Pengikut

Isnin, 31 Ogos 2015

Sorotan Tema Hari Kemerdekaan/Kebangsaan dari Tahun 1970 hingga 2015

Assalamualaikum.


SOROTAN TEMA HARI KEMERDEKAAN/KEBANGSAAN 
DARI TAHUN 1970 HINGGA 2015

  1. 1970 - Muhibah dan Perpaduan
  2. 1971 - Masyarakat Progresif
  3. 1972 - Masyarakat Adil 
  4. 1973 - Masyarakat Berkebudayaan Malaysia
  5. 1974 - Sains dan Teknologi Alat Perpaduan
  6. 1975 - Masyarakat Berdikari
  7. 1976 - Ketahanan Rakyat
  8. 1977 - Bersatu Maju
  9. 1978 - Kebudayaan Sendi Perpaduan
  10. 1979 - Bersatu Berdisiplin
  11. 1980 - Berdisiplin Berbakti
  12. 1981 - Berdisiplin Berharmoni
  13. 1982 - Berdisiplin Giat Maju
  14. 1983 - Bersama ke Arah Kemajuan
  15. 1984 - Amanah Asas Kejayaan
  16. 1985 - Nasionalisme Teras Perpaduan
  17. 1986 - Bangsa Tegas Negara Teguh
  18. 1987 - Setia Bersatu Berusaha Maju
  19. 1988 - Bersatu
  20. 1989 - Bersatu
  21. 1990 - Berjaya
  22. 1991 - Wawasan 2020
  23. 1992 - Wawasan Asas Kemajuan
  24. 1993 - Bersatu Menuju Wawasan
  25. 1994 - Nilai Murni Jayakan Wawasan
  26. 1995 - Jatidiri Penggerak Wawasan
  27. 1996 - Budaya Penentu Kecapaian
  28. 1997 - Akhlak Mulia Masyarakat Jaya
  29. 1998 - Negara Kita, Tanggungjawab Kita
  30. 1999 - Bersatu ke Alaf Baru
  31. 2000 - 2006 - Keranamu Malaysia
  32. 2007 - Malaysiaku Gemilang
  33. 2008 - Perpaduan Teras Kejayaan
  34. 2009 - 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan
  35. 2010 - 1Malaysia: Menjana Transformasi 
  36. 2011 - 1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera
  37. 2012 - 55 Tahun Merdeka - Janji Ditepati
  38. 2013 - Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku
  39. 2014 - Malaysia... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta
  40. 2015 - #SehatiSejiwa
Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan ke-58 bagi tahun 2015 kepada seluruh rakyat Malaysia. 

Ahad, 30 Ogos 2015

Hujan Bulan Juni

Assalamualaikum.



Alhamdulillah, saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung sempena cuti Hari Kebangsaan. Walaupun hanya sekadar cuti tiga hari sahaja, bagi saya nilai bertemu dengan keluarga walaupun seketika itu sangat berharga. 

Jangan hairan sangat kalau cuti tiga hari pun saya bawa beg besar balik ke kampung. Dalam tu tak payah nak tanya ada apa? Setakat baju sehelai dua saja. Yang lain penuh dengan buku dan majalah.

Memang tabiat saya, setiap kali balik ke kampung saya akan bawa balik buku yang dibeli untuk disimpan di rak buku di kampung. Rutin ini sudah lama saya amalkan. 

Petang itu, antara buku yang menemani perjalanan saya balik ke kampung ialah Hujan Bulan Juni. Buku yang baru dibeli. Dah lama dengar orang kata sajak Sapardi Djoko Damono hebat. Kali ni baru berpeluang membacanya. 

Memetik catatan penulis: Hujan Bulan Juni pertama kali diterbitkan oleh Grasindro, tahun 1994, berisi sepilihan sajak beliau yang ditulis dari tahun 1964 sampai 1994. Sajak-sajak itu berasal dari beberapa buku puisi, yakni duka-Mu abadi (1969), Mata Pisau (1974), Akuarium (1974), dan Perahu Kertas (1984). 

