Pengikut

Isnin, 1 Jun 2015

Kumpulan Puisi Sangkar Alam oleh Solihin Osman

Assalamualaikum.

PERTANDINGAN ULAS BUKU INSTITUT TERJEMAHAN BUKU MALAYSIA (ITBM) 2015

ULASAN BUKU: KUMPULAN PUISI SANGKAR ALAM OLEH SOLIHIN OSMAN





Kumpulan puisi Sangkar Alam oleh Solihin Osman merupakan naskah yang telah memenangi hadiah sagu hati 10 terbaik daripada 611 penyertaan sempena Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2. 

Wajah Sangkar Alam mengandungi ketinggian falsafah mengenai rekabentuk kulit buku ini. Tiga subjek utama sebagai imej yang mendominasi keseluruhan rekabentuk menunjukkan imej sangkar burung diletakkan di tengah landasan penglihatan pembaca sebagai subjek yang mengimbangi makna sesebuah karya. Aspek keseimbangan adalah salah satu elemen seni yang penting, menjurus kepada hasrat penulis terhadap kelahiran naskah ini. Seekor burung punai bewarna hitam dengan saiz yang kecil terletak di bahagian bawah manakala seekor burung merak yang memalingkan mukanya dikomposisikan di bahagian kanan atas rekaletak. Apakah komposisi ini diletakkan dengan susunan yang disengajakan? Tentu sekali tidak. Solihin Osman bukanlah calang-calang latar belakang. Dengan pengalaman jerih-perih dalam industri kreatif negara yang meliputi kepakaran senireka grafik / komunikasi visual, fotografi, teater, puisi, kewartawanan dan pendidikan selama 30 tahun, barangkali tidak ramai yang membaca beliau dengan mata yang celik.

Seekor punai dan seekor merak merupakan dua figura burung yang kontra perwatakan. Merak diumpamakan burung dari kayangan yang gemar berbanga dengan kecantikan manakala punai hanyalah burung hitam yang kecil tanpa perhiasan yang cantik diciptakan untuknya. Meneliti sumbangan kedua-dua burung, Nyata sekali, burung punai lebih prolifik dalam mengeluarkan telur yang menyumbang sebagai makanan berbanding telur burung merak yang keluar dalam jumlah yang sedikit, tidak pula sebagai makanan. Perbandingan yang menjadi falsafah utama sebagai wajah naskah Sangkar Alam ini melayakkan ia berada di tempatnya yang tersendiri. Benar kata para bijaksana, menjadi manusia yang jujur, rendah diri dan amanah tidak akan dipandang orang. Mereka yang sombong, khianat, berbangga diri, penipu dan iri hati kelihatan lebih mulia di dunia. Seperti mana burung punai dengan burung merak. Berbalik semula kepada sangkar, ia merefleksikan bahawa alam yang luan nian juga ada kurungannya, meliputi menjadi manusia yang mulia dengan menyangkarkan diri ke dalam peribadi yang sihat, walaupun jasad tidaklah dikurungkan di dalam sangkar.

45 buah puisi dimuatkan kesemuanya merakam aksi kehidupan manusia yang penuh dengan adiwarna dan makna. Puisi yang sifatnya multifungsi dengan segala isi kisah yang sarat dimampatkan dengan pemilihan kata yang paling ekslusif dari himpunan kata-kata yang ada menjadikan kata-kata yang lahir dari sebuah puisi adalah baris kata-kata pendek yang menggugah seribu satu pengertian. Untuk memahami sifat manusia, kita memerlukan bertan-tan buah buku untuk dibaca. Namun sifat manusia bukanlah konkrit seperti arca yang boleh disentuh untuk pengertian bahan dan wajah murninya. Sifat manusia yang abstrak menyukarkan kita memahami tindak tanduk yang pelbagai dalam kehidupan.

Dengan menjadikan budaya bangsa sebagai latar pengkaryaan, naskah Sangkar Alam dimulakan dengan sebuah puisi yang berjudul Alif Lam Dan Mim. Judul puisi ini merujuk kepada ayat pertama dalam kitab Al-Quran yang masih dikaji maknanya. Namun, Al-Quran sebagai panduan utama yang dihadiahkan oleh Allah SWT menyuruh manusia untuk membaca.

