Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Coretan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Coretan. Papar semua catatan

Isnin, 2 September 2019

Bagaimana Saya Mula Membaca Buku?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



BAGAIMANA SAYA MULA MEMBACA BUKU?

Saya suka membaca pengalaman orang lain mula membaca. Pengalaman tersebut mampu mencetuskan inspirasi dan motivasi untuk saya tekal membaca.

Kali ini saya petik pengalaman rakan-rakan bagaimana mereka mula membaca. Pengalaman begini amat berharga dan wajar dikongsikan. Oleh itu, saya kumpul dan susunkan semula untuk dikongsikan bersama.

Ketika umur saya 6 tahun, saya terkena demam campak. Jadi saya dikuarantinkan dan duduk di rumah sahaja padahal ketika itu hujung tahun (cuti sekolah) semua kawan bermain setiap hari di luar. Saya bosan. Suatu hari bapa pulang dengan beberapa buah buku yang dipinjamnya daripada perpustakaan awam untuk saya baca.


Seingat saya, saya mula membaca di kedai buku. Selalu dibawa oleh abah ke kedai buku. Lokasi wajib singgah setiap hujung minggu. Bermula dengan membelek gambar-gambar ilustrasi buku yang cantik, kemudian beralih membacanya setelah mula boleh membaca. Jarang-jarang dapat pergi ke perpustakaan. Seingat saya belum ada perpustakaan awam di tempat saya ketika itu.


3. Suri Noor 
Saya suka berkunjung ke kutubkhanah ketika darjah 4. Petang balik dari sekolah, saya wajib ke sana. Saya baca buku macam-macam. Saya rindu bau buku-buku dalam kutubkhanah dan juga rindu pada muka buku dulu-dulu.


Tok sedara saya simpan buku-buku sekolah anak-anaknya dalam satu almari. Setiap kali cuti penggal, saya pergi ke rumahnya baca novel Inggeris klasik.


5. Shahrul Ahlami Tukiran 
Pada satu hari, pihak sekolah saya menjemput seorang penulis buku datang ke sekolah untuk sebuah program. Penulis itu memberi galakan dan dorongan kepada para pelajar untuk menanam minat membaca ke dalam diri masing-masing. Penulis itu juga mempromosikan buku-buku yang ditulisnya di samping menjual buku-buku yang ditulis oleh penulis lain. Pada masa itu, dengan sumber kewangan yang terhad, saya hanya mampu membeli sebuah komik bertajuk Misi 8A.


Selain itu, penulis juga ada mempromosikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada tahun tersebut. Pihak sekolah juga ada membuat program lawatan ke PBAKL itu. Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk menyertai program tersebut.

Oleh sebab saya berasa masih belum puas semasa mengikuti program lawatan ke pesta buku yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya mengajak pula abang dan kakak saya untuk pergi ke pesta buku tersebut pada hujung minggu.

Bermula daripada itulah, saya semakin bertambah minat membaca dan teruja untuk terus menghadiri ke mana-mana pesta buku yang berdekatan. Selain itu, saya juga berasa seronok setiap kali menjejakkan kaki ke dalam mana-mana kedai buku walaupun saya tidak membeli apa-apa buku.

Kakak saya tak gemar belikan saya dan abang alat permainan jadi dia gantikan dengan membeli komik. Minat membaca timbul bila lihat komik-komik yang kakak belikan dan buku-buku cerita kanak-kanak lupusan dari perpustakaan yang berikan oleh kawan ayah.


Rasa rugi menjadi buta huruf ketika itu kerana tak mampu menikmati kesemua bahan bacaan menarik itu maka saya pun bersungguh-sungguh belajar mengeja dan membaca.

Sewaktu di bangku sekolah, saya telah terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita peringkat daerah. Selepas waktu pengajaran dan pembelajaran, saya akan menghafal skrip cerita sementara anak-anak lain sudah sibuk di rumah. Sejak dari itu, membaca adalah sebahagian daripada diri Emalina dan masih terus menikmatinya.


Ketika di peringat menengah, saya aktif mewakili sekolah dalam pertandingan pantun, forum remaja, Bahas Ala Parlimen sampai peringkat negeri Sabah. Terlibat secara aktif begini memang menjadikan saya seorang pembaca yang aktif.

Saya bermula dengan komik pada zaman kanak-kanak. Pada usia remaja, daripada suka membaca komik, saya beralih kepada novel remaja dan novel thriller. Masuk usia pertengahan 20-an, pembacaan saya mula terarah kepada buku-buku yang lebih berat seperti politik, sains dan keagamaan.


Mak ayah dulu kongkong saya. Tak bagi saya keluar ke mana-mana. Lepas sekolah, wajib balik rumah dan berkurung sampailah esok hari untuk ulang rutin yang sama. Itu menyebabkan saya mencari sesuatu untuk saya isi 'kekosongan' yang ada dan apa yang saya temui adalah buku!


Berbondong-bondong buku saya pinjam daripada pusat sumber. Novel remaja paling kerap saya ulang pinjam. Makin lama apabila makin berusia, bacaan saya juga berubah; kepada novel thriller dan berat. Saya menghabiskan novel RAM pertama ketika saya menginjak usia 12 tahun.

Begitulah cerita bagaimana buku menjadi penyelamat saya.




Ahad, 16 Disember 2018

Catatan Pengalaman Penulisanku dari Tahun 2008 hingga 2018

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



2008: Saya hanya fikir, saya nak menulis dan hantar karya kepada editor akhbar dan majalah sahaja. Saya mahu melihat karya saya disiarkan. Seronoknya tidak terkata. Ketika itu, saya pulun menulis dan menghantar karya. Ada kala, setiap bulan pasti ada karya saya yang disiarkan sehinggakan pada tahun 2012 sebanyak 45 buah cerpen saya disiarkan.

2013: Saya meniti tahun demi tahun sebagai penulis karya eceran. Pada tahun 2013, tergerak hati saya untuk membukukan karya saya yang pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah. Bertitik tolak daripada itulah, saya menyusun manuskrip buku sehinggalah lahirnya buku pertama saya pada tahun 2014. Setelah buku pertama terbit, saya mula berasa seronok dan teruja. Lantas, saya susun manuskrip buku seterusnya. Maka, terbitlah buku kedua saya pada tahun 2015, buku ketiga pada tahun 2016 dan buku keempat pada tahun 2018.

