Pengikut

Rabu, 31 Julai 2013

Cerpen: Makbul di Pagi Lebaran di Jelita


Assalamualaikum semua. Moga sihat dan dapat meneruskan ibadah puasa yang sudah menjengah hari ke 22 ini. Sedar tak sedar, kita sudah berada di hujung Julai. Esok, akan melangkah kita ke bulan baharu, Ogos 2013. 

Menyentuh tentang bulan Ogos, alhamdulillah karya saya berupa cerpen telah terpilih untuk disiarkan di majalah JELITA. Dengan mempertaruhkan judul MAKBUL DI PAGI LEBARAN, sudah tentulah kisahnya berkisar pada hari raya. 

Cerpen ini telah lama saya tulis. Namun rezeki untuk melihat cerpen ini tersiar cepat tidak kesampaian hinggalah cerpen ini tersiar di majalah Jelita setelah dimurnikan semula. Sememangnya rasa gembira itu cukup dirasai setelah berhempas pulas menulis dengan penuh kesungguhan, walaupun melalui jalan yang agak panjang dan berliku. Terima kasih kepada editornya yang memilih cerpen ini.

kredit foto dari FB Jelita

Melalui cerpen ini saya tidak banyak menghadirkan plot yang komplek dan dramatik. Namun perjalanan plot ini sekadar diselitkan dengan unsur kesamaran menjelang hari raya. Sememangnya banyak perulangan kata yang saya lakukan dengan sengaja untuk menimbulkan kesan keterujaan. Barangkali ada yang menganggap cara begini membosonkan, namun saya masih percaya bahawa perulangan itu memaparkan kelainannya. 

Ingin mengetahui apakah yang terjadi dalam penantian ini ikutilah kisah seterusnya dengan mendapatkan cerpen ini di majalah Jelita, yang berharga RM7.00. 


Selasa, 30 Julai 2013

Berfikir Tentang Apa-apa yang Tidak Terfikir



Apabila kita tidak tahu (tidak faham) dan selalu pula bertanya kita akan lebih tahu
(lebih faham) daripada orang yang tahu (faham) tetapi sekadar diam seribu bahasa. 
                                                                                                       


Tidak Kenal Bukan Bererti Tidak Popular

Assalamualaikum semua. 
kredit foto dari mindaajaib.blogspot.com

Apakah perasaan anda sewaktu menjadi murid apabila guru tidak mengenali nama anda dan apatah lagi hendak menyebut nama anda sama ada betul ataupun salah? 

Jika guru tidak pernah menyebut nama anda atau mengenalinya, adakah seseorang itu tidak popular? Atau sebaliknya. 

Namun saya ingin menegaskan bahawa saya cuba bertindak adil dengan menghafal semua murid saya. Bayangkan saya mengajar 3 kelas yang jumlahnya mencecah 100 orang murid. Jika jadual sebelum ini saya perlu berhadapan dengan murid seramai 200 orang murid (mengikut jadual lama yang sudah diubah). 

Oh, barangkali saya perlu mengambil masa untuk mengenali mereka. Saya tidak nafikan kadangkala saya tersilap memanggil nama murid, sedangkan murid itu bukanlah orangnya. 

Kepada murid-murid saya jangan marah ya. Insya-Allah, saya akan cuba mengingati nama anda. 


Isnin, 29 Julai 2013

Menarik dalam BH Hari ini


Sesungguhnya tulisan Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan hari ini mampu menggugah minda pembaca masyarakat Malaysia. Tulisan yang berupa cadangan ini seharusnya difikirkan secara tuntas untuk membina akal budi rakyat Malaysia. Fenomena yang taksub akan budaya hedonisme sekarang ini menular bagaikan kabus yang tidak sedar. 

Lantaran itu, usaha mengembalikan corak fikir dan amalan pembacaan yang berkualiti harus pergandingan usaha yang bersama. Bagaimanapun, pohon diri yang condong dan goyah harus ditegakkan kembali yang mana perubahan yang ingin disuburkan mulanya bercambah dari perdu kendiri. Jika seseorang itu telah selesa dengan apa-apa yang dimiliki dan tidak mahu berubah, pastinya transformasi yang hendak dilakukan agak sukar. 

Dalam tulisan ini, Dr Anwar Ridhwan menyentuh akan kegiatan mengumpul buku yang bernilai sejarah yang mana suatu hari nanti mampu menimbang tinggi khazanah persuratannya. Hal ini kerana usaha mengumpul buku belum menjadi tradisi di negara kita. Faktor ini barangkali disebabkan ledakan "teknologi komunikasi digital berkembang dengan begitu pantas hingga makin mengubah gaya hidup cara seseorang mendapatkan maklumat dan 'membaca'".

Percayakah anda, banyak manuskrip dan buku nadir kita, kini tersimpan di beberapa perpustakaan di negara Eropah seperti England, Belanda, Jerman dan Perancis. Alangkah ruginya kita, jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak memilikinya apatah lagi membaca.


Melahirkan Seorang yang Patriotisme

Assalamualaikum semua. Syukur alhamdulillah, hari ini masih kita diberi kesempatan untuk menghela nafas dalam bulan Ramadan yang mencecah 20 hari kiraannya. 

Pada hari ini juga sekolah saya telah melancarkan Program Patriotik sempena Bulan Kemerdekaan yang akan menjelma tidak lama sahaja lagi. 


Seperti biasa, pelancaran ini melibatkan persembahan murid dan nyanyian lagu patriotik sambil mengibar bendera. 

Sewaktu acara pelancarannya itu tadi satu simbolik telah dilakukan yang mana guru besar telah melepaskan tiga ekor burung yang berada di dalam sangkar (saya tak sempat nak ambil gambar). 

Melalui program ini pelbagai aktiviti yang dirancang. Antaranya, deklamasi sajak, pertandingan melukis poster, pertandingan menghias kelas, pertandingan pantomin, pertandingan menghias kereta, basikal dan motosikal dan beberapa aktiviti lagi. 

Diharapkan melalui program ini dapatlah memupuk sikap cintakan negara dalam kalangan murid. Sememangnya sekolah menjadi medan terbaik untuk mengasuh dan membentuk jati diri murid sejak dari kecil lagi. 

P/S: Kerana saya guru kelas, murid sudah bertanya bila nak hias kelas?

