Pengikut

Sabtu, 31 Disember 2011

Menuju Penghujung Waktu


Benarkah masa pantas berlalu hingga kita sebagai manusia lelah mengejarnya? Tepuk dada tanyalah diri sendiri.

Penghujung waktu semakin tiba. Ada yang sudah berkira-kira untuk melangkah ke tahun baharu iaitu 2012 dengan semangat berkobar-kobar. Dengan keazaman untuk mencapai impian yang lebih besar pada tahun hadapan. Adakah azam pada tahun ini terlaksana? Dalam keghairahan mengejar azam baru, jangan lupa bermuhasabah.

Menyorot kembali perjalanan tahun 2011, dalam penulisan saya berpuas hati kerana karya-karya saya banyak yang tersiar dari dibakul sampahkan. Ada juga karya yang berjaya menerobos masuk ke media yang sebelum ini tidak pernah. Seperti puisi saya yang berjudul Waktu Bersayap Putih di Mingguan Malaysia. Inilah satu-satunya puisi saya yang berjaya memecahkan tombok kebal Mingguan Malaysia. Terima kasih editornya. Begitu juga dengan puisi yang berjaya menempatkan dalam Harian Metro. Tiga buah puisi ini memberi makna kepada saya. Bermula dengan Bersila di Beranda Takdir, Bunga Sejambak di Konvokesyen dan Kemilau Pelita Lampau. Selain itu majalah Perempuan juga tidak ketinggalan memberi ruang kepada puisi dan cerpen saya untuk tatapan pembaca. Dengan puisi berjudul Memugar Ladang Jiwa dan cerpen Mengejar Sarjana Muda. Masing-masing ada kisahnya. 

Dalam kesukaan masih ada dalam kesedihan ataupun kekecewaan. Saya masih mencuba untuk menempatkan karya saya di beberapa media yang belum pernah berjaya hingga kini. Selaku penulis tentulah mengidamkan melihat karya tersiar di majalah yang punyai reputasi hebat seperti Dewan Sastera. Saya sedar siapa diri ini. Namun itu tidak menjadi alasan atau penghalang untuk saya mencuba. Harapan saya pada tahun 2012 saya dapat melihat karya saya berjaya memikat hati editornya. 

Walaupun puisi saya banyak mendapat tempat di Tunas Cipta namun keterkilanan masih juga terasa apabila cerpen saya belum berjaya menempatkan diri. Saya berharap perjuangan saya itu tidak terhenti dengan begitu saja hanya dek kerana cerpen saya tidak tersiar di majalah ini.

Pada penghujung tahun ini iaitu bulan November menyaksikan saya kembali menghidupkan blog saya yang sudah lama nazak sebenarnya. Terima kasih kepada rakan saya Hafis yang sudi memberi tunjuk ajar. Tidak ketinggalan juga kepada rakan-rakan yang sudi menjengah ke blog Tetamu Istimewa ini. Nama blog saya sebenarnya diambil sempena judul cerpen saya yang pernah tersiar di Berita Minggu pada tahun lepas dengan judul Tetamu Istimewa. Dengan berblog inilah saya mendapat rakan maya baru. Dari penulis kecil-kecilan hinggalah sebesar-besar namanya.

Majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobil 2010  yang diadakan baru-baru ini telah melayakkan saya menerima hadiah penghargaan HSKU kategori cerpen remaja. Walaupun dua buah cerpen saya tersenarai ke peringkat akhir iaitu Rancanganku RancanganMu dan Bunga Telur Kenduri Kahwin. Bunga Telur Kenduri Kahwin inilah telah memberi kenangan manis kepada saya. 

Pada bulan ini jugalah (november) saya melapor diri di SJKC Choong Chee, Hulu Yam Lama, Batang Kali Selangor sebagai tenaga pengajar. Cabarannya belum teruji kerana pada ketika itu sudah di penghujung sesi persekolahan. Saya berharap saya dapat menanganinya dengan sokongan guru-guru lain, ibu bapa, rakan dan doa yang tidak henti-henti.

