Pengikut

Selasa, 31 Julai 2012

Puisi: Sesaat Bersama di Mingguan Malaysia


Alhamdulillah, itulah yang boleh saya nyatakan di sini. Setelah mengidam untuk melihat karya (puisi) tersiar di Mingguan Malaysia buat kali kedua untuk tahun ini tercapai juga. Bukan sedikit usaha dan doa yang telah dilaburkan demi sebuah puisi ini. Boleh dikatakan sejumlah puisi saya juga yang tersadai sahaja di meja editor Mingguan Malaysia saya fikir. Mana tidaknya hampir setiap bulan saya hantar. Namun, benarlah untuk mengecap sesuatu kejayaan kita harus melalui seribu kesulitan. Kadangkala pahit menjelau hati. Namun berbekalkan setitik semangat yang terpintal dalam urat nadi telah menyuntik kebangkitan semangat yang luar biasa. Begitulah yang saya rasa setiap kali karya saya tersiar. Terima kasih editor Mingguan Malaysia yang tidak jemu melayan layangan karya saya baik puisi mahupun cerpen. Puisi ini mengambil sempena bulan Ramadan yang penuh barakah. 

Minggu lepas puisi rakan penulis saya, iaitu saudara Wadiassofi Jaafar tersiar di Mingguan Malaysia. Judulnya RAMADAN. Tanpa menunggu lama saya menghantar SMS untuk mengucapkan tahniah. Begitulah yang saya lakukan setiap kali karya rakan penulis yang tersiar. Bila ditanya bila dia hantar puisi tersebut dia menyatakan sekian tarikh. Tarikh yang diberikannya itu terlalu singkat berbanding puisi ini yang saya hantar. Namun rezekinya terlebih dahulu.

Pada hujung minggu, iaitu hari ahad, Wadi telah mengirimkan SMS kepada saya dengan menyatakan bahawa puisi saya tersiar di Mingguan Malaysia. Ketika itu betapa Tuhan sahaja yang tahu gembiranya. Saya berharap puisi ini dapat dikongsi dengan saksamanya bersama para pembaca. 

*Sudah menjengah Ramadan yang ke 11

Isnin, 30 Julai 2012

Koleksi Buku: Pengakuan Penyair


PENGAKUAN PENYAIR merupakan buku terbaharu yang saya beli. Buku ini menyingkap proses kreatif dan pengakuan penyair terhadap detik mula mengarang mahupun hasil karya yang meletakkan mereka hingga berada pada tahap sekarang (berjaya).

Membaca buku ini mampu mencetuskan inspirasi untuk menulis. Seramai 34 orang penyair yang bekerjasama dalam menjayakan penerbitan buku ini yang mana diselenggarakan oleh Rahimidin Zahari dan Shamsudin Othman. Buku ini berharga RM 30.00. Terbitan ITBM.

Ayuh kepada penulis baharu, penulis muda, penulis mapan dan kepada sesiapa sahaja yang ingin mengenali sejumlah penyair Malaysia dapatkan buku ini segera. Secara tidak langsung membantu industri perbukuan Malaysia. Siapa lagi yang hendak menyokong jika bukan rakyatnya sendiri.

Jumaat, 27 Julai 2012

Berkunjung ke Bazar Ramadan

Assalamualaikum semua. Di bulan Ramadan kali ini sudah semestinya wujudnya bazar Ramadan. Bagaimanakah di tempat anda? Adakah anda juga menjadi pengunjung setia bazar Ramadan tersebut?

Di tempat saya Batang Kali juga wujudnya bazar Ramadan. Sehingga kita sudah berpuasa selama tujuh hari baru dua hari saya mengunjunginya. Itupun atas ajakan kawan. Apabila sudah ke sana sudah tentulah pelbagai menu yang ditawarkan. Dari lauk-pauk hinggalah juadah pencuci mulut kuih-muih. Beraneka.


kredit gambar daripada google


Ada pula yang tidak suka ke bazar Ramadan. Mereka ini tidak suka bersesak-sesak.

Namun begitu terpulanglah kepada kita untuk membuat pertimbangan. Jangan buat pertimbangan mengikut hawa nafsu. Bagaimana pula dengan harga yang ditawarkan? Ada yang mengatakan bahawa makanan yang dijual di bazar Ramadan sedikit meningkat harganya berbanding pada hari-hari biasa. Justeru, kita sebagai pelanggan berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

*PM umumkan penjawat awam akan memperoleh bonus hari raya setengah bulan gaji. Terima kasih PM Malaysia.

Khamis, 26 Julai 2012

Cerpen: Memerdekakan Ramadan di Harmoni


Cerpen yang boleh dikatakan terkini dari saya adalah MEMERDEKAKAN RAMADAN. Cerpen ini tersiar di HARMONI, edisi 15-30 Julai 2012. Kepada sesiapa yang telah membacanya saya ucapkan terima kasih. Kepada yang belum bolehlah dapatkan di kedai-kedai yang berhampiran. Jika ada yang ingin kemukakan cadangan, pandangan amat dialu-alukan.


Cerpen ini menggunakan watak RAMADAN untuk mewujudkan plot cerita. Sudah tentulah kisahnya berputar dalam bulan Ramadan. Saya sifatkan cerpen ini santai, tetapi mampu menggugah rasa dan mendidik jiwa. Apakah amalan yang selalu dilakukan pada bulan Ramadan? Semuanya saya tuangkan dalam cerpen ini secara ringkas. 

Judul cerpen ini MEMERDEKAKAN RAMADAN. Jadi pasti ada yang hendak dimerdekakan. Untuk mengetahuinya, ikuti cerpen ini di Harmoni. 

*Terima kasih editor yang menyiarkan cerpen ini. 

Selasa, 24 Julai 2012

Benarkah Tiket Balik Raya Sudah Habis?


Hari ini dalam HARIAN METRO ada melaporkan cerita tiket bas untuk balik berhari raya nanti. Dikatakan tiket bas untuk hari raya nanti sudah mula dijual seawal 30 Jun 2012. Kebanyakan tiket yang menjadi rebutan adalah antara 16 hingga ke 19 Julai 2012. Tarikh yang kritikal agaknya. 

Alamak, saya belum beli lagi. Macam mana ni? Cadangan saya untuk ke Pudu Sentral pada hari sabtu ini. Mujur kawan saya memberitahu yang dia akan ke Pudu Sentral malam ini untuk membeli tiket pulang ke Pulau Pinang. Saya kirimkan sahaja padanya. Harap-harap adalah. 

Kebanyakan tiket bas yang dilaporkan habis adalah untuk perjalanan ke Pantai Timur. 

Harap-harap juga penjual tiket tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tiket sewenang-wenangnya. 

Ahad, 22 Julai 2012

Ruangan Ulasan Buku di Mingguan Malaysia


Adakah anda sedar yang Mingguan Malaysia mempunyai ruangan baharu? Ruangan itu diberi nama Ulasan Buku. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyumbangkan ulasan buku yang dibaca bolehlah berbuat demikian. Kirimkan kepada emel yang tertera. 

Moga ulasan buku tersebut dapat dikongsikan dengan pembaca. Barangkali ada yang tidak sedar yang buku dibaca anda itu berada di pasaran. Siapa tahu, setelah membaca ulasan buku anda itu menarik minat pula pembaca-pembaca di luar untuk mencarinya. 

*Entah kenapa ya, karya-karya Faisal Tehrani menjadi tumpuan. Sehingga hendak diharamkan. Mengapa tidak sebelum diterbitkan dikaji, tapis dahulu. Tidaklah setelah diterbitkan macam-macam bunyinya. 

Bersabarlah Faisal Tehrani. Anggaplah ini semua dugaan. Selalunya buku yang 'bermutu' akan menjadi sasaran.

Jumaat, 20 Julai 2012

Ramadan Al Mubarak


Sedar tidak sedar Ramadan al Mubarak bakal menjelma. Esok. Cepatnya. Namun sudah bersediakah kita untuk menerimanya? Yang pastinya biarlah Ramadan pada tahun ini lebih bermakna daripada Ramadan lepas. Dengan kata lain, amalan yang dilakukan pada tahun ini lebih daripada Ramadan lepas. Pahala yang dikumpul pada tahun ini lebih daripada tahun lepas.

Pagi nanti bangun bersahur. Moga tidak merungut disiang harinya lapar dan dahaga. Selalunya hari pertama memang mencabar. Jika lepas, sudah tentu hari-hari berikutnya akan lancar. Insyaallah. Setiba sebelah petang, tentu ramai yang mengambil kesempatan untuk ke bazar Ramadan. Boleh, bukan tidak boleh. Semasa berbelanja biarlah berhemah. Kawal nafsu. Agar tidak membazir.

Ramadan tahun ini saya melaluinya seorang diri di rumah sewa. Agak sedih.

Selamat menyambut Ramadan al Mubarak saya ucapkan kepada pengunjung blog Tetamu Istimewa dan seluruh umat Islam di dunia ini.

Rabu, 18 Julai 2012

KSSR Bahasa Malaysia Tahun 3-2012

Cikgu-cikgu yang bakal atau akan mengajar Tahun 3 bagi 2013 sedang sibuk sekarang ini. Pertamanya sibuk menghadiri kursus KSSR atau Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Saya juga tidak terlepas. Alhamdulillah kursus yang diadakan 4 hari sudah hampir ke penghujungnya.

