Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Cetusan Pendapat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cetusan Pendapat. Papar semua catatan

Ahad, 9 Disember 2018

Karya Penutup Tahun 2018

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Karya penutup tahun 2018. Alhamdulillah, ada dua karya saya yang disiarkan dalam majalah terbitan DBP, Bil. 12/2018.

1. Galeri Sastera: Pelancaran Buku Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan - Tunas Cipta.

- Berita ini saya tulis bagi menghargai dan menyebarluaskan cerita tentang penerbitan buku siri anekdot dan cerita kehidupan terbitan Wacana MBM.

2. Reaksi: Plagiarisme, Etika dan Akta Hak Cipta Belum Selesai? - Dewan Sastera.

- Reaksi ringkas ini telah lama saya tulis dan hantar, namun baru berkesempatan disiarkan.

- Reaksi tentang kes plagiarisme yang berlaku pada bulan Februari 2018.

- Reaksi etika penulis sebelum menghantar karya, semasa karya dalam tempoh penilaian dan selepas karya disiarkan. (Saya dapati penulis masih salah faham tentang tempoh "idah" menyiarkan karya selepas karya tersiar. Bukan pagi karya tersiar, petang atau malam sudah boleh disiarkan secara penuh dalam media sosial).

- Reaksi etika editor menguruskan karya yang diterima.

- Reaksi Akta Hak Cipta 1987, keseriusan penulis membawa kes plagiarisme ke muka pengadilan.

Reaksi ringkas ini tidak cukup untuk menjelaskan semua perkara kepada penulis dengan sejelas-jelasnya. Oleh itu, suka saya menyarankan kepada penulis untuk membaca dan merujuk buku dan pelbagai sumber lain untuk membantu penulis memahaminya.

Terima masih kepada editorial Tunas Cipta dan Dewan Sastera yang menyiarkan kedua-dua penulisan saya ini.

#KaryaTersiar #GaleriSasteraTunasCipta #ReaksiDewanSastera
 
 

Ahad, 17 Jun 2018

Drama NUR Menghina Ustaz, Mengangkat Pelacur?


Jika seorang ustaz itu lebih mulia daripada kita, siapalah kita hendak merendah-rendahkan martabatnya? 

Jika seorang pelacur itu lebih teruk daripada kita, mengapa kita hendak mengagung-agungkan statusnya?

Penangan sebuah drama - Nur yang disiarkan di TV3 telah mengundang pelbagai reaksi daripada penonton. Drama Nur menceritakan realiti terpencil yang berlaku dalam masyarakat kita. Atau realiti terbuka yang tidak dibongkar atau didedahkan? Saya sempat membaca beberapa reaksi daripada pihak yang "menyukai" dan "tidak menyukai". 


Rata-rata reaksi tersebut tidak mewakili bagi diri sendiri sebaliknya merangkum kepada masyarakat. Dengan kata lain, drama ini telah memburuk-burukkan imej seorang ustaz. Ustaz yang menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng wang atau harta anak yatim. Ustaz yang melanggan pelacur. Hal ini menyebabkan orang lain - terutama bukan beragama Islam akan memandang serong terhadap orang Islam/ustaz. 

Kritikan itu dibalas - Madi atau Ustaz Madi dikatakan bukanlah seorang ustaz tulen. Jadi tidak menjadi isu apabila dia dipakaikan "serban ustaz" dan telah menjatuhkan maruah seorang ustaz yang selama ini dihormati dan diiktiraf statusnya. 

Saya melihat drama ini sebagai sebuah fiksyen kritikan sosial. Jika saya seorang pembaca novel, drama ini telah diadun dengan plot cerita yang lengkap - permulaan, perkembangan, konflik, kemuncak dan peleraian. Namun begitu, pada akhirnya plot drama ini telah ditamatkan dengan tergesa-gesa. Katakan kemuncaknya berada pada babak nombor 7, tiba-tiba sahaja terus menjunam ke babak nombor 10. Babak nombor 8 dan 9 dihilangkan - dipercepatkan atau dirangkum sekali dalam babak nombor 10. 

Bagi saya pengakhiran drama Nur boleh diperbaiki. Apabila menjadikan sihir/santau sebagai penyebab Adam membenci/berpisah dengan Nur seolah-olah penulis skrip/pengarah mengambil jalan selamat. Biarpun ada sedikit unsur suspens dan kejutan apabila pada mulanya Adam dikatakan membenci dan menceraikan Nur disebabkan kecuaian Nur yang menyebabkan "anak dalam kandungan" mati. Namun sebaliknya, disebabkan sihir/santau. 

Pastinya rata-rata penonton tidak puas hati apabila pengakhiran drama ini diakhiri dengan "pembalasan" yang terlalu "lembut". Namun begitu, siapalah kita/manusia untuk menjatuhkan hukuman. Walau bagaimanapun, itulah hukuman - undang-undang yang diterima oleh Madi (ditangkap) kerana telah melakukan penyelewengan wang.

Dari segi watak dan perwatakan semua pelakon memainkan peranan yang cukup baik. Walau bagaimanapun, saya melihat watak Aisyah - kakak Adam ada sedikit kontra. Saya tidak pasti sama ada begitukah yang diarahkan oleh pengarah? Aisyah terlalu keras dan kasar. Jika hendak dibandingkan dengan Deeja yang lebih lembut dan tenang. Melihat kepada watak dan perwatakan seorang perempuan muslimah nada dan percakapan Aisyah yang sering meninggi-ninggikan suaranya dan menengking itu sedikit pun tidak menggambarkannya seorang perempuan muslimah. 

Apabila sesuatu karya seni bertentangan dengan norma masyarakat, hal inilah yang mengundang kritikan. Apabila status pelacur - kotor dan buruk diangkat sedangkan status ustaz - bersih dan mulia direndah-rendahkan. Kisah ini dapat dikatakan hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Kita berhak memberikan "kritikan", pandangan atau pendapat. Namun begitu, kita tidak boleh memaksa orang lain menyetujui dengan apa-apa yang kita perkatakan. Dalam konteks kerja seni sebarang kritikan yang membina, kita ambil untuk kita perbaiki karya akan datang. 

Jika kita lebih baik daripada seorang ustaz, mengapa kita tidak bersama-sama berdakwah ke jalan Allah?

Jika seorang pelacur itu lebih baik daripada kita, siapalah kita hendak merendah-rendahkan martabatnya?

Nur - lorong cahaya daripada yang buruk kepada yang baik, yang gelap kepada yang cerah, yang kasar kepada yang lembut, yang jahil kepada yang berilmu, yang sesat kembali ke pangkal jalan.

Pada akhir penilaian yang menjamin tiket kita ke syurga adalah keikhlasan. Keikhlasan itu pula suatu yang subjektif untuk dinilai dengan mata kasar.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Maaf zahir dan batin.

Sabtu, 3 Februari 2018

Kegunaan Sebuah Kamus

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Jika kita diminta menulis sebuah karangan autobiografi bertajuk "Aku Sebuah Kamus", agak-agaknya apalah yang akan kita tulis?

Apakah kegunaan kamus? Siapakah yang menggunakan kamus? Bilakah kamus digunakan?

Kamus lebih bersifat sumber rujukan bukan bahan bacaan. Pengguna akan menggunakan kamus untuk merujuk beberapa perkara:

1. Merujuk maksud perkataan.
2. Merujuk ejaan yang betul.
3. Merujuk perkataan atau istilah dengan tepat.

Selalunya perkataan yang jarang-jarang digunakan membuatkan kita waswas akan maksudnya. Oleh itu, kamuslah sumber rujukan kita.

Ada perkataan yang sama ejaan tetapi membawa maksud yang berbeza. Contohnya:

perang yang membawa maksud warna dan perang yang membawa maksud perkelahian.
...

Kamus juga dapat dijadikan sumber rujukan untuk mengetahui maksud kata dasar dan kata terbitan. Misalnya, kata dasar buka.

Selain itu, ada beberapa kata terbitan yang terbit daripada kata dasar buka membawa maksud tertentu, contohnya;

berbuka,
membuka,
membukai,
membukakan,
terbuka,
keterbukaan,
bukaan,
perbukaan,
pembukaan dan
pembuka.
...

Adakala kita terbiasa dengan bahasa percakapan yang menyebabkan kita mengeja mengikut kita sebut.

Adakala pula kita tidak dapat membezakan ejaan yang betul apabila sesuatu kata dasar itu menerima imbuhan awalan, apitan dan akhiran. Misalnya:

mengganggu atau menganggu?
menunjukkan atau menunjukan?
menyapu atau mensapu?
...

Apabila kita merujuk kamus, kita dapat memperkaya perbendaharaan kata kita. Kita dapat menggunakan perkataan atau istilah dengan tepat untuk sesuatu perkara. Misalnya;

Mata - memandang, melihat, merenung, menatap, menjeling, mengenyit.

menganyam - tikar
menenun - songket
menjala - ikan
mencandat - sotong
menanak - nasi
menjerang - air
...

Bukan sahaja guru, penulis, editor, wartawan, pelajar sekolah, kolej dan univerisiti, bahkan semua pengguna bahasa Melayu, wajar memiliki kamus.

Mohd Helmi Ahmad
Aku Sebuah Kamus
 

Khamis, 15 Jun 2017

Jawab Begini, Jika Ditanya Bila Nak Kahwin?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Saya ada terbaca juga tentang jawapan-jawapan yang boleh diberikan andai orang bujang ditanyai dengan soalan ini pada hari raya Aidilfitri nanti.

"Bila nak kahwin?"

....................

Saya juga pernah ditanyai dengan soalan itu. Yang bertanya itu pula seorang ustaz, orang kampung saya.
"Mi, hang nak macam mana? Mai Abang E, carikan. Bekas anak murid Abang E pun ramai," katanya yang juga bekas pensyarah IPG.

Saya hanya tersenyum.

"La, orang tanya, senyum pula."

"Belum ada jodoh lagi," jawab saya.

"Jodoh kena cari juga. Tapi kalau belum sampai serunya, kita nak buat lagu mana kan.

Jodoh orang tak sama; ada yang cepat. Ada yang lambat. Ada yang kahwin awal, tapi belum ada anak. Itu rahsia-Nya yang kita tak tahu.

Hang tak payah risaulah. Kalau Allah dah tetapkan seseorang tu kahwin lambat, itu bermakna Dia nak kita (anak) berbakti kepada mak pak kita dulu.

Tak semua orang berpeluang berbakti kepada mak pak sehingga ke akhir hayat. Besar pahalanya."

................

Budi bahasa budaya kita. Selalunya orang yang bertanya, orang yang "sayang" dan ambil berat terhadap kita.
Santunilah mereka ini dengan bahasa yang baik, walau adakala pertanyaan itu berbaur sindiran ataupun lelucon.

Apabila kita menjawab dengan baik, insya-Allah mereka pun akan malu alah untuk bertanya lagi.
Jadi kita jawablah dengan lembut dan sopan.

"Tuan, puan, abang, kakak doakan saya cepat bertemu jodoh dan berkahwin."

Mohd Helmi Ahmad
Catatan Seorang Hamba Allah

Khamis, 30 Mac 2017

Kenapa Penulis Perlu Membaca?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Saya bukanlah jenis yang banyak mengikuti bengkel penulisan. Oleh hal yang demikian, untuk mempelajari sesuatu dan meningkatkan mutu penulisan, saya gunakan pendekatan MEMBACA. 

Buku apakah yang saya baca? 

Adakala saya membaca buku panduan menulis. Namun begitu, lebih banyak yang saya baca ialah karya eceran dalam majalah dan akhbar dan buku; kumpulan cerpen, puisi dan novel. 

Mengapakah penulis perlu membaca? 