2015: Terus terang, sebelum ini saya kurang berminat untuk menyertai mana-mana projek buku antologi. Sebab itulah, boleh dikira dengan jari, bilangan antologi yang saya terlibat. Tidak ada. Detik permulaannya apabila Pak Cu Hamidi mempelawa saya untuk menyertai projek antologi cerpen kanak-kanak. Projek itu bakal diterbitkan oleh DBP memandangkan cerpen kanak-kanak yang terpilih ialah cerpen yang disiarkan dalam majalah Dewan Pelajar. Maka, terbitlah buku tersebut pada tahun 2017. Kemudian, pada tahun 2018 saya memenuhi pelawaan Cikgu Mohamad Musip untuk menyertai projek anekdot dan cerita kehidupan yang diterbitkannya.

2016: Daripada menulis secara eceran, memiliki buku perseorangan dan terlibat dalam projek antologi, kini saya cuba menyelenggara buku pula. Hasil daripada lontaran idea untuk membukukan artikel Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni MPR, maka Pak Cu Hamidi dan saya bertindak sebagai penyelenggara. Banyak yang saya belajar kerja dan proses penyelenggaraan daripada pak cu. Proses menerbitkan buku dengan DBP bukanlah mudah apatah lagi melibatkan 20 orang penulis dan karya pernah tersiar. Akhirnya, terbitlah buku tersebut pada tahun 2018.

2018: Saya langsung tidak terfikir untuk bergerak sejauh ini. Daripada sebagai penulis, penyelenggara, kini saya berjinak-jinak sebagai penolong editor/pembaca pruf. Terima kasih saya ucapkan kepada Wacana MBM yang memberikan peluang dan mempercayai kerja saya. Walau bagaimanapun, saya perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran sistem bahasa dan aspek penyuntingan lagi untuk menghasilkan kerja yang lebih murni.

*Ada satu lagi tugas yang diamanahkan kepada saya selain yang dikongsikan di atas, namun saya simpan dahulu.

Saya petik kembali kata-kata saya, "Sejauh mana keazaman anda untuk menjadi penulis? Mungkin sekadar meniti di bibir dan kemudiannya lesap begitu sahaja? Mungkin juga terus tumbuh bagaikan benih yang disemai, dibaja, disiram, diasuh hinggalah mengakar tunjang dalam diri." - Tunas Cipta.

Oleh itu, jadilah penulis yang berazam tinggi, cekal menongkah cabaran dan sabar menyelami denyut keperitan industri penerbitan tanah air.

#CatatanPenulisMHA

Isnin, 19 November 2018

Pengalaman Penulis Berjualan Buku Terus kepada Pembaca

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Temu Mesra Bersama Penulis ini memberikan pengalaman berharga kepada saya berkaitan beberapa perkara. 

Sebelum acara, saya telah membuat persediaan seadanya. Pertamanya, saya menyemak stok buku yang berbaki. 

Yalah, kalau nak jual buku, tidak mungkin nak pamerkan sebuah buku sahaja seolah-olah memberikan gambaran yang saya tidak bersungguh-sungguh untuk menjual buku. 

Oleh itu, saya letakkan tiga naskhah setiap judul, kecuali Kartunis Muda 10 naskhah, Bila Ayah Berkaca Mata Hitam - lima naskhah dan Gadis dan Cermin Masa Depan - lima naskhah. 

Saya meletakkan diri saya sebagai pembeli. Saya pun berasa tidak puas hati jika hanya dapat membelek-belek kulit depan dan kulit belakang buku sahaja. 

Jadi, saya buka plastik pembalut buku bagi setiap judul untuk memudahkan pengunjung membelek halaman buku. 

Keduanya, saya tolak tambah, bahagi dan darab untuk menentukan harga jualan buku. Memandangkan sasaran saya dan tempat jualan saya di sekolah, pengunjungnya ibu bapa dan murid, saya menjual buku dengan harga mampu milik. Biarpun ada buku yang dijual hanya memberikan keuntungan beberapa sen sahaja. 

Saya perhatikan setiap meja jualan buku, mejanya beralas dengan kain. Jadi, saya pun apa lagi, belilah kain alas. Kemudian, saya beli kad untuk ditulis harga jualan, bekas letak duit, plastik dan tapak mempamerkan harga promosi. Mengenangkan perkara itu, terasa lucu pula.

Tidak cukup setakat itu, saya meminta rakan guru untuk mereka gegantung promosi. Bukan main besar lagi gegantung yang memaparkan wajah saya.
Seawal pagi saya menyusun buku-buku yang hendak dijual. Kemudian, saya meminta bantuan murid saya untuk membantu saya menjaga meja jualan ketika saya bertugas sebagai AJK Protokol. 

Saya dapat membayangkan perasaan peniaga apabila barang jualan tidak laku kerana pada hari pertama hanya seorang sahaja yang membeli buku saya, itu pun rakan guru. 

Alhamdulillah, pada hari kedua ada peningkatan dan saya boleh mengukir senyuman bermakna.

Sewaktu saya di meja jualan, saya dapat perhatikan pelbagai gelagat pengunjung. Ada yang sekadar lalu namun hanya melirik manja sahaja. 

Ada yang datang menjengah dan memerhati susunan buku di atas meja. Ada juga yang memegang dan membelek buku yang dipamerkan. Bahkan, ada yang membelek gegantung promosi (barangkali tertanya-tanya, siapalah penulis ni?). 

Tidak dinafikan, ada juga pengunjung yang tidak tertarik pun untuk melirik apatah lagi singgah untuk melihat-lihat buku yang dijual. Dengan kata lain, buku bukanlah magnet yang bertindak sebagai daya penarik.

Walau bagaimanapun, saya berpeluang bertemu dengan editor majalah KUNTUM yang datang menjengah dan berbual-bual tentang majalahnya dan mendengar perkongsian saya tentang hal penulisan dengannya. 

Saya gembira kerana saya berjaya mencabar diri melakukan sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan yang saya mampu lakukan. Bermula daripada seorang pembaca, penulis dan kini penjual buku secara langsung kepada pembaca. 

Ayuh, rakan-rakan penulis, jika bukan penulis yang mempromosikan dan menjual hasil karya kita, siapa lagi yang kita mahu harapkan? 

Mohd Helmi Ahmad
Secebis Pengalaman daripada Penulis Muda

Isnin, 18 Jun 2018

Kad Hari Raya Sudah Tidak Relevan?

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.


Pada era teknologi maklumat dengan kecanggihan gajet terkini, tradisi menghantar ucapan menerusi kad hari raya tidak pernah luput. Buktinya, pada hari ini saya menerima kiriman kad hari raya daripada rakan-rakan. Saya berasa sangat terharu. Semoga ingatan tulus ikhlas ini mengeratkan lagi silaturahim antara kita. 

Selasa, 29 Mei 2018

Apa yang Saya Tulis Sepanjang Tahun 2008 hingga 2018?

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

APA YANG SAYA TULIS SEPANJANG TAHUN 2008 HINGGA 2018?
 