Ahad, 28 Julai 2013

Sesuatu yang Tidak Biasa Akan Menjadi Luar Biasa Walaupun Sesuatu itu Biasa-biasa Sahaja

Assalamualaikum semua.

Pada hujung minggu, sekali lagi saya berkesempatan berbuka puasa bersama rakan di Senawang, Negeri Sembilan. Kemudian, rakan saya mengajak saya menikmati Sate Tulang

Pernahkah anda mendengarnya? Pernahkah anda menikmatinya? Mungkin anda pernah menikmatinya walaupun bukan di Senawang. 

Tulang ini bukan sebarang tulang. Saya kurang pasti bahagian mana yang dijadikan sate. Tetapi, sedap sekali. Namun begitu, perlulah berhati-hati makan, takut tercekik pula.


Kemudian, semalam hanya bersahur dengan Big Apple yang dibeli di The Mines, Serdang.


Sesuatu yang tidak biasa akan menjadi luar biasa walaupun sesuatu itu biasa-biasa sahaja. 

Transformasi Kulit Dewan Sastera

kredit foto dari Facebook DS
Assalamualaikum semua. 

Sememangnya hujung minggu merupakan hari untuk kita berehat. Barangkali ada yang mengambil kesempatan ini untuk membuat persiapan raya dan sebagainya. 

Pertama kali saya melihat kulit Dewan Sastera, Ogos 2013 ini sesungguhnya menghadirkan keterujaan pada saya. Kualiti foto, reka letak dan penataran imej yang sangat baik. Walaupun sekadar basikal buruk yang menjadi subjek penghiasan, namun nilai di sebalik basikal tua ini yang harus diberi perlambangan tinggi. 

Tahniah kepada editorial Dewan Sastera yang bekerja keras untuk meningkatkan kualiti kulit sekaligus merangsang minat pembaca untuk membelinya. Tidak dilupakan juga, tahniah diucapkan kepada penulis yang karya mereka tersiar di sini. Sememangnya, bukan senang hendak menembusi tembok penyiaran Dewan Sastera.

Kepada yang beminat boleh membelinya di kedai buku dan sewaktu dengannya. Kini, agak mudah untuk mencarinya, berbanding dahulu. Dan, saya pula akan menunggu majalah langganan saya sampai. 

Sabtu Tanpa Plastik?

kredit foto dari putri-roh.blogspot.com
Assalamualaikum semua. 

Hari ini sudah masuk hari yang ke 18 kita berpuasa. Alhamdulillah, kita masih bersemangat untuk menjalani ibadat ini dengan penuh ketakwaan. 

Sudah tentu masyarakat kita akan mengambil kesempatan pada hari ini untuk membuat persiapan raya. Jadi yang pergi membeli belah di pasar raya, terutamanya lebih baik bersiap sedia dengan membawa beg plastik sendiri. 

Mengapa saya berkata begitu? 

Pernahkah anda mendengar kempen Hari Tanpa Plastik pada hari sabtu? Jika ya, bagaimanakah dengan sambutannya? Berjaya ataupun tidak? 

Kempen ini dijalankan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik di Malaysia kerana beg plastik merupakan bahan yang tidak mudah terurai dan memberi kesan kepada alam sekitar. 

Namun begitu, apa yang dapat saya lihat, kempen Hari Tanpa Plastik sudah bertukar kepada Hari Menjual Plastik. Hal ini kerana, kalau sesiapa yang tidak membawa beg plastik sendiri, jangan risau plastik tetap disediakan. Bagaimanapun, setiap beg plastik yang disediakan akan dikenakan cas 0.20 sen satu. 

Oh, nampaknya cara begini akan menguntungkan peniaga! Percayalah anda, kita lebih suka mengeluarkan 0.20 sen dari membawa sendiri beg dari rumah. Kerana, bagi kita 0.20 sen itu kalau kita keluarkan tidak memberi kesan pun kepada perbelanjaan kita. 

Di mana penguatkuasaannya? 

Jika keadaan ini terus berlaku, kempen ini hanya indah dari khabar.


Sabtu, 27 Julai 2013

Nuzul Al-Quran


kredit foto dari www.cikgudahlia.com

Marilah kita perbanyakan membaca al-Quran 
di bulan yang mulia ini. 

Selamat menyambut Nuzul al-Quran


P/S: Saya terpaksa memperlahankan kadar melayari internet, berblogging, blokworking dan seumpama dengannya. Minta maaf ya kalau saya lambat ke blog anda semua. Insya-Allah, saya akan terjah juga walaupun membaca entri yang sudah lepas. Sudah tiba masanya untuk saya kembali menulis untuk media cetak pula. Hampir sebulan sudah saya tidak menulis karya terbaharu, terutamnya cerpen dan artikel. 

Khamis, 25 Julai 2013

Peringatan pada Musim Perayaan


Dalam kerancakan kita membuat persiapan raya tidak kira di mana pun kita berbelanja, janganlah abaikan keselamatan diri. Pernahkah anda melihat papan tanda peringatan ini? Oleh itu, sebelum berlaku lebih baiklah kita berhati-hati dan beringat sebelum kena. 

Ada yang tahu di mana saya ambil gambar papan tanda ini? Tak lain tak bukan di Jalan Tunku Abdul Rahman. Sebenarnya dah lama saya simpan gambar ni. Pada waktu ini, kawasan Jalan TAR lengang. Maklumlah seawal 9 pagi. 

Apabila kecewa dengan peniaga kedai buku yang tidak membenarkan saya masuk ke kedainya kerana katanya belum buka, walaupun sudah ternganga pintunya saya membawa diri ke susur jalan untuk ke Pudu Sentral. Nampaknya, keterujaan saya untuk membeli buku telah diragut oleh pekedai mamak itu.  

Pesanan ini bukan dibawa oleh gagak yang bertenggek di papan tanda peringatan itu ya. 

Saya pasti, hujung minggu ini akan menjadi waktu kemuncak untuk pengunjung membanjiri Jalan TAR untuk membuat persiapan raya yang tidak lama lagi bakal menjelma.  Oleh itu, saya nasihatkan berhati-hati dengan peragut yang berkeliaran sama ada di luar kedai ataupun dalam kedai. 

Paling penting, jangan teragut dengan lelongan jualan murah yang bakal anda hadapi nanti.


