Pengikut

Khamis, 31 Oktober 2013

i Nilam - Tarantula: Login Rekod Bacaan

i Nilam - Tarantula merupakan satu sistem untuk merekod jumlah bacaan murid. Melalui sistem ini juga memudahkan pemilihan Tokoh Nilam dibuat. Kepada guru yang belum mengisi rekod bacaan muridnya, boleh berbuat demikian segera dengan hanya klik di sini 


Selalunya Login Staf ini hanya menggunakan No IC guru Media ataupun Pusat Sumber setiap sekolah. 


Kemudian setelah Login guru perlu klik Rekod Bacaan Murid dan isi mengikut bulan yang belum diisi. 


Semoga berjaya!


Blog Kena Blocked dengan Blogger "Popular" "Hebat" dan "Istimewa"

Assalamualaikum semua.
Saya begitu yakin, kalian pasti mempelajari dan memahami bahasa Inggeris. 


Mengapa Tetamu Istimewa diperlakukan begitu?

Gara-gara saya "teruja" nak FOLLOW satu blog itu semalam, inilah yang tertera. Saya kira blognya tidaklah melebihi 2000 FOLLOWER pun. Mungkin dia anggap dirinya sudah mencapai Blogger Popular, Hebat dan Istimewa

Sekali lagi saya uar-uarkan di sini. Sekiranya kalian FOLLOW blog ini dan mahukan saya FOLLOW balik, sila tinggalkan link di Kotak Jerit saya. Jika tidak pun, pastikan apabila saya klik ikon gambar kalian, ada link yang boleh membawa saya ke blog kalian. Ataupun, sila tinggalkan jejak melalui kotak komen.

Mungkin juga saya terlepas pandang FOLLOWER yang FOLLOW blog saya. Ingatkan, saya! Maklumlah, kerja mengalahkan Perdana Menteri. 

Dan, usah risau kepada blogger yang saya singgah dan FOLLOW blognya. Jika kalian tidak datang FOLLOW blog saya balikpun, saya tidak akan mengampil keputusan untuk blocked blog kalian.

Nota: Entri ini bukan entri melepaskan geram dan seumpama dengannya. Sebaliknya, entri ini memberi ingatan kepada diri saya yang mungkin tidak sempurna.


Rabu, 30 Oktober 2013

SAPS: Semakan Ibu Bapa Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun 2013

Peperiksaan Akhir Tahun 2013 telah pun tamat. 
Selain guru yang boleh mengakses Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah SAPS, ibu bapa juga boleh berbuat demikian untuk mengetahui keputusan peperiksaan anak mereka. 

Klik di sini untuk masuk ke laman tersebut. 


Pada laman tersebut, ibu bapa akan melihat ruangan MENU yang disediakan. 
Ibu bapa perlu klik ikon SEMAKAN IBUBAPA

Ibu bapa akan dibawa ke laman Log In yang mana ibu bapa perlu memasukkan No KP/Sijil Lahir, klik Sekolah Rendah atau Sekolah Menengah dan tahun 2013. Seterusnya, klik Semak Laporan

Untuk lebih mudah, klik saja pada pautan ini 


Selamat mencuba!

Peringatan: Sistem SAPS hanya digunakan untuk murid Tahun 4,5 dan 6 sekolah rendah dan Tingkatan 3,4,5 sekolah Menengah.

Selasa, 29 Oktober 2013

A. Samad Said dan Buku-Buku Sulitnya

Saya yakin, jika soalan siapakah Sasterawan Negara yang anda kenal? Jawapannya, A. Samad Said. Tanyalah kali ke berapa sekalipun dan di mana-mana pun, jawapan sama akan dilontarkan seolah-olah itu bukanlah jawapan pertama kali kita beri. 

Di sini sekali lagi saya ingin maklumkan bahawa Malaysia kini sudah mempunyai 12 orang Sasterawan Negara

kredit foto dari uthayasb.bogspot.com

Selain namanya yang popular dan digembar-gemburkan dengan pelbagai kontroversi, A. Samad Said tetap hebat dalam dunia kesusasteraan negara. Malahan, sejumlah koleksi karyanya sentiasa menjadi bualan dan kajian yang bukan sahaja sarjana Malaysia bahkan luar negara.

Sememangnya blog Uthaya Sankar SB tersenarai dalam bloglist saya. Oleh itu, setelah tertera tajuk entrinya Buku-buku Datuk A. Samad Said, saya dengan pantasnya menerjah entri tersebut. Wah, begitu terujanya saya untuk mendapatkan buku-buku tersebut dengan promosi yang sangat hebat!

"Beli kesemua lima judul buku ini pada harga RM120.00 sahaja - POS LAJU PERCUMA (Malaysia sahaja)".

Tanpa membuang masa saya terus meng-emelkan tempahan buku tersebut kepada saudara Uthaya Sankar SB. Dan, hari ini selamat saya membuat pembayaran. Kata saudara Uthaya Sankar SB melalui kiriman emel, buku saya telahpun diposkan pada waktu petang tadi. Jika bernasib baik, esok saya akan terima. Jika tidak, kenalah tunggu hari Khamis.

Daripada lima judul buku tersebut, saya sudah memiliki Cinta Fansuri yang diterbitkan oleh PTS.



Ujian Kompetensi ICT Guru Sabah, Sarawak dan Selangor

Assalamualaikum semua dan selamat pagi.

Alhamdulillah, pagi ini selamat menjawab Ujian Kompetensi ICT yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Semua pentadbir dan guru wajib menjawab soalan ini mengikut ketetapan tarikh yang telah diaturkan.

Untuk makluman, kebanyakan negeri telah melaksanakannya. Susunan jaduah terakhir melibatkan negeri Sabah, Sarawak dan Selangor yang bermula 23 Oktober dan berakhir 31 Oktober 2013. Kepada yang belum menjawab perlulah segera berbuat demikian kerana hanya tinggal 2 hari sahaja lagi akan tutup.

