Pengikut

Sabtu, 23 Ogos 2014

Tetamu Istimewa Mengungkap Tentang Jiwa Remaja

Assalamualaikum.

Oh, seminggu blog ini tidak terisi dengan sebarang entri baharu. Sememangnya, saya sangat sibuk melunaskan tugasan di sekolah. Nampaknya, blog ini akan terus menyepi dari sebarang komen kerana saya sudah jarang "blogwalking" ke blog-blog teman yang lain. Saya harus terima ini semua. Dunia blogging ini resamnya begitu. 

Berbalik kepada tujuan asal saya menerbitkan entri ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang satu ulasan buku saya Tetamu Istimewa yang ditulis oleh seorang penulis muda yang berbakat iaitu Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid (Wanariahamiza). Siapalah saya untuk pengkaji, pengkritik, pengulas atau sarjana sastera untuk meneliti karya saya yang masih hijau dan mentah dalam dunia penulisan dan penerbitan buku ini.

Bagaimanapun, saya harus mengucapkan terima kasih kepada Wanariahamiza yang sudi meneliti buku saya ini secara rinci. Ulasan buku ini ditulis oleh beliau untuk menyertai pertandingan ulas buku yang dianjurkan oleh ITBM satu ketika. Oleh itu, sebagai dokumentasi saya, saya perturunkan ulasan buku ini untuk bacaan semua. 

Kepada yang masih berminat untuk memiliki buku ini, bolehlah berhubung dengan saya. Insya-Allah, setakat ini stok buku ini masih ada dengan saya. Kepada yang telah memilikinya, sekali lagi saya ucapkan terima kasih. Jika ada yang menulis apa-apa coretan tentang buku saya itu, maklumkan pada saya. Seboleh mungkin, saya akan cuba mengumpul tulisan itu sebagai dokumentasi saya.



Oleh: Wan Muhammad Hanif bin Wan Abd Hamid

Bertepatan dengan jenis buku ini, semua cerpen yang dimuatkan begitu serasi dan berpadanan dengan jiwa-jiwa remaja. 15 cerpen eceran yang sarat pengajaran pernah mendapat tempat dalam media-media tempatan, dikumpulkan lalu menjadi sebuah kumpulan cerpen berjudul Tetamu Istimewa.

Secara keseluruhannya, cerpen-cerpen dalam buku ini banyak menonjolkan nilai-nilai murni, kekeluargaan, persahabatan dan nilai kemasyarakatan yang sangat dekat dengan diri seorang remaja. Mesej yang dibawa, sangat mudah difahami dan jelas cara penceritaannya. Paling signifikan, remaja dijadikan sebagai watak utama yang memanipulasi dan menjadi tonggak kepada tema cerpen-cerpen dalam buku ini. 

Cara olahan ceritanya cukup mantap dan senang difahami kerana persekitaran dan suasana yang digambarkan digarap daripada gaya dan cara kehidupan normal masyarakat marhain di negara Malaysia. Garapan konflik dalam setiap kisah dirasakan cukup dekat dengan diri penulis sebagai seorang guru dan tidak langsung kelihatan seperti direka-reka. Jadi, buku ini tidaklah begitu 'berat' dan sesuai untuk dijadikan bahan bacaan kepada semua golongan usia termasuklah murid-murid sekolah rendah, sekolah menengah juga golongan dewasa.

Cerpen pertama bertajuk Rancanganku Rancangan-Mu begitu memberi kesan dan menarik hati. Cerpen yang menjadikan Amirul, seorang anak bandar sebagai watak utama, membawa kisah dirinya yang pertama kali merasai percutian di sebuah kampung. Kisahnya mudah, tentang budaya, tentang persekitaran dan tentang jiwa seorang remaja yang dibesarkan dengan suasana moden sehingga tidak mengenali asal-asul dirinya. Penulis dengan cukup teliti menggunakan makanan, cara kehidupan dan permainan tradisional sebagai medium untuk menguatkan tema yang diketengahkan supaya sampai kepada pembaca. Dengan berlatarkan negeri Kedah, penulis berjaya menggunakan setiap keistimewaan dan warisan negeri tersebut terutamanya sawah padi untuk dimuatkan dalam cerpen ini. Penceritaan bukan sahaja membuatkan pembaca memahami jalan ceritanya, malah turut menjadikan pembaca turut serta dalam percutian di kampung tersebut.

