Pengikut

Khamis, 31 Januari 2013

Wibawa ITBM, DBP dipersoal

Adakah anda semua telah membaca Berita Harian, hari ini? Di ruangan sastera terdapat artikel yang berjudul "Wibawa ITBM, DBP dipersoal"

Saya tidak mahu berceloteh panjang-panjang. Bagi saya ITBM dan DBP telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Selain ITBM dan DBP saya tidak nampak syarikat penerbitan yang sanggup dan mengambil risiko untuk menerbitkan karya kreatif dan sastera terutamanya kumpulan cerpen dan kumpulan puisi persendirian. Tahniah diucapkan kepada ITBM dan DBP. 

Kredit foto (keratan akhbar daripada FB ITBM)

Rabu, 30 Januari 2013

Buku Terbitan ITBM Menjadi Buruan di Pesta Buku 1Malaysia 2013


Pesta Buku 1Malaysia 2013 membuka tirainya hari ini 30 Januari hingga 3 Februari 2013. Wah, tak sabar rasanya hendak pergi. Di Pesta Buku 1Malaysia ini, saya akan memburu buku terbitan ITBM. Pasti! Tak tahulah berapa ringgit akan habis nanti. Sudah lama sebenarnya saya hendak mendapatkan buku terbitan ITBM ini. Antara faktornya, kulitnya menarik, penulisnya hebat dan pasti saya menyatakan bahawa sesiapa yang membelinya tidak akan hampa. Di sini saya senaraikan buku tersebut:

Kumpulan Puisi
1) Nyanyian Luka - Husna Nazri
2) Di Negeri Kalbu - Sutung Umar RS
3) Aku Ingin Berbeka-beka Dengan-Mu - Shapiai Muhammad Ramly
4) Peta Perjalanan - Nassury Ibrahim
5) Ketika Kalbu Bersuara - Nilamsuri dan Nooramalia Hussain

Kumpulan Cerpen
6) Soya Ais Peneram Madu - Shahkang
7) Tangis Buliga - Kathrina Susanti
8) Catatan Cinta Anakanda Bonda - Kamariah Kamarudin
9) Mencari Warna Daun - Juri Durabi
10) Anak-anak Tangga - Chacho Haji Bulah
11) Kuntum Perdamaian - Azmah Nordin

Buku Umum/Sastera
12) Merangkai Kasih Merenda Kata - Marsli NO

Pasti ada yang bertambah nanti.

p/s dari Facebook ITBM: 

Ada 5 sebab anda perlu datang ke gerai buku ITBM:
1- Diskaun pembelian sebanyak 20% untuk semua buku ITBM.
2- Diskaun 30% untuk pembelian buku kelima (5) dan seterusnya.
3- Diskaun 40% untuk pembelian dua (2) buku mewah.
4- Percuma kemeja-T ekslusif untuk pembelian melebihi RM100.
5- Boleh tebus Baucar Buku 1Malaysia.


Selasa, 29 Januari 2013

Fail dalam KSSR

Alhamdulillah, baru sahaja habis mesyuarat untuk guru yang mengajar KSSR bagi tahun 2013. Maknanya, guru tersebut terdiri daripada guru tahun satu, dua dan tiga.

Saya tidak mempunyai pengalaman mengajar KSSR. Jadi agak terpinga-pinga walaupun saya sudah pergi kursus KSSR Bahasa Malaysia untuk tahun tiga sekarang ini. Tetapi belum berpeluang mengajarnya lagi. Sebaliknya, diberi mengajar Pendidikan Kesihatan tahun dua.



Dalam KSSR guru perlu menyediakan Fail Portfolio Guru, Showcase dan Fail Perkembangan Murid. 

1) Fail Portfolio Guru - guru perlu memasukkan Biodata Guru, Surat Pelantikan, Standard Kandungan, Standard Prestasi, Rancangan Tahunan, Jadual Waktu, Borang Transit (borang penyataan evidens dan band).

2) Showcase - guru perlu menyediakan fail showcase bagi setiap kelas yang mana di dalam fail tersebut dibahagikan kepada mata pelajaran. Fail showcase digunakan untuk memasukkan evidens terbaik yang dihasilkan murid. 

3) Fail Perkembangan Murid - Fail ini untuk dimasukkan evidens PBS murid yang telah diuji untuk setiap mata pelajaran. 

