarnya adalah punca makna cinta dipersampahkan. Solihin mengingatkan pembaca bahawa kesejahteraan dan kebahagiaan datang dari hati yang bersih. Dengan hati yang suci, tingkahlaku juga akan secara automatik melaksanakan perintah tentang cinta dengan melaksanakan kebaikan dan menolak kemudaratan. Cinta untuk-Nya adalah yang utama. Dan, penyair cinta adalah mereka yang memahami tujuan perkataan cinta itu dimasukkan ke dalam relung fikiran.

Ketika mengulas naskah Sangkar Alam, saya teringatkan Solihin sebagai figura yang bernafas di balik-balik keriuhan kehidupan. Beliau wujud dengan peribadi seorang pendidik yang sering berpesan kepada semua anak didiknya supaya menghormati jasa mereka yang pernah membantu kita. Narwastu Solihin terhadap ibunya diungkapkan dalam puisi Harumnya Ibu.

Rangkap satu,

Dari mata seorang ibu
lahir kenangan dari perjuangan
dan sebuah pengalaman dalam perjalanan
mencari dan menuai bahagia
dalam rimba cinta
seorang pengembara.

Solihin mengajak pembaca untuk memalingkan ingatan kepada perjuangan seorang ibu ketika melahirkan dan membesarkan anak-anak sehingga dewasa. Ibu merupakan satu figura yang tiada galang gantinya. Hanya ada seorang ibu di dunia ini. Tiada seorang anak pun yang boleh dilahirkan oleh dua orang ibu. Tiada. Mata seorang ibu yang melahirkan mampu mengimbas keperibadian anaknya. Jangan lupa, seorang ibu adalah seorang wanita. Mereka juga pernah menjadi kanak-kanak, remaja perempuan yang sering keliru ketika menuju ke alam dewasa. Pengalaman ini dipupuk sebagai pengembara kehidupan yang mana hasrat untuk menuai kebahagiaan dalam setiap kehidupan anak-anaknya adalah satu perjuangan yang panjang.

Rangkap dua,
Dari bibir seorang ibu
terbit mentari yang harum
bunga-bunga rindu
rona-rona kasih
menjadi senja abadi
dan pelangi kendiri.

Menggunakan bibir sebagai perlambangan, nasihat dan penerangan mengenai kancah kehidupan sering menjadi mentari harum yang terbit bagai bunga-bunga di bibir seorang ibu. Berleter barangkali merupakan satu istilah yang kerap diberikan oleh golongan anak-anak masa kini. Namun, apabila masa terbang dan hinggap ke tangkai realiti, ketika itulah anak-anak akan memahami bahawa pelangi itu ilusi. Yang indah tidak datang dengan mudah.

Rangkap tiga,

Dari potret seorang ibu
terlukis tamadun usia
dengan garis-garis pengorbanan
jalinan mimpi dan restu
dalam bingkai hayat yang putih
gubahan iman dan kemanusiaan.

Solihin yang juga merupakan seorang pelukis mengerti garis-garis penuaan yang jelas di wajah seorang ibu adalah bukti pengorbanan. Anak sebagai kanvas putih disenikan dengan rupa, bentuk, ruang, jalinan dan warna yang bersemarak menjadi manusia yang berjaya. Apakah elemen seni yang digunakan dalam melukiskan masadepan seorang anak? Solihin menjawabnya dalam bait kata, ‘gubahan iman dan kemanusiaan’. Iman dan kemanusiaan merujuk kepada kemanisan Islam dan rasa ihsan sesama manusia adalah pasak yang ditanam oleh ibu bagi setiap anak-anak yang kudus.

Rangkap empat,

Dari diri seorang ibu
ada sejarah yang jauh
ditulis oleh tinta kemanisan
di atas lebar yang lembut
bersulamkan benang kehidupan
sepanjang zaman.

Solihin melihat dalam diri seorang ibu adanya sejarah panjang yang direncanakan oleh hal-hal yang rencam. Kemanisan perjuangan dapat dirasakan dengan kejayaan anak-anak. Ia cukup membahagiakan dan membuktikan kejayaan seorang ibu dalam melaksanakan pendidikan. Nilai-nilai baik yang dibawa oleh seorang ibu akan dibawa sepanjang masa selagi usaha mengenang jasa ibu mekar dalam hati setiap anak.

Puisi Harumnya Ibu adalah dedikasi Solihin kepada setiap ibu. Jelas akan usaha pendidikan datang dari perjuangan dan penentangan yang gigih dari hati yang cekal mengasuh anak-anak menjadi manusia yang berguna. Masa yang berlalu merefleksikan hasil asuhan yang diberikan sejak mula. Asuhan yang baik akan mengharumkan wangian dalam kejayaan. Namun, setiap anak juga berhak menggunakan kebijaksaannya untuk merencana masadepan berkat dari asuhan yang diterima sejak mula. Dalam Islam, ketinggian martabat seorang ibu tidak boleh disanggah. Menghormati dan menyayangi ibu adalah satu ibadat yang besar nilainya. Haruman seorang ibu bukanlah dalam halwa yang semarak secara mata kasar, puisi ini lebih jauh hasratnya apabila anak-anak menjadi ibu yang mengulangi perjuangan yang sama.

Puisi Jadi Jadilah di mukasurat 9 dimulakan dengan perkataan, ‘Jadilah padi yang ranum’. Penggunaan padi amat dekat dengan falsafah bangsa Melayu yang menjunjung alam sebagai nilai kehidupan. Jadilah padi yang ranum mengajak pembaca menjadi bangsa yang kaya, bermanfaat dan berguna kepada masyarakat. Namun, ketika takwim sedang bergayutan di hujung tangkai takwim, seringkali manusia menjadi lupa diri dengan kejayaan yang sedikit. Kekuasaan dan pangkat menjadi longkang besar dalam menjalinkan kemanusiaan. Sedangkan hakikat padi itu yang semakin banyak berasnya, semakin menunduk ke bumi. Tidak pula bongkak dengan jasa yang diberikan.

Rangkap satu,

Jadilah padi yang ranum
menunduk pada alam yang mesra
harumnya membuka selera
menjadikan hayat mendaki cita
berlari kemajuan dalam litar perjuangan
jadilah padi yang setia dan hormat
tawaduk tapi keras kulitnya
menyelimuti beras yang kasih.