Cerpen Kedondong untuk Cikgu dan cerpen Haruan di Pinggir Sawah pula hampir sama kisahnya. Dua cerpen ini membawa kisah konflik antara seorang guru dengan anak muridnya yang berakhir dengan penyesalan dan kekesalan guru tersebut atas sikap mereka terhadap anak muridnya. Menurut penulis, idea untuk kedua-dua cerpen ini memang lahir setelah membaca cerpen Paku Payung Limau Mandarin karya Azizi HJ Abdullah dan cerpen Sebatang Pensel karya Ali Majod. Cerpen Kedondong untuk Cikgu menampilkan watak Cikgu Asmalita yang bergelut dengan perasaan amarah dan negatifnya terhadap Zahir, seorang murid pemalas yang selekeh dan tidak terurus. Klimaks cerpen ini adalah apabila cikgu Asmalita yang mengidamkan buah kedondong, masih tidak mendapat apa yang diidamkan sehingga hampir melahirkan anak yang dikandungnya. Namun perasaan tidak senang terhadap Zahir akhirnya terkubur setelah Zahir dan neneknya datang melawat dirinya di hospital dengan membawa buah kedondong.

Seterusnya Cerpen Haruan di Pinggir Sawah. Jika diteliti konflik dalam cerpen ini, kisahnya ada sedikit persamaan dengan cerpen Sebatang Pensel tulisan Ali Majod. Cerpen Sebatang Pensel ini juga turut diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris dengan judul The Pencil dan dijadikan komponen kajian sastera untuk murid-murid menengah rendah suatu masa lalu. Namun cerpen Haruan di Pinggir Sawah ada keistimewaannya yang tersendiri, ikan haruan dijadikan sebagai item pencetus konflik yang hadir dan peleraian masalah yang terjadi. Watak Kamal ditonjolkan sebagai seorang anak yang sanggup berkorban untuk membantu bapanya membeli ubat-ubatan. Bapanya, seorang penangkap ikan haruan, terpaksa dipotong kakinya setelah disengat ikan keli yang ditambah dengan impak penyakit kencing manis. Konflik yang melanda membuatkan Kamal bercita-cita mahu menjadi seorang penangkap ikan haruan.

Cerpen Tetamu Istimewa yang turut dipilih menjadi judul buku ini merupakan cerpen paling unik yang dikarang oleh penulis. Pada awal pembacaan, para pembaca pasti akan membuat tafsiran yang salah terhadap kata 'tetamu' yang digunakan oleh penulis. Ditambah dengan frasa-frasa seperti 'bermain dengan tetamu' dan 'tetamu menyondol kaki', pasti para membaca meneka bahawa 'tetamu' itu ialah haiwan peliharaan yang mungkin kucing atau mungkin juga arnab. Walau bagaimanapun, 'tetamu' sebenar yang dimaksudkan ialah penyakit yang datang menyerang seluruh penduduk kampung. Cerpen ini berbentuk cerpen sindiran terhadap segolongan masyarakat yang suka membawa cerita atau umpatan lalu dijaja kepada orang lain. Kekuatan cerpen ini pula terletak pada mesejnya yang mungkin boleh dikaitkan dengan peribahasa sudah terhantuk baru tengadah. Apabila seluruh penduduk kampung sudah dijangkiti penyakit, barulah fasiliti klinik dibina di kampung itu untuk merawat penyakit tersebut.

Seterusnya cerpen Mercun dari Kuala Lumpur, cerpen Hanya Geran dan cerpen Pulut Durian Santan Kelapa membawa tema kekeluargaan. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga cerpen ini diplotkan dengan kisah yang berbeza-beza. Cerpen Mercun dari Kuala Lumpur mengetengahkan sikap masyarakat yang gemar meletakkan kesalahan diri sendiri atas diri orang lain. Tujuannya adalah untuk menutup aib diri sendiri supaya tidak dipersalahkan dan terlepas daripada menjadi mangsa keadaan. Watak Aku, seorang lelaki tua dipersalahkan oleh anaknya sendiri, Azman kerana menyebabkan cucunya cedera akibat bermain mercun. Walau bagaimanapun, watak Aku sebenarnya tidak bersalah. Bukan dia yang berikan mercun itu kepada cucunya tetapi Azman sendiri yang memberinya. Akhirnya, Azman ditangkap polis kerana disyaki terbabit dengan sindiket pengeradaran dadah.

