Pengikut

Jumaat, 31 Januari 2014

Semakan Status Ujian Kompetensi ICT Guru di http://apps.moe.gov.my/abpg/KompetensiICT/index.cfm

Assalamualaikum semua.


Alhamdulillah, selamat sampai di kampung kira-kira 10.00 malam, malam tadi. Selamat Tahun Baru Cina saya ucapkan kepada kaum Cina yang menyambutnya pada hari ini. 

Sebelum pulang dari sekolah semalam, saya dapat satu sijil yang mengatakan saya lulus dalam Ujian Kompetensi ICT yang dijalankan secara atas talian tahun lepas. Masih ingatkan kalian tentang ujian tersebut? 

Rupa-rupanya, semakan status ujian tersebut telah pun boleh dibuat. Kepada yang belum dapat sijil dan belum tahu keputusannya, bolehlah membuat semakan di pautan yang disediakan ini. Semoga berjaya!



Undangan Majlis Perkahwinan Safiq Rahim dan Zandra Aziela

Assalamualaikum semua. 


Tahniah kepada pemain bola sepak Safiq Rahim dan pemain boling negara Zandra Aziela yang bakal ke jenjang pelamin pada 8 dan 9 Februari 2014 nanti.

Saya tidak tahu bagaimana kad undangan perkahwinan ini boleh sampai di sekolah, tetapi sudah terpampang di papan notis untuk menjemput seluruh warga Sekolah Kebangsaan Batang Kali.  


Khamis, 30 Januari 2014

Cuti Persekolahan Sempena Tahun Baru Cina yang Diperuntukkan oleh KPM

kredit foto dari ezkeretasewa

Saya kira, pasti ramai yang sudah berkira-kira untuk pulang ke kampung pada petang ini sempena cuti Tahun Baru Cina yang bakal disambut 31 Januari 2014 nanti. Bagaimanapun, ada sekolah masih belum bercuti. Ibu bapa harus ketahui bahawa cuti Tahun Baru Cina yang diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak selaras. 

Cuti peristiwa dan cuti berganti

Semuanya terpulang pada keputusan pihak sekolah untuk bercuti berapa lama. Saya pernah kongsikan takwim yang dikeluarkan oleh KPM menerusi entri Cuti Peristiwa dan Cuti Berganti Persekolahan 2014 sempena Tahun Baru Cina

Ekoran daripada itu, saya jelaskan sekali lagi, mengapa ada sekolah yang sudah bercuti mulai esok, ada sekolah yang cuti dua hari, ada sekolah yang cuti tiga hari. Esok, 30 Januari 2014 KPM telah menawarkan Cuti Peristiwa sempena Tahun  Baru Cina selama sehari. Cuti ini tidak perlu diganti dan mana-mana sekolah juga tidak wajib mengambilnya bahkan cuti ini boleh dibawa dan dikumpulkan untuk cuti perayaan lain. 

Cuti bagi negeri hujung minggunya Jumaat dan Sabtu

Pada 31 Januari 2014, cuti Tahun Baru Cina. Bagi negeri yang hujung minggunya Jumaat dan Sabtu, KPM telah menawarkan tiga hari cuti berganti iaitu pada 2,3 dan 4 Februari 2014 dan akan digantikan mengikut jadual yang telah ditetapkan. 

Cuti bagi negeri hujung minggunya Sabtu dan Ahad

Bagi sekolah yang hujung minggunya Sabtu dan Ahad, KPM telah menawarkan dua hari cuti berganti iaitu pada 3 dan 4 Februari 2014 dan akan digantikan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Oleh itu, bagi sekolah yang mengambil cuti berikut termasuk cuti peristiwa mereka akan bercuti sakan, sebaliknya persekolahan adalah seperti biasa. 

Bagaimanapun, saya difahamkan ada sekolah yang mengambil cuti peristiwa dan cuti berganti sehari sahaja. Ada juga yang tidak mengambil cuti peristiwa sebaliknya mengambil cuti berganti sahaja. Oleh itu, ibu bapa haruslah memastikan ketetapan yang sah daripada pihak sekolah supaya tidak timbul kekeliruan nanti. 


Selasa, 28 Januari 2014

Blogger Pilih Kasih Hanya Senaraikan Blog Otai Sahaja dalam Bloglistnya


kredit foto dari amarketingexpert
Saya percaya setiap blog pasti ada senarai bloglistnya sendiri. Dan pelbagai nama dan kategori pula dilakukan. Sewaktu saya mula-mula terlibat dalam dunia blogging ni, saya menyenaraikan seberapa banyak blog yang saya suka dalam bloglist saya. 

Tujuannya, untuk memudahkan saya meninjau dan membaca entri terbaru blog tersebut. Kebanyakannya, blog penulisan.

Apabila saya mula mengenali apa itu "bloglist" yang sebenar dan kepentingannya, saya membuka satu lagi bloglist sebagai penghargaan untuk blogger yang menjadi pengomen setia blog saya. 

Blogger Pilih Kasih

Benarkah ada blogger yang pilih kasih dengan hanya menyenaraikan blog terpilih sahaja dalam bloglistnya? Mungkinkah, tindakan ini diambil oleh blogger "otai" yang berasakan kedudukan mereka sudah kukuh dalam arena blogging? 

Jika kita ke blog blogger tersebut, senarai blog yang berada dalam bloglistnya boleh dikatakan blog otai-otai semua. Tidakkah mereka ini berasa bersalah dengan berbuat demikian. Sedangkan blogger "picisan" inilah yang selalu berkunjung ke blog mereka. Jika tindakannya itu untuk membeza-bezakan kategori blogger yang ada, alangkah sedihnya!

Bagaimanapun, kita semua perlu akui bahawa setiap blogger ada haknya sendiri untuk menyenaraikan blog siapa yang layak berada di takhta hati bloglistnya itu. 

Sebaliknya, saya memuji kesungguhan blogger yang sanggup melancarkan segmen bloglist bulanan semata-mata untuk mencari lebih ramai kawan. 

Nota: Maafkan saya jika entri ini membuatkan ada blogger yang tersinggung.

Format Terkini PMR Mulai 2014

Assalamualaikum semua.

PBS mewarnai sistem peperiksaan Malaysia -kredit foto dari utusan

Lanjutan daripada entri ini, PMR Belum Mansuh, Tapi Ditambah Baik dengan PBS Mulai Tahun ini saya akan kongsikan apa lagi yang dikatakan oleh Dr. Naimah Ishak. 