Bonus Berganda kepada Penjawat Awam


Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah, semalam Perdana Menteri telah pun mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Raya sebanyak RM 500 kepada penjawat awam. Bantuan ini adalah untuk meringankan beban penjawat awam dalam membuat persiapan raya nanti. 

Selain itu, Datuk Seri Najib juga turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM 250 kepada pesara kerajaan bagi mengingati jasa mereka selama ini. 

Di samping itu juga, penjawat awam turut menikmati dua kenaikan gaji tahunan pada tahun ini. Segala-galanya ibarat bonus berganda yang harus dimanfaatkan ke arah kebaikan. 

Setimpal dengan itu, diharapkan penjawat awam akan terus meningkatkan prestasi kerja. 


Rabu, 24 Julai 2013

Lebih Seronok di Luar Bilik Darjah?

Assalamualaikum semua. Hari ini hampir di pertengahan kita menjalani ibadah puasa. Berbaki 15 hari lagi, sama-samalah kita menguatkan tekad dan azam untuk berjuang menepis godaan nafsu, bisikan syaitan dan memelihara anggota pancaindera kita dari melakukan perkara-perkara yang dilarang sekaligus membatalkan puasa. Di samping itu, kita juga dituntut melibat gandakan amalan ibadat.

Keduanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada blogger semua yang sentiasa menyokong setiap entri yang diterbitkan di blog ini. Paling ketaranya apabila entri yang dikongsikan itu, ada pula pelbagai pendapat yang boleh diperdebatkan untuk merancakkan budaya melontarkan pandangan. 

Berkenaan entri hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di luar bilik darjah yang saya lakukan pada hari ini. Sebenarnya, selain mengajar Bahasa Malaysia saya juga mengajar Kemahiran Hidup. Jadi, P&P yang lebih kepada kemahiran ini nemerlukan kreativiti guru dalam menyampaikannya. 


Hari ini saya mengajar murid saya tentang tanaman hiasan. Terdapat tujuh jenis tanaman hiasan. Antaranya, pokok semusim, pokok renek, pokok naungan, pokok palma, pokok penutup bumi dan pokok menjalar atau memanjat


Oleh itu, saya meminta murid menyenaraikan pokok tersebut dan kemudiannya mencari pokok tersebut di kawasan persekitaran sekolah. Alhamdulillah, kawasan persekitaran sekolah yang ditanam dengan pelbagai jenis tumbuhan hiasan dapat membantu melancarkan proses pengajaran saya yang mana murid berjaya menyenaraikan dan mencari kesemua tumbuhan hiasan tersebut. 


Sememangnya, aktiviti di luar bilik darjah ini sangat dinanti-nantikan murid. Memandangkan, P&P lain kebanyakannya dijalankan di dalam bilik darjah. Namun begitu, guru-guru juga perlu mengawasi murid sewaktu berada di luar bilik darjah. Hal ini demikian, sebarang perkara yang tidak diingini boleh sahaja terjadi. 


Selasa, 23 Julai 2013

Bubur Lambuk atau Kanji?

kredit foto dari kuali.com

Alhamdulillah, semuanya dapat berbuka dengan hidangan yang disediakan. Tidak kisahlah sama ada juadah itu dimasak sendiri, beli di bazar atapun ada jiran tetangga yang menghantarnya. 

Sebut tentang bulan Ramadan, pasti bubur lambuk turut disebut sama seolah-olah bubur lambuk tidak dapat dipisahkan pada waktu ini. Namun begitu, di kampung saya (Simpang Empat, Kangkong-Alor Setar, Kedah), kami tidak menyebut bubur lambuk sebaliknya kanji. Tidak tahulah mengapa dipanggil begitu. Adakah ada perbezaan antara kedua-dua juadah ini. 

Selain dua nama ini adakah ada nama lain?  

Pasti yang membuatkan bubur lambuk atau kanji itu sering disebut-sebut kerana resipinya yang istimewa. Jika anda peminat setia bubur lambuk tentu anda tahu di mana tempat yang menyediakan bubur lambuk yang sedap dan anda tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkannya. 

Setahu saya, bubur lambuk atau kanji akan disediakan secara bergotong-royong di masjid, surau ataupun balai raya. Kemudian, bubur lambuk ini akan diagihkan kepada sesiapa yang berminat. 

Pernahkah anda melihat bubur lambuk di jual di bazar Ramadan?

Menadah Secangkir Ilmu


Assalamualaikum semua. Hari ini sudah masuk hari ke 14 kita menjalani ibadah puasa. Moga, kita tetap teguh untuk meneruskannya hingga ke penghujung. 

Sebenarnya, sudah lama saya mengambil gambar mug ini. Mug ini merupakan pemberian daripada anak-anak murid saya sewaktu sambutan Hari Guru yang lalu. Terima kasih kepada murid-murid tersebut yang sudi memberi cenderamata ini walaupun ketika itu saya masih baharu di sekolah ini. 

Saya tidak menilai berapa harga mug ini, sebaliknya saya sangat terharu apabila mug ini dihulurkan dari murid yang datangnya dari kelas hujung. 

Simbolik daripada mug ini, saya sifatkan mereka ini ingin menadah secangkir ilmu daripada saya untuk mereka teguk sebagai bekalan mencorak kehidupan masa depan. Dan di pihak saya pula, akan sedaya upaya mencurahkan ilmu yang berguna agar ilmu itu tidak menjadi racun, sebaliknya madu untuk mereka memaniskan segala pengalaman yang ditempuhi. 

"Kalau kita bukanlah orang yang suka menghulur, cukuplah kita menjadi seseorang yang tahu menghargai." 

Mengubah yang Biasa Supaya Tidak Menjadi Kebiasaan

Assalamualaikum, semua.

Baca tajuk entri ini pun dah peningkan? Sebenarnya, saya tidak tahu hendak letak tajuk apa, tapi saya berasakan tajuk ini tetap menjurus kepada apa yang hendak saya kongsikan. 

kredit foto dari u-wartawan.blogspot.com


Guru      : Saya nak kamu semua baca petikan tentang Hari Kantin muka surat....
Murid 1 : Cikgu, bukan Hari Kantinlah, Hari Kentin.
Murid 2 : Kenapa cikgu sebut Kantin?
Murid 1 : Cikgu orang mana?

Oh, saya tidaklah terperanjat sangat apabila ada murid yang menegur begitu. Mungkin dia berasakan sebutan saya ini salah, dan sebutan yang disebutkannya itu betul. 