Dengan membaca saya dapat: 

1. Memperkaya perbendaharaan kata dan istilah.

2. Mempelbagaikan teknik memulakan karya dan mengakhiri karya. 

3. Meningkatkan mutu garapan karya agar lebih efektif.

4. Memerhati cara penulis "mengupas" dan "mempersembahkan" subjek cerita. 

5. Menganalisis subjek cerita atau aspek lain yang belum disentuh oleh penulis.

6. Mempelajari gaya dan cara penulis menggayakan perkataan dan istilah. 

7. Mempelajari teknik penulis mengembangkan plot dan konflik. 

8. Meningkatkan teknik membina watak dan memperagakan perwatakan dengan tepat mengikut situasi.

9. Mempelajari cara penulis menyulam emosi, tindakan dan "menjelmakan" latar tempat dan masa dengan berkesan. 

10. Memperoleh idea baharu untuk menghasilkan karya baharu. 

11. Memperoleh dan menambahkan ilmu tentang subjek yang ditulis.

Lain-lain. 

Setahu saya, tidak ada penulis yang tidak suka membaca. Hal ini demikian kerana membaca juga boleh dianggapkan proses "perbengkelan" kepada seorang penulis untuk memperbaiki yang kurang dan meningkatkan yang lebih. 

Mohd Helmi Ahmad
Pembaca kepada Penulis
Penulis kepada Pembaca

Jumaat, 16 September 2016

Surat daripada Manusia kepada Masyarakat Burung

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.






Surat daripada Manusia kepada Masyarakat Burung.



Melihat peti pos di hadapan rumah saya ini menyebabkan saya terfikirkan sesuatu. Salahkah burung ini membuat sarang di dalam peti pos tersebut?

Lantas fikiran saya mengalir kepada sebuah puisi SN Usman Awang- Surat Dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar.
...
Tapi manusia kota ini telah membunuh Kehijauan alam
semata-mata untuk mengejar Kehijauan ringgit.
sejak lumpur kota ini menjadi batu-batu
kami masyarakat burung menjadi mangsa yang bisu ...

Oh, sudah sekian lama apa yang berlaku ini telah dibangkitkan oleh SN Usman Awang. Barangkali kita tidak sedar ataupun buat-buat tidak sedar. Burung bersarang di dalam peti pos ini cukup memberi isyarat bahawa kita sudah berlaku tidak adil terhadap masyarakat burung.

Hari ini kita bising dan memberontak apabila rumah kita dirobohkan dan kita tidak dapat membeli rumah pertama sedangkan masyarakat burung sekian lama menderita akibat sikap rakus manusia hinggakan mereka tidak dapat membina kehidupan dengan aman dan bahagia.

Cuba kita bayangkan jika masyarakat burung seperti segelintir manusia hari ini yang mampu bertindak melakukan demonstrasi di jalanan atau memviralkan sikap rakus manusia terhadap mereka, di manakah kita hendak meletakkan muka kita ini?

Maafkan kami wahai masyarakat burung. Jika pembangunan hari ini telah memperosok kalian ke lembah kesedihan dan kemelaratan.

Khamis, 25 Disember 2014

Skuad Buku Sastera Kanak-kanak dan Remaja ke Sekolah?

Assalamualaikum.



Skuad Buku Sastera Kanak-kanak dan Remaja ke Sekolah?


Sewaktu sekolah dahulu, banyak penjual buku cerita yang berjualan di sekolah dalam kala waktu tertentu. Penjual akan mengedarkan "flyers" yang menyenaraikan judul buku dan harganya. Keesokannya, mereka akan datang semula membawa buku tersebut dan murid sekolah akan mengerumuni meja jualan untuk mendapatkan buku yang dijual. 

Saya melihat faktor penarik murid sekolah membuat pilihan untuk membeli buku adalah pada judul, kulit dan harganya. Judul haruslah menarik, kulit buku perlulah berwarna-warni dan harga perlulah sesuai dengan "pendapatan" mereka yang masih bersekolah.

