Pengikut

Jumaat, 31 Oktober 2014

e-GTukar Semakan Pertukaran Guru Sesi Januari 2015

Assalamualaikum.

Pemberitahuan

Terkini  
Adalah dimaklumkan bahawa Keputusan Permohonan Pertukaran Guru Antara Negeri dan Bahagian Sesi Januari 2015 akan diumumkan pada jam 11.30 malam, 31 Oktober 2014

Keputusan adalah muktamad dan tiada rayuan. 


Keputusan penempatan pertukaran guru yang telah lulus akan diumumkan pada 7 November 2014. 

Harap Maklum. 


SILA AMBIL PERHATIAN 
BAHAWA PERTUKARAN YANG DILULUSKAN TIDAK BOLEH DIBATALKAN. 

Statistik Pertukaran Guru Antara Negeri bagi Sekolah Rendah Sesi Januari 2015


Kepada guru-guru yang membuat permohonan semoga berjaya.


Ahad, 26 Oktober 2014

SAPS Semakan Ibu Bapa Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun 2014

Assalamualaikum.

Selamat berhujung minggu saya ucapkan kepada rakan blogger. 

Pejam celik, pejam celik sudah ke akhir tahun kita. Sesi persekolahan juga tidak lama sahaja lagi bakal melabuhkan tirai bagi tahun 2014. Pada minggu depan saya kira setiap sekolah sibuk menjalankan Peperiksaan Akhir Tahun 2014

Sekolah saya telah selesai menjalankan Peperiksaan Akhir Tahun 2014. Cikgu-cikgu pula sibuk menanda kertas peperiksaan. Kemudian memasukkan markah murid dalam Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS).



Kepada ibu bapa yang hendak menyemak Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun 2014 anak masing-masing, boleh buat semakan di sini. 


SAPS memudahkan ibu bapa memantau prestasi anak-anak. Sebarang penipuan dan manipulasi markah peperiksaan dapat dipantau oleh ibu bapa sendiri melalui SAPS.

Tidak lama lagi, guru Tahun 5 akan berhadapan dengan ibu bapa ataupun waris murid Tahun 5 dalam satu majlis permuafakatan. Tujuan majlis ini diadakan untuk membentangkan keputusan peperiksaan TOV murid Tahun 5 dan perancangan tahun 2015 untuk menghadapi UPSR

Program sebegini dilihat mampu mengembleng tenaga dan memupuk kerjasama antara guru dan ibu bapa, sekali gus dapat membantu meningkatkan prestasi murid. 

Walau apa-apapun, ibu bapa boleh membuat semakan keputusan peperiksaan Akhir Tahun 2014 terlebih dahulu melalui Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah SAPS - Semakan Ibu Bapa.


Rabu, 22 Oktober 2014

Mobilebookcafe Jelajah ke Sekolah

Assalamualaikum.

Dahulu tentu kita memberi alasan tidak membaca kerana sukar untuk mendapatkan buku dan tidak ada masa ke kedai buku. Hari ini dengan kesungguhan dan kemudahan yang ada, segala-galanya mungkin terjadi. 

Semua pihak harus memberikan sokongan pada Mobilebookcafe dalam usaha membudayakan amalan membaca dengan siri jelajahnya ke sekolah di Malaysia.

SK Chini 2, Felda Chini, Pahang



SMK Langgar, Alor Setar, Kedah


Jadual Mobilebookcafe Bulan November


Untuk mendapatkan lebih banyak maklumat boleh klik Mobilebookcafe.

Bangsa Membaca Bangsa Berjaya.

Isnin, 20 Oktober 2014

Buku Panduan Menulis Novel, Cerpen dan Puisi

Assalamualaikum.



Menulis bukanlah satu kerja mudah. Menulis juga perlukan ilmu. Ilmu yang bagaimanakah yang diperlukan untuk menulis? Apakah ada buku berkaitan ilmu penulisan? Pada awal pembabitan saya dalam bidang penulisan, saya tidak banyak membaca buku panduan menulis. 

Seingat saya, hanya sebuah dua sahaja yang pernah saya ada. Sebab itulah, saya tidak dapat menyenaraikan dengan lebih panjang apabila ada calon penulis yang bertanyakan pada saya tentang buku panduan menulis novel, cerpen dan puisi yang boleh beliau gunakan untuk menulis. 

Saya lebih suka menjadikan karya siap tidak kiralah novel, cerpen dan puisi sebagai "buku" panduan yang terbaik untuk saya mempelajari sesuatu daripada karya tersebut. Melalui karya tersebut, penulis boleh menganalisis tentang tema, persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, nilai dan pengajaran, malah pemikiran yang hendak disampaikan. Jauh daripada itu, banyak yang boleh dipelajari oleh calon penulis mahupun penulis muda apabila membaca karya yang tersiar atau sudah terbit tidak kira dalam bentuk buku ataupun eceran. 

