Pengikut

Jumaat, 13 Februari 2015

Julat Gred Markah Peperiksaan Sekolah Rendah dan Menengah 2015

Assalamualaikum.



Sistem pendidikan sekolah di Malaysia walaupun dikatakan sudah mengalami transformasi, namun masih terikat dengan peperiksaan ataupun pentaksiran. Pentaksiran dilakukan untuk menguji sejauh mana pencapaian murid dalam satu-satu aspek, bidang, tema, tajuk yang telah dipelajari. 

Kini, setelah persaingan yang semakin sengit, membuatkan satu mekanisma terkini perlu dilakukan yang mana julat gred pemarkahan peperiksaan bagi sekolah rendah dan menengah dikemaskini. Hal ini dikatakan perlu agar penakrafan kualiti murid adalah pada aras tertinggi. 

Jenis Peperiksaan


Jenis peperiksaan Sumatif untuk D4, D5, T1, T2 dan T3 (PBS)

Untuk murid D4, D5, T1 dan T2, jenis peperiksaan yang berkenaan:
Ujian 1 / Sumatif 1
Peperikasaan Pertengahan Tahun / Sumatif 2
Peperiksaan Akhir Tahun / Sumatif 3.

Untuk murid T3:
Ujian 1 / Sumatif 1
Peperikasaan Pertengahan Tahun / Sumatif 2
PT3 (masih dalam perbincangan. Gred sahaja).

Julat Gred Sekolah Rendah


Julat Gred SR Untuk Tahun 2015 Untuk D6, julat gred yang lama masih digunakan:
80 - 100 --> A
60 -- 79 --> B
40 -- 59 --> C
20 -- 39 --> D
01 -- 19 --> E
00 --------> TH

Untuk D4 dan D5, berikut ialah julat gred yang baru:
85 - 100 --> A
70 -- 84 --> B
60 -- 69 --> C
50 -- 59 --> D
40 -- 49 --> E
01 -- 39 --> F
00 --------> TH

Jika semua subjek mendapat E masih dikira Menguasai (LULUS), tetapi jika ada walaupun 1 subjek mendapat F maka keputusannya Tidak Menguasai (GAGAL). 

Julat Gred Menengah Rendah


Julat Gred Menengah Rendah Untuk Tahun 2015  
85 - 100 --> A
70 -- 84 --> B
60 -- 69 --> C
50 -- 59 --> D
40 -- 49 --> E
01 -- 39 --> F
00 --------> TH

Jika semua subjek mendapat E masih dikira Menguasai, tetapi jika ada walaupun 1 subjek mendapat F maka keputusannya Tidak Menguasai. 

Julat gred MA Untuk Tahun 2015.
Berikut ialah Julat Gred MA yang baru:
90 - 100 --> A+
80 - 89 ---> A
70 - 79 ---> A-
65 - 69 ---> B+
60 - 64 ---> B
55 - 59 ---> C+
50 - 54 ---> C
45 - 49 ---> D
40 - 44 ---> E
01 - 39 ---> G
00 - 00 ---> TH 

Subjek Wajib Lulus Untuk Ting.4 dan Ting.5 2015 Murid Ting.4, subjek wajib lulus ialah BM, Sejarah dan BI.
Murid Ting.5, subjek wajib lulus ialah BM dan Sejarah. 

Sumber: SAPS

Ahad, 8 Februari 2015

Permohonan Kemasukan ke IPG Sesi 2015/2016

Assalamualaikum.



PERHATIAN: Permohonan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) Ambilan 2015/2016 dibuka pada 15 Februari 2015. Calon-calon boleh membuat permohonan online pada 17 Februari 2015. Calon boleh membuat permohonan melalui Aplikasi Permohonan Program Perguruan Kementerian Pendidikan Malaysia


Calon dinasihatkan supaya menyemak Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia dari masa ke masa di http://www.moe.gov.my/

Cara Memohon:

1. Permohonan hanya boleh dibuat secara dalam talian (online) dengan melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia di alamat: http://www.moe.gov.my mulai 17 Februari 2015.
2. Permohonan akan ditapis berdasarkan syarat kelayakan dan kriteria oleh KPM. Pemohon yang terpilih mesti menduduki dan LULUS Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) sebelum layak dipanggil temu duga.
3. Pemohon dinasihati melayari laman sesawang : http://www.moe.gov.my bagi mendapatkan maklumat iklan, Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG), temu duga, syarat bidang pengkhususan dan gred minimum serta kalendar aktiviti sebelum membuat permohonan.
4. Pemohon dibenarkan mengemukakan SATU (1) permohonan dan boleh mengemaskini pada bila-bila masa sahaja sehingga tarikh permohonan ditutup. 
5. Permohonan hendaklah disahkan dan dihantar sebelum tarikh tutup permohonan. Permohonan yang berjaya dihantar akan menerima nombor rujukan sebagai pengesahan.
6. Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap boleh mengakibatkan permohonan ditolak.


