Pengikut

Ahad, 30 September 2012

Koleksi Buku Baharu dari Kedai Buku 1 Malaysia



Setelah lama mengidam untuk memiliki sejumlah buku baharu terbitan ITBM, akhirnya saya berjaya menggenggaminya. Terima kasih PM kerana membina Kedai Buku 1 Malaysia yang terletak di Pudu Sentral.

Saya memilih kesemuanya kumpulan cerpen, walaupun hajatnya untuk mencampur adukkan antara kumpulan cerpen dan kumpulan puisi. Insyaallah, hasrat yang tergendala itu akan saya tunaikan selepas ini.

Antara koleksi buku tersebut:
1. SELAMAT DATANG KE MALAYWOOD - Roslan Jomel (RM 25.50)
2. GUNTING - Marsli N.O (RM 17.00)
3. CINTA SENAFAS ANGSA - Tuah Sujana (RM 17.00)
4. BIDADARI BURUNG - S.M Zakir (RM 17.00)
5. HIDUP PENUH CINTA, satu-satunya buku terbitan PTS - Bahruddin Bekri (RM 11.90)

* Harga dalam kurungan adalah harga selepas diskaun.

Saya melihat kedudukan kedai buku ini agak strategik kerana tempat yang dipilih merupakan tempat tumpuan orang ramai. Pasti Pudu Raya tidak akan pernah lengang. Jadi sambil-sambil hendak pulang ke kampung, singgahlah sebentar ke kedai buku ini. Di bersebelahan KB1M ini terdapat Kedai Kain 1 Malaysia.

Ayuh, kepada sesiapa sahaja yang gemar membaca dan tercari-cari kedai buku terutama buku terbitan ITBM, kunjungilah KB1M. Bukan sahaja buku terbitan ITBM yang dijual di sini, malah buku-buku terbitan lain juga ada. Jangan lepaskan peluang. 

* Ke mana ya, menghilangnya buku-buku terbitan DBP? Adakah ia bersembunyi semasa saya datang? 

Khamis, 27 September 2012

Berbudi Pada Tanah

Kita sering mendengar orang menyebut berbudilah pada tanah. Kita tidak akan rugi. Sebagai bukti, lihat gambar di bawah. Sayur sawi dan ubi keledek ini di tanam oleh murid tahun 6 sekolah saya. Betapa suburnya. 



Rabu, 26 September 2012

Cerpen: Kompang PM di Mingguan Warta Perdana



Penantian suatu penyiksaan. Namun nikmat setelah memperolehinya tak siapa tahu. Betapa gembiranya. Alhamdulillah, KOMPANG PM yang saya hantar sekitar bulan APRIL 2012 lalu telah tersiar di MINGGUAN WARTA PERDANA, edisi 30 SEPTEMBER 2012.

Jika tidak salah, cerpen ini saya hasilkan sekitar tahun 2010. Setelah diusung ke sana diusung ke sini, nampaknya rezekinya di sini. Terima kasih kepada editornya kerana sudi menyiarkannya. 

Saya ingin tegaskan di sini bahawa cerpen ini bukan cerpen politik. Walaupun penggunaan wataknya PM dan YB. Cerpen ini berkisar akan sambutan perasmian Pusat Komputer Kampung. Sudah tentu di kampung anda juga ada projek seumpama ini. Harus bagaimanakah nasib projek tersebut? Berjayakah? Adakah terkandas sebelum bermula? Jika sudah berjaya bagaimanakah nasibnya sekarang? 

Untuk mengetahui cerita ini sudi-sudilah mendapatkannya di kedai yang berhampiran. Saya sedia menerima pandangan anda semua. 

Sabtu, 22 September 2012

English Week 2012-Story -Telling & Rhymes


Hari ini merupakan hari persekolahan. Setelah bercuti sakan raya lepas kenalah ganti semula. Pada hari ini juga di sekolah telah diadakan pertandingan STORY-TELLING & RHYMES 2012 sempena ENGLISH WEEK. Walaupun dijalankan secara sederhana, namun masih meriah dan mencapai objektifnya. Peserta memberi kerjasama dengan baik. Tahniah saya ucapkan. Bukan senang hendak membawa murid tampil ke hadapan berdiri di atas pentas untuk bercerita. 

