Pengikut

Rabu, 27 Februari 2013

Lagi Buku Terbaharu Terbitan ITBM


Sememangnya buku-buku terbitan ITBM menjadi kesukaan saya. Kini saya sudah menyenaraikan buku terbitan terbaharu ITBM yang akan saya dapatkan. Antaranya termasuklah:

1) Hujan Hujung Januari - Rebecca Ilham
2) Hering - Faridah Abdul Hamid
3) Cerita Kota Kami - Jasni Majid
4) Misi Penyepit Kain - Ruhaini Matdarin
5) Yang Terselindung - Sasya Zainal
6) Bunga di Atas Meja - Rositah Ibrahim
7) Bunga Kepingin Kelopak Rindu - Jamaludin D.
8) dukana - Ruhaini Matdarin
9) Poskad dari Rakyat - Marjan S
10) Syair Negara Tercinta - Ghazali Lateh

Saya memang cemburu apabila melihat buku terbaharu terbitan ITBM ini. Bilalah saya hendak ada buku sendiri pula. 

Isnin, 25 Februari 2013

Cerpen: Pusara di Jalan Raya


Jangan terkejut apabila membaca tajuk cerpen ini. PUSARA DI JALAN RAYA merupakan cerpen saya yang disiarkan di Utusan Melayu Mingguan, hari ini (25 Februari 2013). Terima kasih saya ucapkan kepada rakan (Wadi) yang sudi menelefon saya memberitahunya. Tidak lupa juga kepada editor yang tidak jemu melayan karya saya. 

Untuk hari ini, telah disiarkan bahagian pertama. Minggu depan akan disiarkan bahagian kedua (akhir). Kepada pembaca semua, sudilah membaca cerpen ini untuk mengikuti kisah perjuangan orang kampung untuk menuntut hak mereka demi jalan raya yang selama ini mereka idam-idamkan.

Ahad, 24 Februari 2013

Antara Penulisan Kreatif dengan Penulisan Artikel

Rupa-rupanya menulis artikel atau makalah lebih mendera minda saya sekaligus menjadikan fizikal saya lesu kerana terpaksa terpaku di depan laptop hampir beberapa jam lamanya. Aduh!

Memperoleh kebahagian setelah artikel tersiar sedikit sebanyak menebus kembali tenaga yang hilang. Keseronokan itu berlumba-lumba datang setelah satu persatu karya yang dihasilkan diterima baik oleh editor.

Jika anda bertanya kepada saya antara penulisan kreatif dengan penulisan artikel saya tetap menyatakan kedua-duanya mempunyai selera yang memberahikan untuk saya rengkuhi. Namun, setelah ketimbang kira, saya berasakan penulisan kreatif ialah buah hati yang sering buatkan saya gila bayang.

Al Fatihah kepada Bapa Saudara

Sebelum cuti Tahun Baharu Cina yang lalu saya dikhabarkan oleh kakak saya yang bapa saudara saya terlibat dalam kemalangan. Bapa saudara saya itu dilanggar sewaktu hendak melintas jalan selesai balik dari sembahyang berjemaah di surau berdekatan rumahnya. Kemudian, seminggu lebih beliau tidak sedarkan diri dan ditempatkan di hospital. Kakinya patah dan cedera di beberapa bahagian badannya. 

Selepas keadaannya agak stabil, dia dibenarkan pulang. Namun, masih terbaring di tempat tidur selama sebulan lebih di rumah. Sewaktu saya balik bercuti Tahun Baharu Cina, saya pergi melawatnya di rumah. Melihat keadaannya rasa sebak juga. 

Pagi tadi, sebelum saya ke sekolah untuk kelas tambahan murid UPSR, saya sekali lagi dikhabarkan oleh kakak saya yang bapa saudara saya itu telah kembali ke Rahmatullah. Saya terkedu seketika. Saya tidak menyangka perkara yang rahsia itu berlaku kepadanya. Saya hanya mampu sedekahkan al Fatihah kepadanya. 

Kepada pembaca semua, saya mohon sedekahkan al Fatihah kepadanya. Moga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin.

Khamis, 21 Februari 2013

Puisi: Kata-kata

Kata-kata

Kata-kata yang kulahirkan
sekadar terbias ke tengah lautan
lalu karam dan mendasar.

Kata-kata yang kuluahkan
terluka batinnya 
menggaram di dasar maknawi
menangis siapakan tahu.

Kata-kata yang mengombak 
di luaran permukaan
membenihkan keingintahuan
menawar simpati
menghulur perhatian.

Kulahirkan kata-kata
bukan untuk menjaja kesengsaraan
di pasar kesempurnaan
ingin sekali kumaknawi
erti penghargaan dari kejujuran
yang tidak berupa paras.