Iklan Permohonan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) 
Dengan Kepujian Ambilan Jun 2015


Tarikh Tutup Permohonan: 8 Mac 2015 (11.59 malam)

#Permohonan Kemasukan ke IPG Ambilan Jun 2015
#Permohonan Guru IPG Ambilan Jun 2015
#Syarat permohonan IPG 
#Bidang pengkhususan IPG 
#Permohonan online IPG 2015

Sabtu, 7 Februari 2015

Sinopsis Novel Di Sebalik Dinara KOMSAS Tingkatan 4

Assalamualaikum.


Seperti yang sedia maklum, Novel di Sebalik Dinara karya Dayang Noor telah digunakan untuk kajian KOMSAS Tingkatan 4 bagi Zon Sabah, Sarawak, Labuan dan Johor

Oleh itu, sedikit perkongsian tentang sinopsis novel Di Sebalik Dinara ini untuk setiap bab. 

Kupasan lengkap tentang Tema, Persoalan, Plot, Watak dan Perwatakan, Latar, Gaya Bahas, Nilai dan Pengajaran dalam novel Di Sebalik Dinara boleh ke laman Cemerlang A+ BM SPM.



BAB 1

Farisha seorang gadis yang bertugas sebagai jurutera keselamatan sistem baru sahaja selesai bermesyuarat di NusaJaya. Semasa berada di Lapangan Terbang Senai, Farisha berkenalan dengan Aqram dan secara kebetulan mereka duduk bersebelahan di dalam kapalterbang ke KLIA.  Farisha agak teruja melihat jam tangan yang dipakai oleh Aqram yang  merupakan pusat kawalan elektronik peribadinya. Sesampainya di pintu apartmentnya, Farisha terperanjat sekali lagi apabila melihat pintunya juga telah terpasang “retinal scanner”. Farisha terpaksa menunggu Shida  kawan serumahnya yang sedang bermain skuasy dengan JUJU sebuah android untuk masuk ke apartment mereka. Farisha ingin tidur awal kerana besok dia akan menghadiri satu simposium di Hotel Renaissance. Dalam masa yang sama rupa-rupanya Aqram sudah dapat mencuri cawan minuman Farisha semasa di dalam kapal terbang tadi dan dapat bekerjasama dengan Dr.Maxi untuk mengkaji DNA Farisha.

BAB 2

Pada keesokan harinya Farisha dan Rosman pembantunya menghadiri sebuah simposium yang  akan dirasmikan  oleh Phillips Young,  Presiden Persatuan Penggodam Antarabangsa. Bermula daripada pendaftaran, pencetakan bahan, sehingga mengatur kedudukan dalam simposium tersebut semua diuruskan oleh robot. Sehinggakan Farisha berasa kecewa kerana Phillips Young menyampaikan ucaptama beliau hanya melalui hologram sahaja. Tanpa diduga Farisha bertemu lagi dengan Aqram. Dalam pertemuan ini Aqram  menyatakan keinginannya mencari  jururunding untuk sebuah projek mini di makmalnya. Dalam pada itu Aqram telah berjaya menerobos fikiran Farisha menggunakan penetrator berupa sebatang pen berwarna perak. Tetapi pendinding WALL yang dimiliki oleh Farisha dapat  menangkis segala maklumat yang dikumpul dalam ingatan Aqram. Sebenarnya Aqram sudah sebulan cuba menjejaki Farisha untuk dibawa ke Soft Lab untuk menyelamatkan Dinara.

BAB 3

Berikutan dengan tawaran Aqram yang ingin mencari jururunding untuk satu projek, Farisha dan Rosman telah menghubungi Aqram. Aqram bersetuju membincangkan perkara itu di Puchong, berjumpa dengan Karl. Karl seorang yang pernah menerima anugerah inovasi peringkat kebangsaan tiga tahun dahulu. Tetapi sebelum berjumpa dengan Karl, Aqram telah memperkenalkan Farisha dan Rosman kepada Dr.Maxi dan beliau telah menawarkan RM1.5 juta kepada mereka berdua untuk tugas menggodam tiga kelompok komputer Soft Lab dalam tempoh empat minggu. Farisha meminta sedikit waktu untuk membuat keputusan. Sebelum pulang Farisha dan Rosman diberi peluang untuk melihat Karl yang terlantar sakit barah. Projek Dinara yang diteraju oleh Karl terhenti kerana dia sakit.

