Hari ini saya berbesar hati untuk berkongsi akan sejarah blog saya diberi nama TETAMU ISTIMEWA. Sebenarnya, saya mengambil sempena cerpen saya yang tersiar di BERITA MINGGU yang berjudul Tetamu Istimewa.
Jadi, tiada apa-apalah yang istimewa tentang saya dan blog saya jika bukan anda pembaca yang setia mengunjungi ke blog ini. Menerusi cerpen ini juga, sedikit sebanyak memberi impak yang positif dalam karier penulisan saya.
Terima kasih saya ucapkan. Oleh itu, saya berbesar hati untuk berkongsi cerpen tersebut di sini. Sudilah membacanya. Jika ada cadangan, silakan.
ATA Emak,
semenjak Adik pulang dari sekolah dia sentiasa mengurungkan diri di dalam
rumah, tidak mahu keluar bermain mahupun menghirup udara. Umurnya baru berusia
lapan tahun, agak janggal bagi kanak-kanak yang seusianya tidak memanfaatkan
waktu itu untuk bermain. Agak rugi kiranya dilepaskan begitu sahaja. Bukan
senang untuk memperuntukkan waktu sebegitu. Masa tidak akan berpatah kembali.
Apa yang ada harus diharungi. Begitulah perjalanan hidup.
Adik pulang
dari sekolah. Pakaian seragam sekolah dibuka. Kasut dibiarkan terbengkalai di
depan pintu. Stoking yang masam-masam itu diletakkan di atas meja kopi. Beg
sekolah dicampakkan di atas kusyen. Emak yang sibuk memasak ketika itu tidak
menghiraukan gelagat Adik. Adik terus mengurung diri di dalam bilik. Ada tetamu
yang dibawa balik dari sekolah kata Emak. Tetamu itu tidak dipelawa untuk
datang, tetapi mahu juga mengikut Adik pulang.
Adik tidak
kenal akan tetamu itu, bercakap pun tidak, inikan pulak untuk bertanya khabar.
Apa yang menghairannya Emak kenal akan tetamu yang tidak diundang itu.
Seolah-olah sudah serasi dengan Emak, walaupun sebelum ini tidak pernah
berkunjung ke rumah kami. Tetapi kata Emak, tetamu yang ini lain sedikit
sikapnya, dia tidak meminta makan dan minum. Dia hanya minta untuk tumpang
tinggal di rumah kami. Dia mahu berlindung daripada hujan panas. Dia mahu
tinggal bersama Adik. Dia mahu berkawan bersama Adik. Dan juga dia mahu bermain
bersama Adik. Tetapi Adik tidak mahu berkawan dengannya. Adik tidak mahu
bermain dengannya. Malahan, Adik tidak mahu berkongsi bilik dengannya. Adik
rimas. Setiap kali tetamu itu menyondol-nyondol ke tubuhnya Adik, dia akan rasa
rimas, gatal merenyam dan tidak selesa. Setiap kali itu juga Adik akan
menangis. Meronta-ronta menyeru tetamu itu pulang saja ke rumahnya. Tetapi
tetamu itu masih tegar untuk tidak mahu
pulang.
Seketika
cuma Adik, tenang. Tetamu itu tidak mengganggunya. Namun semenjak itulah Adik
tidak lagi ke sekolah. Kawan-kawannya yang lain tidak mahu berkawan dengannya
lagi. Dikatakan Adik seorang yang sombong. Tidak mahu berkawan dengan mereka.
Adik hanya berkawan dengan tetamu barunya itu saja. Adik pentingkan diri
sendiri. Adik hanya tahu mengurung diri di dalam rumah. Dah macam anak dara.
Sementelahan itulah Adik hilang banyak kawan. Pelajarannya juga terganggu.
Terang-terang
tanah Emak sudah menyediakan sarapan. Nasi lemak bungkus bersama teh kepada
kami. Adik sudah pun bangun. Tetamunya juga begitu. Emak membuka bungkusan nasi
lemak itu. Kemudian, Emak menyuapkan nasi ke mulut Adik. Adik ngangga lalu
menelan setiap butir nasi yang masuk ke dalam mulutnya. Kami adik- beradik yang
lain hanya melihat. Layanan Emak kepada Adik lain sekali. Sebelum ini Adik
tidak mahu dilayan sebegitu rupa. Adik sudah besar. Tidak suka diperlakukan
macam budak-budak lagi. Adik sudah boleh makan, mandi dan uruskan diri sendiri.
Tanpa bantuan Emak lagi.
Adik malu
jika kawan-kawannya melihat Emak mandikan Adik. Suapkan makan ke mulutnya.
Tetapi pagi ini Adik tidak membantah. Adik seakan rela. Kami menganggapkan
bahawa Adik hanya mahu menunjuk-nunjuk kepada tetamunya itu. Dia tidak mahu
Emak melayan tetamunya itu seperti Emak melayannya sewaktu kecil-kecil dulu.