Walau bagaimanapun, adalah lebih baik dan perlu kepada calon penulis yang baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan untuk mendapatkan buku panduan menulis untuk memberi serba sedikit tentang ilmu menulis dan bentuk penulisan novel, cerpen dan puisi

Dalam kesempatan itu, setelah hampir enam tahun menulis kini saya berpeluang untuk mendapatkan beberapa judul buku panduan menulis yang termasuklah novel, cerpen dan puisi. Biarpun saya tidak menulis novel, namun saya katakan tidak rugi untuk saya mendapatkan ilmu. Bentuk dan langgam novel dan cerpen tidak banyak perbezaannya berbanding puisi. Siapa tahu suatu hari nanti saya mampu menerbitkan novel pula. 

Pada satu ketika buku panduan menulis novel, cerpen dan puisi banyak diterbitkan untuk membantu calon penulis menulis. Buku panduan menulis itu pula ditulis oleh penulis yang mahir dalam bidang tersebut. 

Antara penulis yang banyak menerbitkan buku panduan menulis ialah Allahyarham Othman Puteh. Setelah pemergian beliau, seolah-olah dunia kesusasteraan negara agak suram terutama dalam pengembangan bakat-bakat remaja dan penerbitan buku panduan menulis. Allahyarham lebih cenderung dalam pengembangan sastera remaja

Buku panduan menulis novel, cerpen dan puisi yang sempat saya miliki ialah, Persediaan Menulis Novel, DBP cetakan 1992, Penulisan Cerpen-Visi dan Langgam, DBP cetakan 1993, Persediaan Menulis Cerpen, DBP cetakan 1988 dan 1991. Selain itu, calon penulis juga boleh mendapatkan buku Persediaan Menulis Sajak, DBP, 1987 oleh Rahman Shaari dan buku Kreativiti dalam Penciptaan Karya Sastera, DBP 1996 oleh Hizairi Othman. 

Sememangnya agak sukar untuk mendapatkan buku terbitan lama ini. Namun begitu, boleh diikhtiarkan untuk mencarinya. Boleh juga mencari buku panduan menulis novel, cerpen dan puisi terbitan baharu dalam pasaran. Selamat membaca dan selamat menulis!

Jumaat, 17 Oktober 2014

Penjelasan Berkenaan Cuti Sekolah Sempena Hari Deepavali 2014

Assalamualaikum.



Deepavali pada tahun ini ditetapkan pada hari Khamis bersamaan 23 Oktober 2014. Ada yang boleh bersorak gembira apabila bakal bercuti selama seminggu. Ada pula masam sahaja kerana cuti hanya sehari

"Sekolah anak kawan saya cuti seminggu, kenapa sekolah anak saya cuti sehari sahaja?" 
Apa nak jawab? 

Begini, pada hari Deepavali iaitu 23 Oktober 2014, sekolah akan bercuti selama sehari. Pada sekolah yang bercuti selama seminggu itu disebabkan kerana sekolahnya telah memohon cuti berganti dan cuti perinstiwa

Hal ini bermakna, sekolah tersebut telah dan akan bersekolah ganti sempena percutian pada 20 hingga 22 Oktober 2014. Pada hari Jummat pula, sekolah tersebut telah memohon cuti peristiwa. Jadi, dapatlah mereka bercuti selama seminggu pada minggu depan. Harap maklum.

Khamis, 16 Oktober 2014

Pertukaran Buku Sesama Penulis

Assalamualaikum.


Buku dan penulis ibarat kawan rapat. Tidak ada penulis yang tidak sukakan buku. Namun begitu, orang yang suka membaca tidak semestinya, penulis. Tetapi, penulis harus menyukai buku. Dalam cara mana penulis menyukai buku dapat diukur dengan melihat kesungguhan dan kerajinannya membaca, keterujaannya apabila ke kedai buku malah kekerapannya mengunjungi perpustakaan ataupun kedai buku.

Walau bagaimanapun, semenjak saya berkejaya saya lebih suka membeli buku daripada membuat pinjaman atau mengunjungi perpustakaan untuk membaca. Hinggakan, keghairahan saya membeli buku melebihi keghairahan saya membeli sesuatu benda lain. 

Setelah buku pertama saya terbit, Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa, ITBM 2014 saya seboleh usaha untuk "memasarkan" buku tersebut supaya dapat dibaca lebih meluas. Pelbagai kaedah yang telah saya lakukan demi tujuan tersebut. Antara yang boleh saya kongsikan melalui pertukaran buku sesama penulis

Pada asalnya, idea ini saya baca melalui lontaran daripada seorang penulis mapan iaitu Nawawee Mohamad. Beliau menyarankan tidak kira penulis muda mahupun penulis mapan untuk bertukar-tukar buku demi menyearakkan dunia perbukuan dan pembacaan. 


