Pengikut

Khamis, 31 Mei 2012

Musim Cuti Sekolah VS Musim Perkahwinan


Kredit gambar dari shakirshafiee.com

Nampaknya musim cuti sekolah menjengah lagi. Diselang seli pula dengan musim perkahwinan. Begitu rancak sekali.

Arh... kawan-kawan yang sebaya mahupun muda sedikit sudah ramai yang menamatkan zaman bujang. Tidak kiralah lelaki atau perempuan. Ada yang sudah mempunyai anak. Bahagianya. Terasa diri ini sudah tu......

Nak buat macam mana belum sampai seru!

Kepada kawan-kawan yang melangsungkan majlis perkahwinan pada musim cuti sekolah ini saya ucapkan Tahniah, Selamat Pengantin Baru. Moga kekal hingga akhir hayat. Bahagia dan dimurahkan rezeki. Amin.

Rabu, 30 Mei 2012

Sejumlah Penulis Baharu Mengisi Ruangan di Tunas Cipta

Tunas Cipta terkini Mei 2012

Tunas Cipta edisi 2000

Saya melihat perkembangan Tunas Cipta pada tahun 2012 ini dari bulan Januari hinggalah bulan Mei 2012. Sejumlah penulis baharu diberi ruang dan peluang yang cukup luas. Saya berharap mereka ini tidak hanya hangat-hangat tahi ayam. Kerana melalui Tunas Ciptalah saya mula mengasah bakat dan membina tapak untuk terus berada dalam dunia penulisan kreatif ini. Mari kita perhatikan sejumlah penulis ini.

Ruangan Sejambak Ilham
1. Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri
2. Rahman D
3. Shafawati Mohd. Nor
4. Hafizi Radzi
5. Noraidah Siuh
6. Muhamad Hafizudin Ali
7. Ning Rashid
8. Nur Ilyani Alias
9. Imramlee Amir Hussin
10. Khairul Hakimi Mansor
11. Shah Nadzri
12. Rashedi Mahligai
13. Mohd. Fadzil Yusof
14. Aedi Asri Abdullah
15 Azmi Ibrahim
16. Muhammad Justin
17. Efandi Yusop
18. Anjan Ahzana
19. Muhammad Afzan Ismail
20. Mohd. Hafis Ismail
21. Muna Ali
22. Raden Qurratu 'Aini M. Mun'im
22. Maslijan Abd. Rasad
23. Hanim Musa
24. Rabiatul adawiyah Ab. Samad
25. Normaliza Azman Mah
26. Ramakrisnan a/l Ramasamy
27. Soh Li Wen
28. Solihin Abu Hasan
29. Shukri mohd. Ali
30. S. Fatimah Said
31. Muhammad Arif Bazli
32. Farahana Hussain
33. Faiz Suhaime
34. Arumi Kiswantoh
35. Tuah Sujana
36. Muzammil Rahim
37. Zaid saleh
38. S. Fatimah Said
39. Syukri Sapuan
40. Noorazila Abdullah
41. Muzasa
42. Azie Izziera
43. Ahmad Syafie Mahyani
44. Faiz suhaimie
45. Muhammad Afzan Ismail
46. Fahd Razy
47. Hasni Jamali
48. Siti Nur Faridah Sheikh Abd. Rahman
49. A. Muziru Idham
50. Shamsul Amin
51. Suinah Majangin
52. Muhd. Aizie
53. Mohd Haniff Mohammad Yusoff
54. Khalil Zaini
55. Hazwan Ariff Hakimi
56. Khalil Zaini
57. Zayrul Iqwan
58. Nor Najwa Azmee
59. Malijan Abd. Rasad
60. Kartini Kassim
61. Norhayati Abu Bakar
62. nur Izzatie Halim
63. Inan Naurah
64. Hani Salwa Yaakup
65. Efandi Yusop
66. Noor Syawalizda Ghazali @ Mohd Zain
67. Amir Rullah Mod. Noor
68. Muhammad Arif Din

Ruangan Nukilan Pena
1. Aliff Farhan Madehi
2. Siti Fatimah Mohd. Said
3. Fatul Khair Mohd. Dahlan
4. Nurul Syahida Kamarudin
5. Mohamad Fauzi Abdul Samad
6. Nimoiz T.Y
7. Zuki Zukifli
8. Khairul Hakimi Mansor
9. Nur Suhada
10. Nurul Qurratu 'aini Sulaiman
11. Bintang Kartika
12. Badariah Arbin
13. Hafizul Faiz
14. Aidamarni Salleh
15. Muhammad Syansuri Omar
16. Nur Syafiah Mohd Isa
17. Asmidar Alias
18. Nadiah Zaini
19. Roslan Daud

Untuk ruangan Sejambak Ilham hanya terdapat beberapa orang penulis sahaja yang puisinya tersiar dua kali yang lain-lainnya hanya sekali. Namun tidak dalam ruangan Nukilan Pena hanya setiap penulis hanya sekali sahaja cerpen mereka disiarkan dalam tempoh lima bulan ini.