Solihin yang berasal dari Kangar, Perlis mengobservasi padi yang mesra dengan keperibadian seorang insan yang merendah diri dan tidak mengejar nama, pangkat dan harta. Beliau menerangkan ketika manusia memperjuangkan sesuatu dalam kehidupan, semailah sifat setia dan hormat kepada insan sekeliling. Bertawaduk dengan kemurnian peribadi walaupun cabaran datang setiap hari.

Rangkap dua,

Jadilah seperti tebing yang rindu
saban dihempap gelora masih sabar
sesekali runtuh dihanyutkan lara
tebing masih menghadap ombak dan riak duga
sangat akrab bersama aur
penuh ikhlas dan rela
demi sebuah sejahtera.
Solihin mengajak pembaca mendalami peribadi tebing yang setia mempertahankan sesuatu yang disayangi. Menjadi setia haruslah ikhlas dan rela bersusah senang bersama-sama. Akhirnya, kesejahteraan akan melahirkan kebahagiaan yang dikejar-kejar oleh setiap manusia.

Rangkap tiga,

Jadilah seperti kita
harum berseni dalam rimbunan khatulistiwa
kehijauan yang mendinginkan minda
kabus menyelimuti persoalan
dan gerimis embun menyirami doa.

Akhir sekali, Solihin merumuskan untuk mencapai kejayaan yang hakiki, jadilah manusia yang menjadikan alam sebagai pesanan tentang kekuasaan-Nya. Kehijauan belantara menyejukkan minda ketika hujan menyirami jiwa dengan doa yang meleraikan kabus dalam persoalan. Menjadi bijaksana adalah perkara yang dituntut oleh Islam, seiring dengan falsafah Melayu yang erat dengan kebenaran.

Akhir sekali, puisi Sangkar Alam II yang menjadi tajuk naskah kumpulan puisi ini menerangkan tentang keperibadian dan fitrah dua ekor burung iaitu puyuh dan merak.

Dia itu puyuh berjalan sambil melihat pemberian
sesekali mendongak menilai kawan
berjalannya menuju ke permukaan
timbul menjadi sabut yang berdoa.

Dia itu merak yang terbang bersama enggang
rumahnya di pergunungan utara
tempat mengumpul segala kesombongan
matinya dilurah dan gaung
malang yang hina.
Puyuh dan merak
tiada bezanya
ditakdirkan menjadi beburung
lebihnya hanya mampu terbang
tanpa perlu pertolongan.

Solihin menggunakan subjek burung puyuh sebagai pembawa makna dalam puisi ini. Burung puyuh adalah burung kecil yang tidaklah secantik burung merak. Namun, ia tetap menjadi burung dengan sifat rendah diri sambil mengeluarkan telur yang banyak dari konteks memberikan jasa kepada yang lain. Merak pula diketahui burung cantik yang suka mempamerkan kecantikan dirinya. Dari satu segi, ia adalah lahiriahnya yang semulajadi. Namun, menjadi sombong dan berbangga diri bukanlah sifat yang sinonim dengan kesantunan bangsa Melayu, apatah lagi ditolak dalam Islam.

Solihin melihat dunia sering menjadikan merak dan manusia yang sombong ini sebagai kelompok yang menang. Namun secara realitinya, ketika mengdapai alam selepas mati, mereka ini terhumban ke lembah yang hina. Walaubagaimanapun, menjadi manusia yang jujur dan merendah diri atau memilih menjadi manusia sombong dan berbangga diri tetap menemukan hakikat bahawa semua tetap akan hidup dalam perjuangan masing-masing. Ia adalah sesuatu hal yang perlu diterima dengan redha.

Kesimpulannya, kumpulan puisi Sangkar Alam adalah pesanan-pesanan dari ekstarakan secara teliti oleh Solihin terhadap perwatakan manusia di sekitar kehidupan. Merujuk kepada alam yang maha luas, apalah salahnya berkongsi segala rezeki dan zat-zat yang dilimpahkan oleh Allah SWT secara adil kepada setiap hambanya. Yang terbang akan hinggap jua ke tanah, yang berenang akan timbul juga ke permukaan air dan yang akhirnya, ketaian akan melahirkan kehidupan baru dengan pembalasan yang maha adil. Alam adalah sangkar yang ilusi bagi mereka yang terlupa tujuan mereka dihembuskan nyawa. Dan sangkar tersebut adalah kebahagiaan bagi mereka yang menilai fungsinya sebagai punca kegemilangan di akhirat kelak.

TAMAT.

FIRDHAUS HASSAN
TANJONG MALIM
31 MEI 2015


Sabtu, 30 Mei 2015

Sinisisme dan Multitafsir dalam Dongeng Perkebunan

Assalamualaikum.


PERADUAN ULAS BUKU ITBM 2015
SINISISME DAN MULTITAFSIR DALAM DONGENG PERKEBUNAN

Oleh : Ridzuan Kamis

Nama Buku : Kumpulan Puisi : Dongeng Perkebunan
Nama Penulis : Jasni Matlani
Penerbit : Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan PENA 
Tahun Terbit : 2015
Bilangan Muka Surat : 46 Halaman
Harga : RM20.00/RM25.00
ISBN : 978-967-0869-46-9



“Sesungguhnya menulis puisi bagi saya selalu menghadiahkan kepuasan yang lain berbanding menulis cerpen atau novel” - Jasni Matlani.



Sesebuah puisi (sajak) pada zahirnya cumalah selonggok kecil kata-kata. Namun kepada orang yang mengerti, selonggokan kata-kata itu sebenarnya adalah selautan telaahan minda yang mampu memukau fikiran serta mata kalbu. Puisi sebagai sebuah manifestasi yang lahir daripada rasa kecintaan manusia yang tinggi terhadap kehidupan, kemanusiaan, kealaman dan segala isi semesta alamiah. Puisi berperanan sebagai alat pengkritik kehidupan manusia, di samping mampu meninjau kebenaran jiwa dan mantafsir rahsia jiwa manusia. Puisi sebagai medium komunikasi atau adanya interaksi antara fizikal dan spiritual yang dapat memperkaya pengalaman hidup. Hal ini demikian kerana puisi mempunyai sihirnya yang tersendiri, yang telah dirasuki ke dalam satu jalinan yang berdimensi intim dan mesra antara penggemar dan pengkreatifnya. Sememangnya menulis puisi terlahir daripada resah jiwa dan bahagia apabila karya itu ditatap dan dibaca oleh khalayak berwibawa.