Setakat ini, format yang dinyatakan oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan Dr. Naimah Ishak, mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ditaksir menggunakan instrumen ujian bertulis dan ujian lisan manakala mata pelajaran Sains dan Matematik ditaksir menerusi ujian bertulis saja

Mata pelajaran selebihnya pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, persembahan, demonstrasi, kajian lapangan serta kajian kes. 

Apa yang kita harapkan, moga sistem peperiksaan ini bukanlah sekadar cubaan atau eksperimen, sebaliknya telah dinilai dan dikaji secara mendalam keberkesanannya dalam mentaksir pencapaian murid.

Isnin, 27 Januari 2014

Ulasan Buku: Kumpulan Cerpen Bertema Remaja di Mingguan Malaysia


Pengarang: Mohd Helmi Ahmad
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tebal: 156 halaman
Tahun terbit: 2013

Oleh: Wadiassofi Jaafar

KUMPULAN Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa menghimpunkan 15 cerita pendek hasil pertukangan kreatif penulis muda kelahiran Kedah, Mohd Helmi Ahmad. Cerpen-cerpen ini menafaskan jati diri remaja dan menunjang nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi.

Ada antara cerpen yang dimuatkan dalam kumpulan ini pernah memenangi Hadiah Penghargaan Kumpulan Utusan ExxonMobil (HSKU) kategori cerpen remaja, seperti Bunga Telur Kenduri Kahwin (2010), Kuih Bakul Limau Mandarin (2011) dan Rombongan Masuk Jawi (2012). Dua cerpen lagi sekadar layak ke peringkat akhir HSKU iaitu Rancanganku Rancangan-Mu (2010) dan Piala Penentuan (2012). 

Cerpen-cerpen dalam kumpulan ini digarap dengan baik dan sempurna bagi memberi satu kelainan kepada pembaca yang inginkan jalinan penceritaan yang menghiburkan. Watak-watak ditampilkan secara signifikan dan digarap dalam galur cerita yang berseni dengan penuh tanggungjawab. 

Mohd Helmi Ahmad bijak dalam menggarap hasil penulisannya dengan meletakkan kisah-kisah berbentuk motivasi dalam kumpulan cerpen ini. Nilai-nilai pengorbanan juga turut diselitkan di samping aspek-aspek kekeluargaan yang secara tidak langsung mampu menguatkan jalinan cerita yang ingin disampaikan. 

Penulis juga dilihat berupaya mengolah hasil penceritaan dengan menerapkan nilai-nilai cabaran di alam persekolahan melalui cerpennya. Gaya bahasa yang segar turut memperlihatkan kebijaksanaan penulis dalam merangkum jalinan cerita agar cerpen yang dihasilkan itu mampu menarik khalayak pembaca untuk memahaminya. 

Adat istiadat serta budaya Melayu yang menjadi persoalan dalam kumpulan cerpen ini turut diolah dengan begitu sempurna dalam usaha menarik minat pembaca untuk memahami setiap cerpen yang dihasilkan. 

Persoalan keagamaan juga turut digarap dengan baik dan diadun secara sempurna serta sesuai dengan remaja. Penulis juga bijak bermain kata-kata dengan penceritaan yang begitu menghiburkan melalui cerpen-cerpen yang boleh meninggalkan kesan yang mendalam khalayak pembaca. 

Kredit foto dari ITBM

Lagu Berhantu LY dan Pena Baiduri Bahagiamu Deritaku Juara AJL 28

Assalamualaikum semua.

Hafiz juara AJl 28 - kredit foto dari mstar.com.my

Bahagiaku Deritamu

Ku dengar kau cinta sangat padanya
Ku dengar hatimu kini miliknya
Dia kan menjadi teman sehidup dan semati
Aku menjadi sahabatmu

Siksanya mengakui kau teman biasa
Terpaksa ku terima itu hakikatnya
Yang pasti aku tak mahu lupakan cinta
Kau percik api membakar kenangan lama

Aku tak tahu menilai cintamu
Aku tak mampu pertahankan

Tinggalkanku perlahan-lahan ku trima
Semakin ku sakit semakin kau bahgia
Mengapakah aku jadi lemah
Sungguh ku tak sangka dia membawa jantungku bersamamu

Yang pasti aku tak mahu lupakan cinta
Kau percik api membakar kenangan lama
Aku tak tahu menilai cintamu
Aku tak mampu pertahankan

Tinggalkanku perlahan-lahan ku trima
Semakin ku sakit semakin kau bahgia
Mengapakah aku jadi lemah
Sungguh ku tak sangka dia membawa jantungku bersamamu
Bersamamu

Mengapakah aku jadi lemah
Sungguh ku tak sangka dia membawa jantungku bersamamu

...................................

Kemenangan sudah muktamat. Seperti yang diduga, Bahagiaku Deritamu dendangan Hafiz menggondol AJL 28. Bagi saya, kekuatan lagu ini seimbang antara gubahan lagu, kepuitisan lirik dan lontaran vokal Hafiz yang lemak itu.

Bahagiku Deritamu judul lagunya sudah membawa satu konotasi yang sangat tersirat maknanya. Bagaimana kita melihat ada unsur keikhlasan, kesetiaan dan pengorbanan dalam lagu ini. Siapa yang sanggup melihat "kekasihnya" bahagia sedangkan dirinya derita. Begitu sebaliknya. Akhirnya, adakah jalan terbaik menjadi sahabat setelah terputus hubungan?

Metafora lain yang ada dalam lirik lagu ini adalah:

kau percik api membakar kenangan lama
.............

dia membawa jantungku bersamamu

Tahniah kepada LY dan Pena Baiduri. Teruskan memartabatkan bahasa Melayu dalam industri lagu tanah air. 

Ahad, 26 Januari 2014

Pemenang Anugerah Juara Lagu 28 Sudah Diketahui, Tunggu Masa Sahaja Untuk Diumumkan Malam Ini

AJL 28

Saya yakin, ramai yang menantikan Anugerah Juara Lagu (AJL) 28 pada malam ini. 12 buah lagu dipertaruhkan oleh komposer tempatan tanah air untuk merebut gelaran Juara pada malam ini. 12 buah lagu tersebut termasuklah:

12 lagu AJL 28/2014

1. Takkan Terpisah - Black
2. 1. In Love With You - Aizat Amdan & Noh
3. Penglipurlara - Hazama & The Penglipurlara
4. Kalau Aku Kaya - Awi Rafael & Altimet
5. Kau Yang Terindah - Alyah
6. Sahabat - Najwa Latif Feat. Sleeq & Shamkamarul
7. Tanda Tanya - Azlan & The Typewriter
8. Hanya Aku - Hyper Act
9. Salam Musik -Salam Musik
10. Bahagiamu Deritaku - Hafiz
11. Ikut Rentakku - Jaclyn Victor
12. Bosan - Stacy

Sewaktu penyertaan Dato Siti Nurhaliza dahulu, saya juga antara peminat program ini. Namun, kian hari kian penganjurannya nampak suram. Minat saya juga sudah hilang. Mungkin juga, era saya sudah pun berlalu. Muzik kini, lebih sesuai dengan muzik anak muda remaja belia. 

