Pengikut

Khamis, 24 Mei 2012

Cerpen- Pulut Durian Santan Kelapa (silalah nikmati)



PULUT DURIAN SANTAN KELAPA
Bera marah kepada penjual durian belum lagi reda kini anak-anak pula buat hal. Abang Syawal menarik muka cemberut. Darahnya menyerbu ke muka. Jangan-jangan ada yang hendak tegur. Nanti dibaliknya maki hamun. Abang Syawal memang orangnya panas baran. Macam orang yang makan durian. Cepat saja panas badan. Tapi ada caranya menghilangkan kepanasan itu. Petua ayah, ambil kulit durian yang dimakan dan masukkan sedikit air dalam pangsa kulit durian itu. Kemudian minum. Harap-harap panas menjaram di dalam badan hilang tidak pun kurang.  
Kebetulan ketika itu aku singgah sebentar di rumahnya sebelum aku pulang ke kampung menjenguk ibu dan ayah. Dengar aku mahu pulang ke kampung Abang Syawal mahu kirimkan sesuatu kepada ibu dan ayah. Sebab itulah aku singgah sebentar di rumahnya untuk mengambil pesanan itu. Abang Syawal kalau dah berleter mengalahkan perempuan. Kak Seri pun kalah. “Tak guna punya penjual durian, ditipunya aku hidup-hidup. Dahlah dicekeknya darahku.” 
Mulanya aku sekadar menelinga. Biarlah Abang Syawal menghabiskan rasa tidak puas di hatinya yang menimbun bukit itu. Tetapi lama kelamaan carutan Abang Syawal semakin menjadi-jadi pula seperti orang yang tidak ada iman. Bukankah amarah itu api syaitan. Maka sebagai seorang Islam kekuatan iman adalah sebagai pendindingnya. Ayah selalu menasihati kami adik-beradik. “Jangan dilawan jangan dituruti nafsu syaitan itu. Pergilah berwuduk secepat mungkin. Segala kekeruhan akan segera terluntur bersama jirusan wuduk itu.”
“Dahlah. Mungkin itu rezekinya. Rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.” Aku menghulur air penyeyuk. Moga-moga hati yang mengelodak panas setidak-tidaknya menjadi suam.
“Rezeki, rezeki juga. Takkan nak bagi makan anak bini dengan duit yang haram. Mana nak cari keberkatannya.” Abang Syawal masih tidak mengaku kalah.
“Satu kilo RM 10. Kalau tiga biji itu beratnya dah lima kilo mahu tak RM 50 harganya. Kata durian dari baka cantik. Apa gunanya kalau duri saja cantik tapi isi di dalam tak sehebat secantik kulitnya.” Pedas. Tajam. Kata-kata Abang Syawal mengandung sindiran. Kerana anak-anaklah dia sanggup membeli buah durian itu. Kalau tidak tunggu musim durian jenuh barulah Abang Syawal berkira-kira mahu membelinya. Pada masa itu harga durian akan jatuh. Sudah sehabis ikhtiar Abang Syawal menahan nafsunya untuk menikmati durian. Bukannya tidak tahu, Abang Syawal memang hantu durian. Pantang nampak durian, sebiji dimakannya habis.
“Dalam satu biji durian itu tak semua pangsanya elok. Macam juga dalam sebuah keluarga, anak-anak tak sama perangainya. Ada yang jenisnya mahukan belaian manja, ada yang nakal, ada yang bijak, ada pula yang kurangnya. Kita sebagai ibu bapalah yang harus bijak mencoraknya. Sabun yang dipegang di tangan jangan terlalu kuat, jangan pula terlalu lembut. Nanti terlepas jatuh.” Cakap-cakapku masih berlapik-lapik. Aku tidak mahu Abang Syawal terasa hati.
“Aku cakap fasal durian. Dah kau pergi melalut sampai ke sabun itu buat apa? Bukan senang aku nak cari duit nak beli durian tu. Anak-anak bukannya faham. Sekarang bukan musim durian sebenarnya lagi. Durian masih tak jenuh di pasaran. Mahalnya bukan main. Itu tak bermakna penjual mengambil kesempatan dengan menjual dengan harga yang tinggi. Bila dah tiba musim durian, jenuh di pasaran masa itu mereka melalak, merayu tak cukup suara. Ada yang sangup jual serendah RM 0.50 sekilogram. Masa itu barulah mereka mengelabah. Durian dah tak jadi duit. Bersepah saja di dusun. Pekebun pun tepuk dahi. Tupaipun dah muak nak kerjakan setiap hari.”
“Itulah lumrah kehidupan. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Adakala kita di atas adakala kita di bawah. Jadi kenalah sediakan payung sebelum hujan. Sebab orang kita malas berfikir. Bukankah Allah bagi akal kepada manusia untuk berfikir. Ada hesmisfera kanan ada hemisfera kiri. Durian itu bukan sahaja boleh dimakan begitu sahaja. Banyak lagi produk yang boleh dihasilkan dengan menggunakan durian. Misalnya tempoyak yang popular di Perak. Kenapa kita tak komersialkan hingga ke peringkat antarabangsa? Selain itu, dodol perasa durian, lempok, jem, gula-gula perasa durian, aiskrim dan banyak lagi yang boleh menjadi nilai tambah bagi mengurangkan lambakan durian di pasaran.”
