Pengikut

Sabtu, 30 November 2013

Pasaran Buku dan Kepedulian Penulis Sastera di Malaysia

sekadar gambar hiasan (kredit foto dari kosmo)

Sememangnya dikatakan buku sastera sukar mendapat pasaran di Malaysia. Buku sastera termasuklah, novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, kritikan dan beberapa lagi. Penerbit yang masih menerbitkan buku sastera ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dilihat masih bertahan dalam memperkayakan dan menyediakan bahan bacaan sastera kepada segolongan pembaca di Malaysia. 

Tidak hairanlah jika ada yang mengatakan bahawa menjadi penulis sastera tidak boleh jadi kaya berbanding menjadi penulis popular yang menjadi buruan pembaca karyanya. Hingga pada satu tahap, novel tersebut terpilih untuk diadaptasi dan tempiasnya juga terkena pada novel tersebut hingga dicetak ulang berpuluh kali. 

Bagi saya, itu tidak menjadi masalah besar sekiranya karya penulis sastera di Malaysia tidak mendapat sambutan. Untuk permulaan, saya fikir penulis sastera haruslah bekerjasama dalam soal ini. Kerjasama ini dalam bentuk menyokong pembelian karya antara penulis itu sendiri (menyebut penulis membeli buku penulis, bukanlah soal syok sendiri).

Maksudnya, jika penerbitan karya sastera itu contohnya 1000 naskhah, saya percaya penulis sastera di Malaysia melebihi angka ini dan jika setiap penulis ini membeli satu naskhah, bukankah sudah laku 1000 naskhah? Ini, tidak. Jika penulis sastera pun tidak mahu membeli karya rakan-rakan dan hanya mengharapkan rakan penulis membeli karyanya sahaja, maka tidak berlaku penyokongan antara satu sama lain. 

Oleh itu, usah hendak mengharapkan pasaran di luar kalangan penulis sastera atau pembaca sastera, jika penulis sendiri tidak mahu membeli karya rakan penulis. Paling menyedihkan jika ada penulis sastera (mapan, senior) tidak memandang pun karya penulis muda atau baru. 

Harapan saya, sama-samalah kita bekerjasama, saling menyokong antara satu sama lain demi memartabatkan dunia kesusasteraan dan penerbitan di Malaysia. Jika kerancakan penerbitan tidak disokong dengan masyarakat pembaca apalah guna jika kita hanya mengejar jumlah terbitan dengan judul berpuluh ribu saban tahun. 



Bubur Asyura dari Kedah

Assalamualaikum semua. Selamat berhujung minggu.

Semalam keluarga saya telah berpakat untuk mengacau bubur "sora" atau asyura. Jadi, sempatlah saya ambil beberapa gambar untuk dikongsi bersama. Saya tidak pastilah bagaimana bubur asyura di tempat lain. Tetapi di kampung saya, beginilah. 

Bahan-bahan yang diperlukan ialah, tepung (tetapi mak saya tak guna tepung beli, sebaliknya dia mesin sendiri beras), gula, santan, garam. Bahan sampingan yang lain seperti kacang kuda, kacang hijau, keledek, jagung. Kalau suka pisang boleh juga dimasukkan. 

kawah yang telah dimasukkan beras yang telah dikisar, santan, gula dan garam.

Setelah beberapa lama, masukkan pula bahan seperti jagung, kacang kuda.

Kemudian, masukkan keledek, kacang hijau. 

Hasilnya setelah masak dan enak dimakan. Hampir empat jam kami mengacaunya. 

Kata emak saya, bubur asyura jika dikacau di dalam kawah hasilnya sedikit kehitaman. Sebaliknya, jika dikacau di dalam periuk besar hasilnya keperang-perangan sahaja. Saya suka bubur yang hitam ini. 



Puisi: Membaca Lukisan Zaman

sawah padi di kampung saya

MEMBACA LUKISAN ZAMAN

Tidak lama lagi kau petani
boleh pulang berjabat salam desa
berlebuh raya membelah sawah terbentang
mentari tersunging senyum di balik
kilau cermin kereta api.

Gerabak usia mengejar nostalgia
berlecak di petak menyulam benih impian
menabur hijau baja kesuburan
menanti pesta tampian emas menguning
lelah dan titis peluh berjudi nasib
tertebus dengan kalungan rantai kesenangan.

Membaca lukisan zaman yang carik
keras lambaian pohon kelapa patah tarinya
gesekan seruling angin sombong menampar pipi
cemburu tambur hilang bauan
lalu yang tinggal selayar rindu yang terpercik
pada sekeping kanvas alam menempek
di dinding kehidupan kau petani warisan.


Alor Setar, Kedah
Mohd Helmi Ahmad
6 Disember 2012

Jumaat, 29 November 2013

Kemaskini Data e Operasi di http://apps8.moe.gov.my/eoperasi/

Kepada guru-guru yang belum mengemaskini maklumat guru dalam sistem maklumat guru e Opreasi silalah berbuat demikian sebelum disahkan oleh Guru Penolong Kanan Pentadbiran dan Guru Besar. Semak segala maklumat peribadi dengan betul terutamanya tarikh perlantikan dan tarikh sah jawatan. 

Guru-guru perlu Log Masuk:
1. LoginID
2. Katalaluan
3. No. KP

Untuk membuat kemaskini boleh klik KEMASKINI E OPERASI. 



Khamis, 28 November 2013

ITBM Bolot Lima Kemenangan dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012

Assalamualaikum semua.
Sememangnya Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) merupakan antara pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada penulis dalam bidang sastera. Menggenggam pencapaian dan kemenangan menerusi HSPM bolehlah dianggap karya itu hebat! 

