Pengikut

Jumaat, 28 Februari 2014

Puisi Hari Jumaat: Antara Kau dan Aku

Assalamualaikum.


Antara Kau dan Aku 

Kuburku kuburmu
Dosaku dosamu
Amalku amalmu
Rumahku rumahmu
Hidupku hidupmu
Matiku matimu.

Khabar inginku padamu
mati hanya sekali tidak dua

Agamaku agamamu
hanya satu iaitu Islam

Kitabku kitabmu
hanya satu iaitu al Quran

Padangku padangmu
hanya satu iaitu padang Mahsyar

Tuhanku tuhanmu
hanya satu iaitu Allah SWT

Biar kau dan aku banyak perbezaanya
namun kita masih ada satu persamaan. 

Hanya sesekali kau terpesong
kembalilah pulang ke jalan benar
sebelum kapal hayatmu karam
kau terbenam sesal merintih sendu.

Simpang Empat Kangkong, Kedah
Mohd Helmi Ahmad
15 September 2011

Khamis, 27 Februari 2014

Daripada Pembeli kepada Penulis

Assalamualaikum.

Tiada kata yang dapat saya berikan melainkan ucapan terima kasih kepada kalian semua yang telah memiliki Tetamu Istimewa. Saya amat terharu apabila membaca coretan kalian dalam entri yang diterbitkan khas semata-mata untuk berkongsi tentang Tetamu Istimewa. 


Saya mendoakan Wanariahamiza juga selepas ini dapat menerbitkan bukunya sendiri. 


Kak Kathy antara blogger yang baik hati juga telah memiliki Tetamu Istimewa. 


Entri Tuan Khir antara yang mendapat tumpuan daripada pengunjung di blognya. 
Ulasan ringkas daripada Tuan Khir ini amat memikat dan menarik. Dah boleh jadi penulis dah selepas ni.


Kak Anim antara guru yang telah mendapatkan Tetamu Istimewa.

Saya masih mengharapkan sokongan kalian semua. Kepada yang berminat boleh membuat pesanan terus daripada saya. Maklumat lanjut boleh rujuk di sini.


Rabu, 26 Februari 2014

Sedekahkan Sedikit Duit BR1M 3.0 kepada Peminta Sedekah di Tepi Bank

Assalamualaikum.

Peminta sedekah -kredit foto dari edyprops 

Oh, hari ini lewat menerbitkan entri. Baru sahaja pulang daripada sekolah. Seperti biasa pada setiap Rabu petang pukul 3.00 petang hingga 5.20 petang adalah waktu aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dijalankan adalah aktiviti Pertandingan Pidato, Pertandingan Bercerita dan Pertandingan Deklamasi Sajak sempena Karnival Bahasa. Selaku penyelaras dan Ketua Panitia Bahasa Melayu, saya mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan para peserta yang terdiri daripada murid-murid yang memberikan kerjasama.

Kembali kepada tajuk entri pada hari ini, "Sedekahkan sedikit duit BR1M 3.0 kepada peminta sedekah". Saya kira sejak duit Bantuan Rakyat 1Malaysia 3.0 diagihkan melalui penyaluran terus ke akaun bank, kebanyakan penerima sudah bersesah-sesak dan ada yang sanggup berbaris panjang di mesin ATM untuk mengeluarkan duit tersebut. 

Selama ini seorang pengemis atau peminta sedekah yang sering berlegar di kawasan bank menghampiri kita sejurus kita keluar dari bank dengan menghulur tangan meminta simpati untung-untung memperoleh seringgit dua. Ketika itu, kita berlalu pergi begitu sahaja. "Aku kerja penat-penat, kau senang-senang saja nak minta duit aku". 

Bagaimana pula dengan situasi pada hari ini yang mana kita juga keluar dari bank untuk mengeluarkan duit BR1M. Pada masa yang sama, datang pengemis itu lagi lalu menghulurkan tangan untung-untung dapat seringgit dua. Ketika itu, apakah riaksi kita? Adakah kita akan menghulurkan barang seringgit, ataupun sebaliknya. Apakah kita juga akan memberikan alasan yang sama-"aku kerja penat-penat, kau senang saja nak duit aku". 

