Pengikut

Selasa, 27 November 2018

Koleksi Sampul Surat Seorang Penulis

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. 

No automatic alt text available.




Ini bukan sampul surat cinta. Ini bukan sampul surat edisi khas tetapi sampul surat ini setiap satunya merakamkan sejarah penting dalam bidang penulisan saya.

Sampul-sampul ini terpilih daripada puluhan sampul yang saya terima sejak dari tahun 2008 hingga 2018 yang mewakili pelbagai penerbit akhbar, majalah dan buku. 







Perincian setiap sampul adalah seperti berikut: 

1. Karangkraf
Sampul surat yang berisi surat makluman tentang bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita. 

2. New Straits Times Press
Sampul surat yang berisi surat makluman tentang bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian.

3. Berita Publishing Sdn
Sampul surat yang berisi cek bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah Jelita.

4. Dewan Bahasa dan Pustaka
Sampul surat ini paling banyak saya terima. Sampul surat ini berisi surat makluman tentang bayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah terbitan DBP. Karya saya pernah disiarkan dalam semua majalah DBP kecuali Dewan Kosmik dan Dewan Ekonomi. 
Selain itu, surat yang diterima berkaitan penerbitan buku, HSPM dan lain-lain.

5. Utusan Publication & Distributor
Sampul surat yang berisi cek pembayaran royalti KOMSAS, surat undangan ke majlis HSKU, penerbitan buku audio dan beberapa perkara rasmi yang lain.

6. Utusan Melayu Malaysia Bhd
Sampul surat yang berisi slip pembayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan. 

7. Institut Terjemahan & Buku Malaysia
Sampul surat yang berisi surat berkaitan penerbitan buku seperti surat penerimaan manuskrip, surat makluman keputusan penilaian manuskrip dan beberapa perkara rasmi yang lain.

8. Utusan Karya Sdn Bhd
Sampul surat yang berisi cek pembayaran honorarium untuk karya saya yang disiarkan dalam majalah Harmoni, Wanita dan URTV. 

Sampul surat ini akan kekal menjadi kenangan kepada penulis yang pernah melalui zaman ini.
Jika ada kesempatan, saya berhasrat untuk membingkaikan sampul surat ini.

#catatanseorangpenulis #sampulsurat

Jumaat, 23 November 2018

Galeri Penulis Mohd Helmi Ahmad

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. 

Sebelum balik ke Batang Kali, saya mengambil kesempatan untuk membersihkan habuk dalam almari yang menempatkan buku, sijil dan piala ini. Buku saya yang baru diterbitkan juga telah saya susun di dalam almari ini.

Sesungguhnya saya bukanlah penulis sayembara. Saya juga bukan penulis antologi bersama. Selalunya saya akan "memperkenalkan" diri saya sebagai penulis karya eceran. 

Boleh dibilang dengan jari sayembara yang pernah saya sertai. Tak sampai lima sayembara pun. Begitu juga dengan penyertaan saya untuk penerbitan antologi bersama. Menuju ke penghujung tahun, barulah saya berjinak-jinak dengan projek anekdot. 

Tanyalah saya, majalah mana yang saya tidak pernah hantar karya? Akhbar nyamuk mana yang saya tidak belek. Pernah satu tahun, lebih 40 buah cerpen saya pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah. Oleh sebab itu, saya selesa menulis karya eceran. 



Dalam almari serba sederhana ini saya tempatkan buku perseorangan dan antologi bersama yang memuatkan karya saya. Senarainya adalah seperti berikut: 


ANTOLOGI PEMENANG HSKU/SAYEMBARA PENULISAN

1. Aku Datang, UP&D (2011) - antologi ini memuatkan cerpen "Bunga Telur Kenduri Kahwin", HSKU 2010.

2. Cerita Akhir Tahun, UP&D (2012) - antologi ini memuatkan cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin", HSKU 2011.

3. Sejujur Manggis, UP&D (2013) - antologi ini memuatkan cerpen "Rombongan Masuk Jawi", HSKU 2012. 

4. Layang-layang Impian, ASASI (2011) - antologi ini memuatkan cerpen "Akhir Sebuah Doa" (pemenang tempat kedua) dan tiga buah puisi yang memenangi sagu hati Sayembara ASASI.



KUMPULAN PERSEORANGAN 

5. Tetamu Istimewa, ITBM (2014) - kumpulan cerpen remaja yang memuatkan 15 buah cerpen, HSPM 2014.

6. Madu di Tangan, ITBM (2015) - kumpulan puisi remaja yang memuatkan 50 buah puisi, HSPM 2015/2016.

7. Bila Ayah Berkaca Mata Hitam, ITBM (2016) - kumpulan cerpen yang memuatkan 18 buah cerpen. 

8. Gadis dan Cermin Masa Depan, ITBM (2018) - kumpulan cerpen remaja yang memuatkan 15 buah cerpen.


ANTOLOGI BERSAMA 

9. Surat Waktu, Kursus BBK 3401 (2006) - antologi ini memuatkan puisi saya yang berjudul "Basikal".

10. Kartunis Muda, DBP (2017) - antologi ini memuatkan tiga cerpen kanak-kanak saya. 

11. Rimbun Kehidupan, Wacana MBM (2018) - antologi anekdot dan cerita kehidupan.

12. Rencah Kehidupan, Wacana MBM (2018) - antologi anekdot dan cerita kehidupan.


ANTOLOGI SELENGGARAAN 

13. Karya daripada Diari Rahsia, DBP (2018) - antologi ini memuatkan catatan kepengarangan saya yang bertajuk "Dimensi Penulis Eceran kepada Penulis Buku".
Lain-lain 

14. Direktori Penulis Utara - buku ini memuatkan biodata diri dan bidang penulisan.

Saya tidak mempunyai bakat dalam bidang sukan, nyanyian atau lakonan. Jadi, buku-buku inilah yang menjadi kebanggaan saya dan keluarga. Doakan saya terus istiqamah untuk berjuang dalam bidang penulisan ini.