Oleh itu, saya menyahut saranan itu dengan menyunting beberapa orang penulis untuk menjayakan "program" tersebut. Antara penulis yang terbabit ialah:

1. Nawawee Mohamad - Kumpulan Sajak Remaja: Umpama Mutiara, DBP
2. Zaidin Abadi - Kumpulan Puisi Remaja: Pelayar, Belayarlah, ITBM 2014
3. Nazim Mohd. Subari - Kumpulan Puisi: Sawah di Tengah Kota, ITBM 2014
4. Solihin Osman - Kumpulan Puisi: Membaca Manusia, ITBM 2014
5. Ehsan Jamily - Kumpulan Puisi: Orang Bijaksana, ITBM 2014
6. Ridzuan Kamis - Kumpulan Puisi: Mendambakan Damai, ITBM 2014
7. Kamal Sujak - Kumpulan Puisi: Segelas Kerikil, ITBM 2014

* Antologi Puisi: Payung Negara, Kumpulan Puisi Tradisional: Harga Maruah dan Kumpulan Puisi: Serunai Damai dihadihkan oleh penulis sendiri kepada saya. Terima kasih saya ucapkan.

Ayuh, penulis sekalian bersama-samalah kita menyokong antara satu sama lain. Semarakkan dunia penulisan, pembacaan dan perbukuan di Malaysia. Kepada pembaca pula, sudilah mendapatkan buku kami. 

Selasa, 14 Oktober 2014

Pendokumentasian Karya Melalui Buku

Assalamualaikum.

Pendokumentasian Karya Melalui Buku (Kumpulan Cerpen dan Kumpulan Puisi)



Setiap hari Ahad saya membeli surat khabar Berita Minggu (BH) dan Mingguan Malaysia (MM). Antara tujuannya untuk membaca ruangan kreatif - cerpen dan puisi. Apabila saya menyedari bahawa penulis yang karyanya saya baca secara eceran ini telah memiliki kumpulan cerpen ataupun puisi, saya berasa gembira dan seboleh mungkin akan mendapatkan buku itu. Hal ini merupakan satu kepuasan dalam soal pembacaan.

Kini, industri penerbitan buku sastera yang menerbitkan kumpulan cerpen dan puisi kembali bernyawa (baca komitmen ITBM). Peluang itu pula terbuka bukan sahaja kepada penulis mapan bahkan penulis muda yang konsistens dalam menghasilkan karya yang bermutu hingga mampu menghimpunkan dalam satu kumpulan cerpen ataupun puisi.

Menyentuh berkenaan kumpulan cerpen dan puisi ini, saya melihat bahawa memiliki buku (kumpulan cerpen dan puisi) persendirian merupakan satu fasa pendokumentasian dalam hal kepengarangan seorang penulis.Oleh itu, tidak timbul desas-desus menyatakan bahawa hanya penulis mapan sahaja yang patut ada kumpulan cerpen ataupun kumpulan puisi, tidak penulis muda lagi belia.

Dalam proses penyusunan manuskrip itu pula, bukanlah satu kerja main-main. Sudah pastilah hanya karya yang terbaik sahaja yang dipilih untuk disatukan dalam satu kumpulan buku. Setelah manuskrip siap disusun, itu bukan tiket automatik buku itu diterbitkan. Manuskrip itu sudah pastilah melalui proses penilaian penerbit. 

Jika manuskrip itu lulus, itu bermakna penulis telah berjaya melepasi satu tahap kualiti karya yang ditetapkan penerbit (penilai). Fasa seterusnya, penilaian pembaca (terdiri daripada penulis, pembaca, sarjana). Fasa inilah yang selalunya subjektif dan berbeza-beza pandangannya mengikut latar belakang penilai tersebut.

Sebaliknya jika manuskrip itu gagal, penulis seharusnya meneliti semula sebab musababnya. Adakah manuskrip itu gagal kerana kualiti karya ataupun pemilihan rumah penerbitan yang salah. Dalam hal ini, penulis harus melakukan tinjauan dan kajian terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk menghantar manuskrip untuk diterbitkan.

Pendokumentasian ini amat bermanfaat dalam satu ketika kepada banyak pihak. Bagi pembaca, memudahkan mereka membaca karya penulis tersebut hanya dengan memiliki buku (kumpulan) tersebut. Barangkali sebelum ini, pembaca tidak terbaca karya eceran yang terbit dalam pelbagai media. Tidak terkecuali juga, pada pengkaji dan sarjana untuk meneliti karya seseorang penulis.

Bagaimana pula dengan pendapat anda?

Sabtu, 11 Oktober 2014

Tetamu Istimewa Kini Boleh Dipinjam di Perpustakaan Negara Malaysia

Assalamualaikum.

