Pengikut

Rabu, 24 Jun 2015

PT3 Sejarah 2015: Persetiaan Persekutuan 1895

Assalamualaikum.



Saya kira calon PT3, pasti sedang sibuk mencari maklumat untuk menyiapkan tugasan PT3 Sejarah 2015.
Soalan PT3 Sejarah 2015: Berdasarkan petikan dokumen Persetiaan Persekutuan 1895, buat kajian dan hasilkan laporan yang panjangnya tidak kurang daripada 300 patah perkataan.

Oleh itu, calon haruslah mengikut panduan penyediaan laporan yang ditetapkan agar calon dapat memperoleh markah yang tinggi. Secara kasarnya, jawapan calon haruslah merangkumi:

a) Tajuk kajian

(b) Objektif Kajian

(c) Isi kandungan



(d) Membuat rumusan

(e) Menyenaraikan sumber rujukan

Semoga berjaya kepada calon Pt3 Sejarah 2015.

Nota: Bahan yang dikongsi bukan jawapan sebenar. Bahan ini sekadar sumber maklumat yang boleh digunakan oleh calon PT3 untuk menyediakan Tugasan Sejarah. Harap maklum.

Ahad, 21 Jun 2015

PT3 Geografi: Contoh Borang Soal Selidik Kegiatan Ekonomi

Assalamualaikum.



Borang Soal Selidik
Tuagasan Pentaksiran Geografi PT3
Tajuk: Kajian Kegiatan Ekonomi di Kawasan ___________

NAMA                        :          _____________________________________
UMUR                        :          _____________________________________
JANTINA                   :          _____________________________________
BANGSA                   :          _____________________________________
ALAMAT                   :          _____________________________________
1.  Nyatakan pekerjaan anda.
     ..................................................................................................................
Jenis kegiatan

[  ] Pertanian
[  ] Perlombongan
[  ] Pendidikan
[  ] Pelancongan
[  ] Pembalakan
[  ] Perniagaan
[  ] Pelancongan
[  ] Pembinaan
[  ] Pengangkutan
[  ] Lain-lain (Nyatakan) ………………………………...  

2. Pendapatan
[  ] RM 5000 ke atas
[  ] RM 4999 - RM 3000
[  ] RM 2999 - RM 1999
[  ] RM 1000 ke bawah

3. Pengalaman Bekerja
[  ] Lebih 10 tahun
[  ] 5 hingga 9 tahun
[  ] Kurang daripada 5 tahun

4. Cadangan  usaha-usaha untuk menambah pendapatan penduduk di kawasan kajian.

a) .............................................................................................................
b) .............................................................................................................

5. Nyatakan kegiatan ekonomi yang berpotensi dimajukan di kawasan kajian.

a) ..............................................................................................................
b) ..............................................................................................................
c)..............................................................................................................

6. Mengapa anda kata sedemikian? 

a)  .............................................................................................................
b)  .............................................................................................................

c)  .............................................................................................................

Nota: Bahan yang dikongsi bukan jawapan sebenar. Bahan ini sekadar sumber maklumat yang boleh digunakan oleh calon PT3 untuk menyediakan Tugasan Geografi. Harap maklum.

Sabtu, 20 Jun 2015

PT3 Geografi: Cara-cara Melakukan Tugasan Kajian Lapangan

Assalamualaikum.

Calon dikehendaki menjalankan kajian lapangan tentang pekerjaan penduduk dalam pelbagai kegiatan ekonomi di sekitar kawasan tempat tinggal / sekolah calon.


3.2 Latar belakang kegiatan ekonomi di kawasan tersebut dan persembahan grafik yang sesuai tentang pekerjaan penduduk di kawasan kajian tersebut.


3.4 Kegiatan ekonomi yang berpotensi dimajukan di kawasan kajian anda dan alasannya. 



Jumaat, 19 Jun 2015

PT3 Geografi: Konsep dan Takrifan Kegiatan Ekonomi

Assalamualaikum.



Calon dikehendaki menjalankan kajian lapangan tentang pekerjaan penduduk dalam pelbagai kegiatan ekonomi di sekitar kawasan tempat tinggal / sekolah calon.

3.1 Konsep dan takrifan kegiatan ekonomi.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007 halaman 471 kegiatan ialah perihal atau keadaan giat, kecergasan ataupun aktiviti. 

Manakala ekonomi pula menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007: 379, ekonomi bermaksud ilmu berkenaan pengeluaran, pengagihan, penggunaan barang-barang, dan perkhidmatan; sistem pengendalian sumber kekayaan (kewangan, perindustrian, perdagangan) sesebuah negara; keadaan kekayaan atau kebendaan; urusan mengenai hal (perbelanjaan, penggunaan barang-barang) dalam rumah tangga. 

Oleh itu, kegiatan ekonomi boleh ditakrifkan sebagai aktiviti yang melibatkan pengeluaran, pengagihan, penggunaan barang-barang dan perkhidmatan dalam bidang pertanian, kewangan, perindustrian, perdagangan sesebuah negera. Kegiatan ekonomi juga merupakan sumber pendapatan untuk memperoleh keuntungan. 

Jenis-jenis Kegiatan Ekonomi


Pelbagai jenis kegiatan ekonomi di Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Kegiatan ekonomi di Malaysia boleh dibahagikan kepada kegiatan ekonomi primer, kegiatan ekonomi sekunder dan kegiatan ekonomi tertier. Pembahagian ini  berdasarkan bentuk kegiatan yang terlibat.