1. Saya mula memasuki bidang penulisan kreatif melalui karya eceran. Saya menulis cerpen, puisi dan artikel. Karya ini saya hantar untuk dipertimbangkan oleh editor akhbar dan majalah.

2. Setelah cerpen pertama saya, "Nyanyuk Si Mentua" disiarkan dalam majalah Harmoni pada tahun 2008, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya melangkah dan cuba menembusi akhbar dan majalah lain pula.

3. Pada tahun 2009 pula, saya dimaklumkan bahawa puisi pertama saya, "Berdiri di Atas Kaki Sendiri" telah disiarkan dalam akhbar Bacaria. Puisi ini telah dibukukan dalam Kumpulan Puisi Remaja: Madu di Tangan.

4. Setelah beberapa tahun kemudian, saya tergerak hati untuk mengumpulkan karya saya yang tersiar itu untuk dibukukan. Hasrat itu lebih kuat apabila saya terbaca satu berita bahawa kerajaan telah menyuntik dana melalui ITBM untuk menerbitkan buku karya asli penulis muda.

5. Hasil daripada bertanya rakan-rakan penulis cara menyusun manuskrip dan beberapa hal berkaitan serta membuat kajian ringkas, akhirnya saya mengemukakan manuskrip "Tetamu Istimewa" kepada ITBM untuk dinilai dan setahun selepas itu, lulus diterbitkan.

6. Pada tahun 2014, terbitlah buku pertama saya. Ketika itu tak tergambar perasaan berbaur rasa itu. Tidak terduga sama sekali, apabila buku pertama saya ini diberikan pengiktirafan dalam HSPM pada tahun 2014 kategori Kumpulan Cerpen Remaja.

7. Setahun selepas itu, saya memberanikan diri untuk mengumpulkan puisi pula. Setelah menimbangkan beberapa perkara, saya menyusun manuskrip kumpulan puisi remaja. Manuskrip ini pada asalnya saya hantar 80 buah lebih puisi. Namun setelah dinilai, panel memutuskan untuk penerbitan kumpulan puisi remaja, hanya 50 buah puisi sahaja.

8. "Madu di Tangan" terbit pada tahun 2015. Sebahagian puisi tersebut pernah disiarkan dalam majalah dan akhbar. Menerusi HSPM 2015/2016, buku ini telah dinobatkan sebagai Kumpulan Puisi Remaja terbaik. Tidak terjangka saya apabila kali kedua saya naik ke pentas HSPM.

9. Kali pertama nama saya terselit sebagai pemenang HSKU (saya tidak hadir) pada edisi 2010. Cerpen "Bunga Telur Kenduri Kahwin", telah meletakkan cerpen remaja saya itu untuk menumpang pentas yang gah berdirinya penulis mapan. Sebagai penulis baharu, saya berasa amat kerdil sekali. Selepas itu, pada tahun 2011 dan 2012, dua tahun berturut-turut cerpen remaja saya berjaya meloloskan diri untuk diiktiraf sebagai pemenang, walaupun hanya hadiah penghargaan. Cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin" yang turut memenangi HSKU telah dipilih dijadikan teks KOMSAS pelajar Tingkatan 1 mulai tahun 2015.

10. Tidak berhenti di situ sahaja, saya yang turut menulis karya dewasa cuba menyusun manuskrip kumpulan cerpen dewasa pula. "Bila Ayah Berkaca Mata Hitam" menghimpunkan 18 cerpen dewasa. Dua cerpen saya yang pernah memenangi Sayembara Cerpen ASASI dan Sayembara Cerpen ANIS turut dimuatkan dalam buku ini. Buku ini diterbitkan pada tahun 2016.

11. Pada awalnya banyak kali saya berfikir sama ada perlu atau tidak saya menerbitkan kumpulan cerpen remaja kedua. Antara yang bermain-main di fikiran saya, adakah buku ini lebih baik daripada Tetamu Istimewa? Walau bagaimanapun, saya berhak juga memberikan peluang kepada pembaca untuk menilai daripada kaca mata mereka. Akhirnya, "Gadis dan Cermin Masa Depan" berjaya juga sempena PBAKL 2018 lalu.

12. Keempat-empat buku saya ini diterbitkan oleh ITBM. Bagi saya, ITBM merupakan sebuah syarikat penerbitan yang mempunyai nama yang besar dalam industri penerbitan buku sastera yang berkualiti. Saya sangat berterima kasih kepada ITBM yang mempercayai karya-karya saya.

13. Cabaran sebagai penulis yang menulis karya eceran sebelum dibukukan tetap ada. Tinggal lagi kita sebagai penulis perlu bijaksana menanganinya. Empat buku saya ini hanyalah sebilangan kecil karya yang "terpilih". Di sebalik kejayaan mengangkat dan mengumpulkan karya tersebut, seberapa banyak karya ditolak, seberapa banyak karya yang disisihkan, biarlah saya sahaja yang tahu.

14. Saya berharap perjuangan saya dalam bidang penulisan ini tidak akan berhenti di sini sahaja. Besar harapan saya agar dapat melihat buku genre kanak-kanak saya pula diterbitkan selepas ini.

15. Rakan-rakan yang berhasrat untuk menulis (calon penulis) atau penulis baharu teruskan usaha. Bina kredibiliti, tingkatkan mutu karya, insya-Allah pada masa hadapan kita akan dapat menuai hasilnya yang ada kala kita sendiri tidak menjangkakannya.

Mohd Helmi Ahmad
Catatan Pengalaman Penulis Marhaen
 

Khamis, 11 Januari 2018

Menjadi Pengacara Majlis Apa yang Perlu Diberikan Perhatian?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Hakikatnya saya seorang yang pemalu.Tidak petah berkata-kata di hadapan orang ramai. Apatah lagi tidak termimpi oleh saya untuk menjadi pengacara majlis. Sebolehnya saya menolak tugas ini.

Apabila menjadi seorang guru Bahasa Melayu, pernah pula memegang Ketua Panitia, saya dilihat seorang yang terampil untuk memikul tanggungjawab ini berbanding guru lain. Mahu tidak mahu, pada mulanya saya "terpaksa" menerimanya.

Tanpa pengalaman dan tanpa ilmu yang cukup, saya beranikan diri memikul tugas ini. Kali pertama saya diamanahkan menjadi pengacara program terbesar di sekolah iaitu Majlis Kecemerlangan, pada tahun 2013. Selepas itu, tiga tahun berturut-turutlah saya memegang jawatan ini. 

Seterusnya, bagaikan tiada nokhtah, saya terus diberikan tanggungjawab menjadi pengacara Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG dan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah. Selain majlis kecil yang lain seperti persaraan guru dan lain-lain.