BAB 4

Pada hari Isnin berikutnya, Farisha bersetuju berjumpa dengan Aqram di Soft Lab di Cyberjaya. Farisha menumpang kereta Shida  yang kebetulan ada temu janji dengan Khairul Anwar di Soft Lab juga. Bangunan Soft Lab dilengkapi oleh sistem keselamatan yang canggih termasuklah penggunaan imbasan tangan dan retina mata. Aqram juga menunjukkan beberapa bilik dan ruang di situ yang canggih dan lengkap. Farisha amat teruja, terutamanya apabila dia memasuki pusat data. Itulah Dinara yang memuatkan hampir semua aplikasi dan data. Di sinilah Farisha mendapat kepastian bahawa tugasnya ialah menggodam dan mengukuhkan sistem Dinara.  Pada petangnya barulah tugasan Farisha dan Shida selesai dan mereka pulang bersama-sama. Namun dalam masa yang sama Dr.Maxi, Aqram, dan Khairul Anwar mengadakan perbincangan. Rancangan mereka hampir berjaya mendapatkan Farisha dan Shida untuk berada di Soft Lab untuk menjayakan rancangan mereka. Mereka amat perlukan Shida juga sebagai  physical backup kepada Farisha. Mereka akan mengusahakan untuk memasukkan mikrocip ke dalam tubuh Shida, sebagaimana yang ada dalam tubuh Farisha. Pada malam itu juga Dr.Maxi akan memadamkan beberapa ingatan dan perasaan  Alia sebuah cyborg canggih supaya ia tidak akan mengganggu rancangan yang diatur  untuk Farisha  dan Shida.

BAB 5

Keesokan harinya Farisha dan Shida mula bekerja di Soft Lab.Shida dibawa oleh Khairul Anwar ke Arkib manakala Farisha diberikan taklimat oleh Alia tentang semua kod program yang ada dalam Soft Lab. Pada sebelah petang  Aqram pula memberi taklimat kepada Farisha. Aqram menjelaskan bahawa Karl yang telah membangunkan teknologi hypervisor di dalam  Dinara, tetapi  Dinara sekarang  sudah diceroboh dan penceroboh telah berjaya menyusupkan satu virus bom jangka yang akan memusnahkan Dinara pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Sebenarnya inilah tugas Farisha dengan bayaran RM1.5  dia perlu membersihkan virus bom jangka itu dan mengatasi semua kelemahan Dinara. Pada petang itu juga Farisha mendapat tahu bahawa Rosman tidak dapat bersama-sama dengannya bertugas di Soft Lab kerana dia terpaksa meneruskan  projek di Senawang yang telah menawarkan bayaran dua kali ganda daripada perjanjian awal.Farisha bersetuju. Farisha pulang dengan kepala yang berat memikirkan tentang Dinara yang sudah diceroboh itu. Ini bererti tugasnya amat berat. Di Soft Lab, Alia pula bertengkar dengan Dr.Maxi kerana banyak data pengetahuan dan perasaannaya telah dipadamkan dan tindakan Alia itu juga menggambarkan dia mempunyai perasaan cemburu dan tidak gemar jika ada perempuan lain ada sebarang hubungan dengan Karl. Pada masa yang sama Khairul Anwar menjelaskan bahawa Rosman tidak akan mengganggu mereka di Soft Lab lagi kerana dia telah mempengaruhi syarikat di Senawang itu untuk membesarkan lagi skop kerjanya. Pada malam itu Farisha mengalami mimpi ngeri sehingga dia terlambat bangun.

BAB 6

Pagi itu Farisha datang lewat sepuluh minit ke Soft Lab. Alia sudah sedia menunggu. Farisha berasa kepalanya berat dan dalam keadaan tidak sedar, Alia telah memasukkan mikrocip ke dalam tubuhnya dan dia dapat  berkomunikasi dengan Karl.Dalam komunikasi itu Karl meminta pertolongan daripada Farisha untuk menyelamatkan Dinara. Oleh kerana tidak dapat mengesan butiran perbualan Farisha dan Karl, Alia menjadi cemburu dan marah. Selepas beberapa ketika Farisha sedar semula dan menjadi lebih segar apabila dia makan pil yang diberikan oleh Aqram. Kerja pada hari itu berakhir dengan perbincangan dan persoalan tentang seorang penyelidik yang bernama Medina yang telah hilang di Soft Lab tanpa dapat dikesan. Hal ini diterangkan oleh Shida melalui kajiannya di Arkib.

BAB 7

Pada sebelah malam Farisha, Shida dan Rosman berjumpa di pejabat Secured Shell. Ketiga-ketiganya meneliti kontrak yang diajukan oleh Soft Lab. Sementara mereka berbincang tiba-tiba Farisha mengalami sakit kepala setelah terlihat suatu cahaya putih memancar ke arahnya. Hasrat meneliti kontrak dibatalkan dan ketiga-tiga mereka bergegas  pulang. Sementara itu mereka diberitahu oleh Uncle Seng yang berada di situ bahawa dia bergegas keluar dari kedai runcitnya kerana terlihat beberapa orang turun tangga pejabat Secured Shell dengan membawa beberapa perkakas besi termasuk suatu barang yang serupa dengan piring tv satelit. Tiada laporan polis dibuat. Dua malam selepas kejadian itu, Farisha telah diundang oleh Abang Azraai utk makan malam di rumahnya. Di sana Farisha bertemu, abang Azraai, kak Mariah dan kedua-dua anak mereka Aina dan Dina. Alangkah terharu bercampur sedih apabila dia mendapat tahu abangnya mengalami sakit jantung dan perkara kedua yang amat mengejutkannya ialah, dirinya adalah anak angkat kepada ibu dan ayahnya. Malam itu Farisha tidak dapat melelapkan mata.