Setelah diumumkan semalam, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah membolot lima kemenangan menerusi kategori yang dipertandingkan. Sesungguhnya kemenangan ini amat bermakna sekali kepada penulis dan penerbit. Usaha keras ITBM dalam memperkayakan bahan bacaan sastera dalam era teknologi moden ini sangat membanggakan dan harus diberi pujian. Antara karya yang memenangi HSPM 2012 ialah:

1. Kategori Kumpulan Cerpen - Selamat Datang ke Malaywood (Roslan Jomel)
2. Kategori Kumpulan Puisi - Alien Menchari Chinta (Ramzah Dambul)
3. Kategori Novel Remaja - Ke Pulau Sebatik 1 (Nur Mustika)
4. Kategori Kumpulan Cerpen Remaja - Inspirasi Cinta (Rozninah Abd. Azib)
5. Kategori Kumpulan Puisi Kanak-kanak - Bijak Si Katak Bijak (Siti Zainon Ismail)

Daripada lima buah karya ini, saya memiliki dan sudah membaca tiga daripadanya iaitu Selamat Datang ke Malaywood, Alien Menchari Chinta dan Inspirasi Cinta. Ya, saya akui karya ini memang layak memenangi HSPM.


Saya tertarik dengan kumpulan puisi Alien Menchari Cinta yang disertakan sekali dengan doodle hasil tukangan Ramzah Dambul. Puisinya cukup menarik dan memikat. Adakalanya membuatkan pembaca cair dan mahu mengulang bacanya berkali-kali.



Selamat Datang ke Malaywood pula sangat hebat gaya penyampaiannya. Kalian jangan terkejut apabila membaca sejumlah cerpen yang termuat dalam kumpulan ini.

Watak-wataknya amat "aneh" dan kadangkala plot ceritanya sangat sulit untuk difahami. Sebaliknya, gaya penulisan begini tidak akan membosankan pembaca. Satu lagi, keunikan Roslan Jomel ialah cerpen-cerpennya sangat panjang untuk disudahkan. 


Inspirasi Cinta, karya mantan editor Dewan Sastera ini membugarkan jati diri remaja dalam menghadapi arus kehidupan. 16 buah cerpen yang dimuatkan dalam kumpulan ini banyak memberi motivasi kepada remaja. 

Kebanyakan cerpennya pula menyentuh hal perjuangan bahasa, hidup dan kemandirian wataknya menghadapi perjalanan hidup. 


Rabu, 27 November 2013

Penyeberang Sempadan Memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2012 yang diumumkan dan disampaikan pagi tadi.

kredit foto dari kosmo
Judul: Penyeberang Sempadan
Pengarang: Anwar Ridhwan
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Genre: Novel
Muka surat: 451
Cetakan Pertama: 2012
Harga: RM45.00

Novel Peyeberang Sempadan karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan sekali lagi menggondol hadiah utama menerusi novel ini yang sebelum ini telah memenangi Hadiah Sako 3.

Penyeberang Sempadan
Disulami naratif magis tentang protagonis yang mengaku sebagai "pembela dan pejuang" tanah air; penyeberang sempadan geografi dan ideologi yang akhirnya tiba semula pada asal usul kebenaran.

Harga yang ditawarkan oleh Ujana Ilmu RM40.00. Boleh beli dengan Ujana Ilmu.

Saya belum memiliki novel ini dan rasanya hendak mencari juga selepas ini. Kepada rakyat Malaysia marilah sama-sama kita menghayati dan memberi sokongan dengan memiliki karya sastera yang sudah tentu hebat ini. 


15 Cerpen dalam Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa

Assalamualaikum semua.


Barangkali ada yang tertanya-tanya cerpen yang dimuatkan dalam Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa ini. Oleh itu, saya akan kongsikan 15 cerpen yang saya muatkan dalam kumpulan cerpen ini. Mungkin ada yang pernah membacanya secara eceran sewaktu diterbitkan di media seperti Harmoni, Jelita, Berita Minggu, Aniqah, Utusan Melayu Mingguan, Dewan Siswa, Mingguan Malaysia dan Tunas Cipta.

Ada antara cerpen yang dimuatkan dalam kumpulan ini pernah memenangi Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil (HSKU) kategori cerpen remaja, seperti Bunga Telur Kenduri Kahwin (2010), Kuih Bakul Limau Mandarin (2011) dan Rombongan Masuk Jawi (2012). Dua buah cerpen lagi sekadar layak ke peringkat akhir HSKU iaitu Rancanganku Rancangan-Mu (2010) dan Piala Penentuan (2012).


1. Rancanganku Rancangan-Mu                                                                                          
2. Kedondong untuk Cikgu                                                                                                       
3. Tetamu Istimewa                                                                                                                  
4. Mercun dari Kuala Lumpur                                                                                                 
5. Bunga Telur Kenduri Kahwin                                                                                              
6. Kuih Bakul Limau Mandarin                                                                                                            
7. Haruan di Pinggir Sawah                                                                                                     
8. Pusaka Tanpa Nilai                                                                                                               
9. Piala Penentuan                                                                                                                    
10. Rombongan Masuk Jawi                                                                                                       
11. Setitis Budi Semarak Kasih                                                                                                 
12. Hanya Geran                                                                                                                         
13. Pulut Durian Santan Kelapa                                                                                                 
14. Muhammad Al Islam                                                                                                            
15. Tentang Waris   

Selamat membaca!
                                                                                                    

Selasa, 26 November 2013

Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa

RM 20.0

Judul: Tetamu Istimewa
Harga: RM 20.00 / RM 25.00 (Sabah & Sarawak)
Tahun terbit: 2013
Jumlah muka surat: 156
Terbitan: Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM)
Penulis: Mohd Helmi Ahmad

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi setelah terbitnya Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa yang juga buku pertama saya. Saya mengharapkan sokongan daripada kalian untuk memiliki buku ini. Di sini saya petik rangsang sari buku ini daripada laman ITBM.

Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa menghimpunkan 15 cerita pendek hasil pertukangan kreatif penulis muda berbakat kelahiran Kedah, Mohd Helmi Ahmad. 
Cerpen-cerpen di dalam kumpulan ini menafaskan jati diri remaja dan menunjang nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi.
Watak-watak ditampilkan secara signifikan dan digarap dalam galur cerita yang berseni dengan penuh tanggungjawab. Kisah-kisah motivasi, pengorbanan, kekeluargaan, cabaran alam persekolahan, adat istiadat dan budaya Melayu malah juga persoalan keagamaan diadun cermat dan sesuai dengan penaakulan remaja. 
Tetamu Istimewa yang menjuduli kumpulan cerpen ini mengungkapkan ciri berhias budaya Melayu dalam mendidik anak-anak ketika menghadapi saat-saat sukar diuji dugaan wabak penyakit. 
"Adik semakin pulih. Dia tidak lagi menangis pada waktu malam. Tidurnya lena dibuai mimpi-mimpi indah. Tetamunya tidak mengganggu lagi."
Saya masih belum terima buku ini daripada ITBM dan belum juga ada stok di tangan saya. Bagaimanapun, buku ini sudah boleh dibeli di Laman ITBM. Klik di sini jika berminat untuk membeli: Tetamu Istimewa.

Isnin, 25 November 2013

Keciciran dan Insan yang Jujur

Assalamualaikum semua.

Bagaimana saya terlalu cuai hingga barang peribadi yang selalu setia berdamping tercicir di dalam bas dalam perjalanan pulang ke kampung halaman semalam.

Jika hendak beri alasan seribu alasan tidak juga dapat selesaikan segalanya:

Disebabkan itulah tercetusnya kerunsingan dalam diri sendiri juga keluarga yang ternanti-nanti.

Alhamdulillah, masih ada insan yang jujur dan baik hati. Petang ini ingin berjumpa dengan empunya 'tuan' yang menjumpai dan sudi memulangkan kembali.



Sabtu, 23 November 2013

Artikel: Tiada Lagi Skor A di Dewan Masyarakat

Assalamualaikum semua. 


Seperti biasalah kan, kalau saya paparkan kulit depan sesebuah majalah pasti ada karya saya yang tersiar. Jika sebelum ini cerpen, kali ini pula artikel. Rasanya sudah lama saya tidak menulis artikel. Dan, artikel yang tersiar ini pun sudah lama saya tulis sekitar awal tahun . 

TIADA LAGI SKOR A, disiarkan di Dewan Masyarakat-November 2013. Artikel ini berkisar tentang sistem peperiksaan kita yang mengalami transformasi dari orientasi peperiksaan (A) kepada pentaksiran band. 

Banyak lagi perkara yang saya kupas dalam artikel ini. Sekiranya berminat untuk membaca, bolehlah dapatkan Dewan Masyarakat. Saya juga masih belum memilikinya. Khabarnya, majalah langganan saya juga belum sampai. 

Terima kasih kepada editor yang sudi menyiarkan artikel ini. 


Khamis, 21 November 2013

Rutin Pulang ke Kampung Membawa Buku


Cuti sekolah telahpun bermula. Saya masih di Batang Kali. Insya-Allah, hujung minggu nanti selepas menghadiri kenduri perkahwinan kawan, barulah saya akan pulang ke kampung. Selalunya, setiap kali saya pulang pasti beg saya penuh dengan buku ataupun majalah. Ketika itu, mengeluh sana mengeluh sini sebab berat mengendongnya dari Stesen Bank Negara ke Bandaraya dan terus ke Plaza Rakyat (ini cerita orang yang tak ada kereta).

Saya ingatkan cuti hari raya Aidiladha tempoh hari saya sudah bawa balik banyak buku. Rupa-rupanya lagi banyak saya bawa balik, lagi banyak buku yang bertambah. Mahu tidak mahu kenalah bawa balik juga. Ini belum campur dengan majalah yang bersusun dalam almari lagi. 

Entahlah, memang banyak sungguh duit saya "habis" dengan membeli buku-buku ini. Akhirnya, penuh di rak. Lepas ni kenalah fikirkan bagaimana hendak susun di rak yang sudah penuh itu. Silap haribulan saya akan beli rak baharu lagi. 

Perancangan itu ada, namun ruang di bilik saya yang sudah ada tiga rak buku itu tidak mungkin membolehkan saya masukkan satu rak lagi. Alamatnya, jika saya masukkan juga saya kena tidur di luar sajalah. 

Jika tidak berdaya membawa semua buku ini balik, akan saya tinggalkan sedikit di rumah Batang Kali ini. Niat di hati apabila bawa balik bolehlah membacanya nanti sewaktu bercuti. Tapi apakan daya, kita hanya mampu merancang. 

Agak-agak berapa kilolah semuanya ya! 


Laris Sebuah Buku

Assalamualaikum semua. 

Dalam saat saya menanti kelahiran "Tetamu Istimewa" membuatkan jiwa saya bergetar.
Silih ganti melayang datang:

kredit foto dari esq-news.com


Faktor Laris Sebuah Buku!
a. Penerbit
b. Nama Penulis
c. Harga
d. Kualiti isinya
e. Tata hias kulit depannya


Rabu, 20 November 2013

Print Screen

Assalamualaikum dan selamat petang semua. 
Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik setelah makan ubat. 
Terima kasih kepada kalian semua yang prihatin dan mendoakan kesihatan saya cepat sembuh.

Saya ingin bertanya kepada kalian, siapa ada guna atau install print screen dalam laptopnya? Dahulu saya ada install dalam laptop lama saya. Itupun Mama Norhasniza yang ajar saya download yang ikonnya gambar bulu ayam warna ungu tu. Tapi saya dah lupa. 

Ada yang terbaru dan terbaik lagi ke? Kepada sesiapa yang tahu boleh tinggalkan link atau apa-apapun maklumat di kotak komen saya. Terima kasih ya.


Selasa, 19 November 2013

Antara Sakit dan Sihat Satu Anugerah

Assalamualakikum semua.


Masih dalam proses penyembuhan.

Nasihat saya, jagalah kesihatan anda.



Isnin, 18 November 2013

Ulasan Penilaian: Rombongan Masuk Jawi (HSKU ExxonMobil 2012)

Assalamualaikum semua.

Di sini saya perturunkan ulasan penilaian daripada panel hakim HSKU ExxonMobil 2012 tentang cerpen saya yang memenangi Hadiah Penghargaan Kategori Cerpen Remaja iaitu Rombongan Masuk Jawi. 


Cerpen "Rombongan Masuk Jawi" mengupas persoalan berkaitan kesetiakawanan dan perpaduan kaum dalam kalangan remaja. Elemen-elemen budaya telah dimanfaatkan sebagai wahana untuk menampung subjek. Tuntutan "masuk jawi" dari sudut agama telah diperluas menjadi satu bentuk budaya positif yang dapat diamalkan secara kolektif. Penglibatan pelbagai kaum menunjukkan penerimaan mereka terhadap amalan budaya yang menyumbang kepada kepentingan menjaga kesihatan. Sikap sedemikian mewujudkan rasa saling menghormati antara satu sama lain.

Penggunaan teknologi siber dalam kalangan remaja ditampilkan secara positif. Perkongsian maklumat diwacanakan secara bijaksana oleh watak-watak remaja pelbagai kaum. Amalan dalam kalangan pengguna teknologi terkini secara berhemah untuk mendatangkan manfaat dideskripsikan dalam naratif. Selain itu, penggunaan media Internet secara bijaksana berupaya menyanggah tanggapan negatif terhadap kelekaan golongan remaja yang menyalahgunakan Internet.

Saya pernah menulis tentang entri Rombongan Masuk Jawi di sini ketika cerpen ini tersiar.

Nota: Terima kasih atas ucapan daripada kalian semua. Untuk makluman, cerpen Rombongan Masuk Jawi telah saya masukkan dalam Kumpulan Cerpen Remaja "Tetamu Istimewa" terbitan ITBM. Buku ini dikhabarkan telah siap dicetak. Insya-Allah, jika sudah berada di tangan saya akan saya buka untuk tempahan. Sokongan kalian amat saya hargai.


Sabtu, 16 November 2013

Senarai Karya Layak ke Peringkat Akhir HSKU ExxonMobil 2012

Lanjutan daripada entri sebelum ini, kali ini saya ingin berkongsi senarai karya yang layak ke peringkat akhir HSKU ExxonMobil 2012. Untuk kategori cerpen remaja, sebanyak 16 buah cerpen yang layak disenaraipendekkan. Oh, nampak penurunannya yang mana jika tahun 2011, 18 buah cerpen yang dibawa ke peringkat akhir. Alhamdulillah, daripada 11 buah cerpen saya yang tersiar tahun lepas, 3 buah cerpen saya layak ke peringkat akhir dan 1 telah menang. 

kredit foto dari utusan.com.my


Senarai Kategori Cerpen Remaja (16 buah)
1. Anatomi Sekeping Hati, Rebecca Ilham - Mingguan Malaysia
2. Bukan Yatim Gaza, Shafiq Zulakifli - Mingguan Malaysia
3. Cikgu, Mohd Helmi Ahmad - Wanita
4. Deritanya Bukan Kepalang, Norsyuhada Salleh - Mingguan Malaysia
5. Ke Negeri Impian, Isma Ae Mohamad - Mingguan Malaysia
6. Laut Kehidupan, Norfatihah Syed Ali - Mingguan Malaysia
7. Marga Ranah Rusuhan, Fathul Kahir Mohd Dahlan - Mingguan Malaysia
8. Menyuluh Kehidupan, Shapiai Muhammad Ramly - Mingguan Malaysia
9. Nenek, Razali Endun - Mingguan Malaysia
10. Perginya Sang Pejuang, Husna Nazri - Utusan Melayu Mingguan
11. Piala Penentuan, Mohd Helmi Ahmad - Harmoni
12. Rombongan Masuk Jawi, Mohd Helmi Ahmad - Utusan Melayu Mingguan
13. Sayangku, Dondang Sayang, Muzaf Ahmad - Harmoni
14. Sejujur Manggis, Khalil Zaini - Utusan Melayu Mingguan
15. Sekolah Hidup, Aminhad - Mingguan Malaysia
16. Zam Zam ke Tanah Haram, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi - Mingguan Malaysia

Senarai Kategori Puisi (17 buah)
1. Akar dan Pucuk, Husna Nazri - Mingguan Malaysia
2. Bahasa Ilham, Abizai - Mingguan Malaysia
3. Banjaran Alps, Ramlan Abdul Wahab - Mingguan Malaysia
4. Benarkah atahari Tersangat Pijar?, Rosli K Matari - Mingguan Malaysia
5. Cereka Penumpang Sejarah, Tuah Sujana - Mingguan Malaysia
6. Debu, Norhisham Mustaffa - Mingguan Malaysia
7. Diari Berdarah, Shukri Abdullah - Mingguan Malaysia
8. Falasi (II), Tuah Sujana - Mingguan Malaysia
9. Helai Usia, Nissa' Yusof - Mingguan Malaysia
10. Ke Negeri Senyap, Marsli N.O - Mingguan Malaysia
11. Kutukan Bersilang, Raihani Mohd Saaid - Mingguan Malaysia
12. Pecah, Hani Salwah Yaakub - Mingguan Malaysia
13. Perempuan di Tingkap Dawai, Roslan Jomel - Mingguan Malaysia
14. Suara yang Kutanam, Shukri Mohamad Ali - Mingguan Malaysia
15. Sungguh, Shapiai Muhammad Ramly - Mingguan Malaysia
16. Tentang Anak-anak Sunyi, Fathorazi - Mingguan Malaysia
17. Kantata Malam Mahrajan, Shapiai Muhammad Ramly - Mingguan Malaysia

