Assalamualaikum.
SINISISME DAN MULTITAFSIR DALAM DONGENG PERKEBUNAN
Oleh : Ridzuan Kamis
Nama Buku : Kumpulan Puisi : Dongeng Perkebunan
Nama Penulis : Jasni Matlani
Penerbit : Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan PENA
Tahun Terbit : 2015
Bilangan Muka Surat : 46 Halaman
Harga : RM20.00/RM25.00
ISBN : 978-967-0869-46-9
“Sesungguhnya menulis puisi bagi saya selalu menghadiahkan kepuasan yang lain berbanding menulis cerpen atau novel” - Jasni Matlani.
Sesebuah puisi (sajak) pada zahirnya cumalah selonggok kecil kata-kata. Namun kepada orang yang mengerti, selonggokan kata-kata itu sebenarnya adalah selautan telaahan minda yang mampu memukau fikiran serta mata kalbu. Puisi sebagai sebuah manifestasi yang lahir daripada rasa kecintaan manusia yang tinggi terhadap kehidupan, kemanusiaan, kealaman dan segala isi semesta alamiah. Puisi berperanan sebagai alat pengkritik kehidupan manusia, di samping mampu meninjau kebenaran jiwa dan mantafsir rahsia jiwa manusia. Puisi sebagai medium komunikasi atau adanya interaksi antara fizikal dan spiritual yang dapat memperkaya pengalaman hidup. Hal ini demikian kerana puisi mempunyai sihirnya yang tersendiri, yang telah dirasuki ke dalam satu jalinan yang berdimensi intim dan mesra antara penggemar dan pengkreatifnya. Sememangnya menulis puisi terlahir daripada resah jiwa dan bahagia apabila karya itu ditatap dan dibaca oleh khalayak berwibawa.
Sesungguhnya, kata-kata yang terdapat dalam puisi bukan sekadar simbol idea semata-mata tetapi melibatkan satu, dua atau banyak lapis makna dalam interaksi manusia iaitu makna yang melibatkan ungkapan pemikiran dan makna yang mengaitkannya dengan ungkapan perasaan. Hal ini jelas apabila Tolsttoy menjelaskan bahawa tujuan kesenian atau kesusasteraan adalah untuk menyatukan kemanusiaan melalui perkongsian perasaan. Bukan sekadar itu, malah puisi boleh menjadi gedung ilmu yang berupaya menghantar kita ke ceruk yang paling sunyi, ke dasar yang paling dalam, ke rahsia yang paling tersembunyi, ke konflik yang paling rumit dan yang kesemuanya melalui pentafsiran perasaan yang bebas ke atas susunan kata-kata yang puitik, dinamik, estetik dan analitik.
Bagi tokoh Barat terkenal seperti Coleridge telah mendefinisikan puisi sebagai kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik. Wordsworth pula menyatakan bahawa puisi sebagai pengucapan tentang perasaan yang mendalam secara berentak; penglahirannya spontan yang diingat kembali dalam suasana tenang. Mahtew Arnold pula mendefinisikan puisi adalah kritikan terhadap kehidupan berlandaskan syarat yang ditetapkan oleh kebenaran, keindahan dan kekuatan. Namun begitu, kata-kata dan susunan terbaik terhasil daripada seseorang pemuisi (penyair) dengan adanya pengetahuan tentang imej dan bahasa yang diaplikasikan secara bijaksana dan tidak dipraktikkan berwenang-wenang.
Selain itu, puisi pada dasarnya ialah susunan kata-kata yang indah di mana kekuatannya terletak pada seni keindahan kata-kata tersebut. Dengan kata lain, esensi sesebuah puisi harus ada pada estetika yang ditampilkan oleh kata-kata yang indah dan mempesona. Keindahan dan makna puisi biasanya akan terserlah dalam sebuah kesatuan yang utuh walaupun ia bersifat subjektif. Penyair dilihat tidak menyelewengkan keindahan yang melekat dan membungkus makna dengan permainan kata-kata berwacana. Hal ini dapat dianalogikan kepada beberapa puisi yang dianggap kabur tetapi sebenarnya mempunyai multitafsir yang memungkinkan cerakinan makna secara berilmiah.
