Pengikut

Sabtu, 29 Jun 2013

Projek Mural di Sekolah (i)

Assalamualaikum semua. Selamat berhujung minggu. Hari ini sekolah saya telah mengadakan satu program. Program ini merupakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADP) berkaitan i-THINK, LINUS dan Keselamatan untuk semua guru.

Pada hari ini juga sekolah saya sibuk menyiapkan mural di dinding sekolah. Saya memuji sikap guru-guru yang kreatif, rajin dan memberikan komitmen yang baik. Jika tidak ada kerjasama dan persefahaman pasti semua kerja tidak akan berjalan dengan lancar. Berikut merupakan beberapa hasil kerja kreatif guru-guru.

Di Pusat Sumber




Insya-Allah, saya akan kongsikan beberapa hasil kerja guru yang lain pula untuk entri akan datang.

Jumaat, 28 Jun 2013

Guru Kreatif Murid Aktif


Menjadi guru bukanlah sudah cukup sempurna. Apatah lagi dunia sekarang ini ledakan maklumat amat pantas sekali. Justeru, guru bukan sahaja perlu menyerap segala cabaran itu, malahan perlu memandang jauh lebih ke hadapan. Oleh itu, setiap guru harus meningkatkan tahap keprofesionalisme keguruannya untuk maju ke hadapan. 

Semalam saya telah menghadiri kursus POGRAM GURU KREATIF MURID AKTIF, yang diadakan di Pusat Kegiatan Guru Kalumpang, Selangor. Program ini dikhususkan kepada guru bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah. 

Sebelum saya menghadiri kursus ini saya pernah membaca majalah Wadah Siswa (majalah dalam kelas). Tidak sangka pula, penceramah kursus ini ialah orang yang menjadi tulang belakang penerbitan majalah ini iaitu Encik Azizul Rahman Abdul Rahman

Bagi saya penceramah yang merupakan mantan guru cemerlang bahasa Melayu Jusa C ini telah melalui era pendidikan yang sudah lama. Pengalaman itu sedikit sebanyak telah dikongsikan dalam kursus ini. Di samping itu, pengisian kursus yang menarik tentang teknik pengajaran melalui Didik Hibur, Apresiasi Sastera dan penumpuan ke arah peperiksaan (penulisan) sangat membantu saya. Terima kasih saya ucapkan. Biarpun kursus ini menjurus kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah menengah terutamanya KOMSAS, tetapi sedikit sebanyak kaedah yang dikongsikan sangat membantu guru sekolah rendah juga. 

Sewaktu aktiviti pembengkelan guru sekolah menengah akan menggunakan Wadah Siswa dan guru sekolah rendah menggunakan Dewan Pelajar sebagai bahan. 

Selain mendapat majalah Wadah Siswa percuma beliau turut menjemput Dewan Bahasa dan Pustaka bahagian majalah untuk turut serta. Apabila DBP ada, sudah tentulah penjualan majalah turut berlangsung. Saya mengambil kesempatan untuk membeli majalah Dewan Bahasa dan Dewan Tamadun Islam. Saya fikir, guru bahasa Melayu haruslah banyak membaca terutama majalah yang berkaitan bahasa. Tidak salah untuk membeli Pelita Bahasa kerana kandungannya sangat membantu untuk mencambah idea. 

Kata-kata penceramah; "untuk belajar bahasa mahu tidak mahu hendaklah banyak membaca." Daripada pembacaan dapat menambah kosa kata, menggayakan bahasa dengan gramatis dan sebagainya. 

P/S: Saya gembira sangat apabila blog saya kembali meriah dengan pembaca yang aktif mengomen dan memberi respon. Terima kasih.


Rabu, 26 Jun 2013

Belaian Gerimis Membakar Ilusi Jerebu



Gerimis mula turun lewat petang semalam. Sesekali menyergah garang. Belaiannya amat dinanti-nantikan oleh seluruh warga yang dikaburi ilusi jerebu. Sejak berkabung dipenjarai topeng jerebu, lazuardi mula membiru dan menjernihkan harapan. Nafas yang mengibar penuh pengharapan, kembalikan suci meneruskan perjalanan kehidupan. Terima kasih Ya Tuhan ku.