Senarai Kategori Cerpen (16 buah)
1. Alkisah Tuan & Saksi, Zainal Rashid Ahmad - Mingguan Malaysia
2. Amna Machiavelli, Nur Adilla Abd. Rahim - Mingguan Malaysia
3. Antara Tikungan yang Aneh, Mawar Safie - Mingguan Malaysia
4. Cahaya, Azman Hussin - Mingguan Malaysia
5. Dari Introspektif Mandiri, Mohd Yusof Fadzil - Mingguan Malaysia
6. Delusi Astana, Mohd Hashim Osman - Mingguan Malaysia
7. Homosektual, Faisal Tehrani- Mingguan Malaysia
8. Itanimulli, Fudzail - Mingguan Malaysia
9. Kanibal Hutan Seberang, Muzaf Ahmad - Mingguan Malaysia
10. Menujum Bintang Tujuh, S.M Zakir - Mingguan Malaysia
11. Merah Kaki Teja, Rahimah Muda - Mingguan Malaysia
12. Nenek Facebook, Ummu Hani Abu Hassan - Mingguan Malaysia
13. O, di mana Radenku, Malim Ghozali PK - Mingguan Malaysia
14. Pertemuan dengan Kitul, Saifullizan Yahaya - Mingguan Malaysia
15. Protes Kari, Kepoh Ferrari, Fudzail - Mingguan Malaysia
16. Rostrum Alfalfa, Shahkang - Mingguan Malaysia

Senarai Kategori Kajian Sastera (4 buah)
1. Falsafah Estetik-Logikal dalam Puisi S.M Zakir, Arbak Othman - Pemikir
2. Imej Terengganu dalam Puisi Melayu, Nawawee Mohammad - Pemikir
3. Kuasa Raja dalam Teks Sastera, Ding Choo Ming - Pemikir
4. Suara Dari Dalam Akiya, Naffi Mat - Pemikir

Senarai Kategori Rencana Sastera (4 buah)
1. Marjan S. - Posmen dan Bahasa, Zainal Rashid Ahmad - Mingguan Malaysia
2. Estetika dalam Karya Sastera, Aminudin Mansor - Mingguan Malaysia
3. Mencari Idealisme Penulis Muda, Zahiruddin Zabidi - Mingguan Malaysia
4. Nilai Tinggi Hikayat Melayu, Zahiruddin Zabidi - Mingguan Malaysia

Nota: Sekiranya ada sesiapa yang hendak berkongsi senarai pemenang ini di blog mereka sila buat pautan ke entri ini atau sekurang-kurangnya letakkan kredit yang senarai itu dikutip daripada blog saya. Bukannya menyalin tampal atau "copy paste" di blog anda yang seolah-olah anda yang menulis dari awal hingga akhir. 


Pemenang HSKU ExxonMobil 2012

Assalamualaikum semua. Selamat pagi dan selamat berhujung minggu. 
Alhamdulillah, majlis penyampaian HSKU ExxonMobil 2012 semalam berlangsung dengan lancar. Entri ini saya ingin berkongsi senarai pemenangnya.



Pemenang Kategori Novel Remaja
1. dalam getar waktu - Ruhaini Matdarin
2. kotak - Ruhaini Matdarin
3. pelangi jingga - Hartini Hamzah

Pemenang Kategori Kajian Sastera
Falsafah Estetik-Logikal dalam Puisi SM Zakir, Arbak Othman - Pemikir

Pemenang Kategori Rencana Sastera
Estetik dalam Karya Sastera, Aminudin Mansor - Mingguan Malaysia

Pemenang Kategori Puisi
Hadiah Utama
1. Banjaran Alps, Ramlan Abdul Wahab - Mingguan Malaysia
2. Benarkah Matahari Tersangat Pijar, Mohd Rosli Nik Mat (Rosli K.Matari) - Mingguan Malaysia
3. Cereka Penumpang Sejarah, Nik Azri Nik Mohamed Arriff (Tuah Sujana) - Mingguan Malaysia

Hadiah Penghargaan
1. Akar dan Pucuk, Nazri Hussein (Husna Nazri) - Mingguan Malaysia
2. Debu, Norhisham Mustaffa - Mingguan Malaysia
3. Diari Berdarah, Ahmad Shukri Abdullah - Mingguan Malaysia
4. Kantata Malam Mahrajan, Shapiai Mohd Ramly - Mingguan Malaysia
5. Ke Negeri Senyap, Rami Selamat (Marsli N.O) - Mingguan Malaysia
6. Suara yang Kutanam, Shukri Mohd Ali - Mingguan Malaysia

Pemenang Kategori Cerpen
Hadiah Utama
1. Menujum Bintang Tujuh, Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M Zakir) - Mingguan Malaysia
2. Protes Kari, Kepoh Ferrari, Mohd Fudzail Mohd Nor (Fudzail) - Mingguan Malaysia
3. Rostrum Alfalfa, Norshah Aizat Shuaib (Shahkang) - Mingguan Malaysia

Hadiah Penghargaan
1. Antara Tikungan yang Aneh, Mawar Safei - Mingguan Malaysia
2. Dari Introspektif Mandiri, Mohd Fadzil Yusof - Mingguan Malaysia
3. Itanimulli, Mohd Fudzail Mohd Nor - Mingguan Malaysia
4. Kanibal Hutan Seberang, Ahmad Muzaffar Baharudin (Muzaf Ahmad) - Mingguan Malaysia
5. Nenek Facebook, Ummi Hani Abu Hassan - Mingguan Malaysia
6. O, di mana Radenku, Mohamed Ghozali Hj Abdul Rashid (Malim Ghozali P.K) - Mingguan Malaysia

Pemenang Kategori Cerpen Remaja
Hadiah Utama
1. Marga Ranah Rusuhan, Mohd Fathul Khair Mohd Dahlan - Mingguan Malaysia
2. Menyuluh Kehidupan, Shapiai Mohd Ramly - Mingguan Malaysia
3. Sekolah Hidup, Amin Minhad (Aminhad) - Mingguan Malaysia

Hadiah Penghargaan
1. Bukan Yatim Gaza, Syafiq Zulakifli - Mingguan Malaysia
2. Deritanya Bukan Kepalang, Nursyuhada Salleh - Mingguan Malaysia
3. Laut Kehidupan, Norfatihah Syed Ali - Mingguan Malaysia
4. Perginya Sang Pejuang, Nazri Hussein (Husna Nazri) - Utusan Melayu Mingguan
5. Rombongan Masuk Jawi, Mohd Helmi Ahmad - Utusan Melayu Mingguan
6. Sejujur Manggis, Muhammad Aminul Khalil Zaini (Khalil Zaini) - Utusan Melayu Mingguan

Nota: Sekiranya ada sesiapa yang hendak berkongsi senarai pemenang ini di blog mereka sila buat pautan ke entri ini atau sekurang-kurangnya letakkan kredit yang senarai itu dikutip daripada blog saya. Bukannya menyalin tampal atau "copy paste" di blog anda yang seolah-olah anda yang menulis dari awal hingga akhir. 