Aspek penjurian

Entahlah, daripada mana saya baca atau dengar juga saya kurang ingat. Setahu saya, cara pengadilan AJL telahpun dilakukan awal, terutama dari aspek lirik dan lagu. Pada malam persembahan ini malam umpamnya sekadar untuk markah persembahan dan vokal sahaja. Jadi, markah persembahan dan vokal akan dicampurkan dengan markah lirik dan lagu yang telah awal diadili. 

Bagaimanapun, bayang siapakah pemenang AJL sudahpun diketahui. Jarang sekali, persembahan pada malam ini akan menerbalikkan keputusan juri. Seperti yang sedia maklum, lirik dan lagu membawa markah yang cukup besar dalam penjurian AJL. 

Tidak dinafikan juga, keputusan yang bakal diumumkan pada malam ini mungkinkah menimbulkan ketidakpuasan hati penyokong setiap lagu yang dipertandingkan. Itu semua sekadar adat pertandingan. Sememangnya sukar untuk menilai dan memuaskan hati semua pihak.

Saya juga melihat, trend penjurian sekarang ini lebih menjurus atau mengangkat sesebuah lagu itu mengikut eranya. Jadi, lihatlah era kini muziknya apa. Dan pasti kalian akan dapat menerka lagu apakah yang bakal memenangi AJL 28 malam ini. 

Bagi saya, vokal Hafis dalam Bahagiamu Deritaku sangat memukau. 


Dulu Saya Ulas Buku Orang, Sekarang Buku Saya Pula Orang Ulas

Assalamualaikum semua. 


Saya begitu teruja bukan sahaja hari ini malah setiap minggu pada hari Ahad untuk menyelak halaman sastera akhbar Berita Minggu dan Mingguan Malaysia untuk menyemak karya siapa yang tersiar. Dengan harapan, ada karya saya disiarkan. Namun begitu, nampaknya belum ada rezeki lagi setelah lama tidak melihat karya sendiri disiarkan di akhbar arus perdana ini. 

Kekecewaan itu terubat apabila melihat halaman Ulasan Buku di Mingguan Malaysia pada hari ini (26 Januari 2014) yang mana Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa saya diulas oleh seorang penulis. Sememangnya saya begitu teruja apabila dulu saya ulas buku orang (penulis), sekarang buku saya pula orang (penulis) ulas. Terima kasih diucapkan kepada Wadiassofi Jaafar, yang juga seorang peulis Kedah yang berbakat besar dalam penulisan. 

Kepada yang belum memiliki Tetamu Istimewa ini bolehlah dapatkan di Kedai Buku 1Malaysia yang berhampiran kerana kedai ini antara pengedar buku terbitan ITBM. Jika tidakpun boleh beli melalui ITBM sendiri melalui portal ini Beli Tetamu Istimewa dengan ITBM.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Tetamu Istimewa, kalian juga boleh membaca entri yang telah saya kongsikan ini.


Saya sangat mengharapkan sokongan kalian untuk mendapatkan Tetamu Istimewa sekaligus dapatlah saya menerbitkan buku seterusnya pada masa akan datang. Buku ini boleh sahaja dibeli untuk bacaan sendiri, anak-anak ataupun dihadiahkan kepada sesiapa sahaja. 


Sabtu, 25 Januari 2014

Nursyafiqah, Kanak-kanak 2 Tahun Disahkan Mati Dibunuh tetapi Tidak Dirogol

kredit foto dari Kosmo
Saya tidak sempat membaca berita ini di Kosmo semalam. Menurut berita di Kosmo, Nursyafiqah disahkan dibunuh, tetapi tidak dirogol. Bagaimanapun, sama-samalah kita berdoa dan mengharapkan pembunuh itu menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang telah dia lakukan. 

Kepada pembaca yang belum membaca berita ini sebelum ini, boleh klik entri di bawah:

1) Isteri, Kenapa Lagi Cari Teman Lelaki?-Kanak-kanak 2 Tahun Mati Dibunuh di Dungun
2) Ibu Sanggup Buat Laporan Palsu Kes Kank-kanak 2 Tahun Mati Dibunuh di Dungun Demi Sayangkan Teman Lelaki
3) Angkara Sebar Gambar Kanak-kanak 2 Tahun Mati Dibunuh, Akhirnya Diburu Polis

Al- Fatihah

Salji di Negara Orang, Hujan Batu Juga yang Terbaik di Malaysia

Assalamualaikum semua.

Hari ini kebanyakan sekolah yang mengambil cuti berganti sempena Tahu Baru Cina, bersekolah. Jadi, sekolah saya juga begitu. 

Menyentuh mengenai entri saya sebelum ini, "Penduduk Malaysia Diminta Bertenang-Fenomena Cuaca Sejuk Bukan Petanda Salji Akan Turun", dan lebih banyak entri atau berita tentang salji turun di Malaysia menggambarkan seolah-olah penduduk Malaysia begitu teruja untuk menyambut turunnya Salji di Malaysia. Adakah penduduk Malaysia sudah serik dengan "musibah" banjir? 

Tidakkah kita terfikir, "Salji di Negara Orang, Hujan Batu Juga yang Terbaik di Malaysia". Mari sama-sama kita renungkan petikan berita daripada Berita Harian yang telah saya printscreen ini. 

Jerang air panas


 Pakai stoking, selipar

Kereta tak meragam

Pakai baju sejuk dalam kelas

Aktiviti riadah terganggu

Selamat berhujung minggu!

Jumaat, 24 Januari 2014

Semak Keputusan BR1M 3.0: Adakah Anda Termasuk dalam 7.9 Juta Penerima Februari Nanti

BR1M 3.0-kredit foto dari mybajet.com

Pasti ramai rakyat Malaysia menantikan pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang dikatakan akan mula diagihkan pada pertengahan Februari nanti.

Satu pelaburan yang tinggi terpaksa dikeluarkan kepada 7.9 juta penerima. Bantuan ini adalah untuk meringankan beban pengguna ekoran daripada kenaikan harga barang ketika ini. 