Sektor pertanian, perikanan, penternakan, perhutanan dan perlombongan termasuk dalam kategori kegiatan ekonomi primer kerana melibatkan pengeluaran secara langsung daripada sumber alam semula jadi tanpa mengubahsuai bentuk barang.

Contoh Pekerjaan : petani, nelayan, penternak, pelombong, pekebun, peladang, pembalak dan sebagainya.

Kegiatan ekonomi sekunder ialah kegiatan ekonomi yang kebanyakannya merupakan lanjutan daripada kegiatan ekonomi primer yang memerlukan  pemerosesan. Bahan mentah diproses menjadi barang siap atau barang separuh siap. Dua kegiatan ekonomi sekunder ialah kegiatan pembuatan (perkilangan) dan pembinaan.

Contoh Pekerjaan : pekerja kilang, operator pengeluaran, buruh binaan, jurutera dan sebagainya.

Kegiatan ekonomi tertier ialah sektor perkhidmatan, seperti pendidikan, perniagaan, perbankan, kewangan, pelancongan dan sebagainya.

Contoh Pekerjaan : guru, doktor, jururawat, polis, tentera, peguam, peniaga, penjaja, pekedai, kerani dan sebagainya.

Sumber: Bumi Gemilang

Nota: Bahan yang dikongsi bukan jawapan sebenar. Bahan ini sekadar sumber maklumat yang boleh digunakan oleh calon PT3 untuk menyediakan Tugasan Geografi. Harap maklum.

Khamis, 18 Jun 2015

Cadangan Usaha-usaha untuk Meningkatkan Pendapatan Penduduk di Kawasan Pertanian

Assalamualaikum.

Bentuk muka bumi di Malaysia yang tidak sama memungkinkan terdapat perbezaan kegiatan ekonomi yang sekali gus dapat menjadi sumber pekerjaan kepada penduduk untuk menjana pendapatan. 



Sebagai contoh, di Utara Semenanjung yang mana bentuk muka buminya rata dan bertanah subur membolehkan penduduknya mengerjakan sawah padi. Berbeza pula dengan negeri-negeri lain yang bertanah gambut dan sebagainya. 

Cadangan Usaha-usaha untuk meningkatkan Pendapatan Penduduk di Kawasan Pertanian

Hasil daripada kegiatan ekonomi itu merujuk kepada pertanian (sawah padi) terdapat pelbagai peluang pekerjaan yang boleh diperolehi. Antaranya, pesawah, pemandu lori untuk membawa hasil padi ke kilang, pembawa jentera penuai padi, pembawa jentera membajak dan sebagainya. 

Walau bagaimanapun, untuk meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan tersebut, pelbagai cadangan usaha-usaha yang boleh diambil. 


  • Amalan pertanian moden dilihat dapat menambah hasil tuaian padi yang berlipat kali ganda.
  • Penggunaan jentera pembajak, jentera penuai, mesin penyembur racun, mesin penyembur baja
  • Pnggunaan benih padi yang lebih bermutu, tahan lasak 
  • Kurangkan pergantungan kepada orang tengah
  • Eksport hasil padi ke luar negara


#Tugasan Geografi PT3 2015: Cadangan Usaha-usaha untuk Meningkatkan Pendapatan Penduduk di Kawasan Tersebut






Rabu, 17 Jun 2015

Tugasan Geografi PT3 2015: Kegiatan Ekonomi

Assalamualaikum.



Calon dikehendaki menjalankan kajian lapangan tentang pekerjaan penduduk dalam pelbagai kegiatan ekonomi di sekitar kawasan tempat tinggal / sekolah calon.


3.2 Latar belakang kegiatan ekonomi di kawasan tersebut dan persembahan grafik yang sesuai tentang pekerjaan penduduk di kawasan kajian tersebut.


3.4 Kegiatan ekonomi yang berpotensi dimajukan di kawasan kajian anda dan alasannya. 

Contoh kegiatan ekonomi di sekitar kawasan petempatan yang boleh menjana pekerjaan.

1. Pertanian
-sawah padi
-sayur-sayuran
-kelapa sawit
-getah

2. Perikanan

3. Perniagaan
-perniagaan runcit
-perniagaan kecil dan sederhana

4. Perusahaan
-perusahaan kraf tangan

5. Penternakan
-ikan
-udang

6. Perkilangan

Selasa, 2 Jun 2015

Tetamu Istimewa: Memaknakan Elemen Sosiobudaya Melayu

Assalamualaikum.

Tahun lepas Wan Hanif Wan Hamid telah mengulas Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa untuk Peraduan Ulas Buku ITBM dengan tajuk ulasan Tetamu Istimewa: Tentang Jiwa Remaja.

Pada tahun ini, sekali lagi Tetamu Istimewa diulas oleh seorang penulis iaitu Haniff Yusoff. Haniff mempertaruhkan ulasannya yang bertajuk Kumpulan Cerpen Remaja Tetamu Istimewa: Istimewanya kerana Memaknakan Sosiobudaya Melayu.

Aspek sosiobudaya Melayu telah diselongkar oleh beliau dalam sejumlah cerpen dalam buku ini.
Terima kasih saya ucapkan. Jemput baca ulasan tersebut. Jika berminat untuk memiliki buku tersebut boleh maklumkan kepada saya.