Apabila yang biasa itu sudah menjadi kebiasaan, maka sukar untuk sesiapapun mengubahnya. Namun semenjak hari itu, saya agak tercabar apabila murid itu beranggapan saya ini salah. 

Kemudian, saya meminta murid itu mengeja seperti murid tahun satu. Dan, apabila dia mengeja saya memintanya menyebut seperti apa yang dieja. Nah, sebutannya berubah. Dari Kentin kepada Kantin. Dan, saya bertanya semula kepadanya, antara sebutan saya dengan dia mana yang betul? Dengan tunduk, agaknya malu, dia menyatakan sebutan saya ini betul. 

Di kesempatan itu juga, saya menjelaskan kepada mereka bahawa apabila mereka sudah belajar Bahasa Melayu, biarlah belajar bahasa yang betul. Jangan nanti, mereka salahkan guru kerana tidak mengajar bahasa yang betul. Hal ini berkaitan dengan pembakuan bahasa. Oleh itu, diharapkan guru-guru Bahasa Melayu dapat menjadi contoh terbaik kepada murid dalam pengucapan dan penggunaan bahasa Melayu . 


Ahad, 21 Julai 2013

Edisi 1 + 1


Saya mengenali penulis Bahruddin Bekri melalui blog ini, Keindahan Itu Dingin. Blog ini memuatkan cerita pendeknya yang digayakan dengan bahasa yang cukup sederhana tetapi sangat memikat. Jika anda membacanya sekalipun, pasti akan melekat. 

Cerita pendek yang ditulis adalah berlegar sekitar kehidupan sahaja. Namun begitu, beliau bijak menyampaikannya. Nescaya selepas kita membacanya, pasti kita akan terfikir apa-apa sahaja yang disampaikan. 

Lantas, karyanya menjadi buruan saya. Sebelum ini saya pernah menulis artikel di Dewan Bahasa, tentang Transformasi dalam Pendokumentasian Hasil Penulisan yang mana saya ada menyentuh tentang buku Hidup Penuh Cinta yang memuatkan cerita pendek beliau yang dikumpulkan daripada blognya. 


Buku terbaharu yang saya beli ialah edisi 1+1 iaitu Dunia Ini Sederhana Kecil dan Doa untuk Aku. Doa untuk aku pernah diadaptasi ke drama TV. Sayangnya saya tidak berkesempatan menontonnya. 


Kedua-dua buku ini sangat unik. Digabungkannya dengan cara menjungkir balikkan kedua-dua judul. Pasti, jika anda membacanya di khalayak, orang akan memandang serong kepada anda kerana mereka mengatakan bahawa anda buta huruf kerana membaca buku yang terbalik. Namun dari satu sudut anda seorang yang siuman dan rajin membaca. 

Walau bagaimanapun, teknik ini bukanlah baharu kerana sebelum ini karya Andrea Hirata pernah dilakukan begini iaitu Padang Bulan dan Cinta di Dalam Gelas.

kredit foto dari bloomingedelweiss.blogspot.com  


Sabtu, 20 Julai 2013

Sah, Cuti Berganti 5 dan 6 Ogos 2013!

Assalamualaikum semua, hari ini buat pertama kali saya berbuka puasa bersama rakan-rakan di Bangi. Sudah tentulah suasananya berbeza jika hendak dibandingkan waktu berbuka sebelum ini. 

kredit foto dari ww.utusan.com

Saya pernah menyuarakan tentang cuti berganti pada 5 (isnin) dan 6 (selasa) Ogos untuk memudahkan guru-guru dan murid yang ingin pulang ke kampung halaman pulang dengan selamat. Alhamdulillah, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menawarkan cuti berganti pada sekolah yang hujung minggunya sabtu dan ahad. Kelulusan cuti ini hanya diberikan kepada sekolah yang memohon sahaja. 

Atas pertimbangan dan persetujuan semua, sekolah saya turut memohonya. Itulah yang dimaklumkan oleh guru besar ketika taklimat ringkas diberikan. Sejurus selepas itu saya membuat tempahan tiket untuk pulang ke Alor Setar Kedah pada 2 Ogos 2013 (petang). Kali ini saya tidak mengambil tiket di Pudu Sentral, sebaliknya akan menaiki bas di Batang Kali sahaja. Dan, buat pertama kali juga saya menaiki bas ini. 

Harus diingatkan kepada guru dan murid, agar pada hari cuti berganti itu janganlah pula memohon cuti lagi. Dan, ibu bapa kalau boleh pastikan anak-anak hadir ke sekolah. Sesi pengajaran dan pembelajaran tetap dijalankan seperti biasa. Selalunya waktu cuti berganti ini, sambutannya sangat hambar. Ramai murid yang tidak hadir. 

Jumaat, 19 Julai 2013

Pekasam Pembuka Selera

kredit foto dari www.secubitgaramnor67.com

Saya percaya setiap negeri mempunyai makanan tradisinya. Dan, apabila menyebut makanan tersebut, pasti nama negerinya turut diperkatakan. Bagi saya pekasam merupakan makanan tradisi yang popular di negeri Kedah. Biar sekalipun anda mengatakan bahawa negeri anda juga popular dengan pekasam, saya masih menyatakan bahawa pekasam negeri Kedah tetap yang istimewa. Jangan marah ya. 

Mungkin perbezaan itu terletak pada ikan yang digunakan. Jika di Kedah ikan puyu, haruan, lampam menjadi ikan yang sering digunakan untuk membuat pekasam. 

Di sekolah, seorang guru yang berasal dari Kodiang, ada membuat pekasam. Oh, saya tanpa melepaskan peluang terus menyambar untuk membelinya. Sejak dari hari itu, setiap hari hidangan berbuka saya dihidangi dengan pekasam. Bagi saya, pekasam pembuka selera saya. 

Walau bagaimanapun, saya juga tahu yang ada yang tidak suka akan pekasam. Pertamanya, kerana baunya yang agak kuat. Dan keduanya mungkin menggunakan "ikan darat" (puyu, haruan, lampam). 

Mari Kita Luruskan Saf

Assalamualikum semua. Hari ini melangkah kita ke hari Jumaat yang kedua dalam bulan Ramadan. Sempena hari Jumaat penghulu segala hari, saya menurunkan sebuah puisi yang tidaklah seberapa, tetapi sebagai peringatan kepada diri saya sendiri dan rakan-rakan semua. Puisi ini pernah disiarkan buat pertama kali di Berita Minggu.