Membaca adalah perjuangan mencari ilmu. Dengan ilmu, manusia akan menjadi lebih baik dari haiwan dan bertingkahlaku sebagai manusia yang sebenarnya. Solihin mengulangi pertanyaannya kepada Pencipta dalam empat buah rangkap dengan ayat, ‘Rahsia apakah yang ada?’. Ia disusuli dengan pertanyaan tentang kejadian selepas kematian kelak. Dengan jasad yang pernah dibangga-banggakan, kehidupan yang penuh berkuasa, apakah kebanggaan dan kekuasaan tadi mampu membangunkan semula jasad yang telah lupus menjadi tanah? Alam yang penuh misteri ini sedia maklum dikaji sejak beribu-ribu tahun lamanya. Manusia berlumba-lumba mengeluarkan hasil dapatan dari ekstarakan mengenai permasalahan alam dengan menjadikan ia cabang-cabang ilmu pengetahuan. Saban masa, dapatan ini diganti dengan penemuan baru bagi mengangkat pemikiran seseorang menjadi topik perdebatan yang merancakkan dunia kesarjanaan.

Rangkap kedua,

Rahsia apakah yang ada
pada dasar laut yang gelita
meski masih ada hidupan
berenang dengan bahagia.

Solihin mengutarakan hal di dalam lautan yang misteri. Kegelitaan dasar laut dalam yang tetap melahirkan kehidupan barangkali lebih membahagiakan dari kehidupan manusia yang diterangi cahaya, namun tidak mengubah kebuasan nafsu di hati.

Rangkap ketiga,

Rahsia apakah yang ada
dalam padatnya belantara
jauh menyembunyikan segala rahsia
meski tamadun terus dicipta
tersisih dari pura-pura.

Kerap mengatakan belantara itu adalah dunia tanpa tamadun. Yang berkuasa akan menghinjak yang lemah. Rantaian makanan menjadi lumrah bagi menghalalkan kekejaman. Haiwan-haiwan pemangsa liar mencakar tubuh mangsa yang berdaya. Haiwan-haiwan mangsa bersembunyi di sebalik hijaunya dedaun yang menjadi perisai dengan penyamaran untuk mengelak dari dibaham dengan tragis. Jika belantara itu adalah dunia tamadun, Solihin bertanya mengenai adakah tamadun-tamadun yang diciptakan oleh manusia saban saat menjadi lebih baik daripada tamadun belantara?

Rangkap empat,

Rahsia apakah yang ada
pada langit tanpa warna
luas dan menakjubkan
kita yang kecil mementingkan kebesaran
kuat tapi kalah dengan kematian.

Solihin menyaksikan betapa luasnya alam bagi manusia yang amat kecil sering mendabik dada dengan kekuasaan yang maha kecil yang dirasakan maha besar. Sekali lagi Solihin masih lagi bertanyakan makna bagi kekuatan dan kebesaran kuasa oleh manusia ketika kematian memuktamadkan segalanya.

Rangkap lima,

Rahsia apakah yang ada
sedangkan segala jawapannya
ada pada Tuhan yang satu
Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Akhir sekali, jawapan sahih tentang segala pertanyaan tentang alam hanyalah ada pada-Nya, Allah SWT yang menciptakan dengan keagungan kuasa. Adakah manusia yang memahami makna puisi ini masih lagi curang dengan hakikat kehidupan. Tepuk dada tanya selera.

Kesimpulannya, Solihin menerusi puisi Alim Lam dan Mim mempelawa pembaca bertanyakan semula soalan yang sama tentang rahsia alam yang sering bermain dalam inkuiri. Hakikatnya, kehidupan ini sangat singkat untuk berbangga dengan apa yang kita ada. Menjadi bongkak, dengki dan khianat asalkan memperolehi kuasa dan kedudukan di dunia hanyalah sifat orang-orang yang gagal. Apalah salahnya memilih menjadi manusia hebat yang berperibadi mulia, asalkan kematian yang pasti dapat membawa roh kepada pembalasan yang baik yakni Firdausi.

Puisi Penyair Cinta yang merupakan puisi kedua dalam naskah Sangkar Alam mengungkapkan definisi cinta yang erat dengan perasaan sayang dengan tiga rangkap yang ringkas. Cinta merupakan satu perkataan dengan jutaan definisi. Kepada siapa ia ditujukan adalah hal yang abstrak. Seekor semut barangkali boleh menjadi hal cinta menjurus kepada ilmu tentangnya. Apatah lagi cinta sesama manusia yang sangat dinamik lahiriahnya.