Ujian ini adalah untuk menguji dan membuat tinjauan sejauh mana tahap kemahiran dan pengetahuan guru dan pentadbir berkenaan ICT.

Sila klik di sini untuk capaian yang lebih mudah.





23 Oct - 31 Oct 2013 - Sabah, Sarawak dan Selangor


Isnin, 28 Oktober 2013

Permintaan Seorang Ibu Mengandung


sekadar gambar hiasan

Oh, sama sekali saya tidak menyangka! Apabila guru besar memberitahu bahawa seorang pasangan suami isteri, datang ke sekolah dengan satu permintaan. 

"Saya nak minta kebenaran daripada guru besar supaya benarkan saya makan bersama murid di kantin menggunakan pinggan plastik yang disediakan di kantin." 

Atas pertimbangan seorang guru besar, ibu mengandung itupun dibenarkan makan bersama dengan murid menggunakan pinggan plastik itu. 

Inilah yang dinamakan mengidam!


Fiksyen Sains Diangkat Menjadi Teks KOMSAS 2015

Assalamualaikum semua.

Saya pernah memperkatakan dan menguar-uarkan tentang Sayembara Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi. Tahukah kalian, hasil daripada sayembara ini yang telah memasuki tahun ketiga ini telah membuahkan hasil. 


Sebelum ini pemilihan novel untuk dijadikan teks Komponen Sastera (KOMSAS) lebih terdorong untuk mengambil daripada karya pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU). Kini, peluang dan pemilihannya lebih terbuka.

Bagi tahun 2015, teks KOMSAS Tingkatan Tiga dan Empat telah dipilih. Panel telah memutuskan untuk memilih novel fiksyen sains Tawanan Komander Caucasus dan Di Sebalik Dinara

Sebenarnya, Tawanan Komander Caucasus sekadar memenangi Tempat Ketiga sahaja dalam sayembara yang julung kalinya diadakan. Manakala, Di Sebalik Dinara juga sekadar memenangi hadiah penghargaan dalam sayembara kali kedua.

Selepas ini diharapkan tiada lagi "alasan" yang diberikan oleh pelajar mengatakan bahawa mereka tidak berminat untuk mempelajari KOMSAS disebabkan teks yang dipilih, berat (kerana teks sastera) yang temanya membosankan dan ditulis oleh Sasterawan Negara yang bahasanya sukar untuk ditafsir. 

Saya pun belum memiliki dan membaca kedua-dua novel ini. Oleh itu, tidaklah layak untuk saya memperkatakan tentang apa-apa yang terkandung dalamnya. Selepas ini berminat juga untuk membelinya.



Ahad, 27 Oktober 2013

Perlunya Biodata Penulis Pada Sebuah Buku

Setelah sekian banyak buku yang saya baca, saya berasakan industri perbukuan di negara kita masih belum lengkap dan sempurna muatan kandungannya. BIODATA PENULIS. Bagi saya sebagai seorang pembaca dan penulis, saya berasakan perlunya sesebuah buku itu dimuatkan Biodata Penulis.


Biodata Penulis bukan sahaja berfungsi sebagai pelengkap sesebuah buku, bahkan berperanan untuk memperkenalkan seseorang penulis dari segi latar pendidikan, pengalaman, pencapaian, hasil karya dan sebagainya. Banyak orang mengenali penulis sekadar pada nama yang tertera pada kulit depan.

Bagaimana pula, kalau penulis menggunakan nama pena atau samaran? Sudah pasti, tanpa paparan Biodata Penulis di belakangnya pembaca tidak akan mengetahui sebarang maklumat diri penulis. Harus diingat, biodata tersebut bukan sekadar melepaskan batok di tangga sahaja, asal ada, sebaliknya penerbitan yang bagus akan cuba mempamerkan kewibawaan penulis di bawah naugannya.

Saya memuji usaha DBP dan ITBM yang menyertakan sekali Biodata Penulis pada buku terbitan mereka. Keyakinan ini harus dicontohi oleh rumah penerbitan yang lain.


Berkelah di Rumah Kawan

kredit foto dari serojahome.blogspot.com
Pada waktu petang ni, eloklah entri santai-santai saja kan. Oleh itu, saya nak berkongsi cerita saya pada waktu kecil dulu. 

Sudah pastilah zaman kanak-kanak, kita mempunyai banyak kawan sama ada lelaki mahupun perempuan. Sekejap berkawan baik, sekejap berkelahi dan kemudian berbaik semula itu sudah lumrah persahabatan. 

Apabila sudah berkawan, pasti kita akan "lupa" nak balik rumah. Keluar pagi, kemudian balik tengah hari dan keluar semula pada waktu petang. Ketika itu, mulalah kedengaran bebelan emak. 

Pernah tak kalian "berkelah"? Maksud saya, bukanlah berkelah dalam konteks sekarang ini-pergi ke air terjun, pantai dan sebagainya. Tetapi, berjanji dengan kawan untuk berkelah di rumahnya. Kita akan membawa makanan yang dibungkus dalam plastik ataupun dimasukkan ke dalam bekas. Kemudian, kita akan makan bersama-sama. 

Ketika itu bagi saya amat terasa sekali suasana persahabatan. Kemudian, esok hari atau minggu seterusnya bergilir di rumah kawan lain pula. 

Rasanya sekarang ini, dah tak ada kot, "budaya" berkelah ni. Kalau adapun pasti berkunjung ke tempat-tempat menarik saja. 


Mokhtar Dahari: Legenda Bola Sepak Malaysia

Assalamualaikum semua dan selamat berhujung minggu.