Dalam konteks negara kita hari ini, pelbagai isu yang dimainkan. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia dan seumpamnya. Jadi, jika kita sukakan negara yang berpecah-belah, lebih baik tinggalkan negara Malaysia yang aman damai ini. 

kredit foto dari www.utusan.com

MARI KITA LURUSKAN SAF

Mari kita luruskan saf penyatuan
yang semakin membengkok
yang semakin rapuh
bagaikan ular dipukul dipalu.

Mari kita rapatkan saf perpaduan
yang semakin renggang
yang semakin berpecah
tiada lagi kekuatan bertahan
musuh mudah menyerang
dari depan mahupun dari belakang
akhirnya tumbang kesemuanya.

Mari kita bangkit dari lena di siang hari
umat Melayuku umat Islamku
saf keagamaan kita perlu diluruskan
sejadah keluhuran kita perlu dibentangkan
agar segala harta kita terjaga
tidak terampas dalam sedar
agar payung bahasa kita terus berkembang
agar roda ekonomi kita terus berputar
kembali umat kita mengikat tali kekuatan.


Alor Setar, Kedah
28/12/2011
Berita Minggu, 18 Mac 2012


Rasanya puisi ini tidaklah kompleks sangat untuk difahami. Sebab itulah saya kongsikan di sini untuk sama-sama kita fikirkan apa-apa yang hendak disampaikan dan dibandingkan pula dalam konteks negara kita. 


Terima Kasih Daun Keladi

Terima kasih daun keladi saya ucapkan kepada rakan-rakan blogger yang sudi mengunjungi "TETAMU ISTIMEWA". Saya sangat terharu dengan kesudian itu dan ada pula yang rajin meninggalkan komentar tanda respon terhadap entri yang dibaca.


Terima kasih kepada Norhasniza Khalid@mama yang sudi mengajar saya menggunakan printscreen. 

Melihat kepada pageviews blog saya,  dapat saya rasakan ada perkembangan positif berbanding dulu sewaktu mula menulis di blog ini. Alhamdullillah. Biarpun ada sesetangah blog yang mencatat ribuan pageviews dalam masa sehari, namun bagi saya yang masih amatur ini saya tetap bersyukur. Paling penting, apa yang hendak saya sampaikan itu sampai kepada pembaca. Terpulanglah kepada pembaca itu untuk menyebarkannya ataupun tidak.

Tentu anda tertanya-tanya mengapa saya meletakkan nama blog saya "TETAMU ISTIMEWA"? Adakah saya ini betul-betul tetamu yang istimewa yang akan mengunjungi teratak anda? Ataupun propaganda nama semata-mata? Sebenarnya ada sejarahnya. Mungkin saya akan menerbitkan satu entri berkenaan sejarah nama blog saya pada masa akan datang. Insya-Allah. 


Khamis, 18 Julai 2013

Kehendak VS Keperluan

Assalamualaikum  semua. 

Kehendak dan keperluan memberikan takrifan yang berbeza dan harus difahami agar tidak berlaku konflik kejiwaan dalam kehidupan. Menurut Kamus Dewan, kehendak bermaksud hajat, keinginan, kemahuan yang keras. Manakala keperluan pula ialah sesuatu yang diperlukan, keharusan, kemestian. 

Dapatkah kita membezakan antara dua takrifan ini? Jika dapat kita fahami, saya rasa tidak menjadi masalah kepada kita untuk memilih dan memberi keutamaan yang diperlukan. Kehendak hanyalah unsur sampingan untuk memenuhi keperluan. 

kredit foto dari annesophea.blogspot.com
Keperluan merangkumi aspek asas yang diperlukan untuk kita terus hidup, sebagai contoh makanan, pakaian, tempat tinggal. Manakala kehendak adalah seperti pakaian  mewah, rumah mewah, makanan istimewa. 

kredit foto dari eriyza.blogspot.com

Namun begitu, pada zaman teknologi kini, bolehkah kita mengatakan kereta, telefon bimbit, komputer sebagai keperluan yang perlu dipenuhi? Bagi saya, sekiranya sesuatu perkara itu perlu untuk meneruskan hidup yang mana sekiranya tiada perkara atau benda itu kita tidak dapat laksanakan tugas itu merupakan keperluan. Bukan lagi kehendak. 

kredit foto dari satehmpto147.blogspot.com

Sebagai contoh, komputer. Jika jabatan atau pekerjaan yang menggunakan komputer untuk menggerakkan operasi kerja, maka komputer bukan lagi kehendak. Walaupun yang memilikinya orang yang tidak berkemampuan. Mahu tidak mahu dia harus milikinya. 

Oleh itu, sebagai manusia kita harus tahu mengenal pasti, membezakan antara kehendak dan keperluan. Barangkali tafsirannya agak subjektif. Kadangkala kita mengatakan perkara atau benda itu keperluan bagi kita, tidak bagi orang lain yang menganggakan perkara atau benda itu sekadar kehendak. Jadi terpulang pada jalan hidup yang dipilih dan ditempuhi. 

Kalau yang berasakan keliru dan pening dengan entri saya kali ini, sila abaikan. Dan, anggaplah anda tidak pernah membacanya. Sekian.

Mabuk Cinta Keladi

Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari yang kelapan kita berpuasa. 

Sebenarnya saya jarang menerbitkan cerpen saya di blog ini. Namun begitu, ada permintaan rakan blogger yang meminta saya berkongsikan cerpen saya yang pernah disiarkan di media cetak. Jadi, saya bermurah hati di bulan Ramadan ini untuk memenuhi permintaan itu. Cerpen ini sekadar rekaan semata-mata. Oleh itu, contohilah yang baik dan hindarilah yang kurang baik. Selamat membaca. 