Rangkap satu,

Kita lahir kerana cinta
cinta dari langit yang tulus
cinta dari rasa hati dan rasa fikir
anugerah untuk kehidupan
kehidupan dan masa depan.

Solihin seringkali mencatatkan kecintaannya dalam puisi. Seringkali pembaca akan menemui cinta Solihin lebih bersifat universal. Mencintai manusia menjadi dukungan perasaan yang lahir dari-Nya. Ia turun ke hati seiring dengan naluri semulajadi juga fikiran tentang perancangan masadepan. Tiada manusia yang tidak disuntik perasaan cinta ke dalam kenormalan narwastunya. Dengan cinta, Solihin mengetahui bahawa masa depan ditentukan oleh benih cinta hari semalam.

Rangkap kedua,

Ada yang mempertikaikan cinta
cinta hanya nafsu
cinta itu palsu
cinta adalah mimpi
cinta bukan hakiki.

Solihin menghadami ramai yang mempertikaikan kemanisan cinta. Ramai menuduh cinta adalah nafsu yang diisi dengan pendustaan. Mereka menafsirkan cinta bagai mimpi yang tidak tahu akan terjadi. Malah mereka menganggap cinta bukanlah satu hal yang benar. Ada golongan yang menolak cinta.

Rangkap ketiga,

Cinta memekarkan kita
menjadi insan yang rindu
kepada cinta dan kesejahteraan.

Solihin menyimpulkan bahawa kelahiran kita sebagai manusia juga atas dasar cinta. Dengan cinta kita menjadi perindu. Merindukan cinta adalah satu bentuk emosi yang syahdu, apatah lagi mencintakan kesejahteraan yang menjadi paksi kepada kebahagiaan.

Puisi Penyair Cinta merupakan sebuah puisi yang ringkas dengan diksi. Namun pengertiannya menjurus kepada cinta yang sejati iaitu cinta kepada Allah SWT akan mewujudkan kesejahteraan dan kebahagiaan dalam hidup. Apabila manusia meletakkan cinta yang asli di kedudukan yang tinggi, golongan yang menuduh cinta itu palsu tidak akan wujud kerana kebobrokan fikrah menafsir definisi cinta yang sebenarnya adalah punca makna cinta dipersampahkan. Solihin mengingatkan pembaca bahawa kesejahteraan dan kebahagiaan datang dari hati yang bersih. Dengan hati yang suci, tingkahlaku juga akan secara automatik melaksanakan perintah tentang cinta dengan melaksanakan kebaikan dan menolak kemudaratan. Cinta untuk-Nya adalah yang utama. Dan, penyair cinta adalah mereka yang memahami tujuan perkataan cinta itu dimasukkan ke dalam relung fikiran.

Ketika mengulas naskah Sangkar Alam, saya teringatkan Solihin sebagai figura yang bernafas di balik-balik keriuhan kehidupan. Beliau wujud dengan peribadi seorang pendidik yang sering berpesan kepada semua anak didiknya supaya menghormati jasa mereka yang pernah membantu kita. Narwastu Solihin terhadap ibunya diungkapkan dalam puisi Harumnya Ibu.

Rangkap satu,

Dari mata seorang ibu
lahir kenangan dari perjuangan
dan sebuah pengalaman dalam perjalanan
mencari dan menuai bahagia
dalam rimba cinta
seorang pengembara.

Solihin mengajak pembaca untuk memalingkan ingatan kepada perjuangan seorang ibu ketika melahirkan dan membesarkan anak-anak sehingga dewasa. Ibu merupakan satu figura yang tiada galang gantinya. Hanya ada seorang ibu di dunia ini. Tiada seorang anak pun yang boleh dilahirkan oleh dua orang ibu. Tiada. Mata seorang ibu yang melahirkan mampu mengimbas keperibadian anaknya. Jangan lupa, seorang ibu adalah seorang wanita. Mereka juga pernah menjadi kanak-kanak, remaja perempuan yang sering keliru ketika menuju ke alam dewasa. Pengalaman ini dipupuk sebagai pengembara kehidupan yang mana hasrat untuk menuai kebahagiaan dalam setiap kehidupan anak-anaknya adalah satu perjuangan yang panjang.

Rangkap dua,
Dari bibir seorang ibu
terbit mentari yang harum
bunga-bunga rindu
rona-rona kasih
menjadi senja abadi
dan pelangi kendiri.