Definisi dan huraian tentang puisi secara umum di atas dapat disepadukan dengan buku Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan karya penulis prolifik Sabah yakni Jasni Matlani kerana menampilkan sesuatu kelainan jika dirungkaikan dengan mata fikir dan mata hati berasaskan teori kesusasteraan terpilih. Buku Dongeng Perkebunan ini diangkat sebagai pemenang ketiga dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2 melayakkan puisi-puisi ini diteliti dengan berjustifikasikan intrinsik pemikiran berilmiah dan berfalsafah. Latar belakang Jasni Matlani dalam dunia kesusasteraan juga bukan calang-calang orang kerana beliau ialah Yang Di-Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang juga Ahli Jawatankuasa GAPENA salain pernah meraih Anugerah Penyair Islam Sabah, Ahli Darjah Kinabalu(ADK), Hadiah Sastera Sabah dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Pengalaman menulis Jasni Matlani dari tahun 1970-an memperlihatkan kematangan karya beliau terutama dalam karya kreatif seperti novel, cerpen dan puisi di samping penulisan non kreatif yang lain. Dongeng Perkebunan ini merupakan buku kumpulan puisi perseorangan ketiga beliau setelah buku pertamanya Tergantung Pada Kata (1996) juga menggondol hadiah pertama puisi anjuran DBP Sabah manakala kumpulan puisi kedua pada 2010 berjudul Skrip Aneh.
Keseluruhan puisi dalam Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan ini bersifat kontot tetapi tetap dapat menyorot mesej secara multimakna berasaskan fiksyen “dongeng” yang diselusuri di “perkebunan”. Perkataan “perkebunan” dijadikan platform penyair untuk membangkitkan isu dengan berfikir di luar kotak walaupun teknik atau bentuk pengucapan berperihalkan perkara yang biasa atau lumrah. Sememangnya tidak ada sebuah pun daripada 45 puisi kontot dalam Dongeng Perkebunan ini dijudulkan Dongeng Perkebunan tetapi penyair pintar menjadikan penceritaan atau perkisahan yang seakan berkronologis daripada puisi pertama hingga puisi terakhir dengan cerita-cerita (puisi) dongeng. Kedongengan yang dibangkitkan sebenarnya menimbulkan elemen sinisisme dan multitafsir secara ilmiah, berfalsafah dan berpengajaran selain dapat dikupasi berasaskan teori psikologikal. Begitu juga perkataan “perkebunan” yang berkanotasi sebagai tempat manusia atau fauna berkehidupan sama ada secara normal atau abnormal yang dikongsi bersama-sama mahkluk lain di muka bumi ini. Boleh dikatakan bahawa setiap puisi dalam Dongeng Perkebunan ini, penyair menggunakan perkataan “perkebunan” yang melambangkan kehidupan realiti tetapi seperti kedongengan andai manusia tersasar khittah dan arah hidup di “perkebunan” untuk membina peradaban dan kemasyhuran secara berterusan.
Puisi-puisi berelemen sinisme atau sinisisme ialah merujuk kepada pandangan atau kecenderungan untuk mempersoalkan sesuatu hal. Dalam konteks kesusasteraan, sinis atau sinisisme merupakan satu aliran pemikiran yang terkandung dalam karya sastera yang mengandungi kritikan atau pengajaran daripada cerita atau paparan yang dikemukakan. Sinisisme juga dapat ditafsirkan sebagai satu sindiran yang mempunyai tujuan positif untuk mengubah bangsa atau masyarakat melalui karya-karya sastera seperti puisi Melayu moden yang diungkapkan dengan teknik dan gaya penulisan tersendiri. Maka Dongeng Perkebunan ini menepati kriteria tersebut kerana memaparkan puisi-puisi sinis secara sinikal dan simbolik. Multitafsir pula merupakan satu perkataan atau frasa malah ayat atau keseluruhan karya (puisi) yang mempunyai banyak makna sama ada selapis atau berlapis-lapis berdasarkan kebijaksanaan penelaah mentafsir sesuatu persoalan atau amanat yang disampaikan di dalam karya oleh penyair.
Puisi pertama dalam buku ini paling kontot iaitu hanya tiga baris yang berkuantiti 11 perkataan sahaja. Diperturunkan keseluruhan puisi Bulan Berkabut tersebut, yang merupakan halaman pembuka cerita “dongeng” seperti yang ditekankan oleh penyair sendiri.
Bulan berkabut di perkebunan
dan siang mencari matahari
yang tak pernah ada.
