Pengikut

Selasa, 14 Oktober 2014

Pendokumentasian Karya Melalui Buku

Assalamualaikum.

Pendokumentasian Karya Melalui Buku (Kumpulan Cerpen dan Kumpulan Puisi)



Setiap hari Ahad saya membeli surat khabar Berita Minggu (BH) dan Mingguan Malaysia (MM). Antara tujuannya untuk membaca ruangan kreatif - cerpen dan puisi. Apabila saya menyedari bahawa penulis yang karyanya saya baca secara eceran ini telah memiliki kumpulan cerpen ataupun puisi, saya berasa gembira dan seboleh mungkin akan mendapatkan buku itu. Hal ini merupakan satu kepuasan dalam soal pembacaan.

Kini, industri penerbitan buku sastera yang menerbitkan kumpulan cerpen dan puisi kembali bernyawa (baca komitmen ITBM). Peluang itu pula terbuka bukan sahaja kepada penulis mapan bahkan penulis muda yang konsistens dalam menghasilkan karya yang bermutu hingga mampu menghimpunkan dalam satu kumpulan cerpen ataupun puisi.

Menyentuh berkenaan kumpulan cerpen dan puisi ini, saya melihat bahawa memiliki buku (kumpulan cerpen dan puisi) persendirian merupakan satu fasa pendokumentasian dalam hal kepengarangan seorang penulis.Oleh itu, tidak timbul desas-desus menyatakan bahawa hanya penulis mapan sahaja yang patut ada kumpulan cerpen ataupun kumpulan puisi, tidak penulis muda lagi belia.

Dalam proses penyusunan manuskrip itu pula, bukanlah satu kerja main-main. Sudah pastilah hanya karya yang terbaik sahaja yang dipilih untuk disatukan dalam satu kumpulan buku. Setelah manuskrip siap disusun, itu bukan tiket automatik buku itu diterbitkan. Manuskrip itu sudah pastilah melalui proses penilaian penerbit. 

Jika manuskrip itu lulus, itu bermakna penulis telah berjaya melepasi satu tahap kualiti karya yang ditetapkan penerbit (penilai). Fasa seterusnya, penilaian pembaca (terdiri daripada penulis, pembaca, sarjana). Fasa inilah yang selalunya subjektif dan berbeza-beza pandangannya mengikut latar belakang penilai tersebut.

Sebaliknya jika manuskrip itu gagal, penulis seharusnya meneliti semula sebab musababnya. Adakah manuskrip itu gagal kerana kualiti karya ataupun pemilihan rumah penerbitan yang salah. Dalam hal ini, penulis harus melakukan tinjauan dan kajian terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk menghantar manuskrip untuk diterbitkan.

Pendokumentasian ini amat bermanfaat dalam satu ketika kepada banyak pihak. Bagi pembaca, memudahkan mereka membaca karya penulis tersebut hanya dengan memiliki buku (kumpulan) tersebut. Barangkali sebelum ini, pembaca tidak terbaca karya eceran yang terbit dalam pelbagai media. Tidak terkecuali juga, pada pengkaji dan sarjana untuk meneliti karya seseorang penulis.

Bagaimana pula dengan pendapat anda?

Sabtu, 11 Oktober 2014

Tetamu Istimewa Kini Boleh Dipinjam di Perpustakaan Negara Malaysia

Assalamualaikum.

Lima tahun dahulu tidak terbayang oleh saya untuk memiliki sebuah buku. Dahulu saya hanya menulis cerpen, puisi, dan artikel secara eceran sahaja. Setelah karya itu disiarkan di majalah mahupun surat khabar, hati ini berasa gembira amat. Keterujaan itu hanya penulis sahaja yang tahu. Hingga kini, saya masih merasainya setiap kali karya saya tersiar di media cetak. 

Usaha itu tidak setakat penulisan secara eceran sahaja. Setelah melihat banyak penulis yang sudah ada buku walaupun usianya masih muda, saya terdorong untuk menyusun manuskrip. Manuskrip pertama yang saya susun ialah kumpulan cerpen remaja. Alhamdulillah, setelah lama penantian proses penilaian manuskrip itu, akhirnya lulus dan diterbitkan. 

Setelah Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa terbitan ITBM-2014 diterbitkan, saya mengambil tindakan untuk turut sama membuat promosi buku tersebut. Antaranya, melalui blog dan Facebook. Alhamdulillah, biarpun kadar jualannya tidaklah sekencang mana pun, tetapi masih ada yang sudi memilikinya. Terima kasih saya ucapkan kepada blogger, penulis, orang perseorangan dan rakan-rakan yang telah mendapatkan buku saya ini. 



Menjadi hasrat dan harapan pada penulis untuk memasarkan buku tulisan mereka ke perpustakaan di seluruh Malaysia. Usaha ini bukanlah sesenang yang difikirkan. Bagaimanapun, setelah saya membuat semakan sistem Online Public Access Catalogue (OPAC) Perpustakaan Negara Malaysia. Rupa-rupanya, 12 naskhah Tetamu Istimewa (1 naskhah telah dipinjam - Pinjaman Kelompok) telah ditempatkan di beberapa buah perpustakaan



Paling banyak sekali ialah di Perpustakaan Negara Malaysia. Selain itu, Tetamu Istimewa turut ditempatkan di Perpustakaan Jusco AU Setiawangsa, Perpustakaan Mahkota Cheras dan Perpustakaan Awam Bukit Damansara. Besar harapan saya lagi sekiranya Tetamu Istimewa dapat ditempatkan di Perpustakaan Desa, Perpustakaan sekolah, kolej, universiti di seluruh Malaysia


Kepada pembaca yang ingin membaca Tetamu Istimewa boleh berkunjung ke Perpustakaan Negara Malaysia untuk membuat pinjaman atau membaca di sana. Boleh juga mengunjungi perpustakaan lain yang disebutkan itu. 


Rabu, 8 Oktober 2014

Permohonan KPLI dan DPLI 2014/2015

Assalamualaikum.



Permohonan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) untuk sesi 2014/2015 masih tidak ada sebarang berita ataupun iklan. Saya menjawab beberapa soalan atau pertanyaan daripada pengunjung blog ini yang bertanya tentang permohonan KPLI dan DPLI. 

Pasti masih ramai lepasan ijazah yang berminat untuk menjadi guru tertunggu-tunggu iklan permohonan untuk mengikuti KPLI dan DPLI. Bagaimanapun, graduan harus ingat bahawa KPLI dan DPLI dilaksanakan antara lain untuk menampung kekurangan guru pada satu ketika. 

Namun begitu, setelah Institut Pendidikan Guru Malaysia telah berjaya melahirkan calon guru sekolah rendah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan universiti lain yang menawarkan bidang perguruan terutama untuk sekolah menengah, maka lama kelamaan tawaran untuk mengikuti KPLI dan DPLI dimansuhkan secara peringkat demi peringkat. 

Pernah satu ketika, graduan IPG dan universiti yang mengikuti bidang perguruan atau pendidikan tidak berpuas hati kerana dengan adanya KPLI dan DPLI seolah-olah guru KPLI dan DPLI telah merampas tempat mereka untuk ditempatkan di sekolah. 

Hal ini didakwa telah menyebabkan mereka lambat ditempatkan dan kemungkinan berlaku lambakan guru. Bagaimanapun, graduan harus ingat bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat unjuran terlebih dahulu sebelum membuat penawaran kepada calon guru. Jadi, tidak berlaku siapa merampas tempat siapa dan berlakunya lambakan guru. 

Setelah menjadi guru, berkhidmatlah dengan tekun, jujur dan amanah. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78