Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Kenangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kenangan. Papar semua catatan

Ahad, 1 Mei 2016

Tetamu Istimewa Menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2014

Assalamualaikum.

Kredit Poster oleh Wan Haniff Wan Hamid

Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM 2014) 
~ Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa, ITBM

Subhanallah, kemenangan ini amat besar untuk saya, penulis yang kerdil ini. Tidak terduga buku pertama saya ini mampu meletakkan "dirinya" pada tahap tertinggi ini.

Jika hendak dicatatkan "pengorbanan" dalam penerbitan buku ini tidaklah tercatat oleh jemari saya ini. Insya-Allah, pada lain masa akan saya kongsikannya. Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dalam usaha penerbitan buku ini.

Saya amat berharap rakan-rakan dapat menyokong saya dengan mendapatkan buku ini. Bagi saya walau sebaik mana pun sesebuah buku itu, jika hanya terperuk dalam stor dan di rak buku sahaja, tiadalah gunanya juga. Jadi, kepada rakan-rakan yang berhasrat ingin memiliki buku ini terus daripada saya. 

*Majlis penyampaian hadiah pada 25 November 2015 di Hotel Palace Of Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pendidikan Malaysia.

Ahad, 23 Februari 2014

Kreativiti Seni Jahitan Cross Stitch

Assalamualaikum.

Sewaktu saya belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) dahulu, saya pernah mengambil kursus Sistem Tulisan Jawi. Sebagai tugasan, kami dikehendaki menghasilkan tulisan khat mengikut kreativiti dan berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan (tak ingat pula saya). 

Cross Stitch Bismillahirrahmanirrahim yang telah siap

Apabila melihat tajuk tugasan, saya dengan yakinnya mencadangkan kepada ahli kumpulan saya untuk memilih seni jahitan Cross Stitch. Saya juga menyatakan bahawa saya pernah menghasilkannya sebelum ini. 

Setelah dipersetujui, saya meminta bantuan kakak ipar saya yang berada di Kedah untuk mengepos bahan yang diperlukan. Antaranya, kain, peta lakaran, benang dan jarum. Hal ini demikian, kakak ipar sayalah yang menjadi pencetus ilham dan mengajarkan saya menghasilkan seni jahitan Cross Stitch ini. 

Sewaktu menghasilkan Cross Stitch di UPM

Pada mulanya agak kekok juga untuk saya memulakannya setelah lama tidak buat, namun setelah mencuba beberapa kali akhirnya menjadi juga. Kemudian, "ilmu" itu diperturunkan pula kepada ahli kumpulan yang lain. 

Jika tidak salah, daripada sejumlah kumpulan dalam kalangan lelaki, hanya kumpulan saya yang menghasilkan seni jahitan Cross Stitch ini. Perkataan yang menjadi pilihan ialah BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. 

Cross Stitch yang belum dibingkaikan 

Alhamdulillah, setelah dihantar dan dinilai oleh pensyarah, kumpulan kami antara kumpulan yang mendapat markah tertinggi. Kini, hasil kreativiti seni jahitan Cross Stitch ini sudah dihadiahkan kepada sebuah rumah anak yatim sewaktu kami melakukan aktiviti di sana. Harap-harap, masih lagilah terletak elok dan terpamer megah di sana. 

Rabu, 16 Januari 2013

Hari Terakhir

Hari ini merupakan hari terakhir saya berkhidmat di SJK (C) Choong Chee. Mulai esok saya akan berpindah ke SK Batang Kali. Moga perpindahan ini sebahagian daripada perancangan-Nya.

hari terakhir
akan bermula
dengan hari pertama.

kenangan
yang manis
akan dirasai
setelah menampi
kepahitan.


Ahad, 4 November 2012

Novel Jadi Hantaran Perkahwinan

kredit foto daripada Sinar Harian

Saya hendak berkongsi cerita ini dengan pembaca semua. Adakah anda semua pernah membaca artikel ini di Sinar Harian edisi 1 Oktober 2012?

Wah, 4 dulang novel dijadikan hantaran perkahwinan! Teruja sangat.