BAB 8

Pada pagi itu sebelum sempat Alia membawa Farisha ke alam bawah sedar, tiba-tiba Farisha pengsan. Doktor dipanggil dan Farisha dibawa ke hospital. Aqram, Khairul Anwar dan Dr.Maxi hairan dan menurut Aqram dia sudah menyiasat latar belakang Farisha sekian lama tiada pula maklumat tentang sebarang penyakit yang membimbangkan. Sebaik saja Farisha dibawa ke hospital, Dr.Maxi, Aqram dan Khairul Anwar bergegas ke Arkib untk berjumpa Shida. Beberapa soalan diajukan kepadanya tentang latar belakang penyakit Farisha. Dr.Maxi ingin tahu sama ada Farisha mengandung.

BAB 9

Dr.Maxi, Aqram dan Khairul Anwar berbincang tentang Plan B, iaitu menggantikan Farisha dengan Shida. Namun kedua-duanya amat berbeza. Lagipun tubuh Farisha telahpun ditanam dengan mikrocip yang membolehkannya berkomunikasi dengan Karl. Karl menggunakan teknologi ini sebagai satu kaedah telepati untuk berhubung dengan Farisha. Pada jam 5.30 petang mereka akan melawat Farisha di hospital. Shida pula pulang ke rumah dan cuba mencari sebarang bukti tentang penyakit Farisha tetapi gagal. Namun Shida terjumpa satu bukti  yang menyatakan bahawa Farisha ialah anak angkat.Apabila Shida dan Rosman melawat Farisha, dia sangat lemah dan terdapat satu benjolan kecil di belakang tengkuknya.Tetapi Farisha menyatakan itu tidak apa-apa. Farisha terlena lagi. Beberapa minit kemudian, Farid dan Amin  datang  ke katil Farisha menggunakan peranti untuk mendapatkan maklumat yang sebelum ini gagal kerana ruang fikiran Farisha dilindungi oleh WALL. Tetapi kali ini meraka berjaya kerana WALL lemah apabila Farisha lemah. Selepasitu Aqram pula mencari maklumat pada badan Farisha menggunakan satu alat sepanjang enam sentimeter. Aqram mendapati alat itu bertukar menjadi warna merah yang menunjukkan tahap kesihatan Farisha tidak memuaskan. Farisha terus lena kerana abangnya Azraai meminta doktor memberi ubat tidur. Azraai juga membohongi doktor bahawa mikrocip di dalam badan Farisha yang kelihatan di CT-scand itu adalah dalam pengetahuan Farisha yang dia sendiri sukarela menjalani satu uji kaji untuk sebuah universiti. Perkara itu juga adalah amanah ibu bapanya supaya semua mikrocip itu mesti kekal dalam tubuh Farisha dan dia mesti berkhidmat di Soft Lab apabila diperlukan. Tengah malam itu Dr.Maxi menyarankan bahawa Shida akan menggantikan tempat Farisha.

BAB 10

Pada pagi itu sedang Shida membaca satu laporan tentang seorang penyelidik bernama Medina di Arkib, dia diminta oleh Alia pergi ke Makmal B. Satu pembedahan untuk menanam mikrocip telah dilakukan ke atasnya. Dia tidak diberitahu. Pada petang itu selepas sedar, apa yang dilakukan ke atas Farisha dilakukan pula ke  atas Shida. Kali ini tindak balasnya lebih teruk lagi. Tetapi Dr.Maxi berdegil dan hanya memberhentikan ujikaji ini selepas  lima minit. Ini akan merosakkan otak seseorang. Dalam masa yang sama, Farisha dalam tidak sedar dapat berkomunikasi dengan seseorang yang menyebut dirinya sebagai mummy. Di suatu tempat yang lain pula, Farid dan Amin berasa amat hairan dan dapat melihat keajaiban teknologi kerana perempuan tua yang menyuruh mereka mengekori dan berbuat sesuatu ke atas Farisha menjerit gembira dan mengatakan dia berjaya menghubungi anaknya Farisha dan dia mengaku dirinya lebih hebat daripada lelaki itu. Farid menyanggah perbuatan perempuan tua itu  kerana sanggup melakukan ujikaji  ke atas anaknya sendiri. Dia tidak peduli. Apa yang dia mahu adalah inginmembuktikan siapa yang benar dan yang lebih hebat daripada ‘lelaki’ itu.  Manakala Shida tetap murung, berada di bilik Farisha, dan tidak pulang ke rumah malam tadi. Aqram gagal menerobos mindanya dan mungkin dia juga telah menerima mikrocip WALL atau kesilapan Dr.Maxi yang tetap meneruskan ujikajinya ke atas Shida. Shida tidak mahu bercakap, makan, atau minum malah menjadi garang seperti kucing liar yang ketakutan.