Satu sejarah telah tercipta dalam dunia percetakan atau perbukuan yang mana buku MOKHTAR DAHARI Legenda Bola Sepak Malaysia karya Zinitulniza Abdul Kadir telah dilancarkan. Buku ini telah dilancarkan oleh D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Selangor pada 25 Oktober 2013 yang lalu. 

Pasti, segala kisah mengenai Mokhtar Dahari yang juga digelar Supermok ini dapat dirungkai setelah pembaca membaca buku ini. Saya berharap selepas ini lebih banyak buku yang diterbitkan dan mengangkat tokoh dari pelbagai bidang. Usaha ini baik untuk sama-sama kita telusuri perjuangan dan pengorbanan mereka.

kredit foto dari FB ITBM

Buku ini berharga RM180.00 dan RM195.00 Sabah dan Sarawak. Kepada yang berminat untuk memilikinya bolehlah mendapatkan maklumat lanjut di Facebook ITBM.

Nota: Sesungguhnya saya amat meminati buku terbitan ITBM. Kualiti bahan (kandungan teks) dan kualiti fizikalnya sangat meyakinkan saya untuk membelinya. Tahniah, ITBM!



Sabtu, 26 Oktober 2013

Hilang?


Oh, apa pula yang tak kena lagi dengan laptop saya ni! Ada sesiapa yang dapat bantu? Kalau ada sesiapa yang ingat, saya pernah menyatakan bahawa ada iklan haram di blog saya. Dan, mungkin kerana saya salah terunstalled sofware dalam laptop saya yang menyebabkan perkara ini berlaku. 

Apa yang perlu saya buat ya. Hal ini telah menyebabkan tiba-tiba saja laptop saya boleh terpadam dan saya perlu hidupkan semula. Dah lama berlaku, baru hari ni saya berasa untuk menyelesaikannya segera sebelum perkara yang lebih buruk berlaku.



Sarana Sekolah dan Ibu Bapa

Assalamualaikum semua.


Pada hari ini, dikhabarkan semua sekolah di Selangor diarahkan membuat Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) berkaitan Sarana Sekolah dan Ibu Bapa. Oleh itu, sekolah saya telah mengambil inisiatif ini dengan mengarahkan semua guru hadir. 

Program ini bermula pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 12.30 tengah hari tadi. Tahniah, kepada guru yang berjaya hadir! Anggaplah ini satu lagi pengorbanan masa yang guru lakukan demi kejayaan anak murid nanti. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sarana merupakan sesuatu yang dapat digunakan sebagai alat untuk mencapai atau melaksanakan sesuatu. 

Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Sarana Sekolah mempunyai enam elemen, iaitu:
i. Iklim sekolah
ii. Komunikasi berkesan
iii. Sokongan terhadap kejayaan murid
iv. Tanggungjawab bersama
v. Keputusan bersama
vi. Kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa

Saran Ibu Bapa pula mengandungi empat elemen, iaitu:
i. Penyediaan suasana pembelajaran di rumah
ii. Interaksi sosial dengan anak
iii. Komunikasi dengan anak
iv. Sokongan terhadap kecemerlangan anak

Dengan pelaksanaan Sarana Sekolah dan Ibu Bapa ini diharapkan dapat membentuk satu kerjasama dalam mencapai kecemerlangan anak-anak murid.


Jumaat, 25 Oktober 2013

Bubur Caca Mewarnai Kenikmatan



Semalam Persatuan Pendidikan Islam telah menjalankan aktiviti selepas UPSR yang melibatkan murid Tahun 6. Antara aktiviti yang dijalankan adalah membuat bubur caca. Rasanya, ada pelbagai versi. Ada juga yang telah menambahbaik dengan resepinya sendiri.


Kalau di Kedah, pasti tepungnya akan diwarnakan dengan warna hijau, kuning dan merah. Namun begitu, semalam warna asli digunakan iaitu warna tepung yang tidak dicampurkan dengan bahan pewarna. Walaupun tidak diwarnakan rasanya tetap enak dan lemak.


SAPS Peperiksaan Akhir Tahun 2013

Selamat petang semua. Mungkin pada ketika ini ada yang sedang tekun mendengar pembentangan Belanjawan 2014. 



Peperiksaan Akhir Tahun 2013 telah selamat dijalankan. Kini, guru sibuk menanda kertas jawapan. Dan, bagi guru yang telah berjaya melaksanakannya akan melakukan proses memasukkan markah dalam Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) pula. 

Alhamdulillah, saya telah berjaya memasukkan markah Bahasa Melayu Penulisan dan Pemahaman bagi Tahun 4 Dedikasi dan 4 Tekun. Begitu juga dengan markah bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup Tahun 4 Dedikasi, 4 Amanah, 6 Cekal dan 6 Tekun. Yang masih bertanda pangkah merah itu belum dimasukkan iaitu mata pelajaran Kajian Tempatan. Tarikh akhir yang diberikan untuk mengisi markah pada 29 Oktober 2013.

Nota: Lepas ni bolehlah menerjah ke blog kalian semua secara berperingkat-peringkat. Jangan lupa buka pintu ya. Tetamu Istimewa nak datang. Insya-Allah, saya juga akan cuba membalas komen kalian.



Sketsa Belanjawan 2014


SKETSA BELANJAWAN

Duduk di kerusi paling atas bukan mudah
beban yang terpikul di bahu sama berat
saban hari membelanja baki usia di kantor
dalam kepala bersarang masalah
tiap hari memikirkan masih berbakul-bakul 
konflik belum terselesai.

Bukan mudah menulis sebuah belanjawan
sama hebatnya mengukir peribadi anak bangsa
silap catur hancurlah negara.

Sebuah belanjawan rakyat harus dirangka
semua pihak menuntut kesaksamaan
biarlah hati nyamuk sama dilapah  
hati kuman sama dicecah
nelayan di laut hidup bermakna
petani berasa keringatnya dihargai
martabat guru pembawa kandil ilmu terang tersuluh
bapak-bapak polis disanjung
pekerja-pekerja kilang dipandang
warga pencen dimesrai.