Tepuk dada tanya selera. Ingatlah, pemberian yang ikhlas tanpa mengungkit-ungkit walau sekecil mana sekalipun itulah yang dinamakan sedekah dari seorang yang berhati mulia. Sebaliknya, walau sebenar mana sekalipun sedekah yang dihulurkan kemudian terbit dari mulut hatta hatinya sekalipun perkataan mengungkit pasti pahalanya tidak semulia orang bersedekah sedikit hanya kerana Allah SWT.


Selasa, 25 Februari 2014

Semak Kawasan Terlibat Catuan Air di Selangor

Di sekolah pagi tadi, saya ada terdengar cikgu-cikgu membangkitkan hal catuan air yang dikatakan akan dijalankan di Selangor mulai hari ini. Benarkah berita ini atau hanya khabar angin sahaja? Kemudian untuk mendapatkan maklumat tentang berita ini saya cuba mengakses sebarang maklumat daripada internet. Hanya Sinar Harian yang menerbitkan berita tentang catuan air yang akan dilakukan di seluruh Selangor. Boleh baca berita tersebut di sini.

Gambar hiasan- Catuan Air di Selangor


Melalui petikan berita tersebut, menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kawasan yang terbabit akan mendapat bekalan air selama dua hari diikuti catuan bagi dua hari berikutnya. Program catuan ini "terpaksa" dilakukan memandangkan sekarang ini musim panas dan kering hingga menyebabkan empangan di negeri ini susut airnya. 

Program catuan ini akan dijalankan mengikut zon. Jadi, kepada penduduk Selangor haruslah sentiasa bersedia. Setelah itu, saya cuba dapatkan maklumat tentang kawasan yang terlibat dengan catuan air ni. Maklumat yang saya perolehi ini adalah daripada blog "phat coner".

WILAYAH HULU LANGAT
1. Bandar Tun Hussien Onn
2. Saujana Impian

JUMLAH PINTU RUMAH: 8,378

WILAYAH KUALA LANGAT
1. Batu 7 ijangkang
2. Batu 8 Sijangkang
3. Batu 9 Sijangkang
4. Batu 9 Kg Medan
5. Batu 9 Kebun Bharu
6. Taman Desa Sijangkang
7. Taman Rivera Perdana
8. Taman Permai Sijangkang
9. Taman Sijangkang Indah
10. Taman Medan Indah
11. Taman Perwira
12. Taman Sijangkang Jaya
13. Taman Seri Medan

JUMLAH PINTU RUMAH: 7,351

WILAYAH HULU PETALING
1. Puchong Jaya
2. Pusat Bandar Puchong
3. Taman Wawasan
4. Kawasan Perindustrian Bandar Puchong
5. Taman Bukit Kuchai

Kawasan lain, boleh semak di blog "phat coner".

Kandungan Dewan Sastera Mac 2014

Assalamualaikum.
Terpegun saya apabila menatap kulit depan Dewan Sastera Mac 2014. Keseniannya amat terserlah. Tahniah diucapkan kepada editorial Dewan Sastera, terutama pereka grafiknya yang sangat kreatif. 

Kulit Dewan Sastera Mac 2014

Tahniah juga diucapkan kepada penulis yang karyanya tersiar pada bulan Mac. 
Senarai penulis yang tercatat namanya ini bukan calang-calang orangnya. 



Alhamdulillah, walaupun karya saya seperti puisi dan cerpen tidak tersiar di sini, namun masih ada sinar keceriaan apabila melihat ruangan Surat Kepada Editor. Surat elektronik saya yang terpilih pada kali ini ialah "Jangan Hanya Terbit tetapi Dokumentasi Juga". Terima kasih, editor yang memilih surat ini untuk perkongsian bersama. 


Kepada yang tertanya-tanya tentang isi ruangan ini, sebenarnya ruangan ini memaparkan respon daripada pembaca akan dunia sastera dan penulisan serta pandangan penulis tentang Dewan Sastera itu sendiri. 

*Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas.

Isnin, 24 Februari 2014

Contoh Soalan Tugasan Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM)

Assalamualaikum.