Selasa, 25 Jun 2013

Seputar Dunia Penulisan Bersama Dua Penulis Wanita

Ada sesiapa yang membaca Harian Metro hari ini? Sudah tentu ada bukan. Dengan tajuk sensasinya di muka depan - "KEKASIH IBLIS" 

Pasti juga ada pembaca yang mengikuti siri Novel Bersiri CIKGU RANIA yang memasuki siri akhir hari ini. 

Namun perhatian saya tertumpu pada dua artikel dalamnya. Satu artikel tentang penulis yang disegani ramai iaitu Zurinah Hassan. Keduanya pula berkenaan seorang lagi penulis novel Azzah Abdul Rahman. Sesungguhnya saya lebih mengenali walaupun bukan secara dekat penulis Zurinah Hassan daripada Azzah Abdul Rahman. 

Perkongsian mereka tentang seputar dunia penulisan yang ditukangi memberi sedikit sebanyak motivasi kepada saya terutamanya untuk terus berjuang dalam dunia penulisan ini. 

Kredit foto daripada Harian Metro

Tahniah diucapkan kepada Zurinah Hassan yang bakal menerima Anugerah Sunthorn Phu daripada Thailand. Perhatikan bagaimana negara luar menghargai penyair atau penulis yang bukan sahaja daripada penulis tempatan bahkan luar. Turut menerima anugerah tersebut ialah penulis dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, dan Vietnam.

Kredit foto daripada Harian Metro

Azzah Abdul Rahman juga merupakan pengasas Hero Edutainin Services (Akademi Hero) dan Nuun Creative Books. Akademi Hero memberi peluang kepada individu yang berminat untuk menulis untuk menyertai latihan dan bimbingan penulisan di bawah kendalian Akademi Hero. Tahniah diucapkan. 

Isnin, 24 Jun 2013

Jerebu Menyerang Batang Kali


Hari ini sekolah saya bercuti akibat jerebu yang menyerang Batang Kali. Sebelum ini hanya mendengar dan membaca berita hanya di kawasan Johor, Melaka yang terlibat dengan jerebu. Alih-alih barangkali perubahan angin menyebabkan jerebu itu beralih pula ke kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

Jadi kepada semua penduduk Malaysia yang terjejas dengan jerebu dinasihatkan supaya kurangkan aktiviti riadah dan lebih baik duduk saja di dalam rumah. Anda digalakkan banyak minum air. Sekiranya perlu keluar dari rumah, bolehlah menggunakan topeng. 



Ahad, 23 Jun 2013

Cerpen: Apabila Ayah Berkaca Mata Hitam di Tunas Cipta

Assalamualaikum pembaca semua. Selamat bertemu kembali. Saya telah meninggalkan beberapa hari dunia blog ini. Hal ini kerana enjin carian untuk mengakses internet saya mengalami masalah hingga saya tidak dapat mengakses internet. Alhamdulillah, setelah "berubat" akhirnya berjaya juga diselamatkan. Terima kasih kepada rakan saya yang sudi membantu.

Kredit foto daripada Dawama

Saya menerima ucapan tahniah daripada beberapa rakan tentang cerpen saya yang berjudul APABILA AYAH BERKACA MATA HITAM di Tunas Cipta, Jun 2013. Terima kasih semua. Hingga hari ini saya belum berpeluang melihat karya itu. Harapan saya, majalah langganan saya itu telah selamat sampai. Terima kasih juga kepada editornya yang masih memilih cerpen ini.

Cerpen ini telah lama saya tulis dan hantar. Namun baru bulan ini diterbitkan. Walau bagaimanapun, saya mengharapkan cerpen ini mampu meninggalkan kesan yang positif kepada pembaca. Kepada pembaca yang telah membaca cerpen ini saya mengalu-alukan pandangan anda.

Daripada sejumlah majalah terbitan DBP, saya pernah berkarya untuk kesemua majalahnya kecuali Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam dan Dewan Ekonomi. Terima kasih DBP yang memberi peluang dan menyediakan wadah untuk saya berkarya. 

Sekian.