Lima tahun dahulu tidak terbayang oleh saya untuk memiliki sebuah buku. Dahulu saya hanya menulis cerpen, puisi, dan artikel secara eceran sahaja. Setelah karya itu disiarkan di majalah mahupun surat khabar, hati ini berasa gembira amat. Keterujaan itu hanya penulis sahaja yang tahu. Hingga kini, saya masih merasainya setiap kali karya saya tersiar di media cetak. 

Usaha itu tidak setakat penulisan secara eceran sahaja. Setelah melihat banyak penulis yang sudah ada buku walaupun usianya masih muda, saya terdorong untuk menyusun manuskrip. Manuskrip pertama yang saya susun ialah kumpulan cerpen remaja. Alhamdulillah, setelah lama penantian proses penilaian manuskrip itu, akhirnya lulus dan diterbitkan. 

Setelah Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa terbitan ITBM-2014 diterbitkan, saya mengambil tindakan untuk turut sama membuat promosi buku tersebut. Antaranya, melalui blog dan Facebook. Alhamdulillah, biarpun kadar jualannya tidaklah sekencang mana pun, tetapi masih ada yang sudi memilikinya. Terima kasih saya ucapkan kepada blogger, penulis, orang perseorangan dan rakan-rakan yang telah mendapatkan buku saya ini. 



Menjadi hasrat dan harapan pada penulis untuk memasarkan buku tulisan mereka ke perpustakaan di seluruh Malaysia. Usaha ini bukanlah sesenang yang difikirkan. Bagaimanapun, setelah saya membuat semakan sistem Online Public Access Catalogue (OPAC) Perpustakaan Negara Malaysia. Rupa-rupanya, 12 naskhah Tetamu Istimewa (1 naskhah telah dipinjam - Pinjaman Kelompok) telah ditempatkan di beberapa buah perpustakaan



Paling banyak sekali ialah di Perpustakaan Negara Malaysia. Selain itu, Tetamu Istimewa turut ditempatkan di Perpustakaan Jusco AU Setiawangsa, Perpustakaan Mahkota Cheras dan Perpustakaan Awam Bukit Damansara. Besar harapan saya lagi sekiranya Tetamu Istimewa dapat ditempatkan di Perpustakaan Desa, Perpustakaan sekolah, kolej, universiti di seluruh Malaysia


Kepada pembaca yang ingin membaca Tetamu Istimewa boleh berkunjung ke Perpustakaan Negara Malaysia untuk membuat pinjaman atau membaca di sana. Boleh juga mengunjungi perpustakaan lain yang disebutkan itu. 


Rabu, 8 Oktober 2014

Permohonan KPLI dan DPLI 2014/2015

Assalamualaikum.



Permohonan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) untuk sesi 2014/2015 masih tidak ada sebarang berita ataupun iklan. Saya menjawab beberapa soalan atau pertanyaan daripada pengunjung blog ini yang bertanya tentang permohonan KPLI dan DPLI. 

Pasti masih ramai lepasan ijazah yang berminat untuk menjadi guru tertunggu-tunggu iklan permohonan untuk mengikuti KPLI dan DPLI. Bagaimanapun, graduan harus ingat bahawa KPLI dan DPLI dilaksanakan antara lain untuk menampung kekurangan guru pada satu ketika. 

Namun begitu, setelah Institut Pendidikan Guru Malaysia telah berjaya melahirkan calon guru sekolah rendah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan universiti lain yang menawarkan bidang perguruan terutama untuk sekolah menengah, maka lama kelamaan tawaran untuk mengikuti KPLI dan DPLI dimansuhkan secara peringkat demi peringkat. 

Pernah satu ketika, graduan IPG dan universiti yang mengikuti bidang perguruan atau pendidikan tidak berpuas hati kerana dengan adanya KPLI dan DPLI seolah-olah guru KPLI dan DPLI telah merampas tempat mereka untuk ditempatkan di sekolah. 

Hal ini didakwa telah menyebabkan mereka lambat ditempatkan dan kemungkinan berlaku lambakan guru. Bagaimanapun, graduan harus ingat bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat unjuran terlebih dahulu sebelum membuat penawaran kepada calon guru. Jadi, tidak berlaku siapa merampas tempat siapa dan berlakunya lambakan guru. 

Setelah menjadi guru, berkhidmatlah dengan tekun, jujur dan amanah. 


Sabtu, 4 Oktober 2014

Selamat Hari Raya Aidiladha

Assalamualaikum.



Saya mengambil kesempatan ini 
mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 
kepada seluruh rakyat Malaysia 
yang beragama Islam dan pembaca blog Tetamu Istimewa. 

Saya mohon maaf 
sekiranya selama kita berkenalan di ruang maya ini, 
jika ada salah dan silapnya. 
Sekiranya, tulisan saya ada yang terguris, 
terkasar dan mengaipkan sesiapapun jua, saya minta maaf ya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78