(Dongeng Perkebunan : Bulan Berkabut:1)
Jasni Matlani memulakan perjalanan kata yakni perjalanan jauh mencari diri di “perkebunan”. Unsur paradoks wujud secara jelas apabila mana mungkin bulan berkabut dan matahari tidak pernah ada pada waktu siang. Mengapa cahaya tidak ada dalam cahaya? Inilah elemen sinisisme dan multitafsir yang boleh diperdebatkan akan maknanya tetapi penyair seakan membiarkan pembaca berteka-teki dan bertanda tanya di mana Jasni Matlani dalam kata pengantarnya menegaskan biarkanlah puisi berkembang seadanya di dalam hati untuk membentuk peribadi.
Puisi kedua yang diangkat sebagai contoh ialah puisi Lembu. Dititipkan perenggan pertama puisi Lembu sebagai contoh relevan untuk membuktikan penyerapan dan penggabungjalinan elemen sinisisme dan multitafsir berasaskan kupasan teori psikologikal.
“Kawanan lembu di perkebunan
hanya menuntut haknya terhadap rumput,” kata
penternak yang tahu keperluan lembu
dan tidak lebih daripada itu.
( Dongeng Perkebunan : Lembu:31)
Jelas sekali bahawa puisi berjudul Lembu ini agak polos tetapi mempunyai elemen sinisisme yang tajam untuk menyedarkan masyarakat secara halus dan berseni. Buktinya judul Lembu itu sendiri yang berkanotasi seekor binatang yakni lembu yang bodoh. Sinisisme wujud apabila perkataan lembu dibiaskan yang merujuk kepada manusia diibaratkan seperti lembu kerana hanya menuntut haknya terhadap rumput (keperluan makanan untuk hidup) sahaja sedangkan penternak yang dapat diterjemahkan kepada pemerintah atau penguasa di “perkebunan” yang mendominasi hidup sama ada dalam aspek politik, sosial atau ekonomi. Secara dongengnya, mana mungkin lembu dapat menuntut haknya terhadap rumput tetapi multimakna terserlah apabila puisi pada perenggan pertama ini dihuraikan secara implisit. Maka pelbagai persepsi dan pandangan wujud secara bijaksana dan berkohesi berdasarkan bait-bait puisi yang diungkapkan secara bersahaja tetapi mengesankan pembaca yang senantiasa ingin mencabar minda.
Puisi Cahaya pula mengaplikasikan teknik dialog dalam penyampaiannya. Diperturunkan keseluruhan puisi tersebut untuk mengesan kelainan yang diuar-uarkan.
Maka suatu hari, seorang tokoh tiba-tiba kehilangan
sesuatu yang berharga di perkebunan, lalu seorang bertanya,
“Adakah kamu kehilangan sesuatu.”
“Adakah kamu kehilangan sesuatu yang berharga
itu di sini ? Di tempat ini ?”
“Tidak, bukan di sini, tetapi di tempat yang jauh.”
“Kalau begitu mengapa kamu mencari di tempat ini ?”
Lalu tokoh itu menjawab selamba mengakhiri
perbualan, “kerana di sini ada cahaya yang
terang-benderang !”
(Dogeng Perkebunan : Cahaya:37)
Lihatlah sesuatu yang biasa yakni kata-kata biasa tetapi menjadi luar biasa dek garapan secara dialog bersahaja sehingga meninggalkan impak sinisisme dan multitafsir yang berbeza-beza. Bayangkan seorang tokoh kehilangan sesuatu di perkebunan yakni di tempat yang jauh tetapi mencari sesuatu di tempat yang lain kerana beralasan di sini ada cahaya yang terang-benderang. Inilah bukti unsur sinisisme cerdik yang dibangkitkan secara intuitif dan komunikatif apabila menyindir masyarakat yang tetap mengharapkan cahaya dalam kehidupan walaupun telah kecewa atau kehilangan sesuatu di tempat yang kelam gelemat. Di sinilah elemen multitafsir wujud yang barangkali boleh dihuraikan makna yang lain seperti tokoh yang dihormati masyarakat tetapi melakukan sesuatu perkara yang memalukan atau memperbodohkan diri sendiri apabila mengharapkan ehsan cahaya di tempat yang lain atau di luar bidang hakikinya. Jelas, Jasni Matlani bijak memberikan sesuatu yang lain meskipun penggunaan bahasanya agak nihil metafora. Apapun, pemaknaan puisi ini boleh dipelbagaikan berdasarkan pemahaman si penelaah berasaskan takah pemaknaan masing-masing.
Satu lagi contoh puisi yang menyokong huraian tentang penyerapan elemen sinisisme dan multitafsir dalam buku ini ialah puisi berjudul Puisi yang Seperti Bukan Puisi. Diperlihatkan perenggan akhir puisi ini yang mampu memberikan makna yang pelbagai dan berlapis-lapis.