BAB 11

Apabila sudah boleh bangun dan berjalan Farisha ingin mendapatkan penjelasan daripada abangnya Azraai tentang ibu kandungnya. Azraai menceritakan semua yang dia tahu tentang Farisha. Farisha menjadi adik angkatnya kerana hendak menyelamatkannya daripada dijadikan bahan ujikaji ibunya sendiri. Azraai menerangkan bahawa dia dan beberapa orang lagi telah diamanahkan menjaga keselamatan Farisha. Apabila  Farisha mendedahkan bahawa dia dapat berkomunikasi dengan ibunya, Azraai  kelihatan sangat cemas dan menyatakan bahawa Farisha dalam bahaya dan terus membawa Farisha keluar dari hospital menuju ke arah selatan. Azraai bercakap dengan seseorang dan bersetuju mendapatkan kunci rumah daripada orang tersebut di Perhentian Ayer  Keroh. Dalam pada itu Alia ditugaskan oleh Dr.Maxi untuk mempengaruhi otak Shida.  Akhirnya Dr.Maxi dapat berkomunikasi dengan Karl melalui Shida. Karl mengarahkan supaya Farisha dibawa ke situ kerana virus yang disusup ke dalam Dinara akan diaktifkan yang akan bukan sahaja memusnahkan Dinara tetapi ribuan manusia. Dia perlukan Farisha. Tetapi Farisha sudah meninggalkan Kuala Lumpur. Azraai ingin membawa Farisha ke Kulai, tetapi dalam perjalanan Farisha diculik pula oleh dua orang suruhan ibu Farisha. Dalam masa yang sama di Soft Lab  sesuatu berlaku kepada Shida. Karl bercakap melalui Shida. Karl menyatakan bahawa Khairul Anwar ialah seorang budak pengemis yang bernama Muhammad Irfan yang telah diganti ingatannya. Khairul Anwar sangat berang. Karl juga menyebut bahawa dia memukul seorang wanita sehingga menjadi cacat.


BAB 12

Penculik Farisha, iaitu Amin dan  Farid dalam perjalanan ke Seremban membawa Farisha bertemu dengan ibunya Marilyn. Dalam tidur Farisha dapat dihubungi oleh ibunya tetapi terhenti apabila brek kereta ditekan mengejut lalu Farisha terjaga. Dalam pada itu di SoftLab, Alia berkomunikasi dengan Shida dan memberitahu bahawa wanita cacat itu ialah dirinya yang dipukul oleh Karl kerana dia enggan meninggalkan agamanya dan nama asalnya ialah Rusmina. Perbualan antara Alia dan Shida dapat disaksikan oleh Dr.Maxi, Aqram dan Khairul Anwar. Ketiga-tiga mereka berasa sedih memikirkan akibat yang akan  ditanggung oleh Shida akibat pemindahan maklumat pahit dan ngeri selama 20 tahun oleh Karl ke dalam otak Shida. Berdasarkan laporan yang tersimpan di dalam Dinara Dr.Maxi juga menerangkan kepada Khairul Anwar dan Aqram bahawa ujikaji seperti itu juga pernah dilakukan tetapi gagal dan mangsanya ialah Medina. Dalam pada itu alat pengesan pintar Rosman dapat mengesan arah Farisha dilarikan. Mereka menuju Soft Lab Cyberjaya. Azraai juga menuju ke sana. Apabila tersedar Farisha menjerit-jerit dalam kenderaan yang dipandu oleh Farid dan Amin. Mereka mengherdik Farisha mengatakan dia akan bertemu emaknya yang sudah sangat lama ingin bertemu anaknya itu. Namun Farisha marah dan ketakutan  tidak mahu berjumpa perempuan itu sebaliknya dalam keadaan  kaki dan tangan terikat mahu dia dihantar kepada abangnya Azraai. Farid dan Amin tidak ambil peduli. Manakala di Soft Lab, Shida menyanyi dalam suara yang agak perlahan lagukegemaran Karl. Alia mendengar. Alia berkomunikasi dengan Karl melalui Shida lagi. Alia mendapat tahu bahawa  Karl gagal mendapatkan cinta Medina. Aqram dan Dr.Maxi sependapat mengetahui bahawa Alia tetap berasa cemburu terhadap Karl bekas suaminya walaupun sudah beberapa program dalam mindanya diubah. Mereka juga yakin bahawa Karl telah memindahkan kenangan dan pengalamannya selama 20 tahun ke dalam otak Shida. Dalam pada itu, di sebuah stesen minyak Marilyn menaiki kenderaan yang dipandu oleh Amin. Dia mendekati Farisha, menyatakan bahawa dia amat merindui anaknya itu. Namun Farisha bertegas dan marah lalu menempelak Marilyn yang dia pernah ingin membunuhnya dulu. Suis alat pemintas untuk melemahkan WALL di otak Farisha dihidupkan.