Sapardi Djoko Damono lahir di Solo, 20 Maret 1940. Ia menulis puisi sejak tahun 1957 ketika masih menjadi murid SMA tetapi baru menerbitkan buku puisi pertama, duka-Mu abadi, tahun 1969. Beberapa buku puisinya yang kemudian terbit adalah Mata Pisau, Akuarium, Perahu Kertas, Sihir Hujan, Hujan Bulan Juni, Arloji, Ayat-ayat Api, Mata Jendela, Ada Berita Apa Hari Ini, Den Sastro?, Kolam, Namaku Sita, dan Sutradara Itu Menghapus Dialog Kita. 

Nah, saya belanja satu sajaknya!

Aku Ingin 

aku ingin mencintaimu dengan sederhana: 
dengan kata yang tak sempat diucapkan 
kayu kepada api yang menjadikannya abu.

aku ingin mencintaimu dengan sederhana:
dengan isyarat yang tak sempat disampaikan
awan kepada hujan yang menjadikannya tiada.

1989

Sabtu, 29 Ogos 2015

Puisi-puisi Pilihan untuk Pertandingan Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan

Assalamualaikum.


Sempena bulan Kemerdekaan ini, pastilah di mana-mana sahaja akan adanya pertandingan ataupun sayembara deklamasi puisi. Di sekolah umpamanya, sudah pasti akan dilangsungkan pertandingan ini bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah. Oleh itu, di sini saya kongsikan puisi-puisi pilihan untuk pertandingan tersebut. 








Khamis, 27 Ogos 2015

Karangan UPSR: Cara-cara Menghargai/Memanfaatkan Masa Lapang

Assalamualaikum.



Soalan: Tulis sebuah karangan bertajuk cara-cara menghargai masa lapang. 

Setiap orang mempunyai aktiviti masing-masing. Begitu juga dengan saya. Terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh saya lakukan untuk mengisi masa lapang. 

Antara aktiviti berfaedah yang saya lakukan untuk mengisi masa lapang adalah bersukan. Pada waktu petang, saya bermain bola sepak dengan rakan-rakan di padang. Dengan bersukan, saya dapat menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. 

Selain itu, saya membaca untuk mengisi masa lapang. Saya suka membaca buku cerita, majalah dan komik. Dengan membaca, saya dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan perbendaharaan kata saya. 

Seterusnya, aktiviti berfaedah yang saya lakukan bergotong-royong sebagai cara menghargai masa lapang. Saya membantu keluarga saya untuk membersihkan rumah. Dengan bergotong-royong semua kerja dapat dilakukan dengan cepat. Setelah itu, rumah saya menjadi bersih dan cantik.

Akhir sekali, saya memancing untuk mengisi masa lapang. Pada hujung minggu, saya mengikut ayah ke sungai. Dengan pergi memancing, saya dapat merehatkan minda dan dapat menikmati keindahan alam. 

Pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan sebagai cara menghargai masa lapang. Oleh itu, kita haruslah bidak mengurus masa agar masa kita tidak terbuang begitu sahaja, sebaliknya dapat dipenuhi dengan aktiviti berfaedah. Bak kata pepatah, masa itu emas. 

....................................

Karangan ini merupakan karangan yang ditulis oleh murid kelas saya dengan bimbingan saya. Suka saya untuk berkongsi hasil kerja murid ini sebagai penghargaan daripada seorang guru kepada seorang murid. Untuk makluman juga, karangan ini ditulis oleh murid kelas belakang. 

Oleh itu, saya percaya dengan bimbingan oleh guru, murid kelas belakang juga mampu menulis dengan baik. Jika diperhatikan, kerangka karangan ini cukup mudah dihasilkan dengan mengikut formula yang diberikan. Walaupun karangan fakta, jika murid mampu mengikut formula yang diberikan, murid itu juga mampu mendapat markah yang tinggi. 

#Contoh karangan UPSR #Cara-cara menghargai masa lepang #Cara-cara memanfaatkan masa lapang #Aktiviti berfaedah untuk mengisi masa lapang #karangan fakta

Rabu, 26 Ogos 2015

Penulis Karya Sastera Kanak-kanak Masih Kurang

Assalamualaikum.


Jika diambil kira pencalonan karya; buku sastera kanak-kanak dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Malaysia masih ketandusan penulis karya sastera kanak-kanak. Ketandusan hasil karya untuk genre cerpen, puisi dan drama terbukti apabila dalam kategori ini hanya mendapat beberapa sahaja pencalonan berbanding kategori dewasa. 