"Datuk Seri Najib berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, di sini, sebentar tadi."-Berita Harian

Namun begitu, telahkah  anda mendaftar? Jika belum boleh klik pautan ini: 


Kepada yang telah mendaftar, anda boleh menyemak menggunakan dua kaedah iaitu:

1. Talian 1-800-88-2716
2. Emel: br1m2@treasury.gov.my

Semakan hanya boleh dilakukan pada Februari nanti

Tarikh semakan akan dikemaskini dari masa ke masa. 


PMR Belum Mansuh, Tapi Ditambah Baik Dengan PBS Mulai Tahun ini

Sebenarnya saya nak terbitkan entri ni semalam, tapi surat khabar terlupa nak bawa balik dari sekolah sebagai bahan rujukan. Hari ini berkesempatan nak kongsikan sedikit berkenaan isu Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Dr. Naimah Ishak - kredit foto dari BH

Sebelum ini ada ura-ura PMR akan dimansuhkan, namun sebaliknya pula yang berlaku apabila berita yang disiarkan di surat khabar semalam mengatakan bahawa PMR ditambah baik mulai tahun ini

Komponen Penilaian

PMR tidak akan dimansuhkan sebaliknya diperkemas dengan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS). Penilaian ini adalah berdasarkan empat komponen iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi)

Menurut Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Naimah Ishak, PBS akan ditaksir meliputi pengetahuan, kefahaman, perkembangan dan penyertaan pelajar dalam perkara yang dinilai. 

Selain itu, kuasa autonomi diberikan kepada guru sepenuhnya dalam melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif berasaskan sekolah, sekali gus memberi pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pencapaian murid. 

Pernyataan keputusan

Bagaimanapun, pernyataan keputusan PP nanti akan dikeluarkan Lembaga Peperiksaan (LP), sementara keputusan PS, PAJSK dan PPsi dikeluarkan pihak sekolah dengan format seragam berdasarkan spesifikasi oleh LP.

Rujukan bacaan: Berita Harian

Nota: Insya-Allah, untuk mengetahui bagaimana secara kasar format peperiksaan PMR ini akan saya kongsikan dalam entri seterusnya nanti. 


Penduduk Malaysia Diminta Bertenang-Fenomena Cuaca Sejuk Bukan Petanda Salji Akan Turun

Assalamualaikum semua.

sekadar gambar hiasan-kredit foto dari mynewsshub.com


Sepertinya satu pesta pula apabila berita cuaca sejuk yang melanda Pantai Timur akan turunnya salji. Penduduk Malaysia diminta bertenang dan janganlah menyebarkan berita atau mengada-adakan cerita yang belum pasti terjadi. Setakat ini melalui pembacaan saya, cuaca di Pantai Timur, sejuk dan mengalami penurunan suhu yang mendadak. Belum memberi petanda bahawa salji akan turun. 

Setelah membaca beberapa laporan berita di akhbar, saya menyifatkan laporan akhbar Sinar Harian sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan kepada kita semua tentang perubahan cuaca sejuk ini. Jadi, saya petik berita tersebut untuk perkongsian bersama. 

KOTA BHARU - Keadaan suhu sejuk dan mendung seharian mencetuskan suasana baharu yang tidak pernah dialami masyarakat negara ini.

Tidak terkecuali di Kelantan, apabila beberapa lokasi di negeri ini mencatatkan suhu terendah dalam sejarah.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan dan Terengganu, Jenuwa Husin berkata, penurunan suhu dan udara yang sejuk dialami beberapa daerah di negeri ini merupakan satu rekod baharu.

Menurutnya, daerah Kuala Krai mencatatkan suhu penurunan minimum sehingga 17 darjah Celsius pada jam 7 pagi kelmarin berbanding 21.8 Celsius suhu purata.

“Penurunan suhu di Kuala Krai itu adalah yang paling minimum manakala Pasir Putih pula mencatatkan bacaan 19 darjah Celsius selain Kota Bharu dan Gong Kedak dengan purata 20 hingga 25 darjah Celsius.

“Di antara punca utama penurunan suhu itu ialah disebabkan tekanan suhu sejuk di tanah besar China yang memasuki Laut China Selatan selain daripada keadaan musim tengkujuh yang melanda kawasan Pantai Timur yang masih belum tamat,” katanya.

Menurutnya, fenomena tekanan suhu dari China itu terjadi semasa monsun timur laut dan tiupan angin kencang tersebut berlaku apabila kurangnya awan terbentuk pada waktu malam di kawasan Pantai Timur Semenanjung.

Beliau berkata, disebabkan penurunan itu penduduk di kawasan berhampiran pantai terutamanya akan mengalami suhu sejuk yang terlampau berbeza dengan keadaan biasa.

Dalam masa sama, Jenuwa berkata, amaran ketiga angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan pihak Meteorologi kepada nelayan dan orang awam bagi mengurangkan sebarang aktiviti pantai.

“Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Untuk rekod, suhu di tanah tinggi Cameron Highland purata sekitar 12 hingga 26 darjah Celsius manakala 13 -16 darjah Celsius pada waktu pagi.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di negeri ini mendapati keadaan cuaca sepanjang hari redup dan sejuk. Orang ramai dan murid-murid sekolah yang mengenakan baju sejuk di luar bangunan walaupun pada jam 11 pagi.

Seorang penduduk di Kuala Krai, Rosdi Ismail, 49,  berkata, perubahan mendadak suhu sejak selepas banjir gelombang kedua begitu dirasai.

Menurutnya, kedudukan kampung berkenaan yang dikelilingi bukit menyebabkan kesannya begitu terasa.

“Setiap kali keluar rumah untuk ke tempat kerja saya akan memakai baju sejuk kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk sekarang,” katanya.
Suhu di Besut

19 darjah Celsius

Suhu di kawasan Besut pula mencatatkan penurunan sehingga 19 darjah Celsius pagi kelmarin, menjadikan ia rekod suhu terendah yang pernah dicatatkan di daerah itu.

Jenuwa berkata, suhu itu disifatkan sebagai satu rekod kerana suhu biasa yang dicatatkan paling minimum bagi dua kawasan itu sebelum ini hanyalah sekitar 23 darjah Celsius.

Katanya, daerah lain di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman  mencatatkan sedikit penurunan iaitu sekitar 21 darjah Celsius berbanding hari biasa.

Selain itu katanya, Jabatan Meteorologi turut memaklumkan, angin kencang timur laut berkelajuan dari 60 kilometer sejam dengan ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Menurut beliau, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

“Angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.

Seorang penduduk di Besut, Yusof Ali, 72, berkata, keadaan suhu sejuk dirasakan sejak beberapa hari lalu, memaksa dia memakai baju lebih tebal.