Adik akan rasa cemburu. Adik merasakan hanya dia seorang yang wajar menerima
layanan seperti itu.
Selepas
makan, Emak memandikan Adik pula. Emak mencampurkan sedikit air yang berada di
dalam botol ke dalam besen yang disediakan. Lain sedikit cara memandikan Adik.
Sebelum ini Adik hanya dimandikan dengan air paip yang mentah-mentah itu,
tetapi kali ini Emak memasukkan sedikit campuran air yang dibawa balik oleh
Ayah dari rumah Haji Soot. Air itu dalam keadaan keperangan. Kandungannya
seperti campuran akar kayu yang telah dihancurkan dan dicampurkan dengan air
biasa.
“Air apa ni, mak?”
“Ni air
penawar.”
“Air
penawar?”
“Air penawar
ni untuk memulihkan kau.”
Kami adik-beradik
yang lain curi-curi dengar perbualan Emak bersama Adik. Kami tergelak
bersama-sama. Mudah benar Adik ditipu. Ternyata Adik bukanlah seorang yang
bijak kerana terang-terang Emak memasukkan sedikit air dari sumber lain
kemudian mencampurkan ke dalam air itu. Tujuannya adalah untuk menyakinkan Adik
supaya mudah untuk mandi. Adik memanglah seorang yang ketegar untuk mandi. Dia
takut dengan air. Seboleh-bolehnya dia akan mandi sehari sekali sahaja. Itu pun
jika diingatkan Emak.
Tetamu yang
mengikut Adik pulang masih tidak mahu pulang. Sudah seminggu dia bertamu di
rumah kami. Kawannya adalah dengan Adik. Dia tidak mahu berkawan dengan kami
semua. Termasuk Emak.
“Mak boleh
Ijam tanya sikit?”
“Ada apa?”
“Kenapa
dengan Adik?”
“Kenapa
pulak dengan dia?”
“Iyalah
kenapa Adik dilayan begitu?”
“Kenapa,
kamu pun cemburu?”
“Bukannya
cemburu, tapi kenapa Adik disuap makannya, dimandikan dengan air penawar?”
“Adik kamu
tu sakit.”
“Sakit! Adik
sakit apa mak?”
“Dia demam
baik.”
“Demam
baik!”
Kami adik-beradik
yang lain ketawa terbahak-bahak. Jawapan yang diberikan Emak kepada kami amat
melucukan. Kalau sudah demam baik buat apa lagi susah-susah nak mandikan dengan
air penawar? Sahlah, jangkaan kami sebelum ini Adik sudah kena tipu. Adik yang
dikatakan bijak dalam Matematik sebelum ini senang-senang ditipu Emak. Dia
tidak dapat mengira setiap butir kata Emak yang membelit akal fikirannya.
Jelasnya, kemahiran adik untuk menafsir masih pada tahap yang rendah.
Adik menangis lagi. Adik tidak dapat
tidur malam. Tidurnya sentiasa diganggu tetamu yang mengikutnya pulang. Kami
sudah mengagak Adik hanya pandai bermuka-muka. Sebelah siangnya memanglah Adik
buat tak layan saja dengan tetamunya itu, sebaliknya pada waktu malam dia akan
kembali cergas. Dia seperti burung hantu yang aktif pada waktu malam. Dia akan
bermain-main dengan tetamunya itu. Dia akan berkawan dengan tetamunya itu.
Sehinggalah lewat malam. Pandai sungguh Adik bersandiwara.
Apabila
sudah letih, sendi-sendinya akan berasa lenguh. Badannya akan berasa
gatal-gatal. Tenaganya sudah tentu kehabisan ketika bermain bersama tetamunya
itu. Kulitnya akan mudah dinaiki bintil-bintil kemerahan. Keadaan itu
disebabkan peluh yang berlinangan di badannya. Angin sukar menyelinap masuk ke
bilik Adik. Jadi keadaan bilik Adik terpeluwap.
Setelah Adik
kalah dalam permainannya Adik akan menangis. Adik akan meronta-ronta. Sudah
agak dah Adik macam itu. Hanya dia seorang yang boleh menang. Orang lain tidak
akan berpeluang jika bermain dengan Adik.
“Kenapa ni,
Adik?”
“Badan Adik
gatal-gatal.”
“Itulah mak
cakap jangan main sampai lewat malam. Nanti gatal-gatal susah.”
“Adik tak
main apa-apa pun.”
“Dah, mari
sini mak tengok!”
Kami sekali
lagi terkesima. Bualan Adik bersama Emak seakan tidak masuk akal. Sekali lagi
Adik ditipunya Emak hidup-hidup. Tabiat Adik yang sukar diubah adalah suka
tidur lewat. Sewaktu usianya ini tidak elok baginya berjaga lewat malam.
Kesihatannya akan mudah terganggu. Keesokannya apabila Adik ke sekolah Adik
akan mengantuk. Mata Adik akan jadi merah. Mahu tidak mahu Adik akan tidur di
dalam kelas. Dia tidak akan dapat menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran
lagi.