Benarlah kata orang, belajar daripada pengalaman lebih mudah memahami dan dipraktikkan daripada belajar secara teori. Daripada situ, saya membina keyakinan diri.

Walau bagaimanapun, ilmu yang ada perlu ditambah dari semasa ke semasa sama ada secara berguru ataupun pembacaan.

Apabila saya mendapat tahu bahawa Cikgu Tok Mat ataupun Mohamad Musip menerbitkan "Modul Pemantapan Tatabahasa & Seni Bahasa dalam Pengacaraan", saya tidak berfikir panjang lagi untuk memilikinya. Terima kasih cikgu, buku telah selamat saya terima.

Sebelum ini saya telahpun memiliki "Koleksi Teks Pengacaraan Majlis Rasmi Sekolah" yang ditulis oleh Cikgu Absha Atiah Abu Bakar dan "Rahsia Pengacaraan Hebat" oleh Azimin Bin Daud.

Sebagai guru yang selalu dilantik mengacarakan program di sekolah, sudah pastilah buku yang menjurus kepada contoh atau panduan teks pengacaraan program yang dijalankan di sekolah akan dicari.

Berdasarkan pengalaman, saya lebih suka membuat skrip pengacaraan sendiri berbanding menyalin daripada mana-mana sumber. Apabila kita membuat sendiri skrip tersebut, kita akan lebih faham. Dikatakan, kelancaran sesuatu program terletak juga kepada seorang pengacara.

Apabila saya menjadi pengacara, perkara yang saya dititikberatkan:

1. Salutasi dan protokol

2. Atur cara majlis

3. Seni bahasa: pantun pembuka, pantun ucapan dan pantun penutup

4. Elakkan kesalahan bahasa yang ketara

5. Gaya penyampaian boleh dipelajari dari masa ke masa

Pengalaman ialah guru terbaik untuk proses pembelajaran.

Sabtu, 25 November 2017

10 Perkara yang Ulat Buku Suka Buat dan Tak Suka Buat

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


Bolehlah dikatakan saya ini suka pada buku dan suka membaca atau istilah lain ulat buku. Sebagai pencinta buku, ada perkara yang saya suka buat dan ada perkara yang saya tak suka buat. 

1] Pengalaman saya membaca buku, tidak sesekali akan membaca halaman terakhir untuk mengetahui cerita atau menyudahkan pembacaan lebih awal. 

2] Tidak akan menyelak halaman seterusnya selagi tidak habis dibaca halaman sebelumnya. Dengan kata lain, ikut urutan. Tak suka langkau-langkau atau tebuk-tebuk. 

3] Kadangkala kalau buku yang dibaca "tak boleh masuk", saya tinggalkan dahulu. Ambil buku lain pula. 

4] Tidak suka melipat halaman buku apatah lagi "menconteng" buku atau menanda sesuatu pada halaman tertentu. Oleh itu, kalau ada yang berhajat nak pinjam koleksi buku saya kena fikir banyak kali dululah.

5] Kalau baca kumpulan cerpen atau puisi, perkara pertama yang wajib baca ialah prakata dan kata pengantar.

6] Kalau sibuk sangat, bahagian ini saya baca dulu, kemudian ada masa baru baca isinya.

7] Ada buku yang ada biodata penulis dan sebaliknya. Bahagian ini juga saya suka baca. Walaupun dah pernah baca biodata penulis tu sebelum ini, tetap juga ingin membacanya.

8] Sejak bekerja lebih suka membaca buku yang dibeli sendiri daripada meminjam daripada sesiapa ataupun di mana-mana.

9] Saya tak ada masa tertentu untuk membaca. Adakala sela masa menonton TV pun sempat lagi membaca.

10] Pantang saya membaca dalam kenderaan bergerak. Pening!

Hangpa pula lagumana?


Jumaat, 24 Februari 2017

Bagaimana Penulis Bermula dengan Karya Pertama?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


Karya pertama yang disiarkan ataupun diterbitkan selalunya menjadi nostalgia yang membugarkan semangat dan inspirasi buat penulis.

Masih ingatkah lagi karya pertama kalian yang disiarkan dalam pelbagai media itu?

Sebagai penulis yang masih baharu, ayuh mulakan dengan kerja-kerja penulisan kita dengan sistematik dengan merekodkan setiap karya yang tersiar. 

Sejak awal menulis lagi saya telah merekod setiap karya saya yang disiarkan sebagai dokumentasi dan rujukan.

Puisi pertama saya disiarkan dalam akhbar tabloid - Bacaria pada tahun 2009 dengan judul "Berdiri di Atas Kaki Sendiri".


Puisi pertama saya yang disiarkan dalam majalah ialah "KL Masih Berlumpur" yang disiarkan dalam majalah Tunas Cipta, Februari 2009.

Cerpen pertama saya pula disiarkan dalam majalah Harmoni pada 1-15 Mac 2008 dengan judul "Nyanyuk Si Mentua".

Cerpen pertama saya yang disiarkan dalam akhbar ialah "Orang Surat Khabar" yang disiarkan dalam Berita Minggu, 30 Mei 2010.

Hasil daripada menulis secara eceran sejak dari tahun 2009, akhirnya buku pertama saya yang mengumpulkan cerpen remaja terbit pada tahun 2014 dengan judul "Tetamu Istimewa", ITBM.

Selepas itu, pada tahun 2015 terbit pula buku yang menghimpunkan puisi remaja saya yang berjudul "Madu di Tangan", ITBM.

Tidak lengkap sebagai penulis yang turut menulis karya dewasa ataupun umum, jika saya tidak membukukan cerpen tersebut. Justeru, pada tahun 2016 terbit pula "Bila Ayah Berkaca Mata Hitam", ITBM.

Menulis perlukan disiplin dan kesungguhan yang tinggi. Ayuh penulis, sekali kita mengangkat pena, teruskan melakar kata dengan menghasilkan karya yang menggugahkan minda dan membajakan jiwa.

Mohd Helmi Ahmad
Mengingat Sesuatu yang Bermula daripada...Kita akan Menghargai dan Menghormati Sesuatu yang Kita Miliki Kini.

Sabtu, 16 Januari 2016

Novel Pantai Kasih Tidak Sesuai Jadi Teks Komsas Tingkatan 4???

Assalamualaikum.


Polemik hangat yang diperkatakan tentang kesesuaian novel Pantai Kasih dipilih menjadi teks Komsas Tingkatan 4. Pantai Kasih karya Azmah Nordin ini tiba-tiba seperti api dalam sekam yang telah merebak dan "baru" tersedar setelah novel ini sudah setahun digunakan. 