BAB 13

Dr.Haris ialah doktor yang sedang merawat Karl di Puchong. Beliau menyatakan bahawa kesihatan Karl teruk. Namun Dr.Maxi mahu terus menghubungkan fikiran Karl melalui Shida. Dr.Maxi dapat berbual dengan Karl melalui Shida. Melalui Shida Karl bangun  dan bertindak melalui komputer berusaha untuk menghapuskan virus dalam Dinara. Kebijaksanaan ini diterima oleh Karl melalui Farisha yang Karl telah gandakan IQnya 26 tahun dahulu. Dalam masa yang sama Farisha telah berada di situ bersama-sama Marilyn/Medina, dan dua orang pengikutnya. Di sini rahsia terbongkar. Marilyn/Medina ialah ibu Farisha dan Karl ialah bapanya yang telah sanggup mengeksploitasi anaknya sendiri untuk kepentingan kajiannya di SoftLab iaitu mengaktifkan sistem Dinara. Marilyn menjadi musuh kerana Karl telah mensabotaj fikirannya menggunakan fikiran seorang bekas banduan dan akibatnya Marilyn/Medina menjadi separuh gila dan cuba mencekik Farisha. Dr.Maxi dan Aqramlah yang menyelamatkan Farisha dan dibawa kepada keluarga angkatnya iaitu keluarga Azraai. Farisha juga mendapat tahu bahawa Aqram juga adalah cyborg seperti Alia.

BAB 14

Hari ini merupakan hari paling hiba bagi Farisha kerana menghadap seorang insan yang sepatutnya dipanggil ayah. Karl terbaring tidak berkata-kata. Dr.Haris menyatakan bahawa aktiviti otaknya semakin menurun. Semua yang ada di situ masuk bergilir-gilir mendekati Karl. Bermula dengan Aqram, Dr.Maxi, Khairul Anwar, Medina, Alia, dan  akhirnya Farisha. Farisha mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya namun tiada jawapan. Tepat pukul tujuh malam Dr.Haris mengumumkan Karl meninggal dunia. Wasiat terakhir Karl ialah mayatnya dibakar, dan abunya di tabur di Selat Melaka. Upacara dijalankan di Port Dickson. Selepas upacara itu semua orang bercakap-cakap tentang kenangan masing-masing semasa Karl masih hidup.

Tetapi terdapat keanehan dalam diri Shida. Dia pandai berfalsafah seperti Karl. Dalam percakapannya Shida mengajak mereka pulang ke Sort Lab untuk menyelamatkan Dinara. Aqram dapat rasakan bahawa yang berfalsafah dan berkata-kata itu bukan Shida tetapi Karl. Aqram sangat yakin itu ialah Karl.

Sinopsis yang dikongsikan ini mengikut bab dalam novel Di Sebalik Dinara.
Sumber: Cemerlang A+ BM SPM.


Khamis, 5 Februari 2015

Ulasan Cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin KOMSAS Tingkatan 1

Assalamualaikum.

Ulasan/Kupasan Cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin KOMSAS Tingkatan 1 dalam Antologi Kuingin Berterima Kasih


Kuih Bakul Limau Mandarin

(Mohd. Helmi Ahmad)

SINOPSIS

Mengisahkan Sim Pau, seorang ibu yang gembira apabila menerima panggilan telefon daripada Lim Meng yang hendak pulang beraya. Namun berita gembira itu tidak disenangi oleh Lim Pooi, si ayah yang masih menyimpan kemarahan terhadap anak perempuannya itu. Anak bongsu keluarga berbangsa Cina dipersalahkan atas segala musibah yang menimpa keluarga mereka termasuklah kematian anak sulung lelaki mereka, Lim Foong. Sim Pau yang selama ini bersabar, akhirnya bersuara menentang suaminya. Lim Pooi terkejut melihat keberanian isterinya. Sim Pau menceritakan segala-galanya termasuklah punca kematian Lim Foong. Lim Pooi menginsafi kesalahannya. Sehari sebelum Tahun Baru Cina, kepulangan Lim Meng disambut dengan perasaan terharu. Akhirnya, mereka berkumpul sebagai sebuah keluarga semula.

TEMA

Kasih sayang keluarga  yang kembali terjalin.

Buktinya Lim Pooi, Sim Pau dan Lim Meng berkumpul semula sebagai sebuah keluarga setelah mereka melupakan konflik yang melanda mereka.