Bukan semua penulis yang karyanya tersiar di ruangan Sejambak Ilham dan Nukilan Pena merupakan karya sulung. Ada antaranya sudah menempa nama dan ada juga yang karyanya berjaya menembusi media lain seperti Sayidah Mu'izzah Kamarul ShukriS. Fatimah Said, Farahana Hussain, Tuah Sujana, Nimoiz T.Y, Roslan Daud, Hasni Jamali, Fahd Razy, Hazwan Ariff Hakimi, Khalil Zaini, Hani Salwah Yaakup, Syukri Sapuan, Shukri Mohd Ali, Solihin Abu Hassan, Anjan Ahzana, Azmi Ibrahim, Mohd Fadzil Yusof, Zaid Saleh, A Muziru Idham dan Mohd Haniff Mohammad Yusop. Barangkali ada lagi yang saya terlepas pandang. Lebih manisnya lagi ada di antaranya mantan MPR.

Sememangnya Tunas Cipta muncul tepat pada masanya di kala keterbatasan Dewan Sastera dalam menyiarkan karya-karya penulis Malaysia. Saya menasihati saya sendiri dan penulis-penulis baharu ini supaya lebih gigih, disiplin untuk terus memartabatkan dunia penulisan kreatif. Jangan mudah berpuas hati dan jangan pula cepat mengalah. Cabaran yang diharungi moga dijadikan guru yang terbaik dalam mengaut pengalaman untuk terus maju.

* Saya berharap kepada pembaca sekalian yang namanya tersenarai di atas sekiranya mempunyai blog dapat link - kan url anda kepada saya. Saya ingin berkenalan dengan lebih ramai kawan.


*Insyaallah saya akan cuba melihat sejumlah penulis yang sering terbit pula di Dewan Sastera.

Selasa, 29 Mei 2012

Puisi: Selamat Pagi Cikgu di Mingguan Warta Perdana


SELAMAT PAGI CIKGU merupakan puisi terkini yang tersiar di Mingguan Warta Perdana edisi 3 Jun 2012. Alhamdulillah. Ini merupakan puisi kedua saya yang disiarkan di MWP. Terima kasih editornya yang tidak jemu-jemu melayan kiriman karya saya saban bulan. 

SELAMAT PAGI CIKGU saya tulis selepas saya mengakhiri tempoh praktikum selama 3 bulan di SK Padang Kota, Perlis. Puisi ini saya sifatkan sederhana namun berjuang dalam senyap-senyap. Perhatikan rangkap terakhirnya. 


...............
Selamat maju jaya anak-anak muridku
cikgu mendoakan kesejahteraanmu
membesarlah dengan ilmu di dada
melangkahlah dengan penuh iltizam
percayalah kejayaan tidak pernah lari dari usaha
tapi kegagalan sentiasa mengintai di sebalik
mentari yang muncul di setiap hari.

Ahad, 27 Mei 2012

Selamat Sampai di Kedah


Alhamdulillah saya selamat sampai di Kedah. Menaiki bas pada pukul 9 pagi dan sampai di Sahab Perdana kira-kira pukul 3.30 petang dan sampai rumah pukul 4 petang. Membelah lebuh raya Utara Selatan sambil menyaksikan sawah padi menghijau menggamit kenangan di alam kanak-kanak.

Kemudian malamnya ke rumah ibu saudara saya untuk majlis bacaan kulhu dan tahlil. Segala-galanya berjalan dengan lancar.

Jumaat, 25 Mei 2012

Al Fatihah Kepada Ibu Saudara

kredit gambar dari noorizamsabran


Sebelum Berlepas Pergi
(al fatihah kepada ibu saudaraku Che Som Yaacob)

Sesungguhnya
kematian datang tanpa bersapa
walaupun tidak diminta
ia datang dengan pelbagai cara.

Sesungguhnya
kematian tidak boleh ditolak
apatah lagi dihindarinya
kerana setelah giliran sampai
berpisahlah roh dari jasad.

Sesungguhnya
kematian akan meninggalkan
segala-galanya
biar wang setinggi gunung
biar cinta seluas lautan
biar tangisan membasah kesedihan
namun diharapkan
sebelum berlepas pergi
sediakan dulu bagasi amal
moga cukup bekalan
sementara menunggu
hari kiamat kelak.