Kontroversi yang melanda novel ini apabila dikatakan ada satu bahagian yang mana pemeriannya tidak sepatutnya didedahkan kepada murid. Petikan itu merujuk pada situasi ini:

“Bagaikan tidak dapat ditangguhkan lagi, Doktor Sadiz sudah tidak mampu mengawal nafsunya. Raiha telah menjadi mangsa kerakusannya. Tanpa sebarang perencanaan dan tanpa kerelaan Raiha, terlucutlah sel daripada genetik ‘istimewa’ milik Doktor Sadiz ke dalam badan Raiha..." 


“Doktor Sadiz terus menyeringai dan terus giat menyempurnakan autopsi ataupun bedah siasat ke atas jasad Raiha yang terhimpit dan terlentang di atas lantai lif itu”.


Sinopsis Pantai Kasih karya Azmah Nordin


Sesebuah novel dihasilkan bertujuan untuk merakamkan kisah kehidupan manusia berdasarkan imaginasi seseorang penulis. Setiap penulis mempunyai cara yang berbeza untuk mempamerkan corak perjalanan kehidupan manusia.

Cerita ini mengisahkan pergolakan hidup petugas-petugas di Pusat Rawatan Pantai Kasih yang diburu keresahan dan ketakutan sebagai akibat terjadinya kes penyamaran seorang lelaki yang kurang siuman sebagai doktor di pusat rawatan itu. Dua orang doktor, iaitu Raiha dan Uwang juga mempunyai masalah peribadi yang tersendiri. Raiha diburu kegelisahan setelah kematian anak dan suaminya. Doktor Uwang pula tersepit antara desakan kata hatinya untuk memburu keuntungan dengan keinginan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pesakitnya. Namun begitu, kegagalan menyelamatkan seorang pesakit remaja setelah menjalani lima kali pembedahan di pusat rawatan tersebut juga telah menyebabkan berlakunya konflik antara mereka.

Meskipun padat dengan beberapa masalah semasa, namun penulis cuba mengetengahkan hal ini untuk dijadikan panduan kepada para pembaca. Semoga isu yang cuba dikupas oleh penulis dalam buku ini dapat memberikan manfaat kepada para pembaca dan murid sekolah amnya, dalam meneruskan kehidupan yang penuh cabaran pada masa ini.


Biodata Azmah Nordin

AZMAH NORDIN dilahirkan di Kulim, Kedah Darul Aman pada 10 Januari 1958. Kini, beliau bermastautin di Sabah semenjak tahun 1973. Pada tahun 1985 Azmah Nordin mula melibatkan diri dalam dunia penulisan dan giat menghasilkan karya-karya dalam genre cerpen dan novel termasuklah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Sehingga hari ini, beliau telah banyak menghasilkan karya. Yang berikut ialah karya-karya yang telah dihasilkan oleh Azmah Nordin.

Senarai Karya Azmah Nordin

1. Si Bidul (DBP, 1987)
2. Noor Ainku Sayang (DBP, 1988)
3. Dukanya Abadi (DBP, 1988)
4. Setulus Sarina (Fajar Bakti, 1989)
5. Kembara Planet (Fajar Bakti, 1989),
6. Timulak Kapal Perang (DBP, cetakan pertama edisi pelajar 2000)
7. Sewangi Hati Irani (Pustaka Mastika, 1989)
8. Permata Biru (Federal Publication, 1989 )
9. Gadis Pinggiran (Pustaka Maju Mastika, 1990)
10. Pejuang Bawah Bayu (SASBADI, 1990)
11. Kukui (DBP, 1990)
12. Jauh Tidak Berantara (Maju Mastika, 1990)
13. Dilambai Debur Cinta (Fajar Bakti, 1990)
14. Tanaut (RAN Publisher, 1994)
15. Janji (DBP, 1991)
16. Biar Kasihmu Terukir (DBP, 1991)
17. Ribut di Gua Gomantong (DBP, 1992)
18. Melatiku Sayang (Longman Malaysia, 1992)
19. Debur Menerpa
20. Sembilu Kasih (Fajar Bakti, 1992)
21. Si Tarra (Longman Malaysia, 1992)
22. Dari Dalam Cermin (DBP, 1992)
23. Siti Ariana (DBP, 1993 )
24. Fatin
25. Dibawah Unggulnya (1993)
26. Ima Puteri Air (DBP, 1994)
27. Puteri Khairuni (DBP, 1994)
28. Pantai Kasih (Fajar Bakti, 1994)
29. Tanaut (Penerbit RAN, 1994)
30. Puteri Harapan (DBP, 1994)
31. Impian Akuatik
32. Kewujudan Maya (DBP, 1995)
33. Halusinasi (DBP, 1995)
34. Misteri Aini (DBP, 1995)
35. Menongkah Lumrah (DBP, 1996)
36. Puteri Indrasariayu
37. Awang Kirana Mudir Besar (Fajar Bakti, 1996)
38. Antara yang Terhebat
39. Puteri Angin
40. Singgahmata (Fajar Bakti, 1997)
41. Merentas Selat (Fajar Bakti, 1997)
42. Syumul ( DBP, 1998)
43. Dedikasi di Planet Marikh (DBP, 1999)
44. Pesanan untuk Ira (DBP, 1999)
45. Titian Gelora (DBP, 2005)
46. Mega Nisaa (DBP, 2005)
47. Bantogen (DBP, 2009)
48. Puteri Delima (DBP, 2009)

Pencapaian: Hadiah/Anugerah

Sepanjang tempoh penulisan, Azmah Nordin juga telah banyak memenangi hadiah dalam peraduan atau sayembara yang dianjurkan, antaranya termasuklah:

1. Hadiah Menulis Novel DBP (Kukui)
2. Hadiah Menulis Novel Kanak-kanak (Noor Ainku Sayang)
3. Hadiah Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Wilayah Persekutuan & GAPENA, 1988 (Timulak Kapal Perang)
4. Hadiah Puisi dan Cerpen DBKL-DBP, 1990 (“Wizurai”)
5. Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP, 1991 (“Mikrotome”)
6. Hadiah Novel Remaja Berunsur Islam, 1992 (Di Bawah Unggul-Nya)
7. Hadiah Sastera Malaysia DBP 1992/93 (Dari Dalam Cermin )
8. Peraduan Menulis Novel DBP Cawangan Sabah /Jabatan Ketua Menteri (Dari Dalam Cermin)
9. Hadiah Sastera Sabah (Dari Dalam Cermin )
10. Hadiah Cerpen ESSO/Gapena Sayembara VIII, 1991 (“Kuntum Perdamaian”)
11. Hadiah Khas Novel ESSO/GAPENA
12. Hadiah Sastera Sabah DBP, Cerpen/Novel Dewasa, (Dukanya Abadi - 1988 dan 1989, “Singkowoton - 1992,1993,1994,1995,1996 dan1997)
13. Hadiah Sastera Sabah DBP, 1998/1999 (Syumul)
14. Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP, 1996/1997 (Menongkah Lumrah)
15. Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP, 1996/1997 (“Permainan Kematian”)
16. Hadiah Sastera Malaysia DBP, 1988/89 (“Singkowoton”)
17. Hadiah Malayan Banking Berhad - DBP
18. Hadiah Sastera Kanak-kanak Mobil – Mabopa, 1995
19. Hadiah Sastera Kerajaan Negeri Sabah & DBP Cawangan Sabah, 2002/2003
20. Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001 (“Kasih Seputih Kemboja”)
21. Hadiah Karya Sulung Sempena Perayaan 25 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.
22. Hadiah Sastera Sabah 2004/2005 (“Rahsia” )

Kredit: Goodreads

Walau bagaimanapun, "siasatan" telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Jadi, nantikan keputusan daripada penl KPM tentang isu ini. 