Kumpulan Cerpen Remaja Tetamu Istimewa: 
Istimewanya kerana Memaknakan Elemen Sosiobudaya Melayu



 Tajuk buku: Kumpulan Cerpen Remaja, Tetamu Istimewa
Penulis: Mohd Helmi Ahmad
Harga: RM 20 (SM)/ RM 25 (SS)
ISBN:978-967-430-401-0
Tahun terbit: 2014
Pengulas: Mohd Haniff Mohammad Yusoff
FB: Haniff Yusoff



Berdiri sebagai karya sastera remaja sewajarnya memberi sesuatu yang bermanfaat kepada golongan remaja itu sendiri dalam membentuk peribadi serta pekerti bagi melahirkan generasi yang berkualiti. Othman Puteh (1989) menerusi bukunya Sastera Remaja ditinjau daripada Beberapa Perspektif berpendapat sastera remaja itu pada dasarnya harus memberikan pendidikan selain hiburan kepada pembaca terutamanya golongan remaja.

Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa karangan Mohd Helmi Ahmad secara keseluruhannya menampilkan cerpen yang kaya dengan nilai-nilai murni untuk diteladani dan rata-ratanya berpaksikan sosiobudaya Melayu. Setiap satunya menonjolkan suasana, perlakuan dan adat resam yang sememangnya begitu akrab dalam kalangan masyarakat Melayu. Penyertaan elemen sosiobudaya dalam bahan bacaan untuk golongan remaja adalah suatu usaha yang wajar dalam memperkasakan jati diri kelompok ini.

Menurut A.C. Milner (dalam Ahmad Jelani Halimi, 2008) pengembara dan pelaut asing yang datang ke Tanah Melayu suatu masa dahulu mendapati setiap orang iaitu bangsa Melayu mempunyai kesedaran akan perpaduan, perkongsian bahasa, kesusasteraan dan cara hidup yang sama. Sosiobudaya Melayu yang didukung oleh pelbagai elemen merupakan lambang keutuhan jati diri dan identiti masyarakat Melayu itu sendiri. Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005) berpendapat budaya dan ketamadunan sesuatu masyarakat saling berkaitan kerana setiap tamadun dibina oleh budaya sesuatu masyarakat. Pantun di bawah merupakan contoh dalam mengungkap betapa signifikannya budi dan bahasa dalam masyarakat Melayu.

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2005)

Jika melihat ruang lingkup pantun di atas dengan skala yang lebih besar, pantun di atas sebenarnya menggambarkan betapa Melayu itu sememangnya dihadirkan dengan nilai-nilai kehalusan dan kesantunan. Pantun sendiri merupakan salah satu daripada elemen sosiobudaya Melayu yang cukup tinggi nilainya biarpun didepani prahara zaman yang tidak terduga.

Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa menampilkan 15 buah cerpen yang pernah mendapat tempat di dalam majalah dan juga akhbar tempatan. Cerpen pertama yang berjudul ‘Rancanganku Rancangan-Mu’ mengisahkan Amirul yang menghabiskan masa cuti semesternya di kampung bersama datuk dan neneknya. Perancangan asal yang sepatutnya bercuti di Cameron Highland tidak tercapai dek tugasan si ayah yang perlu menghadiri seminar di Pangkor. Cerpen ini dihadirkan dengan suasana kehidupan perkampungan Melayu yang begitu damai dikelilingi petak-petak bendang. Turut dikisahkan dalam cerpen ini ialah ikan-ikan darat dan ulam-ulaman menjadi menu dalam hidangan. Penulis juga memperkenalkan permainan tradisi masyarakat Melayu iaitu wau dalam cerpen ini. 

Pengalaman bermain wau tidak dapat kulupakan. Atuk banyak mengajarku mengenali warisan dan budaya orang Melayu. Dari menangkap ikan, makanan kampung, hinggalah permainan tradisional. Kata atuk, kalau kita yang tidak menjaganya, siapa lagi? Jangan biarkan ianya ditelan zaman.  (hlm. 8)

Melayu itu sememangnya dihadirkan dengan kesantunan budi pekerti yang tiada tolok bandingnya. Cerpen ‘Kedondong untuk Cikgu’ dan ‘Haruan di Pinggir Sawah’ menemukan pembaca dengan watak seorang guru yang perlu berhadapan dengan karenah anak muridnya yang adakalanya begitu mencabar kesabarannya sebagai seorang guru. Melalui cerpen ‘Kedondong untuk Cikgu’, Zahir yang selalu tidak menyempurnakan kerja sekolahnya, malah digambarkan sebagai murid yang selekeh akhirnya merealisasikan impian gurunya yang mengidam buah kedondong. Cerpen ‘Haruan di Pinggir Sawah’ pula mengisahkan Kamal yang sering dimarahi cikgunya kerana bercita-cita untuk menjadi penangkap ikan haruan dan di penghujung cerita pembaca akan ditemukan dengan kekesalan Cikgu Haris yang sering memarahi anak muridnya itu setelah mengetahui kehidupan sebenar anak muridnya itu yang serba kekurangan. Cerpen-cerpen ini memunculkan keluhuran budi seorang anak murid terhadap gurunya di mana mereka tidak menyimpan dendam sebaliknya menzahirkan rasa kasih dan hormat pada guru mereka. ‘Piala Penentuan’ juga dihiasi dengan molek pekerti dalam masyarakat Melayu yang wajar dicontohi oleh golongan remaja apabila watak utamanya Amar memohon restu daripada ayah dan ibunya apabila dia mempunyai perlawanan badminton dan dalam masa yang sama minatnya itu ditentang oleh ibunya sendiri. 