Mohd Helmi Ahmad
25/5/2012
Batang Kali, Selangor

Khamis, 24 Mei 2012

Cerpen- Pulut Durian Santan Kelapa (silalah nikmati)



PULUT DURIAN SANTAN KELAPA
Bera marah kepada penjual durian belum lagi reda kini anak-anak pula buat hal. Abang Syawal menarik muka cemberut. Darahnya menyerbu ke muka. Jangan-jangan ada yang hendak tegur. Nanti dibaliknya maki hamun. Abang Syawal memang orangnya panas baran. Macam orang yang makan durian. Cepat saja panas badan. Tapi ada caranya menghilangkan kepanasan itu. Petua ayah, ambil kulit durian yang dimakan dan masukkan sedikit air dalam pangsa kulit durian itu. Kemudian minum. Harap-harap panas menjaram di dalam badan hilang tidak pun kurang.  
Kebetulan ketika itu aku singgah sebentar di rumahnya sebelum aku pulang ke kampung menjenguk ibu dan ayah. Dengar aku mahu pulang ke kampung Abang Syawal mahu kirimkan sesuatu kepada ibu dan ayah. Sebab itulah aku singgah sebentar di rumahnya untuk mengambil pesanan itu. Abang Syawal kalau dah berleter mengalahkan perempuan. Kak Seri pun kalah. “Tak guna punya penjual durian, ditipunya aku hidup-hidup. Dahlah dicekeknya darahku.” 
Mulanya aku sekadar menelinga. Biarlah Abang Syawal menghabiskan rasa tidak puas di hatinya yang menimbun bukit itu. Tetapi lama kelamaan carutan Abang Syawal semakin menjadi-jadi pula seperti orang yang tidak ada iman. Bukankah amarah itu api syaitan. Maka sebagai seorang Islam kekuatan iman adalah sebagai pendindingnya. Ayah selalu menasihati kami adik-beradik. “Jangan dilawan jangan dituruti nafsu syaitan itu. Pergilah berwuduk secepat mungkin. Segala kekeruhan akan segera terluntur bersama jirusan wuduk itu.”
“Dahlah. Mungkin itu rezekinya. Rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.” Aku menghulur air penyeyuk. Moga-moga hati yang mengelodak panas setidak-tidaknya menjadi suam.
“Rezeki, rezeki juga. Takkan nak bagi makan anak bini dengan duit yang haram. Mana nak cari keberkatannya.” Abang Syawal masih tidak mengaku kalah.
“Satu kilo RM 10. Kalau tiga biji itu beratnya dah lima kilo mahu tak RM 50 harganya. Kata durian dari baka cantik. Apa gunanya kalau duri saja cantik tapi isi di dalam tak sehebat secantik kulitnya.” Pedas. Tajam. Kata-kata Abang Syawal mengandung sindiran. Kerana anak-anaklah dia sanggup membeli buah durian itu. Kalau tidak tunggu musim durian jenuh barulah Abang Syawal berkira-kira mahu membelinya. Pada masa itu harga durian akan jatuh. Sudah sehabis ikhtiar Abang Syawal menahan nafsunya untuk menikmati durian. Bukannya tidak tahu, Abang Syawal memang hantu durian. Pantang nampak durian, sebiji dimakannya habis.
“Dalam satu biji durian itu tak semua pangsanya elok. Macam juga dalam sebuah keluarga, anak-anak tak sama perangainya. Ada yang jenisnya mahukan belaian manja, ada yang nakal, ada yang bijak, ada pula yang kurangnya. Kita sebagai ibu bapalah yang harus bijak mencoraknya. Sabun yang dipegang di tangan jangan terlalu kuat, jangan pula terlalu lembut. Nanti terlepas jatuh.” Cakap-cakapku masih berlapik-lapik. Aku tidak mahu Abang Syawal terasa hati.
“Aku cakap fasal durian. Dah kau pergi melalut sampai ke sabun itu buat apa? Bukan senang aku nak cari duit nak beli durian tu. Anak-anak bukannya faham. Sekarang bukan musim durian sebenarnya lagi. Durian masih tak jenuh di pasaran. Mahalnya bukan main. Itu tak bermakna penjual mengambil kesempatan dengan menjual dengan harga yang tinggi. Bila dah tiba musim durian, jenuh di pasaran masa itu mereka melalak, merayu tak cukup suara. Ada yang sangup jual serendah RM 0.50 sekilogram. Masa itu barulah mereka mengelabah. Durian dah tak jadi duit. Bersepah saja di dusun. Pekebun pun tepuk dahi. Tupaipun dah muak nak kerjakan setiap hari.”
