Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Seisi Keluarga Membaca Buku Mohd Helmi Ahmad
Oleh Siti Malini Mat
Kebetulan, sehari dua hari selepas Datuk Lee Chong Wei mengalahkan
Lin Dan dalam perlawanan separuh akhir badminton di Rio musim Olimpil
2016, kami anak-beranak membaca cerpen ‘Piala Penentuan’ dalam antologi
cerpen ‘Tetamu Istimewa’ oleh Cikgu Mohd Helmi Ahmad
(gambar pertama). Nah, kisah atlet negara ini sudah disemadikan dalam
sebuah cerita (dan barangkali banyak lagi cerita yang lain). Itu salah
satu fungsi karya sebenarnya, sebagai rekod sejarah; bukan semua
kandungan sesebuah karya fiksyen semata-mata rekaan.
Saya membeli pakej 3 buku terus daripada penulis Mohd Helmi Ahmad (terima kasih kepada Nazrie Haslieanie
sebab cerita pasal ni). Harga yang beliau letakkan sangat-sangat
rendah. Kurang daripada separuh harga asal buku-buku tersebut. Bila saya
tanyakan pada beliau, jawabnya “Harga modal, asalkan tak rugi.” Saya
faham memang penulis biasanya cuma mahu lebih ramai orang membaca
karyanya, hal untung rugi letak di belakang, tapi jangan lupa ya, masa
dan usaha yang digunakan untuk menulis termasuk sebagai ‘modal’ juga. Oh
maaf, berleter pula saya.
Berbalik kepada buku-buku ini (gambar
kedua). Tetamu Istimewa mengumpulkan 15 cerpen remaja, dan telah
memenangi Hadiah Sastera Perdana tahun 2014. Bagi tuan puan yang mencari
buku bacaan untuk anak-anak, saya syorkan buku ini. Cuma … khabarnya
cetakan pertama buku ini sudah habis terjual (sold out) dan pihak
penerbit belum memberi makluman tentang cetakan kedua. Tapi buku
seterusnya, Bila Ayah Berkaca Mata Hitam, masih ada. Buku ini
mengandungi 18 cerpen dewasa, tapi juga sesuai dibaca oleh kanak-kanak
(Munief dah habis baca, Afiefah sedang baca). Manakala buku Madu di
Tangan pula merupakan koleksi puisi.
Cerpen dan puisi penulis
yang dikumpulkan dalam ketiga-tiga antologi ini hampir kesemuanya yang
telah terbit sebagai karya eceran yang akhbar dan majalah. Memang hebat
cikgu ni, sangat prolifik menulis - berpuluh-puluh cerpen dan
berpuluh-puluh puisi yang terbit (bukan sekadar ditulis ya) hanya dalam
masa beberapa tahun. Kebanyakan tema yang diangkat adalah kasih sayang
dan kekeluargaan, perpaduan dan hidup bermasyarakat, cita-cita dan
impian, dan tentunya ada – bertemakan hubungan antara guru dengan murid.
Cerpen-cerpen beliau hidup, bukan abstrak, ada konflik dan
peleraian, dan pastinya penuh dengan mesej dan pengajaran. Bagi yang
ingin belajar menulis cerpen, saya syorkan juga membaca cerpen beliau
bagi melihat contoh cerpen yang baik. Yang menariknya, banyak juga
perkataan-perkataan baru yang saya tidak tahu dan perlu dirujuk pada
kamus dalam karya penulis. Maklumlah, guru Bahasa Melayu. Ini juga salah
satu objektif penulisan karya, meluaskan perbendaharaan kata pembaca.
Ketiga-tiga buku ini diterbitkan oleh ITBM. Jika berminat mendapatkannya, boleh hubungi penulisnya Mohd Helmi Ahmad. Tuan puan juga boleh membeli secara online di laman jualan penerbit di www.itbm.com.my. Kebetulan sekarang mereka sedang mengadakan jualan sempena Hari Merdeka (sehingga 31 Ogos 2016).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan