Pengikut

Selasa, 16 Julai 2019

Jasa Komputer Riba Pertama

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera. 



Komputer riba Compaq ini saya beli sewaktu saya belajar di UPM sekitar tahun 2007. Jika tidak silap, saya beli menggunakan duit ayah saya separuh dan selebihnya duit saya.

Banyak jasa komputer riba ini. Dengan komputer inilah saya menyelesaikan tugasan di universiti. Ketika itu saya belum mula menulis karya kreatif. Saya mula menulis karya kreatif selepas saya tamat belajar di UPM.

Saya masih ingat, cerpen saya pernah 'lesap' dek kerosakan yang dialami oleh komputer riba ini. Komputer riba ini juga pernah dibaiki papan kekuncinya. Setelah lama berkhidmat, akhirnya tamat jua riwayatnya.

Namun begitu, saya masih menyimpannya sebagai tanda penghargaannya yang banyak membantu saya menghasilkan karya termasuklah karya yang dimuatkan dalam buku Tetamu Istimewa, Madu di Tangan, Bila Ayah Berkaca Mata Hitam dan sejumlah karya eceran yang lain.

Kini saya menggunakan komputer riba Asus sejak dari tahun 2015. Itu pun sudah ada tanda-tanda yang komputer riba ini perlu dibaiki ataupun meminta saya mencari penggantinya.


#CatatanPenulisanMHA

Khamis, 11 Julai 2019

Teruja Menunggu Buku Baharu

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Perasaan teruja menunggu bungkusan pos laju sampai tidak pernah berkurang walaupun sudah tahu isi di dalamnya.

Hari ini sampai dua bungkusan pos laju yang mengandungi tujuh buah buku ini.

Bagi saya, membeli buku sudah menjadi rutin yang sukar dielakkan.

Buku-buku yang dibeli pada bulan ini:

Memoir
1. Angin Perubahan, DBP 2019 - Jasni Matlani

Kamus
2. Kamus Teknologi Maklumat: Perkakasan, DBP 2019

Novel Kanak-kanak
3. Sinappapal, DBP 2019 (Cet 2) - Azizi Haji Abdullah

Kumpulan Puisi
4. Gurindam Hidup, Pena Subur Enterprise 2019 - Hilmi Rindu

Kumpulan Puisi
5. Setangkai Bunga Wangi, PELITA 2018 - Hilmi Rindu
6. Di Jantung Kebun, Pena Subur Enterprise 2019 - Hilmi Rindu

Antologi Sajak
7. Kita Bertemu Seketika di Luar Taman, Naw K Adis Heritage 2018 - Hilmi Rindu, Lelawati Awang Chik & Wan Ahmad Ismail

~ Saya suka membaca pengalaman penulis sepanjang beliau berkarya. Jadi, buku memoir Jasni Matlani ini pasti merakamkan seribu satu pengalaman yang bermanfaat.

~ Saya telah memiliki novel Sinappapal cetakan pertama. Kali ini saya beli sebagai koleksi peribadi. Nampak edisi kulit cetakan ini lebih memikat.

~ Kali ini saya 'borong' semua buku terkini Hilmi Rindu. Saya suka akan karya yang sederhana tetapi memikat dan mendalam.

~ Kamus Teknologi Maklumat ini saya beli sebagai rujukan untuk mengetahui istilah berkaitan bidang ini.

Saya rasa cukuplah pembelian buku pada bulan ini. Harap-harap tiada lagi buku yang memikat saya untuk membelinya.

#KoleksiBukuMHA #MalaysiaMembaca

Ahad, 7 Julai 2019

Kunjungi Pasar Buku yang Berdekatan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Kunjungi Pasar Buku yang Berdekatan


Selain membeli buku di kedai buku dan pesta buku, para pencinta buku juga boleh mengunjungi beberapa Pasar Buku yang terdekat.

1. PASAR BUKU BANGI

Tarikh: Setiap Sabtu kedua dan keempat
Masa: 10.00 pagi hingga 4.30 petang
Tempat: Perpustakaan Awam Bandar Baru Bangi

2. PASAR BUKU KOTA BHARU

Tarikh: Setiap Sabtu pada akhir bulan
Masa: 10.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: Aras 3, Bazar Tok Guru

3. PASAR BUKU KEDAH

Tarikh: Setiap Sabtu pada akhir bulan
Masa: 9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: Perpustakaan Awam Kedah

4. PASAR BUKU JUMAAT

Tarikh: Setiap Jumaat
Masa: 10.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: Lobi Kementerian Pendidikan Malaysia

Ada lagi tak Pasar Buku lain dan masih beroperasi?

Catatkan pada ruangan komen, nanti saya tambah.
 
#MalaysiaMembaca #CatatanBibliofil #PasarBuku



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78