Pengikut

Selasa, 29 Mei 2018

Apa yang Saya Tulis Sepanjang Tahun 2008 hingga 2018?

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

APA YANG SAYA TULIS SEPANJANG TAHUN 2008 HINGGA 2018?
 


1. Saya mula memasuki bidang penulisan kreatif melalui karya eceran. Saya menulis cerpen, puisi dan artikel. Karya ini saya hantar untuk dipertimbangkan oleh editor akhbar dan majalah.

2. Setelah cerpen pertama saya, "Nyanyuk Si Mentua" disiarkan dalam majalah Harmoni pada tahun 2008, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya melangkah dan cuba menembusi akhbar dan majalah lain pula.

3. Pada tahun 2009 pula, saya dimaklumkan bahawa puisi pertama saya, "Berdiri di Atas Kaki Sendiri" telah disiarkan dalam akhbar Bacaria. Puisi ini telah dibukukan dalam Kumpulan Puisi Remaja: Madu di Tangan.

4. Setelah beberapa tahun kemudian, saya tergerak hati untuk mengumpulkan karya saya yang tersiar itu untuk dibukukan. Hasrat itu lebih kuat apabila saya terbaca satu berita bahawa kerajaan telah menyuntik dana melalui ITBM untuk menerbitkan buku karya asli penulis muda.

5. Hasil daripada bertanya rakan-rakan penulis cara menyusun manuskrip dan beberapa hal berkaitan serta membuat kajian ringkas, akhirnya saya mengemukakan manuskrip "Tetamu Istimewa" kepada ITBM untuk dinilai dan setahun selepas itu, lulus diterbitkan.

6. Pada tahun 2014, terbitlah buku pertama saya. Ketika itu tak tergambar perasaan berbaur rasa itu. Tidak terduga sama sekali, apabila buku pertama saya ini diberikan pengiktirafan dalam HSPM pada tahun 2014 kategori Kumpulan Cerpen Remaja.

7. Setahun selepas itu, saya memberanikan diri untuk mengumpulkan puisi pula. Setelah menimbangkan beberapa perkara, saya menyusun manuskrip kumpulan puisi remaja. Manuskrip ini pada asalnya saya hantar 80 buah lebih puisi. Namun setelah dinilai, panel memutuskan untuk penerbitan kumpulan puisi remaja, hanya 50 buah puisi sahaja.

8. "Madu di Tangan" terbit pada tahun 2015. Sebahagian puisi tersebut pernah disiarkan dalam majalah dan akhbar. Menerusi HSPM 2015/2016, buku ini telah dinobatkan sebagai Kumpulan Puisi Remaja terbaik. Tidak terjangka saya apabila kali kedua saya naik ke pentas HSPM.

9. Kali pertama nama saya terselit sebagai pemenang HSKU (saya tidak hadir) pada edisi 2010. Cerpen "Bunga Telur Kenduri Kahwin", telah meletakkan cerpen remaja saya itu untuk menumpang pentas yang gah berdirinya penulis mapan. Sebagai penulis baharu, saya berasa amat kerdil sekali. Selepas itu, pada tahun 2011 dan 2012, dua tahun berturut-turut cerpen remaja saya berjaya meloloskan diri untuk diiktiraf sebagai pemenang, walaupun hanya hadiah penghargaan. Cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin" yang turut memenangi HSKU telah dipilih dijadikan teks KOMSAS pelajar Tingkatan 1 mulai tahun 2015.

10. Tidak berhenti di situ sahaja, saya yang turut menulis karya dewasa cuba menyusun manuskrip kumpulan cerpen dewasa pula. "Bila Ayah Berkaca Mata Hitam" menghimpunkan 18 cerpen dewasa. Dua cerpen saya yang pernah memenangi Sayembara Cerpen ASASI dan Sayembara Cerpen ANIS turut dimuatkan dalam buku ini. Buku ini diterbitkan pada tahun 2016.

11. Pada awalnya banyak kali saya berfikir sama ada perlu atau tidak saya menerbitkan kumpulan cerpen remaja kedua. Antara yang bermain-main di fikiran saya, adakah buku ini lebih baik daripada Tetamu Istimewa? Walau bagaimanapun, saya berhak juga memberikan peluang kepada pembaca untuk menilai daripada kaca mata mereka. Akhirnya, "Gadis dan Cermin Masa Depan" berjaya juga sempena PBAKL 2018 lalu.

12. Keempat-empat buku saya ini diterbitkan oleh ITBM. Bagi saya, ITBM merupakan sebuah syarikat penerbitan yang mempunyai nama yang besar dalam industri penerbitan buku sastera yang berkualiti. Saya sangat berterima kasih kepada ITBM yang mempercayai karya-karya saya.

13. Cabaran sebagai penulis yang menulis karya eceran sebelum dibukukan tetap ada. Tinggal lagi kita sebagai penulis perlu bijaksana menanganinya. Empat buku saya ini hanyalah sebilangan kecil karya yang "terpilih". Di sebalik kejayaan mengangkat dan mengumpulkan karya tersebut, seberapa banyak karya ditolak, seberapa banyak karya yang disisihkan, biarlah saya sahaja yang tahu.