Setelah menjadi guru, saya melihat peluang ini sangat baik dalam usaha membudayakan amalan membaca dalam kalangan murid sekolah. Hal ini demikian kerana murid akan lebih mudah untuk mendapatkan buku yang berada di pasaran sama ada terbitan terkini ataupun sebelumnya.

Namun begitu, ada sedikit kekecewaan kerana buku yang dibawa oleh penjual buku kurang atau tidak membawa buku sastera daripada penerbit yang unggul dalam penerbitan genre ini di Malaysia seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kini Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). 

Sebagai penerbit yang menerbit buku untuk bacaan kanak-kanak dan remaja, saya fikir adalah satu kerugian sekiranya buku yang diterbitkan tidak dipasarkan kepada golongan sasaran yang selayaknya. Mengapakah saya katakan "rugi" kerana permintaan tinggi atau golongan sasaran ini berada di sekolah rendah (kanak-kanak) dan menengah (remaja).

Kini tibalah masanya penerbit yang menerbitkan buku untuk bacaan kanak-kanak dan remaja menubuhkan Skuat Buku untuk membuat promosi ke sekolah-sekolah seperti yang dilakukan oleh Mobilebookcafe. Dalam kala tertentu, penyusunan jadual boleh dilakukan untuk penjelajahan ke sekolah seluruh Malaysia.

Saya fikir, cara ini lebih berasas dan berfokus daripada hanya menunggu karnival buku atau pesta buku yang diadakan yang kadang kala tidak tersampai oleh mereka yang duduknya jauh.

Sekadar cadangan.

Khamis, 8 Mei 2014

Falsafah Pendidikan Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Assalamualaikum.

Jika hendak dibandingkan umur saya dengan pengalaman saya dalam bidang pendidikan atau perguruan bukan dekat jaraknya. Bagaimanapun, ada juga yang melontarkan pandangan bahawa penilaian terhadap pengalaman itu sangat subjektif yang mana biarpun seseorang itu telah lama berada dalam satu-satu bidang itu tidak memberi makna bahawa seseorang itu sangat berpengalaman. 

Apa yang memberatkan dan mempertajamkan neraca timbang pengalaman seseorang adalah sejauh mana seseorang itu berhadapan dan mengharungi pengalaman itu. Dengan kata lain, jika seseorang itu sudah lama menjadi guru jika tIdak teruji dan terpikul dengan cabaran dan tanggungjawab sama jugalah seperti seorang guru yang baharu sahaja melaporkan diri pada hari pertama. 

Saya menyeru semua warga pendidik untuk menghayati kedudukan kita dalam Sistem Pendidikan Malaysia moga tidaklah kita terpesong dalam mengemudi bahtera anak bangsa pada hari muka. Bertitik-tolak daripada itu, marilah sama-sama kita menunaikan amanah dan tanggungjawab yang telah terpatri dalam Falsafah Pendidikan Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

FALSAFAH PENDIDIKAN GURU


FALSAFAH PENDIDIKAN KEBNGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


Khamis, 5 Disember 2013

Penulisan Sastera Kanak-kanak dan Remaja Tidak Popular?

Assalamualaikum semua.

Keputusan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2012 telah pun diumumkan. Melihatkan senarai keputusan pemenang dalam setiap kategori, saya berasa ada kekurangan dalam kategori C: buku kanak-kanak dan remaja. Dalam kategori C, genre yang dipertandingkan ialah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi dan kumpulan drama. 

kredit foto dari klikdbp


Percaya atau tidak, pencalonan dalam kategori C adalah yang paling kurang berbanding pencalonan dalam kategori A: buku perseorangan umum/dewasa. 