Sebelum Amar melangkah ke gelanggang, semalam dia ada beritahu ayah dan ibunya yang dia akan menyertai pertandingan badminton itu. Dia memohon restu dari kedua orang tuanya itu. Walaupun luka kekecewaan yang dicalarkan emaknya masih berparut, semua itu diketepikan. “Mak seandainya Amar tidak berjaya membawa pulang piala kemenangan, Amar akan gantung racket. Amar akan ikut segala cakap mak. Amar janji mak. Ayah doakan Amar.” (hlm. 87)

Amalan petua yang dipanjangkan generasi turun-temurun adalah sesuatu yang begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu. Biarpun dunia begitu taasub pada revolusi dan teknologi, amalan petua masih dipraktikkan sehingga ke hari ini dan melalui kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa, Mohd Helmi Ahmad menjelmakannya dalam cerpen ‘Tetamu Istimewa’ dan ‘Pulut Durian Santan Kelapa’. Cerpen yang menjuduli kumpulan cerpen ini iaitu ‘Tetamu Istimewa’ memberi pendedahan kepada pembaca mengenai amalan tradisi dalam menangani demam campak. Cerpen ‘Tetamu Istimewa’ membawa pembaca mendekati watak emak yang begitu rapi menjaga watak adik yang sedang mengalami demam campak dengan dimandikan dengan air penawar, malah watak emak juga tidak mengoreng dan menumis sebaliknya menyediakan ikan rebus sahaja untuk dijamu pada watak adik. Cerpen ‘Pulut Durian Santan Kelapa’ pula akan membawa kita kepada petua dalam menghilangkan rasa panas badan terutamanya selepas menikmati raja buah, durian. 

Petua ayah, ambil kulit durian yang dimakan dan masukkan sedikit air dalam pangsa kulit durian itu. Kemudian minum. Harapnya panas menjaram di dalam badan hilang, tidak pun kurang. (hlm. 117)

Adat resam yang menunjangi masyarakat Melayu turut disisipkan dalam cerpen-cerpen tulisan penulis dari negeri Jelapang Padi ini. Cerpen ‘Bunga Telur Kenduri Kahwin’ yang telah teruji kualitinya apabila diangkat sebagai pemenang Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010 agak menarik untuk dibicarakan. Cerpen yang turut mengemukakan elemen sosiobudaya Melayu ini mencetuskan pertembungan dua pendapat dari dua zaman yang berbeza antara anak dan juga ayah. Pertembungan perbezaan pendapat ini melibatkan antara perlaksanaan majlis kenduri kahwin secara adat warisan dan juga perlaksanaan majlis kenduri kahwin secara moden yang melibatkan perkhidmatan katering. Si ayah begitu terasa tercabar dengan tindakan anaknya kerana si ayah begitu setia sebagai pengamal budaya Melayu di kampungnya. Pembaca juga diperkenalkan dengan beberapa perkataan yang sememangnya begitu sinonim dalam majlis kenduri kahwin masyarakat Melayu secara tradisi seperti ‘tukang gerau’ dan ‘bentara’. Melalui cerpen ini juga, kemeriahan suasana majlis perkahwinan masyarakat Melayu secara tradisi dikisahkan oleh watak atuk kepada cucunya. Tuntasnya, cerpen ini memperlihatkan keupayaan penulis dalam membijakkan pembaca dengan memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai majlis perkahwinan masyarakat Melayu yang telah diamalkan sejak dari dahulu.

Mohd Helmi Ahmad turut menjelmakan adat resam masyarakat Melayu melalui cerpen ‘Rombongan Masuk Jawi’ yang mengisahkan amalan bersunat mengikut tuntutan ajaran Islam kepada kanak-kanak lelaki. 

“Bersunat wajib bagi lelaki Muslim. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa, bersunat wajib dilakukan ketika si anak hampir cukup umur atau akil baligh.” (hlm. 94)

Cerpen ini sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawa Islam menjadi akar umbi dalam perlaksanaan adat resam masyarakat Melayu. Ajaran Islam bergerak seiring dengan amalan masyarakat Melayu agar tuntutan agama tidak diabaikan dan segala adat istiadat atau amalan tidak melanggar hukum-hukum agama.

Sosiobudaya Melayu dilihat sebagai elemen yang penting untuk diterapkan dalam bahan bacaan agar golongan remaja dapat membentuk sahsiah mereka . Othman Puteh (1995) menegaskan karya yang bernilai sastera haruslah digarap dengan penuh kehalusan, perenungan, pentaksiran, memiliki sisi keistimewaan di samping memerlukan daya kepekaan untuk memahami makna kehidupan. Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa yang diselitkan dengan elemen sosiobudaya Melayu dalam helaian-helaiannya perlu dijadikan bahan bacaan dalam usaha melahirkan remaja yang unggul pekerti, yang kenal usulnya dan yang teguh jati diri, sekali gus memartabatkan sastera remaja itu sendiri. 


Rujukan
Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan tamadun bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kurik Kundi Merah Saga. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Helmi Ahmad. (2014). Tetamu Istimewa. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Mohd Koharuddin Mohd Balwi. (2005). Peradaban Melayu. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Othman Puteh. (1989). Sastera remaja ditinjau daripada beberapa perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh. (1995). Pengisian dunia sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Isnin, 1 Jun 2015

Kumpulan Puisi Sangkar Alam oleh Solihin Osman

Assalamualaikum.

