Benarkah masa pantas berlalu hingga kita sebagai manusia lelah mengejarnya? Tepuk dada tanyalah diri sendiri.
Penghujung waktu semakin tiba. Ada yang sudah berkira-kira untuk melangkah ke tahun baharu iaitu 2012 dengan semangat berkobar-kobar. Dengan keazaman untuk mencapai impian yang lebih besar pada tahun hadapan. Adakah azam pada tahun ini terlaksana? Dalam keghairahan mengejar azam baru, jangan lupa bermuhasabah.
Menyorot kembali perjalanan tahun 2011, dalam penulisan saya berpuas hati kerana karya-karya saya banyak yang tersiar dari dibakul sampahkan. Ada juga karya yang berjaya menerobos masuk ke media yang sebelum ini tidak pernah. Seperti puisi saya yang berjudul Waktu Bersayap Putih di Mingguan Malaysia. Inilah satu-satunya puisi saya yang berjaya memecahkan tombok kebal Mingguan Malaysia. Terima kasih editornya. Begitu juga dengan puisi yang berjaya menempatkan dalam Harian Metro. Tiga buah puisi ini memberi makna kepada saya. Bermula dengan Bersila di Beranda Takdir, Bunga Sejambak di Konvokesyen dan Kemilau Pelita Lampau. Selain itu majalah Perempuan juga tidak ketinggalan memberi ruang kepada puisi dan cerpen saya untuk tatapan pembaca. Dengan puisi berjudul Memugar Ladang Jiwa dan cerpen Mengejar Sarjana Muda. Masing-masing ada kisahnya.
Dalam kesukaan masih ada dalam kesedihan ataupun kekecewaan. Saya masih mencuba untuk menempatkan karya saya di beberapa media yang belum pernah berjaya hingga kini. Selaku penulis tentulah mengidamkan melihat karya tersiar di majalah yang punyai reputasi hebat seperti Dewan Sastera. Saya sedar siapa diri ini. Namun itu tidak menjadi alasan atau penghalang untuk saya mencuba. Harapan saya pada tahun 2012 saya dapat melihat karya saya berjaya memikat hati editornya.
Walaupun puisi saya banyak mendapat tempat di Tunas Cipta namun keterkilanan masih juga terasa apabila cerpen saya belum berjaya menempatkan diri. Saya berharap perjuangan saya itu tidak terhenti dengan begitu saja hanya dek kerana cerpen saya tidak tersiar di majalah ini.
Pada penghujung tahun ini iaitu bulan November menyaksikan saya kembali menghidupkan blog saya yang sudah lama nazak sebenarnya. Terima kasih kepada rakan saya Hafis yang sudi memberi tunjuk ajar. Tidak ketinggalan juga kepada rakan-rakan yang sudi menjengah ke blog Tetamu Istimewa ini. Nama blog saya sebenarnya diambil sempena judul cerpen saya yang pernah tersiar di Berita Minggu pada tahun lepas dengan judul Tetamu Istimewa. Dengan berblog inilah saya mendapat rakan maya baru. Dari penulis kecil-kecilan hinggalah sebesar-besar namanya.
Majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobil 2010 yang diadakan baru-baru ini telah melayakkan saya menerima hadiah penghargaan HSKU kategori cerpen remaja. Walaupun dua buah cerpen saya tersenarai ke peringkat akhir iaitu Rancanganku RancanganMu dan Bunga Telur Kenduri Kahwin. Bunga Telur Kenduri Kahwin inilah telah memberi kenangan manis kepada saya.
Pada bulan ini jugalah (november) saya melapor diri di SJKC Choong Chee, Hulu Yam Lama, Batang Kali Selangor sebagai tenaga pengajar. Cabarannya belum teruji kerana pada ketika itu sudah di penghujung sesi persekolahan. Saya berharap saya dapat menanganinya dengan sokongan guru-guru lain, ibu bapa, rakan dan doa yang tidak henti-henti.
Penorbatan Kemala sebagai Sasterawan Negara yang ke-11 telah menyelesaikan teka teki siapa yang bakal menyandang anugerah itu selepas SN Anwar Ridhwan. Begitu juga dengan S.M. Zakir yang telah dinobatkan penerima S.E.A Write Award pada tahun 2011. Ternyata Malaysia tidak pernah ketandusan penulis-penulis yang berbakat dan berjiwa besar memperjuangkan bahasa dan sastera negara.
Pemergian beberapa tokoh sastera dan bahasa memang sangat dirasai. Pemergian penulis kegemaran saya Allahyarham Azizi Hj Abdullah sangat dirasai. Saya bermula dengan membaca novel Harga Sebuah Maruah. Kemudian saya jantuh cinta dengan gaya bahasanya yang bersahaja seolah-olah hidup. Selepas itu saya menjadi peminatnya dan berjaya mengumpulkan sebilangan karyanya. Antaranya, Zikir Rindu, Tukcai, Memoir Seorang Guru, Kuras-kuras Kreatif, Sangeetha, Beruk, Anak Belantara, Pencinta Alam, Kawin-kawin, Badai Cinta, Suriati, Pertiwi, Seorang Tua di Kaki Gunung, Pendoa yang Ikhlas dan yang terakhir juga terbaru adalah Mandala Dunia Kedua.
Pada tahun ini juga saya telah membelanjakan sejumlah wang untuk membeli buku. Sama ada buku terbita lama ataupun baru. Ada antaranya masih belum sempat saya baca. Walau bagaimanapun saya akan cuba menghabisinya pada tahun hadapan. Insyaallah.
Selamat Menyambut Tahun Baru.