Harus dirangka bukannya kegagalan
kita merancang kejayaan
kerja-kerja membasmi kemiskinan
kerja-kerja membanteras jenayah
kerja-kerja memusnahkan rasuah
kerja-kerja menyiapkan potret perpaduan
kerja-kerja memberkas rumpun amanah
adalah kerja-kerja yang tidak pernah selesai
kerja ini bukan kerja seorang
kerja ini perlukan sokongan
sama-samalah berganding bahu menjabat tangat
memacu sebuah transformasi negara
mencapai Wawasan 2020.

Belanjawan untuk semua
tanda pemimpin duduk di kerusi paling tinggi
dapat melihat-memandang-menganalisis
seluruh rakyat di bawah pemerintahannya
tersenyum menyambut "durian runtuh".


Mohd Helmi Ahmad
Alor Setar, Kedah
11 Oktober 2011


Khamis, 24 Oktober 2013

Cerpen: Rajuk Patriot Cinta di Mingguan Wanita

Akhirnya, pemburuan saya untuk mendapatkan Mingguan Wanita, 25-31 Oktober 2013 berakhir. Saya berjaya mendapatkan majalah ini pada hari ini. 


Terima kasih kepada yang sangat prihatin. Nampaknya ada yang sudah dapat menerka sekiranya saya meletakkan gambar kulit depan sesebuah majalah. Ya, cerpen saya berjudul Rajuk Patriot Cinta telah dipilih untuk edisi kali ini. Terima kasih kepada editor yang memilih cerpen ini.

Cerpen ini telah lama saya hantar sebenarnya, sekitar bulan April 2013. Bagi yang bertanya adakah karya yang hendak disiarkan di media cetak akan dimaklumkan oleh editor kepada penulis terlebih dahulu? Jawapannya, tidak. Editor tidak akan memaklumkan kepada penulis. Kerja penulislah untuk menyemaknya. Sebab itulah saya akan gelisah setiba penghujung bulan dan awal bulan. 

Selalunya saya akan ke kedai untuk membelek majalah keluaran baharu sekiranya ada karya saya yang tersiar. Kerja ini telah lama saya lakukan. Hingga pernah juga menerima jelingan daripada pekedai. Dan, pernah juga mendapat herdikan "kalau nak baca, belilah dulu". 


Segalanya Mungkin dengan Kamus

Assalamualaikum semua dan selamat pagi.



Apabila kita jadikan kamus sebagai bahan bacaan, kelihatannya banyak kosa kata atau perbendaharaan kata yang kita temui dan gayanya seperti banyak sangat yang kita tidak ketahui dan perlu tahu. Sebaliknya, apabila kita jadikan kamus sebagai sumber rujukan, kita akan temui apa-apa yang kita tidak ketahui dan itulah yang kita akan tahu.
Beza antara membaca dan merujuk adalah membaca kamus dapat memperkayakan kosa kata, sebaliknya merujuk kamus untuk lebih memahami. Oleh itu, jangan fikir orang yang membaca kamus ialah orang gila dan orang yang selalu merujuk kamus ialah orang yang "bodoh". 


Memburu Harapan

Assalamualaikum semua. 
Saya masih memburu harapan untuk memiliki majalah Mingguan Wanita, terbaharu ini.



Nota: Petang ini semua guru SKBK akan mengikuti sesi kedua bengkel SPS (Sistem Pengurusan Sekolah) daripada pukul 2.30 dan dijangka tamat pada pukul 5.30 petang. 



Selasa, 22 Oktober 2013

Menduga Ilmu Seluas Lautan


Jangan kita angkuh mengatakan ilmu yang kita ada, terlalu tinggi sedangkan kita cuma hanya bermain di kolam sempit lagi cangkat. Sedangkan di lautan nan luas, kita terkapai-kapai dan kita tidak lebih sekecil hama merenang gelora mencongak haluan. 
Usah kita merendah diri mengatakan ilmu yang kita ada, tidak seberapa dan terlalu rendah untuk memanjat tinggi menara kehidupan. Biarpun ilmu itu sekecil hama, bila mana dapat digunakan berterusan dalam kehidupan seharian, maka ia mampu membesarkan sesiapa sahaja dan apa-apa sekalipun tanpa kita sedari. 

Nota: Berjeda sebentar daripada membaca karangan murid. Oleh itu, beralih untuk menaip entri baharu. Sungguhpun begitu, belum kecukupan masa untuk bertandang (BW) ke blog kalian semua dalam masa terdekat.


Guru Bukan Mencari Salah Murid

Assalamualaikum semua. 

Alhamdulillah, murid saya telah selamat menjawab soalan peperiksaan Bahasa Malaysia kertas 011 (Pemahaman) dan 012 (Penulisan). Apa yang menarik untuk saya perkatakan, saya harus adil menjalankan tanggungjawab saya untuk menanda kertas tersebut.

Hal ini demikain, saya juga seorang penulis. Tidak mungkin saya akan bertukar menjadi editor sewaktu menjalankan tugas menanda kertas jawapan. Saya tahu benar dengan tugas seorang editor yang akan meneliti "kesalahan manuskrip" yang diterima. Pasti matanya akan teriki untuk membulat kesalahan yang dilakukan oleh penulis.

Sebaliknya, menjadi seorang guru yang menanda kertas jawapan murid, sikap mencari kesalahan murid harus dielakkan. Apa yang perlu dilakukan oleh seorang guru ataupun pemeriksa kertas jawapan adalah membantu sedaya boleh apa-apa yang dijawab oleh calon. Itu bukanlah bermakna aspek kesalahan diabaikan.