Tiba-tiba sahaja kenangan musim durian menjengah tiba.  
“Abang ingat lagi tak peristiwa 20 tahun lalu (rupa-rupanya zaman kanak-kanak sudah berlalu 20 tahun). Masa itu ayah ada bawa balik seuncang plastik hitam buah durian ke rumah. Masa tu bukan main seronok lagi kita adik-beradik. Meloncat-loncat kita. Ibu awal-awal lagi dah siap tanak pulut bila ayah beritahu dia keluar untuk membeli durian di pekan. Bukan senang nak makan durian. Setahun sekalipun susah. Iyalah kita bukan dari keluarga senang. Nak cari sesuap nasipun kena kerah tenaga sampai meleleh-leleh peluh turun.”
“Belumpun lagi durian sampai ke rumah kita dah tunggu di depan tangga di halaman rumah. Bila nampak saja kelibat ayah mengayuh basikal di batas bendang kita berlari sekuat habis ke arah ayah. Batas bendang yang lecah tidak kita pedulikan lagi. Apa yang penting kenikmatan menikmati durian menjadi idaman.” 
“Kau ingat lagi, masa tu kau menangis sebab tak dapat makan duriankan? Durian yang ayah beli semuanya buruk. Hanya beberapa biji saja yang elok. Ada pula yang busuk, masam. Hidup-hidup penjual itu tipu ayah. Tipu kita sekeluarga. Sampaikan pulut yang ibu tanak kita terpaksa makan dengan ikan kering. Walhal pulut itu sedap kalau dimakan dengan durian bersama santan yang lemak itu. Lepas itu letak sedikit gula. Wah, lazatnya tak tergambar. Meleleh air liur…”
“Haha… hahah…hahah.”
“Tapi, ayah ada cakap selepas tu. Bukan salah penjual durian tu. Ayah yang pilih nakkan durian tu. Sebab durian tulah harga yang paling murah. Yang lain dijual kira timbang kilo. Mana nak ada duit kalau beli yang timbang kilo. Iyalah satu kilo dah berapa ringgit. Jadi pilihan terakhir ayah beli yang sudah dilonggok ke tepi. Untung-untung elok. Tapi ayah bersyukur sebab dalam banyak-banyak yang ayah beli ada sebiji dua yang elok. Yang kita makan. Ayah dan emak tak makan pun yang elok tu. Semuanya kita makan sampai licin. Mereka hanya tengok kita makan. Katanya biarlah anak-anak yang makan dulu. Hati mereka puas dan senang. Sampaikan durian yang terakhirpun mereka tidak menunjukkan minat untuk menjamah. Selagi anak-anak tak menjilat jari selagi itu jangan-jangan mereka nak merasa. Ayah dengan emak makan yang masam sahaja. Itu sudah memadai. Emak dan ayah tak pernah merungutpun sebab durian yang masam masih boleh dimakan. Masih boleh dibubuh dalam asam cabai. Sedap. Boleh jadi lauk sepinggan dua makan dengan nasi.”  
Abang Syawal pandang ke bakul sampah yang terperosok di sudut paling hujung di ruang dapurnya. Kak Seri berada tidak jauh dari kami. Dia sibuk melayan kerenah anak-anaknya. Dalam bakul sampah itulah Abang Syawal membuang buah durian yang masam. Sebenarnya Abang Syawal bukan sahaja telah membuang buah durian itu tapi telah membuang nilai kesyukuran sekali ke dalam bakul sampah itu. “Kita harus bersyukur. Kita masih punya makanan. Makanan itu masih memberi tenaga kepada kita untuk teruskan kehidupan, mengerjakan suruhan Allah SWT. Di luar negara, di Bosnia, Afganistan, Somalia mereka hidup dalam kebuluran, kemiskinan yang melampau hinggakan meragut nyawa. Kehidupan mereka sangat papa. Mereka bekerja, mencari makan untuk hidup. Tapi orang kita, hidup untuk makan. Hinggakan ada yang mati kerana terlebih makan. Itu semua penyakit kronik yang dihidapi oleh orang kita bukan kerana apa-apa tapi kerana cara pemakanan kita yang tidak dikawal. Kerana terlebih gula kita diserang kencing manis. Terlebih garam, kita diserang darah tinggi. Obesiti di negara kita menjadi-jadi. Bukan kerana apa, tapi hanya keinginan yang meluap-luap, pengawalan nafsu yang lemah.” Nasihat ayah masih bergema-gema di corong telinga.
