Pengikut

Rabu, 19 Mac 2014

Sejambak Puisi Buat MH370 daripada Rakyat Malaysia

Assalamualaikum.

Bukan sahaja doa, bahkan sudah berkuntum-kuntum puisi yang berkembang dan mengharum semenjak misteri kehilangan pesawat MH370. Saya juga pernah menanam sepohon puisi melalui  Harapan dalam Doa Dhuha

Hari ini saya gubah sejambak puisi buat tatapan pembaca Tetamu Istimewa hasil pungutan daripada kuntuman puisi yang terbit di Berita Harian Ahad lalu yang dikarang oleh penulis Malaysia ataupun rakyat Malaysia. 

Sejambak Puisi Buat MH370


MH370, DITELAN MISTERI
Suara sunyi, hati diterangi
mata-mata hati, tercari-cari
manusiawi dimamah misteri
bumi ini jadi bumi suci
hari ke hari, tiap hati
suarai doa kepada Ilahi
suara hati nan suci.

Langit maha luas pasti
cahaya hidup hari ke hari
resapi titik-titik hati
dosa leburi diri
dan diri terdiri di bumi
penuh hati-hati.

Andai maut hadir diri
esok atau hari ini
hati dipersiap suci
siratulmustaqim dititi
selamat, pasti.

Yang tinggal, famili
arif takdir, tahu diri
kun faya kun-Nya Ilahi.

Daeng Ramliakil
Kuantan

RADAR INGATAN
Layar pandangan hilang
kelam dari radar ingatan
sempit mendesak kudrat
tinggal diam kian sesak
yang harus dimengertikan.

Harapan kian menjunam
tenggelam ke laut keasingan
dingin menjerat makrifat
tinggal nafas jerih lemas
yang harus direlakan.

Kehilangan makin terbenam
larut bersama pasir kenangan
hangat pertemuan kembali
yang harus didoakan
sementara menerima
kunjungan perhatian.

Fauzan Zain
Kota Bharu, Kelantan

SUARA YANG HILANG
(Dedikasi buat anak kapal MH370)

Telah kami apungkan setulus doa
dan secebis harap di
hujung lidah zikir
buat Tuhan Rabbul Mutakabbir
saat matahari penantian
diselubungi jelaga duka
kabut kegelisahan masih menerpa
mengirim puing-puing
sendu di hujung kalbu
sesudah langit kekal berkaca
menyembunyikan
bianglala cerita
tanpa gerimis jawapan yang
melukiskan warna takdir
di ufuk kesyahduan.

Kembalilah suara-suara yang hilang
menjengah ke ruang nyata
saat telapak fakir kami menadah
di pangkal jemari pasrah
biar rindu menyatu
dalam limpah syukur
tatkala langit kesyumulan masih terbuka
untuk kita lirikkan sewangi
doa dan sehampar aksara
panjang dan berulang.

Husna Nazri
Kemaman

TRAGEDI MH370 DUKA KITA
Keheningan dinihari
tiba-tiba diragut
terkesima kita dari sebuah mimpi
takdirnya menjadi realiti
detik 2.40 tanggal 8 Mac 2014 itu
perutmu yang mengendung 239 nyawa
dalam teracnggih Boeing 777-200
dari KLIA ke Beijing, China itu
hilangmu penuh misteri.

Maka seluruh kerabat mangsa pun
membilang harapan keajaiban daripada Tuhan
dan kami di sini pun menghulurkan doa
bukan sekadar bersimpati dan menanti
ia duka kita bersama,
teori dan spekulasi mengakari minda
meniliki sebenar punca tragedi
teknikal, cuai atau angkara.

Usah dutambah duka mereka
seandaan dan gurauan
hanya memburuk rasa
ia bukan ajaran junjungan Nabi
marilah kepada kudrat
dan iradat-Nya
pasrah dengan ketentuan
Maha Pencipta
kerana bila tiba masanya
kita berangkat juga ke sana!

DJ Dolasoh
SMK Dato' Ahmad, Lenggong

15 ulasan:

  1. puisi yang menyentuh jiwa mama... sayu

    BalasPadam
  2. SMK Dato' Ahmad Lenggong itu sekolah akak belajar dulu.. teruskan berdoa untuk MH370..

    BalasPadam
  3. Inilah semangat persaudaraan malaysia kan cikgu.
    Musibah melanda mereka berjuang bersama2.
    Apa yang penting jangan berhenti berdoa.

    BalasPadam
  4. Ini bukan sejambak...berjambak2.. :)
    Puisi sedih namun penuh harapan...

    BalasPadam
  5. jangan putus berdoa..

    BalasPadam
  6. kesayuan kehilangan MH370 masih terasa..

    BalasPadam
  7. Puitis.. sayu bila membacanya.. semoga Allah turunkan sebaik2 pertolongan buat MH370... aamiin..

    BalasPadam
  8. Seluruh Msia masih memohon yang terbaik...

    BalasPadam
  9. Menanti sejambak puisi daripada cikgu pula. :)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78