Menurutnya, seingatnya, kali terakhir suhu sejuk berlaku di daerah ini ketika dia berusia 15 tahun, kira-kira 57 tahun lalu dan tidak berlaku lagi selepas itu sehinggalah ia berulang sekarang.

Sumber: Sinar Harian

Khamis, 23 Januari 2014

Angkara Sebar Gambar Kanak-kanak 2 Tahun Mati Dibunuh, Akhirnya Diburu Polis

Perkembangan Terkini Kes Kanak-kanak 2 Tahun Mati Dibunuh di Dungun-Nursyafikah Abdullah

Tan Sri Musa Hassan-kredit foto dari gelombang.rakyat.blogspot.com

KUALA LUMPUR : Pihak polis sedang memburu individu pertama yang disyaki menyebarkan gambar mayat kanak-kanak berusia dua tahun yang ditemui mati di dalam sebuah rumah kosong di Taman Perumahan Permint Seberang Paka, Terengganu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan ketika dihubungi menafikan gambar datangnya dari sumber polis dan mengutuk keras perbuatan yang dianggap tidak sensitif oleh individu terbabit.
Gambar itu turut mendapat kritikan ramai di laman sosial sejurus ia dimuat-naikkan.

"Kami tidak tahu identiti orang pertama yang menyebarkan foto itu di media sosial. Kemungkinan orang yang mengambil gambar tersebut sampai ke tempat kejadian lebih awal daripada pihak polis. Kami tidak pasti. Kami masih sedang menyiasat," Manoharan memberitahu Astro AWANI.

Nursyafiqah Abdullah yang dilaporkan hilang sejak 17 Januari lalu, ditemui oleh seorang pengawal keselamatan dalam keadaan mula mereput selain ada kesan darah kira -kira jam 3.30 petang.

Ibunya Rabiatul Adawiyah Mamat, 28, sebelum itu dilaporkan meninggalkan kanak-kanak itu didalam keretanya yang tidak berkunci, untuk bertemu dengan rakannya di sebuah restoran di Kuala Paka.r

Apabila dia kembali ke keretanya, anaknya itu didapati hilang.

Rabiatul Adawiyah yang membuat laporan polis kemudiannya, memberitahu pihak polis yang dia pernah mendapat ugutan bunuh sebelum ini.

Tindakan penyebaran foto kanak-kanak itu di laman media sosial dipersoalkan oleh banyak pihak termasuk mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Musa berkata perbuatan itu menunjukkan orang yang menyebarkannya tiada perasaan dan suka dengan keganasan.

Nota: Pengajaran daripada kes ini, moga blogger-blogger sekalian janganlah terlalu ghairah untuk menerbitkan atau berkongsi sesuatu berita atau cerita yang belum pasti benar, ataupun gambar yang boleh mengaibkan seseorang mahupun keluarga sebelah pihak. Peringatan ini juga ditujukan kepada kita semua pengguna laman sosial dan internet. 

Semak Penyata Gaji Penjawat Awam 23 Januari 2014 Sempena Tahun Baru Cina

Alhamdulillah, pembayaran gaji pada bulan ini untuk penjawat awam telahpun masuk pada hari ini bersamaan 23 Januari 2014. Selalunya, pembayaran dibuat sekitar 25 dan 26 haribulan pada setiap bulan. 

Sempena Tahun Baru Cina pada bulan ini, maka pembayaran dibuat awal dua hari. Biarpun tidaklah menampakkan kesan yang besar, namun kepada kaum Cina yang akan menyambut Tahun Baru Cina pada 31 Januari nanti sudah pastilah mereka menanti-nantikan tarikh ini. 


Kepada penjawat awam yang belum menyemak penyata gaji,
bolehlah buat semakan di sini 
dengan klik pada pautan yang telah disediakan. 


Hemah berbelanja, pasti hidup bahagia!

Ibu Sanggup Buat Laporan Palsu Kes Kanak-kanak 2 Tahun Dibunuh Di Dungun Demi Sayangkan Teman Lelaki

Assalamualaikum semua.

Biarpun saya masih belum berkeluarga dan mempunyai anak sendiri, tidak tegar saya mengorbankan kanak-kanak sekitar umur 2 tahun demi kebuasan nafsu kepayang yang menyelar fikiran. Ke manakah letaknya pertimbangan akal dan kewarasan fikiran untuk "menggodam" kanak-kanak yang masih tidak tahu apa-apa tentang apa itu "rogol". 

kredit foto dari BH


Kes bunuh budak 2 tahun: Ibu kena tahan

Kuala Terengganu: Polis menahan ibu kanak-kanak berusia dua tahun yang ditemui mati dibunuh dalam sebuah rumah kosong di Dungun petang kelmarin selepas mengaku membuat laporan palsu kehilangan anaknya.

Pekerja kedai makan berusia 27 tahun itu ditahan jam 10.30 malam kelmarin, kira-kira tujuh jam selepas mayat Nursyafiqah Abdullah ditemui pada jam 3.30 petang. 


Mengaku dipaksa 

Dia ditahan selepas mengaku dipaksa oleh teman lelakinya supaya membuat laporan kehilangan Nursyafiqah pada Sabtu lalu ketika disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun berhubung penemuan mayat anaknya.

Mayat mangsa dengan kesan lebam di tubuhnya, ditemui memakai baju petak biru tanpa seluar oleh pengawal keselamatan dalam tandas sebuah rumah yang belum dihuni di Taman Permint, di Seberang Paka, Dungun. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata polis juga menahan teman lelaki ibu berkenaan berusia 25 tahun yang juga suspek utama pada jam 1.30 petang kelmarin, iaitu dua jam sebelum penemuan mayat mangsa.
Dia ditahan dalam keadaan khayal pengaruh dadah di tempat awam di Kuala Paka. Dua rakan mereka, masing-masing berusia 25 tahun pula ditahan antara jam 10.30 malam hingga 1.30 pagi kelmarin.

Semua suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

gambar dikatakan teman lelaki si ibu

Terima laporan kehilangan

Manoharan berkata, sebelum penemuan mayat, Balai Polis Paka menerima laporan ibu mangsa pada Sabtu lalu mengenai kehilangan anaknya, yang didakwa diculik seorang lelaki dikenali ketika kanak-kanak itu ditinggalkan dalam kereta MyVi di hadapan sebuah restoran di Kuala Paka.

“Ibu mangsa mendakwa anaknya hilang ketika ditinggalkan sekejap ketika dia berjumpa teman lelakinya. Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan mula mengesan suspek utama sehinggalah ditahan. Berikutan keadaannya yang khayal, polis tidak dapat menjalankan siasatan sehinggalah menerima laporan mengenai penemuan mayat.