Kepada guru-guru yang mengajar KSSR boleh membuat penambahan terhadap maklumat yang saya nyatakan di atas.




Koleksi Buku: Cinta Sekerdip Embun dan Equilibria


CINTA SEKERDIP EMBUN dan EQUILIBRIA merupakan buku terbaharu yang saya beli untuk bulan ini. Namun, kedua-duanya belum sempat saya habiskan. CSE merupakan ANTOLOGI CERPEN PEMENANG HADIAH SASTERA PERDANA 1996-2005. Di dalamnya termuat 51 buah cerpen terbaik sekitar tahun itu.

Equilibria pula merupakn novel yang memenangi tempat kedua Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi 2012 (tiada pemenang untuk tempat pertama). Novel ini ditulis oleh Sri Rahayu Mohd Yusop yang cukup sinonim dengan sayembara. Tahniah diucapkan.

*Ada sesiapa yang melanggan majalah DBP? Majalah untuk bulan Januari 2013 sudah sampai ke belum? Majalah saya belum lagi sampai.

Isnin, 28 Januari 2013

Ulasan Buku: Rakaman Kepengarangan S.M. Zakir di Mingguan Malaysia


Sebenarnya sudah lama saya menantikan ulasan buku ini disiarkan. Saya menghantarnya sekitar pertengahan bulan Disember 2012. Saya ingatkan ulasan ini sudah tidak menarik perhatian editornya, namun Alhamdulillah, pagi tadi apabila saya menyelak Mingguan Malaysia ruangan Ulasan Buku nama saya terpapar pada halaman tersebut dengan judul RAKAMAN KEPENGARANGAN S.M. ZAKIR

Sekali lagi, ulasan saya dipenggal. Rasa tidak sempurna apabila membacanya. Mungkin saya terpaksa akur dengan keterbatasan ruang yang terhad. Setelah saya menghantar dan menunggu ulasan ini disiarkan saya ada melakar sebuah draf untuk buku motivasi seorang pengarang dan juga pensyarah. Namun, usaha itu terhenti. Mungkin semangat untuk menulis agak kurang kerana ulasan ini tidak juga tersiar setelah beberapa minggu menanti.

Selain sebabnya, saya juga sibuk pada penghujung tahun 2012 untuk pulang menghadiri mensyuarat sesi persekolahan 2013. Saya tidak pasti sama ada ulasan yang saya tulis sekerat jalan itu berada di mana. Harapan saya, sewaktu saya balik cuti Tahun Baharu Cina nanti saya akan mencarinya semula dan menyambungnya kembali. Semangat untuk menulis ulasan buku semakin menyala semula setelah ulasan ini disiarkan. Sebenarnya itulah antara sokongan dan semangat yang saya perolehi untuk terus menulis.

Kepada pembaca dan peminat karya S.M. Zakir, sudilah mendapatkan Mingguan Malaysia hari ini 27 Januari 2013. Masih panas di pasaran. Terima kasih.

Sabtu, 26 Januari 2013

Himpunan Guru Muda 1Malaysia di Sabak Bernam


Alhamdulillah, HIMPUNAN GURU MUDA 1MALAYSIA, telah berlangsung dengan jayanya di SMK SUNGAI BESAR, SABAK BERNAM tadi. Seawal jam 7.00 bas kami bergerak dari Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor dan sampai sekitar pukul 9.00 pagi.

Layanan diberikan baik. Makanan disediakan juga cukup. Terima kasih dan tahniah kepada penganjur dan urusetia yang telah melaksanakan tugas dengan baik.

Guru Muda Melonjak Transformasi Pendidikan Negara.


Jumaat, 25 Januari 2013

Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM)

Kepada guru kelas, ayuh kemaskini data murid menerusi APLIKASI PANGKALAN DATA MURID (APDM).

Tarikh tutupnya, esok 25 Januari 2013.

Guru perlu mengemaskini data Murid, Bapa/Penjaga Utama dan Ibu/Penjaga Kedua.

Perhatikan betul-betul, nama (ejaan), nombor kad pengenalan, nombor sijil lahir, status kewarganegaraan dan lain-lain lagi.

Kepada guru kelas yang belum berbuat demikian boleh klik di sini APDM

*Alhamdulillah, saya telah selesai mengemaskininya. Harap-harap tidak ada yang khilaf lagi.

