Pengikut

Jumaat, 25 Januari 2019

Dapatkan Antologi Cerpen Kanak-kanak: Kartunis Muda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.



Bagaimanakah dengan perkembangan penerbitan kumpulan cerpen kanak-kanak? Berkembang atau menguncup? Penerbit mana lagi selain DBP yang mahu menerbitkan buku genre ini?

Saya ada menghantar sebuah manuskrip kumpulan cerpen kanak-kanak ke sebuah syarikat penerbitan untuk penilaian penerbitan, namun tiada sebarang khabar sama ada manuskrip itu lulus diterbitkan atau sebaliknya. Benarlah, penantian tanpa khabar ialah satu penyiksaan.

Jalan lain, penulis berkolaboratif menerbitkan antologi. Jika melihat perkembangan penerbitan antologi cerpen kanak-kanak dahulu dengan sekarang, jauh bezanya.

Nama seperti Othman Puteh antara penyelenggara antologi cerpen kanak-kanak dan remaja yang disegani. Namun, setelah beliau tiada, penerbitan antologi dalam genre ini seperti agak tenggelam.

Walau bagaimanapun, usaha Pak Cu Hamidi Md Yudin yang bertindak sebagai penyelenggara antologi cerpen dan puisi kanak-kanak dapatlah dikatakan sebagai penyambung nyawa menghidupkan semula penerbitan antologi dalam genre ini.

Buktinya, "Kartunis Muda" yang menghimpunkan 14 buah cerpen kanak-kanak yang pernah disiarkan dalam majalah Dewan Pelajar diterbitkan oleh DBP.

Antologi ini turut memuatkan tiga buah cerpen saya termasuklah "Ujian Kejujuran", "Anugerah Syawal nan Mulia" dan "Haikal".

Ya, kerja-kerja penyelenggaraan antologi bukan mudah apatah lagi melibatkan banyak penulis. Oleh itu, satu kejayaan bagi seorang penyelenggara apabila antologi yang diselenggara berjaya diterbitkan bawah penerbit terkemuka seperti DBP.

Terbaharu, penerbit Wacana MBM yang diterajui oleh Cikgu Mohamad Musip, telah melancarkan projek penulisan cerpen kanak-kanak. Sebanyak lima edisi antologi cerpen kanak-kanak dengan lima tema terpilih bakal diterbitkan. Usaha Wacana MBM menerbitkan dan menyediakan bahan bacaan yang berkualiti untuk kanak-kanak wajarlah dipuji.

Sebagai penulis cerpen kanak-kanak pula, aspek penulisan genre ini haruslah dikuasai terlebih dahulu. Sudah pastilah gaya penulisan cerpen kanak-kanak berbeza dengan penulisan cerpen remaja dan dewasa.

Untuk itu, pengkajian, penelitian dan pembacaan yang meluas perlu dilakukan. Sekiranya ada rakan-rakan berminat untuk menulis atau membaca cerpen kanak-kanak, saya cadangkan untuk rakan-rakan mendapatkan Kartunis Muda sebagai bahan bacaan tambahan.

Dengan harga RM10 (termasuk pos biasa), rakan-rakan dapat membaca 14 buah cerpen kanak-kanak pelbagai tema seperti keberanian, nilai persabahatan, kasih sayang, keinsafan dan kekeluargaan. Hubungi saya segera!

#KartunisMuda #Cerpenkanakkanak #BukuDBP


1 ulasan:

  1. Semoga penerbitan cerpen kanak-kanak dapat terus berkembang, aamiin. Karena banyak sekali hikmah yang bisa dipetik dari cerita-cerita khas kanak-kanak

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78