Oleh itu, untuk memupuk budaya membaca dan menyuburkan kecintaan kanak-kanak terhadap sastera agak terbantut berikutan bahan sokongan iaitu bacaan untuk genre ini tidak menyokong. Jumlah penerbitan untuk setiap tahun tidaklah membanggakan jika hendak diukur dari segi jumlah kanak-kanak yang ada di Malaysia untuk menampung keupayaan bacaan mereka. 



Untuk genre novel tidaklah membimbangkan penerbitannya. Hal ini demikian kerana genre ini ada sahaja penerbitannya untuk setiap bulan. Tetapi untuk genre kumpulan cerpen, puisi dan drama satu usaha yang jitu perlu disegerakan agar bahan bacaan untuk genre ini dapat diterbitkan. 

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah dengan menganjurkan sayembara untuk kategori kumpulan cerpen, puisi dan drama kanak-kanak agar penulis tertarik untuk menghasilkan karya kanak-kanak. 

Selain itu, bengkel-bengkel penulisan karya kanak-kanak juga boleh dianjurkan bagi memberi panduan dan dorongan kepada penulis untuk menulis dalam genre ini. 

Seharusnya, penulis karya sastera kanak-kanak tidak berasa rendah diri untuk berkarya, sebaliknya berbangga kerana bukan mudah untuk menulis karya kanak-kanak yang baik. Paling penting lagi, menulis karya sastera kanak-kanak adalah satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh penulis demi membentuk kecintaan kanak-kanak terhadap ilmu, bahasa dan sastera negara.


Ahad, 23 Ogos 2015

Menjadi Penulis yang Berjaya

Assalamualaikum.

Selamat berhujung minggu rakan-rakan. Masih adakah yang sudi membaca coretan di blog saya ini? Harap-harapnya adalah ya. Saya cuba untuk mendisiplinkan diri untuk menulis di blog ini. Cara paling mudah saya fikir, saya boleh panjangkan status FB saya di blog ini. 

Menjadi penulis yang berjaya! Wah, besar tajuk entri ini! Namun tidak salah mempunyai cita-cita untuk menjadi penulis yang berjaya. Penulis yang berjaya hari ini pun bermula dengan langkah yang pertama. Oleh itu, untuk menjadi penulis yang berjaya haruslah mempunyai perancangan yang betul dan disiplin yang tinggi.

Sekadar perkongsian ringkas aktiviti penulisan saya adalah mengenai Bank Karya. Sejak daripada awal lagi saya telah menyediakan Bank Karya untuk mengurus karya saya supaya lebih sistematik. 



Dalam Bank Karya bahagian cerpen, saya membahagikan kepada beberapa fail iaitu Cerpen Tersiar, Cerpen Dalam Perhatian, Cerpen Belum Siap dan Cerpen Asal.

1) Cerpen Tersiar memuatkan koleksi cerpen saya yang pernah disiarkan dalam surat khabar dan majalah. 

2) Cerpen Dalam Perhatian menyimpan cerpen yang saya hantar kepada editor tetapi masih dalam tempoh pertimbangan. 

3) Cerpen Belum Siap menyimpan cerpen yang dihasilkan sekerat jalan. Jadi cerpen ini saya simpan walaupun entah bila pula hendak menyiapkannya. 

4) Cerpen Asal menyimpan cerpen asal yang saya hasilkan sebelum disunting oleh editor untuk disiarkan dalam ruangan kelolaan mereka.

"Untuk mendapatkan sesuatu, kita perlu memulakan sesuatu. Tanpa ada titik permulaan, mustahil akan muncul titik penamat."

Motivasi untuk diri sendiri. Selamat menulis.

Sabtu, 22 Ogos 2015

Membeli Buku Tidak Menjadikan Kau Miskin

Assalamualaikum.


Saya langsung tidak percaya, apabila seseorang membeli buku dia akan menjadi miskin. Lantas, saya suka menambah begini, apabila seseorang membeli buku dia akan menjadi kaya. Kaya itu sangat subjektif untuk ditakrifkan dengan material. Sebaliknya tidak, jika dengan penambahan ilmu pengetahuan, pengalaman dan segala sumber yang berkait rapat dengan pencernaan daya fikir hingga mampu membentuk peradapan bangsa berilmu. 