PERSOALAN

i.      Kepercayaan pada perkara khurafat

Contoh: Lim Pooi mempercayai bahawa kelahiran Lim Meng membawa malang kepada keluarga dan perniagaannya.

ii.    Keegoan seorang bapa

Contoh: Lim Pooi tidak mahu menerima kepulangan Lim Meng kerana dia berpendapat bahawa Lim Meng ialah punca segala kesedihannya.

iii.   Keberanian menyuarakan pendapat

Contoh: Sim Pau berani menyuarakan pendapatnya tentang perkara sebenar yang berlaku yang berkaitan dengan Lim Foong.

iv.   Keinsafan seorang bapa

Contoh: Lim Pooi menginsafi kesalahannya terhadap Lim Meng setelah mendengar perkara sebenar daripada Sim Pau.

PLOT

i.      Permulaan/Eksposisi

Sim Pau menerima panggilan telefon daripada Lim Meng yang mahu pulang beraya. Berita kepulangan Lim Meng tidak disenangi oleh Lim Pooi. Lim Pooi tidak mengakui Lim Meng sebagai anaknya.


ii.    Perkembangan

Lim Pooi menyalahkan Lim Meng atas nasib malang yang menimpa keluarganya. Sikap Lim Pooi diselar oleh Sim Pau yang sudah hilang sabar. Pertengkaran antara mereka berlaku. Sim Pau menceritakan keadaan sebenar kepada Lim Pooi. Lim Pooi menyedari kesalahannya lalu memohon maaf kepada Sim Pau tetapi Sim Pau mahu Lim Pooi  meminta maaf kepada Lim Meng.


iii.   Klimaks

Lim Meng pulang ke rumah dan disambut oleh Sim Pau dengan pelukan. Namun dia masih ragu-ragu akan penerimaan bapanya.


iv.   Peleraian

Lim Pooi meminta maaf kepada Lim Meng yang masih menyimpan dendam. Akhirnya, Lim Meng tidak mahu mendendami bapanya lagi lalu memeluk bapanya. Kemudian, mereka membuat persiapan perayaan dengan penuh gembira.



TEKNIK PENCERITAAN

i.      Pemerian

Contoh : Memerihalkan jiran-jiran Lim Pooi dan Sim Pau yang sudah membuat persiapan untuk menyambut perayaan sedangkan mereka tidak membuat sebarang persiapan.


ii.    Imbas Kembali

Contoh : Sim Pau mengimbas kembali punca kematian Lim Foong akibat lemas ketika melarikan diri daripada orang yang menuntut hutang.


iii.   Imbas Muka

Sim Pau memberitahu Lim Pooi bahawa Lim Meng akan pulang semasa Tahun Baru Cina kelak.


iv.   Dialog

Contoh : Perbualan antara Sim Pau, Lim Meng dengan Lim Pooi tentang barang-barang yang hendak dibeli untuk menyambut perayaan.


v.    Monolog Dalaman

Contoh : Sim Pau berkata-kata di dalam hati bahawa dia terlalu menurut kata-kata Lim Pooi namun sampai bila?


vi.   Saspens

Contoh : Pembaca tertanya-tanya punca Lim Pooi menyatakan bahawa hutang darah mesti dibayar dengan darah.



WATAK DAN PERWATAKAN

Watak utama

Sim Pau

i.      Isteri kepada Lim Pooi

ii.    Ibu kepada Lim Foong dan Lim Meng

iii.   Memiliki keberanian menyatakan kebenaran

Contoh : Sim Pau berani menyatakan kebenaran tentang punca sebenar kematian Lim Foong kepada Lim Pooi.

iv.   Memiliki kesabaran

Contoh : Selama ini, Sim  Pau bersabar atas keegoan Lim Pooi yang tidak mahu menerima kehadiran Lim Meng.

v.    Mudah terasa / sensitif

Contoh : Sim Pau mengalirkan air mata apabila mendengar kata-kata Lim Pooi  yang tidak mahu mengakui Lim Meng sebagai anaknya.



Lim Pooi

i.      Suami kepada Sim Pau.

ii.    Ayah kepada Lim Foong dan Lim Meng.

iii.   Berbadan kurus, bermata kuyu dan mukanya cengkung.

iv.   Memiliki sikap suka berdendam

Contoh: Lim Pooi mendendami Lim Meng yang dianggap sebagai pembawa malang dan pembunuh Lim Foong.

v.    Ego

Contoh: Lim Pooi bersikap ego dan tidak mengakui Lim Meng sebagai anaknya.



vi.   Peniaga yang tamak

Contoh: Mengaut keuntungan dengan menyorokkan gula yang kemudiannya dijual pada harga yang mahal.

vii.  Pemarah

Contoh: Lim Pooi merotan Lim Meng yang mengadu tentang Lim Foong yang mencuri wang di kedai.

viii.Menginsafi kesalahannya

Contoh: Selepas bertengkar dengan Sim Pau, Lim Pooi menyedari kesalahannya lalu insaf.