Mohd Helmi Ahmad
Desa Alam Ria



Isnin, 18 Februari 2013

Saya Perlukan Bantuan

Sebenarnya perkara ini telah seminggu berlaku. Saya fikirkan tidak ada apa-apa. Namun, setelah hampir seminggu tidak juga ada perubahan saya mula gelisah. Jadi, saya perlukan bantuan daripada sesiapa yang tahu, mengapa emel Yahoo saya tidak boleh dibuka. Berkali-kali saya cuba. Apakah yang perlu saya lakukan? Apabila saya masukkan alamat ID dan password inilah yang tertera.

Invalid ID or password.
Please try again using your full Yahoo! ID.

Sabtu, 16 Februari 2013

Cerpen: Gadis Facebook di Mingguan Warta Perdana


GADIS FACEBOOK merupakan cerpen saya yang pertama disiarkan di Mingguan Warta Perdana pada tahun 2013. Cerpen ini disiarkan untuk edisi 17 Februari 2013

Sebenarnya, cerpen ini telah lama saya hantar. Sekitar bulan November 2012. Walaupun terperam lama, saya masih berpuas hati kerana masih mendapat tempat. Terima kasih editornya. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang memberitahu.

Kepada pembaca sudilah mendapatkannya. Selepas baca bolehlah memberi komen ataupun pendapat.

Khamis, 14 Februari 2013

Bukan Kehendak Tetapi Keperluan


Akhirnya, saya berjaya juga membeli printer baharu. Setelah printer saya yang lama rosak. Cadangnya saya hendak beli yang tangki dakwatnya di luar. Tapi tak ada. Kena buat asing. Ada yang kata, tangki di luar susah hendak jaga dan barangkali akan mengalami kesulitan. Namun, memandangkan penggunaannya yang banyak, saya kira saya perlu juga buat nanti. Jimat sikit. 

Saya fikir, memiliki printer ini bukan lagi kehendak, tetapi keperluan. Memandangkan susah juga hendak menggunaka printer di sekolah. Di kedai pula pasti, cas yang tinggi akan dikenakan. 

Saya kira, di Kuala Lumpur, pasti harganya lebih murah. Tetapi mempertimbangkan kembali kos yang lain saya fikir saya berpuas hati dengan harga belian ini.

Isnin, 11 Februari 2013

Cerpen: Nyonya Ba dan Sebakul Kenangan di Jelita

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT TAHUN BAHARU CINA kepada masyarakat Cina yang menyambutnya hari ini.

Sempena perayaan ini, sudilah dapatkan majalah JELITA, Februari 2013 untuk membaca cerpen saya yang berjudul NYONYA BA DAN SEBAKUL KENANGAN.


Kenangan apakah sampai sebakul? Dan apakah yang telah berlaku kepada Nyonya Ba? Siapakah Pak Jamek di hati Nyonya Ba? Begitu sebaliknya. Mungkinkah fitnah itu lebih dahsyat daripada bom yang menjaram bumi Gaza? Segalanya akan anda ketahui apabila membaca cerpen ini.

Sabtu, 9 Februari 2013

Ayuh, Pulang ke Kampung!

Sempena cuti Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi, saya mengambil kesempatan untuk pulang ke Kedah. Walaupun baru sebulan lebih berada di rantauan, rindu itu kerapkali menyapa. 

Ya, ada sekolah yang bercuti seminggu. Tetapi, sekolah saya akan memulakan sesi persekolahan pada hari Khamis, 14 Februari 2013. Jadi, saya perlu pulang pada hari Rabu. Moga percutian yang singkat ini mampu mengubat segala-galanya. 

Doakan perjalanan saya selamat sampai.

Rabu, 6 Februari 2013

Artikel: "Mencipta" Kerjaya melalui Bahasa Melayu di Dewan Bahasa

sumber daripada FB Dewan Bahasa
Kandungan untuk Dewan Bahasa Februari 2013 telahpun terbit. Sewaktu saya ke Pesta Buku 1Malaysia, majalah ini habis kata penjualnya. Entahlah, rasanya belum berada di pasaran.

Bercerita mengenai Dewan Bahasa ini, artikel saya yang berjudul "Mencipta Kerjaya melalui Bahasa Melayu telahpun disiarkan menerusi ruangan Darihal Bahasa. Terima kasih kepada editornya. Rasanya sudah lama saya tidak mengirim artikel ke sini. Dan agak lama saya tidak menulis artikel. 

Apabila terbaca status di Facebook Dewan Bahasa (jangan bertanya sama ada saya sudah ada FB ataupun tidak, kerana FB majalah DBP boleh dilayari sesiapa pun tanpa perlu mempunyai akauan FB sendiri) tentang fokus bulan Februari, terus saya terfikir dan merangka untuk menulis sesuatu. Memandangkan tempoh penghantarannya masih panjang. Ketika itu sewaktu musim cuti sekolah. Jadi dapatlah saya mencoret sesuatu. Hasratnya hendak juga menulis untuk fokus bulan Mac, tetapi tidak sempat kerana menulis untuk sebuah lagi majalah. 

Sudilah mendapatkannya untuk membaca. Saya pun belum melihatnya lagi. 

