Pengikut

Jumaat, 19 September 2014

Novel Langka yang Diterbitkan Semula

Assalamualaikum.

Sekiranya ada yang sudah "menjadi kawan" saya di Facebook pasti menyedari yang saya ada berkongsi koleksi bacaan saya. Status siri Koleksi Bacaan saya itu akan saya teruskan untuk memberi pilihan kepada pembaca atau ulat buku yang suka membaca. Tiada niat untuk saya menunjuk-nunjuk yang saya membaca buku itu buku ini. 

Setelah mengenali dunia Facebook, saya turut menyertai kelab atau kumpulan Kolektor Buku2 SeMalaysia dan Pasar Buku Malaysia. Kedua-dua kelab ini cuba berkongsi koleksi bahan bacaan langka yang dimiliki. Jika bernasib baik, mereka turut menjual koleksi yang ada kepada yang berminat. 

Berbalik pada siri Koleksi Bacaan saya, eloklah saya lanjutkan di sini juga untuk tujuan perkongsian. 

Novel Nostalgia Terbitan Alaf 21


Sekitar tahun 2006 dan 2007, Alaf 21 muncul dengan terbitan Novel Nostalgia. Antara matlamat terbitan ini adalah untuk memberi peluang pada generasi baru untuk menatap karya sastera yang kaya dengan mesej tersirat untuk dijadikan iktibar bersama.

"Sesebuah karya yang baik tak akan lekang dek panas, tak lapuk dek hujan meski berabad lama usianya.

Dalam tempoh penerbitan itu sempat saya memiliki empat buah novel tersebut.

1. Ranjau Sepanjang Jalan - Shahnon Ahmad (2006).
2. Badai Semalam - Khadijah Hashim (2006).
3. Tukcai - Azizi Abdullah (2007).
4. Jalur Dinar di Celah Daun - Zaharah Nawawi (2007).

Bagaimanapun, terbitan Novel Nostalgia ini terhenti begitu saja. Seharusnya, siri ini diteruskan untuk penerbitan novel sastera yang lain. Barangkali Puan Sri Diah boleh menjawab tentang perkara ini.

#Sekiranya diberi peluang untuk mengemukakan judul karya sastera tersebut, anda mahu novel apa dicetak ulang?


Ameen Kreatif terbitkan novel Azizi Hj Abdullah


Selain daripada Alaf 21 yang menerbitkan Novel Nostalgia, Ameen Kreatif turut menerbitkan semula karya (novel) sastera seperti novel Allahyarham Azizi Hj Abdullah.

Antara novel beliau yang terpilih:

1. Suriati (2009).
2. Beruk (2010).
3. Anak Belantara (2011).
4. Badai Cinta (2011).


*Anak Belantara pernah diterbitkan oleh Marwilis Publisher, 1992 dengan judul Anak Belantara Tropika.

*Badai Cinta pula pernah diterbitkan oleh Creative Enterprise, 1996 dengan judul Ateik Putriba.

*Beruk pula diangkat Dari cerpen "Beruk" dan pernah menjadi bacaan teks sastera untuk SPM.

*Suriati juga pernah diterbitkan pada tahun 1993 dengan judul yang sama.

Novel Langka Harus Diterbitkan Semula


Dalam hayat pengarangan Allahyarham Azizi Hj Abdullah banyak karya yang telah dihasilkan beliau. Antaranya yang telah saya miliki hasil pencarian yang bersungguh-sungguh ialah:

1. Pertiwi - kumpulan cerpen terbitan Teks Publishing (1985).
2. Wi & William - novel Hadiah Novel National 1992/94 terbitan UP&D (1995).
3. Anak Kampung Kuala Raga - novel remaja terbitan DBP (1991).


Karya-karya begini harus dibaca dan dicetak ulang.

Setelah berkongsi koleksi buku ini di Facebook ada yang memberi maklum balas bahawa buku yang diterbitkan semula harus diberikan promosi dan diketengahkan pada khalayak. Promosi yang berterusan ini adalah untuk memastikan karya yang berkualiti ini disedari pembaca dan sampai kepada pembaca untuk ditelaah. 


2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78