Entah bagaimana aku tiba-tiba melihat serpihan kata-kata
itu berubah menjadi makhluk bernyawa, dan muncul
di perkebunan dengan ganasnya. Dengan darah masih tersisa
pada taringnya seperti serigala, berwajah nabi.
( Dongeng Perkebunan : Puisi yang Seperti Bukan Puisi:46)
Penutup kepada buku ini, Jasni Matlani memerihalkan tentang sebuah lagi “dongeng” iaitu serpihan kata-kata secara tiba-tiba bertukar dan berubah menjadi makhluk bernyawa dan menjadi ganas di “perkebunan”. Kata-kata itu seakan mengamuk sehingga tersisa darah seperti serigala tetapi berwajah nabi. Demikian betapa “dongeng” itu disiniskan secara multitafsir oleh pembaca dan berelemen psikologi tersirat dalam ungkapan bahasa berseninya. Di samping ekamakna dan dwimakna, pasti akan terungkap trimakna serta lapis makna yang membijaksanakan pembaca. Adakah serpihan kata-kata itu ialah puisi, tohmah, fitnah atau kritikan? Adakah mahkluk bernyawa itu perasaan, konflik diri, halusinasi, mimpi atau dendam? Mungkinkah serigala berwajah nabi itu orang yang membuat salah atau melanggar undang-undang tetapi dipuja puji atau diangkat oleh masyarakat? Demikianlah pelbagai huraian makna boleh direntetkan berdasarkan sinisisme yang tersirat makna ini.
Secara keseluruhannya, Jasni Matlani bijak membina kejap ceritera dongeng dalam karyanya tetapi dalam kedongengan yang didendangkan itu sebenarnya ada kerealitian dan kesahihan yang benar-benar terjadi dalam kehidupan (perkebunan) sama ada secara sedar atau tidak sedar. Cereka dongeng itu digalurkan dengan konsisten secara paradoks daripada puisi pertama sehingga puisi terakhir yang berplatformkan “perkebunan” sebagai tapak penceritaan. Benar, puisi-puisi dengeng ini seperti antilogik dan berdominan kemerapuan malah bersifat prosaik tetapi percayalah bahawa elemen itu berjaya dilupuskan secara tidak sedar kerana ketelitian dan kebijaksanaan Jasni Matlani menghubungkaitkan dongeng-dongeng tersebut dengan kebenaran hakiki secara kanotasi ilusif dan multimakna malah mesej kesinisan menyerlahkan hakikat sesuatu kejadian atau perkara secara signifikan dan paradoksikal.
Dongeng Perkebunan juga memaparkan keragaman tema walaupun secara asasnya bertapak dengan cerita kedongengan dan perkebunan kesemua puisinya. Antara tema yang mendasari buku ini ialah perihal kemanusiaan, kepolitikan, konflik diri, kemasyarakatan dan kefalsafahan. Diperturunkan beberapa judul puisi daripada 45 puisi dalam buku ini antaranya Di Perkebunan, Dongeng Pohon, Hujan Aneh, Naga di dalam Sungai, Kalau Bermain di Perkebunan, Dongeng Nangka dan Cempedak, Hujan di Perkebunan, Malam Kencana, Spiral, Burung yang Terbang Berkawan, Lembu, Cahaya, Puisi yang Seperti Bukan Puisi dan banyak lagi.
Berasaskan teori psikologi yang diperkenalkan oleh Freud, jelas sekali bahawa Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan menepati kriteria psikoligikal yang bertitik-tolak daripada sinisisme pengarang untuk ditafsir penelaah secara terpimpin fikir. Hal ini kerana dalam buku ini teradun psikologi pengarang, psikologi watak dan psikologi masyarakat dalam galuran “dongeng” dan “perkebunan”. Untuk psikologi pengarang, Jasni Matlani dilihat bijak mengolah ideanya. Penggunaan “aku” dalam keseluruhan buku ini barangkali merujuk beliau sendiri atau mungkin juga masyarakat. Pada kulit buku Dongeng Perkebunan ini dipaparkan puisi penuh Spiral yang merujuk “aku”.
Aku berjalan di perkebunan sambil memerhati langit,
matahari, sungai dan gunung. Kemudian tersandung pada
langkah beribu. Dari satu titik kecil perjalanan melebar ke
perkampungan luas, tetapi anehnya, seperti dirancang aku
kembali ke titik asal, yang kehilangan jalan pulang.