PERTANDINGAN ULAS BUKU INSTITUT TERJEMAHAN BUKU MALAYSIA (ITBM) 2015

ULASAN BUKU: KUMPULAN PUISI SANGKAR ALAM OLEH SOLIHIN OSMAN





Kumpulan puisi Sangkar Alam oleh Solihin Osman merupakan naskah yang telah memenangi hadiah sagu hati 10 terbaik daripada 611 penyertaan sempena Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2. 

Wajah Sangkar Alam mengandungi ketinggian falsafah mengenai rekabentuk kulit buku ini. Tiga subjek utama sebagai imej yang mendominasi keseluruhan rekabentuk menunjukkan imej sangkar burung diletakkan di tengah landasan penglihatan pembaca sebagai subjek yang mengimbangi makna sesebuah karya. Aspek keseimbangan adalah salah satu elemen seni yang penting, menjurus kepada hasrat penulis terhadap kelahiran naskah ini. Seekor burung punai bewarna hitam dengan saiz yang kecil terletak di bahagian bawah manakala seekor burung merak yang memalingkan mukanya dikomposisikan di bahagian kanan atas rekaletak. Apakah komposisi ini diletakkan dengan susunan yang disengajakan? Tentu sekali tidak. Solihin Osman bukanlah calang-calang latar belakang. Dengan pengalaman jerih-perih dalam industri kreatif negara yang meliputi kepakaran senireka grafik / komunikasi visual, fotografi, teater, puisi, kewartawanan dan pendidikan selama 30 tahun, barangkali tidak ramai yang membaca beliau dengan mata yang celik.

Seekor punai dan seekor merak merupakan dua figura burung yang kontra perwatakan. Merak diumpamakan burung dari kayangan yang gemar berbanga dengan kecantikan manakala punai hanyalah burung hitam yang kecil tanpa perhiasan yang cantik diciptakan untuknya. Meneliti sumbangan kedua-dua burung, Nyata sekali, burung punai lebih prolifik dalam mengeluarkan telur yang menyumbang sebagai makanan berbanding telur burung merak yang keluar dalam jumlah yang sedikit, tidak pula sebagai makanan. Perbandingan yang menjadi falsafah utama sebagai wajah naskah Sangkar Alam ini melayakkan ia berada di tempatnya yang tersendiri. Benar kata para bijaksana, menjadi manusia yang jujur, rendah diri dan amanah tidak akan dipandang orang. Mereka yang sombong, khianat, berbangga diri, penipu dan iri hati kelihatan lebih mulia di dunia. Seperti mana burung punai dengan burung merak. Berbalik semula kepada sangkar, ia merefleksikan bahawa alam yang luan nian juga ada kurungannya, meliputi menjadi manusia yang mulia dengan menyangkarkan diri ke dalam peribadi yang sihat, walaupun jasad tidaklah dikurungkan di dalam sangkar.

45 buah puisi dimuatkan kesemuanya merakam aksi kehidupan manusia yang penuh dengan adiwarna dan makna. Puisi yang sifatnya multifungsi dengan segala isi kisah yang sarat dimampatkan dengan pemilihan kata yang paling ekslusif dari himpunan kata-kata yang ada menjadikan kata-kata yang lahir dari sebuah puisi adalah baris kata-kata pendek yang menggugah seribu satu pengertian. Untuk memahami sifat manusia, kita memerlukan bertan-tan buah buku untuk dibaca. Namun sifat manusia bukanlah konkrit seperti arca yang boleh disentuh untuk pengertian bahan dan wajah murninya. Sifat manusia yang abstrak menyukarkan kita memahami tindak tanduk yang pelbagai dalam kehidupan.

Dengan menjadikan budaya bangsa sebagai latar pengkaryaan, naskah Sangkar Alam dimulakan dengan sebuah puisi yang berjudul Alif Lam Dan Mim. Judul puisi ini merujuk kepada ayat pertama dalam kitab Al-Quran yang masih dikaji maknanya. Namun, Al-Quran sebagai panduan utama yang dihadiahkan oleh Allah SWT menyuruh manusia untuk membaca.

Membaca adalah perjuangan mencari ilmu. Dengan ilmu, manusia akan menjadi lebih baik dari haiwan dan bertingkahlaku sebagai manusia yang sebenarnya. Solihin mengulangi pertanyaannya kepada Pencipta dalam empat buah rangkap dengan ayat, ‘Rahsia apakah yang ada?’. Ia disusuli dengan pertanyaan tentang kejadian selepas kematian kelak. Dengan jasad yang pernah dibangga-banggakan, kehidupan yang penuh berkuasa, apakah kebanggaan dan kekuasaan tadi mampu membangunkan semula jasad yang telah lupus menjadi tanah? Alam yang penuh misteri ini sedia maklum dikaji sejak beribu-ribu tahun lamanya. Manusia berlumba-lumba mengeluarkan hasil dapatan dari ekstarakan mengenai permasalahan alam dengan menjadikan ia cabang-cabang ilmu pengetahuan. Saban masa, dapatan ini diganti dengan penemuan baru bagi mengangkat pemikiran seseorang menjadi topik perdebatan yang merancakkan dunia kesarjanaan.

Rangkap kedua,

Rahsia apakah yang ada
pada dasar laut yang gelita
meski masih ada hidupan
berenang dengan bahagia.

