Pengikut

Sabtu, 26 Julai 2014

Kepulangan di Aidilfitri

Assalamualaikum.



Alhamdulillah, malam tadi selamat sampai di kampung pada pukul 10.40 malam. Bertolak petang semalam kira-kira pukul 3 petang. Bagi yang hendak memulakan perjalanan pulang ke kampung hari ini, berhati-hati di jalan raya. Memandulah dengan selamat. 

Sememangnya kepulangan di Aidilfitri sebagai anak rantauan sangat nostalgik. Sewaktu saya menuntut di UPM dahulu, sebulan awal ke Pudu Sentral untuk membeli tiket. Bagi yang pernah menaiki bas sewaktu musim perayaan pasti mengingatinya apabila perjalanan ke arah Utara penumpang perlu menaiki bas di Hentian Jalan Duta. 

Kali pertama saya menaiki bas di sini, saya hampir-hampir tertinggal bas apabila saya menyangka bas akan berhenti di platform yang ditetapkan. Rupa-rupanya bas saya telah bertolak. Oh, nasib baik ada bas yang terakhir yang membuat perjalanan ke Alor Setar. Saya terpaksa menumpang bas tersebut untuk pulang ke kampung.


Rabu, 23 Julai 2014

Ketupat Palas di Hari Raya

Assalamualaikum.

Wah, seminggu saya tidak menerbitkan sebarang entri! Bukan tidak dijenguk blog ini, tetapi tiada apa yang hendak dikongsikan. Namun, hari ini saya rajinkan jemari untuk mencoret sebarang kisah untuk perkongsian bersama. 

Saya pasti, mood untuk berhari raya semakin dirasai. Saya pun begitu. Berkira-kira untuk pulang ke kampung untuk berjumpa keluarga, berbuka bersama dan menyambut Aidilfitri. Bagaimanapun, kami warga pendidik masih dalam dilema sama ada hari Jumaat ini sekolah dberi cuti ataupun tidak. Pada mulanya, khabar angin mengatakan cuti, namun sehingga hari ini hitam putihnya belum dikeluarkan. Oleh itu, hari Jumaat ini sesi persekolahan perlu diteruskan. 

Menyentuh tajuk entri kali ini, seperti terakam satu nostalgia bagi saya setiap kali menyambut Aidilfitri. Saya pernah menulis sebuah cerpen berjudul Ketupat Palas Nasi Himpit. Cerpen ini disiarkan di majalah Era Muslimah pada tahun lepas kalau tak salah. Mengisahkan pasangan kembar dari sebuah keluarga yang mengidam untuk menikmati ketupat palas. Sedangkan ibunya tidak tahu untuk menganyam ketupat palas. Puncanya, generasi kini yang tidak pernah hendak belajar untuk menganyam ketupat palas. Biarpun si ibu cuba belajar daripada video di internet, sememangnya amat sukar hendak dipraktikkan.

Keduanya, pastilah konflik sampingan yang saya wujudkan adalah perselisihan faham antara anak dengan ibu menyebabkan (perkahwinan yang tidak direstui) telah membawa haluan anak mengikut suami. Namun, pengahirannya, saya pertemukan semula si anak dengan si ibu yang akhirnya menyebabkan pasangan kembar dapat menikmati ketupat palas (nenek). 

Di tempat saya, sememangnya ketupat palas menjadi juadah wajib untuk disediakan. Kemudian, kari daging dijadikan pencecahnya. Ada juga yang menyediakan serunding. Oh, nikmatnya mengecurkan liur!

Beberapa hari menjelang hari raya, ayah akan membeli daun palas di pasar hari. Kemudian, mak saya akan membuka daun palas lebih awal (menganyam kelongsong ketupat). Saya turut membantu. Pada sehari sebelum hari raya, mak akan menanak pulut separuh masak yang telah diadun dengan santan dan dimasukkan sedikit garam. Kerja saya pula mengeluarkan pulut tersebut daripada periuk lalu diletakkan di atas talam (dulang) besar agar pulut itu sejuk. Hal ini penting supaya kerja-kerja menyumbat pulut dalam kelongsong mudah dilakukan. Setelah siap dianyam, saya akan menggunting tangkai ketupat yang panjang sebelum dimasukkan ke dalam periuk untuk direbus.

Bagi saya ketupat palas penyeri hari raya. Tak ada ketupat palas macam tak raya pula.


Selasa, 15 Julai 2014

Selangkah Memasuki Gerbang Ilmu

Assalamualaikum.

Salam Nuzul Al-Quran saya ucapkan. Alhamdulillah, hari ini merupakan hari ke 17 kita berpuasa di bulan Ramadan. 



Sewaktu balik bercuti persekolahan lalu, saya sempat membelek-belek rak buku saya yang semakin sendat. Wah, teruja saya apabila koleksi buku saya semakin banyak! Nampaknya pada tahun akan datang sekiranya dimurahkan rezeki lagi untuk saya membeli buku, maka saya perlu memikirkan alternatif lain untuk menyimpannya sama ada membeli rak baharu ataupun menindannya lagi seperti yang dilakukan sekrang ini.



Saya masih menyimpan antaranya buku nota persekolahan saya dan adik-adik saya. Biarlah buku ini masih di rak itu selagi ada ruang untuknya selama mana buku ini bertahan. Biarpun, buku-buku nota ini pernah disuarakan supaya dibuang sahaja kerana dalam keluarga saya sudah tidak ada yang bersekolah. Namun, atas sifat sayangkan buku tersebut saya masih pertahankannya untuk disimpan. 

Biarpun orang menganggap buku bukan lagi sumber terbaik untuk mendapatkan maklumat atas alasan, mahal, sukar untuk diperolehi, lambat untuk dicapai namun saya masih percaya bahawa buku adalah bahan terbaik untuk kita memperkayakan ilmu. 

Saya sememangnya berhasrat untuk membina sebuah perpustakaan mini. Jika perlu bolehlah dibuka untuk rujukan orang ramai pula. Selangkah kita memasuki gerbang ilmu kita selamanya berada dalam kejayaan. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78