Pengikut

Isnin, 7 Mei 2012

Cerpen: Pulut Durian Santan Kelapa di Berita Minggu



Sebelum itu eloklah saya panjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana tidak jemu mendengar doa ini. Terima kasih Ya Allah. 

PULUT DURIAN SANTAN KELAPA yang disiakan pada 6 Mei 2012, di BERITA MINGGU merupakan cerpen keempat saya yang mendapat tempat di ruangan Sanggar Kreatif BM ini. Sekalung terima kasih kepada editor BM yang tidak jemu melayan karya saya saban bulan malah saban minggu.

Sebenarnya untuk menunggu cerpen ini disiarkan saya telah mencuba dengan beberapa cerpen lain namun masih buntu untuk menembusi tembok BM yang kali terakhir pada tahun 2010 menerusi cerpen MERCUN DARI KUALA LUMPUR. Rindu yang mendalam untuk melihat cerpen terpampang di BM tidak mematahkan usaha saya untuk terus menghasilkan karya yang bermutu dan memenuhi kehendak BM.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang tidak jemu mengutuskan ucapan tahniah. Kepada guru saya Dr. Kamariah Kamarudin yang sentiasa menyokong saya dari belakang. 


Jumaat, 4 Mei 2012

E-mel Kehendak Atau Keperluan?

Suatu masa dahulu saya bermula menulis dan menghantar karya ke media melalui pos. Ketika itu saya merasakan itulah satu-satu cara yang mudah bagi saya. Kerananya saya tidak mempunyai jalur lebar-internet. Dan saya juga masih terkial-kial untuk menggunakan komputer mahupun laptop. Apalagi untuk memasuki gedung sumber yang terlalu luas tanpa sempadan itu.

Alhamdulillah, walaupun begitu karya-karya saya masih dapat diterima. Pada peringkat awal antara media yang menjadi sasaran saya adalah Tunas Cipta. Hampir setiap bulan saya akan menghantar puisi ke TC melalui pos. Tentu editor yang pernah mengendalikan TC pada ketika itu menyedarinya. Hinggakan pernah pada tahun 2009 terdapat lima (5) buah puisi dan tahun 2010 enam (6) buah puisi yang mendapat tempat di TC. 

Selain itu, ada juga saya cuba-cuba menghantar karya baik cerpen mahupun puisi ke akhbar. Malangnya tiada sebuah cerpen pun yang tersiar di akhbar. Begitu juga di majalah. Ini bermakna tiada sebuah cerpen pun yang saya hantar menggunakan pos yang disiarkan oleh editor tersebut. Saya berfikiran positif barangkali cerpen saya ketika itu masih perlu diperbaiki. Namun itu tidak mematahkan semangat untuk saya terus berkarya dan menghantarnya ke media.

Sehinggalah saya memiliki akaun e-mel. Persoalannya adakah e-mel adalah suatu kehendak atau keperluan? Bagi saya e-mel adakah keperluan. Bukan lagi kehendak. Seorang penulis perlu memiliki e-mel sendiri. Bukan sahaja untuk memudahkan proses menghantar karya malah melalui e-mel juga dapat menjalinkan hubungan dengan rakan penulis yang lain. Barangkali ada yang menghukum saya sebagai penulis kuno kerana sekarang ini sudah ada kemudahan laman muka buku. Tetapi bagi saya e-mel lebih bersifat peribadi yang mana hanya pengirim dan penerima sahaja yang boleh membaca sesesuatu bahan yang dikirimi itu. 

*Agak terkilan kerana tidak dapat mengunjungi PBAKL buat kali kedua. Banyak sangat kekangannya. Saya mempelawa pengunjung-pengunjung PBAKL untuk berkongsi pengalaman dengan saya. 


Rabu, 2 Mei 2012

Pandangan Kalian Tentang PBAKL

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sudah berlangsung selama enam (6) hari. Jadi apa pandangan kalian tentang acara ini? Adakah ia meriah? Sekiranya ia meriah dari segi apa kalian melihat? Adakah dari segi jumlah pengunjung? Acara pentas mahupun koleksi buku yang dijual?

Bagi saya yang mengunjunginya pada hari kedua saya merasa agak kecewa dengan gerai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pertamanya kerana koleksi buku yang dijual terhad. Majalah DBP terbitan lama juga sudah tidak dijual. Kecuali tahun 2011 dan ada sedikit 2010. Mengapakah DBP tidak mengambil kesempatan ini untuk menjual koleksi buku yang berlonggok sahaja di stor mereka? Seharusnya masa inilah paling sesuai memandangkan jumlah pengunjung yang ramai.

Namun kepada peminat KEMALA bolehlah dapatkan kumpulan puisi, cerpen dan drama beliau di gerai DBP. Buku-buku ini adalah cetakan Edisi Khas Sasterawan Negara. Kepada yang mencari novel Hujan Pagi karangan A. Samad Said juga ada di sana. Itupun kalau belum habis.

Hari itu saya pergi hanya ada Tunas Cipta dan Dewan Kosmik bulan Mei 2012 sahaja yang ada. Harap-harap kalau saya pergi sekali lagi majalah-majalah lain akan dan masih ada terutamanya Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa.

*Saya harap kepada yang berkesempatan mengunjungi PBAKL dapat berkongsi cerita dengan saya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78