Penulis dan Buku Berpisah Tiada

Harus bagaimana lagi untuk saya nyatakan bahawa penulis harus berdamping dengan buku. Dengan aktiviti pembacaan yang bugar, nescaya segala penulis itu mampu mencipta satu kondisi yang mana dia masih hidup dalam dunia penulisan.  

Sudah agak lama saya tidak membeli buku. Namun itu tidak memberi tanda bahawa saya tidak membaca dalam tempoh itu. Pada bulan Ogos ini saya mengambil keputusan untuk membeli beberapa buku; kumpulan cerpen, kumpulan puisi, buku panduan penulisan dan kembara sastera. 

Kembara Sastera

Sudah lama saya hendak membeli buku ini. Namun seringkali tertangguh. Bagaimanapun, percayakah anda bahawa saya pernah menulis artikel tentang buku ini yang bertajuk Transformasi dalam Pendokumentasian Hasil Penulisan yang pernah disiarkan dalam majalah Dewan Bahasa. Antara lain, artikel itu menjelaskan tentang bagaimana penulis merakam kembara sasteranya ke dalam bentuk buku. Sebelum itu, catatan itu dikongsikan dalam blognya sendiri. 

Kuasai Cerita dan Menulis Secara Kreatif

Saya tidak merancang untuk membeli kedua-dua buku ini. Namun, kehadiran kedua-dua buku ini secara lintas pandang apabila saya terbaca status Puan Zalila Isa-Editor ITBM. Langsung, tanpa memikir panjang saya memesan terus daripada beliau. Perkara pertama yang membuatkan saya tertarik pada buku ini ialah "Panduan Penulisan Kreatif untuk Remaja". Sebagai penulis karya remaja saya harus mendalami ilmu penulisan karya remaja dengan sebaik-baiknya. Buku ini ialah buku terjemahan yang sekali imbas belekan saya, sangat baik mutunya. 

Kumpulan Puisi - Dongeng Perkebunan dan Aroma

Kedua-dua kumpulan puisi ini membawa aura yang tersendiri dalam jagat sastera. Dongeng Perkebunan karya Jasni Matlani pernah memenangi Tempat Ketiga Sayembara Penulisan  ITBM 2. Manakala Aroma hasil cetusan pengarang, pengkritik yang sangat hebat keberadaannya dalam dunia penulisan sastera di Malaysia iaitu SM Zakir. 


Buku dari Indonesia

Melihat Api Bekerja, Yang Hidup dan Mati dan Perempuan Patah Hati yang Kembali Menemukan Cinta Melalui Mimpi antara yang menarik perhatian saya untuk memilikinya. Suka saya menceritakan bahawa kumpulan cerpen Eka Kurniawan - Perempuan Patah Hati yang Kembali Menemukan Cinta Melalui Mimpi ini, sebelum membuat keputusan membelinya saya ada terbaca artikel yang memperkatakan tentang buku ini. Langsung, tanpa berfikir panjang saya memutuskan untuk membelinya. Sebelum ini saya pernah membaca novelnya, Seperti Dendam Rindu Harus Dibayar Tuntas.

Oleh itu, haruskah kita berasa rugi untuk membeli buku? Sedangkan buku-buku bakal menjadi khazanah ilmu yang sangat tinggi nilaiannya pada suatu masa nanti.


Khamis, 20 Ogos 2015

Formula Menggunakan Penanda Wacana dalam Karangan

Assalamualaikum.



Sesebuah karangan yang mantap perlulah mempunyai kohesi dan koheran yang sesuai dan tepat. Oleh itu, murid atau pelajar haruslah menggunakan penanda wacana yang tepat dalam penulisan karangan. Di sini saya kongsikan formula asas yang boleh digunakan oleh murid atau pelajar dalam penulisan karangan UPSR/PT3/SPM.