KISMM

Sewaktu saya mengikuti kursus perguruan pada tahun 2010 yang lalu, kami juga dikehendaki (wajib) mengikuti Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM). Kursus ini wajib diikuti oleh penjawat awam (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan) sebagai syarat sah perkhidmatan. Hal ini bermaksud, sekiranya seorang guru itu yang baru sahaja tamat belajar, ditempatkan di sekolah dan sekiranya beliau masih tidak mengikuti KISSM walaupun sudah berkhidmat dalam tempoh tiga tahun masih belum boleh disahkan perkhidmatannya. 

Modul Khusus dan Modul Umum

Calon akan mengikuti dua modul khas iaitu Modul Khusus - 10 jam interaksi (kuliah/syarahan) dan Modul Umum 65jam (pembelajaran kendiri). Calon yang mengikuti kursus ini akan diberikan soalan tugasan untuk diselesaikan. Tugasan 1 merangkumi komponen Arahan Perkhidmatan, Nilai Murni dan Etika Perkhidmatan Awam dan Perintah Am. Tugasan 2 pula merangkumi komponen PKPA, Dasar Kerajaan, Pengurusan Am dan Pengurusan Kewangan. Setiap Tugasan, calon hendaklah menjawab tidak melebihi 750 patah perkataan. 

Gambar kenangan hari terakhir KISSM

Soalan Tugasan

Soalan Tugasan ini diberikan awal sebelum kursus bermula. Setelah tamat kursus pula, calon akan mengikuti satu lagi peperiksaan. Peperiksaan ini berbentuk soalan objektif. Sekiranya calon berjaya melepasi Tugasan 1 dan 2 dan peperiksaan yang dijalankan, barulah calon lulus dalam KISSM. 

Bagi menjelaskan lagi bagaimana bentuk soalan tugasan tersebut, saya kongsikan soalan itu di sini. Solalan ini adalah soalan pada tahun 2011 sewaktu saya mengambilnya di IPGM Kampus Perlis dahulu.

Contoh Soalan Tugasan KISSM

BAHAGIAN A

TUGASAN 1
Arahan :  Anda dikehendaki menjawab mana-mana SATU soalan sahaja dalam bahagian ini.

SOALAN 1 (Perintah Am)
Anak kepada seorang kakitangan Awam Gred DG41 yang bertugas di Sabah telah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan doktor pakar di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Jelaskan kelayakan yang boleh dituntut oleh kakitangan tersebut berdasarkan Perintah Am Bab B, C dan F.

SOALAN 2 (Nilai Dan Etika Perkhidmatan Awam)
Sebagai guru baru yang ditempatkan di sekolah  luar bandar, anda perlu memahami, menghayati dan melaksanakan Etika Perkhidmatan Awam.

(i)             Nyatakan empat sebab Etika Perkhidmatan Awam diwujudkan.
(ii)            Huraikan lima amalan yang boleh dilaksanakan oleh sesebuah organisasi kerajaan bagi merealisasikan etika tersebut.

SOALAN 3 (Arahan Perkhidmatan Dan Keselamatan)
Encik Y baru sahaja ditukarkan ke Jabatan Pendaftaran Negara. Beliau diberi tanggungjawab untuk menguruskan sistem fail di jabatan berkenaan. Masalah utama yang dihadapi oleh Encik Y ialah pengesanan fail-fail dengan cepat.  Terdapat  juga beberapa fail yang telah hilang dan tidak dapat dikesan.

(i)         Jelaskan punca berlakunya masalah berkenaan.
(ii)         Huraikan langkah-langkah yang boleh diambil oleh Encik Y untuk mengatasi
            masalah di atas.


BAHAGIAN B

TUGASAN 2

Arahan : Anda dikehendaki menjawab mana-mana SATU soalan sahaja dalam bahagian ini.

SOALAN 1 (Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam)
Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam  Bil. 8, Tahun 1991 menetapkan bahawa Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja (FM) ialah dua dokumen rujukan rasmi yang perlu ada dalam sesebuah jabatanKedua-dua dokumen ini ialah alat pengurusan penting yang dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti jabatan secara keseluruhannya.