Isnin, 21 Oktober 2013

Kreativiti Murid Menghasilkan Mobail Haiwan

Hari ini telah dijalankan Peperiksaan Akhir Tahun  untuk mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kebetulan saya mengawas Tahun 4 Dedikasi. Jadi, sempatlah saya tangkap gambar hasil karya murid ini dalam menghasilkan mobail haiwan. 


Mobail haiwan merupakan tajuk atau bidang yang ke-7 dalam sukatan pelajaran PSV iaitu membentuk dan membuat binaan. Sememangnya, mereka ini memang kreatif. 


Saya pernah menggantikan guru Pendidikan Seni untuk mengikuti Kursus KSSR DSV untuk Tahun 3 pada tahun lepas. Sukar juga untuk saya mengikuti kursus yang bukan dari bidang saya. Apatah lagi kecenderungan bakat saya bukanlah dalam bidang ini. Tetapi, sekurang-kurangnya saya dapat juga imput. 


Mengukur Bakat yang Terpendam

Saya dalam proses membaca Penulis yang Disayang(i) Tuhan
Saya tertarik dengan dialog ini. Jadi, saya petik kuotasi ini untuk dikongsi bersama.

kredit foto dari kompasiana.com
"Sekiranya orang itu mampu menguasai genre 'cerpen', maka dia akan boleh menulis 'novel' dan 'lakon layar'. Sekiranya orang itu menguasai 'puisi' maka dia akan mampu menulis 'esei' dan 'drama pentas'. Sekiranya pula kita menguasai 'cerpen' dan 'puisi', maka kita akan menguasai semuanya. Jadi ini penting bagi kita mengukur dan merancang bakat kita," - USAMAH


Membaca Kehidupan dengan Tanda Baca

Assalamualaikum semua. Selamat pagi. Hari ini bagi yang bekerja akan memulakan kerja.
Ayuh, bersemangatlah menunaikan tanggungjawab ini.


Saya selalu memberitahu anak murid saya, yang hidup pasti akan mati. Kehidupan bagaikan pengembaraan, adakala kita berhenti singgah untuk berehat, berbual dengan pelbagai ayat pertanyaan, seruan. Samalah juga dalam pengembaraan menulis ayat. Tidak selamanya ayat kamu itu hidup. Jika kehidupan menemui titik mati, ayat perlu diakhiri dengan nokhtah (.) untuk menandakan ayat itu tamat. Jika berhenti sebentar gunakan koma (,). Jika ayat itu menunjukkan pertanyaan gunakan tanda soal (?), sebaliknya ayat seruan, gunakan tanda seru (!). Biarpun di dunia ini telah ditakdirkan orang itu kaya dan selalu tinggi martabatnya, tidak semestinya orang miskin yang tidak ditakdirkan untuk menjadi kaya selalu tampil di khalayak dipandang rendah. Maka, apabila menggunakan kata nama khas perlulah ditulis menggunakan HURUF BESAR di panggal perkataan. Dan, orang miskin (kata nama am) apabila hadir di hadapan ayat perlu juga ditulis menggunakan HURUF BESAR.

Nota: Entri ini sangat teknikal untuk difahami sepintas lalu. Jadi, baca berulang-kali untuk memahaminya.

Ahad, 20 Oktober 2013

Usia Menunjukkan Kematangan

Petang tadi saya ada belek-belek akhbar lama simpanan saya. Kemudian terjumpa satu artikel yang ditulis oleh Zainal Abdul Kadir di ruangan Sastera, Mingguan Malaysia bertarikh 16 Jun 2013-Usia Kepengarangan Sasterawan Negara



Kalau kita perhatikan Sasterawan Negara yang paling muda menerimanya ialah Shahnon Ahmad dan Muhammad Haji Salleh yang ketika itu berusia 49 tahun. Dan, paling berusia ialah Abdullah Hussain yang berumur 76 tahun

Kebelakangan ini pula, mengikut perkiraan ini nampaknya penulis yang dianugerahkan Sasterawan Negara semuanya telah berusia. Bagaimanapun, usia bukanlah penghalang untuk penulis itu terus menyumbang buah fikirannya. Bahkan, usia itulah yang menunjukkan kematangan penulis dalam berkarya.


Sasterawan Negara yang kini masih aktif menulis ialah  Muhammad Haji Salleh(kolumnis Dewan Sastera), Anwar Ridhwan (kolumnis Berita Harian), Ahmad Kamal Abdullah@Kemala (kolumnis Dewan Sastera) dan Baharuddin Zainal@Baha Zain (kolumnis Dewan Sastera). Sementara itu A.Samad Said juga menulis di Facebooknya.  


Kualiti Lirik Lagu di Malaysia

Saya tertarik dengan lontaran buah fikiran daripada penulis Rozais Al-Anamy dalam ruangan Sastera, Mingguan Malaysia hari ini. 


Beliau menyentuh tentang lirik lagu di Malaysia yang kian hambar dan kurang nilai seni sasteranya, jika hendak dibandingkan dengan karya penulis lirik satu masa dahulu. Antara ciptaan yang disentuh oleh penulis ialah lirik Bonda, Raikan Cinta, Andalusia, Tanya Itu Sama Hud Hud atau Gurindam Jiwa. Bagaimanapun, tidak semua lirik yang dihasilkan di Malaysia tidak bagus mutunya. 

Barangkali golongan muda hari ini tidak bersetuju dengan memberi alasan, zaman sudah berubah. Masyarakat hari ini sudah tidak ada masa hendak memikirkan lagu yang didengar. Yang penting lagu itu mesra pendengar dan liriknya mudah menjadi siulan ramai. Namun begitu, kita harus sedar perubahan hanya pada waktu sebaliknya jangan perdagangkan nilai kebudayaan, kesenian dan jati diri. 