Solihin mengutarakan hal di dalam lautan yang misteri. Kegelitaan dasar laut dalam yang tetap melahirkan kehidupan barangkali lebih membahagiakan dari kehidupan manusia yang diterangi cahaya, namun tidak mengubah kebuasan nafsu di hati.

Rangkap ketiga,

Rahsia apakah yang ada
dalam padatnya belantara
jauh menyembunyikan segala rahsia
meski tamadun terus dicipta
tersisih dari pura-pura.

Kerap mengatakan belantara itu adalah dunia tanpa tamadun. Yang berkuasa akan menghinjak yang lemah. Rantaian makanan menjadi lumrah bagi menghalalkan kekejaman. Haiwan-haiwan pemangsa liar mencakar tubuh mangsa yang berdaya. Haiwan-haiwan mangsa bersembunyi di sebalik hijaunya dedaun yang menjadi perisai dengan penyamaran untuk mengelak dari dibaham dengan tragis. Jika belantara itu adalah dunia tamadun, Solihin bertanya mengenai adakah tamadun-tamadun yang diciptakan oleh manusia saban saat menjadi lebih baik daripada tamadun belantara?

Rangkap empat,

Rahsia apakah yang ada
pada langit tanpa warna
luas dan menakjubkan
kita yang kecil mementingkan kebesaran
kuat tapi kalah dengan kematian.

Solihin menyaksikan betapa luasnya alam bagi manusia yang amat kecil sering mendabik dada dengan kekuasaan yang maha kecil yang dirasakan maha besar. Sekali lagi Solihin masih lagi bertanyakan makna bagi kekuatan dan kebesaran kuasa oleh manusia ketika kematian memuktamadkan segalanya.

Rangkap lima,

Rahsia apakah yang ada
sedangkan segala jawapannya
ada pada Tuhan yang satu
Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Akhir sekali, jawapan sahih tentang segala pertanyaan tentang alam hanyalah ada pada-Nya, Allah SWT yang menciptakan dengan keagungan kuasa. Adakah manusia yang memahami makna puisi ini masih lagi curang dengan hakikat kehidupan. Tepuk dada tanya selera.

Kesimpulannya, Solihin menerusi puisi Alim Lam dan Mim mempelawa pembaca bertanyakan semula soalan yang sama tentang rahsia alam yang sering bermain dalam inkuiri. Hakikatnya, kehidupan ini sangat singkat untuk berbangga dengan apa yang kita ada. Menjadi bongkak, dengki dan khianat asalkan memperolehi kuasa dan kedudukan di dunia hanyalah sifat orang-orang yang gagal. Apalah salahnya memilih menjadi manusia hebat yang berperibadi mulia, asalkan kematian yang pasti dapat membawa roh kepada pembalasan yang baik yakni Firdausi.

Puisi Penyair Cinta yang merupakan puisi kedua dalam naskah Sangkar Alam mengungkapkan definisi cinta yang erat dengan perasaan sayang dengan tiga rangkap yang ringkas. Cinta merupakan satu perkataan dengan jutaan definisi. Kepada siapa ia ditujukan adalah hal yang abstrak. Seekor semut barangkali boleh menjadi hal cinta menjurus kepada ilmu tentangnya. Apatah lagi cinta sesama manusia yang sangat dinamik lahiriahnya.

Rangkap satu,

Kita lahir kerana cinta
cinta dari langit yang tulus
cinta dari rasa hati dan rasa fikir
anugerah untuk kehidupan
kehidupan dan masa depan.

Solihin seringkali mencatatkan kecintaannya dalam puisi. Seringkali pembaca akan menemui cinta Solihin lebih bersifat universal. Mencintai manusia menjadi dukungan perasaan yang lahir dari-Nya. Ia turun ke hati seiring dengan naluri semulajadi juga fikiran tentang perancangan masadepan. Tiada manusia yang tidak disuntik perasaan cinta ke dalam kenormalan narwastunya. Dengan cinta, Solihin mengetahui bahawa masa depan ditentukan oleh benih cinta hari semalam.

Rangkap kedua,

Ada yang mempertikaikan cinta
cinta hanya nafsu
cinta itu palsu
cinta adalah mimpi
cinta bukan hakiki.

Solihin menghadami ramai yang mempertikaikan kemanisan cinta. Ramai menuduh cinta adalah nafsu yang diisi dengan pendustaan. Mereka menafsirkan cinta bagai mimpi yang tidak tahu akan terjadi. Malah mereka menganggap cinta bukanlah satu hal yang benar. Ada golongan yang menolak cinta.

Rangkap ketiga,

Cinta memekarkan kita
menjadi insan yang rindu
kepada cinta dan kesejahteraan.

Solihin menyimpulkan bahawa kelahiran kita sebagai manusia juga atas dasar cinta. Dengan cinta kita menjadi perindu. Merindukan cinta adalah satu bentuk emosi yang syahdu, apatah lagi mencintakan kesejahteraan yang menjadi paksi kepada kebahagiaan.

Puisi Penyair Cinta merupakan sebuah puisi yang ringkas dengan diksi. Namun pengertiannya menjurus kepada cinta yang sejati iaitu cinta kepada Allah SWT akan mewujudkan kesejahteraan dan kebahagiaan dalam hidup. Apabila manusia meletakkan cinta yang asli di kedudukan yang tinggi, golongan yang menuduh cinta itu palsu tidak akan wujud kerana kebobrokan fikrah menafsir definisi cinta yang sebenarnya adalah punca makna cinta dipersampahkan. Solihin mengingatkan pembaca bahawa kesejahteraan dan kebahagiaan datang dari hati yang bersih. Dengan hati yang suci, tingkahlaku juga akan secara automatik melaksanakan perintah tentang cinta dengan melaksanakan kebaikan dan menolak kemudaratan. Cinta untuk-Nya adalah yang utama. Dan, penyair cinta adalah mereka yang memahami tujuan perkataan cinta itu dimasukkan ke dalam relung fikiran.