i) Penanda wacana untuk memulakan karangan

1. Pada era globalisasi ini, 
2. Dalam meniti arus kemodenan ini, 
3. Dewasa ini,
4. Pada masa ini,
5. Kini
6. Dasawarsa ini,
7. Sejak sedekad yang lalu,
8. Kebelakangan ini, 
9. Belakangan ini, 
10. Sejak akhir-akhir ini,
11. Baru-baru ini,
12. Umum mengetahui bahawa,
13. Sejak zaman berzaman,
14. Sejak dahulu lagi,
15. Pada tahun belakangan ini, 

ii) Penanda wacana untuk memulakan isi baharu selepas perenggan pengenalan

1. Antara, (untuk perenggan kedua)
2. Selain itu, 
3. Di samping itu, 
4. Sementara itu, 
5. Dalam pada itu,
6. Lain daripada itu,
7. Seterusnya,
8. Begitu juga dengan,
9. Akhir sekali,

iii) Penanda wacana untuk menghuraikan isi karangan 

1. Saya berpendapat demikian kerana
2. Hal ini demikian kerana
3. Hal ini berlaku kerana
4. Hal ini terjadi kerana
5. Hal ini disebabkan oleh
6. Hal ini wujud akibat daripada
7. Hal ini bersangkut-paut dengan
8. Hal ini berpunca daripada
9. Hal ini tercetus apabila
10. Tindakan tersebut perlu dilakukan supaya ......

iv) Penanda wacana untuk memberi contoh dalam karangan

1. Misalnya,
2. Contohnya,
3. Sebagai contoh,
4.Tamsilnya,
5. Seperti yang kita sedia maklum,
6. Antaranya adalah seperti
7. Satu contoh
8. Satu cara
9. Antara contoh

v) Penanda wacana untuk menghuraikan contoh

1. Hal ini mengakibatkan
2. Hal ini menyebabkan
3. Oleh itu, 
4. Maka,
5. Oleh hal yang demikian,
6. Oleh sebab itu,
7. Jelaslah bahawa,
8. Justifikasinya,

vi) Penanda wacana menutup isi

1. Kesannya,
2. Natijahnya, 
3. Akibatnya,
4. Akhirnya,
5. Dengan itu,
6. Kesudahannya,
Dengan berbuat demikian,
8. Dengan keadaan sedemikian,

vii) Penanda wacana menulis dua huraian dalam satu ayat

1. justeru
2. juga
3. malah
4. malahan
5. tambahan pula
6. sementelahan
7. bahkan juga
8. sekali gus
9. di samping 
10. bahkan 
11. malar-malar

viii) Penanda wacana untuk memulakan perenggan penutup

1. Kesimpulannya,
2. Intihanya,
3. Secara tuntas,
4. Tuntasnya
5. Konklusinya,
6. Sebagai penutup wacana,
7. Sebagai penghias bicara akhir,
8. Sebelum mengakhiri wacana ini,
9. Secara keseluruhan,
10. Secara total,
11. Akhir kata,

ix) Penanda wacana untuk menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza

1. Walau bagaimanapun,
2. Namun demikian,
3. Namun begitu,
4. Meskipun,
5. Daripada perspektif yang berbeza,
6. Jika dilihat dari sudut lain,
7. Dengan kata lain,
8. Kontradiksinya,
9. Di sebalik itu,
10. Dalam pada itu,
11. Dari sudut lain,

x) Penanda wacana untuk memulakan atau memasukkan ungkapan menarik termasuk peribahasa, slogan dan kata-kata hikmat

1. ... bak / seperti kata peribahasa
2. ... bak kata peribahasa Melayu
3. ... kata pepatah Melayu
4. ... bak kata pepatah Cina/Inggeris/ dll
5. ... bak kata mutiara
6. ... bak peribahasa
7. ... bak pepatah
8. ... bak kata cendekiawan
9. ... persis kata peribahasa
10. ... persis kata peribahasa Melayu
11. ... persis kata orang tua-tua
12. ... persis kata mutiara
13. ... persis peribahasa
14. ... persis kata cendekiawan
15. Hal ini sama dengan peribahasa
16. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni 
17. Fenomena ini dikatakan
18. Masalah ini sama dengan peribahasa
19. Saya yakin kalau slogan ... dijadikan pegangan oleh semua 

Sumber: #Whatsapp

Isnin, 17 Ogos 2015

Novel Berbaur Lucah Memenuhi Pasaran Terbuka

Assalamualaikum.