Jadilah Ummatan Wasatan



Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah


"Wasatiah merupakan satu ciri penting dalam Islam yang meletakkan keadilan menjadi rujukan bagi seluruh umat manusia sebagaimana yang telah disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat ke 143"



Salam Maulidur Rasul 1434H





Selasa, 22 Januari 2013

Puisi: Tarian Hujan di Harmoni



TARIAN HUJAN, sebuah lagi puisi saya yang disiarkan di majalah Harmoni edisi 15-30 Januari 2013. Betapa saya agak terkejut kerana puisi ini saya kirimkan lewat tahun 2011. Masih disimpan dalam bank karya majalah ini. Ucapan terima kasih kepada editornya. 

*Kenapalah buku terbitan terbaharu ITBM belum masuk stok di Kedai Buku 1Malaysia. Jika begitu, macam manalah pembaca hendak mendapatkannya. Permintaan ada tetapi penawaran entahlah...
Saya masih mengidam untuk mendapatkan buku:

1-Nyanyian Luka
2-Di Negeri Kalbu
3-Soya Ais Peneram Madu
4-Merangkai Kasih Merenda Kata
5-Tangis Buliga

Baru Terbit
6-Catatan Cinta Anakanda Bonda
7-Aku Ingin Berbeka-beka Dengan-Mu
8-Anak-anak Tangga
9-Mencari Warna Daun
10-Peta Perjalanan

Ahad, 20 Januari 2013

Cerpen: Pulut Warisan Ikatan Hati di Mingguan Wanita



Alhamdulillah, PULUT WARISAN IKATAN HATI telah disiarkan di Mingguan Wanita, edisi 11-17 Januari 2013. Kepada pembaca yang sudah membaca saya ucapkan terima kasih dan bolehlah memberi pandangan. Kepada yang belum membeli dan membacanya, bolehlah berbuat demikian kerana saya fikir, majalah ini masih berada di pasaran.

Apakah yang istimewanya pulut warisan ini? Dan mengapakah pulut warisan ini dikatakan mampu mengikat hati? Untuk mengetahui kisahnya bolehlah mendapatkan majalah ini.

Antara petikan daripada cerpen tersebut:


"Aku masih belum nyanyuk untuk terlupa pekerjaan mereka. Malah atas tiket pekerjaan mereka itulah aku cuba bertindak waras dengan mengusulkan cadangan ini. Tidak bolehkah seorang guru menerima cadangan baikku ini? Doktor sekalipun, pasti dia arif benar akan hal ini."

"Aku sama sekali tidak dapat terima jawapan Kakak Ton. Ungkapan anak masih kecil hanyalah satu alasan. Aku kira Kakak Ton turut tertipu dengan muslihat usia anaknya sendiri. Pernah anak kecilnya itu menghantar pesanan agar aku meluluskan permohonan menjadi teman  Facebooknya. Kecilkah kalau sudah ada akaun Facebook?"



Jumaat, 18 Januari 2013

Kepentingan Pengurusan Bilik Darjah yang Baik

Bilik darjah merupakan kawasan atau tempat yang digunakan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran. Secara asasnya, di dalamnya terdapat papan hitam, meja murid, meja guru, kerusi, papan kenyataan, kipas dan lampu. 

Maka, kepentingan dalam pengurusan bilik darjah amat penting untuk menyediakan prasarana yang baik dalam usaha menyediakan persekitaran yang selesa semasa proses P&P berlangsung. 

Oleh itu, guru haruslah memainkan peranan utama dalam menyediakan bilik darjah yang selesa agar murid dapat belajar dengan selesa dan mudah serta mampu merangsang mereka untuk menimba ilmu dengan lebih berkesan. Perhatikan bilik darjah ini. Bilik darjah ini merupakan bilik darjah untuk tahun satu. 




Saya juga kagum dengan guru kelasnya yang begitu kreatif dalam menguruskan bilik darjah supaya lebih selesa dan ceria untuk muridnya. Tahniah!


Rabu, 16 Januari 2013

Puisi: Saat Bicara Memberikan Pilihan di Tunas Cipta

Selalunya saya akan tahu dahulu karya saya yang tersiar di media sebelum rakan-rakan mengirimkan ucapan tahniah. Namun, tahun ini saya menerima beberapa perkhabaran dahulu daripada beberapa orang rakan penulis mengatakan bahawa karya saya telah tersiar di media tertentu. 