#catatanseorangpenulis #koleksibuku #dokumentasiperibadi #motivasidaninspirasi

Isnin, 19 November 2018

Pengalaman Penulis Berjualan Buku Terus kepada Pembaca

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Temu Mesra Bersama Penulis ini memberikan pengalaman berharga kepada saya berkaitan beberapa perkara. 

Sebelum acara, saya telah membuat persediaan seadanya. Pertamanya, saya menyemak stok buku yang berbaki. 

Yalah, kalau nak jual buku, tidak mungkin nak pamerkan sebuah buku sahaja seolah-olah memberikan gambaran yang saya tidak bersungguh-sungguh untuk menjual buku. 

Oleh itu, saya letakkan tiga naskhah setiap judul, kecuali Kartunis Muda 10 naskhah, Bila Ayah Berkaca Mata Hitam - lima naskhah dan Gadis dan Cermin Masa Depan - lima naskhah. 

Saya meletakkan diri saya sebagai pembeli. Saya pun berasa tidak puas hati jika hanya dapat membelek-belek kulit depan dan kulit belakang buku sahaja. 

Jadi, saya buka plastik pembalut buku bagi setiap judul untuk memudahkan pengunjung membelek halaman buku. 

Keduanya, saya tolak tambah, bahagi dan darab untuk menentukan harga jualan buku. Memandangkan sasaran saya dan tempat jualan saya di sekolah, pengunjungnya ibu bapa dan murid, saya menjual buku dengan harga mampu milik. Biarpun ada buku yang dijual hanya memberikan keuntungan beberapa sen sahaja. 

Saya perhatikan setiap meja jualan buku, mejanya beralas dengan kain. Jadi, saya pun apa lagi, belilah kain alas. Kemudian, saya beli kad untuk ditulis harga jualan, bekas letak duit, plastik dan tapak mempamerkan harga promosi. Mengenangkan perkara itu, terasa lucu pula.

Tidak cukup setakat itu, saya meminta rakan guru untuk mereka gegantung promosi. Bukan main besar lagi gegantung yang memaparkan wajah saya.
Seawal pagi saya menyusun buku-buku yang hendak dijual. Kemudian, saya meminta bantuan murid saya untuk membantu saya menjaga meja jualan ketika saya bertugas sebagai AJK Protokol. 

Saya dapat membayangkan perasaan peniaga apabila barang jualan tidak laku kerana pada hari pertama hanya seorang sahaja yang membeli buku saya, itu pun rakan guru. 

Alhamdulillah, pada hari kedua ada peningkatan dan saya boleh mengukir senyuman bermakna.

Sewaktu saya di meja jualan, saya dapat perhatikan pelbagai gelagat pengunjung. Ada yang sekadar lalu namun hanya melirik manja sahaja. 

Ada yang datang menjengah dan memerhati susunan buku di atas meja. Ada juga yang memegang dan membelek buku yang dipamerkan. Bahkan, ada yang membelek gegantung promosi (barangkali tertanya-tanya, siapalah penulis ni?). 

Tidak dinafikan, ada juga pengunjung yang tidak tertarik pun untuk melirik apatah lagi singgah untuk melihat-lihat buku yang dijual. Dengan kata lain, buku bukanlah magnet yang bertindak sebagai daya penarik.

Walau bagaimanapun, saya berpeluang bertemu dengan editor majalah KUNTUM yang datang menjengah dan berbual-bual tentang majalahnya dan mendengar perkongsian saya tentang hal penulisan dengannya. 

Saya gembira kerana saya berjaya mencabar diri melakukan sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan yang saya mampu lakukan. Bermula daripada seorang pembaca, penulis dan kini penjual buku secara langsung kepada pembaca. 

Ayuh, rakan-rakan penulis, jika bukan penulis yang mempromosikan dan menjual hasil karya kita, siapa lagi yang kita mahu harapkan? 

Mohd Helmi Ahmad
Secebis Pengalaman daripada Penulis Muda

Selasa, 13 November 2018

Temu Mesra Bersama Penulis Mohd Helmi Ahmad

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Terdetik dalam hati saya, 'Aku nak jual buku semasa Karnival 100 Tahun SK Batang Kali nanti'. 


Saya fikir ini percubaan berani mati kerana belum pernah lagi saya membuka meja untuk mempromosikan dan menjual buku saya. Sebelum ini saya menjual buku secara dalam talian sahaja.

Bilakah lagi saya nak mencuba? 

Ya, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana ini kali pertama saya menjual buku secara langsung kepada pembaca.

Keduanya, buku saya bukan buku "bacaan ringan", sebaliknya buku sastera.

Ketiganya, saya tidak dapat menawarkan harga buku yang "murah" kerana untuk menjual buku ini saya perlu membeli stok buku terlebih dahulu daripada penerbit.

Jika hendak disenaraikan "alasannya" barangkali banyak dan mungkin membuatkan saya fikir banyak kali untuk memulakan langkah ini.




Namun begitu, saya fikir positif sahajalah. Sekurang-kurangnya saya dapat "memperkenalkan" diri saya kepada murid-murid saya yang saya ialah penulis buku.

Temu Mesra Bersama Penulis ini telah berlangsung di SK Batang Kali pada 9 & 10 November 2018  sempena Karnival 100 Tahun SK Batang Kali.

Terima kasih Cikgu Saiful yang mereka bentuk banting ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78