Ketika mengulas naskah Sangkar Alam, saya teringatkan Solihin sebagai figura yang bernafas di balik-balik keriuhan kehidupan. Beliau wujud dengan peribadi seorang pendidik yang sering berpesan kepada semua anak didiknya supaya menghormati jasa mereka yang pernah membantu kita. Narwastu Solihin terhadap ibunya diungkapkan dalam puisi Harumnya Ibu.

Rangkap satu,

Dari mata seorang ibu
lahir kenangan dari perjuangan
dan sebuah pengalaman dalam perjalanan
mencari dan menuai bahagia
dalam rimba cinta
seorang pengembara.

Solihin mengajak pembaca untuk memalingkan ingatan kepada perjuangan seorang ibu ketika melahirkan dan membesarkan anak-anak sehingga dewasa. Ibu merupakan satu figura yang tiada galang gantinya. Hanya ada seorang ibu di dunia ini. Tiada seorang anak pun yang boleh dilahirkan oleh dua orang ibu. Tiada. Mata seorang ibu yang melahirkan mampu mengimbas keperibadian anaknya. Jangan lupa, seorang ibu adalah seorang wanita. Mereka juga pernah menjadi kanak-kanak, remaja perempuan yang sering keliru ketika menuju ke alam dewasa. Pengalaman ini dipupuk sebagai pengembara kehidupan yang mana hasrat untuk menuai kebahagiaan dalam setiap kehidupan anak-anaknya adalah satu perjuangan yang panjang.

Rangkap dua,
Dari bibir seorang ibu
terbit mentari yang harum
bunga-bunga rindu
rona-rona kasih
menjadi senja abadi
dan pelangi kendiri.

Menggunakan bibir sebagai perlambangan, nasihat dan penerangan mengenai kancah kehidupan sering menjadi mentari harum yang terbit bagai bunga-bunga di bibir seorang ibu. Berleter barangkali merupakan satu istilah yang kerap diberikan oleh golongan anak-anak masa kini. Namun, apabila masa terbang dan hinggap ke tangkai realiti, ketika itulah anak-anak akan memahami bahawa pelangi itu ilusi. Yang indah tidak datang dengan mudah.

Rangkap tiga,

Dari potret seorang ibu
terlukis tamadun usia
dengan garis-garis pengorbanan
jalinan mimpi dan restu
dalam bingkai hayat yang putih
gubahan iman dan kemanusiaan.

Solihin yang juga merupakan seorang pelukis mengerti garis-garis penuaan yang jelas di wajah seorang ibu adalah bukti pengorbanan. Anak sebagai kanvas putih disenikan dengan rupa, bentuk, ruang, jalinan dan warna yang bersemarak menjadi manusia yang berjaya. Apakah elemen seni yang digunakan dalam melukiskan masadepan seorang anak? Solihin menjawabnya dalam bait kata, ‘gubahan iman dan kemanusiaan’. Iman dan kemanusiaan merujuk kepada kemanisan Islam dan rasa ihsan sesama manusia adalah pasak yang ditanam oleh ibu bagi setiap anak-anak yang kudus.

Rangkap empat,

Dari diri seorang ibu
ada sejarah yang jauh
ditulis oleh tinta kemanisan
di atas lebar yang lembut
bersulamkan benang kehidupan
sepanjang zaman.

Solihin melihat dalam diri seorang ibu adanya sejarah panjang yang direncanakan oleh hal-hal yang rencam. Kemanisan perjuangan dapat dirasakan dengan kejayaan anak-anak. Ia cukup membahagiakan dan membuktikan kejayaan seorang ibu dalam melaksanakan pendidikan. Nilai-nilai baik yang dibawa oleh seorang ibu akan dibawa sepanjang masa selagi usaha mengenang jasa ibu mekar dalam hati setiap anak.

Puisi Harumnya Ibu adalah dedikasi Solihin kepada setiap ibu. Jelas akan usaha pendidikan datang dari perjuangan dan penentangan yang gigih dari hati yang cekal mengasuh anak-anak menjadi manusia yang berguna. Masa yang berlalu merefleksikan hasil asuhan yang diberikan sejak mula. Asuhan yang baik akan mengharumkan wangian dalam kejayaan. Namun, setiap anak juga berhak menggunakan kebijaksaannya untuk merencana masadepan berkat dari asuhan yang diterima sejak mula. Dalam Islam, ketinggian martabat seorang ibu tidak boleh disanggah. Menghormati dan menyayangi ibu adalah satu ibadat yang besar nilainya. Haruman seorang ibu bukanlah dalam halwa yang semarak secara mata kasar, puisi ini lebih jauh hasratnya apabila anak-anak menjadi ibu yang mengulangi perjuangan yang sama.

