Pengikut

Selasa, 18 Disember 2018

Siri Anekdot dan Kisah Kehidupan Fasa 2 Terbitan Wacana MBM

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah, menuju ke akhir tahun 2018, masih ada buku baharu hasil tulisan saya diterbitkan walaupun hanya antologi bersama.

Masih ingat Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan; Rimbun Kehidupan, Langit Kehidupan, Rencah Kehidupan, Lautan Kehidupan dan Pelangi Kehidupan terbitan Wacana MBM? Buku-buku ini pernah dilancarkan di Red Card Cafe, Bangi oleh Datuk. Dr. Awang Sariyan.



Kini, Fasa 2: Siri Anekdot dan Kisah (Bertema - Kerjayaku, Kembaraku, Jalan ke Negeri Abadiku, Umrah dan Hajiku dan Bibliofilku) bakal diterbitkan dan dilancarkan pada 22 Disember 2018 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor.

Fasa 2 ini turut menampilkan lima judul baharu, iaitu Arkitek Kehidupan, Kompas Kehidupan, Hijrah Kehidupan, Kiblat Kehidupan dan Naskhah Kehidupan. Tidak seperti buku Fasa 1, buku-buku Fasa 2 lebih tersusun daripada segi tema penulisannya.

Saya terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penerbitan buku-buku Fasa 2 ini. Terus terang, saya lebih teruja menyertai projek ini dan menantikan buku-buku ini terbit kerana;


1. Tajuk Arkitek Kehidupan, Kompas Kehidupan dan Naskhah Kehidupan merupakan hasil cetusan saya setelah penerbit membuka peluang dan pelawaan untuk penulis mencadangkan judul bagi setiap tema.

Pemilihan Arkitek - setiap kerjaya memerlukan "arkitek" atau perancang, perunding, pembina dan pelaksana yang efisien dan efektif.

Pemilihan Kompas - kompas dipilih sebagai simbolik kepada perjalanan atau kembara.

Pemilihan Naskhah - dengan mengambil kira kesesuaian tema - bibliofil (buku), penjodoh bilangan bagi buku ialah "naskhah" atau "buah" dipilih.

2. Naskhah Kehidupan, merupakan antara tema yang saya cadangkan agar penerbit menyediakan ruang dalam Fasa 2 ini untuk diterokai dan dicernakan oleh penulis. Bagi saya tema tentang buku ini sangat menarik dan jarang-jarang buku tentang buku diterbitkan.


3. Saya turut diberikan peluang oleh penerbit untuk membantu bahagian editorial sebagai penolong editor/pembaca pruf bagi manuskrip Arkitek Kehidupan dan Naskhah Kehidupan.

4. Dalam Fasa 2 ini saya menulis untuk dua edisi, iaitu Arkitek Kehidupan dan Naskhah Kehidupan. Arkitek Kehidupan, saya berkongsi pengalaman saya sebagai penulis. Manakala dalam Naskhah Kehidupan, saya mencatatkan pengalaman saya sebagai seorang pembaca dan bibliofil (jika layak).



Terima kasih saya ucapkan kepada penerbit Wacana MBM yang diterajui oleh Munsyi Dewan Mohamad Musip yang membuka peluang kepada penulis muda seperti saya untuk terlibat sama ada sebagai penulis mahupun pembantu di belakang tabir.

Syabas dan tahniah jua diucapkan kepada lebih daripada 60 orang penulis yang terlibat dalam penulisan edisi Fasa 2 ini. Teruslah memartabatkan bahasa Melayu melalui medium penulisan.

Buku-buku ini sesuai dibaca oleh semua peringkat umur. Saya suka mencadangkan kepada GPM sekolah untuk memasukkan buku-buku ini dalam senarai pembelian buku pada tahun 2019 nanti.

Rakan-rakan yang berminat untuk memiliki kelima-lima buku Fasa 2 ini, jangan lepaskan peluang untuk membuat tempahan awal daripada penerbit atau penulis yang terlibat.

#CatatanPenerbitanBuku #SiriAnekdotWacanaMBM #ArkitekKehidupan #KompasKehidupan #HijrahKehidupan #KiblatKehidupan #NaskhahKehidupan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78