Terima kasih saudara Efandi Yusop antara rakan penulis yang terawal mengirimkan pesanan ringkas mengatakan bahawa puisi SAAT BICARA MEMBERIKAN PILIHAN telah disiarkan di TUNAS CIPTA, Januari 2013

Puisi ini merupakan puisi kedua saya yang disiarkan pada tahun 2013.


Hari Terakhir

Hari ini merupakan hari terakhir saya berkhidmat di SJK (C) Choong Chee. Mulai esok saya akan berpindah ke SK Batang Kali. Moga perpindahan ini sebahagian daripada perancangan-Nya.

hari terakhir
akan bermula
dengan hari pertama.

kenangan
yang manis
akan dirasai
setelah menampi
kepahitan.


Ahad, 13 Januari 2013

Cerpen: Budi Beruk di Dewan Siswa


Alhamdulillah, BUDI BERUK merupakan cerpen saya yang kedua yang tersiar pada tahun 2013. Cerpen ini disiarkan di DEWAN SISWA. Terima kasih kepada editornya.

Cerpen ini saya tukangi pada tahun lepas. Tiga (3) bulan lebih saya menunggu cerpen ini disiarkan. Akhirnya, rezekinya tetap ada. Cerpen ini memaknakan BUDI dalam pelbagai tafsiran. Jadi sudilah membacanya.

Masih ada kekurangan pada cerpen ini. Saya akan cuba perbaiki dan lebih berhati-hati dalam pemilihan diksi, frasa dan ayat. Pengalamanlah yang dapat mematangkan penulisan seseorang penulis.

Sekian.

*Sewaktu pulang dari rumah kawan, saya singgah sebentar di Jalan Tunku Abdul Rahman semata-mata untuk mendapatkan Dewan Siswa, Pelita Bahasa dan Dewan Masyarakat. Tunas Cipta dan Dewan Sastera sudah dilanggan. Jadi perlu bersabar untuk membacanya setelah pulang ke kampung nanti.

Gangguan Emosi

Sebenarnya saya tidak tahu hendak bermula bagaimana. Tetapi saya berasakan saya telah mengalami gangguan emosi. Semalam saya menerima perkhabaran dari guru besar bahawa saya diarahkan berpindah ke sekolah baharu. 

Ketika itu perasaan saya tiba-tiba menjadi tidak tenteram. Setelah saya dapat menyesuaikan diri di sekolah jenis kebangsaan cina, tiba-tiba perlu berpindah ke sekolah kebangsaan. Pengalaman mengajar di SJK (C) belum cukup bagi saya. 

Dalam masa setahun itu, saya masih tercari-cari rentak dan cuba mengaut seberapa banyak pengalaman, alih-alih diarahkan untuk berpindah. Walau bagaimanapun, saya perlu menerimanya dengan reda. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Amin.

Khamis, 10 Januari 2013

Surat Kepada Editor: Melanggan Cara Terbaik di Dewan Sastera




Alhamdulillah, itulah yang mampu saya ucapkan. Terima kasih kepada saudara Efandi yang memberitahu tentang surat saya yang dihantar kepada editor DEWAN SASTERA telah disiarkan untuk bulan Januari 2013. Surat tersebut berjudul MELANGGAN CARA TERBAIK

Dalam surat tersebut, saya menyarakan kepada peminat DEWAN SASTERA agar melanggan majalah ini untuk sekurang-kurangnya menyelesaikan masalah mendapatkan majalah ini (walaupun terdapat rungutan majalah lambat sampai). 

Selain itu, saranan saya agar tempoh langganan majalah turun dipertimbangkan kepada enam bulan dan bukan lagi terhad pada setahun. Cara ini dapat meringankan sedikit kos langganan yang perlu dibayar terutamanya dalam kalangan mahasiswa. Saya kira, harga  langganan majalah pun sudah naik. 

Walau bagaimanapun saya tetap menjadikan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai bacaan wajib dan pilihan setiap bulan. 

*Untuk majalah terbitan DBP bulan Januari 2013, satupun belum di tangan. Harap-harap saya boleh mendapatkannya secepat mungkin.