Lim Meng

i.      Anak bongsu daripada dua beradik.

ii.    Bertanggungjawab

Contoh: Lim Meng mencuba menyelamatkan Lim Foong daripada lemas sebaliknya dia pula yang hampir lemas.

iii.   Suka mengalah

Contoh: Lim Meng mengalah dengan keluar dari rumah apabila Lim Pooi mengugut hendak melaporkan bahawa Lim Meng ialah pembunuh Lim Foong.

iv.   Pemaaf

Contoh: Lim Meng memaafkan bapanya yang pernah berlaku kejam kepadanya.



Lim Foong

i.      Anak sulung daripada dua beradik.

ii.    Anak kesayangan Lim Pooi.

iii.   Suka berjudi.

iv.   Mati lemas.


Sudin

i.      Penduduk kampung

ii.    Ikhlas

Contoh: Sudin membantu menyelamatkan Lim Meng daripada lemas dengan ikhlas tanpa memandang bangsa.


LATAR

Latar Masa

i.      Beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina

Contoh : Setelah menerima panggilan telefon daripada Lim Meng, Sim Pau dan Lim Pooi bertengkar.

ii.    Sehari sebelum Tahun Baru Cina

Contoh : Lim Meng pulang ke rumah.

iii.   Tiga hari

Contoh : Selama tiga hari, Lim Pooi tidak makan apa-apa semasa menunggu kepulangan Lim Meng.


Latar Tempat

i.      Dapur

Contoh : Sim Pau sedang menyiapkan sup untuk Lim Pooi.

ii.    Kedai

Contoh : Lim Meng ternampak Lim Foong mencuri wang di kedai.

iii.   Stor di belakang kedai

Contoh : Lim Pooi menyorokkan gula di stor di belakang kedai untuk menjualnya pada harga yang tinggi ketika suatu masa lain.

Latar Masyarakat

1.    Masyarakat yang berdendam.

Contoh: Lim Pooi berdendam terhadap Lim Meng yang menurutya ialah pembunuh Lim Foong.

2.    Masyarakat yang menginsafi kesalahan.

Contoh: Lim Pooi menginsafi kesalahannya yang bersangka buruk terhadap Lim Meng.

3.    Masyarakat yang sabar menghadapi masalah.

Contoh: Sim Pau sabar menghadapi masalah keluarga apabila suamianya menghalau anak perempuannya keluar dari rumah.

GAYA BAHASA

i.      Simpulan bahasa

Contoh : Baginya hutang darah perlu dibayar dengan darah.

Contoh : Air matanya sudah tiada nilai lagi bagi Lim Pooi.

ii.    Peribahasa

Contoh : Dia bukannya mahu menegakkan benang yang basah tapi dia mahu menyedarkan Lim Pooi yang terlalu mengikut perasan.

iii.   Sinkof/sinkope

Contoh : “Aku tak benarkan dia jejak kaki lagi di rumah ini.”

Contoh : “Anak aku dah mati.”

iv.   Personifikasi

Contoh : Segala kekusutan dan kerinduan yang membelit hatinya perlahan-lahan terungkai setelah menjawab telefon yang baru sahaja diletakkan gagangnya.

Contoh : Sebaliknya kata-katanya itu ibarat racun yang disembur pada ladang bunga-bunga gembira yang baru berputik di hati Sim Pau.

v.    Simile

Contoh : Sebaliknya kata-katanya itu ibarat racun yang disembur pada ladang bunga-bunga gembira yang baru berputik di hati Sim Pau.


vi.   Metafora

Contoh : Lim Pooi masih berada dalam kandang kemarahan.

vii.  Bahasa perbualan

Contoh : Lim Meng pernah mengadu dekat aku orang kampung semuanya kompelin.

NILAI

i.      Nilai keberanian

Contoh : Sim Pau berani menyatakan kebenaran bahawa Lim Meng tidak bersalah atas kematian Lim Foong.

ii.    Nilai keikhlasan

Contoh : Sudin ikhlas membantu menyelamatkan Lim Meng daripada lemas.

iii.   Nilai kasih sayang.

Contoh : Lim Meng mencuba menyelamatkan Lim Foong yang lemas atas dasar kasih sayang sesama keluarga.

PENGAJARAN

i.      Kita tidak boleh berprasangka buruk terhadap seseorang tanpa usul periksa.

Contoh : Lim Pooi berprasangka buruk terhadap Lim Meng yang menurutnya menjadi penyebab kematian Lim Foong.

ii.    Kita mestilah bersikap jujur.

Lim Meng bersikap jujur apabila memberitahu Lim Pooi tentang kecurian wang di kedai yang dilakukan oleh Lim Foong.

iii.   Kita mestilah mengelakkan sikap yang tidak bermoral.

Contoh : Lim Foong berjudi yang menyebabkan dia dikejar oleh orang yang menagih hutang.

Terima kasih untuk ulasan/kupasan ini. Sumber: Cemerlang A+ BM SPM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78