“Bagaimanapun, selepas ibu mangsa dibawa ke balai untuk disoal siasat, dia mengaku dipaksa oleh lelaki itu membuat laporan polis,” katanya dan menambah polis turut menahan kereta yang digunakan suspek untuk membawa mangsa.

Manoharan juga berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu adalah orang terakhir bersama mangsa selepas dia membawa kanak-kanak itu dengan keizinan ibunya pada jam 11 pagi Jumaat lalu.

“Ibu mangsa hanya mengetahui anaknya hilang selepas dia bertemu teman lelakinya pada malam Jumaat lalu dan memaklumkan tidak tahu di mana kanak-kanak itu berada. Perkara ini dimaklumkan kepada polis selepas kita memanggilnya untuk disoal siasat,” katanya.

Pemeriksaan juga mendapati tiga suspek lelaki itu positif dadah dan dikenali sebagai penagih serta pengedar dadah kecil-kecilan.

Sumber: Berita Harian

Rabu, 22 Januari 2014

Isteri, Kenapa Lagi Cari Teman Lelaki? - Kanak-kanak 2 Tahun Jadi Mangsa Bunuh dan Rogol di Dungun


KUALA LUMPUR: Polis yakin dapat menyelesaikan kes penemuan mayat kanak-kanak berusia dua tahun di Paka, Dungun, dalam tempoh terdekat berikutan penahanan tiga suspek selain ibu mangsa, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek utama yang juga teman lelaki ibu mangsa berusia 25 tahun, ditahan di Kuala Paka jam 3.30 petang semalam.

"Polis mencari lelaki ini sejak 18 Januari lalu iaitu sejurus laporan polis dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 27 tahun mengenai kehilangan anaknya.

"Susulan penahanan ibu mangsa juga, kita mendapat tahu laporan dibuat sebelum ini adalah palsu dan wanita itu mendakwa dia dipaksa berbohong oleh suspek utama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, sebentar tadi.

Sumber: Harian Metro Online

Rasa: Nampaknya institusi kekeluargaan di negara kita masih belum utuh untuk menjadi benteng keselamatan anak-anak. Sesuatu harus dilakukan agar, institusi kekeluargaan yang dibina atas rasa kasih sayang, kesetiaan, tanggungjawab dan amanah tidak mudah tunduk pada cabaran, dugaan, ujian bahkan hasutan-hasutan nafsu dan syaitan yang boleh memusnahkan segalanya.

Benarkah cinta hanya pada yang satu? Bagaimana kesetiaan hendak diuji? Moga "kita" menjadi suami dan isteri yang cintai dan hargai Anugerah kurniaan Allah SWT. 

Apa yang Perlu Ibu Bapa Bawa untuk Mengambil Bantuan Persekolahan 1Malaysia RM100?

Assalamualaikum semua.

sekadar gambar hiasan-kredit foto dari sks2bk.blogspot.com


Maaf, lambat menerbitkan entri baru hari ini. Baru sahaja selesai Kejohanan Merentas Desa di sekolah. 

Di sebelah pagi pula, telah diadakan pengagihan Bantuan Persekolahan 1Malaysia RM100 kepada ibu bapa untuk setiap orang anak yang bersekolah. 

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Saya tidak tahu bagaimana prosedur di sekolah lain, namun di sekolah saya beginilah. Ibu bapa haruslah membawa dokumen ini sewaktu mengambil bantuan tersebut. 

1. Surat Beranak murid (asal)
2. IC Ibu Bapa 
3. Jika surat beranak tidak dibawa, boleh juga gunakan My Kids.
*Salinan Tidak Diterima

Hal ini penting untuk melancarkan proses penerimaan bantuan tersebut. Jika tidak, ibu bapa terpaksa balik semula mengambil dokumen tersebut. 

Ibu bapa juga dikehendaki mengisi borang penerimaan atau penolakan bantuan seperti Nama, NO. IC, Tarikh, dan Tandatangan pada borang yang dikemukakan oleh guru. Mudah sahaja kan. Jadi, selepas bantuan ini diterima, gunakanlah sebaik mungkin demi peningkatan prestasi anak-anak dalam lapangan pendidikan. 

Selasa, 21 Januari 2014

Demi Gelaran ke -10 Terbuka Malaysia Lee Choong Wei Sanggup Tinggalkan Keluarga?


kredit foto dari ceritasemasa.com
Sememangnya saya amat mengagumi semangat Datuk Lee Choong Wei dalam sukan badminton. Pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepadanya gara-gara gagal merangkul pingat Emas Sukan Olimpik dan Kejohonan Dunia lepas, beliau tetap tampil sebagai seorang pemain profesional.

Saya tetap mengiktiraf bahawa Datuk Lee Choong Wei masih pemain terbaik perseorangan yang pernah Malaysia lahirkan. Malah belum ada pemain muda yang mampu menandinginya. 


Gelaran Terbuka Malaysia ke-10

Baru-baru ini, Datuk Lee Choong Wei sekali lagi membuktikan bahawa beliau masih berada pada kelas tersendiri setelah merangkul gelaran Terbuka Malaysia ke-10. 

Sejurus selepas meraih gelaran itu, beliau melontarkan hasrat untuk "gantung riket" seandainya prestasinya tidak baik menjelang akhir tahun. Di sebalik pendedahan itu, masih ramai yang mengharap Lee Choong Wei menimbang semula hasratnya itu sehingga Malaysia mempunyai pemain yang betul-betul mampu menggantikannya.  

kredit foto dari sportnewsmalaysia
Pendedahan Datuk Lee Choong Wei

Satu perkara lagi yang didedahkannya, beliau terpaksa tinggalkan keluarganya demi gelaran Terbuka Malaysia dengan menyuruh isterinya (Woong Mew Choo) dan anaknya tinggal di rumah mertuanya sepanjang Terbuka Malaysia kerana beliau mahu bersendirian. 

Pengorbanan yang disifatkan "menguris" hati isterinya itu patut dihargai oleh rakyat Malaysia.


BAM harus cari pengganti

Lantaran itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seharusnya berada dalam keadaan bimbang kerana mereka harus cepat mencari dan melatih pemain yang boleh menggantikan Datuk Lee Choong Wei. 

Guru Bahasa Inggeris Bakal Mendapat Pembantu?

Assalamualaikum semua. 



Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

PUTRAJAYA 20 Jan. - Kementerian Pendidikan akan melatih sebanyak 20,000 guru Bahasa Inggeris (BI) tahun ini bagi meningkatkan kemahiran mengajar dalam kalangan para guru.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bagi perancangan tahun hadapan, jumlah yang sama akan turut dilatih bagi memperkasakan kemahiran guru Bahasa Inggeris.