Menggunakan bibir sebagai perlambangan, nasihat dan penerangan mengenai kancah kehidupan sering menjadi mentari harum yang terbit bagai bunga-bunga di bibir seorang ibu. Berleter barangkali merupakan satu istilah yang kerap diberikan oleh golongan anak-anak masa kini. Namun, apabila masa terbang dan hinggap ke tangkai realiti, ketika itulah anak-anak akan memahami bahawa pelangi itu ilusi. Yang indah tidak datang dengan mudah.

Rangkap tiga,

Dari potret seorang ibu
terlukis tamadun usia
dengan garis-garis pengorbanan
jalinan mimpi dan restu
dalam bingkai hayat yang putih
gubahan iman dan kemanusiaan.

Solihin yang juga merupakan seorang pelukis mengerti garis-garis penuaan yang jelas di wajah seorang ibu adalah bukti pengorbanan. Anak sebagai kanvas putih disenikan dengan rupa, bentuk, ruang, jalinan dan warna yang bersemarak menjadi manusia yang berjaya. Apakah elemen seni yang digunakan dalam melukiskan masadepan seorang anak? Solihin menjawabnya dalam bait kata, ‘gubahan iman dan kemanusiaan’. Iman dan kemanusiaan merujuk kepada kemanisan Islam dan rasa ihsan sesama manusia adalah pasak yang ditanam oleh ibu bagi setiap anak-anak yang kudus.

Rangkap empat,

Dari diri seorang ibu
ada sejarah yang jauh
ditulis oleh tinta kemanisan
di atas lebar yang lembut
bersulamkan benang kehidupan
sepanjang zaman.

Solihin melihat dalam diri seorang ibu adanya sejarah panjang yang direncanakan oleh hal-hal yang rencam. Kemanisan perjuangan dapat dirasakan dengan kejayaan anak-anak. Ia cukup membahagiakan dan membuktikan kejayaan seorang ibu dalam melaksanakan pendidikan. Nilai-nilai baik yang dibawa oleh seorang ibu akan dibawa sepanjang masa selagi usaha mengenang jasa ibu mekar dalam hati setiap anak.

Puisi Harumnya Ibu adalah dedikasi Solihin kepada setiap ibu. Jelas akan usaha pendidikan datang dari perjuangan dan penentangan yang gigih dari hati yang cekal mengasuh anak-anak menjadi manusia yang berguna. Masa yang berlalu merefleksikan hasil asuhan yang diberikan sejak mula. Asuhan yang baik akan mengharumkan wangian dalam kejayaan. Namun, setiap anak juga berhak menggunakan kebijaksaannya untuk merencana masadepan berkat dari asuhan yang diterima sejak mula. Dalam Islam, ketinggian martabat seorang ibu tidak boleh disanggah. Menghormati dan menyayangi ibu adalah satu ibadat yang besar nilainya. Haruman seorang ibu bukanlah dalam halwa yang semarak secara mata kasar, puisi ini lebih jauh hasratnya apabila anak-anak menjadi ibu yang mengulangi perjuangan yang sama.

Puisi Jadi Jadilah di mukasurat 9 dimulakan dengan perkataan, ‘Jadilah padi yang ranum’. Penggunaan padi amat dekat dengan falsafah bangsa Melayu yang menjunjung alam sebagai nilai kehidupan. Jadilah padi yang ranum mengajak pembaca menjadi bangsa yang kaya, bermanfaat dan berguna kepada masyarakat. Namun, ketika takwim sedang bergayutan di hujung tangkai takwim, seringkali manusia menjadi lupa diri dengan kejayaan yang sedikit. Kekuasaan dan pangkat menjadi longkang besar dalam menjalinkan kemanusiaan. Sedangkan hakikat padi itu yang semakin banyak berasnya, semakin menunduk ke bumi. Tidak pula bongkak dengan jasa yang diberikan.

Rangkap satu,

Jadilah padi yang ranum
menunduk pada alam yang mesra
harumnya membuka selera
menjadikan hayat mendaki cita
berlari kemajuan dalam litar perjuangan
jadilah padi yang setia dan hormat
tawaduk tapi keras kulitnya
menyelimuti beras yang kasih.