Pelbagai persoalan yang timbul sekarang ini. Benarkah KSSR rumit dan susah? Dengan PBSnya lagi.Wah, nampaknya tugas guru semakin mencabar!

Memang susah untuk menghadam kursus baharu yang dihadiri tetapi setelah mengaplikasikannya dan melakukan praktikalnya nanti saya rasa akan lebih jelas. Dalam kursus kami diajar membina RPH dan pembinaan intrumen untuk menilai murid (evidents).

Apa yang boleh saya katakan: tunggu dan lihat.

Isnin, 16 Julai 2012

Cerpen: Dangai Ramadan di Wanita

Alhamdulillah, cerpen saya terpilih sekali lagi untuk disiarkan di majalah WANITA keluaran Julai 2012 sempena bulan Ramadan. Sudilah dapatkan majalah tersebut untuk menikmati Dangai Ramadan. Barangkali ada yang tidak mengenali kuih ini. Bagi yang mengenalinya tetapi tidak tahu membuatnya bolehlah membaca cerpen ini. Saya tidaklah menjelaskan secara terperinci sangat akan hal pembuatan kuih ini tetapi secara tidak langsung memberi gambaran secara ringkas. 


Cerpen ini jika tidak silap saya hasilkan pada tahun lepas. Tetapi tidak bernasib baik untuk disiarkan. Barangkali rezekinya di sini di majalah WANITA. Terima kasih kepada editor WANITA.



Cerpen ini bukan sahaja membongkar pembuatan kuih dangai yang saya rasa sangat popular di Kedah tetapi memperjuangkan martabat kaum wanita yang berstatus balu. Bukan janda. Ramai yang masih terkeliru sekaligus menimbulkan fitnah. Nauzubillah. Untuk mengetahui cerita selanjutnya dapatkan majalah WANITA, Julai 2012 sekarang.

Ahad, 15 Julai 2012

Hari Kemenangan Seorang Graduan






Ayah, saya, ibu, kakak ipar
Konvokesyen bagi saya adalah hari kemenangan bagi seorang graduan. Setelah menempuhi segala cabaran akhirnya berjaya menamatkan pengajian. Ini merupakan konvokesyen saya yang kedua. Setelah yang pertama saya berjaya mengenggam ijazah dari Universiti Putra Malaysia.

Ramai juga rakan-rakan yang bertanya, "bukankah kau sudah konvo?"

Untuk pengetahuan juga saya mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah KPLI selama setahun di Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis, Perlis sejurus menamatkan ijazah di UPM. Kini sudah bertugas sebagai seorang guru di SJK(C) Choong Chee, sebagai guru bahasa Melayu.

Berbalik kepada hari konvokesyen tersebut, saya merasakan sambutan konvokesyen di UPM lebih meriah. Barangkali kerana di sini tiada Pesta Konvo. Mungkin ada yang tertanya-tanya juga kenapa saya tidak memakai topi. Untuk Diploma Pendidikan memang tidak ada topi.

Kepada yang tidak dapat bunga daripada ibu bapa mahupun keluarga usahlah berkecil hati. Kasih sayang mereka, kehadiran mereka lebih bermakna dari sejambak bunga itu. Saya pernah menulis sebuah puisi akan hal ini. Bersama-samalah kita menghayatinya.


Bunga Sejambak di Konvokesyen

Langit konvokesyen terbentang lagi
terbuka gerbang percikan meriah
graduan berjubah bertopi megah
menggenggam segulung ijazah.

Di horizon senja terpalit duka
di bawah pohon rhu di depan dewan
ibu teresak sendu
ayah menggalas pilu
sebentar lagi
siswa siswi melangkah gagah
di tangan ibu di wajah ayah
tiadakan bersambut bunga sejambak itu.

Melihat istiadat menyerah bunga
pada anak kesayangan
membalikkan kecewa pada kedua orang tua
mereka hanya mampu hadiahi
kucupan hangat tanda sayang tak pernah pudar.

Kata anak itu:
kaulah bunga ayah
kaulah harumnya ibu
buatku yang tak terhingga
tanpamu di sisi apalah makna
nikmat kejayaan ini.


Mohd Helmi Ahmad

HARIAN METRO-25 OKTOBER 2011

Jumaat, 13 Julai 2012

Hari yang Memberi Seribu Wajah

Syukur alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan lancar. Tamat. Setelah bercuti dua hari dari persekolahan iaitu pada 11 dan 12 Julai 2012 hari ini saya meneruskan kerja sebagai pendidik yang 'sah'. Hari yang memberi seribu wajah iaitu konvokesyen telah selamat dilangsungkan di Dewan Sri Siantan, Perbadanan Putrajaya.

Keluarga dari Kedah turut memeriahkan suasana. Terima kasih.

Esok, suatu program motivasi Bahasa Malaysia untuk murid UPSR akan dilangsungkan. Sebenarnya diri ini agak letih, namun demi tugas saya akan laksanakan sebaik mungkin.