Beliau berkata, inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) itu adalah bagi memastikan kemahiran menguasai Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dapat dicapai.

"Penekanan terhadap kepentingan penggunaan Bahasa Inggeris sentiasa dititikberatkan dan pada tahun lalu sahaja sebanyak 5,000 guru telah dilatih.

"Mulai bulan depan sebanyak 9,000 orang guru Bahasa Inggeris akan memulakan latihan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penyerahan peserta Fulbright English Teaching Assistant (ETA) 2014, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Kaunselor Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat, Bonnie S. Gutman.

Peserta ETA itu terdiri daripada 100 siswazah dari universiti terkemuka di Amerika Syarikat (AS) untuk membantu guru Bahasa Inggeris tempatan mengajar para pelajar menggunakan bahasa antarabangsa tersebut dengan lebih sistematik.

Sementara itu, Idris berkata, siswazah terbabit akan ditempatkan selama 10 bulan bermula 2 Februari ini di sekolah rendah dan menengah terpilih sekitar Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

"Mereka akan menjadi pembantu kepada guru di dalam bilik darjah bagi memudahkan kefahaman pelajar bertutur dalam Bahasa Inggeris.

"Selain itu, mereka akan turut menganjurkan aktiviti kokurikulum termasuk mengadakan kem Bahasa Inggeris ketika musim cuti sekolah untuk menarik perhatian pelajar," katanya.

Beliau menjelaskan, program ETA yang bermula pada 2012 hanya disertai oleh 50 peserta dan ditempatkan di Terengganu, Pahang dan Johor.

"Pada tahun lalu, program ini telah diperluaskan ke Perak dan jumlah sekolah yang terlibat ditingkatkan kepada 75 buah.

"Pihak kementerian juga akan mengkaji dari semasa ke semasa untuk mempertingkatkan jumlah penyertaan sekolah dan perkara itu perlu dibincangkan dengan kerajaan AS terlebih dahulu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program kerjasama kali ketiga antara Malaysia dengan AS itu yang membabitkan kos RM9 juta setahun dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Sumber: Utusan Malaysia

Isnin, 20 Januari 2014

Rahsia Tingkatkan Pageviews Satu Bulan 100,000 Pageviews



Alhamdulillah, meningkat satu takah lagi. Bulan lepas, pada 17 Disember 2013, saya ada kongsikan pageviews terkini (klik di sini). Hari ini lebih kurang satu bulan tiga hari begitu, pageviews Tetamu Istimewa sudah mencecah 300,000

Saya fikir, tahap pencapaian ini bolehlah dibanggakan jika hendak dibandingkan dengan pageviews blogger hebat yang lain. Sememangnya, memang sukar hendak melihat pageviews mendadak meningkat memandangkan tiada isu panas, sensasi, gosip yang dikongsikan di blog ini. 

Tetamu Istimewa sekadar berkongsi cerita dan berita tentang pendidikan, bahasa, sastera dan sesekali isu semasa dan kehidupan seharian. Terima kasih saya ucapkan kepada sesiapa sahaja yang singgah di sini. 

Rahsia Tingkatkan Pageviews

Rasanya tiada apalah rahsia sangat yang hendak dikongsikan berkenaan untuk tingkatkan pageviews. Malah, belum layak untuk saya berbuat demikian. Namun begitu, tidak salah untuk saya kongsikan apa yang saya buat. 

1. Cuba kekalkan menerbitkan entri (setakat ini 2-3) dalam satu hari.
2. Blogwalking (maaf, sekarang ni sibuk sikit)
3. Terbitkan entri yang berpotensi dicari pembaca. 

Jenis Entri

1. Jika mahukan entri yang sentiasa kekal menyumbang trafik-tulis entri seperti blog Relaks Minda (siri kreativiti).
2. Jika mahu entri yang mendadak meningkat trafik tulis entri tentang isu semasa seperti Blog Santai ataupun Cerita Ida (isu kangkong boleh ke?)
3. Ataupun entri semakan (seperti yang saya lakukan sekarang ini-tetapi ia akan berhenti setelah tempohnya tamat).
4. Tonton Online seperti blog Aswan Azmy ataupun Cik Akak.

Saya yakin, masing-masing ada caranya sendiri. Apa yang penting, keseronokan dan kepuasan dalam dunia blogging. 

Nota: Blogpsot nampaknya masih belum stabil. Masih terdapat beberapa gangguan antaranya, scrooll komen pop up dan senarai bloglist yang tidak boleh di "tunjukkan semua".

Permohonan Online UPU SPM/STPM ke IPTA Sesi 2014/2015

Assalamualaikum semua. 



Permohonan online kemasukan ke IPTA Sesi 2014/2015 lepasan SPM dan STPM dibuka. Kepada calon yang berkelayakan boleh membuat permohonan mulai jam 12.00 tengah hari ini di pautan di bawah.


Sebelum itu, baca syarat permohonan terlebih dahulu.

Program Lepasan SPM/Setaraf

Syarat Am Permohonan kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf adalah seperti berikut:


  • Warganegara Malaysia dan
  • Memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia/setaraf (SPM/setaraf) dengan mendapat sekurang-kurangnya LIMA (5) kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus Sejarah dalam peperiksaan SPM. 
Program pengajian untuk Bumiputera dan Bukan Bumiputera: 
  • Semua program di UITM, program Asasi UIAM, program Asasi Sains dan program Asasi Alam Bina di UM, program Asasi di UNIMAS, program Asasi di UMS terbuka kepada Bumiputera sahaja. 
  • Semua program Asasi di UPM, UKM, UPNM, program Asasi Pengajian Islam di UM, program Tahmidi di USIM dan semua program Diploma di UPM, UTM, UPSI, UTHM, UMT, UteM, UMP, UniMAP dan UniSZA dan Politeknik Premier terbuka kepada pemohon Bumiputera dan Bukan Bumiputera. 
Program Lepasan STPM/Setaraf


Syarat Am permohonan kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf adalah seperti berikut:

  • Terbuka kepada Warganegara Malaysia yang mempunyai Nombor Kad Pengenalan/My Kad dan Bukan Warganegara Malaysia.
  • Bagi Bukan Warga Negara Malaysia perlu memohon terus ke IPTA berkaitan.
  • Lulus SPM atau peperiksaan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia serta mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu/Bahasa Melayu. Kepujian Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu Kertas Julai diambil kira; dan
  • Lulus Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2013 dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dan mendapat sekurang-kurangnya:Gred C (NGMP 2.00) dalam 
  • mata pelajaran Pengajian Am, dan
  • Gred C (NGMP 2.00) dalam dua (2) mata pelajaran lain, atau
  • Mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 di peringkat Matrikulasi/Asasi tahun 2013; atau
  • Mendapat sekurang-kurangnya Pangkat Jayyid di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia STAM tahun 2013 atau 2012; atau
  • Mempunyai kelulusan Diploma atau kelulusan lain yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan oleh Senat IPTA; atau
  • Lulus peperiksaan STPM Tahun 2012 dan sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.00) dalam tiga (3) mata pelajaran termasuk Pengajian Am atau Matrikulasi/Asasi Tahun 2012 dan sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 atau STAM tahun 2011 dan sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya Tahap Jayyid; dan
  • Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET).

