Pengikut

Isnin, 5 Jun 2017

Tip Menulis Karya Bertema dalam Majalah dan Akhbar

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Kerja-kerja menulis juga perlukan perancangan yang rapi. 

Apa itu perancangan?

Baik, apabila menyentuh tentang perancangan, penulis perlu membina jadual kerja untuk menghasilkan karya.
Jadual kerja itu merangkumi tema karya, tempoh masa karya dihasilkan dan bila karya itu perlu dihantar kepada editor.

1. Tema Karya
Untuk menghasilkan karya bertema atau sempena perayaan, penulis terlebih dahulu perlu menyenaraikan tema yang ada untuk memudahkan penulis menulis. Misalnya:

i. Tahun Baharu
ii. Tahun Baharu Cina
iii. Hari Ibu
iv. Hari Guru
v. Hari Bapa
vi. Hari Kemerdekaan
vii. Bulan Ramadan
viii. Hari Raya Aidilfitri / Aidiladha
x. Hari Deepavali / Krismas

Senarai di atas sekadar beberapa sahaja.

Apabila penulis berjaya menyenaraikan tema tersebut, akan memudahkan penulis untuk menulis dan menyasarkan karya yang hendak dihasilkan dalam tempoh waktu tertentu.

2. Tempoh Masa
Bila karya bertema tersebut perlu dihasilkan? Sudah pastilah tiga bulan awal daripada bulan sambutan perayaan tersebut.

Namun, penulis juga haruslah bijak menganalisis akhbar dan majalah manakah yang menyiarkan karya bertema tersebut.

Adakala, tema yang disenaraikan itu hadir serentak atau bertindih. Misalnya, Hari Ibu dan Hari Guru pada bulan Mei.

Jika penulis tidak melakukan "kerja rumah" dengan menganalisis sesebuah penerbitan, sudah pastilah penulis akan menanggung kerugian apabila karya yang dihantar disisihkan.

3. Penghantaran Karya
Bila karya bertema ini perlu dihantar? Secara puratanya, dapatlah dianggarkan begini.

Bagi penerbitan sebuah majalah bulanan, sudah pastilah penulis perlu menghantar sekurang-kurangnya tiga bulan awal.

Manakala bagi penerbitan akhbar bolehlah dihantar dua bulan awal.

Berikut merupakan perincian karya saya yang bertema Ramadan yang pernah disiarkan dalam majalah dan akhbar.

Tahun 2012
1. Seri Muka Ramadan - Jelita, Julai 2012
2. Dangai Ramadan - Wanita, Julai 2012
3. Memerdekakan Ramadan - Harmoni, 15-30 Julai 2012
4. Mabuk Cinta Keladi - Perempuan, Julai 2012

Tahun 2013
5. Kuseru Nama-Mu ke Langit Ramadan Jelita, Julai 2013
6. Sayur Keladi di Atas Bukit - BH Ahad, 3 November 2013

Jika penulis bijak merancang, tidak mustahil pada satu-satu tahun, penulis dapat melihat lebih daripada sebuah karya yang disiarkan dalam akhbar dan majalah.

Mohd Helmi Ahmad
Penulis Cerpen Eceran Majalah dan Akhbar

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78