“Itulah lumrah kehidupan. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Adakala kita di atas adakala kita di bawah. Jadi kenalah sediakan payung sebelum hujan. Sebab orang kita malas berfikir. Bukankah Allah bagi akal kepada manusia untuk berfikir. Ada hesmisfera kanan ada hemisfera kiri. Durian itu bukan sahaja boleh dimakan begitu sahaja. Banyak lagi produk yang boleh dihasilkan dengan menggunakan durian. Misalnya tempoyak yang popular di Perak. Kenapa kita tak komersialkan hingga ke peringkat antarabangsa? Selain itu, dodol perasa durian, lempok, jem, gula-gula perasa durian, aiskrim dan banyak lagi yang boleh menjadi nilai tambah bagi mengurangkan lambakan durian di pasaran.”
Tiba-tiba sahaja kenangan musim durian menjengah tiba.  
“Abang ingat lagi tak peristiwa 20 tahun lalu (rupa-rupanya zaman kanak-kanak sudah berlalu 20 tahun). Masa itu ayah ada bawa balik seuncang plastik hitam buah durian ke rumah. Masa tu bukan main seronok lagi kita adik-beradik. Meloncat-loncat kita. Ibu awal-awal lagi dah siap tanak pulut bila ayah beritahu dia keluar untuk membeli durian di pekan. Bukan senang nak makan durian. Setahun sekalipun susah. Iyalah kita bukan dari keluarga senang. Nak cari sesuap nasipun kena kerah tenaga sampai meleleh-leleh peluh turun.”
“Belumpun lagi durian sampai ke rumah kita dah tunggu di depan tangga di halaman rumah. Bila nampak saja kelibat ayah mengayuh basikal di batas bendang kita berlari sekuat habis ke arah ayah. Batas bendang yang lecah tidak kita pedulikan lagi. Apa yang penting kenikmatan menikmati durian menjadi idaman.” 
“Kau ingat lagi, masa tu kau menangis sebab tak dapat makan duriankan? Durian yang ayah beli semuanya buruk. Hanya beberapa biji saja yang elok. Ada pula yang busuk, masam. Hidup-hidup penjual itu tipu ayah. Tipu kita sekeluarga. Sampaikan pulut yang ibu tanak kita terpaksa makan dengan ikan kering. Walhal pulut itu sedap kalau dimakan dengan durian bersama santan yang lemak itu. Lepas itu letak sedikit gula. Wah, lazatnya tak tergambar. Meleleh air liur…”
“Haha… hahah…hahah.”
“Tapi, ayah ada cakap selepas tu. Bukan salah penjual durian tu. Ayah yang pilih nakkan durian tu. Sebab durian tulah harga yang paling murah. Yang lain dijual kira timbang kilo. Mana nak ada duit kalau beli yang timbang kilo. Iyalah satu kilo dah berapa ringgit. Jadi pilihan terakhir ayah beli yang sudah dilonggok ke tepi. Untung-untung elok. Tapi ayah bersyukur sebab dalam banyak-banyak yang ayah beli ada sebiji dua yang elok. Yang kita makan. Ayah dan emak tak makan pun yang elok tu. Semuanya kita makan sampai licin. Mereka hanya tengok kita makan. Katanya biarlah anak-anak yang makan dulu. Hati mereka puas dan senang. Sampaikan durian yang terakhirpun mereka tidak menunjukkan minat untuk menjamah. Selagi anak-anak tak menjilat jari selagi itu jangan-jangan mereka nak merasa. Ayah dengan emak makan yang masam sahaja. Itu sudah memadai. Emak dan ayah tak pernah merungutpun sebab durian yang masam masih boleh dimakan. Masih boleh dibubuh dalam asam cabai. Sedap. Boleh jadi lauk sepinggan dua makan dengan nasi.”  
Abang Syawal pandang ke bakul sampah yang terperosok di sudut paling hujung di ruang dapurnya. Kak Seri berada tidak jauh dari kami. Dia sibuk melayan kerenah anak-anaknya. Dalam bakul sampah itulah Abang Syawal membuang buah durian yang masam. Sebenarnya Abang Syawal bukan sahaja telah membuang buah durian itu tapi telah membuang nilai kesyukuran sekali ke dalam bakul sampah itu. “Kita harus bersyukur. Kita masih punya makanan. Makanan itu masih memberi tenaga kepada kita untuk teruskan kehidupan, mengerjakan suruhan Allah SWT. Di luar negara, di Bosnia, Afganistan, Somalia mereka hidup dalam kebuluran, kemiskinan yang melampau hinggakan meragut nyawa. Kehidupan mereka sangat papa. Mereka bekerja, mencari makan untuk hidup. Tapi orang kita, hidup untuk makan. Hinggakan ada yang mati kerana terlebih makan. Itu semua penyakit kronik yang dihidapi oleh orang kita bukan kerana apa-apa tapi kerana cara pemakanan kita yang tidak dikawal. Kerana terlebih gula kita diserang kencing manis. Terlebih garam, kita diserang darah tinggi. Obesiti di negara kita menjadi-jadi. Bukan kerana apa, tapi hanya keinginan yang meluap-luap, pengawalan nafsu yang lemah.” Nasihat ayah masih bergema-gema di corong telinga.