Cerpen Hanya Geran pula sebenarnya berkisahkan penjualan tanah orang kampung yang disimbolikkan sebagai menjual maruah bangsa. Mesej cerpen ini sangat kuat dan cukup kena dengan dunia kini. Sungguhpun sudah banyak karya-karya dengan mesej seumpama ini diterbitkan, masalah pengkhianatan maruah bangsa tidak pernah surut, malah semakin menjadi-jadi. Kerakusan manusia-manusia dalam mengejar kemewahan dunia, wang dan kesenangan sementara cukup mengecewakan sehingga ada yang tergamak dan sanggup menindas orang lain secara halus mahupun terang-terangan. Dalam cerpen ini, watak Ayop menjadi individu yang bertanggungjawab terhadap penghianatan tersebut. Dia bukan sahaja memujuk penduduk kampung, malah lebih teruk dia sanggup memaksa ayahnya untuk menjual tanah mereka yang sekangkang kera.

Cerpen Pulut Durian Santan Kelapa pula bermain dengan imbauan nostalgia semasa zaman kanak-kanak. Diceritakan pengorbanan ibu dan ayah dalam sebuah keluarga miskin yang sanggup tidak menjamah durian yang dibeli, semata-mata mahu melihat anak-anak mereka keseronokan dan tersenyum menikmati durian kegemaran. Durian yang dibeli pula bukanlah durian yang elok bakanya, sebaliknya durian yang dilonggokkan kerana harganya jauh lebih murah. Walau bagaimanapun, tidak semua durian itu elok. Pasti ada yang buruk dan masam. Cerpen ini turut menyindir golongan peniaga durian yang gemar meletakkan harga tinggi sesuka hati apabila bukan musim durian. Namun, duriannya tidak elok dan tidak berkualiti. Dengan plot imbas kembali yang menyentuh kalbu, penulis sebenarnya mahukan pembaca sedar dan faham erti kesyukuran terhadap nikmat yang diperoleh. 

Tiga buah cerpen iaitu cerpen Bunga Telur Kenduri Kahwin, cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin dan cerpen Rombongan Masuk Jawi merupakan cerpen-cerpen yang diselitkan unsur adat dan budaya. Melalui judulnya sudah jelas digambarkan elemen-elemen berkenaan.  Cerpen Bunga Telur Kenduri Kahwin bertemakan adat dan budaya dalam mengendalikan majlis perkahwinan secara gotong-royong yang semakin pudar dalam masyarakat moden kini. Mungkin bagi golongan remaja atau generasi-Y kini, istilah rewang itu sendiri sudah menjadi asing dalam diri. Namun, dalam cerpen ini penulis telah menceritakan secara terperinci bagaimana proses kenduri kahwin dijalankan secara bergotong-royong oleh warga kampung terdahulu. Cukup meriah, cukup utuh keakraban antara warga kampung. Paling menarik, penulis ada menceritakan tentang kenduri yang mana makanannya sedia terhidang di atas meja untuk para tetamu. Budaya yang mungkin masih ada, atau sudah pupus ditelan kemodenan. Lantas, cerpen ini memberikan pengetahuan baharu buat generasi muda yang belum pernah mengetahuinya. Hari ini, tentu sukar sekali mencari suasana seperti itu lagi. Cerpen ini telah memenangi hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobil 2010 Kategori Cerpen Remaja.

Cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin pula menggunakan watak-watak masyarakat berbangsa Cina yang dilanda konflik kekeluargaan. Dalam cerpen ini, turut dicanai unsur perpaduan kaum yang menjadi kelaziman di Malaysia. Watak Lim Pooi, seorang yang cukup ego menghalau dan tidak mengakui Lim Meng sebagai anaknya kerana beberapa malapetaka yang berlaku iaitu kematian abang Lim Meng iaitu Lim Foong dan kebankrupan perniagaannya. Semuanya diletakkan atas bahu Lim Meng yang dikatakan membawa malang sejak dilahirkan. Lim Pooi akhirnya sedar setelah isterinya, Sim Pau bersuara dan meluahkan segala kebenaran. Menjelang malam Tahun Baharu Cina, mereka berkumpul semula sebagai peleraian kepada konflik yang berlaku. Cerpen ini pula telah memenangi hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobil 2011 Kategori Cerpen Remaja.