Sesungguhnya, kata-kata yang terdapat dalam puisi bukan sekadar simbol idea semata-mata tetapi melibatkan satu, dua atau banyak lapis makna dalam interaksi manusia iaitu makna yang melibatkan ungkapan pemikiran dan makna yang mengaitkannya dengan ungkapan perasaan. Hal ini jelas apabila Tolsttoy menjelaskan bahawa tujuan kesenian atau kesusasteraan adalah untuk menyatukan kemanusiaan melalui perkongsian perasaan. Bukan sekadar itu, malah puisi boleh menjadi gedung ilmu yang berupaya menghantar kita ke ceruk yang paling sunyi, ke dasar yang paling dalam, ke rahsia yang paling tersembunyi, ke konflik yang paling rumit dan yang kesemuanya melalui pentafsiran perasaan yang bebas ke atas susunan kata-kata yang puitik, dinamik, estetik dan analitik.

Bagi tokoh Barat terkenal seperti Coleridge telah mendefinisikan puisi sebagai kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik. Wordsworth pula menyatakan bahawa puisi sebagai pengucapan tentang perasaan yang mendalam secara berentak; penglahirannya spontan yang diingat kembali dalam suasana tenang. Mahtew Arnold pula mendefinisikan puisi adalah kritikan terhadap kehidupan berlandaskan syarat yang ditetapkan oleh kebenaran, keindahan dan kekuatan. Namun begitu, kata-kata dan susunan terbaik terhasil daripada seseorang pemuisi (penyair) dengan adanya pengetahuan tentang imej dan bahasa yang diaplikasikan secara bijaksana dan tidak dipraktikkan berwenang-wenang. 

Selain itu, puisi pada dasarnya ialah susunan kata-kata yang indah di mana kekuatannya terletak pada seni keindahan kata-kata tersebut. Dengan kata lain, esensi sesebuah puisi harus ada pada estetika yang ditampilkan oleh kata-kata yang indah dan mempesona. Keindahan dan makna puisi biasanya akan terserlah dalam sebuah kesatuan yang utuh walaupun ia bersifat subjektif. Penyair dilihat tidak menyelewengkan keindahan yang melekat dan membungkus makna dengan permainan kata-kata berwacana. Hal ini dapat dianalogikan kepada beberapa puisi yang dianggap kabur tetapi sebenarnya mempunyai multitafsir yang memungkinkan cerakinan makna secara berilmiah.


Definisi dan huraian tentang puisi secara umum di atas dapat disepadukan dengan buku Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan karya penulis prolifik Sabah yakni Jasni Matlani kerana menampilkan sesuatu kelainan jika dirungkaikan dengan mata fikir dan mata hati berasaskan teori kesusasteraan terpilih. Buku Dongeng Perkebunan ini diangkat sebagai pemenang ketiga dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2 melayakkan puisi-puisi ini diteliti dengan berjustifikasikan intrinsik pemikiran berilmiah dan berfalsafah. Latar belakang Jasni Matlani dalam dunia kesusasteraan juga bukan calang-calang orang kerana beliau ialah Yang Di-Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang juga Ahli Jawatankuasa GAPENA salain pernah meraih Anugerah Penyair Islam Sabah, Ahli Darjah Kinabalu(ADK), Hadiah Sastera Sabah dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Pengalaman menulis Jasni Matlani dari tahun 1970-an memperlihatkan kematangan karya beliau terutama dalam karya kreatif seperti novel, cerpen dan puisi di samping penulisan non kreatif yang lain. Dongeng Perkebunan ini merupakan buku kumpulan puisi perseorangan ketiga beliau setelah buku pertamanya Tergantung Pada Kata (1996) juga menggondol hadiah pertama puisi anjuran DBP Sabah manakala kumpulan puisi kedua pada 2010 berjudul Skrip Aneh.

Keseluruhan puisi dalam Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan ini bersifat kontot tetapi tetap dapat menyorot mesej secara multimakna berasaskan fiksyen “dongeng” yang diselusuri di “perkebunan”. Perkataan “perkebunan” dijadikan platform penyair untuk membangkitkan isu dengan berfikir di luar kotak walaupun teknik atau bentuk pengucapan berperihalkan perkara yang biasa atau lumrah. Sememangnya tidak ada sebuah pun daripada 45 puisi kontot dalam Dongeng Perkebunan ini dijudulkan Dongeng Perkebunan tetapi penyair pintar menjadikan penceritaan atau perkisahan yang seakan berkronologis daripada puisi pertama hingga puisi terakhir dengan cerita-cerita (puisi) dongeng. Kedongengan yang dibangkitkan sebenarnya menimbulkan elemen sinisisme dan multitafsir secara ilmiah, berfalsafah dan berpengajaran selain dapat dikupasi berasaskan teori psikologikal. Begitu juga perkataan “perkebunan” yang berkanotasi sebagai tempat manusia atau fauna berkehidupan sama ada secara normal atau abnormal yang dikongsi bersama-sama mahkluk lain di muka bumi ini. Boleh dikatakan bahawa setiap puisi dalam Dongeng Perkebunan ini, penyair menggunakan perkataan “perkebunan” yang melambangkan kehidupan realiti tetapi seperti kedongengan andai manusia tersasar khittah dan arah hidup di “perkebunan” untuk membina peradaban dan kemasyhuran secara berterusan.


Puisi-puisi berelemen sinisme atau sinisisme ialah merujuk kepada pandangan atau kecenderungan untuk mempersoalkan sesuatu hal. Dalam konteks kesusasteraan, sinis atau sinisisme merupakan satu aliran pemikiran yang terkandung dalam karya sastera yang mengandungi kritikan atau pengajaran daripada cerita atau paparan yang dikemukakan. Sinisisme juga dapat ditafsirkan sebagai satu sindiran yang mempunyai tujuan positif untuk mengubah bangsa atau masyarakat melalui karya-karya sastera seperti puisi Melayu moden yang diungkapkan dengan teknik dan gaya penulisan tersendiri. Maka Dongeng Perkebunan ini menepati kriteria tersebut kerana memaparkan puisi-puisi sinis secara sinikal dan simbolik. Multitafsir pula merupakan satu perkataan atau frasa malah ayat atau keseluruhan karya (puisi) yang mempunyai banyak makna sama ada selapis atau berlapis-lapis berdasarkan kebijaksanaan penelaah mentafsir sesuatu persoalan atau amanat yang disampaikan di dalam karya oleh penyair.

Puisi pertama dalam buku ini paling kontot iaitu hanya tiga baris yang berkuantiti 11 perkataan sahaja. Diperturunkan keseluruhan puisi Bulan Berkabut tersebut, yang merupakan halaman pembuka cerita “dongeng” seperti yang ditekankan oleh penyair sendiri.