Abang Syawal bangun meninggalkan aku yang berada di dapur. Dia terus ke ruang tamu. Kak Seri memandang ke arahku. Selepas itu matanya mengekori langkahan Abang Syawal. Abang Syawal membuka laci almari yang menempatkan album gambar. Dikeluarkan album gambar. Lalu dihenyakkan punggungnya ke sofa. Abang Syawal tenggelam dalam kenikmatan berada di ruang yang selesa dan nyaman. 
Aku mengikuti Abang Syawal ke ruang tamu. Aku mengambil tempat sofa yang mengadap hadapannya. “Kenapa?”
“Ini kau cuba lihat. Gambar semasa kita berniaga di pasar malam.”  
Aku bangun dan mendekati Abang Syawal. Aku cuba mengingati kenangan manis itu. Ya memang benar itu gambar ketika kami curi-curi mengikut Pak Sidek berniaga di pasar malam. Kerana curi-curi berniaga itulah kami telah menipu ayah dan emak. Kami cakap kami nak ke rumah kawan ulangkaji pelajaran. Tapi sebenarnya kami ke pasar malam untuk menolong Pak Sidek menjual buah durian. Abang Syawal bijak matematik. Jadi dialah yang tolong Pak Sidek mengira. Pada malam itu Abang Syawal menjadi akautan tak bertauliah buat seketika. Aku pula tolong-tolong bersihkan kulit durian dengan berus. Dan tugasku lagi melaung-laung menarik hati pelanggan untuk singgah ke gerai kami untuk membeli durian. Kata Pak Sidek aku bijak bermain kata. Sebab itu dia terima aku untuk bekerja dengannya. Sejak itu setiap minggu kami boleh menikmati durian. Ada juga yang kami bawa balik. Mula-mula ayah tidak mengesyaki apa-apa tapi setelah lama juga kami sembunyikan perkara itu akhirnya terbongkar juga. Ayah kecewa sebab dia tidak pernah mengajar anak-anaknya menipu. Tapi setelah kami jelaskan kepada ayah, ayah memaafkan kami. Dan kami janji tidak akan menipu lagi.
“Kau nak balik ke kampung bila?”
“Esok pagi.”
“Balik naik apa?”
“Bas. Tiket dah ambil. Pukul 7 pagi. Itulah kalau Abang tak ada apa-apa kerja boleh tolong hantarkan saya ke Hentian Pudu Sentral!”
“Oh, sebelum terlupa abang suruh saya datang ke rumah abang katanya ada benda yang nak dikirimkan. Mana bendanya?”
“Esok pagi saja abang berikan.”
Azan subuh berkumandang. Selepas membersihkan diri, mengambil wuduk aku bersujud ke atas hak pemilik bumi ini. Pada Dialah kuserahkan segala amalanku.
Beg siap dikemas. Aku keluar dari bilik. Abang Syawal dan Kak Seri masih berkurung di dalam bilik. Aku menuju ke bilik mereka. Tanganku sedia mengetuk pintu bilik. Baru mahu mengangkat tangan tiba-tiba Abang Syawal membuka daun pintu. Abang Syawal mengheret sebuah beg. Barangkali itulah barang yang hendak dikirimnya. Entah apa isi di dalamnya. “Takkan abang masukkan buah durian ke dalam beg dan nak kirim ke kampung. Besar sangat beg tu.” Selorohku.
“Bukan setakat buah durian yang abang nak kirimkan, kalau boleh dengan pokok-pokoknya sekali. Ada-ada saja adik abang ni. Sebenarnya abang nak kirim Kak Seri dan anak-anak abang beserta abang sekali ke kampung. Setelah kami berbincang.”
“Saya tak faham.”
“Eh, belajar tinggi-tinggi pun tak faham lagi. Cakap ambil jurusan bahasa takkan ayat mudah macam tu pun tak faham.”
“Hee….”
“Sebenarnya kami nak ikut adik pulang ke kampung. Nak jenguk ayah dan ibu. Rasa rindu pula.” Terang Kak Seri.
“Elok sangatlah tu. Nanti dalam perjalanan kalau ada orang yang menjual durian di tepi jalan kita singgah beli. Dah lama tak makan pulut durian santan kelapa. Dah tiba masanya kita bagi ayah dan mak makan durian baka yang terbaik.” 