(i)                    Nyatakan perbezaan antara ciri-ciri MPK dan FM.                                               
(ii)                  Huraikan bagaimana kedua-dua dokumen di atas dapat membantu anggota yang baru dilantik atau anggota yang baru bertukar melaksanakan tugasnya dengan cekap dan berkesan.

SOALAN 2 (Dasar-Dasar Kerajaan)
Semasa pemerintahan British, sistem pendidikan vernakular yang telah dilaksanakan telah menimbulkan pelbagai masalah, khasnya masalah perpaduan negara. Oleh itu, perjuangan ke arah mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan telah dimulakan sejak merdeka melalui Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1961), agar matlamat perpaduan negara dapat dicapai.

(i)             Huraikan strategi-strategi pelaksanaan sistem pelajaran kebangsaan yang dapat mewujudkan suatu masyarakat yang bersatu padu. 
(ii)            Sebagai guru, huraikan peranan yang boleh anda laksanakan untuk menyumbang ke arah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar anda.

SOALAN 3 (Pengurusan Am)
Kepimpinan yang berkesan mempengaruhi  produktiviti sesebuah organisasi.”
(Mahathir  Mohamad, 1990) 

Sebagai pemimpin apakah langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk meningkatkan keberkesanan kepimpinan organisasi sesuai dengan saranan di atas.

SOALAN 4 (Pengurusan Kewangan)
Mengikut Akta Acara Kewangan 1957 di bawah Seksyen 4 (Prosedur Kewangan- Bab B) menerangkan dengan jelas prosedur pembayaran secara panjar di jabatan-jabatan kerajaan. Merujuk kepada prosedur tersebut jelaskan perkara-perkara berikut:

(i)             Empat jenis Panjar.
(ii)          Bagaimanakah cara-cara Panjar dikendalikan di jabatan tuan.

Ahad, 23 Februari 2014

Kreativiti Seni Jahitan Cross Stitch

Assalamualaikum.

Sewaktu saya belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) dahulu, saya pernah mengambil kursus Sistem Tulisan Jawi. Sebagai tugasan, kami dikehendaki menghasilkan tulisan khat mengikut kreativiti dan berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan (tak ingat pula saya). 

Cross Stitch Bismillahirrahmanirrahim yang telah siap

Apabila melihat tajuk tugasan, saya dengan yakinnya mencadangkan kepada ahli kumpulan saya untuk memilih seni jahitan Cross Stitch. Saya juga menyatakan bahawa saya pernah menghasilkannya sebelum ini. 

Setelah dipersetujui, saya meminta bantuan kakak ipar saya yang berada di Kedah untuk mengepos bahan yang diperlukan. Antaranya, kain, peta lakaran, benang dan jarum. Hal ini demikian, kakak ipar sayalah yang menjadi pencetus ilham dan mengajarkan saya menghasilkan seni jahitan Cross Stitch ini. 

Sewaktu menghasilkan Cross Stitch di UPM

Pada mulanya agak kekok juga untuk saya memulakannya setelah lama tidak buat, namun setelah mencuba beberapa kali akhirnya menjadi juga. Kemudian, "ilmu" itu diperturunkan pula kepada ahli kumpulan yang lain. 

Jika tidak salah, daripada sejumlah kumpulan dalam kalangan lelaki, hanya kumpulan saya yang menghasilkan seni jahitan Cross Stitch ini. Perkataan yang menjadi pilihan ialah BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Cross Stitch yang belum dibingkaikan 

Alhamdulillah, setelah dihantar dan dinilai oleh pensyarah, kumpulan kami antara kumpulan yang mendapat markah tertinggi. Kini, hasil kreativiti seni jahitan Cross Stitch ini sudah dihadiahkan kepada sebuah rumah anak yatim sewaktu kami melakukan aktiviti di sana. Harap-harap, masih lagilah terletak elok dan terpamer megah di sana. 

Sabtu, 22 Februari 2014

Taktik Pengiklan H12 dengan Perempuan Seksi

Selamat petang semua.

Perempuan Muslimah


Jika sebelum ini pengiklanan Nuffnang sangat popular dalam kalangan blogger, namun kini kebanyakan blogger sudah beralih arah kepada pengiklan H12. Saya sudah perhatikan beberapa blog rakan blogger yang memasang iklan ini. 

Sememangnya saya tidak tahu sangat bab pengiklanan ni, tetapi apabila saya memasuki beberapa blog saya mendapati iklan yang terpasang dengan seorang perempuan seksi memakai pakaian dalam, menyebabkan saya terfikir, mengapa blogger tersebut tergamak memasang iklan begitu di blognya. (Jauh bezanya dengan gambar perempuan muslimah di atas)

Adakah hanya kerana mahukan pendapatan sampingan, mereka "tidak mengapa" mengiklankan produk iklan sebegitu rupa. Ya, walaupun iklan itu tidak tetap, namun apabila iklan itu sesekali muncul kala saya melayari blog tersebut sesungguhnya amat menjolok mata. Tidak perlulah untuk saya sertakan printscrennya sebagai bukti. Saya juga yakin, kalian semuanya juga menyedarinya. Jadi, hati-hatilah memilih pengiklan untuk memasang iklan dalam blog.



Sokongan Blogger kepada Tetamu Istimewa

Assalamualaikum.

Sampul pos laju

Selamat berhujung minggu kepada semua. Saya kira hari ini merupakan hari istimewa kepada rakyat Malaysia yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0. Kepada yang tidak berjaya, boleh buat rayuan dengan mengisi Borang Rayuan BR1M.

Bagi saya pula, awal pagi tadi saya ke pejabat pos untuk mengepos pesanan Tetamu Istimewa. Pada mulanya nak beli 6 sampul Poslaju sahaja, fikir-fikir balik, alang-alang dah ke sana, saya beli 10. Gambar di atas tu, lebihan setelah digunakan. 

Kali ini saya mengepos pesanan blogger Kathy R'bain (1), Khir Khalid (1) dan penulis Nilamsuri (2). Terima kasih saya ucapkan kepada kalian semua. Sekiranya buku tersebut bermasalah, maklumkan kepada saya semula. Harapan saya, buku itu selamat sampai dalam keadaan baik dan selamatlah kalian membacanya. 

Kepada rakan blogger lain, kalian juga boleh mendapatkan buku ini terus daripada saya. Antara blogger lain yang telah mendapatkan buku ini boleh rujuk di sini

Jumaat, 21 Februari 2014

Audit Bahasa: Semak Ejaan yang Betul

Kita sering kali mengambil mudah hal ejaan baku yang betul. Oleh itu, marilah sama-sama kita betulkan yang biasa, biasakan yang betul supaya tidak berlaku lagi kesilapan yang berulang. 


Salah
Betul
bandaraya
bandar raya
telahpun
telah pun
lagenda
legenda
kerinting
keriting
selsema
selesema
silaturrahim
silaturahim
ukhwah
ukhuwah
eletrik
elektrik
mengenalpasti
mengenal pasti
urusetia
urus setia
aturcara
atur cara
samada
sama ada
trampil
terampil
keretapi
kereta api
perihatin
prihatin
hajjah
hajah
justru
justeru
kobis
kubis
durhaka
derhaka
kraftangan
kraf tangan
redha
reda
fardhu
fardu
Ramadhan
Ramadan
sekaligus
sekali gus
masaalah
masalah
anti-dadah
antidadah

Sumber: Skor Berita Harian
Rujukan: Kamus Dewan Edisi Keempat

Nota: Blog dalam penjenamaan semula. Terima kasih kepada Kak Kathy yang banyak membantu.

Bukan Kerana Aku Tak Cinta Full Episode - Tonton Online (Aswan Azmy Blog)

Assalamualaikum.

Antara drama adaptasi yang terpanjang-Bukan Kerana Aku Tak Cinta

Saya tidak pernah mengikuti drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang diadaptasi daripada novel Bukan Aku Tak Cinta karya E-Man Sufi terbitan KaryaSeni. Saya juga belum pernah membaca novel ini. Apabila saya singgah di blog Aswan Azmy yang memuatkan Tonton Online Full Episode, terkedu saya apabila membilang episodnya yang berjumlah 60 itu. 