Rabu, 30 Disember 2015

Rak Buku yang Kondusif

Assalamualaikum.

Sudah lama saya menginginkan rak buku yang betul-betul kondusif dan sesuai. Kondusif dan sesuai itu mengambil kira saiz buku dan ketinggian buku yang diterbitkan di negera kita ini. Jadi, rak yang bagaimanakah sesuai dengan kriteria itu? Jika dicari di kedai sukar untuk mendapatkan ciri-ciri rak yang saya inginkan itu. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menempak khas rak buku yang seperti saya inginkan. 


Rak buku yang kondusif ini saiznya kira-kira 10 kaki X 7 kaki. Rak ini mempunyai enam tingkat dan empat pembahagian petak. Jadi, keseluruhannya 24 petak. Setiap petak ukurannya kira-kira 2 kaki setengah. 


Alhamdulillah, rak buku yang kondusif ini diperbuat daripada besi sepenuhnya. Kukuh dan sesuai untuk menyusun buku yang agak berat. Pasti ramai yang bertanya berapa jumlah buku yang boleh disusun pada rak ini? Saya jangkakan sekitar 1500-2000 buah buku muat untuk rak ini. 


Harga? Harga rak ini ialah RM700. Bagi saya amat berbaloi. Saya tempah khas rak ini dengan tukang besi yang selalu mengambil tempahan membuat grill pintu dan tingkap rumah. Oleh itu, jika ada yang berminat untuk memiliki rak buku yang kondusif begini boleh menempah sendiri. Boleh dikatakan inilah rak buku idaman saya.


Khamis, 1 Oktober 2015

Sketsa Karikator yang Mempersendakan Kerjaya Guru

Assalamualaikum.



Bukan kali pertama saya dengar, baca dan perhatikan yang mana kerjaya guru dipersendakan. Paling ketara apabila masyarakat memandang kerjaya guru kerjaya yang banyak cuti. Setahun persekolahan, guru mendapat pelbagai cuti termasuklah cuti bencana. 

Baru-baru ini terbit satu sketsa karikator di sebuah akhbar yang seolah-olah mempersendakan kerjaya guru. Oh, sebagai seorang guru, saya amatlah kecewa dengan tanggapan ini. Bagi saya, setiap kerjaya mempunyai peranannya sendiri. 

Betullah mengikut pekeliling, guru hanya bertugas lima hari seminggu dari jam 7.30 pagi dan ada yang sudah menamatkan waktu persekolahan pada jam 1.30 tengah hari. Jika di sekolah menengah boleh mencecah jam 2.30 petang. 

Namun itu masa rasmi waktu bertugas seorang guru. Bagaimana pula dengan waktu tidak rasmi? Kerja-kerja guru tidak pernah selesai setakat waktu rasmi itu sahaja. Adakala berlarutan hingga petang dan malam serta hujung minggu juga. 

Berbanding kerjaya lain, pelanggan guru ialah murid. Murid itu ialah manusia. Bukan mudah untuk berurusan dengan manusia. Pepatah ada mengatakan, doktor jika tersalah bagi ubat akan rosak seorang itu sahaja, tetapi guru jika tersalah mengajar akan rosak semua generasi muridnya. 

Tugas mencabar guru kini yang bukan sahaja mengajar di dalam kelas sedikit sebanyak memberi tekanan kepada guru. Bahkan kerja-kerja itu tidak siap jika dilakukan hanya pada waktu persekolahan rasmi sahaja. Oleh itu, kerja-kerja itu akan dilakukan di luar waktu bekerja. Jika hendak disenaraikan tugas lain sudah tentulah banyak dan tugas itu tidak tetap yang itu-itu sahaja.


Sabtu, 26 September 2015

Harga Power Bank PINENG Original 20 000 mAh

Assalamualaikum.


Akhirnya terpaksa juga memiliki power bank untuk memudahkan urusan ke sana ke sini. Saya tak pastilah, power bank PINENG original 20000 maAh (PN96) ini murah atau mahal kerana sebelum ini saya tidak pernah memilikinya. Harga RM90 + RM6 (pos). Saya terbaca iklan ini lalu mmebuat keputusan untuk membelinya. 

ANDA SELALU MENGHADAPI MASALAH INI ?
-----------------------------------------------------------------------
▶ Kehabisan bateri smartphone
▶ Smartphone cepat habis bateri
▶ Susah mencari plug bila travel 
▶ Powerbank sedia ada tak tahan lama
▶ RISAU TERBELI POWERBANK CLONE
.
Usah bimbang, kami ada jalan penyelesaiannya..
.
Details PowerBank Pineng(Kay Tee Gadget Store)
✓ 💯 Original Pineng
✓ Waranty Setahun(Rosak tukar baru)
✓ Free Original Pineng Cable(MicroUsb)
✓ Free Pouch bag(Waterproof)
✓ Ada Waranty Kad
.
Sesuai untuk :
Semua Jenis smartphone, tablet, mp3 player, led usb, camera, radio, dan apa-apa device yg menggunakan usb interface
.
===================================================
💯 Jaminan Original Atau Wang Anda DIKEMBALIKAN 2x GANDA!
===================================================
.
---------------------------------------------------------------------------------
Kenapa Perlu memilih kami??
↪ Kami telah menjual lebih dari 30000 unit powerbank pineng Original sejak april 2014.
↪ Kami adalah long-term pineng seller. Jadi, tidak akan timbul masalah jika anda mahu claim waranti pada masa hadapan. Kami sentiasa ada stock insyaallah smile emoticon like emoticon
↪ Telah setahun lebih membekal powerbank pineng terutama di Kuala Terengganu.
↪ Berpengalaman untuk membezakan pineng original atau copy ori(clone/fake)
---------------------------------------------------------------------------------
.
 AWAS!! Jangan tertipu dengan produk clone/copy!! Kes-kes seperti meletup dan terbakar adalah berpunca dari penggunaan powerbank clone. Pastikan anda membeli produk yang original ✔
.
Ciri-ciri Pineng ORIGINAL:
✔ Body lebih berat
✔ Tiada PASIR kat dalam tongue emoticon
✔ Permukaan body powerbank lebih halus/smooth
✔ Font specs pada belakang powerbank tidak terlalu 'bold'
✔ Code pada barcode setiap kotak adalah berlainan
✔ Boleh gores QR Barcode, verify code pada lama web officialhttp://pineng.cn
.
HARGA ??
PN983 10000 MaH -> RM65
PN963 10000 MaH -> RM65
PN999 20000 MaH -> RM85
PN989 20000 MaH -> RM85
PN920 20000 MaH -> RM85
PN969 20000 MaH -> RM90 ***NEW !!!
.
Postage semenanjung + rm6 (pos laju atau skynet)
.
How to Order ?
.
1) Clicks to PM Admin sekaranghttps://www.facebook.com/messages/powerbankganu
.
Atau
.
2) hubungi segera :
 Whatsapp/SMS/Call (SyEd KaMaL) 014-5112544
 Whatsapp/SMS/Call (SyEd KaMaL) 014-5112544
 Whatsapp/SMS/Call (SyEd KaMaL) 014-5112544
.
3) COD di cabang tiga atau bandar Kuala Terengganu
.
Nama Syarikat : Kay Tee Gadget Store
No. Pendaftaran : TR-0145464-P