*Pertama kali terbit di BERITA MINGGU, AHAD, 6 MEI 2012

Rabu, 23 Mei 2012

Indah Khabar dari Rupa


Kepada yang mempunyai blog sendiri pernahkah anda bertanya kepada diri anda sendiri mengapa anda berblog?
A Untuk meluahkan hasrat hati, perasaan (marah, tidak puas hati, sedih, ataupun gembira)
B Untuk berkongsi maklumat
C Suka-suka
D Tiada tujuan khusus
E Lain-lain

Saya melihat blog bukan sahaja medium untuk komunikasi sehala tetapi mewujudkan komunikasi dua hala atau berhala-hala sekiranya pemilik blog itu bijak untuk menggunakannya. Barangkali melalui bloglah kita mampu memperoleh rakan berlipat kali ganda daripada rakan yang wujud dalam alam realiti.

Saya sedaya upaya untuk berkawan dengan semua orang. Apabila saya terlibat dengan penulisan saya cuba mencari seberapa ramai penulis yang mempunyai blog dan menyapa mereka ini untuk berkawan (bertukar-tukar pandangan).

Saya yang muka tidak malu ini akan meninggalkan komen (salam perkenalan) dan mempelawa mereka ini untuk bertandang ke blog saya semula dengan tujuan untuk berkongsi pandangan. Tidak dinafikan juga jika saya menjumpai blog penulis yang memaparkan karya mereka terbit di media saya tidak segan silu untuk mengucapkan tahniah.

Namun alangkah malangnya apabila sesetangah 'penulis' itu tidak pandang pun. Tidak pernah menegur pun saya. Saya tahu saya ini hanya penulis eceran, penulis kerdil, entah tidak layakpun digelar penulis. Sebab itu buat apa nak tegur (dalam erti kata membalas komen yang ditinggalkan). Mereka ini hanya mahu berkawan dengan orang sekepala, seanggatan dengan mereka sahaja.

Saya tidak boleh menghukum semua orang atau penulis begitu kerana masih ada penulis yang menyambut baik salam perkenalan saya itu. Saya berbangga untuk menyebut antaranya Salina Ibrahim, Hasni Jamali, Nurul Farehah Jaamad, Ibnu Ahmad Al Kurauwi, Osman Dol, Jaya Ramba (sekadar menyebut beberapa nama). Saya tidak terasa sangat jika yang saya tegur itu penulis mapan. Tetapi jika penulis yang suam-suam kuku itu berperangai begini saya rasa akamatnya dia ni seorang yang SSSSSSSSSSSSSSSSSSSS.

Ada rakan saya yang merungut setiap kali mereka hendak meninggalkan komen mereka terpaksa mengisi nombor atau huruf di dalam kotak kecil itu sebagai pengesahan sebelum diterima saya dan diposkan. Saya memberitahu bahawa itu salah satu cara untuk saya mengesan siapa yang meninggalkan komen untuk entri yang saya terbitkan. Jika tidak tentu saya tidak perasan. Moralnya, jika orang itu memberi alasan yang dia tidak perasan saya tidak dapat terima kerana ada cara untuk menyelesaikannya. Saya bukan nak menempelak orang itu tetapi apa salahnya jika berkawan seribu berkasih biar satu.

*Cantikkan cili di atas? Tentu sesiapapun pernah makan. Tentu juga pernah merasainya. 

Isnin, 21 Mei 2012

Rindu


Saya merasakan sudah agak lama saya tidak mencatat sesuatu di blog ini walaupun hanya beberapa hari lepas sahaja. Entahlah, barangkali tidak ada apa-apa yang menarik untuk dikongsi.

Sekarang ini di sekolah murid sibuk mengambil peperiksaan pertengahan tahun. Tidak lama lagi sesi persekolahan untuk penggal pertama akan tamat dan diberi cuti selama dua minggu. Kepada murid tahun enam yang bakal menduduki UPSR mereka ini terpaksa mengambil kelas tambahan selama dua minggu. 

Jadi janganlah merasakan  cuti dua minggu itu adalah masa untuk berbulan madu. Teruskan usaha anak-anak muridku semoga impian anda untuk memperoleh 7A menjadi kenyataan.

Di samping itu juga minggu ini saya akan sibuk menjalankan Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS). Tentu anda juga pernah mengalaminya. 

*Cuti dua minggu nanti saya akan pulang ke Kedah melepas rindu setelah dua bulan berada di Batang Kali ini.   

Rabu, 16 Mei 2012

Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara


kredit gambar dari blog syazalina83

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA. Itulah tema Hari Guru pada tahun ini. Guru-guru dituntut melakukan transformasi bagi melonjakkan pendidikan negara. Guru yang inovatif mampu menjana P&P yang berkualiti bagi melahirkan insan yang berdaya saing dalam dunia global ini.

Hari ini juga saya diberi penghormatan untuk membaca Perutusan Sempena Hari Guru dari Ketua Pelajaran Malaysia. Rasa bangga dan terharu juga. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar.

Sambutan perayaan Hari Guru pada peringkat sekolah berjalan dengan lancar. Inilah kali pertama saya meraikan Hari Guru sebagai guru. Tambahan pula anak-anak murid menghargai kehadiran saya dengan memberi hadiah. Terima kasih. Di samping aktiviti sukaneka bersama murid-murid.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang pernah mengajar saya hingga saya berjaya sekarang ini. Guru-guru di Tadika Kemas, Sekolah Kebangsaan Haji Hasan Itam, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz, pensyarah UPM dan pensyarah IPG Kampus Perlis. Terima kasih cikgu. Jasamu tetap kukenang.

Saya perturunkan puisi ini untuk dikongsikan dan dihayati bersama.


GURU OH GURU

Dulu kau guruku
kini aku pula menjadi guru.