Perbezaan jelas ketara pada kualiti lirik dan puisi ialah pada gaya penyampaian dan pemilihan kosa kata. Lirik lebih berterus terang kini, sebaliknya puisi lebih berselindung dan memerlukan daya fikir yang tinggi. Telah banyak puisi diangkat menjadi lirik lagu seperti Ke Makam Bonda (puisi Usman Awang), Tetamu Senja (puisi A.Samad Said). 

Penulis turut menyentuh tentang cadangan untuk mengangkat lirik lagu dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Beliau berpendapat, belum sampai masanya lagi lirik untuk Malaysia mengangkat lirik lagu dalam HSPM. Biarlah lirik lagu diangkat dalam industri muzik sahaja kerana itu lebih sesuai dengan perjuangan mereka.

"Maka langkah mengiktiraf lirik sebagai genre sastera dalam HSPM masih dikira tidak wajar pada ketika ini. HSPM dan seni sastera tidak boleh disekutukan dengan kerendahan citra ilmu dan budaya dalam bidang penulisan lirik di negara ini." 



Luahan Hati Seorang Pembaca

Assalamualaikum semua. 


Kalian bacalah sendiri luahan hati daripada seorang pembaca karya Mohd Helmi Ahmad. Saya sama sekali tidak menyangka bahawa ada pembaca seperti saudari maya ini. 

Selama ini saya tertanya-tanya juga, setelah sekian lama dan sebanyak-banyak karya yang saya tulis, ada ke orang baca karya saya baik cerpen, puisi, artikel yang disiarkan di media cetak? Adakah saya ini syok sendiri?

Akhirnya, terjawab juga. Terima kasih saya ucapkan kepada saudari maya dan kalian yang lain juga yang tidak jemu membaca karya saya. Insya-Allah, saya akan cuba menulis dengan sebaik mungkin. Tidak akan saya sia-siakan bakat anugerah-Nya ini. 

Nota: Banyak artikel menarik di akhbar hari ini. Insya-Allah, saya akan cuba ulas beberapa isu yang dikupas. 



Sabtu, 19 Oktober 2013

Aku Lelaki Pemabuk

Hari ini kerja saya terbitkan entri baharu, blogworking, tulis cerpen sikit dan semak kertas peperiksaan. Memandangkan kerajinan saya memuncak hari ini, jadi saya nak kongsikan satu cerita ataupun pengalaman saya. 

Ya, kalian tidak tersalah membaca tajuk entri saya itu. Sejujurnya, "Aku Lelaki Pemabuk". Sebab yang menyebabkan saya mabuk bukanlah saya ini peminum, tetapi saya memang alah berjalan jauh apatah lagi menaiki kenderaan seperti kereta ataupun bas. 

kredit foto dari ariffinmamat.net

Sejak kecil lagi, jika saya menaiki kereta, pasti saya akan pening atau mabuk dan termuntah-muntah. Mesti minyak cap kapak perlu disediakan jika saya menaiki kereta ataupun bas. 

Memang saya tidak diajar menaiki kereta sewaktu kecil kerana ayah saya tidak boleh memandu dan tidak juga memiliki kereta. 

Adakah "penyakit" ini disebabkan keturunan? Hal ini demikian kerana, ibu saya pun juga begitu. Tidak boleh berjalan jauh dengan menaiki kereta ataupun bas. 



Kini, "penyakit" ini menyerang pula anak menakan (saudara) saya. Rasanya Sungai Limau dengan Simpang Empat, Kangkong tidaklah jauh sangat, tapi seringkali anak menakan saya ini akan pening dan loya jika pulang ke rumah toknya (nenek). 

Alhamdulillah, semenjak saya keluar dari Kedah iaitu belajar di UPM dan belajar berjalan jauh menaiki bas "penyakit" ini mula hilang. Tidaklah saya termuntah-muntah lagi. 


Lagi Kedai Buku 1Malaysia Dibuka

Untuk membudayakan amalan membaca kita terlebih dahulu perlu menyediakan prasarana yang cukup. Antara langkah yang diambil adalah dengan membuka lebih banyak kedai buku yang mampu milik serta menawarkan pilihan bahan bacaan dari segenap usia. 

Buktinya, kesungguhan Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) menjelajah ke seluruh Malaysia adalah satu usaha yang harus diberi pujian. Tawaran diskaun di KB1M sebanyak 15% untuk buku yang dijual di sini dilihat satu promosi yang berkesan. 

Terpulang kepada rakyat di Malaysia untuk mengisi minda, jiwa dan rohani mereka dengan apa-apa bacaan sekalipun yang bermanfaat. Pernahkah kalian mendengar atau membaca, "apa-apa yang kita baca itulah cerminan diri kita".


Kini KB1M telah dibuka di GONG BADAK

Membaca Santapan Minda. 


Masyarakat Jaga Tepi Kain Orang

Assalamualaikum semua dan selamat pagi. 
Selamat berhujung minggu. 

Seminggu dua ini saya perhatikan senario keprihatinan yang melanda masyarakat Melayu khasnya semakin parah. Saya kurang enak menghadam cerita yang sengaja dikontroversikan untuk apa-apa tujuan sekalipun. 

Masalah rumah tangga yang pada dulunya adalah menjadi kerahsiaan antara pasangan suami isteri, tetapi tidak kini. Seolah-olah masyarakat kita turut diheret untuk memikirkannya bersama. 

Kita menjadi pemikir yang tak bertauliah. Mengapa soal itu dan soal ini yang tidak bersangkutan dengan kita harus disebarluaskan menerusi media massa dan media cetak? Tidakkah kita fikir itu bukan sahaja akan menjatuhkan maruah mana-mana pihak?