MABUK CINTA KELADI
P

ERTEMUAN saya dengannya memang secara kebetulan sahaja. Tidakpun dirancang sama sekali. Semasa saya berjalan-jalan ke bazar Ramadan dia ada di situ. Kelihatannya dia agak sibuk sedikit. Saya tidak mahu mengganggunya.
Saya tidak mengenalinya. Namanya pun saya tidak tahu. Bahkan lagilah di mana tempat tinggalnya. Tetapi hati saya terasa benar untuk menegurnya.  Apabila memikirkan kembali yang saya sudah beristeri lantas perasaan itu patah. Saya sangat sayang akan isteri saya. Dia adalah cinta pertama saya. Tidak tegar untuk saya melukakan hatinya. Sekiranya dia dapat tahu yang saya bermiang di luar tentu sekali hatinya akan remuk.
Hajat saya hanyalah untuk mengajaknya minum-minum sahaja. Tidak lebih daripada itu. Mahukah dia berbual dengan saya? Saya tidak tahu sama ada dia sudah berpunya ataupun tidak. Sudah berkahwinkah dia? Saya juga tidak tahu. Rasanya mahu juga tahu. Tidaklah dikemudian hari ada yang cemburu. Ada yang marah. Apabila sudah berkenalan nanti tahulah saya.
Petang itu cuaca agak redup. Matahari tidak segarang petang-petang sebelum ini. Hanya sekadar bersinar lemah. Pengunjung ketika itu semakin bertimpa-timpa. Keadaan semakin sesak. Sehinggakan untuk menapak kaki pun susah. 
Hati saya berdebar-debar seketika langkahan saya semakin dekat dengannya. Jiwa saya diburu resah. Gelojak jiwa berbalam-balam menyerbu. Pada ketika itu mahu saja saya berpatah kembali. Tidak mahu lagi saya berhadapan dengannya. Namun hasrat saya untuk berkenalan dengannya semakin kuat.
Suaranya serak basah. Barangkali terlalu memekik. Dia terpaksa melaung sekuat hati. Sesekali saya mencuri pandang wajahnya. Perasaan saya juga mengatakan dia juga mencuri lihat wajah saya. Kami masing-masing sudah memandang antara satu sama lain.
“Mari… mari… sayur keladi. Sedap dan lazat!”
kredit foto dari tongpenghulu.blogspot.com
Oh, baru saya tahu selama ini dia menjual sayur keladi! Kenapa dia menjual sayur keladi mengapa tidak menjual sayur yang lebih untung? Mengapa dia harus menjual? Mengapa dia harus bekerja? Tidakkah dia reti berduduk diam? Sekiranya dia berkahwin tentu dia tidak perlu melakukan kerja-kerja itu. Membiarkan suaminya yang bekerja. Sementara dia hanya perlu duduk di rumah sahaja. Menanti suami pulang. 
Argh… mengapa saya harus mempersoalkannya? Saya dan dia tidak ada bersangkutan langsung. Apa hak saya untuk menghalangnya? Siapa tahu yang dia mahu membantu suaminya meringankan beban. Tidaklah suaminya berseorangan sahaja bekerja. Ternyata dia seorang yang ringan tulang. Bertuah lelaki yang dapat memperisterikan dia. Dia seorang isteri yang solehah.
“Abang beli sayur keladi bang. Tentu isteri abang suka nanti.”
Ya…Allah. Saya menjadi gugup. Kaki saya terketar-ketar. Saya telan liur berkali-kali. Saya berhenti di tepi sedikit. Tidaklah jauh daripada meja dia menjual sayur keladinya. Dia terlebih dahulu menegur saya. Dia telah mempelawa saya untuk membeli sayur keladinya. Ternyata dia bukanlah seperti yang saya fikirkan. Dia bukan seorang perempuan yang pemalu. Lemah lembut. Dia mempunyai keberaniaan. Dia begitu ramah.
Lebih memeranjatkan saya lagi daripada mana dia tahu saya sudah beristeri. Setahu saya kami tidak pernah berbual. Kami tidak pernah duduk semeja untuk bercerita hal peribadi masing-masing. Dan saya tidak pernah memberitahunya akan status saya. Diapun tidak pernah menanyakan hal itu. Setelah dia mendapat tahu yang saya sudah berkahwin mahukah dia berkenalan dengan saya? Sambil memikirkan statusnya pun adalah isteri orang. Tentu sekali impian itu akan berkubur.
“Nak berapa bungkus bang?”
Saya sama sekali kaget. Dia mengasak saya. Saya tidak berani memandang tepat ke arah wajahnya. Dari jelingan alur mata saya, saya dapat mengesan serba sedikit bagaimana dia menata hias wajahnya. Gincu di bibirnya agak tebal. Merah jambu warnanya. Keningnya hitam dan lebat. Dia memakai maskara. Pipinya diletakkan bedak alas kemerahan sedikit. Nampaknya dia memang suka berhias. Agaknya mahu menjaga penampilan diri. Saat dia bertanyakan saya, akan jumlah bungkusan yang saya mahu, saya masih lagi terkebil-kebil. Seolah-olah dia memberi layanan istimewa kepada saya. Pada ketika itu masih terdapat dua tiga orang pelanggan yang mahukan sayur keladinya. Mereka terlebih dahulu datang sebelum saya. Sebaliknya perhatiannya masih kepada saya. Adakah ini permulaan baik bagi kami berkenalan?
“Saya tak memaksa.”
Dia sekali lagi bersuara. Seolah-olah dia dapat membaca apa yang saya fikirkan. Bukan saya tidak mahu membeli. Tetapi saya dan isteri saya tidak pandai memakannya. Belum pernah sekalipun isteri saya memasak sayur keladi. Tentu dia juga seperti saya tidak pandai untuk memakannya.
Saya hanya membuka senyuman. Dia membalasnya. Di situ lesung pipitnya terukir. Agak dalam. Saya menggaru-garu kepala. Senyumannya manis. Senyumannya sungguh memikat. Dia melayan pelanggannya dengan baik.
“Maaf bang sudah habis. Lain kali sahaja abang membelinya.”
Begitu cepat jualannya habis. Agaknya sayur keladi yang dijual memiliki ramuan tersendiri. Begitu bisa habis dalam beberapa minit saya berdiri di hadapannya. Dia menyuruh saya datang esok-esok sahaja. Tetapi saya tidak mempunyai masa itu. Saya berkerjaya. Lagipula kali itu kedatangan saya hanya untuk mencukupkan waktu sebelum menunggu masa berbuka. Isteri saya sudah memasak yang enak-enak di rumah. Saya tidak pernah membawa balik sejenis lauk pun untuk dia. Dan dia tidak pernah menyuruh saya membelinya. Dia tidak suka membazir. Dia lebih rela memasaknya sendiri.
Peluang saya untuk berbicara lebih lama dengannya mati di situ sahaja. Dia kelihatan sibuk mengemas barang-barangnya. Mahukah saya menolongnya mengemas? Di rumah saya tidak pernah menolong isteri saya mengemas. Tentu sekali sebentar sahaja lagi suaminya akan datang menjemputnya. Suaminya akan menolongnya mengemas. Suaminya akan mengangkat segala periuk besar dan meja naik ke dalam van atau kereta. Sejurus selepas itu mereka akan berjalan pulang bersama-sama. Dan saya hanya mampu melihat daripada jauh sahaja. Apabila difikirkan akan suasana dan keadaan yang tidak mengizinkan itu saya mengatur langkah meninggalkannya.
Sebelum saya melelapkan mata pada malam itu, wajah perempuan itu sering muncul dalam benak fikiran saya. Dia seolah-olah mahu mendekati saya. Seperti ada perkara yang hendak diberitahu. Tiap kali dia mahu membuka mulutnya, ada seorang lelaki menghampirinya lalu perempuan itu terus lenyap.
Malam itu saya hanya terlelap dengan cerita dongeng itu. Mimpi hanyalah mainan tidur. Pagi itu isteri saya mengejutkan saya untuk bersahur. Seperti biasa saya dan isteri saya sahaja yang bersahur. Sekiranya emak saya atau ibu isteri saya yang datang tentu sekali dapat meramaikan keadaan. Tidaklah kami berdua sahaja. Kami berbual rancak. Maklumlah pada siang hari tidak berkesempatan. Di akhir perbualan isteri saya telah mengusulkan satu cadangan yang tidak pernah saya menyangkanya.