Apa faedahnya baca novel? Ada banyak perkara lagi yang aku boleh fikir selain daripada nak ambil tahu novel apa yang terbaru? Terbitan mana? Siapa penulisnya?

Haah..elok sangatlah begitu. Sampaikan murid kau bawa novel berbaur lucah pun kau tak tahu. Yang kau tahu, bagus. Teruskan membaca.


Murid pun dapat tahu guru yang banyak membaca dengan guru yang tidak suka membaca. Kalau setakat reaksi guru tu..oh..oh...oh...alamatnya mudahlah terpedaya dengan kelicikan murid zaman sekarang ni.
.............

Murid saya tiba-tiba berubah wajah apabila saya menyapanya. Baca novel apa? Tengok sekejap? Oh, ini terbitan ....? Kan saya dah cakap, jangan baca novel terbitan ni. 

Sebab .... belum sempat saya sambung, murid tu dah sambung. Mana kamu tahu? Cikgu kan dah pernah bagitahu, jangan baca novel terbitan ni.

Jadi kepada ibu bapa dan guru ambil tahulah sikit tentang dunia penerbitan novel di negara kita ini. 

Mana yang baik, mana yang tidak. Jika novel yang sebegini sudah dibaca oleh murid sekolah rendah, rosaklah akhlaknya.


Gunakan akal yang waras ketika menulis

Lelaki (penulis) mempunyai 9 akal dan 1 nafsu. Perempuan (penulis) mempunyai 1 akal dan 9 nafsu. Gunakanlah sebaik mungkin anugerah (fitrah) ini ke arah amal makruf nahi mungkar.

Andai sekalipun kau tidak berupaya melakukan kebaikan, jangan kau menyeru untuk melakukan kejahatan.

Saya pesan kepada diri sendiri terlebih dahulu dan rakan-rakan penulis supaya janganlah kita merosakkan akhlak anak-anak remaja kita dengan menawarkan bahan bacaan berbaur lucah ini. 

Menulislah untuk ibadah, bukan memikirkan keuntungan semata-mata. Biarpun di dunia kita dapat mengaut kemewahan tetapi di akhirat pula kita mengumpul dosa yang teramat berat. Percayalah setiap apa yang kita tulis itu akan dihisap di akhirat kelak.

Sabtu, 15 Ogos 2015

Cerpen: Usain Bolt dari Kampung Kami

Assalamualaikum.

Sebagai penulis sudah pastilah akan berasa gelisah sekiranya tidak dapat menulis. Kata lainnya, tidak ada karya yang terhasil dan tersiar dalam tempoh tertentu. Namun begitu, rutin membaca tidak dapat tidak ditinggalkan. Walaupun tidak menulis, proses membaca akan tetap berlaku. 



Alhamdulillah, setelah lama saya menyepi akhirnya cerpen Usain Bolt dari Kampung Kami hadir sebagai suntikan semangat kepada saya untuk kembali menulis cerpen. Cerpen ini disiarkan dalam majalah Harmoni edisi 15-30 Ogos 2015

“Hanya kejayaan dan kegemilangan yang dapat mengubah pandangan orang ramai terhadap kau. Sebelum ini, mereka pandang kau sebelah mata sahaja kerana kau itu gelap, bukan berkulit sawo matang seperti orang Melayu yang lain. Itu belum lagi kekurangan lain yang tidak perlu aku sebutkan. Dunia telah membuktikan bahawa Usain Bolt yang berkulit gelap itu dipandang tinggi setelah dia berjaya menakluk dunia. Kejayaannya itu telah menutup kekurangan fizikalnya itu.”

Cerpen ini bukanlah cerpen terbaharu yang saya hasilkan. Cerpen ini dihasilkan pada akhir tahun lepas. Kemudian, saya hantar ke satu media untuk penilaian editor. Setelah menunggu lebih daripada enam bulan, saya mengambil keputusan untuk menghantarnya kepada editor majalah Harmoni. Alhamdulillah, nampaknya editor majalah Harmoni menerimanya. 

Saya dan majalah Harmoni tidak asing lagi. Sejumlah cerpen saya pernah disiarkan dalam majalah ini sebelum ini. Ada antaranya yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxonmobil (HSKU). 