Saya belum yakin masyarakat kita sudah profesional dan matang dalam menafsir sebarang berita ataupun khabar angin. Adakah kerana dia aktor yang menjadi pujaan ramai dan oleh sebab itu segala gerak-geri dan rahsianya harus dikongsi bersama? 

Berbanggakah kita apabila orang mengatakan bahawa masyarakat Melayu, masyarakat yang sangat prihatin atapun sering jaga tepi kain orang? Saya bukanlah anti kepada aktor itu aktor ini, individu itu individu ini, sebaliknya mengapa kita tidak tonjolkan keistimewaannya ataupun ketabahannya ataupun perjuangannya dalam sesuatu bidang untuk mencapai kejayaan. Bukankah itu lebih manis untuk ditatap tidak kira golongan apa-apapun. 

Nota: Bebelan ini sekadar untuk sama-sama kita berfikir. Tidak berniat untuk mempengaruhi sesiapa dan menjatuhkan sesiapapun. 


Jumaat, 18 Oktober 2013

Sayembara Menulis Cerpen Bulan Bahasa Kebangsaan Wilayah Timur 2013

Ada yang berminat untuk menulis cerpen dan masih tercari-cari tempat untuk mengasah bakatnya itu? Kalau berani, bolehlah cuba menyertai Sayembara Menulis Cerpen, Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 Peringkat Wilayah Timur


Ayuh, jangan lepaskan peluang ini. Tidak kiralah penulis baru, muda, mapan semuanya boleh mencuba. Tarikh tutup sayembara ini pada 21 November 2013. Maklumat lanjut boleh baca di sini

Saya tak bolehlah nak sertai sebab, syaratnya penulis yang menetap dan berasal dari Wilayah Timur (Kelantan dan Terengganu) sahaja. Kena tunggu Wilayah Utara pula kalau ada.


Tetamu Istimewa Menjadi Inspirasi WANARIAHAMIZA


Sudah menjadi rutin saya pula untuk membuka blog pada petang hari. Kemudian, meluluskan komen yang ditinggalkan oleh blogger semua. Terima kasih ya, kerana sudi memberi respon pada entri saya. Kalau sempat, saya akan terjah beberapa buah blog untuk baca entri terbaharu daripada kalian. 

Blog bertuah pada petang ini ialah INSPIRASI WANARIAHAMIZA. Terkejut saya apabila membaca entri terkininya. TETAMU ISTIMEWA MENJADI INSPIRASI. Sorotan pandangannya terhadap Tetamu Istimewa saya rasa antara yang terbaik setakat ini. Terpancar kejujuran dalam setiap bait kata yang dikarang. Saya bukanlah individu atau tokoh yang sempurna. Oleh itu, jangan segan-segan dengan saya untuk menegur ke arah yang lebih baik. 

Saya juga tidak menyangka bahawa Tetamu Istimewa dan Mohd Helmi Ahmad mampu menjadi inspirasi dalam dunia blogging dan penulisan kepada orang lain. Terima kasih Wan Muhammad Hanif bin Wan Abd Hamid. Beliau merupakan salah seorang peserta Kembara Penulis Muda ke United Kingdom anjuran ITBM. Sama-samalah kita nantikan kemunculan buku hasil kembaraan beliau itu. 




Pabila Kucing Menjadi Guru

Assalamualaikum semua dan selamat pagi.




PABILA KUCING MENJADI GURU

Di sebuah rumah tinggal dua ekor kucing
seekor kucing kampung seekor lagi kucing parsi.

Kucing kampung tidak miliki bulu cantik dan gebu
tapi kelasakannya amat diperlukan tuannya
untuk menangkap tikus dan menghalau lipas.

Sementara kucing parsi jinak dan comel
menjadi teman dan rakan permainan anak-anaknya.

Kata kucing kampung itu kepada kucing parsi:
untuk menjadi haiwan kesayangan tuan kita
kita perlu tunjukkan yang kita tidak mudah tunduk
terhadap apa-apa pun ancaman.

Kata kucing parsi kepada kucing kampung:
untuk menawan hati tuan kita
kita perlu sentiasa tunjukkan bahawa kita ini manja
dan selalu ikut kemahuannya.

Apabila kucing-kucing itu berubah tabiat
tuannya mula berasa bimbang dan khuatir
kerana kucing kampung itu sudah malas menangkap tikus
sementara kucing parsi pula terlalu garang dan bengis
hinggakan tangannya menjadi mangsa kerkahan
maka kedua-dua ekor kucing itupun dibuang
kerana bagi tuannya tiada apa-apa yang boleh dibanggakan lagi
jika kedua-duanya sudah tidak setia dan mahu menjadi orang lain.


Mohd Helmi Ahmad
Simpang Empat, Kangkong
18 Mac 2010


Cerpen: Jiwa Nurani di Jelita

Alhamdulillah, sekali lagi cerpen saya dipilih untuk disiarkan di JELITA, Oktober 2013
Cerpen tersebut berjudul Jiwa Nurani
Cerpen ini saya karang sewaktu cuti Hari Raya Aidilfitri yang lalu. 


Kepada yang dah beli dan tak perasan, boleh belek sekali lagi majalah tersebut. Kepada yang belum beli, sudi-sudilah membelinya. Selain membaca cerpen saya, banyak lagi ruangan yang menarik untuk Edisi Perkahwinan ini. 


Berikut merupakan petikan daripada cerpen Jiwa Nurani:

"Benarkah Nurani seorang wanita aneh? Apakah keanehan yang terdapat pada Nurani sehingga diperkatakan begitu oleh lelaki-lelaki yang pernah datang melamarnya? Yang menghairankan, semua lelaki yang memperkatakan tentang keanehan Nurani semuanya lamaran mereka ditolak. Adakah hanya kerana mereka kecewa dengan penolakan itu hingga sanggup mereka mengada-adakan cerita yang entah benar entah tidak? Persoalan-persoalan itulah yang belum terbongkar oleh sesiapapun. "


Khamis, 17 Oktober 2013

Perjuangan Pun Bermula

Assalamualaikum semua dan selamat pagi.

kredit foto daripada umt.edu.my

Hari ini walaupun masih dalam suasana hari raya, murid-murid harus berkorban semua itu. Perjuangan mereka menghadapi Peperiksaan Akhir Tahun 2013 pun bermula. Saya sebagai guru mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Tahun.