Rabu, 23 September 2015

Menjilid Nota Kuliah Universiti

Assalamualaikum.



Berapa Harga Sejilid Nota

Ini bukan manuskrip novel, kumpulan puisi atau kumpulan cerpen. Ini merupakan sebahagian nota sewaktu saya belajar di UPM dahulu.

Tiada istilah "pembakaran nota" selepas tamat pembelajaran bagi saya. Sebaliknya, setelah tamat belajar tiga tahun, saya jilidkan supaya nota-nota itu masih dalam keadaan selamat, tersusun dan mudah untuk sesiapapun membuatkan rujukan.

Nota ini merangkumi subjek pembelajaran seawal semester pertama hingga terakhir. Antaranya termasuklah Analisis Penyuntingan Teks dan Penulisan Laporan, Berita dan Rencana yang diajar oleh Dr. Nor Azuwan Yaakob, Perekaan dan Penerbitan oleh Pn. Jama'yah Zakaria, Penulisan Puisi dan Drama dan Penulisan Cerpen dan Novel oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan Teori Kesusasteraan oleh Dr. Kamariah Kamarudin dan lain-lain.

Barangkali ada juga yang tercicir satu dua, namun apa yang ada tidak harus lenyap dimakan api atau terbuang begitu sahaja. Biar perlu mengeluarkan modal sedikit, namun itu lebih berbaloi.

Subhanaallah, saya tidak menyangka anggapan awal saya apa yang saya belajar itu sekadar proses pembelajaran dan tidak tahulah bila masanya akan saya gunakan atau sebaliknya membeku, mengurai dan lesap begitu sahaja.

Pada ketika ini, barangkali ilmu yang saya tuntut itulah yang saya gunakan sewaktu menulis tanpa saya sedari. Terima kasih kepada "guru-guru" yang telah memaknakan harga sejilid ilmu ini kepada saya.

Isnin, 14 September 2015

Reda Seorang Guru: Pasca UPSR

Assalamualaikum.



Alhamdulillah, saya masih berpeluang untuk mencatat sesuatu pada blog ini. Sudah beberapa kali saya hendak mencatatkan tentang UPSR yang sudah belalu, tetapi asyik tertangguh. Akhirnya, pada malam ini saya nekad untuk menulis juga. 

Reda seorang guru. Besar tajuk ini untuk dihuraikan. Namun bagi seorang guru, saya reda dengan kebarangkalian yang akan berlaku. Sebelum UPSR berlangsung, kami guru-guru sudah bertindak dan merancang beberapa program yang difikirkan boleh membantu murid-murid. 

Antaranya, kelas tambahan. Kelas tambahan dijalankan pada hari Sabtu dari pukul 8.00 pagi hingga 11.30 pagi. Selain itu, aktiviti kokurikulum untuk murid Tahun 6 ditangguhkan kerana pada waktu itu, kelas tambahan dijalankan pada pukul 3.15 petang hingga 5.30 petang. 

Tidak cukup dengan itu, satu inisiatif lain diambil untuk membantu murid-murid agar persediaan mereka cukup dengan mengadakan kelas malam. Kelas malam dijalankan pada hari Isnin dan Selasa pada pukul 8.00 malam hingga 9.30 malam. Diikuti dengan hari Jumaat bermula pukul 3.00 petang hingga 10.00 malam. 

Harapan kami sebagai guru agar apa-apa yang dijalankan ini dapat membantu murid dalam menghadapi UPSR. Akhirnya, segalanya telahpun berlalu. Kita doakan sahaja semuanya baik dan apabila keputusan diumumkan nanti ada sesuatu hasil yang boleh dibanggakan. 

Inilah pengalaman pertama saya membawa murid Tahun 6 daripada Tahun 4 lagi. Entah mengapa, saya berasa amat rapat dengan mereka. Apabila menyebut murid Tahun 6 ini, sedikit sebanyak saya dapat membaca sikap dan tingkah laku mereka. Barangkali keakraban dan jalinan selama 3 tahun yang terbina itu membuatkan kami rapat. 

Sesungguhnya, harapan saya bukan sekadar sebagai seorang guru, bahkan boleh saya katakan, mereka ini seperti anak-anak saya sendiri. Saya doakan kamu semua beroleh kecemerlangan. Dan pesanan saya, jika keputusan yang kamu capai ini tidak seperti apa yang kamu hajati redalah. Tidak semestinya kejayaan itu hanya bergantung pada keputusan UPSR. Jauh lagi kembara dan pendakian yang harus ditempuhi. Cekal dan tabah menghadapinya. 

Setelah berjaya nanti, ingatlah seorang guru yang pernah mendidik dan membimbing kamu. Kejayaan bagi seorang guru bukanlah pada keputusan yang dicatat semata-mata, bahkan ingatan dan doa daripada seorang anak murid. 

Isnin, 7 September 2015

Anekdot Seorang Guru

Assalamualaikum.



Anekdot Seorang Guru saya dapatkan melalui pertukaran buku dengan penulisnya sendiri. Pertukaran ini sudah lama dilakukan, namun belum sempat untuk saya membacanya. Cuti Hari Kebangsaan tempoh hari, saya mengambil kesempatan untuk menguliti buku ini dari kulit ke kulit. Oleh itu, saya mengambil kesempatan yang ada untuk membuat catatan sedikit hasil pembacaan saya itu. 