Jumaat, 15 November 2013

Jemputan daripada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil

Assalamualaikum semua.

Hari ini saya bercampur rasa dengan keadaan yang kurang sihat setelah bertungkus-lumus dalam Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah, dengan khabar gembira daripada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil. Saya akan menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah HSKU 2012 malam ini di Hotel Seri Pacifik. 

Saya tidak pastilah saya menang kategori apa. Tapi, dari firasat saya memang kategori cerpen memandangkan sejumlah cerpen yang disiarkan di media utusan tahun lepas. Antara karya tersebut: 

1. Dunia Baru Adik, 1-15 Januari 2012 (Harmoni)
2. Rombongan Masuk Jawi, 6 Februari-13 Februari 2012 (Utusan Melayu Mingguan)
3. Piala Penentuan, 1-15 Mac 2012 (Harmoni)
4. Seketul Hati Seorang Datuk, 5 Mac-12 Mac 2012 (Utusan Melayu Mingguan)
5. Hanya Geran, 8 April 2012 (Mingguan Malaysia)
6. Cikgu, Mei 2012 (Wanita)
7. Mencari Natrah, 1-15 Jun 2012 (Harmoni)
8. Seriosa Kuih Raya Chef, 15-30 Jun 2012 (Harmoni)
9. Dangai Ramadan, Julai 2012 (Wanita)
10. Memerdekakan Ramadan, 15-30 Julai 2012 (Harmoni)
11. Isteri Seorang Pesawah, 3-10 Disember 2012, (Utusan Melayu Mingguan)

Kalau ditanya pendapat saya selaku penulis, saya berasakan cerpen Piala Penentuan mempunyai kelebihan. Sama-samalah kita nantikan malam ini.

Malam ini juga akan dilancarkan novel dan antologi para pemenang. Tak sabar nak dapatkannya. Tahniah juga diucapkan kepada rakan penulis yang menang malam ini. Jika berkesempatan bolehlah kita berjumpa malam ini.


Khamis, 14 November 2013

Selesai Sudah Hari Anugerah Kecemerlangan 2013 SK Batang Kali

Assalamualaikum semua.


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kalian semua yang sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada saya dalam mengacarakan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan ini. Akhirnya, majlis ini berjalan dengan lancar. Biarpun ada sedikit kelemahan yang boleh dipertingkatkan lagi.

Tak sempat saya nak ambil gambar, tapi cukuplah saya kongsikan gambar pentas Hari Anugerah Kecemerlangan 2013 SK Batang Kali ini bersama kalian. Saya dapat banyak pengalaman menjadi sebagai seorang pengacara. Insya-Allah, akan saya kongsikan dalam entri lain nanti. 

Seperti yang sedia maklum juga hari ini keputusan UPSR diumumkan. Tahniah diucapkan kepada anak saudara saya di Sungai Limau Kedah, yang berjaya mencatat 5A dalam UPSR. 

SK Batang Kali pula telah mencatatkan 18 orang yang mendapat 5A dan 13 orang yang mendapat 4A 1B. Tahniah diucapkan kepada mereka. Sekalung penghargaan juga perlu diberikan kepada guru-guru yang mengajar, ibu bapa yang memberi sokongan dan individu-individu yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung. 

Malam ini juga akan dilangsungkan Majlis Makan Malam Akhir Tahun dan Majlis Perpisahan Guru Besar SK Batang Kali dan GPK Kokurikulum yang akan berpindah ke sekolah lain. Semoga perpindahan mereka ini diberkati dan mereka mampu menyumbang bakti di sekolah baharu pula. 

Rabu, 13 November 2013

HSKU dan HSPM 2012 Semakin Hampir

Jika dalam bidang lakonan dan nyanyian ada Anugerah Skrin, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Planet Muzik, Anugerah Industri Muzik, dalam bidang penulisan dan kesusasteraan tidak kurang hebatnya. Antara Hadiah Penganugerahan yang bakal dilangsungkan dalam masa terdekat ini ialah: 

    15 November 2013 - Hotel Seri Pacifik, Kuala Lumpur

kredit gambar dari utusan

    27 November 2013 - Dewan Mahkota II, Hotel Istana, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur 

kredit gambar dari utusan

Nota: Debaran semakin kencang untuk menantikan Hari Anugerah Kecemerlangan esok.

Kreativiti Penanda Buku Seorang Blogger

Assalamuaalikum semua. 


Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. 
Terima kasih Blogger KATHY R'BAIN.

Terima kasih juga diucapkan kepada Jie Susanos dan Che Rosliza Che Mat yang mengirimkan topup kepada saya atas penganugerahan Top Komentator di blog mereka.



Selasa, 12 November 2013

Cerpen: Melakar Cinta di Dada Watan di Pelita Bahasa

MELAKAR CINTA DI DADA WATAN merupakan cerpen keempat saya di bulan November 2013. Sebelum ini cerpen Sepotong Fikiran daripada Sebiji Bola disiarkan di Fokus SPM, Sayur Keladi di Atas Bukit disiarkan di BH Ahad dan Lingkaran Iman disiarkan di Jelita. 

Sukar juga hendak menembusi tembok kebal majalah Dewan Bahasa dan Pustaka. Walau bagaimanapun, usaha haruslah dilipatgandakan. Jangan mudah mengalah hanya dek penolakan karya pertama. Sebaliknya, terus menghasilkan karya yang lebih bermutu. 