“Abang, Mira terasa benar ingin makan sayur keladi.”
Saya tidak beriaksi pada masa itu. Wajah saya sugul. Apa benar yang saya dengarinya. Isteri saya mahu makan sayur keladi. Mungkin saya tersalah dengar. Isteri saya mengulanginya lagi. Tentulah betul. Dia mahu makan sayur keladi. Tetapi kenapa ketika itu? Ketika saya baru sahaja berjumpa dengan perempuan itu semalam. Ketika saya dan perempuan itu baru mula-mula mengenali isi hati masing-masing? Mungkin ini hanya satu perangkap bagi memerangkap segala tindakan saya sebelum ini. Seolah-olah dia tahu apa yang berlaku petang semalam. Dia mahu menguji. Dia mahu memastikan siapa perempuan itu. Kesetiaan saya digugatnya.
kredit foto dari www.flickr.com
Pada pagi itu saya mahu bertanyakan dia sekali lagi apa betul dia mahu makan sayur keladi dan bukannya sayur lain, tetapi pertanyaan itu kaku. Tidak keluar dari mulut saya. Untuk apa saya mahu menanyakan dia. Tidak baik berburuk sangka. Isteri saya dalam hamilan. Tentu sekali dia mengidam. Perempuan yang hamil selalu meminta yang bukan-bukan. Justeru, saya mengangguknya. Saya menaiki mobil dan terus ke tempat kerja.
Seperti biasa pada waktu rehat di pejabat saya, tidak ramai yang keluar. Hanya staf yang berbangsa Cina sahaja yang keluar. Yang lainnya sekadar berborak kosong sahaja. Jam ditangan saya baru menunjukkan pukul 2 petang. Masih berbaki 3 jam untuk kami bekerja. Waktu belum lagi melewati pukul 4 petang. Tumpuan saya ketika itu terarah kepada perempuan penjual sayur keladi itu. Bibirnya yang mungil kemerahjambuan itu telah hadir dalam igauan saya. Terasa syahdu apabila dapat berjalan berpimpinan tangan dengannya. Kulit tangannya tentu sekali halus dan licin. Begitu mesra untuk diusap perlahan-lahan. Tentu sekali terasa bangga. Berjalan dengan seorang perempuan yang cantik dan ayu. Apabila melalui sebuah tasik kami akan berhenti. Kami menikmati keindahan air tasik yang dingin itu. Tatkala itu, perempuan itu akan melentokkan kepalanya ke dada saya. Lalu saya akan membelai rambutnya. Lamunan saya tersentak ketika itu. Kawan-kawan sepejabat sudah masuk. Mereka bising-bising di luar.
“Man kau nak ikut serta dengan kita orang tak petang ni? Kami cadang nak berbuka puasa bersama-sama.”
Masa itu saya tidak persis membuat jawapan secepat mungkin. Saya memerlukan masa. Dalam fikiran saya ketika itu sayur keladi. Perempuan yang menjual sayur keladi. Saya mahu membeli sayur keladi kepada isteri saya. Saya tidak mahu melukakan hatinya. Dalam pada itu bolehlah sambil menyelam minum air.
“Kau ni Man, susah sangat nak ajak kau keluar semenjak kau kahwin ni.”
“Maaflah, aku ada hal sikit.”
“Tak habis-habis hal kau.”
“Baiklah… lain kali tak ada alasan lagi.”
Saya beristighfar panjang. Fikiran saya telah diracuni nafsu kotor. Saya cepat-cepat mengemas meja. Saya mengambil anak kunci yang berada di dalam laci almari lalu keluar mendapatkan mobil saya. Saya menghidupkan mobil lalu memecut laju ke bazar Ramadan yang mana perempuan menjual sayur keladi itu berada. Saya tidak menoleh ke kiri ke kanan lagi saya terus menuju ke tempat perempuan itu berada. Dia berada di hujung sana itu. Sememangnya dia masih di situ. Dia masih menjual sayur keladi.
“Mujur abang cepat. Ada sebungkus sahaja lagi.”
Belum apa-apa lagi perempuan itu membungkuskan saya sebungkus sayur keladi. Saya hairan masakan dia boleh membaca fikiran saya. Saya belum lagi memberitahunya dan dia belum lagi menanyakannya. Saya tidak berfikir panjang lagi. Saya mengambilnya lalu menghulurkannya RM10. Pada masa itu saya tidak punyai duit kecil untuk diberi kepada perempuan itu. Dia mahu memulangkan bakinya tetapi saya tidak mahu mengambilnya. Saya menyuruhnya simpan sahaja. Saya kasihan dengan perempuan itu. Kalau boleh saya mahu menolongnya. Tentu sekali dia dan keluarganya memerlukan duit lebih untuk menyara keluarga.
Saya membawa pulang sayur keladi itu. Isteri saya bersungguh-sungguh menjamahnya. Dia memuji tuan punya yang membuat sayur keladi itu. Katanya sedap dan lazat. Wah! ajukan isteri saya persis perempuan yang menjual sayur keladi itu. Sedap dan lazat. Saya cuba memakannya. Apa memang betul seperti apa yang dikatakan mereka berdua. Ternyata betul sedap dan lazat. Lain kali bolehlah saya membelinya lagi.
Keesokannya saya kembali lagi ke bazar tersebut. Saya mahu membelinya sayur keladi. Saya mencari kelibat perempuan itu. Tetapi puas mata saya merayapi segenap bazar Ramadan itu tetapi tidak dijumpainya. Ke mana dia pergi? Sudah bertukar tempatkah dia? Saya masih lagi tidak berputus asa. Saya bertanyakan penjual-penjual lain. Mereka memberitahu bahawa dia tidak datang. Khabarnya dia ada hal mustahak. Tetapi tidak diberitahunya kenapa.
Masa semakin suntuk. Keesokannya sudah sampai ke penghujung Ramadan. Esoknya akan raya. Saya tidak dapat menemuinya lagi. Perkenalan saya denganya belum sampai takah kemesraan. Hanya kenal begitu sahaja. Namanya belum saya ketahui. Sebelum saya berangkat pulang seorang perempuan yang menjual murtabak menghampiri saya.
“Encik Lokman?”
“Ya… saya.”
Saya sekali lagi dipanjat kehairanan. Ada juga sedikit rasa terkejut. Dari mana perempuan menjual murtabak itu mengenali nama Lokman itu. Entah-entah satu bazaar Ramadan ini mengenali nama Lokman itu. Saya terperasan sendiri. Mulalah muka merah menahan malu.
Perempuan yang menjual murtabak itu memberikan saya sesuatu. Saya menggenggaminya lalu memasukkan ke dalam kocek baju. Lalu saya beredar.
Kepulangan saya disambut oleh isteri. Dia menunggu saya di hadapan pintu. Sebelum ini jarang sekali dia menungu saya. Tetapi hari itu dia melakukannya. Malah dia melayan saya dengan baik.
“Abang ada beli sayur keladi?”
Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawapnya. Sebenarnya jawapannya ada. Tetapi alasan itu tidak kukuh untuk saya memberitahunya. Saya perlu memikirkan alasan lain. Lalu saya memberitahu isteri saya bahawa tidak elok menjamah sayur keladi hari-hari. Tidak baik untuk kandungan. Betul atau tidak hanya Tuhan saja yang tahu. Apa mahu saya memberitahunya yang sayur keladi tidak dijual oleh perempuan itu. Tentu sekali dia tidak mempercayainya. Tidak adakah orang lain yang menjualnya hari itu? Adakah penjual sayur keladi mogok atau cuti serentak? Saya fikir masak-masak. Alasan yang saya beri itu sudah betul.
Kami tidak pulang berhari raya di kampung. Hanya sekadar di bandar sahaja. Kami sudah menghubungi ibu bapa masing-masing. Saya mengambil tempat di kerusi malas. Saya melihat isteri saya. Dia masih di dapur sedang mengemas. Saya membuka lipatan kertas yang diberikan perempuan di bazar itu tadi.