Pada bulan Oktober 2012 nanti, tiba giliran untuk Bahasa Malaysia pula. Bulan Bahasa Kebangsaan. Pasti sambutan di peringkat sekolah, guru-guru sedang merancang aktiviti untuk menyemarakkan sambutan ini. Walaupun di SJKC sambutannya tetap akan dijalankan dan beberapa aktiviti telah dirangka. Tunggu tau. Bila tiba masanya nanti saya akan kongsikan.

*Sejak akhir-akhir ini rajin pula saya kongsikan aktiviti yang dijalankan di sekolah. Saya harap pembaca semua tidak bosan.

Jumaat, 21 September 2012

Sempena Pesta Tanglung

Di sekolah saya pada hari ini telah disambut Pesta Tanglung. Antara aktiviti yang dijalankan adalah menjawab soalan kuiz yang digantung pada tanglung. Setiap murid yang berjaya menjawab soalan dengan betul, maka tanglung itu akan menjadi miliknya.






Perhatilah gelagat mereka ini sambil dipantau oleg guru. Kesemua soalan yang dikemukakan berjaya dijawab oleg murid. Tahniah!

Khamis, 20 September 2012

Cerita Malam Pertama VS Kapal Kertas dan Lautan Api



Ini cerita malam pertama
kali pertama juga kita berbicara tentang
rahsia kejujuran dan kecurangan
mempertimbangkan kebahagiaan 
sulit untuk ditafsir dengan kata-kata
hati nian bertafakur mengikat janji-janji setia
tidak semudah melepaskan sebuah kapal kertas
berlayar di lautan api 
menongkah samudera gelora
seorang diri tanpa sebulat hati 
memperjudikan nasib 
merajut tali keimanan.

20/9/2012
Desa Alam Ria, Selangor

* Koleksi buku baharu yang dibeli di Jalan TAR

Isnin, 17 September 2012

Kem 1 Murid 1 Sukan Daerah Hulu Selangor 2012


Pada 11 hingga 13 September 2012 yang lalu PPD Hulu Selangor telah mengadakan Kem 1 Murid 1 Sukan yang bertempat di Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu. Kem ini disertai 18 buah sekolah termasuk sekolah saya. Setiap sekolah yang terlibat dikehendaki menghantar 4 orang murid dalam kalangan murid tahun 4 dan 5. Dua orang murid lelaki dan dua orang murid perempuan serta seorang guru pengiring. 

Kem ini adalah bermatlamat untuk memupuk semangat kesukanan dalam kalangan murid, membuka minat murid untuk bersukan serta menjalinkan semangat kerjasama. Selaras dengan dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan secara tidak langsung murid digalakkan melibatkan dalam aktiviti kokurikulum.

sesi ice breaking yang dikendalikan oleh
murid Sek. Men Agama Tinggi Kuala Kubu Bharu

sukan-hoki antara yang diajar

sukan- bola jaring

sukan-badminton yang diajar teknik asas tanpa menggunakan riket

sukan- sepak takraw. perempuan pun boleh main

sukan-bola sepak. walaupun gelanggang kecil masih boleh bermain

Kem ini bukan mengajar murid untuk menjadi seorang pemain profesional, sebaliknya mendedahkan murid dengan teknik asas bermain kelima-lima sukan tersebut. Walau bagaimanapun saya tidak nafikan daripada teknik asas inilah yang bakal menjadikan murid ini seorang pemain profesional kelak.

Saya melihat perhubungan mereka dalam menjalankan aktiviti berkumpulan sangat baik terutamanya murid India dan Cina. Setiap peserta memberi kerjasama. Diharap selepas mereka kembali ke sekolah dapatlah disebarluaskan kepada rakan-rakan yang lain tentang ilmu yang dipelajari.