Saya harap kepada bakal penulis dan penulis baharu, janganlah mudah berputus asa jika karya yang dihantar kepada editor ditolak. Kadangkala proses penolakan ini dapat memberi peluang kepada penulis untuk menilai kembali karyanya itu. 

Tidak mustahil juga, karya yang ditolak itu bukan kerana tidak bagus tetapi tidak sesuai disiarkan dalam media tersebut kerana muatan kandungan media tersebut berbeza dengan karya yang dihantar. Oleh itu, untuk mengurangkan peratusan karya ditolak, analisis dahulu media tersebut sebelum menghantar karya. Selamat mencuba. 



Jumaat, 7 Ogos 2015

Karangan Ramalan Bahasa Melayu UPSR 2015

Assalamualaikum.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi menjelang tiba. Insya-Allah, UPSR dijadualkan pada 8,9 dan 10 September 2015. Saya kira guru dan murid pasti sedang membuat persediaan yang secukupnya untuk menghadapi UPSR. 

Bahasa Melayu UPSR - Karangan Ramalan 2015 merupakan buku yang ditulis oleh Azhar Salleh ( Munyi Dewan DBP) dan Omar Alivi (JU KSSR Bahasa Melayu). Buku ini diterbitkan oleh Penerbitan Witra sebagai panduan dan rujukan guru dan murid. 


Terdapat 50 karangan yang dimuatkan dalam buku ini. Konsep buku ini mudah, padat dan ringkas. Karangan yang dimuatkan merangkumi karangan jenis:

1. fakta, cerita/keperihalan
2. biografi/autobiografi
3. syarahan, 
4. ucapan, 
5. berita, 
6. catatan, 
7. laporan, 
8. dialog/ temu ramah
9. surat rasmi. 

Setiap soalan disertai dengan karangan lengkap yang sesuai dengan murid UPSR. Setiap karangan ditulis enam perenggan mengikut format pemarkahan UPSR.


Oleh itu, guru dan murid bolehlah mendapatkan buku Karangan Ramalan Bahasa Melayu UPSR 2015 ini sebagai panduan dan rujukan. 

Isnin, 3 Ogos 2015

Penghayatan Sastera dalam DSKP Bahasa Melayu Tahun 6 2016

Assalamualaikum.



Setelah meneliti kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu Tahun 6 2016, saya mendapati aspek penghayatan sastera amat dititikberatkan.

"Standard Kurikulum Bahasa Melayu boleh dijadikan pemangkin untuk memahami akal budi, pemikiran dan sosiobudaya penuturnya ke arah melahirkan semangat cinta akan bahasa dan tanah air yang dikongsi bersama dalam satu wawasan demi memartabatkan bahasa Melayu".

Hasrat ini dapat dicapai melalui Standard Pembelajaran:

(1) 2.2.3 Membaca dan memahami ayat yang mengandungi perkataan berimbuhan dalam bahan bacaan prosa dan puisi dengan sebutan yang betul.

(2) 2.5.3 Membaca, memahami, dan menaakul bahan untuk memindahkan maklumat kepada bentuk grafik, puisi atau prosa.

(3) 2.6.1 Membaca bahan sastera untuk menghasilkan idea baharu.

(4) 3.2.6 Menulis teks prosa dan puisi secara mekanis dengan betul dan kemas.

(5) 3.2.7 Menulis teks prosa dan puisi secara mekanis dalam bentuk tulisan berangkai dengan betul dan kemas.

(6) 3.7.2 Menghasilkan penulisan imaginatif dan deskriptif dengan bahasa yang menarik.

(7) 3.9.1 Menulis ulasan tentang bahan sastera dan bukan sastera dengan menggunakan ayat yang gramatis.

(8) 4.1.1 Menyebut dan memahami seni kata lagu dengan melahirkan imaginasi melalui penghasilan karya sastera.

(9) 4.4.1 Melafazkan puisi dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul serta memahami puisi tersebut.

(10) 4.4.2 Mencipta puisi menggunakan bahasa yang indah dan melafazkannya dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul serta memahami puisi tersebut.

Oleh itu, adalah diharapkan guru-guru yang ditugaskan dan diamanahkan untuk mengajar Bahasa Melayu Tahun 6 2016 dapat merealisasikan hasrat ini dengan sebaik mungkin.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78