Selasa, 18 Jun 2013

Salina, Perempuan Pujaan Ramai


Selama ini saya hanya mendengar orang memperkatakan tentang Salina. Ada sesekali pernah membaca beberapa tulisan yang juga memperhebatkan Salina dalam dunia kesusasteraan Melayu negara. Sejak daripada itu, saya menyimpan hasrat untuk cuba menyunting Salina. 

Bagaimanapun, adalah sudah menjadi lumrah apabila sesuatu yang istimewa itu hangat menjadi buruan pastilah sukar untuk ditemui. Kadang-kala kecewa juga dibuatnya. Mengapa tidak, setelah kepopularannya itu melanda tanah air mahupun luar negara setelah diterjemah dan dikaji oleh banyak orang, Salina tidak dimasyarakatkan supaya kebagusannya itu dapat dikongsi serata. 

Saya dapat mengetahui yang Salina dicetak semula oleh Wirabukit melalui laman blog. Oleh itu, saya mencarinya. Di pihak Wirabukit, Salina sudah habis. Saya perlu mencari di Popular, tempat Salina dipasarkan. Terima kasih kepada kawan saya yang bertindak sebagai orang tengah untuk mendapatkan Salina. Moga, tidur malam saya nanti tidaklah kesepian. 

Isnin, 17 Jun 2013

Berita Bahasa: Pertandingan Teater Cungkil Bakat Murid di Pelita Bahasa


Alhamdulillah, berita bahasa saya yang berjudul PERTANDINGAN TEATER CUNGKIL BAKAT MURID tersiar di Pelita Bahasa, Jun 2013. Boleh semak di SINI. Terima kasih kepada editornya yang memilih berita ini untuk dimuatkan dalam ruangan Berita Bahasa, Pelita Bahasa. Berita ini merupakan berita ketiga saya yang disiarkan di Pelita Bahasa. 

Tahniah juga kepada murid sekolah rendah dan menengah bersama guru pengiring merangkap pembimbing atas kejayaan menyertai pertandingan teater ini. Kepada yang memenangi dalam pertandingan ini, tahniah. Kepada yang kurang bernasib baik, boleh cuba lagi tahun depan. 

Moga untuk tahun depan juga, akan lebih banyak penyertaan dari sekolah-sekolah daerah Hulu Selangor khasnya.

Khamis, 13 Jun 2013

Menghayati Budaya Menghargai Buku di Dewan Sastera


Alhamdulillah, setelah berceloteh panjang untuk entri sebelum ini, dapat juga saya menatap tulisan saya dalam bentuk visual dan cetakan.

Semuanya bermula selepas waktu sekolah apabila saya ke kedai mamak di Batang Kali. Tatkala saya ralit membelek surat khabar, pekedai itu menyapa saya: "Abang tanya Dewan Sastera hari tu kan? Itu dah sampai".

"Sebenarnya, kita memerlukan bukan sahaja golongan pekedai yang sanggup menjual bahan berilmu tetapi golongan pekedai yang berilmu tentang bahan yang dijualnya. Pekedai yang menjual buku haruslah mencintai atau sekurang-kurangnya menyukai buku yang dipamerkan di kedainya. Sekiranya mampu, mereka seharusnya mengesyorkan kepada pembaca...." (Dewan Sastera, Jun 2013)

Ya, sememangnya saya pernah menyuarakan supaya pekedai itu memesan kesemua majalah DBP termasuk Dewan Sastera. Walaupun telah melanggan Dewan Sastera dengan Dawama yang belum lagi sampai, dengan rasa keterujaan untuk melihat tulisan saya itu, saya membelinya.

Berbanding sikap yang ditonjolkan oleh sesetangah pekedai. Bukan sahaja "garang" malah tidak mesra pembaca. Saya pasti, apa-apa yang saya ceritakan dalam artikel ini pernah anda sendiri alami. 

Kepada pembaca di Batang Kali yang hendak mendapatkan majalah terbitan DBP Jun 2013, boleh dapatkan di kedai mamak, berdekatan dengan kedai makan Maju Iman. 

Rabu, 12 Jun 2013

Penghormatan daripada Dewan Sastera


Alhamdulillah, seperti tidak percaya apabila melihat Facebook Dewan Sastera Jun 2013 (jangan bertanya kepada saya, adakah saya sudah memiliki Facebook, kerana FB majalah terbitan DBP boleh dilihat oleh sesiapa sahaja, walaupun tidak memiliki akaun FB). 