Sebenarnya cerpen ini telah lama saya hantar iaitu sekitar awal tahun. Namun kata editor yang menghubungi saya untuk sedikit perbincangan tentang kandungan cerpen ini memberitahu bahawa cerpen ini terpaksa "diperam" dahulu kerana menanti keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia tentang isu novel Interlok. Kepada yang mengikuti kes ini pasti mengetahuinya.

Setelah selesai dan keputusannya telah dicapai, barulah cerpen ini dapat disiarkan. Bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada editor yang memilih cerpen ini. Saya turut memuji cara kerja editor Pelita Bahasa yang menghormati hak penulis terhadap karyanya. 

Kepada yang berminat untuk membaca cerpen ini sudilah kiranya membeli majalah Pelita Bahasa, November 2013 yang berharga RM4.50. Boleh semak kandungan Pelita Bahasa November 2013 di sini: PELITA BAHASA



Kemaskini SPS https://sps.1bestarinet.net/SPS/cms_sps/login.jsp

Assalamualaikum semua.

Hari ini lewat lagi saya menerbitkan entri. Maklumlah, hari ini ada mesyuarat guru kali terakhir yang bermula pada pukul 2.30 petang dan berakhir 5.10 petang. 

Sebenarnya saya ingin berkongsi tentang Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) yang bakal dilaksanakan pada tahun 2014. Sistem ini bertujuan untuk "mengurangkan beban guru". Melalui sistem ini segala rekod tentang staf, murid dan sekolah boleh diakses oleh pihak tertentu sahaja. 

Dikatakan, sistem kedatangan secara online bakal dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan. Begitu juga dengan penghantaran Rancangan Pelajaran Harian perlu dihantar secara online. Pelbagai lagi kemudahan yang disediakan melalui sistem ini. 

kredit foto dari skputrajayapresint92.blogspot.com 

Oleh itu, untuk memudahkan dan melancarkan operasi, guru-guru dan staf perlu mengemaskini Maklumat Peribadi, Keluarga, Kelulusan Akademik, Perkhidmatan, Kursus/Latihan/Elaun dan beberapa lagi. 

Bagi yang belum berbuat demikian, bolehlah akses dengan LOG MASUK di sini:


Langkah  
1. Log Masuk
2. Pentadbir Sekolah
3. Selenggara Maklumat Staf




Isnin, 11 November 2013

Playboy itu Suami Aku Meminggirkan Bahasa Melayu

Hari ini bermulalah episod drama adaptasi novel PLAYBOY ITU SUAMI AKU. Pasti ramai yang tertunggu-tunggu. Satu persatu drama adaptasi novel yang mengisi slot Akasia bermula Teduhan KasihSetia Hujung Nyawa, dan Love You Mr. Arrogant. Saya tidak mahu persoalkan jalan ceritanya. Itu hak penulis dan pengarah untuk mengangkat karya ini sebagai tontonan umum. 


Yang saya "kisahkan" sangat tentang pemilihan judulnya "PLAYBOY". Saya yakin, pemilihan PLAYBOY menunjukkan konotasi yang tidak baik. Atau ada yang berbangga dengan gelaran tersebut? 

Maafkan saya, kalau kalian tidak senang dengan entri saya ini yang banyak membangkang itu dan ini. Saya menyuarakan demi kedaulatan bahasa Melayu yang kian dipinggirkan oleh rumah penerbitan. 

Sebenarnya saya menyimpan hasrat untuk melakukan satu kajian dan seterusnya menulis satu tulisan tentang penjudulan karya yang meminggirkan bahasa Melayu. Namun masih belum berkemampuan lagi. 


Kepada yang berminat hendak baca sinopsis novel ini boleh klik di sini: SINOPSIS

Pengacara Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan 2013

Assalamualaikum semua. 
Hari ini lewat saya terbitkan entri. Tadi bawa juga laptop ke sekolah. Ingatkan bolehlah terbitkan entri, tapi masa tidak mengizinkan. Akhirnya, bawa balik begitu sahaja.

Saya pasti minggu terakhir ini, kebanyakan sekolah akan mengadakan Hari Anugerah Kecemerlangan untuk mengiktiraf pencapaian murid sepanjang tahun 2013. Sekolah saya akan mengadakan Hari Anugerah Kecemerlangan pada hari Khamis, 14 November 2013 iaitu hari keputusan UPSR akan diumumkan. Pastinya debaran tambah terasa. 


Debaran itu pula bertambah-tambahnya lagi apabila saya dilantik menjadi Pengacara Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan 2013 bersama Cikgu Sakinah bt. Awang. Oh, sama sekali saya tidak menjangka! Terperanjat dibuatnya. Maklumlah sebelum ini saya tidak pernah menjadi pengacara mana-mana majlis yang bagi saya sangat besar ini.  Jadi, sekarang ini bertungkus lumus menyiapkan teks pengacaraan tersebut. Esok pula sudah bermula acara raptai. 


Ada yang pernah jadi pengacara majlis? Bolehlah kongsikan tipsnya. Terutama semasa majlis berlangsung. Sudah pastilah banyak protokolnya. Memandangkan suara ini bukanlah sedap sangat, saya cuba juga akan lakukan yang terbaik. Doakan segalanya berjalan dengan baik. 



Ahad, 10 November 2013

Kategori Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil (HSKU)

Selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil (HSKU) tidak kurang hebatnya juga. Bagi kalangan penulis sudah semestinya mengetahui tentang HSKU yang saban tahun diadakan. Menjadi satu penghargaan sekiranya karyanya diiktiraf dalam hadiah sastera ini. 

Berikut saya senaraikan kategori yang dipertandingkan dalam HSKU. Walaupun banyak kategori, namun hanya kategori novel remaja dan kajian sastera sahaja yang perlu dan boleh dihantar kepada urus setia. Hal ini kerana kategori lain, penyertaannya adalah berdasarkan karya yang disiarkan di media utusan seperti Mingguan Malaysia, Utusan Melayu Mingguan, Pemikir, Wanita dan Harmoni.