Selalunya drama adaptasi di TV3 ataupun TV lain sekitar 20 episod sahaja. Dan, apabila saya membuat tinjauan, banyak yang mengatakan drama ini menarik dan hero dan heroinya sesuai dengan watak dalam novel tersebut. Kepada peminat Bukan Kerana Aku Tak Cinta boleh Tonton Online drama ini di Aswan Azmy Blog. 


Khamis, 20 Februari 2014

Buku Cerita Cinta Ahmad Ammar Bakal Ke Turki

Sebelum ini saya pernah mengongsikan beberapa entri tentang buku Cerita Cinta Ahmad Ammar. Antaranya, melalui entri Kisah Cerita Ahmad Ammar Dibukukan dan  Download Buku Cerita Cinta Ahmad Ammar ke Tablet/Smartphone.



Kali ini saya kongsikan pula wawancara atau temu ramah bersama Puan Sri Diah Shaharuddin Pengurus Besar Karya Bestari mengenai buku ini. Setakat ini buku ini telah dicetak sebanyak 30,000 naskhah. 




Ulasan Buku: Membaca Cerita Hantu

Assalamualaikum. 

Hari ini tiada idea untuk menulis. Jadi, saya kongsikan ulasan buku ini yang pernah disiarkan di Mingguan Malaysia dengan tajuk Kisah Hantu yang Bukan Hantu. Ulasan buku yang pernah disiarkan di Mingguan Malaysia telah pun disunting oleh editor yang barangkali ruangnya yang terhad yang menyebabkan hanya sebahagian sahaja dapat disiarkan. Ini merupakan ulasan buku penuh saya. 

Ulasan buku ini merupakan ulasan buku pertama yang pernah saya tulis sewaktu saya berjinak-jinak membuat ulasan buku. Saya tidak akan mengulas sesebuah buku itu jika buku itu tidak ada sesuatu. Jadi, saya berasakan penulis ini sangat hebat dengan hasil karyanya ini. Tidak rugi membeli dan membacanya, sebaliknya amat rugi jika kalian tidak membeli apatah lagi tidak membacanya. 


Kump. Cerpen Gunting
Judul: Gunting
Pengarang: MARSLI N.O
Penerbit: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
Harga: RM 20.00
Tahun : 2012
Tebal: 109


Membaca Cerita Hantu

Hantu sememangnya menjadi suatu makhluk atau entiti yang sering digeruni mahupun ditakuti oleh masyarakat Melayu. Entiti ini dikatakan tidak wujud dalam bentuk susuk tubuh yang mampu dilihat oleh mata kasar. Sifatnya yang sering digembar-gemburkan mempamerkan wajah yang hodoh, bergigi taring dan tidak terurus itu menguatkan lagi bahawa makhluk hantu ini tidak disukai oleh masyarakat apatah lagi untuk dijadikan sebagai teman. 

Sebaliknya, individu bernama Marsli N.O atau nama sebenarnya Ramli Selamat seorang penulis yang didakwa bersuara lantang ini menjadikan hantu sebagai subjek cerita dalam kumpulan cerpen terbaharunya, Gunting. Sebelum ini Marsli N.O pernah muncul dengan kumpulan cerpennya seperti Biduan (DBP, 1994), Penipu (1997), Politikus, Badut & Sebuah Cermin (1997), Demi (DBP, 1998), Menanti Buraq (DBP, 2008) dan Masihkah Aku Bermimpi (2012). Selain kumpulan cerpen, Marsli N.O juga pernah muncul dengan kumpulan puisi dan novel.

Benarkah hantu yang didakwa dalam sejumlah cerpen dalam kumpulan ini benar-benar hantu? suatu makhluk yang ditakuti itu atau penulis memberi sifat hantu itu kepada manusia atau merujuki sifat manusia itu sama seperti sifat yang dimiliki hantu? Persoalan-persoalan ini menarik untuk diperhatikan kerana setiap penulis mempunyai langgam penceritaannya yang berbeza. Adakalanya, “Aku” dalam kumpulan cerpen ini dilihat bukanlah mewakili suara penulisnya, sebaliknya, dialog hantu itulah barangkali.