Ahad, 16 September 2012

Saya Nak Jadi Penulis

Cerita Pertama:
Saya bertemu dengan seseorang yang tidak dikenali mahupun dia juga tidak mengenali saya. Waktunya sangat tidak menentu. Kabur. Dia meluahkan kepada saya hasratnya yang hendak menjadi seorang penulis. Hanya itu yang diulang cakapnya sepanjang pertemuan yang entah berapa lama. Setelah saya menyoalnya sudah berapa buah karya yang telah dihasilkan, dia hanya menggeleng kepala sesekali tersenyum. Itu bermakna dia belum mula menulis. Jadi saya menyoalnya lagi bilakah masanya dia hendak mula menulis. Jawapannya entahlah, tetapi saya berhajat benar untuk menjadi penulis. Kalau boleh sampai ke akhir hayat.

Dialog Pertama:
Saya   : Kamu kata kamu hendak jadi penulis. Betulkah?

Penulis: Ya, saya hendak jadi penulis. Kalau boleh penulis yang hebat dan dikenali ramai. Biarlah orang akan ingat saya sampai mati.

Saya   : Sudah berapa buah karya yang telah dihasilkan? Sudah tentu karya-karya itu hebat-hebat.

Penulis: Oh, belum lagi! Saya belum mula menulis. Saya akan tunggu idea yang baik saja untuk menulis. Saya tidak akan menulis dengan idea 'sampah' atau idea yang sudah basi. Atau orang cakap idea klise.

Saya   : Habis bilakah masanya idea mahakarya itu akan turun?

Penulis: Saya sedang menunggu.

Dalam cerita ada dialog. Dalam dialog ada cerita. Cerita dan dialog itu mampu berdiri sendiri sekiranya binaan asasnya kukuh.

Dialog dan cerita ini tiada kena mengena yang hidup mahupun yang telah kembali ke rahmatullah.
*Saya itu tidak semestinya saya. Makna lain bukan pemilik blog. Saya itu boleh sesiapa saja. Saya itu merujuk kepada kata ganti nama diri pertama untuk bertutur.

Jumaat, 14 September 2012

Kenangan di Awal Mula Menulis

Tatkala saya membelek-belek fail yang menyimpan karya saya yang tersiar (fotostat) saya terpandang akan surat penghargaan yang dikirimkan Tunas Cipta pada tahun 2009. Surat ini akan dikirimkan beserta senaskah Tunas Cipta untuk memberi penghargaan kepada penyumbang karya kepada Tunas Cipta.

Saya teringat lagi sewaktu sekitar tahun 2009. Saya tidak tahu yang Tunas Cipta akan mengirim surat penghargaan dan senaskah Tunas Cipta kepada penyumpang karya pada bulan yang mana karya penulis tersiar. Sehinggalah saya menerimanya sekitar awal bulan Jun 2009. Sebelum ini puisi saya pernah tersiar di Tunas Cipta bulan Februari iaini puisi pertama tersiar di Tunas Cipta dengan judulnya KL Masih Berlumpur

Semenjak saya tahu yang Tunas Cipta mengirim senaskah Tunas Cipta menjadikan semangat saya untuk menunggu pada bulan-bulan berikutnya semakin berkobar-kobar. Setiap kali di penghujung bulan mahupun memasuki awal bulan saya akan menunggu-nunggu posmen memasuki rumah saya. Jika ada sampul surat yang besar sekitar saiz A3 itu tahulah saya tentu sampul daripada DBP. Kerana pada ketika itu saya juga tidak tahu yang Tunas Cipta juga mempunyai Facebook-nya sendiri dan akan dipaparkan Kandungan Menarik Tunas Cipta setiap bulan. Memandangkan saya tidak ada kemudahan internet dan saya juga pada ketika itu menghantar karya menggunakan pos hanya sekadar menanti dan terus menanti posmen membawa berita gembira.

Surat penghargaan yang masih disimpan

Isnin, 10 September 2012

Ahad, 9 September 2012

Aktiviti Hujung Minggu

Pada hujung minggu ini apakah aktiviti hujung minggu anda? Saya? Duduk rumah saja. Rehat. Memandangkan letih berkursus belum habis lagi. Selain itu kemas rumah dan basuh baju. 