1. Tahniah saya ucapkan kepada penulis yang berjaya menghidangkan kisah alam perguruan dan pendidikan secara santai tetapi padat isinya.

2. "Baca dan tersenyumlah" itulah coretan yang ditinggalkan oleh penulis kepada saya. Ternyata penulis dengan penuh sedar mengenali tulisannya. Ya, saya tersenyum dan terhibur membacanya.

3. Saya suka dengan kata-kata hikmat yang ditinggalkan pada setiap akhir anekdot. Sangat bermutu dan menggugah minda.

4. Diharapkan jika berpeluang buku ini dicetak ulang, dapatlah dibaiki atau disunting semula beberapa kesilapan ejaan yang dapat saya kesan. Tetapi tidaklah mengganggu kandungan buku ini.

5. Membaca buku ini membuatkan saya terinsiparasi untuk menerbitkan buku seperti ini suatu hari nanti. Bagi saya, buku ini adalah cara lain kepada guru-guru yang berminat untuk menulis tetapi tidak tahu caranya. Caranya tulislah dari hati berdasarkan pengalaman.

Kalau tak percaya cubalah beli dan baca buku ini. Bak kata penulisnya: Kritikan yang jujur lebih baik daripada pujian yang tidak ikhlas.

Isnin, 17 Ogos 2015

Novel Berbaur Lucah Memenuhi Pasaran Terbuka

Assalamualaikum.

Apa faedahnya baca novel? Ada banyak perkara lagi yang aku boleh fikir selain daripada nak ambil tahu novel apa yang terbaru? Terbitan mana? Siapa penulisnya?

Haah..elok sangatlah begitu. Sampaikan murid kau bawa novel berbaur lucah pun kau tak tahu. Yang kau tahu, bagus. Teruskan membaca.


Murid pun dapat tahu guru yang banyak membaca dengan guru yang tidak suka membaca. Kalau setakat reaksi guru tu..oh..oh...oh...alamatnya mudahlah terpedaya dengan kelicikan murid zaman sekarang ni.
.............

Murid saya tiba-tiba berubah wajah apabila saya menyapanya. Baca novel apa? Tengok sekejap? Oh, ini terbitan ....? Kan saya dah cakap, jangan baca novel terbitan ni. 

Sebab .... belum sempat saya sambung, murid tu dah sambung. Mana kamu tahu? Cikgu kan dah pernah bagitahu, jangan baca novel terbitan ni.

Jadi kepada ibu bapa dan guru ambil tahulah sikit tentang dunia penerbitan novel di negara kita ini. 

Mana yang baik, mana yang tidak. Jika novel yang sebegini sudah dibaca oleh murid sekolah rendah, rosaklah akhlaknya.


Gunakan akal yang waras ketika menulis

Lelaki (penulis) mempunyai 9 akal dan 1 nafsu. Perempuan (penulis) mempunyai 1 akal dan 9 nafsu. Gunakanlah sebaik mungkin anugerah (fitrah) ini ke arah amal makruf nahi mungkar.

Andai sekalipun kau tidak berupaya melakukan kebaikan, jangan kau menyeru untuk melakukan kejahatan.

Saya pesan kepada diri sendiri terlebih dahulu dan rakan-rakan penulis supaya janganlah kita merosakkan akhlak anak-anak remaja kita dengan menawarkan bahan bacaan berbaur lucah ini. 

Menulislah untuk ibadah, bukan memikirkan keuntungan semata-mata. Biarpun di dunia kita dapat mengaut kemewahan tetapi di akhirat pula kita mengumpul dosa yang teramat berat. Percayalah setiap apa yang kita tulis itu akan dihisap di akhirat kelak.

Sabtu, 25 Julai 2015

Kad Raya Masih Relevan?

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, masih diberi kekuatan untuk menulis dalam blog ini. Biarpun sudah lama tidak menerbitkan entri baharu, namun sesekali saya bertandang juga ke sini. 

Ramadan telahpun berlalu. Kini kita sedang berada di bulan Syawal. Saya kira belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakan blogger semua. Maaf zahir dan batin. 

Kad raya masih relevan? Biarpun zaman teknologi semakin berkembang pesat dengan kemudahan SMS, Whatsapp, Twiter, FB dan sebagainya, namun kehadiran kad raya tidak pernah lekang dek panas, lapuk dek hujan. 

Terima kasih saya ucapkan kepada pihak ITBM sebagai penerbit buku Tetamu Istimewa dan Madu di Tangan yang sudi mengutus kad hari raya dan jemputan Majlis Sambutan Aidilfitri nanti kepada penulis yang kerdil ini. Terima kasih juga kepada rakan blogger Kak Kathy, rakan guru dan SISC+ saya yang sudi mengutus kad hari raya kepada saya. Saya amat hargai.


Isnin, 25 Mei 2015

Buku, Saya dan Penulis

Assalamualaikum.

Sesekali menulis dalam blog ada kepuasannya walaupun jarak berselang hari ataupun bulan berbanding Facebook yang setiap hari diuliti. 



Rasa tidak lengkap catatan pada tahun ini sekiranya saya tidak berkongsi tentang hasil belian buku saya sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2015. 

Pada tahun ini seperti biasa, saya memilih untuk ke sana berseorangan. Saya berasa lebih selesa kerana saya boleh berlama dan mencatur arah tuju di mana dan ke mana harus saya berada untuk memburu buku. 

Pada PBAKL 2015 saya tidak "merayau" ke banyak reruai. Pilihan saya hanya beberapa sahaja seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Utusan Publications, Ana Muslim, Karangkraf dan beberapa lagi. Reruai ITBMlah saya berlama di sana. 

Buku merupakan "makanan" saya sebagai penulis. Ada yang menyatakan bahawa pembaca tidak semestinya penulis, tetapi penulis ialah pembaca. Dalam kata lain, untuk menjadi penulis yang berilmu dan berjaya haruslah membaca. 



Pasti ramai yang tertanya-tanya bolehkah saya menghabiskan bacaan buku sebanyak ini? Susah juga untuk saya menjawabnya kerana proses membaca dan waktu membaca itu tidak pernah tamat. Ada buku yang tersusun itu sukar untuk diperolehi. Jadi, apabila ada peluang untuk membelinya saya akan membelinya tanpa memikirkan pada waktu bila untuk saya membacanya. 

Seperti yang pernah saya maklumkan bahawa saya berhasrat untuk memiliki perpustakaan mini yang menghimpunkan sejumlah koleksi buku saya. Jika benar perpustakaan ini memiliki manfaatnya bukan untuk saya seorang, sudah pastilah bakal dibukakan kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk membaca dan membuat rujukan. Wallahuaklam.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78