Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
Alhamdulillah, permulaan hari yang baik pada minggu ini apabila
mendapat perkhabaran yang "Antologi Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni
MPR: Karya daripada Diari Rahsia" telah siap dicetak dan sudah boleh
dibuat pesanan pembelian oleh penulis dan pembaca.
+++
Menyingkap kembali projek ini, pada tahun 2016, saya melontarkan
cadangan dan hasrat alangkah bagusnya jika artikel yang disiarkan dalam
ruangan Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni MPR yang diterbitkan dalam
majalah Tunas Cipta, DBP dibukukan.
Saranan saya itu disambut baik oleh Tuan Hamidi Md Yudin dan Firdhaus Hassan. Selepas itu, perbincangan lanjut telah dibuat.
Akhirnya, Tuan Hamidi dan saya sendiri bertindak sebagai penyelenggara antologi ini.
+++
Ruangan Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni MPR merupakan ruangan yang
memberi peluang kepada penulis muda untuk berkongsi pengalaman dalam
bidang penulisan. Pelbagai pengalaman dan cabaran yang dikongsikan oleh
penulis.
Mengikut rekod bacaan saya, tidak banyak buku seumpama
ini diterbitkan. Inilah satu-satunya antologi yang mengumpulkan artikel
Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni MPR.
Konsep buku ini memuatkan artikel, karya penulis dan biodata penulis.
Penulis yang tersenarai merupakan betul-betul penulis muda berusia bawah 40 tahun ketika manuskrip ini diselenggarakan.
Berikut senarai 20 orang penulis yang terlibat dalam antologi ini.
1. Ahmad Muziru Idham
2. Aina Nabila Ahmad
3. Dayana Chacho
4. Farahana Hussain
5. Firdhaus Hassan
6. Haniff Yusof
7. Hasni Jamali
8. Iwan Reaz
9. MF Kencana
10. MK Riza
11. Mohd Helmi Ahmad
12. Nik Mohd Iznan
13. Azida Ishak
14. Nur Suhada
15. Rafi Harumin
16. Ridzuan Kamis
17. Shafiq Azli
18. Syukri Sapuan
19. Tuah Sujana
20. Zulfazlan Jumrah
+++
Sebagai permulaan bagi saya, bukan mudah menyelenggara antologi yang
melibatkan 20 orang penulis. Apatah lagi mengambil kira prosedur yang
ditetapkan oleh pihak DBP.
Pada tahun 2017, manuskrip ini lulus
JKE. Selepas itu, setelah mesyuarat yang dijalankan oleh pihak DBP,
hanya seorang penyelenggara sahaja dibenarkan untuk buku ini, dan jika
melibatkan dua orang, kedua-duanya perlulah mempunyai karya yang
dimuatkan dalam buku tersebut.
Selepas itu, saya mengambil alih
tugas sebagai penyelenggara utama untuk menyiapkan manuskrip ini seperti
mana yang disarankan oleh pihak penilai.
Namun begitu, saya
mengucapkan terima kasih kepada Tuan Hamidi yang banyak memberi tunjuk
ajar kepada saya untuk menyelenggara sebuah antologi.
Terima kasih juga kepada editor, Puan Hafirda Afiela yang membidani antologi ini dengan baik.
+++
Saya akan membuat tempahan stok buku ini daripada penerbit. Harga
jualan buku ini RM20 senaskhah. Bagi yang berminat bolehlah buat
tempahan daripada saya, penulis lain ataupun penerbit sendiri.
Ayuh, dapatkan buku ini untuk membaca pengalaman penulis muda yang
berjaya menempatkan diri dalam peta kesusasteraan tanah air.
Mohd Helmi Ahmad
Penyelenggara Antologi Karya daripada Diari Rahsia