Dulu aku menjadi anak muridmu
kini aku punya anak murid sendiri.

Dulu kau mengajarku
kenal A B C, 1 2 3, alif ba ta
kini aku mendidik anak muridku
membaca, menulis dan mengira

Dulu aku tidak kisah
penatlelah guru mengajar
kini aku mengerti
setiap titik peluh guru yang menitik.

Dulu aku berkecil hati
kerana dimarahi guru
kini aku mengarifi
guru marah kerana
sayangkan muridnya.

Dulu aku merungut
guru banyak memberi kerja sekolah
kini aku mengerti
tugas guru bukan sekadar
memeriksa buku.

Dulu aku memanggilmu guru
kini aku dipanggil guru.
Guru oh guru
lestari sepanjang hayat.

Mohd Helmi Ahmad
Alor Setar, Kedah

Isnin, 14 Mei 2012

Cerpen: Cikgu di Wanita



Alhamdulillah, ini merupakan cerpen terbaru saya yang tersiar di media. CIKGU atau judul asal yang dikemukakan adalah RANGGI SEORANG GURU memaparkan kisah ranggi seorang anak dengan seorang bapa walaupun memikul tugas yang sama iaitu guru. Perbezaan dari taraf pendidikan membuatkan pelbagai konflik yang terjadi. 

Aziz yang memegang watak utama menganggapkan bapanya tidak lebih sekadar guru mukadam berbanding dirinya lulusan daripada universiti. Pelbagai lagi kekacauan jiwa yang berlaku kepada Aziz hingga dia diserang darah tinggi. Ikuti kisah CIKGU ini di WANITA edisi MEI 2012 sempena HARI GURU. Untuk mengetahui bagaimana Aziz tersedar dari rasa riak itu bacalah cerpen ini. Saya mengharapkan cerpen ini meninggalkan kesan yang positif.

Cerpen ini juga merupakan cerpen terbaru yang saya hasilkan pada tahun ini. Cerpen ini juga pernah diulas oleh HASNI JAMALI. Boleh baca di sini. Terima kasih saya ucapkan.

Sabtu, 12 Mei 2012

Perlukah Saya Pasang Belanga di Atas Bumbung Rumah?


kredit daripada blog enciknakal



Sesekali elok juga saya berbicara di luar bidang penulisan. Menonton perlawanan bola sepak Liga Malaysia adalah antara minat saya. Namun sejak saya diam di Batang Kali ini, aduh... siaran TV 1 tidak kedapatan. Saya tidak tahu mengapa. Barangkali ketidakcapaian antenanya ataupun apa.

Hanya orang yang memiiki belanga di atas bumbung rumah sahaja yang mampu menikmati siaran TV 1. Mulanya saya ingatkan tivi di rumah saya yang rosak namun setelah bertanya dengan rakan-rakan di sekolah mereka menyatakan bahawa di kawasan Batang Kali dan Hulu Yam ini sukar untuk mendapat siaran TV 1. 

Jadi kalau hendak menonton siaran TV 1 saya perlu memasang belanga di bumbung rumah saya?????

Jadual di atas merupakan kedudukan terkini perlawanan Liga Super 2012. Harapan saya Kedah akan terus meningkatkan prestasi dan mula mendaki kedudukan. Lupakan kekecewaan gagal layak ke final Piala FA. PULUN KEDAH PULUN.

*Nanti saya nak masak pakai apa pula kalau belanga di dapur saya saya pasang di atas bumbung rumah.

Rabu, 9 Mei 2012

Puisi: Fatimah Bunga Hatiku di Harian Metro


Rasanya lama juga karya (puisi) saya tidak tersiar berbanding cerpen. Saya juga akui akhir-akhir ini lebih banyak menulis cerpen berbanding puisi. 

Alhamdulillah puisi FATIMAH BUNGA HATIKU mendapat tempat di HARIAN METRO, edisi 8 Mei 2012. Terima kasih editor HM. 

Untuk menunggu puisi ini tersiar saya juga telah mencuba dengan sejumlah puisi yang tidak kurang banyaknya sebelum berjaya menembusinya. 

Untuk rekod ini merupakan puisi pertama di HM pada tahun 2012 dan puisi keempat keseluruhannya yang pernah tersiar di HM. 

Puisi ini khas ditujukan kepada ibu saya SITI FATIMAH BINTI LAZIM. Kaulah sumber inspirasiku. Terima kasih ibu. Dan SELAMAT HARI IBU


Isnin, 7 Mei 2012

Cerpen: Pulut Durian Santan Kelapa di Berita Minggu



Sebelum itu eloklah saya panjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana tidak jemu mendengar doa ini. Terima kasih Ya Allah. 

PULUT DURIAN SANTAN KELAPA yang disiakan pada 6 Mei 2012, di BERITA MINGGU merupakan cerpen keempat saya yang mendapat tempat di ruangan Sanggar Kreatif BM ini. Sekalung terima kasih kepada editor BM yang tidak jemu melayan karya saya saban bulan malah saban minggu.