Kumpulan cerpen ini memuatkan 12 buah cerpen yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2012. Cerpen yang termuat dalam kumpulan ini seperti Bintang, Tamparlah Mukaku, Menternak Hantu, Peminat Hantu, Penggembala Hantu, Mencari Merdeka, Gunting, Mimpi Warga Pulau, Hantu atau Penyair, Peah dan Kisah-kisah Lain, Kisah-kisah di Negeri Angin, Keranamu, Sinta dan Syawal nan Lucu. Cerpen-cerpen ini ditulis dalam lingkungan tahun 2000 hingga 2011. Hanya cerpen Mimpi Warga Pulau ditulis pada tahun1989 dan Keranamu, Sinta, 1990 seperti yang dicatat di akhir cerpen tersebut.   

Perhatikan daripada sejumlah cerpen yang termuat dalam kumpulan ini mengambil subjek hantu sebagai judulnya. Betapa penulis menjelmakan hantu itu sebagai makhluk yang memegang watak untuk menggerakkan cerita, sebagai makhluk yang diajak berdialog mahupun makhluk yang dipercakapkan akan tentangnya.

Cerpen Menternak Hantu memberi gambaran akan keterbalikkan sifat manusia yang normal. Selalunya, manusia hanya menternak, itik, kambing, ayam, mahupun lembu. Sebaliknya, dalam cerpen Menternak Hantu penulis memberitahu bahawa sekarang ini orang boleh sahaja menternak apa-apa yang disukai. Menerusi cerpen ini, pembaca dibawa untuk melawat “Ladang Menternak Hantu” yang diusahakan oleh rakannya. Benarkah yang diternak itu hantu? Rakan penulis memberitahu bahawa hantu yang diternak itu untuk tujuan dijual atau disewakan kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan khidmat hantu-hantu itu. Hantu-hantu itu pula akan mengabdikan diri kepada tuan baharunya iaitu kebanyakannya orang yang membelinya adalah terdiri daripada orang kaya dan ahli politik serta persatuan penulis.

Jika orang kaya membeli hantu itu untuk menjaga keselamatan keluarga serta harta benda mereka, sebaliknya persatuan penulis membeli hantu untuk mengganggu atau pergi mengerkah musuh sesama penulisnya. Sementara ahli politik membeli hantu untuk menjaga kedudukan mereka supaya tidak ada yang berani mengganggu kedudukan mereka serta menakutkan musuh-musuh mereka.

Seperti yang didakwa, hantu-hantu ini tidak memakan darah, najis lembu tetapi hantu-hantu ini suka akan kertas surat khabar dan majalah. Oleh itu, tuannya akan membeli surat khabar tidak kira surat khabar dalam bahasa Cina, Tamil, Siam ataupun orang putih untuk diberi hantu ternakannya itu makan. Jadi, jangan hairan. Memetik kata-kata penulis, “Dalam keadaan dunia seperti sekarang ini, mana ada yang peliknya? Bukan setakat hantu, kuman dan virus pun orang boleh ternak. Kau ini memang tak ikut perkembangan dunia langsung. Benda macam ini pun kauboleh rasa pelik. Heh, kawan! Untuk pengetahuan kau. Lagi banyak benda pelik dalam dunia pun ada. Apa hendak dihairankan?”

Ada sesiapa pembaca yang berhasrat untuk menjadikan hantu sebagai teman? Tidak pun sekadar menjadi peminat hantu? Dalam cerpen Peminat Hantu, penulis menceritakan penulis sering ke acara seperti acara sastera secara bersendirian. Dalam acara sebeginilah pelbagai kalangan manusia dan gelagat yang dapat diperhatikan. Sekiranya bertuah, akan bertemulah dengan rakan lama mahupun baharu. Perhatikan dialog sapaan ini.
“Apa khabar? Kamu kelihatan semakin gemuk.
“Apa khabar? Wah, kamu sudah berminat bercerita mengenai hantu ya?”
“Apa khabar? Sajakmu mengenai bayang lagi.

Walau sesiapapun anda kata peminat hantu, “Seorang sasterawan itu mesti berpendirian teguh. Tetapi, kalau sekali ke timur dan sekali ke barat, samalah sikapnya itu seperti hantu. Kerana kakinya tidak menjejaki bumi. Apa gunanya menjadi sasterawan, kononnya manusia yang penuh dengan idealisme dan kejujuran? Kalau pendiriannya dalam sekelip mata boleh berubah, semata-mata kerana mahu mendapatkan sesuatu daripada pihak lain? Atau, berubah menyokong faham atau aliran lain kerana mahu mencari populariti?”