Abang Syawal bangun meninggalkan aku yang berada di dapur. Dia terus ke ruang tamu. Kak Seri memandang ke arahku. Selepas itu matanya mengekori langkahan Abang Syawal. Abang Syawal membuka laci almari yang menempatkan album gambar. Dikeluarkan album gambar. Lalu dihenyakkan punggungnya ke sofa. Abang Syawal tenggelam dalam kenikmatan berada di ruang yang selesa dan nyaman. 
Aku mengikuti Abang Syawal ke ruang tamu. Aku mengambil tempat sofa yang mengadap hadapannya. “Kenapa?”
“Ini kau cuba lihat. Gambar semasa kita berniaga di pasar malam.”  
Aku bangun dan mendekati Abang Syawal. Aku cuba mengingati kenangan manis itu. Ya memang benar itu gambar ketika kami curi-curi mengikut Pak Sidek berniaga di pasar malam. Kerana curi-curi berniaga itulah kami telah menipu ayah dan emak. Kami cakap kami nak ke rumah kawan ulangkaji pelajaran. Tapi sebenarnya kami ke pasar malam untuk menolong Pak Sidek menjual buah durian. Abang Syawal bijak matematik. Jadi dialah yang tolong Pak Sidek mengira. Pada malam itu Abang Syawal menjadi akautan tak bertauliah buat seketika. Aku pula tolong-tolong bersihkan kulit durian dengan berus. Dan tugasku lagi melaung-laung menarik hati pelanggan untuk singgah ke gerai kami untuk membeli durian. Kata Pak Sidek aku bijak bermain kata. Sebab itu dia terima aku untuk bekerja dengannya. Sejak itu setiap minggu kami boleh menikmati durian. Ada juga yang kami bawa balik. Mula-mula ayah tidak mengesyaki apa-apa tapi setelah lama juga kami sembunyikan perkara itu akhirnya terbongkar juga. Ayah kecewa sebab dia tidak pernah mengajar anak-anaknya menipu. Tapi setelah kami jelaskan kepada ayah, ayah memaafkan kami. Dan kami janji tidak akan menipu lagi.
“Kau nak balik ke kampung bila?”
“Esok pagi.”
“Balik naik apa?”
“Bas. Tiket dah ambil. Pukul 7 pagi. Itulah kalau Abang tak ada apa-apa kerja boleh tolong hantarkan saya ke Hentian Pudu Sentral!”
“Oh, sebelum terlupa abang suruh saya datang ke rumah abang katanya ada benda yang nak dikirimkan. Mana bendanya?”
“Esok pagi saja abang berikan.”
Azan subuh berkumandang. Selepas membersihkan diri, mengambil wuduk aku bersujud ke atas hak pemilik bumi ini. Pada Dialah kuserahkan segala amalanku.
Beg siap dikemas. Aku keluar dari bilik. Abang Syawal dan Kak Seri masih berkurung di dalam bilik. Aku menuju ke bilik mereka. Tanganku sedia mengetuk pintu bilik. Baru mahu mengangkat tangan tiba-tiba Abang Syawal membuka daun pintu. Abang Syawal mengheret sebuah beg. Barangkali itulah barang yang hendak dikirimnya. Entah apa isi di dalamnya. “Takkan abang masukkan buah durian ke dalam beg dan nak kirim ke kampung. Besar sangat beg tu.” Selorohku.
“Bukan setakat buah durian yang abang nak kirimkan, kalau boleh dengan pokok-pokoknya sekali. Ada-ada saja adik abang ni. Sebenarnya abang nak kirim Kak Seri dan anak-anak abang beserta abang sekali ke kampung. Setelah kami berbincang.”
“Saya tak faham.”
“Eh, belajar tinggi-tinggi pun tak faham lagi. Cakap ambil jurusan bahasa takkan ayat mudah macam tu pun tak faham.”
“Hee….”
“Sebenarnya kami nak ikut adik pulang ke kampung. Nak jenguk ayah dan ibu. Rasa rindu pula.” Terang Kak Seri.
“Elok sangatlah tu. Nanti dalam perjalanan kalau ada orang yang menjual durian di tepi jalan kita singgah beli. Dah lama tak makan pulut durian santan kelapa. Dah tiba masanya kita bagi ayah dan mak makan durian baka yang terbaik.” 


*Pertama kali terbit di BERITA MINGGU, AHAD, 6 MEI 2012

9 ulasan:

  1. terima kasih menjemput saya ke teratak indah ini, saya tak makan durian, tapi saya suka melihat ramai yang menunggu musimnya.. :)

    BalasPadam
  2. Sama-sama. Saya harap cerpen ini akan meninggalkan kesan positif kepada pembaca.

    Itulah penangan Raja Buah.

    BalasPadam
  3. saya sukakan durian, dan saya sukakan penulisan saudara. saya harap saya boleh menulis seperti saudara. terima kasih kerana menjengah rumah saya dan tinggalkan komen.

    BalasPadam
  4. Terima kasih kembali deksnami kerana sudi memenuhi undangan saya. Harap saudara memperoleh sesuatu untuk dibawa pulang setelah menikmati Pulut Durian Santan Kelapa.

    Insyaallah, jika ada kemahuan, disiplin yang tinggi pasti saudara juga boleh menulis.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78