Bulan berkabut di perkebunan
dan siang mencari matahari
yang tak pernah ada.
(Dongeng Perkebunan : Bulan Berkabut:1)


Jasni Matlani memulakan perjalanan kata yakni perjalanan jauh mencari diri di “perkebunan”. Unsur paradoks wujud secara jelas apabila mana mungkin bulan berkabut dan matahari tidak pernah ada pada waktu siang. Mengapa cahaya tidak ada dalam cahaya? Inilah elemen sinisisme dan multitafsir yang boleh diperdebatkan akan maknanya tetapi penyair seakan membiarkan pembaca berteka-teki dan bertanda tanya di mana Jasni Matlani dalam kata pengantarnya menegaskan biarkanlah puisi berkembang seadanya di dalam hati untuk membentuk peribadi.

Puisi kedua yang diangkat sebagai contoh ialah puisi Lembu. Dititipkan perenggan pertama puisi Lembu sebagai contoh relevan untuk membuktikan penyerapan dan penggabungjalinan elemen sinisisme dan multitafsir berasaskan kupasan teori psikologikal.
“Kawanan lembu di perkebunan
hanya menuntut haknya terhadap rumput,” kata
penternak yang tahu keperluan lembu
dan tidak lebih daripada itu.
( Dongeng Perkebunan : Lembu:31)


Jelas sekali bahawa puisi berjudul Lembu ini agak polos tetapi mempunyai elemen sinisisme yang tajam untuk menyedarkan masyarakat secara halus dan berseni. Buktinya judul Lembu itu sendiri yang berkanotasi seekor binatang yakni lembu yang bodoh. Sinisisme wujud apabila perkataan lembu dibiaskan yang merujuk kepada manusia diibaratkan seperti lembu kerana hanya menuntut haknya terhadap rumput (keperluan makanan untuk hidup) sahaja sedangkan penternak yang dapat diterjemahkan kepada pemerintah atau penguasa di “perkebunan” yang mendominasi hidup sama ada dalam aspek politik, sosial atau ekonomi. Secara dongengnya, mana mungkin lembu dapat menuntut haknya terhadap rumput tetapi multimakna terserlah apabila puisi pada perenggan pertama ini dihuraikan secara implisit. Maka pelbagai persepsi dan pandangan wujud secara bijaksana dan berkohesi berdasarkan bait-bait puisi yang diungkapkan secara bersahaja tetapi mengesankan pembaca yang senantiasa ingin mencabar minda.

Puisi Cahaya pula mengaplikasikan teknik dialog dalam penyampaiannya. Diperturunkan keseluruhan puisi tersebut untuk mengesan kelainan yang diuar-uarkan.
Maka suatu hari, seorang tokoh tiba-tiba kehilangan
sesuatu yang berharga di perkebunan, lalu seorang bertanya,
“Adakah kamu kehilangan sesuatu.”

“Adakah kamu kehilangan sesuatu yang berharga
itu di sini ? Di tempat ini ?”

“Tidak, bukan di sini, tetapi di tempat yang jauh.”
“Kalau begitu mengapa kamu mencari di tempat ini ?”
Lalu tokoh itu menjawab selamba mengakhiri
perbualan, “kerana di sini ada cahaya yang
terang-benderang !”
(Dogeng Perkebunan : Cahaya:37)


Lihatlah sesuatu yang biasa yakni kata-kata biasa tetapi menjadi luar biasa dek garapan secara dialog bersahaja sehingga meninggalkan impak sinisisme dan multitafsir yang berbeza-beza. Bayangkan seorang tokoh kehilangan sesuatu di perkebunan yakni di tempat yang jauh tetapi mencari sesuatu di tempat yang lain kerana beralasan di sini ada cahaya yang terang-benderang. Inilah bukti unsur sinisisme cerdik yang dibangkitkan secara intuitif dan komunikatif apabila menyindir masyarakat yang tetap mengharapkan cahaya dalam kehidupan walaupun telah kecewa atau kehilangan sesuatu di tempat yang kelam gelemat. Di sinilah elemen multitafsir wujud yang barangkali boleh dihuraikan makna yang lain seperti tokoh yang dihormati masyarakat tetapi melakukan sesuatu perkara yang memalukan atau memperbodohkan diri sendiri apabila mengharapkan ehsan cahaya di tempat yang lain atau di luar bidang hakikinya. Jelas, Jasni Matlani bijak memberikan sesuatu yang lain meskipun penggunaan bahasanya agak nihil metafora. Apapun, pemaknaan puisi ini boleh dipelbagaikan berdasarkan pemahaman si penelaah berasaskan takah pemaknaan masing-masing.

Satu lagi contoh puisi yang menyokong huraian tentang penyerapan elemen sinisisme dan multitafsir dalam buku ini ialah puisi berjudul Puisi yang Seperti Bukan Puisi. Diperlihatkan perenggan akhir puisi ini yang mampu memberikan makna yang pelbagai dan berlapis-lapis.
Entah bagaimana aku tiba-tiba melihat serpihan kata-kata
itu berubah menjadi makhluk bernyawa, dan muncul
di perkebunan dengan ganasnya. Dengan darah masih tersisa
pada taringnya seperti serigala, berwajah nabi.
( Dongeng Perkebunan : Puisi yang Seperti Bukan Puisi:46)


Penutup kepada buku ini, Jasni Matlani memerihalkan tentang sebuah lagi “dongeng” iaitu serpihan kata-kata secara tiba-tiba bertukar dan berubah menjadi makhluk bernyawa dan menjadi ganas di “perkebunan”. Kata-kata itu seakan mengamuk sehingga tersisa darah seperti serigala tetapi berwajah nabi. Demikian betapa “dongeng” itu disiniskan secara multitafsir oleh pembaca dan berelemen psikologi tersirat dalam ungkapan bahasa berseninya. Di samping ekamakna dan dwimakna, pasti akan terungkap trimakna serta lapis makna yang membijaksanakan pembaca. Adakah serpihan kata-kata itu ialah puisi, tohmah, fitnah atau kritikan? Adakah mahkluk bernyawa itu perasaan, konflik diri, halusinasi, mimpi atau dendam? Mungkinkah serigala berwajah nabi itu orang yang membuat salah atau melanggar undang-undang tetapi dipuja puji atau diangkat oleh masyarakat? Demikianlah pelbagai huraian makna boleh direntetkan berdasarkan sinisisme yang tersirat makna ini.