(Dongeng Perkebunan : Kulit Buku)
Dalam psikologi watak pula, untuk menimbulkan sinisisme dan multitafsir, penyair menggunakan beberapa watak secara sepintas lalu tetapi berjaya menimbulkan gelodak perasaan watak untuk dikupasi oleh khalayak. Sememangnya penggunaan watak dalam puisi tidaklah sejelas dalam genre novel dan cerpen namun Jasni Matlani berjaya menyelitkan watak-watak tersebut secara ‘dongeng” dan luar biasa tetapi merasionalkan makna. Antara watak manusia dan bukan manusia yang diselitkan dalam puisi-puisi kontot ini ialah aku, algojo, Si Kitul, Raja Mendeliar, Brutus, Caesar, si pelakon, kanak-kanak, tokoh, rama-rama, naga dan banyak lagi.
Bagi merelevankan unsur sinisisme dan multitafsir dalam karya, psikologi masyarakat juga perlu dikaitkan secara dominan. Ini kerana merujuk pandangan Carl Jung, di dalam masyarakat terdapatnya tanggapan yang dikenali collective unconsciousness. Masyarakat mempunyai persepsi atau pandangan tentang sesuatu yang sukar atau tidak boleh diubah-ubah lagi. Kelompok masyarakat ini dikatakan tidak sedar telah mempunyai tanggapan yang sama berhubung perkara-perkara yang berlegar di sekeliling mereka kerana ia telah sebati sejak dari azali. Masyarakat didefinisikan berada di bawah collective unconsciousness jika individu dalam masyarakat tersebut berada dalam tahap pemikiran atau tanggapan yang sama dalam sesuatu perkara contohnya pegangan budaya, paradigma diri dan sebagainya. Dalam hal ini, dikesani Jasni Matlani menyinis masyarakat yang masih terkongkong dalam pemikiran lapuk dan tidak membawa perubahan untuk kemajuan dan kelegasian hidup. Puisi di bawah dapat membuktikan bahawa masyarakat masih collective unconsciousness yang sukar diubah di mana Jasni Matlani cuba mengubahnya walaupun hanya menggunakan puisi. Diperturunkan keseluruhan puisi Negeri Hujan untuk menggambarkan pengamal collective unconsciousness ini.
Sepanjang musim, hujan turun di lembah perkebunan
yang menari dan langit bercinta dengan tanah hitam.
Apa yang sedang bermain di kepala? Banjir asing muncul
di bawah rumah dari jambatan yang patah. Kau di mana?
Apakah sedang berkurung dalam kamar, dibungkus selimut
selesa, sedang angin menangis dan merintih di jendela.
Kata orang, alam baring di kuburan dan manusia tidak
lagi menyalak selepas berhenti menjadi anjing.
( Dongeng Perkebunan : Negeri Hujan:44)
Sebagai konklusinya, jelas sekali bahawa buku Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan layak diangkat sebagai pemenang ketiga Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2 kerana kelainan pemikiran dan gaya penyampaian yang disusurgalurkan berasaskan “dongeng” dan “perkebunan” yang menimbulkan kesan estetik, dinamik, analitik dan puitik selain kekuatan dampingan seperti kewujudan elemen atau unsur sinisisme sehingga memunculkan multitafsir secara tersurat dan tersirat. Sesungguhnya buku ini dapat ditelaah berulang-ulang kali bukan dek kekontotannya tetapi kejelaan makna bijaksana yang memberikan ‘sesuatu’ kepada khalayak yang celik susastera khususnya penikmat genre puisi. Hal ini disokong dan didokong oleh gesaan penyair sendiri dalam prakata yang berharap pembaca akan mengutip(menghadam) pemikiran dalam kumpulan puisi ini untuk menjadikan kita lebih bertimbang rasa dan berfikiran positif akan nasib warga lain yang terdapat di “perkebunan” kita dan seterusnya menjernihkan perabadan kehidupan. Sesungguhnya, Dongeng Perkebunan merupakan buku yang cukup menarik dinikmati oleh penikmat puisi sejati kerana keluarbiasaan garapan yang direntetkan secara psikologi bersulam sinisisme dan multitafsir (multimakna) yang membijaksanakan.
Maka buku Dongeng Perkebunan ilham Jasni Matlani ini sememangnya layak diberi lima(5) bintang - sumber Berita Harian ( April 2015)
*****************
Saya ucapkan semoga berjaya kepada Cikgu Ridzuan Kamis dengan ulasan yang sangat teliti dan berkualiti ini.
Sumber: Peraduan Ulas Buku ITBM 2015