Selasa, 5 Februari 2013

Perasmian Program Bulan Bahasa: Karnival Bahasa Malaysia

Pada hari isnin 4 Februari 2013 telah berlangsung Majlis Perasmian Program Bulan Bahasa: Karnival Bahasa  Malaysia Peringkat Sekolah Kebangsaan Batang Kali. Majlis ini dirasmikan oleh guru besar SKBK Pn Norzakiah Hj Daud.


Dalam majlis tersebut, beberapa persembahan telah diatur. Antaranya, persembahan pantun dan simpulan bahasa oleh murid tahun 6. Tahniah kepada murid ini yang berani tampil ke atas pentas dan berbakat nampaknya.


Tidak ketinggalan juga, guru yang menunjukkan bakat dengan bermain gitar dan mendendangkan lagu puisi; Balada Anak Kecil. Persembahan ini mendapat sambutan daripada warga SKBK.


Untuk Karnival ini beberapa aktiviti telah dirancang dan akan dilaksanakan. Semoga murid mengambil peluang ini untuk menunjukkan bakat yang ada.

Ahad, 3 Februari 2013

Hasil Buruan di Pesta Buku 1Malaysia PWTC


Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Sampai juga saya di Pesta Buku 1Malaysia 2013, PWTC. Saya ke sana bersama dengan seorang rakan. Terima kasih kepada rakan saya yang sudi menemani. 

Ada apakah dalam beg kertas ini? Saya hendak katakan yang saya bukan meminta beg kertas ini daripada penerbit atau kaunter jualan, tetapi inilah yang diberi. Kenapa sampai tiga? Pastilah barang beliannya melebihi  untuk satu beg kertas. Sampaikan saya dihadiahkan dua helai baju T ekslusif Raja Lawak. 

Selain daripada buku terbitan ITBM, saya juga menjengah gerai FIXI dan DAWAMA


Inilah hasil buruan tersebut yang harganya melebihi bajet asal. 

Novel 

Antara buku dalam gambar di atas, telah lama saya mengidam untuk membaca buku Marsli N.O. Yang lainnya merupakan novel. Sudah lama saya tidak membeli dan membaca novel.

Kumpulan Puisi

Kumpulan puisi ini telah menjadi idaman saya terutamanya Nyanyian Hujan dan Di Negeri Kalbu. Telah lama saya mencarinya. Antara yang lain, masih panas di pasaran seperti Ketika Kalbu Bersuara, Peta Perjalanan.

Kumpulan Cerpen

Ini merupakan kumpulan cerpen yang terbit pada tahun 2012 dan 2013. Penulisnya tidak kurang hebatnya juga. Antaranya, Azmah Nordin, Kamariah Kamarudin, Shahkang, Juri Durabi, Kathirina Susanna Tati dan Chacho Haji Bulah.

Kumpulan Cerpen 


Kumpulan Cerpen ini terbitan LEJEN PRESS dan BUKU HITAM PRESS. Sebenarnya pertama kali saya membaca karya atau buku terbitan syarikat ini. Harapan saya, tidak mengecewakanlah. Beli mana-mana tiga buah buku akan mendapat harga RM 50.00. 

Majalah terbitan  bulan Februari 2013

Majalah terbitan DBP, bulan Februari 2013 dijual dengan harga RM 2.00. Namun, majalah Dewan Bahasa saya tidak ketemui. Manakala majalah Tamadun Islam belum sampai. Di tengah-tengah itu ada kumpulan cerpen Hanya Makna, Siti Jasmina Ibrahim. Kumpulan cerpen ini tersenarai ke peringkat akhir untuk HSPM 2010/2011. 

Saya berpuas hati walaupun melebihi bajet yang telah ditetapkan. Bagi saya kesukaran untuk mendapatkan buku terbitan ITBM berbaloi sekarang ini. Dan saya menantikan buku terbaru pula. Barangkali buku tersebut akan saya dapatkan pada Pesta Buku Antarabangsa nanti.

Selain membeli buku, saya juga telah melanggan majalah PELITA BAHASA, mulai MAC 2013.



Sabtu, 2 Februari 2013

Cerpen: Dunia Pilih Kasih di Anis


Hari ini sudah masuk ke bulan Februari 2013.Alhamdulillah, bulan Januari telah kita tempuh dengan seadanya.

Dalam dunia penulisan saya, saya bersyukur kerana karya saya masih mendapat tempat dalam media cetak negara. DUNIA PILIH KASIH merupakan judul cerpen saya yang disiarkan di majalah ANIS Februari 2013. Alhamdulillah. Untuk rekod, cerpen ini merupakan cerpen pertama saya yang tersiar di sini. Walaupun sebelum ini ada juga mencubanya. Terima kasih kepada editornya. 

Dengan tersiarnya cerpen ini, maka DPK layak untuk dipertandingkan dalam Sayembara Cerpen 2012/2013 anjuran majalah ANIS dan Galeri Ilmu. Saya tidak menaruh harapan tinggi, sekadar ingin mencuba. Apabila diberi peluang disiarkan di majalah inipun saya sudah bersyukur. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78