Sebenarnya saya hendak cerita tentang masak memasak ni. Pada hari ini saya telah masak sambal udang petai. Saya tahu ramai yang kurang gemar makan petai. Sebabnya, baunya yang kuat. Tetapi petai juga mempunyai banyak khasiat. Orang dulu-dulu jadikan petai sebagai ulam-ulaman.

Tentu ramai yang tidak percaya yang saya ini boleh memasak. Bukan pandai ya. Alhamdulillah berkat menolong kakak dan ibu di rumah dulu sedikit sebanyak tahulah saya memegang sudip, memotong bawang. Sebab itu ibu saya tidak risau bila saya tinggal seorang kerana dia tahu anak dia tidak akan mati kelaparan jika kedai makan tutup. 


Awal-awal lagi saya telah membeli petai. Disebabkan tiada masa untuk memasak jadi pilihannya adalah hari ini. Masing-masing ada caranya sendiri untuk memasak sambal petai. Ada yang gunakan udang dan ada pula gunakan ikan bilis. Kedua-duanya boleh. 

Sambal petai bersama udang dicampur sedikit dengan pati santan sangat mengiurkan. Rasanya lemak-lemak gitu.


*Petang esok saya akan membawa 4 orang murid untuk mengikuti Kem 1 Murid 1 Sukan di Kuala Kubu Bharu selama 4 hari 3 malam. 

Sabtu, 8 September 2012

Kursus KSSR Tahun 3- 2013 Dunia Seni Visual


Alhamdulillah, selesai. Itulah yang boleh saya katakan setelah Kursus KSSR tahun 3-2013 Dunia Seni Visual tamat dengan jayanya. Terima kasih saya ucapkan kepada jurulatih utama yang menjadi pemudah cara telah berjaya menjalankan tugas mereka dengan baik sekali.

Kursus KSSR bagi Daerah Hulu Selangor telah diadakan di PKG Kalumpang selama 4 hari. Bermula daripada 5-8 September 2012. Maknanya hari ini hari terakhir. Pada hari terakhir terpaksa dibuat di PPD Hulu Selangor kerana PKG tutup.

Di sini saya lampirkan beberapa gambar semasa kami menjalankan aktiviti menghasilkan evidens. Kumpulan saya telah ditugaskan untuk menghasilkan mobail. Mobail yang telah dihasilkan ialah ular.

Mobail - Ular
Lukisan - Buah Epal dan Oren
Ancaman Siku Keluang


Hasil daripada kumpulan-kumpulan lain 
Catan - Rama-rama
Lipatan dan Guntingan

Setakat ini saja yang dapat saya muat naik kerana internet saya ini masalah sikit. Sebenarnya ada lagi gambar yang menarik untuk dikongsi. Tetapi tidak mengapalah, saya kira cukuplah untuk panduan semua guru-guru yang hendak tahu sebahagian bidang dan aktiviti yang perlu diajar kepada murid tahun 3 tahun depan. Ini merupakan hasil kerja guru. Jadi kalau murid tidak berjaya mencapai apa yang kita mahukan janganlah cepat melatah. Buat dulu baru tahu betapa susah juga sebenarnya.

* Langganan majalah Dewan Sastera dan Tunas Cipta Ogos telah sampai. Tapi saya masih belum dapat membacanya lagi kerana langganan tersebut telah dialamatkan di Kedah

Khamis, 6 September 2012

Kegilaan Seorang Penulis

Kegilaan seorang penulis. Begitulah tajuk entrinya. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya sibuk berkursus selama 4 hari. Sudah tentulah diri terasa letih. Namun seperti ada yang mendesak-desak dalam fikiran saya. Apabila tidak menulis seperti hari-hari itu berlalu pergi begitu sahaja. Betapa ruginya.

Saya pernah membaca kumpulan cerpen Osman Dol-Mimpi Seorang Hartawan. Saya tertarik dengan sebuah cerpen di dalamnya yang berjudul REBAH. Cerpen ini saya anggap pengakuan penulis akan kehidupan seorang penulis yang jujur. Jika tidak menulis dalam satu hari tidak senang duduk dibuatnya. Apatah jika ditinggalkan berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan.