Secara keseluruhannya, Jasni Matlani bijak membina kejap ceritera dongeng dalam karyanya tetapi dalam kedongengan yang didendangkan itu sebenarnya ada kerealitian dan kesahihan yang benar-benar terjadi dalam kehidupan (perkebunan) sama ada secara sedar atau tidak sedar. Cereka dongeng itu digalurkan dengan konsisten secara paradoks daripada puisi pertama sehingga puisi terakhir yang berplatformkan “perkebunan” sebagai tapak penceritaan. Benar, puisi-puisi dengeng ini seperti antilogik dan berdominan kemerapuan malah bersifat prosaik tetapi percayalah bahawa elemen itu berjaya dilupuskan secara tidak sedar kerana ketelitian dan kebijaksanaan Jasni Matlani menghubungkaitkan dongeng-dongeng tersebut dengan kebenaran hakiki secara kanotasi ilusif dan multimakna malah mesej kesinisan menyerlahkan hakikat sesuatu kejadian atau perkara secara signifikan dan paradoksikal.

Dongeng Perkebunan juga memaparkan keragaman tema walaupun secara asasnya bertapak dengan cerita kedongengan dan perkebunan kesemua puisinya. Antara tema yang mendasari buku ini ialah perihal kemanusiaan, kepolitikan, konflik diri, kemasyarakatan dan kefalsafahan. Diperturunkan beberapa judul puisi daripada 45 puisi dalam buku ini antaranya Di Perkebunan, Dongeng Pohon, Hujan Aneh, Naga di dalam Sungai, Kalau Bermain di Perkebunan, Dongeng Nangka dan Cempedak, Hujan di Perkebunan, Malam Kencana, Spiral, Burung yang Terbang Berkawan, Lembu, Cahaya, Puisi yang Seperti Bukan Puisi dan banyak lagi. 

Berasaskan teori psikologi yang diperkenalkan oleh Freud, jelas sekali bahawa Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan menepati kriteria psikoligikal yang bertitik-tolak daripada sinisisme pengarang untuk ditafsir penelaah secara terpimpin fikir. Hal ini kerana dalam buku ini teradun psikologi pengarang, psikologi watak dan psikologi masyarakat dalam galuran “dongeng” dan “perkebunan”. Untuk psikologi pengarang, Jasni Matlani dilihat bijak mengolah ideanya. Penggunaan “aku” dalam keseluruhan buku ini barangkali merujuk beliau sendiri atau mungkin juga masyarakat. Pada kulit buku Dongeng Perkebunan ini dipaparkan puisi penuh Spiral yang merujuk “aku”.

Aku berjalan di perkebunan sambil memerhati langit,
matahari, sungai dan gunung. Kemudian tersandung pada
langkah beribu. Dari satu titik kecil perjalanan melebar ke
perkampungan luas, tetapi anehnya, seperti dirancang aku
kembali ke titik asal, yang kehilangan jalan pulang.
(Dongeng Perkebunan : Kulit Buku)


Dalam psikologi watak pula, untuk menimbulkan sinisisme dan multitafsir, penyair menggunakan beberapa watak secara sepintas lalu tetapi berjaya menimbulkan gelodak perasaan watak untuk dikupasi oleh khalayak. Sememangnya penggunaan watak dalam puisi tidaklah sejelas dalam genre novel dan cerpen namun Jasni Matlani berjaya menyelitkan watak-watak tersebut secara ‘dongeng” dan luar biasa tetapi merasionalkan makna. Antara watak manusia dan bukan manusia yang diselitkan dalam puisi-puisi kontot ini ialah aku, algojo, Si Kitul, Raja Mendeliar, Brutus, Caesar, si pelakon, kanak-kanak, tokoh, rama-rama, naga dan banyak lagi.

Bagi merelevankan unsur sinisisme dan multitafsir dalam karya, psikologi masyarakat juga perlu dikaitkan secara dominan. Ini kerana merujuk pandangan Carl Jung, di dalam masyarakat terdapatnya tanggapan yang dikenali collective unconsciousness. Masyarakat mempunyai persepsi atau pandangan tentang sesuatu yang sukar atau tidak boleh diubah-ubah lagi. Kelompok masyarakat ini dikatakan tidak sedar telah mempunyai tanggapan yang sama berhubung perkara-perkara yang berlegar di sekeliling mereka kerana ia telah sebati sejak dari azali. Masyarakat didefinisikan berada di bawah collective unconsciousness jika individu dalam masyarakat tersebut berada dalam tahap pemikiran atau tanggapan yang sama dalam sesuatu perkara contohnya pegangan budaya, paradigma diri dan sebagainya. Dalam hal ini, dikesani Jasni Matlani menyinis masyarakat yang masih terkongkong dalam pemikiran lapuk dan tidak membawa perubahan untuk kemajuan dan kelegasian hidup. Puisi di bawah dapat membuktikan bahawa masyarakat masih collective unconsciousness yang sukar diubah di mana Jasni Matlani cuba mengubahnya walaupun hanya menggunakan puisi. Diperturunkan keseluruhan puisi Negeri Hujan untuk menggambarkan pengamal collective unconsciousness ini.
Sepanjang musim, hujan turun di lembah perkebunan
yang menari dan langit bercinta dengan tanah hitam.
Apa yang sedang bermain di kepala? Banjir asing muncul
di bawah rumah dari jambatan yang patah. Kau di mana?
Apakah sedang berkurung dalam kamar, dibungkus selimut
selesa, sedang angin menangis dan merintih di jendela.
Kata orang, alam baring di kuburan dan manusia tidak
lagi menyalak selepas berhenti menjadi anjing.
( Dongeng Perkebunan : Negeri Hujan:44)