14. Saya berharap perjuangan saya dalam bidang penulisan ini tidak akan berhenti di sini sahaja. Besar harapan saya agar dapat melihat buku genre kanak-kanak saya pula diterbitkan selepas ini.

15. Rakan-rakan yang berhasrat untuk menulis (calon penulis) atau penulis baharu teruskan usaha. Bina kredibiliti, tingkatkan mutu karya, insya-Allah pada masa hadapan kita akan dapat menuai hasilnya yang ada kala kita sendiri tidak menjangkakannya.

Mohd Helmi Ahmad
Catatan Pengalaman Penulis Marhaen
 

Ahad, 27 Mei 2018

Promosi Jualan Buku Mohd Helmi Ahmad

 Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.



Tak dapat saya gambarkan dan ungkapkan dengan kata-kata tatkala dapat memegang dan menatap buku terbaharu saya, "Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis dan Cermin Masa Depan" terbitan ITBM, 2018 ini. Alhamdulillah, daripada menulis cerpen eceran dapat pula diterbitkan dalam bentuk buku. 

Sebagai mengucapkan terima kasih dan menghargai kepercayaan yang diberikan oleh ITBM dengan menerbitkan buku keempat perseorangan saya ini, saya membeli pula stok buku ini sebanyak 100 buah. 

Memandangkan saya mempunyai 2249 orang rakan dan 1030 orang pengikut, setidak-tidaknya dapatlah menyokong saya dengan membeli dan membaca buku terbaharu saya ini. 



Sebagai promosi pembukaan jualan ini saya tawarkan dengan harga istimewa dan mampu milik. Pembelian akan lebih jimat apabila membeli secara pakej buku ini dan buku-buku saya yang lain.
Rakan-rakan yang berminat sila pilih pakej seperti berikut: 

1. GDCMD = RM25/RM27 (S&S)

2. MDT + GDCMD = RM33/RM37 (S&S)

3. BABMH + GDCMD = RM37/RM40 (S&S)

4. MDT + BABMH + GDCMD = RM47/RM50 (S&S)

5. MDT + BABMH + KM+ GDCMD = RM55/RM58 (S&S)

* Semua pakej termasuk pos laju
* MDT - pemenang HSPM 2015/2016
* Harga asal - MDT (RM15), BABMH (RM25), KM (RM9) dan GDCMD (RM25) - anda mampu JIMAT berkali ganda.
* Tetamu Istimewa cetakan pertama telah habis.
* Boleh WhatsApp saya di talian 017 4241356



Rakan-rakan yang berminat untuk membuat pesanan boleh tinggalkan komen di bawah. Saya akan PM, kemudian. Sebarang pertanyaan, boleh diajukan pada ruangan komen.

Sokongan rakan-rakan amatlah saya hargai. Terima kasih.

Mohd Helmi Ahmad
Penulis Buku ITBM dan DBP

Selasa, 15 Mei 2018

Buku yang Sesuai Dijadikan Hadiah Sempena Hari Guru

Assalamualaikum.


Tanggal 16 Mei merupakan Hari Guru yang disambut seluruh Malaysia. Saya yakin seorang murid akan mengenang dan menghargai jasa dan pengorbanan seorang guru dengan memberikan mereka hadiah. 

Hadiah itu boleh sahaja berupa apa-apa sahaja. Namun begitu, sebagai cadangan buku merupakan hadiah yang paling sesuai untuk dihadiahkan kepada guru sempena Hari Guru. 

Antara buku yang berkisah tentang guru, murid, sekolah dan pendidikan adalah seperti berikut:

1. Budak Meja Belakang, Komrad 2017 - Shah Ibrahim 
2. Cerita Bilik Guru, Komrad 2018 - Fadli Salleh, Shahidan Shuib,Reyna Ibrahim, Firdaus Abdullah
3. Cikgu Kelas Sebelah, Komrad 2016 - Fadli Salleh 
4. Dalam Bilik Darjah, Pojok 2016 - Sofuan Saadon 
5. Cikgu Kampung, Must Read 2017 - Shahidan Shuib
6. Yang Dinamakan Guru, ITBM 2016 - Mohd Hashim Osman 
7. Cikgu Bukan Ultraman, Must Read 2016 - Mohd Zamri Husaini 


Selasa, 8 Mei 2018

Buku Terbaharu: Gadis dan Cermin Masa Depan

Assalamualaikum. 



Syukur alhamdulillah, buku perseorangan keempat saya baru sahaja siap dicetak. Terima kasih saya ucapkan kepada ITBM-PENA, editor, pereka kulit buku dan semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku ini.

"Gadis dan Cermin Masa Depan" merupakan kumpulan cerpen remaja kedua saya selepas Tetamu Istimewa. 

Buku ini memuatkan 15 buah cerpen remaja yang ditulis dan diterbitkan sejak tahun 2011 hingga 2015. 

Rakan-rakan dan pengunjung yang mengunjungi PBAKL, dapatkan di reruai ITBM.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78