Sebenarnya untuk menunggu cerpen ini disiarkan saya telah mencuba dengan beberapa cerpen lain namun masih buntu untuk menembusi tembok BM yang kali terakhir pada tahun 2010 menerusi cerpen MERCUN DARI KUALA LUMPUR. Rindu yang mendalam untuk melihat cerpen terpampang di BM tidak mematahkan usaha saya untuk terus menghasilkan karya yang bermutu dan memenuhi kehendak BM.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang tidak jemu mengutuskan ucapan tahniah. Kepada guru saya Dr. Kamariah Kamarudin yang sentiasa menyokong saya dari belakang. 


Jumaat, 4 Mei 2012

E-mel Kehendak Atau Keperluan?

Suatu masa dahulu saya bermula menulis dan menghantar karya ke media melalui pos. Ketika itu saya merasakan itulah satu-satu cara yang mudah bagi saya. Kerananya saya tidak mempunyai jalur lebar-internet. Dan saya juga masih terkial-kial untuk menggunakan komputer mahupun laptop. Apalagi untuk memasuki gedung sumber yang terlalu luas tanpa sempadan itu.

Alhamdulillah, walaupun begitu karya-karya saya masih dapat diterima. Pada peringkat awal antara media yang menjadi sasaran saya adalah Tunas Cipta. Hampir setiap bulan saya akan menghantar puisi ke TC melalui pos. Tentu editor yang pernah mengendalikan TC pada ketika itu menyedarinya. Hinggakan pernah pada tahun 2009 terdapat lima (5) buah puisi dan tahun 2010 enam (6) buah puisi yang mendapat tempat di TC. 

Selain itu, ada juga saya cuba-cuba menghantar karya baik cerpen mahupun puisi ke akhbar. Malangnya tiada sebuah cerpen pun yang tersiar di akhbar. Begitu juga di majalah. Ini bermakna tiada sebuah cerpen pun yang saya hantar menggunakan pos yang disiarkan oleh editor tersebut. Saya berfikiran positif barangkali cerpen saya ketika itu masih perlu diperbaiki. Namun itu tidak mematahkan semangat untuk saya terus berkarya dan menghantarnya ke media.

Sehinggalah saya memiliki akaun e-mel. Persoalannya adakah e-mel adalah suatu kehendak atau keperluan? Bagi saya e-mel adakah keperluan. Bukan lagi kehendak. Seorang penulis perlu memiliki e-mel sendiri. Bukan sahaja untuk memudahkan proses menghantar karya malah melalui e-mel juga dapat menjalinkan hubungan dengan rakan penulis yang lain. Barangkali ada yang menghukum saya sebagai penulis kuno kerana sekarang ini sudah ada kemudahan laman muka buku. Tetapi bagi saya e-mel lebih bersifat peribadi yang mana hanya pengirim dan penerima sahaja yang boleh membaca sesesuatu bahan yang dikirimi itu. 

*Agak terkilan kerana tidak dapat mengunjungi PBAKL buat kali kedua. Banyak sangat kekangannya. Saya mempelawa pengunjung-pengunjung PBAKL untuk berkongsi pengalaman dengan saya. 


Rabu, 2 Mei 2012

Pandangan Kalian Tentang PBAKL

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sudah berlangsung selama enam (6) hari. Jadi apa pandangan kalian tentang acara ini? Adakah ia meriah? Sekiranya ia meriah dari segi apa kalian melihat? Adakah dari segi jumlah pengunjung? Acara pentas mahupun koleksi buku yang dijual?

Bagi saya yang mengunjunginya pada hari kedua saya merasa agak kecewa dengan gerai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pertamanya kerana koleksi buku yang dijual terhad. Majalah DBP terbitan lama juga sudah tidak dijual. Kecuali tahun 2011 dan ada sedikit 2010. Mengapakah DBP tidak mengambil kesempatan ini untuk menjual koleksi buku yang berlonggok sahaja di stor mereka? Seharusnya masa inilah paling sesuai memandangkan jumlah pengunjung yang ramai.

Namun kepada peminat KEMALA bolehlah dapatkan kumpulan puisi, cerpen dan drama beliau di gerai DBP. Buku-buku ini adalah cetakan Edisi Khas Sasterawan Negara. Kepada yang mencari novel Hujan Pagi karangan A. Samad Said juga ada di sana. Itupun kalau belum habis.

Hari itu saya pergi hanya ada Tunas Cipta dan Dewan Kosmik bulan Mei 2012 sahaja yang ada. Harap-harap kalau saya pergi sekali lagi majalah-majalah lain akan dan masih ada terutamanya Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa.

*Saya harap kepada yang berkesempatan mengunjungi PBAKL dapat berkongsi cerita dengan saya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78