Datanglah ke rumah saya pada hari raya pertama. Ada majlis sikit.” Aina

Sekarang barulah saya tahu siapa nama perempuan itu. Manis nama Aina itu. Semanis tuannya. Jemputan Aina ke rumahnya tentu sekali membuatkan saya teruja. Adakah dia mahu kenalkan saya dengan kedua orang tuanya? Aina sangat berharap agar saya dapat datang ke rumahnya esok. Tentu sekali saya akan ke rumahnya esok. Tetapi dengan siapa saya mahu ke rumahnya?

Jangan lupa bawa isteri dan anak-anak sekali.”

Pelawaan Aina itu sangat mengkucarkacirkan lapangan tenang saya. Ternyata Aina telah banyak mengetahui hal peribadi saya. Jadi saya tidak punya pilihan lain untuk bersikap jujur dengannya yang saya ini sudah berkahwin. Bukankah lelaki boleh membuka empat cawagan?
Saya tidak punyai kebarangkalian lain selain membawa isteri dan anak dalam kandungan isteri saya sekali.
kredit foto dari nloven1502.blogspot
Di halaman rumah perempuan itu kelihatan banyak sekali mobil-mobil yang dipakir. Majlis hari raya sampai disambut begitu rupa sekali. Meriah. Tentunya saudara-saudaranya dijemput semuanya. Saya membawa isteri saya masuk. Saya memberi salam kepada mereka. Saya bertanyakan adakah betul itu rumah Aina. Mereka mengiyakan lalu menyeru kami masuk. Hati saya sungguh gementar ketika itu. Perasaan malu menyelubungi diri saya. Anggapan saya tentu keluarganya menunggu kehadiran saya.
Kelihatanya Aina sungguh berseri. Pakaian sepersalinannya putih dan bersih. Dia tidak melihat saya. Tetapi saya sudah dapat melihatnya. Sebentar kemudian seorang lelaki yang memakai sepersalinan sama seperti Aina masuk ke halaman rumah. Dia diiringi oleh seorang pengapit. Dia berjalan menuju ke arah saya yang masih berdiri tidak jauh daripada muka pintu. Dia menyalami saya. Tanpa kawalan, mulut saya terluncur mengucapkan Selamat Pengantin Baru. Saya masih kebingungan. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Saya kembali menimbang ucapan selamat saya tadi. Sepatutnya saya memberi ucapan Selamat Hari Raya dan bukannya ucapan pengantin baru. Fikiran saya ligat berfikir.
Isteri saya cekatan menyalami Aina tanpa memasang wasangka buruk.

Patutlah Aina beriya-iya menyuruh saya datang ke rumahnya. Ternyata majlis yang dimaksudkan Aina dalam surat itu adalah majlis pernikahan mereka. Pelangi yang saya harapkan mampu digapai rupanya hanya satu khayalan sahaja. Saya menyedari perbuatan saya selama ini tidak manis dipandang dan dikenang. Biarpun begitu saya mengharapkan pertemuan kami hanya kami berdua sahaja yang tahu. Saya mendoakan Aina dan suaminya berbahagia selamanya.


Mohd Helmi Ahmad
Perempuan, Bil 263-Julai 2012


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78