Solihin yang berasal dari Kangar, Perlis mengobservasi padi yang mesra dengan keperibadian seorang insan yang merendah diri dan tidak mengejar nama, pangkat dan harta. Beliau menerangkan ketika manusia memperjuangkan sesuatu dalam kehidupan, semailah sifat setia dan hormat kepada insan sekeliling. Bertawaduk dengan kemurnian peribadi walaupun cabaran datang setiap hari.

Rangkap dua,

Jadilah seperti tebing yang rindu
saban dihempap gelora masih sabar
sesekali runtuh dihanyutkan lara
tebing masih menghadap ombak dan riak duga
sangat akrab bersama aur
penuh ikhlas dan rela
demi sebuah sejahtera.
Solihin mengajak pembaca mendalami peribadi tebing yang setia mempertahankan sesuatu yang disayangi. Menjadi setia haruslah ikhlas dan rela bersusah senang bersama-sama. Akhirnya, kesejahteraan akan melahirkan kebahagiaan yang dikejar-kejar oleh setiap manusia.

Rangkap tiga,

Jadilah seperti kita
harum berseni dalam rimbunan khatulistiwa
kehijauan yang mendinginkan minda
kabus menyelimuti persoalan
dan gerimis embun menyirami doa.

Akhir sekali, Solihin merumuskan untuk mencapai kejayaan yang hakiki, jadilah manusia yang menjadikan alam sebagai pesanan tentang kekuasaan-Nya. Kehijauan belantara menyejukkan minda ketika hujan menyirami jiwa dengan doa yang meleraikan kabus dalam persoalan. Menjadi bijaksana adalah perkara yang dituntut oleh Islam, seiring dengan falsafah Melayu yang erat dengan kebenaran.

Akhir sekali, puisi Sangkar Alam II yang menjadi tajuk naskah kumpulan puisi ini menerangkan tentang keperibadian dan fitrah dua ekor burung iaitu puyuh dan merak.

Dia itu puyuh berjalan sambil melihat pemberian
sesekali mendongak menilai kawan
berjalannya menuju ke permukaan
timbul menjadi sabut yang berdoa.

Dia itu merak yang terbang bersama enggang
rumahnya di pergunungan utara
tempat mengumpul segala kesombongan
matinya dilurah dan gaung
malang yang hina.
Puyuh dan merak
tiada bezanya
ditakdirkan menjadi beburung
lebihnya hanya mampu terbang
tanpa perlu pertolongan.

Solihin menggunakan subjek burung puyuh sebagai pembawa makna dalam puisi ini. Burung puyuh adalah burung kecil yang tidaklah secantik burung merak. Namun, ia tetap menjadi burung dengan sifat rendah diri sambil mengeluarkan telur yang banyak dari konteks memberikan jasa kepada yang lain. Merak pula diketahui burung cantik yang suka mempamerkan kecantikan dirinya. Dari satu segi, ia adalah lahiriahnya yang semulajadi. Namun, menjadi sombong dan berbangga diri bukanlah sifat yang sinonim dengan kesantunan bangsa Melayu, apatah lagi ditolak dalam Islam.

Solihin melihat dunia sering menjadikan merak dan manusia yang sombong ini sebagai kelompok yang menang. Namun secara realitinya, ketika mengdapai alam selepas mati, mereka ini terhumban ke lembah yang hina. Walaubagaimanapun, menjadi manusia yang jujur dan merendah diri atau memilih menjadi manusia sombong dan berbangga diri tetap menemukan hakikat bahawa semua tetap akan hidup dalam perjuangan masing-masing. Ia adalah sesuatu hal yang perlu diterima dengan redha.

Kesimpulannya, kumpulan puisi Sangkar Alam adalah pesanan-pesanan dari ekstarakan secara teliti oleh Solihin terhadap perwatakan manusia di sekitar kehidupan. Merujuk kepada alam yang maha luas, apalah salahnya berkongsi segala rezeki dan zat-zat yang dilimpahkan oleh Allah SWT secara adil kepada setiap hambanya. Yang terbang akan hinggap jua ke tanah, yang berenang akan timbul juga ke permukaan air dan yang akhirnya, ketaian akan melahirkan kehidupan baru dengan pembalasan yang maha adil. Alam adalah sangkar yang ilusi bagi mereka yang terlupa tujuan mereka dihembuskan nyawa. Dan sangkar tersebut adalah kebahagiaan bagi mereka yang menilai fungsinya sebagai punca kegemilangan di akhirat kelak.

TAMAT.

FIRDHAUS HASSAN
TANJONG MALIM
31 MEI 2015


1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78