Selasa, 8 Januari 2013

Artikel: Citra Dialek Kedah dalam Kawin-kawin


Syukur Alhamdulillah, artikel saya berjudul CITRA DIALEK KEDAH DALAM KAWIN-KAWIN telah tersiar di PELITA BAHASA, Januari 2013. Permulaan yang baik bagi saya. Sebenarnya, artikel ini sudah lama saya tulis. Namun, tertangguh. Sewaktu cuti sekolah lepas, saya cuba siapkan dan setelah berpuas hati saya terus mengirimkannya kepada editor Pelita Bahasa. Walau bagaimanapun, saya masih belum melihat artikel ini dalam bentuk bercetak kerana majalah ini belum berada di tangan saya. 

Artikel ini berupa kajian ringkas saya terhadap novel Allahyarham AZIZI HJ ABDULLAH. Novel ini sangat menarik untuk dibaca. Saya melihat dari sudut penggunaan bahasanya yang teradun dalam kepekatan dialek Kedah. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, bolehlah dapatkan majalah ini di pasaran (entahlah, sudah ada ke belum). 

Tahniah juga kepada saudara Mohd Haniff Mohamad Yusoff atas penyiaran dua buah karyanya yang berupa komentar bahasa dan puisi. 

*Masih bekejar untuk menyiapkan beberapa 'kerja penulisan' yang tertangguh. Harap-harap sebelum 28 haribulan ini siap dan dapat dihantar kepada editornya. 

Ahad, 6 Januari 2013

Puisi: Menyerah Putih Cinta di Jelita


MENYERAH PUTIH CINTA merupakan judul puisi saya yang disiarkan di majalah JELITA, bulan JANUARI 2013. Pembukaan yang baik untuk saya. 

Terima kasih kepada editor yang memberi peluang kepada puisi ini untuk dikongsikan dengan pembaca. Ayuh, beli majalah Jelita, bulan Januari untuk membacanya. 

Puisi saya juga turut tersiar bersama puisi Ismail Hashim dan Mohd Adid Ab Rahman. Cerpen pula menampilkan Kenangan Tahun Baru oleh Husna Nazri. Menerusi Jelita, Januari 2013 telah disediakan ruangan baharu iaitu Novel Bersiri dengan judulnya Pulasan Hati oleh Marini Mat Zain. Tahniah kepada sidang editorial Jelita.


Khamis, 3 Januari 2013

Cerpen: Pinang Nan Sebatang di Harmoni


Lembaran baharu 2013 dibuka dengan penuh takzim dan kesyukuran apabila cerpen yang saya tukangi sewaktu cuti sekolah dahulu mendapat tempat di Harmoni dengan judulnya PINANG NAN SEBATANG.

Cerpen ini sudah tentulah mengambil pokok pinang sebagai subjek ceritanya. Namun, perkisahannya bukan semata pokok pinang sebaliknya, falsafah yang hendak disampaikan adalah perjuangan dan pengorbanan. Selain, keazaman seorang pelajar di tahun baharu dan kasih sayang seorang nenek. Serta, benarkah wujudnya lagi penindasan terhadap golongan 'miskin@orang kampung' ini?

Jadi untuk mengetahui siapakah yang berjuang dan siapakah yang berkorban dan terkorban, dan apakah yang terjadi kepada Adin, anda harus membacanya di Harmoni (Harapan saya beli dulu baru baca, nanti tidaklah dikejar oleh tuan punya kedai itu).

*Aduh, susahnya hendak memulakan semula penulisan setelah kembali ke tempat baharu ni. Beberapa buah cerpen yang saya lakarkan (dalam fikiran dan sekerat jalan sudah tulis) belum mampu dilunasi. Peluang penulisan artikel sudah ada, tapi belum bersedia (mental, fizikal dan bahan rujukan) untuk menulis. Harap-harap sempat. (Semuanya bergantung pada diri sendiri).

Rabu, 2 Januari 2013

Penghargaan daripada Seorang Anak Murid


Tiada yang lebih indah bagi seorang guru apabila mendapat penghargaan daripada seorang anak murid. Walaupun bukan meminta untuk diberi hadiah tetapi cukup sekadar ucapan terima kasih. Murid ini ialah murid yang telah mendapat 7A dalam UPSR tahun lepas. Saya berharap, murid ini dan anak-anak murid saya yang lain akan terus berjaya.

"TERIMA KASIH ATAS PENGAJARAN CIKGU"




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78