Keesokannnya,
Emak tidak lagi menggoreng ikan dan menumis masakannya. Emak hanya merebus ikan
yang dibeli Ayah. Ikan itu direbus semata-mata untuk menjamu Adik dan
tetamunya. Kami gelisah. Ternyata Adik dan tetamunya itu betul-betul
menyusahkan. Makan minum Adik dan tetamunya dijaga begitu rapi. Tidak boleh
silap sedikit. Emak sangat berhati-hati dalam menyediakan makanan kepada Adik.
Sebelum ini
Emak tidak mengambil kisah akan bab-bab masak-memasak ini. Maksudnya Emak akan
memasak mengikut cita rasanya saja. Tapi lain untuk kali ini. Lauk mesti
direbus setiap hari. Emak tidak akan menggoreng lauk lagi. Tidak ada lagi
masakan yang melibatkan tumis-menumis. Semuanya rebus semata-mata. Dikatanya, jika
Emak menumis, tetamu Adik akan meronta-ronta. Keadaan ini menyebabkan Adik
turut meronta-ronta juga. Emak tidak sanggup melihat Adik dalam keadaan itu.
Sangat terseksa.
“Adik kamu tu demam biji. Tak boleh
sembarangan. Nanti merebak susah. Mak kena jaganya baik-baik.”
Kelucuan
yang Emak ciptakan sememangnya menggeletik perut kami. Seketika itu kami ketawa
tidak henti-henti. Seakan mahu pecah perut dibuatnya. Sekejap demam baik,
sekejap demam biji. Mana satu yang betul pun tidak tahu. Orang dulu ada-ada
saja istilah yang diciptakan. Melihat saja badan penuh dengan bintil-bintil
dikatakan demam biji.
Adik semakin
pulih. Dia tidak lagi menangis pada waktu malam. Tidurnya lena dibuai
mimpi-mimpi indah. Tetamunya tidak mengganggunya lagi. Sebaliknya, Angah pula
yang mengurungkan diri di dalam bilik. Tidak mahu bercakap dengan orang lain.
Tetamu Adik itu seolah-olah mahu berkawan dengan Angah. Dia tidak mahu berkawan
dengan Adik lagi. Malahan tidak mahu bermain dengan Adik lagi. Agaknya tetamu
Adik itu sudah bosan untuk bermain dengan Adik. Tiada permainan baru yang dimainkan.
Dia mahu mencari kawan baru. Angah ialah orangnya. Sebelum ini Angah
menunjukkan minat untuk berkawan dengan tetamu Adik. Angah selalu melawat bilik
Adik. Di mana saja Adik berada di situlah Angah juga berada. Termasuk tetamu
Adik.
Selepas Adik
dan Angah, tetamu Adik itu beralih pula kepada kami sekeluarga. Dia
menyondol-nyondol kami semua; dia menyondol punggung Emak, dia menyondol badan
Along, dia menyondol kaki dan tangan Ayah. Dan juga dia menyondol muka Emak.
Kami semua mengurungkan diri di dalam rumah. Makan ikan rebus setiap hari.
Mandi air penawar. Hampir setiap malam tidur kami diganggunya tetamu Adik.
Sendi-sendi kami berasa lenguh. Badan kami mudah berasa gatal merenyam.
Bintil-bintil kemerahan tumbuh di mana-mana saja di tubuh kami semua. Orang
kampung mengatakan keluarga Deris sombong belaka. Tidak mahu bertegur sapa.
Hanya mengurungkan diri di dalam rumah.
Setelah itu
datanglah Kiah Murai melawat kami semua. Sementelahan itu, berita tetamu yang
dibawa pulang Adik tersebar ke seluruh pelusuk kampung. Habis semua rumah penduduk
kampung dilawati tetamu Adik. Tetamu Adik itu mahu berkawan dengan semua
penduduk kampung. Dia mahu bermain-main dengan penduduk kampung. Dia mahu
menyondol-nyondol tubuh penduduk kampung. Habis semua penduduk kampung
mengurungkan diri di dalam rumah. Mereka sedang bermain-main dengan tetamu
Adik.
Sekarang
baru kutahu bahawa tetamu yang dimaksudkan Emak. Di tempat kami demam itu
dikenali sebagai demam baik, demam biji dan juga demam campak. Sebab itulah
tidur malam Adik terganggu. Tidur malam penduduk kampung yang lain juga
terganggu. Seluruh tubuh mereka gatal-gatal. Sejurus selepas itu kampung kami
dibina sebuah klinik desa untuk merawat penyakit campak yang dihidapi penduduk
kampung. Penduduk kampung dinasihati agar membawa anak-anak yang baru dilahirkan
untuk pemeriksaan doktor. Kanak-kanak di kampung kami selepas itu diberi
suntikan campak bagi mencegah daripada diserang campak. Setelah diberi suntikan
campak kampung kami kembali aman damai. Tidak ada lagi tetamu yang datang tanpa
diundang.
Berita Minggu, 25 Julai 2010