ORASI : MENGHARGAI BUDAYA MENGHARGAI BUKU (begitulah tajuknya-saya kurang pasti sama ada tajuk itu betul ataupun tidak kerana judul yang dihantar untuk dipertimbangkan berlainan sedikit). Tambahan pula saya belum memiliki majalah tersebut. Boleh semak di SINI

Setahu saya Orasi merupakan kolum baharu yang dikhususkan buat pengarang muda melontar pandangan. Ruangan ini pernah dirasmi oleh S.M ZAKIR dalam Dewan Sastera September 2012 dengan tajuk Sastera, Revolusi dan Penjajahan Benda. Rujuk di SINI

Bagi saya ini merupakan penghormatan istimewa daripada Dewan Sastera kepada saya yang masih hijau dalam dunia penulisan ini. Siapalah saya jika hendak dibandingkan dengan penulis muda yang lain. 

Saya hantar artikel atau rencana ini bukanlah khusus untuk ruangan Orasi, tetapi sekadar reaksi saya terhadap dunia buku dan penerbitan. Jauh sekali terfikir diberi penghormatan sebegitu besar seperti ini (biarlah orang menganggap saya ini berlebih-lebih dengan melahirkan perasaan yang entah apa). Bagi saya, usaha yang dilakukan dengan penuh kesungguhan dengan daya tenaga dan fikir harus dirai untuk membangkitkan semangat. Semangat itu bukan untuk menunjuk riak apatah lagi untuk bermegah-megah, sebaliknya sebagai tali pegangan untuk menapak maju ke hadapan.

Tersiarnya artikel itu bukan bermakna sifatnya telah sempurna. Barangkali masih ada ruang yang boleh diperbaiki. Saya menerima apa-apa sahaja reaksi daripada pembaca barangkali yang datangnya daripada penulis mapan tanah air. 

Sebelum ini karya saya hanya mendapat tempat di ruangan Surat kepada Editor dan Puisi Bulan Ini. Walaupun pernah mencuba untuk ruangan cerpen. Bagaimanapun, rezeki saya masih belum berpihak kepada saya. Saya perlu melipat kali ganda usaha untuk terus meningkatkan mutu penulisan saya.

Kepada penulis muda atau bakal penulis, janganlah berasa malu untuk menghantar karya walaupun ruangan itu sekadar cerbisan sekecil-kecilnya. Lebih baik daripada memburu ruangan sebesar-besarnya yang barangkali mendedahkan kelompangan kita. Peganglah prinsip, menulis untuk berkongsi ilmu. Biar pada mana pun ruangan itu, puas bagi saya jika apa-apa yang ditulis sampai dan dapat dibaca oleh pembaca sekalian.

Kepada yang tidak jemu menyokong dan melontarkan ucapan "tahniah" setiap kali karya saya disiarkan di media, saya amat menghargainya. Tidak dilupakan juga kepada editor-editor yang pernah menyiarkan karya saya.


Selasa, 11 Jun 2013

Ulasan Buku: Pertembungan Budaya dan Adat Resam


Alhamdulillah, ulasan buku saya yang berjudul PERTEMBUNGAN BUDAYA DAN ADAT RESAM telah disiarkan di Mingguan Malaysia, semalam 9 Jun 2013. Terima kasih kepada editornya kerana memilih ulasan ini. 

Setelah kali pertama saya membaca buku ini, saya melihat wacana dalam cerpen yang termuat dalam kumpulan ini banyak mengetengahkan budaya masyarakat Kadanzandusun. Jadi, saya cuba menulis sesuatu tentang bahan tersebut. 

Walaupun kumpulan cerpen ini sekadar karya kreatif, namun penulis berjaya memasukkan ilmu bantu yang dapat memperkayakan pemahaman pembaca tentang budaya dan adat resam yang dibawa. Tahniah diucapkan kepada penulis.

P/S: Jangan lupa kepada pembaca yang ingin mengikuti cerpen bahagian kedua Pulang Tanggang Memuliakan Cinta di Utusan Melayu Mingguan hari ini.