KATEGORI CERPEN, CERPEN REMAJA, PUISI DAN KAJIAN DAN RENCANA SASTERA
  • Karya yang dinilai (kecuali kategori Kajian Sastera) ialah karya yang disiarkan/diterbitkan dalam akhbar, majalah dan jurnal Kumpulan Utusan pada tahun 2013.
  • Bagi kategori Kajian Sastera, peserta perlu menghantar karya kepada penganjur. Karya bagi kategori ini hendaklah ditaip kemas, langkau dua baris dengan tulisan jenis Times New Roman 12 poin di kertas A4, menepati format dan konsep penulisan ilmiah dan dihantar kepada Urus Setia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2013.        
  • Karya mestilah asli dan belum pernah disiarkan dalam mana-mana bentuk penerbitan.



KATEGORI NOVEL REMAJA
  •  Penyertaan adalah dalam bentuk manuskrip yang ditulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, bertaip langkau dua baris, dijilid kemas dan diberi judul yang jelas, tanpa disertai nama pengarang pada naskhah yang dihantar.
  • Tiada sebarang tema khusus ditetapkan, tetapi penganjur menggalakkan penghasilan novel remaja yang kreatif dari segi persoalan, pemikiran, subjek cerita dan teknik. Karya tersebut seharusnya dapat menjana akal budi serta berdaya membina sahsiah remaja.
  •  Ketebalan manuskrip tidak kurang daripada 150 halaman kertas A4.
  •  Karya mestilah asli dan belum pernah disiarkan dalam mana-mana bentuk penerbitan.



HADIAH
KATEGORI NOVEL REMAJA (BAHASA MELAYU DAN BAHASA INGGERIS)
Tempat pertama : RM7,000
Tempat kedua : RM4,500
Tempat ketiga : RM3,000

KATEGORI CERPEN REMAJA
3 hadiah utama: RM2,500 setiap satu
6 hadiah penghargaan: RM800 setiap satu

KATEGORI CERPEN
3 hadiah utama: RM3,000 setiap satu
6 hadiah penghargaan: RM800 setiap satu

KATEGORI PUISI
3 hadiah utama: RM1,000 setiap satu
6 hadiah penghargaan: RM500 setiap satu

KATEGORI KAJIAN SASTERA
1 hadiah: RM2,000

KATEGORI KAJIAN SASTERA
1 hadiah: RM2,000

KATEGORI RENCANA SASTERA
2 hadiah: RM1,000 setiap satu



Karya yang dihantar (kategori Novel Remaja dan Kajian Sastera) mestilah dikepilkan dengan surat penyertaan yang mengandungi maklumat diri, alamat dan nombor telefon, dua keeping gambar berwarna berukuran passport dan pengakuan bahawa karya adalah asli. Karya tanpa maklumat yang lengkap tidak akan dipertimbangkan untuk pertandingan.

ALAMATKAN KARYA ANDA KEPADA:
Urus Setia
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2013
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
No. 1&3, Jalan 3/91A
Taman Shamelin Perkasa
56100 Cheras, Kuala Lumpur.
Tel: 03-92856577
(Faridah Shamsudin/Badrol Awang/Rahayu Razak)

TARIKH TUTUP PENYERTAAN MANUSKRIP ADALAH PADA 31 DISEMBER 2013


Alhamdulillah, biarpun setahun jagung dalam dunia penulisan dapat juga saya merasai nikmat menggenggam HSKU pada tahun 2010 dan 2011. Pada tahun 2010 menerusi cerpen Bunga Telur Kenduri Kahwin dan 2011, Kuih Bakul Limau Mandarin. Walau sekadar hadiah penghargaan kategori cerpen remaja ianya tetap bermakna.




Muncet Entertainment TV dan Radio Online

Assalamualaikum semua. Selamat berhujung minggu. 

Saya pasti 90% rumah di Malaysia mempunyai televisyen. Tidak ketinggalan juga radio. Namun begitu, bagaimana pula yang tidak mempunyai televisyen dan radio? Sebenarnya, kawasan di rumah saya siaran TV 1 amat teruk sekali, malah tidak boleh ditonton langsung. Melainkan di rumah tersebut memasang Astro. 

Namun begitu, atas saranan kawan saya untuk menonton secara online di internet membolehkan saya menonton rancangan di TV 1 malah TV lain juga dan mendengar radio. Kepada yang mengalami masalah yang sama ataupun tidak kira di mana jua anda berada bolehlah layari laman ini dengan klik:





Sabtu, 9 November 2013

Parodi: Video Awek Legoland Bikin Panas

Rasanya janggal pula apabila saya menerbitkan entri "popular" begini. Namun begitu, saya bukan hendak mengaibkan sesiapapun, sebaliknya marilah sama-sama kita buka minda dan belajar muhasabah diri. 



Nampaknya, masyarakat kita tidak belajar dari kesilapan lalu. Saya rasa sudah berulangkali kes video yang dimuat naik di You Tube diparodikan oleh segelintir "orang" yang "nakal". Antara persoalan yang hendak saya timbulkan di sini:

1. Apa motif video itu dirakam?
2. Kenapa video itu dimuat naik untuk tontonan umum?
3. Mengapa masyarakat kita suka ambil kesempatan dengan "parodikan" video tersebut?

Kes ini sukar nak cari punca mulanya, seperti hendak mencari jawapan siapa pemulanya sama seperti ayam dan telur. Siapa yang wujud dahulu. Kalau tiada telur, tiadalah ibu ayam. Kalau tiada ibu ayam, tiadalah telur. 

Nasihat saya, walau apa sekalipun tujuan video itu dirakam, simpanlah elok-elok. Tidak perlulah dimuat naik untuk tontonan umum walau sekadar hanya untuk suka-suka. Dan, kepada yang selalu nakal-nakal tu, berhati-hatilah melakukan perbuatan "nakal" itu takut nanti terkena batang hidung sendiri pula. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78