Sebagai konklusinya, jelas sekali bahawa buku Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan layak diangkat sebagai pemenang ketiga Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2 kerana kelainan pemikiran dan gaya penyampaian yang disusurgalurkan berasaskan “dongeng” dan “perkebunan” yang menimbulkan kesan estetik, dinamik, analitik dan puitik selain kekuatan dampingan seperti kewujudan elemen atau unsur sinisisme sehingga memunculkan multitafsir secara tersurat dan tersirat. Sesungguhnya buku ini dapat ditelaah berulang-ulang kali bukan dek kekontotannya tetapi kejelaan makna bijaksana yang memberikan ‘sesuatu’ kepada khalayak yang celik susastera khususnya penikmat genre puisi. Hal ini disokong dan didokong oleh gesaan penyair sendiri dalam prakata yang berharap pembaca akan mengutip(menghadam) pemikiran dalam kumpulan puisi ini untuk menjadikan kita lebih bertimbang rasa dan berfikiran positif akan nasib warga lain yang terdapat di “perkebunan” kita dan seterusnya menjernihkan perabadan kehidupan. Sesungguhnya, Dongeng Perkebunan merupakan buku yang cukup menarik dinikmati oleh penikmat puisi sejati kerana keluarbiasaan garapan yang direntetkan secara psikologi bersulam sinisisme dan multitafsir (multimakna) yang membijaksanakan.
Maka buku Dongeng Perkebunan ilham Jasni Matlani ini sememangnya layak diberi lima(5) bintang - sumber Berita Harian ( April 2015)

*****************
Saya ucapkan semoga berjaya kepada Cikgu Ridzuan Kamis dengan ulasan yang sangat teliti dan berkualiti ini. 


Jumaat, 29 Mei 2015

Rampai Sari Pedoman untuk Remaja: Ulasan Buku Madu di Tangan

Assalamualaikum.

RAMPAI SARI PEDOMAN UNTUK REMAJA: Ulasan Buku Madu di Tangan Karya Mohd Helmi Ahmad


oleh Nimoiz T.Y
nimoizty@gmail.com

“...Remaja adalah satu peringkat tertentu di dalam kehidupan manusia yang bermula di sekitar usia 13 tahun dan berlanjutan sehingga sekitar 21 tahun...”
Yusuf Zaky Yacob (1979)

Menurut pandangan alim ulama seperti yang dijelaskan K. H. Ali Yafie (1997), terdapat tujuh tahap usia perkembangan manusia. Usia-usia yang dimaksudkan ialah (1) Usia bayi, (2) Usia kanak-kanak, (3) Usia remaja, (4) Usia dewasa muda, (5) Usia dewasa matang, (6) Usia tua dan (7) Usia pikun. Usia yang paling getir dan penuh dengan duri cabaran ialah usia remaja. Berdasarkan etimologi, istilah remaja berasal dari bahasa latin iaitu ‘adolensence’ yang bermaksud menuju ke arah kematangan atau tumbuh menjadi dewasa. Menurut Hurlock (1992), istilah ini melangkaui definisi yang lebih luas termasuklah kematangan mental, emosi, sosial dan fizikal. Secara umumnya, usia remaja adalah antara umur 12 hingga 21 tahun dengan beberapa batasan iaitu remaja awal (12 hingga 15 tahun), remaja pertengahan (15 hingga 18 tahun) dan remaja akhir (18 hingga 21 tahun). Atau menurut Yusuf Zaky Yacob, batasan remaja adalah antara umur 13 hingga 21 tahun.

Dunia remaja adalah dunia yang penuh dengan duri pancaroba. Justeru, pemilihan rakan-sebaya yang betul dapat menyelamatkan diri remaja dari terjebak ke kancah yang boleh membawa kemusnahan kepada diri. Pergaulan tanpa batasan tentu sahaja akan menyebabkan remaja senang terdedah dengan kes-kes juvana yang menjadi barah dalam sistem sosial masyarakat. Remaja ibarat gelas kaca yang senang jatuh, retak atau terus berderai di atas lantai kehidupan. Sebagai pengenalan, diperturunkan puisi “Madu di Tangan” (m.s 23) sepenuhnya yang diangkat menjuduli kumpulan ini, selaras dengan usia remaja yang ibarat madu dalam genggaman.

MADU DI TANGAN

Menghirup secangkir madu
di taman bunga
dengan gelas kaca permata
aku perlu berhati-hati
dan waspada
agar madu tidak tumpah
berlinang
gelas tidak pecah
terburai.

Pada jejari yang mencangkuk gelas
diingatkan harus lembut
dan sopan
kerana madu bisa menjadi racun
pabila bersatu
dalam derai butir-butir kaca.


Kumpulan Puisi Remaja: Madu di Tangan karya Mohd Helmi Ahmad merupakan antara buku puisi tuntas khusus untuk golongan remaja. Buku ini memuatkan nasihat-nasihat yang berguna sebagai panduan dan pedoman dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar. Sebagaimana petikan pada kulit buku; “...nasihat dan getusan rasa dalam puisi ini tidaklah berlebih-lebihan, sebaliknya bersifat sebagai suntikan nilai tambah dalam pembentukan sahsiah remaja...” Karya-karya penulis muda ini banyak menghiasi ruangan kreatif akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia, BH, Harian Metro, Dewan Sastera, Tunas Cipta, Dewan Siswa, URTV dan lain-lain. Ini termasuklah puisi, cerpen dan esei. Mohd Helmi Ahmad banyak memenangi hadiah penulisan termasuklah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU). Selepas tersiarnya puisi pertama berjudul “Berdiri di Atas Kaki Sendiri” (2009), beliau terus tekun mengasah mata pena. Beliau merupakan anak jati Alor Setar, Kedah Darul Aman. Sebagai seorang penulis yang pernah melalui alam remaja, hidup di negeri jelapang padi, beliau banyak menungkapkan puisi-puisi yang bertemakan kampung halaman selain perjuangan, bahasa, kekeluargaan, kemanusiaan, hubungan ibu ayah dan jati diri remaja. Mengimbas susur-galur kenangan remaja, penulis mengungkapkan zaman itu dalam puisi “Layang-layang Silam” (m.s 11) sebagai kenangan-kenangan yang penuh dengan hembusan ingatan kepada asal-usul diri.

Aku merindui saat
menjadi kanak-kanak lelaki
dalam sawah warisan
lewat musim panen
menerbangkan layang-layang kertas
menarik tali tangsi terus berlari
dengan azam membara.

Daripada zaman kanak-kanak, menjadi remaja, seterusnya melangkah ke alam mahasiswa, beliau kini merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Batang Kali, Selangor. Sebelum ditempatkan sebagai seorang guru terlatih, beliau pernah mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) dari UPM, beliau banyak menulis puisi dan cerpen dalam bahasa Melayu. Hal ini selaras dengan minatnya akan bahasa Melayu seiring dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Justeru, golongan remaja sentiasa perlu diberi peringatan akan perkara ini. Tambahan, ada segelintir pihak cuba menyangkal kedudukan bahasa Melayu, sekali gus lebih mengutamakan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian. Antara puisi-puisi yang menyentuh tentang bahasa Melayu ialah “Memilih Bahasa Ibunda”, “Pedang Kata” dan “Memeta Kegemilangan Bahasa”.