Untuk peperiksaan ini saya telah ditugaskan untuk menyediakan Kertas Kemahiran Hidup dan Bahasa Malaysia Penulisan.  


Nota: Alhamdulillah, blog saya kembali pulih. Terima kasih kepada rakan blogger yang prihatin. Barulah bersemangat nak BW dan sebagainya. 


Rabu, 16 Oktober 2013

Guru yang Berkorban

Assalamualaikum semua. Selamat petang.
Terlebih dahulu saya nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada pengunjung setia Tetamu Istimewa. Maaf, lama tidak terbitkan entri baharu. Berikut merupakan rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang lima hari lalu.

11 Oktober 2013
3.00 petang bertolak balik ke kampung, Alor Setar, Kedah. Menumpang kawan yang hendak balik ke Pendang.

13 Oktober 2013
Ke UTC-Alor Setar, beli beberapa buah buku terbitan ITBM.

15 Oktober 2013
Menyambut Hari Raya Aidiladha dalam renyai hujan.

3.00 petang bertolak dari Alor Setar ke Batang Kali. Kira-kira 9.40 malam sampai di rumah. Alhamdulillah, jalan tidaklah sesak sangat. Barangkali kami bertolak awal.

Rasa sedih pula. Namun begitu, saya anggap inilah pengorbanan guru untuk mendidik anak murid.

Nota: Saya tidak pasti apa-apa yang saya perasan blog saya ini juga anda perasan kerana blog saya telah diceroboh dengan pelbagai "iklan haram".  Hinggakan ruangan untuk saya taip entri baharu pun berserabut dengan iklan ini. Ada sesiapa boleh bantu saya? Adakah komputer atau blog saya ini diserang virus?

Jika boleh, saya nak printcreen iklan tersebut, namun tidak boleh nak lampirkan dalam blog pula. Semua ikon di atas tu tak berfungsi. Tunggu sampai loading habis dulu, baru iklan tu muncul. Kalau tak muncul juga, rasanya komputer saya yang ada masalah.


Sabtu, 12 Oktober 2013

Adaptasi Karya Sastera ke Visual

Assalamualaikum semua dan selamat pagi.

Sekarang ini sudah menjadi trend pula apabila pengarah drama menyunting naskhah novel untuk diadaptasi. Kebanyakan novel yang dipilih lebih menjurus pada novel popular. Saya pernah menulis isu ini dalam entri Adaptasi Ombak Rindu. Tengah hangat disiarkan sekarang ini ialah Love You Mr. Arrogant


Saya terbaca satu rencana yang ditulis oleh Johan Jaaffar yang berjudul "Membawa Karya Sastera ke Pentas" di Berita Harian, 9 Oktober 2013. Dalam rencana ini pengarang cuba menjelaskan bahawa fenomena adaptasi ini telah lama dimulakan. Pada suatu masa dulu, karya yang dipilih untuk diadaptasi lebih kepada karya sastera. 

Antara karya sastera tersebut yang disebut:

1. Intan - Abdullah Hussain (Novel-1975)
2. Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman - Anwar Ridhwan (Novel)
3. Zaman Gerhana - A. Samad Said (Novel-1986)
4. Salina - A. Samad Said (Novel-1986)
5. Rumah Kedai Di Jalan Seladang - A. Samad Ismail (Cerpen)
6. Sungai Mengalir Lesu - A. Samad said (Novel-1997)
7. Imam - Abdullah Hussain (Novel-1998)
8. Al-Amin - A. Samad Said (Puisi-2000)
9. Orang Kota Bharu - S. Othman Kelantan (Novel-2003)
10. Patah Sayap Terbang Jua - A Samad Ismail (Novel-2005)

Sesungguhnya bukan mudah untuk mengadaptasi karya sastera ke bentuk visual sama ada, filem, TV mahupun pentas. Bukan calang-calang pengarah yang berani memikul tanggungjawab ini. Hal ini demikian kerana konsep adaptasi itu sendiri bukan sekadar menterjemahkan keseluruhan teks sama seperti apa-apa yang ditulis. 

Sebaliknya, pengarah yang bijak ialah pengarah yang mengupayakan teks tersebut untuk difahami dalam bentuk visual. Selepas menonton bukan soalan, "Eh, kenapa tak sama pun dengan teks sebenar", sebaliknya "Bijak pengarah ni menyelami apa-apa yang ditulis oleh pengarang sebenar".

Jika penonton atau penggemar drama Melayu yang diadaptasi daripada novel sekarang ini, mempunyai jalan cerita yang hampir sama. Cuma yang membezakannya adalah konflik dan jalan penyelesaiannya. Misalnya, kawan paksa, benci, tidak suka dan kemudiannya memupuk cinta secara terpaksa dan ada peristiwa yang membuatkan pasangan tersebut terhutang budi dan berbaik. 

Saya bukanlah anti atau cemburu pada novel popular yang dipilih untuk diadaptasi. Barangkali saya melihat, semua penawaran ini dibuat kerana adanya permintaan begitu. Apa-pa yang kita pertontontan seolah-olah melambangkan begitulah budaya masyarakat kita. Oleh itu, hati-hatilah dalam memilih teks untuk dipertontonkan kepada khalayak. Usahlah kita berbangga hanya kerana drama atau filem kita meletop dengan cerita-cerita kepincangan dalam masyarakat kita. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78