Hujung minggu lepas saya berpeluang ke Jalan TAR. Tahu-tahu sajalah apabila ke sana pasti hati terpaut untuk membeli beberapa buah buku. Akhirnya saya berjaya menemui Siri Mega Khadijah Hashim yang terperosok ke belakang di rak buku. Berbanding novel-novel popular yang lain dipamerkan terkehadapan. Namun sudah jodohnya dengan saya agaknya saya membeli dua buah siri ini.
Siri ini mengandungi lima siri. Antaranya Badai Semalam, Alun Hidup, Mira Edora, Merpati Putih Terbang Lagi dan Mencari Azizah. Memandangkan bajet tidak mencukupi saya sempat membeli Mira Edora dan Merpati Putih Terbang Lagi. Insyaallah saya akan memburu siri ini bagi mencukupkan koleksi itu.
Selain itu, saya juga membeli Pelangi Pagi dan kumpulan cerpen Mawar Merah di Jambangan dan Kasih Entah di Mana. Kedua-dua kumpulan cerpen ini sudah habis di baca. Suatu pengalaman dan pengetahuan yang baik dalam proses pengembangan gaya bahasa dan percaturan idea kepada saya.
Di sini saya perturunkan sinopsis siri tersebut yang saya petik daripada laman muka buku K Publishing.
Sinopsis:
Cinta Mazni dan Zaki telah berjaya menempuh ombak dan badai zamannya. Kini, konflik cinta dua insan itu kembali menemui pembaca dengan suntingan dan wajah baru.
Novel Badai Semalam pernah menjadi buku teks Menengah Empat di Singapura dan buku teks di peringkat Sijik Pelajaran malaysia tahun 1980-an. Novel ini juga pernah dijadikan siri drama RTM dan televisyen Singapura. Novel ini pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Sepanyol dan Mandarin.
Sinopsis:
Perjuangan Farid, seorang anak muda berjiwa bangsa yang ingin membawa perubahan dari sudut pembangunan dan minda masyarakat menuju tahap yang lebih baik dalam mengisi kemerdekaan tanah air.
Misi ibu bukan sahaja mendapat tentangan daripada pemimpin lama, tetapi juga keluarganya sendiri.
Berjayakah Farid mencapai cita-citanya itu?
Novel Merpati Putih Trbang Lagi pernah memenangi hadiah sagu hati Peraduan Novel Sepuluh Tahun Merdeka. Novel ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Jepun dan Mandarin.
Sinopsis:
Azizah kini bukan Azizah dulu!
Itulah kata-kata perangsang yang membuatkan Azizah untuk terus menapak maju ke hadapan tanpa menoleh kembali sejarah silamnya. Nikmat dan musibah uang menimpanya itu diterima dengan reda.
Mencari Azizah, Khadijah Hashim mengajak pembaca menyelami jiwa seorang wanita yang tabah mencari identiti dan kekuatan diri.
Nilai-nilai kasih sayang, kekeluargaan, ketuhanan dan persahabatan turut dimuatkan dalam novel yang digarap dengan gaya bahasa yang indah dan menarik.
Sinopsis:
Alun Hidup mengisahkan tentang Awang yang sanggup meninggalkan kampung halamannya untuk mencuba penghidupan baru. Dia meninggalakan laut untuk memiliki sebidang tanah bagi dijadikan tapak tempat berteduh.
Kegigihan Awang dalam membina kehidupan yang lebih sempurna kepada diri sendiri dan juga keluarganya wajar dijadikan teladan dalam mengharungi alun kehidupan yang semakin mencabar pada masa kini.
Hayatilah kisah kasih sayang dan pengorbanan terhadap keluarga yang menyentuh perasaan.
Alun Hidup telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan tajuk "The Wave of Life" (1966) oleh Christine Campbell
Sinopsis:
"Kamu terlalu sayangkan Cikgu Nordin. Tapi mama kamu lebih dulu mencinainya," kata Hawa ikhlas.
Dalam pergelutan antara kasih ibu dengan sayang seorang guru, Mira Edora dalam dilema. Kisah gelora hidup anak gadis ini diterbitkan dengan wajah baru.
Selami karya novelis terkenal tanah air, Khadijah Hashim yang mengasyikkan ini. Novel Mira Edora ini juga pernah difilemkan dengan judul yang sama.