Pengikut

Jumaat, 31 Mei 2013

Bacaan Kali Ke-2 Waris Pejuang


"Sejarah sukar ditulis, walaupun mengenai perkara yang munasabah, tanpa melibatkan begitu banyak kronologi."  Ruhaini Matdarin


Saya mencari idea untuk menulis. Terlintas difikiran akan novel yang memenangi tempat kedua HSKU 2012 iaitu Waris Pejuang. Ada sesuatu yang istimewa yang perlu diselongkarkan.

Salah satu cara untuk saya memulakan penulisan ialah memaksa diri. Jika tidak bermula, tidak akan nampak perkembangan, akhiran dan hasilnya. Maka, tanpa perlu menunggu ilham turun dari langit, saya paksakan diri untuk memulakannya.


Saya pegang Waris Pejuang, saya capai sebatang pensel lalu saya gariskan idea yang bakal saya terjemahkan dalam bentuk penulisan nanti. Sesungguhnya, bentuk penulisan itu bukanlah ulasan buku.

Insya-Allah sekiranya ada rezeki saya akan kongsikan nanti.

Khamis, 30 Mei 2013

Menuju ke Puncak Rindu

Alhamdulillah, saya telah selamat sampai ke puncak rindu, iaitu di mana tempat kampung halaman yang menghuni kedua ibu bapa saya dan keluarga yang tercinta. Bertolak pukul 6.00 petang dan tiba di stesen Alor Setar kira-kira pukul 1.00 pagi. Disambut oleh ayahanda saya. Terima kasih kepadanya yang tidak jemu menjemput saya pulang ke rumah.

Badan tidak berapa sihat. Jadi, aktiviti perlu dihadkan. Kerja-kerja penulisan yang tertangguh difikirkan hendak dilunaskan, sebaliknya perlu memberi ruang kepada diri untuk berehat dahulu. Rasanya sudah lama tidak demam. Barangkali inilah nikmat setelah berhempas pulas saya bekerja. Masa 'sakit' memberi peluang untuk saya merehatkan diri.

Setelah memasuki bilik yang menempatkan tiga buah rak buku saya, alangkah kecewanya saya apabila rak itu diselaputi habuk. Nampaknya, selama saya meninggalkan bilik itu, tiada sesiapa yang menjengah. Oh, adakah selama ini saya hanya syok sendiri. Bagaimanakah hendak saya membudayakan amalan membaca dalam keluarga saya?

Anak buah saya pernah menunjukkan minat untuk membaca. Abang saya iaitu ayahnya pernah menyuarakan pendapat supaya anaknya meminjam sahaja buku daripada koleksi saya. Dan, saya tidak pula keberatan. Bukankah itu lebih baik daripada terbiar sahaja di rak buku. Namun begitu, setelah meminjam haruslah pandai memulangkannya dan menjaga seperti mana yang saya jaga. Hingga hari ini, impian itu sekadar tinggal impian. Sebuah buku pun tidak dipinjamnya. Mungkin anak buah saya itu sibuk untuk mengulang kaji dan menumpukan perhatian untuk menghadapi UPSR. 

Sekian.



Selasa, 28 Mei 2013

Sang Pemimpi VS Jom Menulis


Kali pertama saya membaca karya andrea hirata iaitu Laskar Pelangi, saya telah jatuh hati dengan bahasa dan susunan ceritanya. Kemudian, karyanya terus menjadi buruan saya. Sang Pemimpi telah lama saya idamkan untuk memilikinya. Namun baru kini dapat memilikinya. 

Jom Menulis karya Marsli N.O merupakan sebuah buku motivasi penulisan kreatif. Tidak rugi memilikinya. Andai anda ingin menjadi penulis yang bijaksana, bacalah buku ini. 





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78