Jika saya tidak menulis saya akan membaca. Begitulah yang saya lakukan setiap hari. Seolah-olah jika orang luar melihat bahawa saya ini seperti hidup dalam dunia sendiri. Saya lebih banyak memerhati, mendengar daripada bercakap. Entahlah, saya rasakan saya ini seorang yang pendiam.

Sebatang pena itu jika saya tinggalkan lama, pasti susah untuk dimulakan. Seolah-olah mata pena itu menjadi tumpul. Bukan senang untuk mengasah kembali. Tetapi jika saya kekalkan walaupun sehari sebaris ayat ia tetap akan menajam.

Kegilaan saya lagi adalah menunggu setiap hari minggu ataupun setiap kali muncul bulan baru. Saya akan berusaha membelek-belek majalah yang saya ada hantar karya. Kadang-kadang saya membeli majalah atau pun surat khabar itu semata-mata untuk melihat karya saya saja. Selepas itu tersadai saja di rumah. Tetapi jika ada kesempatan saya cuba juga membelek majalah tersebut. Mana tahu ia dapat memberi ilham baru tidak pun dapat menambah ilmu saya.

Isnin, 3 September 2012

Pembelajaran Sepanjang Hayat

kredit gambar daripada sibur-sibur blogspot

Saya rasa antara banyak kerjaya, kerjaya gurulah yang paling sibuk menghadiri kursus. Oleh itu, saya namakan kerjaya guru sebagai kerjaya pembelajaran sepanjang hayat. Bukan sahaja kerjanya mengajar dan memberi ilmu kepada muridnya bahkan guru sendiri harus mempertingkatkan ilmu diri sendiri. Maklumlah hendak melahirkan modal insan kelas pertama.

Minggu ini sekitar 5-8 Septermber 2012, kursus penyebaran KSSR akan bersambung lagi. Antara mata pelajaran yang terlibat ialah Dunia Seni Visual dan Muzik. Disebabkan guru di sekolah saya banyak yang terlibat dengan komitmen lain saya 'terpaksa' menggantikan seorang guru untuk mengikuti kursus KSSR-Dunia Seni Visual Tahun 3 2013 di PKG Kalumpang. Mahu tidak mahu saya tidak boleh kata tidak kerana SAYA ADALAH YANG MENURUT PERINTAH.

Kreatifkah saya ini? Tunggu....

Walau bagaimanapun saya positifkan minda bahawa bolehlah saya mengambil peluang ini menambahkan ilmu. Jadi saya harapkan niat saya itu diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Moga Dia mempermudahkan segala urusannya. Amin.

Sabtu, 1 September 2012

Cerpen: Semanis Gadis Berbaju Kurung di Mingguan Wanita



Alhamdulillah, saya kira SEMANIS GADIS BERBAJU KURUNG merupakan hadiah terbaik kepada saya sempena Hari Kemerdekaan kali yang ke-55 tahun ini. Perhatikan petikan daripada cerpen tersebut:


Kata nenek baju kurung adalah busana paling hebat dan indah yang pernah dihasilkan oleh orang Melayu. Maka pewarisnya haruslah memiliki sikap ambil peduli dalam mengangkat busana ini ke tahap yang selayaknya. Memikul tanggungjawab dalam memelihara maruahnya. Tidak tercela dek keghairahan mengagungkan busana barat yang tampak tidak cukup sempurna untuk disarungkan di tubuh orang Melayu. 


Cerpen ini tersiar di MINGGUAN WANITA edisi 31 Ogos - 06 September 2012. Jadi kepada sesiapa yang belum memilikinya atau telah memilikinya, sudilah menyelak halaman cerpen dan membacanya. Sekiranya ada pandangan yang hendak dilontarkan, silakan.


Fuuhh, walaupun tidak dapat bergambar dengan penyanyi kesukaan saya ini dapat menyelit sedikit sudahlah. Harap-harap Datuk Siti Nurhaliza membaca cerpen saya. Cewah... berangan sakan nampak! Hehehe

Terima kasih kepada editor yang memilih cerpen ini. Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan yang mengirim SMS mengucapkan tahniah. Saya menghargai sokongan anda semua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78