Kemudian minggu depan bermula 16-19 Julai 2012, saya akan mengikuti kursus KSSR untuk tahun 3 bagi tahun 2013 pula. Nampaknya tugas sentiasa menanti. Itulah  kerjaya seorang guru.


Isnin, 9 Julai 2012

Koleksi Buku: Inspirasi Cinta

kredit gambar dari web ITBM

Hujung minggu lepas saya sempat ke Jalan TAR. Hajatnya untuk mencari majalah Dewan Masyarakat tetapi belum ada di pasaran. Belek punya belek terjumpalah Inspirasi Cinta. Sebelum ini ada juga terserempak di laman web. Kini sudah berada di tangan. Jadi Pengakuan Penyair terpaksa mengalah dahulu. Harganya pun boleh tahan. Sebab itu tak jadi hendak beli dua-dua sekali. 

Ini saya petik dekat blur belakang Inspirasi Cinta: 


“Inspirasi” adalah suatu daya punca ilham yang mempengaruhi kehidupan.  Manakala “cinta” merupakan suatu rasa suci yang sudah tersemi dalam sanubari semenjak dari azali. Apabila kedua-duanya bersatu, lahirnya sebuah manisfestasi dan kenikmatan inspirasi serta cinta yang sebenar di dalam jiwa manusia.


Inspirasi Cinta ini adalah luahan dan rakaman rasa yang disadurkan penuh kreatif oleh pengarangnya, menjanjikan seribu satu rasa.  Unjuran realisme dalam kehidupan yang melatari hampir keseluruhan cerpen dalam naskhah ini mencuit jiwa halus untuk merasa dan berada dalam kehidupan silamnya.


Inspirasi Cinta, bukan cinta biasa-biasa… malah cinta yang mampu mencabar kebiasaan. 


*Impian saya hendak juga terbitkan kumpulan cerpen. Sudah kumpulkan tetapi tidak tahu lagi hendak hantar ke mana. Hendak cuba juga dengan ITBM

Ahad, 8 Julai 2012

Cerita Pendek di BH Ahad




Perhatikan perbezaan kedua-dua info tentang ruangan kreatif iaitu cerpen di Berita Minggu atau kini dinamai BH Ahad. Daripada 150 baris perlu dikurangkan hingga ke 110 baris. Nampaknya selepas ini penulis-penulis dinasihati supaya tidak membebel-bebel dalam cerpen yang dihasilkan. Nama pun cerpen atau cerita pendek. Perlulah ringkas dan padat. Ruangan pun sudah semakin sendat dan terhad.


*kredit gambar daripada BH Ahad dan Berita Minggu

Editor yang Profesional

kredit gambar dari wikipedia

Saya memuji sikap editor yang profesional. Selama saya menjadi penulis eceran, pada tahun ini ada beberapa orang editor yang mana karya (cerpen) yang saya hantar dipulangkan semula untuk disunting sendiri penulis kerana kekangan yang dihadapi. Antaranya tidak cukup ruang, sukar untuk memasukkan ilustrasi (kerana terlalu panjang). Saya menghormati mereka ini. Ada pula sebaliknya.

Khamis, 5 Julai 2012

Kesabaran

Cukup mudah mengeja aksara kesabaran
apatah lagi untuk menyebutnya.
tetapi
cukup sukar untuk memahami maknanya
apatah lagi mendidiknya
untuk lebih dekat dengan diri
agar sebati dan bersatu dalam jiwa.
(Menjadi seorang guru perlu banyak bersabar
dengan kerenah anak-anak murid
rutin seorang guru
rakan sejawat
ibu bapa
pihak atasan
dan bermacam-macam lagi)
malah paling dituntut bersabar dengan diri sendiri

Ahad, 1 Julai 2012

Cabaran Pengisian Halaman Sastera di Berita Harian


Hari ini sesiapa sahaja yang membeli surat khabar Berita Harian tentu perasan akan perubahan yang berlaku terhadap akhbar ini. Kini sudah dijenamai dengan BH. Jika hari ahad dikenali dengan Berita Minggu tetapi kini sudah dikenali dengan BH Ahad.

Tahniah Berita Harian yang meraikan 55 tahun usia penerbitannya. Bahkan nampak perubahan yang cuba ditampilkan untuk memenuhi kepuasan pembacanya.

Siapa cakap rakyat Malaysia tidak membaca? Jika tidak masakan akhbar Berita Harian sahaja dicetak 150 000 sehari untuk bacaan rakyat Malaysia.

Saya tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Salbiah Ani. Antaranya:





*Ayuh penulis-penulis muda, jangan malas untuk menulis. Jangan malas untuk berfikir. Jangan malas untuk berkarya menyatakan pendapat. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78