Sebagai peringatan, Mohd Helmi Ahmad memulakan kumpulan ini dengan puisi “Memilih Bahasa Ibunda”. Beliau mengusulkan beberapa peringatan kepada remaja supaya sentiasa memelihara dan memulihara bahasa Melayu walaupun menyambung pengajian di luar negara. Dalam rangkap akhir puisi ini, penulis memberi penegasan bahawa: Biarpun kaulahir nanti \ di tengah kota raya \ berjiran dengan warga asing \ yang menghantarmu ke sekolah \ kenderaan berjenama pelbagai nama \ usah ragu dan bimbang \ tetaplah memilih bahasa Melayu \ bahasa ibunda menjulang martabat bangsa. (m.s 1). Puisi tentang bahasa juga ada ditegaskan lagi dalam puisi “Memeta Kegemilangan Bahasa” (m.s 18). Dalam puisi ini, penulis mengajak remaja untuk terus mempertahan dan memartabat bahasa Melayu seantero dunia. Remaja sebagai calon pemimpin masa hadapan serta pewaris bahasa ibunda perlu sentiasa memahat tekad untuk terus meletakkan martabat bahasa melayu di takhta tertinggi. Hal ini supaya bahasa Melayu tidak hilang ditelan modenisasi. Kata penulis: Bahasa Melayu dalam sejarah dunia \ memeta kegemilangan \ meletakkan satu pertimbangan \ takkan hilang ke akhir zaman.


Malah, sekali lagi penulis memperkukuh lagi ingatan akan tajamnya bahasa dan kata-kata dalam puisi “Pedang Kata”. Ungkapan seperti ‘takut nanti ada yang terluka’, ‘andai kawan tidak betah mengendalikannya’, ‘andai kawan tidak betah mengendalikannya’, ‘tajamnya melebihi taming sari’, ‘sekiranya kawan tidak tahu merawatnya’ dan ‘silap langkah termakan diri’ jelas sebagai tamsilan bahawa kata-kata bukan main-main. Kata-kata ibarat pedang yang bisa memancung sesiapa sahaja. Yang terluka, susah tentu sesiapa sahaja yang terkena libasan pedang kata. Perhatikan:

Jangan kawan bermain pedang kata
takut nanti ada yang terluka.

Jangan kawan bermain pedang kata
andai kawan tidak betah mengendalikannya.

Jangan kawan bermain pedang kata
tajamnya melebihi taming sari.

Jangan kawan bermain pedang kata
sekiranya kawan tidak tahu merawatnya.

Jangan kawan bermain pedang kata
silap langkah termakan diri.

Alam remaja adalah alam yang sangat menyeronokkan. Alam remaja menghantar seseorang dengan pengalaman yang berbeza untuk diteroka. Dalam zaman teknologi yang serba mencabar ini, golongan remaja senang terjebak dengan kancah jenayah seperti pembunuhan, seks luar pernikahan, rompakan, rogol, sumbang-mahram, jenayah siber, penagihan dadah, ragut, samseng jalan raya, pecah rumah, bohsia, dan vandalisme. Antara nasihat yang sangat berguna ialah akan amaran tentang rokok dalam puisi “Tuan” (m.s 57). Walaupun puisi ini khusus untuk pemerintah, namun madu hikmahnya sangat berguna untuk diteliti oleh remaja. Kerana, bermula dengan rokoklah kebanyakan remaja terjebak dengan kancah penagihan dadah yang boleh merosakkan sistem tubuh.

Di hospital terlantar ramai pesakit
di penjara terperosok ramai pesalah
di mindaku terlonggok persoalan
semakin ramai masyarakat perokok
semakin kaya-rayakah negara tuan?

Justeru, didikan agama dan moral seharusnya diberi sesempurna mungkin sebagai benteng untuk menghalag anasir-anasir jahat dari terus meresap ke jiwa remaja. Remaja ibarat rebung yang perlu dilentur seawal mungkin. Sebab itulah pepatah Melayu pernah menyebut, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Dalam puisi “Rebung Remaja” (m.s 37), Mohd Helmi Ahmad cuba menyampaikan buah fikir akan pentingnya melentur buluh di awal rebung supaya remaja tidak mudah terpengaruh. Kata penulis; Rebung remaja perlu dilentur seawal usia \ sebelum menjadi buluh keras \ di sekitarnya dedalu teknologi \ cepat menjalin sarang \ memerangkap lalat-lalat liar menerawang \ tanpa haluan tanpa pegangan. Pegangan yang cuba disampaikan oleh penulis sudah tentu didikan agama yang sempurna sedari awal kanak-kanak sebelum menjengah remaja.

Seorang remaja akan bergerak dalam lingkungan ahli keluarga. Ini termasuklah ibu, ayah dan adik-beradik yang lain. Di sekolah, Universiti atau kolej, lingkungan kehidupan remaja ialah guru, pensyarah, rakan-sebaya dan rakan-rakan lain. Manakala di luar, remaja sentiasa berada dalam lingkungan manusia dan kemanusiaan. Remaja perlu sentiasa menghormati ibu dan ayah kerana tanpa mereka siapalah kita. Ibu dan ayah sentiasa membanting tulang empat kerat mencari rezeki halal demi kelangsungan hidup. Untuk itu, remaja tidak seharusnya melupakan jasa-jasa dan pengorbanan orang tua. Di mana-mana sahaja, ibu dan ayah perlulah sentiasa diingati. Dalam puisi “Teratak Kasih Seorang Ayah” (m.s 40), penulis mengajak remaja untuk kembali mengingati jasa dan pengorbanan seorang ayah untuk anak yang tercinta. Setiap marah, pukulan kecil, dan tingkah lakunya adalah tidak lain tidak bukan sebagai pendidikan berguna: Teratak kasih seorang ayah \ ada anak-anak yang menghuni \ ada isteri yang memayungi \ segala suka duka dikongsi bersama \ menjadikan teratak ini terus kukuh memasak bumi. Puisi-puisi tentang pengorbanan seorang ayah turut diterjemahkan dalam “Tanah Bapa Masih Kontang”, “Aku, Ayah, Semangat” dan “Teori Ayah”. Tentang pengorbanan seorang ibu pula, hal ini turut diungkapkan dalam puisi “Pinggan di Rumah Ibu, Retak Seribu”, Manakala tentang ibu dan ayah dalam puisi “Pelekat Bapa Batik Ibu”. Perhatikan ungkapan dalam puisi “Pelekat Bapa Batik Ibu” (m.s 35): ...luntur warnanya mewarnai jalinan kehidupan \ ada suka – ada duka, mengalir bak sungai \ tak henti selagi belum sampai ke hilir.