Dunia sastera pada tahun ini telah dilanda ombak yang begitu dahsyat. Bermula dengan kontroversi Interlok karya SN Abdullah Husain kemudiannya penarikan balik karya tersebut dan digantikan dengan Konserto Terakhir saya lihat adalah suatu cabaran yang harus ditempuhi dengan sabar dan bijaksana. Penarikan balik kontrak yang pernah ditawarkan kepada Abu Hasan Morad untuk novel KOMSAS yang berjudul Cinta Madinah sememangnya sangat mendukacitakan. Ternyata dunia sastera tidak pernah sunyi sebenarnya. Bahasa dan sastera adalah jiwa kepada dunia ini.

Penorbatan Kemala sebagai Sasterawan Negara yang ke-11 telah menyelesaikan teka teki siapa yang bakal menyandang anugerah itu selepas SN Anwar Ridhwan. Begitu juga dengan S.M. Zakir yang telah dinobatkan penerima S.E.A Write Award pada tahun 2011. Ternyata Malaysia tidak pernah ketandusan penulis-penulis yang berbakat dan berjiwa besar memperjuangkan bahasa dan sastera negara. 

Pemergian beberapa tokoh sastera dan bahasa memang sangat dirasai. Pemergian penulis kegemaran saya Allahyarham Azizi Hj Abdullah sangat dirasai. Saya bermula dengan membaca novel Harga Sebuah Maruah. Kemudian saya jantuh cinta dengan gaya bahasanya yang bersahaja seolah-olah hidup. Selepas itu saya menjadi peminatnya dan berjaya mengumpulkan sebilangan karyanya. Antaranya, Zikir Rindu, Tukcai, Memoir Seorang Guru, Kuras-kuras Kreatif, Sangeetha, Beruk, Anak Belantara, Pencinta Alam, Kawin-kawin, Badai Cinta, Suriati, Pertiwi, Seorang Tua di Kaki Gunung, Pendoa yang Ikhlas dan yang terakhir juga terbaru adalah Mandala Dunia Kedua

Pada tahun ini juga saya telah membelanjakan sejumlah wang untuk membeli buku. Sama ada buku terbita lama ataupun baru. Ada antaranya masih belum sempat saya baca. Walau bagaimanapun saya akan cuba menghabisinya pada tahun hadapan. Insyaallah.

Selamat Menyambut Tahun Baru. 

Khamis, 29 Disember 2011

Semakan Keputusan KISSM

 
Petang tadi saya menerima mesej daripada seorang rakan yang berbunyi;- Salam. Jangan lupa semak, print dan serahkan salinan keputusan KISSM Jun 2011 kepada kerani sekolah bagi memudahkan urusan pelantikan tetap anda pada masa hadapan. Harap Maklum. Terima kasih saya ucapkan kepada beliau. KISSM-Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia


Alhamdulillah setelah menyemak keputusan tersebut saya telah LULUS. Kepada yang belum semak bolahlah berbuat demikian. Sila klik di alamat ini. http://www.moe.gov.my/kissm/induksi.php

Rabu, 28 Disember 2011

Koleksi Buku Terbaru


Entahlah hingga ke hujung tahun saya masih bernafsu untuk membeli buku. Walaupun buku ini cetakan lama namun bagi saya ianya masih baru  kerana saya belum pernah membacanya. Ada antaranya koleksi Sasterawan Negara A. Samad Said dan SN S.Othman Kelantan. Sebelum ini saya pernah ceritakan bahawa saya pernah memborong buku di Toko Buku Cahaya Baru, Jalan Langgar dan kali ini sekali lagi saya ke sana. Rupa-rupanya di bahagian belakang kedai tersebut ada 'selonggok' lagi buku lama yang sebelum ini saya tidak perasan. Dalam keadaan tergesa-gesa sempat juga saya mendapatkan beberapa buah buku yang tidak kurang hebatnya juga. Antaranya:-

1. Wajah Seorang Wanita - SN S Othman Kelantan.
2. Sahabat (Antologi Pemenang Hadiah Sastera Perdana tahun 1982/1983).
3. Murtad - Harun Haji Salleh.
4. Di Mana Bulan Selalu Retak (Drama) - SN A Samad Said.
5. Tiga Catatan Perjalanan (Kumpulan puisi) - Baha Zain.
6. Erti Kedewasaan (Kumpulan puisi) - selenggaraan Rahman Shaari.
7. Kuntum Harapan (Kumpulan puisi) - Zahari Hasib.

Kesemuanya mendapat diskaun yang istimewa. Rebutlah peluang selagi stok masih ada.
*Entah bila akan habis baca pun tidak pasti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78