Sabtu, 8 Jun 2013

Dari Karya Eceran ke Buku

Sememangnya saya mengimpikan untuk memiliki kumpulan cerpen dan puisi sendiri. Namun begitu, belum sampai masanya lagi walaupun usaha ke arah itu telah dilakukan. Saya masih bersabar menanti. 

Bagi saya daripada karya yang tersiar secara eceran di media baik surat khabar ataupun majalah perlu dibukukan menjadi kumpulan cerpen mahupun puisi sama ada secara persendirian ataupun bersama (antologi). Hal ini memudahkan proses dokumentasi dilakukan baik untuk tujuan rujukan, bacaan dan sebagainya. 

Baru-baru ini sewaktu ke PBAKL 2013, saya telah membeli sebuah kumpulan cerpen Allahyarham Azizi Haji Abdullah, SEPI MAKIN MEMANJANG. Saya akui, sememangnya saya meminati karya penulis ini. Kumpulan cerpen yang menghimpunkan 20 buah cerpen ini telahpun disiarkan secara eceran di pelbagai media terutama Dewan Sastera. 

Ada antara cerpen yang termuat dalam kumpulan ini telah pun saya baca sewaktu disiarkan secara eceran seperti Sepi Makin Memanjang, Sang Wahabi Mencari Tuhan, Seorang Melayu di Tengah-tengah Bandar Raya, Manto Tangkap Toman, Ilaihi Rajiun, Nilai Cinta Kami dan Jusoh, Aku Pun Nak ke sana. Selebihnya, cerpen lain belum pernah lagi saya baca di mana-manapun. 

Sayangnya, kumpulan cerpen ini terbit selepas beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Boleh saya katakan, cerpen yang termuat dalam kumpulan ini merupakan karya terkini beliau. Paling mutahir ialah Sepi Makin Memanjang yang disiarkan di Dewan Sastera Ogos 2010

Setelah membaca keseluruhan kumpulan cerpen ini, dan karya-karya beliau sebelum ini, terdapat gaya bahasa (langgam) yang tidak dimiliki oleh penulis lain. Oleh hal demikian, saya bercadang untuk menulis sesuatu tentang hal itu. Data telah saya perolehi, tinggal lagi untuk menulisnya. Harap-harap dapatlah saya sudahkan.

Kepada yang belum memiliki buku ini, ayuh dapatkan segera. Hanya RM 23.00. Terbitan DBP. 



Rabu, 5 Jun 2013

Cerpen: Pulang Tanggang Memuliakan Cinta di Utusan Melayu Mingguan


Alhamdulillah, cerpen saya yang berjudul PULANG TANGGANG MEMULIAKAN CINTA telah disiarkan di Utusan Melayu Mingguan semalam, 3 Jun 2013 (bahagian 1). 

Pernahkah anda terfikir, bagaimana nasib seorang anak buangan yang dibuang oleh "ibu" atau "bapa" di tempat peribadatan agama lain selain Islam iaitu masjid. Bagaimana pula liku kehidupan anak tersebut sekiranya, pemungut atau pengambil anak tersebut menyembunyikan identiti anak tersebut tanpa melaporkan kepada pihak bertanggungjawab dan mempertaruhkan nasib untuk membesarkan anak tersebut. 

Dan, suatu hari "ibu" atau "bapa" anak tersebut muncul dan mengaku bahawa dialah yang telah membuang anak tersebut dan wajah yang tampil itu mengenakan hijab, sudah tentulah perasaan yang bergalau di hati berlibang-libu. Bukan kerana hanya cara kehidupannya yang berbeza, malah pelbagai lagi budaya yang mendewasakannya turut tidak sama.

Ikuti bahagian kedua cerpen ini minggu depan. Kepada yang telah membaca bahagian pertama boleh memberi pandangan. Saya amat mengalukannya.

Nota: Kepada yang hendak menulis cerpen di Utusan Melayu Mingguan, haruslah bijak mengawal penulisannya kerana cerpen di ruangan ini sangat terhad (pendek). Jumlah perkataan antara 1100 hingga 1300 patah perkataan sahaja. Perangkaan ini bukan ditetapkan oleh pihak editor, tetapi bersandarkan pengalaman saya itulah jumlah yang ideal.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78