Puisi Jadi Jadilah di mukasurat 9 dimulakan dengan perkataan, ‘Jadilah padi yang ranum’. Penggunaan padi amat dekat dengan falsafah bangsa Melayu yang menjunjung alam sebagai nilai kehidupan. Jadilah padi yang ranum mengajak pembaca menjadi bangsa yang kaya, bermanfaat dan berguna kepada masyarakat. Namun, ketika takwim sedang bergayutan di hujung tangkai takwim, seringkali manusia menjadi lupa diri dengan kejayaan yang sedikit. Kekuasaan dan pangkat menjadi longkang besar dalam menjalinkan kemanusiaan. Sedangkan hakikat padi itu yang semakin banyak berasnya, semakin menunduk ke bumi. Tidak pula bongkak dengan jasa yang diberikan.

Rangkap satu,

Jadilah padi yang ranum
menunduk pada alam yang mesra
harumnya membuka selera
menjadikan hayat mendaki cita
berlari kemajuan dalam litar perjuangan
jadilah padi yang setia dan hormat
tawaduk tapi keras kulitnya
menyelimuti beras yang kasih.

Solihin yang berasal dari Kangar, Perlis mengobservasi padi yang mesra dengan keperibadian seorang insan yang merendah diri dan tidak mengejar nama, pangkat dan harta. Beliau menerangkan ketika manusia memperjuangkan sesuatu dalam kehidupan, semailah sifat setia dan hormat kepada insan sekeliling. Bertawaduk dengan kemurnian peribadi walaupun cabaran datang setiap hari.

Rangkap dua,

Jadilah seperti tebing yang rindu
saban dihempap gelora masih sabar
sesekali runtuh dihanyutkan lara
tebing masih menghadap ombak dan riak duga
sangat akrab bersama aur
penuh ikhlas dan rela
demi sebuah sejahtera.
Solihin mengajak pembaca mendalami peribadi tebing yang setia mempertahankan sesuatu yang disayangi. Menjadi setia haruslah ikhlas dan rela bersusah senang bersama-sama. Akhirnya, kesejahteraan akan melahirkan kebahagiaan yang dikejar-kejar oleh setiap manusia.

Rangkap tiga,

Jadilah seperti kita
harum berseni dalam rimbunan khatulistiwa
kehijauan yang mendinginkan minda
kabus menyelimuti persoalan
dan gerimis embun menyirami doa.

Akhir sekali, Solihin merumuskan untuk mencapai kejayaan yang hakiki, jadilah manusia yang menjadikan alam sebagai pesanan tentang kekuasaan-Nya. Kehijauan belantara menyejukkan minda ketika hujan menyirami jiwa dengan doa yang meleraikan kabus dalam persoalan. Menjadi bijaksana adalah perkara yang dituntut oleh Islam, seiring dengan falsafah Melayu yang erat dengan kebenaran.

Akhir sekali, puisi Sangkar Alam II yang menjadi tajuk naskah kumpulan puisi ini menerangkan tentang keperibadian dan fitrah dua ekor burung iaitu puyuh dan merak.

Dia itu puyuh berjalan sambil melihat pemberian
sesekali mendongak menilai kawan
berjalannya menuju ke permukaan
timbul menjadi sabut yang berdoa.

Dia itu merak yang terbang bersama enggang
rumahnya di pergunungan utara
tempat mengumpul segala kesombongan
matinya dilurah dan gaung
malang yang hina.
Puyuh dan merak
tiada bezanya
ditakdirkan menjadi beburung
lebihnya hanya mampu terbang
tanpa perlu pertolongan.

Solihin menggunakan subjek burung puyuh sebagai pembawa makna dalam puisi ini. Burung puyuh adalah burung kecil yang tidaklah secantik burung merak. Namun, ia tetap menjadi burung dengan sifat rendah diri sambil mengeluarkan telur yang banyak dari konteks memberikan jasa kepada yang lain. Merak pula diketahui burung cantik yang suka mempamerkan kecantikan dirinya. Dari satu segi, ia adalah lahiriahnya yang semulajadi. Namun, menjadi sombong dan berbangga diri bukanlah sifat yang sinonim dengan kesantunan bangsa Melayu, apatah lagi ditolak dalam Islam.

Solihin melihat dunia sering menjadikan merak dan manusia yang sombong ini sebagai kelompok yang menang. Namun secara realitinya, ketika mengdapai alam selepas mati, mereka ini terhumban ke lembah yang hina. Walaubagaimanapun, menjadi manusia yang jujur dan merendah diri atau memilih menjadi manusia sombong dan berbangga diri tetap menemukan hakikat bahawa semua tetap akan hidup dalam perjuangan masing-masing. Ia adalah sesuatu hal yang perlu diterima dengan redha.

Kesimpulannya, kumpulan puisi Sangkar Alam adalah pesanan-pesanan dari ekstarakan secara teliti oleh Solihin terhadap perwatakan manusia di sekitar kehidupan. Merujuk kepada alam yang maha luas, apalah salahnya berkongsi segala rezeki dan zat-zat yang dilimpahkan oleh Allah SWT secara adil kepada setiap hambanya. Yang terbang akan hinggap jua ke tanah, yang berenang akan timbul juga ke permukaan air dan yang akhirnya, ketaian akan melahirkan kehidupan baru dengan pembalasan yang maha adil. Alam adalah sangkar yang ilusi bagi mereka yang terlupa tujuan mereka dihembuskan nyawa. Dan sangkar tersebut adalah kebahagiaan bagi mereka yang menilai fungsinya sebagai punca kegemilangan di akhirat kelak.

TAMAT.

FIRDHAUS HASSAN
TANJONG MALIM
31 MEI 2015


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78