Cerpen Rombongan Masuk Jawi pula menggabungkan dua watak daripada bangsa berbeza-beza. Faizal, seorang Melayu dan Wei Feng seorang Cina. Cerpen ini menggunakan watak kanak-kanak di fasa awal keremajaan yang bakal melalui proses berkhatan. Persahabatan dengan Wei Feng mengundang sedikit permasalahan apabila Wei Feng bertanya tentang istilah masuk jawi. Pertanyaan tersebut sukar dijawab oleh Faizal kerana pada fikirnya, masuk jawi hanya untuk orang Islam dan mungkin boleh menyentuh sensitiviti perkauman. Sungguhpun begitu, Faizal akhirnya mendapat jawapan yang sesuai tentang hikmah berkhatan setelah diterangkan oleh ustaznya di sekolah. Dia kemudiannya berkongsi dengan Wei Feng sehingga akhirnya Wei Feng membuat keputusan untuk turut serta masuk jawi demi mendapatkan hikmah tersebut.

Watak remaja turut dibangkitkan lagi dalam tiga cerpen lain iaitu cerpen Pusaka Tanpa Nilai, cerpen Setitis Budi Semarak Kasih dan cerpen Piala Penentuan. Ketiga-tiga cerpen ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh penulis untuk menyampaikan pengajaran kepada para pembaca melalui konflik dan kehidupan para remaja hari ini. Setiap satu cerpen tersebut diadun dengan kisah tersendiri. Cerpen Pusaka Tanpa Nilai mengangkat konflik tipikal remaja yang terlalu mudah terjerat dengan cinta, terlalu mudah membiarkan perasaan cinta terbit dalam diri tanpa memikirkan kebaikan dan keburukan mendatang. Berlatarkan kehidupan remaja di alam universiti, memang sudah sebati kehidupan yang sebegitu, yang dipanggil sebagai kejutan budaya. Cerpen ini membawa tema persahabatan yang cukup tinggi nilainya. Watak Zira yang hadir untuk menyelamatkan sahabatnya Eliza yang semakin lemas dalam kancah percintaan. Zira yang cakna terhadap perubahan sikap Eliza, akhirnya mengambil tindakan untuk membendung masalah lebih besar daripada berlaku.

Bertentangan dengan sikap Eliza, cerpen Setitis Budi Semarak Kasih pula menampilkan watak Hazwani yang sentiasa memikirkan pengorbanan ayahnya yang sanggup bekerja keras sehingga dia berjaya ke menara gading dan memperoleh segulung ijazah demi mengubah kehidupannya. Melalui penceritaan dan jalan cerita, watak Hazwani dilihat sebagai seorang yang bersyukur dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan untuk menyambung pelajaran di universiti kerana dia tahu akan tanggungjawab dan amanah yang digalas sebagai seorang anak dan sebagai seorang pelajar yang dahagakan ilmu.

Cerpen Piala Penentuan pula mengangkat isu kepentingan bersukan, di samping kepentingan menuntut ilmu. Cerpen ini berkisahkan Amar yang sangat meminati permainan badminton, namun dihalang oleh ibunya yang mahu dia terus fokus dalam pelajaran. Namun, kesungguhan dan usaha yang jitu akhirnya membuahkan hasil buat diri Amar.

Dua cerpen terakhir iaitu Muhammad al-Islam dan Tentang Waris merupakan cerpen-cerpen yang diolah dengan cukup kuat jalan ceritanya serta berbeza berbanding 13 cerpen sebelumnya. Diselitkan unsur-unsur Islamik, dengan tema keagamaan demi menyampaikan mesej dan peringatan buat pembaca khususnya yang beragama Islam. Cerpen Muhammad al-Islam melalui tajuknya sudah menggambarkan seorang individu bernama Muhammad al-Islam. Dia yang goyah pegangan agamanya, langsung tidak selari dan tidak berpadanan dengan nama yang diberikan. Jati dirinya sebagai seorang Islam juga lenyap daripada diri. Maka, tinggallah jasad seorang lelaki yang hanya bertopengkan nama al-Islam. Islam hanya pada nama, Islam hanya pada kad pengenalan. Namun, Islam dalam hati itu, masih tiada malah jauh dari diri. Cerpen ini, menyindir kita semua. Ramai yang tahu bercakap tentang agama, namun praktikalnya tiada. 