Ahad, 19 Januari 2014

Contoh RPH, RPT KSSR 2014 Semua Subjek di http://www.kssronline.com/p/lesson-plan.html


Kepada guru-guru yang masih tercari-cari contoh Rancangan Pelajaran Harian (RPH) dan Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Kurikulum Standart Sekolah Rendah (KSSR) bagi semua subjek, saya sarankan guru-guru kunjungilah portal www.kssronline.com.

Melalui portal ini segala contoh RPH dan RPT terkini dikemaskini dan dikongsikan untuk panduan guru-guru.

Contoh RPH dan RPT 2014

Saya juga pernah berkongsi contoh RPH dan RPT untuk beberapa subjek. Antaranya:

1. Contoh RPH Bahasa Malaysia KSSR Tahun 4 2014
2. Contoh RPH Pendidikan Seni Visual KSSR Tahun 4 2014
3. Contoh RPH Bahasa Malaysia KBSR Tahun 5 2014
4. Contoh RPT Sejarah KSSR Tahun 4 2014

Maklumat Lain KSSR

1. Contoh Borang Pemetaan Mengikut Kelompok Bahasa Malaysia KSSR Tahun 4 2014
2. PBS Perincian Evidens Bahasa Malaysia KSSR Tahun 3 2014

Sasterawan Dr. Zurinah Hassan Penerima Darjah Setia Diraja Kedah

Tahniah, saya ucapkan kepada Dr. Zurinah Hassan atas pengurniaan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tunku Sultan Kedah Darul Aman ke-86 pada hari ini. Anugerah ini membawa gelaran Datuk. 

Zurinah Hassan merupakan salah seorang penyair Malaysia. Zurinah Hassan pada mulanya mengarang puisi secara sambilan, sebelum memutuskan bagi meletak jawatan untuk memenuhi keinginan berkarya sepenuh masa yang selama ini terganggu akibat beban kerja. Zurinah Hassan berkarya dan menghayati keindahan alam dalam bentuk tulisan sejak 12 tahun lagi. Zurinah turut cuba mengetengahkan peroslan sejagat dalam tulisannya termasuk puisi mengenai gejala melepak di kalangan remaja pada tahun 1990-an. Zurinag turut menghasilkan sebuah buku Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi, penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.

karya Zurinah Hassan-kredit foto dari Permata Hati


Hasil Karya: 

1. Sasterawan Negara Usman Awang: DBP, 2006
2. Salasilah: kumpulan puisi: DBP, 2005
3. Menjelang pemilihan: DBP, 2004
4. Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi: UKM, 2003
5. Pujangga Tidak Bernama : DBP, 1994
6. Oh, bulan! Oh, bintang!: Longman Malaysia, 1992
7. Meneruskan Perjalanan: DBP, 1987
8. Keberangkatan: DBP, 1985
9. Sesayup Jalan, Biro Penerbitan USM, 1974 (antologi sajak)
10. Di sini Tiada Perhentian, Pen. Pewarna, Kuala Lumpur, 1977 (antologi sajak)

Anugerah dan Pencapaian

Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia penulisan, telah banyak anugerah yang diterima. Antaranya:

1. Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Award) 2004
2. Hadiah Kategori Buku
i. Pujangga Tidak Bernama-Hadiah Sastera Perdana (1994/1995)
ii. Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi - Hadiah Buku Perpustakaan Negara (2002/2004)
iii. Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi - Hadiah Sastera Perdana (2002/203)
3. Hadiah-hadiah untuk karya-karya puisi, cerpen (eceran) Hadiah sastera Perdana
4. Hadiah Pertama Pertandingan Menulis Cerpen Berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri 1984
5. Hadiah Utama Anugerah Puisi Putera, 1984

Buku Terkini

Buku terkini yang dihasilkan beliau ialah Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan, ITBM 2013. Karya beliau juga diterjemahkan ke bahasa lain seperti Menghadap ke Pelabuhan yang diterjemahkan ke Bahasa Russia.

Datuk Dr. Zurinah Hassan juga boleh diikuti melalui blognya "Interpretasi"

Nota: Moga penganugerahan ini dapat membuka mata rakyat Malaysia bahawa penulis juga berperanan besar dalam menyumbang kepada pembangunan negara. Selepas ini diharapkan, lebih banyak penulis yang diiktiraf dan dianugerahkan dalam sambutan ulang tahun keputeraan begini. 

Sumber rujukan: Wikipedia Bahasa Melayu

Semak Senarai Harga Ikan Rakyat

Assalamualaikum semua. 

senarai harga ikan rakyat yang dipetik dari web Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

Pada hari minggu seperti hari Ahad ini, pastilah banyak suri rumah yang ke pasar untuk membeli ikan, sayur dan barang dapur yang lain. Kepada yang selalu ke pasar tidak menjadi masalah untuk mengenal pasti harga ikan, sayur dan barang keperluan dapur ini. 

Mereka akan ke gerai yang selalu dikunjungi yang menawarkan harga yang lebih murah berbanding gerai lain. Tetapi, kepada yang jarang sekali turun ke pasar bagaimana? Oleh itu, semak senarai harga dahulu. 

Jika di kampung, kakak sayalah yang selalu ke pasar untuk membeli ikan, sayur dan barang keperluan dapur ini. Sungguh, saya sangat memuji kecekapannya menguruskan hal dapur ni. 

Jika ke pasar, dia sudah tahu di mana hendak tuju, apa yang hendak dibeli dan gerai mana yang menawarkan harga yang lebih murah. 

Ada sesetangah orang pula, akan pusing satu pasar dahulu melihat dan membandingkan harga ikan yang hendak dibeli. Kemudian, setelah mengetahui purata harga ikan yang dijual pada hari itu, barulah dituju ke gerai yang menawarkan harga yang paling murah. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78