Apa bezanya penternak, peminat dengan penggembala hantu? Saya kira cerpen Penggembala Hantu merupakan sekual kepada cerpen Menternak Hantu. Menjadi penternak hantu pendapatannya lebih lumayan berbanding penggembala hantu. Penggembala boleh saja tidak menjadi tuan kepada subjek belaannya itu sebaliknya mengambil upah untuk menjaganya. Benarkah hantu itu suatu komoditi yang boleh diperdagangkan untuk menafkahi hidup? Ternyata penternak hantu telah menyatakan terang-terangan bahawa, “Sebenarnya kuakui silapku. Hantu bukanlah boleh dibuat sahabat atau apa pun. Begitu berada berhampiran kita, lama kelamaan kita pun cuba hendak dikerkahnya serta mahu diajaknya sama menjadi hantu. Kerana itu jugalah perniagaanku lingkup. Kaubayangkanlah. Kalau sampai pada satu tahap hantu-hantu itu berani menyamar menjadi diriku dan meniru apa sahaja perbuatanku, tidaklah itu sesuatu yang amat keterlaluan?”

Hantu boleh saja menyerupa sesiapa sahaja hingga wajah yang diserupai itu tidak mengetahuinya melainkan orang yang terlihatkan wajah itu memberitahunya. Itulah sifat hantu yang sukar dimaafkan. Cerpen Hantu atau Penyair, telah mendedahkan bahawa hantu-hantu itu boleh menyerupai sesiapa sahaja termasuklah menyerupai penyair. Hantu yang sering disebut hantu ini dikatakan terlibat dalam kemalangan jalan raya dan jasadnya hancur tidak berbentuk dan rohnya terbang ke mana-mana. Hantu ini telah menyerupai penyair lalu hadir ke sebuah hotel untuk menerima hadiah. Namun tidak semua penyair menyerupai hantu. Perjuangan mereka dalam dunia sastera ini ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang sanjungan murahan, tidak seperti hantu yang menyerupai penyair itu setelah hantu itu memilih untuk menyusup masuk semangatnya ke dalam batang jasad seorang manusia semata-mata untuk merealisasikan cita-citanya hendak menjadi penyair.

Cerpen Gunting yang menjuduli kumpulan ini, memberi amaran bahawa “Gunting yang kukirimkan itu sebenarnya isyarat supaya kautunaikan segala janji terhadap sekalian bawahan. tetapi, kau kelihatannya tetap asyik membesarkan tembolokmu sendiri.” Makanya, seseorang yang tidak pernah menunaikan janjinya, lidahnya perlulah dipotong dengan sebilah gunting. Jadi jangan persoalkan kepada siapa gunting itu akan diberi dan siapa pula yang akan ditugaskan untuk memotong lidah itu? Sebaliknya, jika tidak pernah hendak menunai janji, jangan suka menabur janji. Janji hanya untuk orang yang tahu menunaikannya.

Menerusi kumpulan cerpen Gunting ini, Marsli N.O memberitahu bahawa cerpen yang dihasilkan bukan sahaja hasil cetusan kreativiti dan imaginasinya semata, bahkan cerita itu boleh saja hidup dalam dunia realiti mahupun cerpen itu terhasil daripada subjek realiti lalu diterjemahkan dalam bentuk fiksyen. Di tangan Marsli N.O, sesuatu kenyataan yang benar tidak harus diselindungkan dengan memakai topeng kepura-puraan semata untuk meraih pujian dan sanjungan. Kebenaran yang jelas lagi terang harus didedahkan dan dipertontonkan kepada khalayak agar perbuatan menconteng kebiadapan terhadap keikhlasan dan kesucian dalam berkarya tidak terlepas bebas sewenang-wenangnya. Prakata dalam kumpulan cerpen ini, Marsli N.O telah menyatakan secara terang-terangan bahawa, penulis rindukan kebenaran. Betapapun relatif dan subjektif.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78