Akhir sekali, cerpen Tentang Waris. Olahan cerita ini turut bermain dengan unsur keagamaan. Penulis banyak menggunakan ayat-ayat yang mudah, tetapi penuh maksud tersirat dan perlu difikirkan. Kisahnya mudah sahaja, seorang kenamaan meninggal dunia. Hanya ada isteri di rumah, dan menanti kepulangan anak-anak dari luar negara. Namun, akibat harta, nama dan pangkat yang dikejar, keluarga ini kosong pegangan agamanya. Si isteri berpangkat datin hanya memasangkan kaset bacaan ayat al-Quran sementara menunggu anak-anaknya pulang kerana dia tidak tahu mengaji. Setelah anak-anaknya pulang, jenazah masih belum dikebumikan. Apabila ditanya sebabnya, si datin menjawab yang dia sedang menunggu pihak media untuk membuat rakaman pengurusan jenazah suaminya yang terkenal. Sungguh, mesej yang ada dalam cerpen ini begitu bermakna buat semua.

Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa penulis berjaya menghasilkan cerpen-cerpen yang kena dengan jiwa remaja. Kebanyakan cerita yang disampaikan sarat dengan emosi dan perasaan yang menggugah jiwa. Signifikan watak remaja yang digunakan menjadikan plot penceritaannya mudah difahami dan mudah dihadami oleh para pembaca. Bahasa yang digunakan untuk hampir keseluruhan cerpen-cerpen yang ada, cukup mudah, tidak terlalu berat dan sangat memberi kesan kepada jiwa.


10 ulasan:

  1. terima kasih cikgu singgah blog mama... takpe, mama faham kesibukan seorang guru.. itu tanggungjawab yang memerlukan keutamaan..

    BalasPadam
  2. Siapalah saya juga untuk mengulas buku hasil tulisan cikgu. Segala yang ditulis hanyalah perkongsian rasa melalui kefahaman dan dapatan saya semata-mata.

    BalasPadam
  3. Wow! Ulasan yang sungguh terperinci untuk setiap isi kandungan cerpen dalam buku TI. Semoga Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid (Wanariahamiza) berjaya dalam pertandingan tersebut.
    Menjadi seorang guru tidak seperti 20 tahun dahulu dan saya amat memahami kesibukan tugas anda. Cuma harapan saya jgn sampai ditinggal terus blog tetamu istimewa ini sudahlah ye.... Entri berkaitan rujukan pendidikan buat pelajar dan pendidik amat sesuai anda terbitkan keran ianya juga satu cabang informasi pendidikan dan saya lihat berjaya memberi trafik yg tinggi buat blog ini. Tahniah...!

    BalasPadam
  4. Sedaya upaya mnyinggah ke blog helmi..

    BalasPadam
  5. oh..saya belum pernah buat review buku cikgu. Tapi org yang mintak review dari saya memang kena tahan telinga. Saya sangat strict dan mementingkan kualiti. Kalau betul-betul bagus, saya akan upkan sungguh-sungguh. Mungkin cikgu pernah baca sedikit review saya berkenaan novel RAM, ada yg tidak berpuas hati dengan saya. Kenyataannya, bukan mudah nak jadi sasterawan. Penulis ramai, tetapi kualiti sasterawan itu hanya beberapa sahaja.

    BalasPadam
  6. Saya tak pandai mengulas buku macam ni. T_T

    BalasPadam
  7. jadi cikgu memang gitu especially zaman sekarang kan
    ada aje aktiviti di sekolah
    wow, dia ulas semua yang ada dalam buku tu ye
    hebat tu, all the best tuk dia

    BalasPadam
  8. Wahh.. tahniah cikgu Helmi.. Biasalah... kita mmt tak boleh lari dari kesibukan. Pasti akan dtg kpd sesiapa juga. Apa pun, klu diizinkan akan ttp singgah menjaga silaturrahim yg dah terjalin ni hehee.. Semoga dipermudahkan & segalanya berjln lancar buat cikgu Helmi ye.. aamiin.. :)

    BalasPadam
  9. Salam Cikgu Helmi...

    Wah ulasan yang baik, tahniah untuk Wan, saya sudah milikinya, cuma belum sampai giliran untuk dibaca habis, tetapi ada dua buah cerpen yang saya sudah baca, Insyallah, saya akan cuba sudahkannya;)...Mantop, teruskan berkarya Cikgu Helmi.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78