Mari sama-sama kita lihat pencalonan yang diterima dalam kategori yang dipertandingkan (sumber maklumat dari Berita Harian):

Karya eceran:
1. Puisi - 2,259 
2. Cerpen - 525
3. Esei/kritikan sastera - 250

Buku Perseorangan umum/dewasa:
2. Kumpulan cerpen - 14
3. Kumpulan puisi - 27
4. Kumpulan drama - 27
5. Biografi/autobiografi - 15

Buku Perseorangan kanak-kanak dan remaja
1. Kumpulan cerpen remaja - 2
2. Kumpulan kanak-kanak - 2
3. Tiada pencalonan untuk kumpulan puisi remaja dan drama remaja
4. Kategori lain -tiada maklumat (perlu tunggu laporan yang dikeluarkan panel HSPM nanti)

Perhatikan kategori kanak-kanak dan remaja. Mengapakah situasi ketandusan karya sastera yang berkualiti ini berlaku? Adakah kerana penulisan sastera kanak-kanak dan remaja tidak popular dan tidak mendapat sambutan daripada penulis? Ataupun, adakah kerana kanak-kanak dan remaja tidak suka membaca karya sastera hingga menyebabkan pasaran untuk kategori ini suram? 

Satu usaha keras perlu dilakukan dan semua pihak harus bekerjasama untuk menyemarakkan penulisan sastera kanak-kanak dan remaja. Harapan ini agar kita mampu melahirkan insan yang seimbang, berjati diri dan berpengetahuan.

Nota: Sebenarnya dah beberapa hari entri ni ada dalam draf. Tak jadi nak terbitkan lagi. Memandangkan saya sibuk menulis rencana tentang tajuk ini untuk dipertimbangkan siarannya. Alhamdulillah, dah pun siap dan dah pun dihantar kepada editor. Doakan supaya rencana ini terpilih dan disiarkan. Dapatlah kalian semua membacanya nanti. 

Sabtu, 30 November 2013

Pasaran Buku dan Kepedulian Penulis Sastera di Malaysia

sekadar gambar hiasan (kredit foto dari kosmo)

Sememangnya dikatakan buku sastera sukar mendapat pasaran di Malaysia. Buku sastera termasuklah, novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, kritikan dan beberapa lagi. Penerbit yang masih menerbitkan buku sastera ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dilihat masih bertahan dalam memperkayakan dan menyediakan bahan bacaan sastera kepada segolongan pembaca di Malaysia. 

Tidak hairanlah jika ada yang mengatakan bahawa menjadi penulis sastera tidak boleh jadi kaya berbanding menjadi penulis popular yang menjadi buruan pembaca karyanya. Hingga pada satu tahap, novel tersebut terpilih untuk diadaptasi dan tempiasnya juga terkena pada novel tersebut hingga dicetak ulang berpuluh kali. 

Bagi saya, itu tidak menjadi masalah besar sekiranya karya penulis sastera di Malaysia tidak mendapat sambutan. Untuk permulaan, saya fikir penulis sastera haruslah bekerjasama dalam soal ini. Kerjasama ini dalam bentuk menyokong pembelian karya antara penulis itu sendiri (menyebut penulis membeli buku penulis, bukanlah soal syok sendiri).

Maksudnya, jika penerbitan karya sastera itu contohnya 1000 naskhah, saya percaya penulis sastera di Malaysia melebihi angka ini dan jika setiap penulis ini membeli satu naskhah, bukankah sudah laku 1000 naskhah? Ini, tidak. Jika penulis sastera pun tidak mahu membeli karya rakan-rakan dan hanya mengharapkan rakan penulis membeli karyanya sahaja, maka tidak berlaku penyokongan antara satu sama lain. 

Oleh itu, usah hendak mengharapkan pasaran di luar kalangan penulis sastera atau pembaca sastera, jika penulis sendiri tidak mahu membeli karya rakan penulis. Paling menyedihkan jika ada penulis sastera (mapan, senior) tidak memandang pun karya penulis muda atau baru. 

Harapan saya, sama-samalah kita bekerjasama, saling menyokong antara satu sama lain demi memartabatkan dunia kesusasteraan dan penerbitan di Malaysia. Jika kerancakan penerbitan tidak disokong dengan masyarakat pembaca apalah guna jika kita hanya mengejar jumlah terbitan dengan judul berpuluh ribu saban tahun. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78