Seterusnya adalah konsep dan tanggungjawab menuntut ilmu pengetahuan. Imam Syafie pernah menegaskan bahawa ilmu itu umpama binatang buruan. Manakala tulisan itu pula ikatan. Jadi, ikutlah binatang buruan itu dengan kuat supaya tidak dapat lari. Remaja sentiasa dituntut untuk terus menimba ilmu bagai melengkapkan diri menjadi seorang manusia yang kamil. Antara sumber-sumber ilmu sudah pastilah Al-Quran, As-Sunnah, Akal dan Pancaindera serta Ilham. Untuk itu, setiap remaja perlu berguru supaya tidak tersesat di tengah jalan. Dalam puisi “Bacakan Kami Sebidang Ilmu” (m.s 19), penulis berkongsi rasa akan peri pentingnya ilmu dan jasa seorang guru yang tidak pernah mengenal jemu mendidik pelajar. Untuk mendapat keberkatan ilmu, pelajar perlulah sentiasa menghormati dan mendengar nasihat guru.

Bebaskan kami dari lingkaran dedalu duri
sering terpijak mengganggu emosi
esok mendatang mahu kami berlari
di padang saujana penuh keindahan
menangkap rerama kasih menyentuh
lengkungan pelangi pertiwi
dari siraman keringat saktimu
memantul ke spektrum ilmu
yang terentang di dada kami.

Hal yang sama turut dirangkumkam dalam puisi “Kerana Dia Seorang Guru” (m.s 26). Definisi Guru menurut Mok Soon Sang (1990) ialah seorang ahli masyarakat yang mempunyai perhubungan sosial yang saling berkait rapat dengan masyarakat berstatus. Guru, cikgu, pendidik, murabbi, pensyarah semuanya bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang berguna kepada pelajar. Malah, Usman Awang pernah menulis puisi bertajuk “Guru Oh Guru” (1979) sebagai dedikasi kepada guru. Dengan nada yang hampir sama,” Mohd Helmi Ahmad menulis:

Bahawasanya menjadi seorang guru
harus tahu membaca cuaca perasaan
yang sering berlegar dalam kegetiran
musim anak-anak menimba ilmu
acap kali bertukar namun guru
setia dengan sebuah buku sebatang kapur
mencoret haluan melentur peribadi
seperti yang diinginkan kejayaan.

Ungkapan ‘setia dengan sebuah buku sebatang kapur’ membawa konotasi maksud yang sangat mendalam. Tentang kesetiaan dan pengorbanan seorang guru. Berpuluh-puluh tahun, seorang guru mungkin masih berulang-alik ke sekolah dengan motosikal buruk yang sama. Sedangkan, pelajarnya semakin menempa kejayaan dengan kereta besar, rumah besar dan pendapatan yang mewah. Demikianlah jasa seorang guru yang sentiasa berbangga dengan kejayaan yang diperolehi oleh pelajarnya tanpa sekelumitpun rasa cemburu.

Demikianlah ulasan ringkas daripada 50 buah puisi yang dimuatkan dalam kumpulan ini. Selain beberapa puisi yang dibincangkan, terdapat banyak lagi puisi menarik yang perlu dibaca dengan penuh penghayatan oleh pembaca. Ini termasuklah “Berjalan di Hadapan Bayang”, “Laut Sejarahnya”, “Berdiri di Depan Cermin”, “Kita Bukanlah Hakim Terlantik”, “Anugerah Sunyi”, “Dalam Subur”, “Srikandi”, “Layang-layang Silam”, “Mempertaruhkan Nasib”, “Derhaka di Tanggang”, “Sepak Bola di Kampung Kami”, “Api Amarah”, dan “Menunggu Siang”. Kekuatan utama puisi-puisi Mohd Helmi Ahmad ialah kebolehannya bermain dengan bahasa figuratif termasuklah personifikasi, metafora, simile dan hiperbola. Antaranya ialah ‘memacu di lebuh kemajuan’, ‘bermain pedang kata’, ‘melentur peribadi’, ‘mesin-mesin pengalaman’, ‘sijil-sijil pengetahuan’, ‘bangku tawakal’ dan banyak lagi.

Fitri Rahmawati (2015) dalam bukunya Jurus Kilat Menguasasi Sastra Indonesia telah menggariskan beberapa fungsi sastera dalam masyarakat. Antaranya ialah Fungsi Rekreatif, Fungsi Didaktik, Fungsi Estetis, Fungsi Moralitas dan Fungsi Religius. Kumpulan Puisi Remaja Madu di Tangan (ITBM, 2015) karya Mohd Helmi Ahmad hampir melengkapi kelima-lima fungsi ini. Fungsi didaktik misalnya banyak dimuatkan dalam buku ini khusus untuk mengarah dan mendidik remaja kerana nilai-nilai kebenaran yang terdapat di dalamnya. Semoga buku ini akan menjadi panduan berguna dalam membentuk jati diri remaja selaras dengan hasrat asal penulis. Memetik prakata penulis: “Kumpulan puisi remaja ini adalah usaha kecil saya sebagai penulis muda dalam memperkayakan khazanah persuratan negara terutama untuk pengisian bacaan para remaja”.

Akhirul kalam, diperturunkan rangkap dua puisi “Gelas Perpaduan” (m.s 17) sebagai ingatan supaya remaja sentiasa menghargai perpaduan yang menjadi teras keharmonian Malaysia. Dengan perpaduan yang utuh, negara akan terus mengorak maju dalam arus globalisasi.

Gelas perpaduan
harus dipelihara
kerana di dalamnya
mengandungi
keharmonian
kesaksamaan
kemanisan
madu-madu kebahagiaan.


***************

Sebagai penulis, saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan seorang pengulas, penulis dan pengkritik sastera yang memilih kumpulan puisi remaja ini untuk dibawa ke pentas pendiskusian secara disiplin dan tuntas. Moga resensi yang dipertandingkan dalam Peraduan Ulas Buku ITBM ini menampilkan satu kewibawaan bahawa ulasan ini boleh dipertanggungjawabkan bagi memartabatkan kesusasteraan remaja. Tahniah kepada penulis dan semoga berjaya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78