Minat membaca pengantin perempuan terhadap karya Ramlee Awang Murshid membuatkan pengantin lelaki mengambil keputusan membawa dulang  berupa novel sebagai hantaran. 4 dulang tersebut mengandungi 21 buah novel karya Ramlee Awang Murshid dan beberapa penulis lain. Jarang-jarang novel menjadi bahan hantaran, bukan? Jika ada pun al-Quran dan buku-buku agama yang dijadikan sebagai hantaran.

Jadi, kepada sesiapa yang hendak berkahwin pada musim cuti sekolah nanti bolehlah berbuat demikian.

Selasa, 7 Ogos 2012

Catatan Hujung Minggu

Alhamdulillah, masih diberi kekuatan oleh-Nya untuk mencatat sesuatu. Sebenarnya banyak yang hendak diceritakan di sini. Sepanjang tiga hari bercuti (untuk negeri Selangor) sudah tentulah pelbagai peristiwa yang ditempuh.

Pada hujung minggu lepas saya ke Serdang lagi. Ke rumah kawan. Rancangan awalnya untuk berbuka puasa bersama cosmate tetapi tidak menjadi. Pada hari Sabtu saya dan kawan (Hafidz) ke Jalan TAR. Membuat persiapan untuk hari raya Aidilfitri nanti. Apa yang sempat di beli adalah baju Melayu. Harganya boleh tahan la. Tetapi saya beranggapan harga baju yang saya beli itu berkemungkinan akan turun lagi menjelang Aidilfitri nanti. Namun untuk mengelak kesesakan di kemudian hari saya terpaksa membeli juga. Memandangkan saya akan pulang ke kampung pada 17 Ogos 2012, iaitu jatuh pada hari Jumaat. Walaupun pada hari tersebut baharu sahaja mencecah 15 hari berpuasa tetapi suasana di Jalan TAR sangat sesak. Hingga hendak berjalan pun susah.



Keduanya, perlawanan akhir Badminton Olimpik. Syabas saya ucapkan kepada Datuk Lee Choong Wei atas kemenangan walaupun sekadar pingat perak. Seharusnya kita berbangga walaupun sedikit merasai kekecewaan. Lee Choong telah berhempas pulas untuk menunaikan impian rakyat Malaysia menggenggam pingat emas. Ternyata Lin Dan tidak kurang hebatnya juga. Inilah antara dua orang pemain terbaik dunia masa kini. Walau bagaimanapun usaha yang gigih perlu dilakukan sekarang ini juga untuk mencari pelapis kepada Lee Choong Wei. Jika mahu lihat pemain kita beraksi di sukan Olimpik 2016 nanti.

Ahad, 26 Februari 2012

Melepaskan Rindu

 Hujung minggu ini saya ke Bangi. Hajatnya untuk berjumpa dengan kawan-kawan lama. Pada malam sabtu Hafiz telah merancang untuk makan sate di UK. Bersama-sama dengan Big, Nine. Alhamdulillah perjumpaan yang memakan masa hampir 2 jam itu sambil 'pekena' sate mengundang gelak tawa. Masing-masing menceritakan hal masing-masing. Saya dan Big sudah tentu berkongsi pengalaman di sekolah berdepan dengan kerenah anak murid. Nine pula dengan urusan kewangannya di sebuah syarikat, Hafis pula dengan editornya.


Semalam, kami berjumpa lagi. Kali ini lebih ramai. Zura, Sera, Hafsyam, Big, saya dan juga Hafis. Kali ini kami 'pekena' ikan siakap 3 rasadi Village View, Bangi. Tempatnya menarik. Berteman air terjun, disimbah cahaya neon sungguh romantik. Ramai memang ramai tempat ni, tapi pekerja-pekerjanya yang mahir membolehkan makanan yang dipesan cepat sampai. Jadi kami tidak perlulah menunggu lama. Walaupun sudah lama tidak berjumpa perangai masing-masing masih tidak berubah. Yang paling lucunya Big yang pandai mengeletek kami hingga ketawa terbahak-bahak.

Nampaknya masing-masing sudah berjaya. Hafis sebagai editor di Pelangi, Zura, Sera dan Hasyam sambung master. Alahamdulillah, paling penting graduan bahasa dan sastera bukanlah seperti apa yang digambarkan yang mana selalu menganggur.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78